SURAH AZ-ZUKHRUF : AYAT 19-25

\"\"

ANCAMAN TERHADAP TUDUHAN JAHAT, MEREKA HANYA PAK TURUT ORANG DULU & KERAS KEPALA TAK TERIMA NASIHAT.

Full video : https://youtu.be/QY9f3socqps

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t membawa ancaman terhadap golongan yang membuat tuduhan jahat bahawa malaikat itu adalah anak Tuhan.
  2. Kemudian apabila diajak beriman kepada Allah & Rasul-Nya, mereka mengakui bahawa mereka hanyalah pak turut kepada ajaran datuk nenek moyang mereka.
  3. Kemudian apabila diberi nasihat mereka degil keras kepala tidak mahu menerimanya! Inilah perangai puak kafir.
  4. Maka kita orang beriman hendaklah mengambil pengajaran dari sifat mereka ini agar kita tidak binasa dan celaka seperti mereka. Kita hendakla mengambil lorong-lorong yang selamat, jalan menuju keredhaan Allah s.w.t. dengan mengikut ajaran Nabi s.a.w.

AYAT 19- {DAN MEREKA PULA MENYIFATKAN MALAIKAT – YANG JUGA MENJADI HAMBA-HAMBA ALLAH YANG MAHA PEMURAH ITU – JENIS PEREMPUAN. ADAKAH MEREKA MENYAKSIKAN KEJADIAN MALAIKAT ITU? AKAN DITULISKAN KATA-KATA MEREKA (YANG DUSTA ITU), DAN MEREKA AKAN DITANYA KELAK (SERTA AKAN MENERIMA BALASANNYA).} (AZ-ZUKHRUF 43:19)

  1. Sambungan dari ayat yang lepas, mereka yakni puak kafir itu yang mengatakan bahawa Tuhan ada anak perempuan, mereka juga mengatakan bahawa malaikat itu adalah anak perempuan Tuhan!
  2. Maka Allah s.w.t tempelak mereka dengan bertanya balik; adakah mereka yang membuat dakwaan itu menyaksik akan kejadian peciptaan malaikat??? Segala kata-kata dusta mereka itu akan dicatat sebagai persaksian dan akan dipertanggung-jawab, akan ditanya atas dakwaan dan tuduhan jahat mereka yang dusta tanpa bukti dan dalil yang kukuh itu! Lalu mereka akan menerima balasannya.
  3. Maka kita pun jangan mudah-mudah bersaksi atas seseorang, memuji dan memberi gelaran, berhati-hati kerana kita akan dipersoalkan di hadapan Allah Azza wa Jalla nanti.
    Kata-kata kita ini bukan mudah untuk menjawabnya di Akhirat kelak walaupun mungkin atas dunia ini kita terlepas.

AYAT 20- {DAN MEREKA BERKATA: \”KALAULAH ALLAH YANG MAHA PEMURAH MENGHENDAKI TENTULAH KAMI TIDAK MENYEMBAH MALAIKAT ITU\”. (SEBENARNYA) MEREKA TIDAK MEMPUNYAI SESUATU PENGETAHUAN PUN MENGENAI KATA-KATA MEREKA (YANG DEMIKIAN), MEREKA HANYALAH ORANG-ORANG YANG BERDUSTA!} (AZ-ZUKHRUF 43:20)

  1. Kemudian mereka buat hujjah dan alasan bodoh untuk berlepas diri.
    Jika Allah tidak mahu kenapa Allah biarkan mereka menyembah malaikat, jika Allah tidak mahu mereka kafir, kenapa Allah buat mereka jadi begini?
    Yakni mereka sembah malaikat itu dengan izin Allah yang beri kebenaran.
  2. Mengikut dalam Kitab Tafsir Ibnu \’Asyur, hakikatnya hanya sedikit atau sekumpulan sahaja dari golongan Arab jahiliyyah ini yang menyembah malaikat.
    Agama rasmi mereka ialah menyembah berhala dan jin-syaitan.
  3. Beginilah juga hujjah orang yang diberi nikmat oleh Allah s.w.t atas dunia ini, mereka mengatakan kerana Allah sayang dan redha kepada merekalah maka mereka mendapat kekayaan dan kesenangan atas dunia ini. Jika Allah tidak izin kenapa mereka boleh jadi begitu?
  4. Ini hanyalah hujjah yang batil, mereka tiada hujjah yang mantap sebenarnya hanyalah permainan persepsi mereka yang dihiasi oleh syaitan akan perbuatan buruk mereka itu!

AYAT 21- {PERNAHKAH KAMI MEMBERIKAN MEREKA SEBELUM AL-QURAN INI SEBUAH KITAB (YANG MEMBENARKAN DAKWAAN MEREKA), LALU MEREKA BERPEGANG TEGUH KEPADA KITAB ITU?} (AZ-ZUKHRUF 43:21)

  1. Munasabah ayat: Beriman kepada malaikat itu adalah salah satu daripada rukun Iman yang Enam. Allah telah nyatakan bahawa malaikat itu adalah salah satu hamba Allah, tenteranya yang bekerja dan taat kepada Allah s.w.t.
  2. Jadi untuk menyatakan bahawa pegangan mereka itu salah; dalam ayat ini Allah buat soalan.
    Apakah dakwaan mereka itu ada dalam kitab yang mereka ada sebelum turunnya al-Quran?
    Apakah mereka berpegang dan beramal teguh dengan kitab tersebut?
  3. Sedangkan hakikatnya puak kafir Quraisy ini lansung tiada maklumat kerana mereka tiada Kitab dan rasul yang diutus di kalangan mereka sebelum ini, Mereka hanya merujuk kepada yahudi (ahli Kitab Taurat) yang ada di Madinah pada masa itu.

AYAT 22- {(TIDAK ADA SEBARANG BUKTI BAGI MEREKA) BAHKAN MEREKA (HANYALAH) BERKATA: SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENDAPATI DATUK NENEK KAMI MENURUT SATU JALAN AGAMA, DAN SESUNGGUHNYA KAMI BEROLEH PETUNJUK MENURUT JEJAK MEREKA SAHAJA\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:22)

  1. Sandaran dan hujjah mereka: Sebenarnya mereka tiada sebarang bukti dan dalil yang teguh. Tiada hujjah yang dapat menyokong dakwaan mereka itu.
  2. Iaitu mereka guna hujjah yang lapuk dan goyah; mereka hanya ikut apa yang diajar dan diamal oleh datuk nenek moyang mereka dulu, mereka hanya menyambung apa yang dibuat oleh orang dahulu, ambil dengan ikut jejak mereka. Inilah taqlid buta!
  3. Kemudian Allah s.w.t gambarkan kepada kita bagaimana kerosakan orang terdahulu yang lawan para rasul mereka dengan hujjah ikut tok nenek!

AYAT 23- {DAN DEMIKIANLAH HALNYA (ORANG-ORANG YANG TAQLID BUTA); KAMI TIDAK MENGUTUS SEBELUMMU (WAHAI MUHAMMAD) KEPADA (PENDUDUK) SESEBUAH NEGERI, SESEORANG RASUL PEMBERI AMARAN, MELAINKAN ORANG-ORANG YANG BERADA DALAM KEMEWAHAN DI NEGERI ITU BERKATA: \”SESUNGGUHNYA KAMI DAPATI DATUK NENEK KAMI MENURUT SATU JALAN AGAMA, DAN SESUNGGUHNYA KAMI HANYA MENGIKUT JEJAK MEREKA SAHAJA\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:23)

  1. Allah nyatakan lagi, begitulah orang yang menjadi pak turut tanpa ilmu dan hujjah, iaitu orang-orang yang taqlid buta, ikut tanpa dalil dan ilmu.
  2. Begitulah halnya, tidaklah setiap rasul yang diutus itu, melainkan golongan bangsawan, pembesar negerinya (مُتْرَفُوهَا) iaitu golongan vip dari kaumnya akan berkata: \”Kamu jangan marah, sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja\”.
  3. Begitulah Allah gambarkan perbuatan kaum musyrikin, Quraisy Makkah yang ikut jejak langkah nenek moyang mereka sebagaimana kaum yang terdahulu juga!
  4. Maka ayat ini mengajar kepada kita bahawa Agama Islam yang kita ikuti ini adalah satu agama yang berpaksikan kepada dalil!
    Kita boleh ikut perbuatan orang dahulu tetapi wajib ada sandaran yang sahih dari al-Quran dan hadis, bukan hanya rekaan orang lain.
    Ini kerana jika agama itu boleh direka sesuka hati mengikut pemikiran kita maka tidak perlulah Allah s.w.t hantar para rasul untuk membimbing manusia kepada jalan yang benar.
    Sesekali kita tidak boleh reka dalam bab ibadat, tidak boleh guna hujjah apa salahnya-apa salahnya.
  5. Bab ikut tok nenek; Inilah hujjah yang telah digunakan oleh puak kafir zaman-berzaman apabila menentang rasul-rasul mereka yang diutus oleh Allah s.w.t!

AYAT 24- {RASUL ITU BERKATA: \”ADAKAH (KAMU AKAN MENURUT JUGA MEREKA) WALAUPUN AKU MEMBAWA KEPADA KAMU AGAMA YANG LEBIH JELAS HIDAYAH PETUNJUKNYA DARIPADA JALAN AGAMA YANG KAMU DAPATI DATUK NENEK KAMU MENURUTNYA?\” MEREKA MENJAWAB: \”SESUNGGUHNYA KAMI TETAP MENGINGKARI APA YANG KAMU DIUTUSKAN MEMBAWANYA\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:24)

  1. Para rasul itu telah memberi nasihat dan cuba menyedarkan mereka bahawa agama dan ajaran yang dibawanya adalah lebih jelas hidayah petunjuknya daripada agama ikutan yang mereka dapati dari datuk nenek mereka itu.
  2. Tetapi mereka puak kafir musyrikin itu tetap degil keras kepala terus menjawab bahawa sesungguhnya mereka tetap mengingkari apa yang rasul itu diutuskan membawanya.
  3. Maka apabila rasul sudah datang, maklumat sudah sampai dengan jelas, tetapi mereka tetap lawan juga, maka kita lihat apa yang terjadi kepada mereka ini dalam ayat seterusnya!

AYAT 25- {LALU KAMI BALAS KEINGKARAN MEREKA DENGAN AZAB YANG MEMBINASAKAN; MAKA PERHATIKANLAH BAGAIMANA BURUKNYA KESUDAHAN UMAT-UMAT YANG MENDUSTAKAN RASUL-RASULNYA.} (AZ-ZUKHRUF 43: 25)

  1. Lalu Allah s.w.t binasakan mereka dengan sebab keingkaran dan pendustaan mereka itu! Begitulah kesudahan buruk umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya!
  2. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.} (Ar-Ruum 30:47)

ii- {Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).] (A-li\’Imraan 3:137)

iii- {Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu. Katakanlah (wahai Muhammad): \”Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu.\”} (Al-An\’aam 6: 10-11)

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 19- {Dan mereka pula menyifatkan malaikat – yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan.}- ayat ini panjang perbahasannya, pertamanya menolak fahaman puak Jahmiyyah tentang makna perkatan (وَجَعَلُوا) yang makna asalnya (menjadikan/menciptakan).
    Tujuann mereka untuk mengatakan bahawa al-Quran itu makhluk. Sedangkan maknanya yang tepat dalam ayat ini ialah- {mereka menyifatkan, mengatakan atau mendakwa}.

Allah s.w.t puji malaikat sebagai {hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah}.
Sebahagian ulama\’ mengatakan ayat ini menunjukkan bahawa malaikat itu lebih afdhal daripada manusia.

Maka timbul persoalan siapakah yang lebih mulia; malaikat atau manusia?
i- ada juga sebahagian ulama Salaf mengatakan manusia yang soleh lebih afdhal daripada malaikat.

ii- Untuk mengumpulkan dua pendapat ini, ulama\’ kata:
a- malaikat lebih afdhal dari permulaan, diperingkat awal lagi lebih afdhal daripada manusia. Mereka berada dekat dengan Allah di atas langit, berinteraksi dengan-Nya, mereka tak buat dosa & maksiat, mereka sibuk beribadat & menunaikan perintah Allah s.w.t., maka mereka lebih mulia daripada manusia yang bergelumang dengan dosa dan maksiat.

b- manakala manusia pula lebih afdhal pada pengakhirannya. Apabila masuk syurga kelak, mereka yang soleh lebih afdhal daripada malaikat, kerana akan mendapat pelbagai ganjaran nikmat tidak terhitung!
Huraian ini dapat mengumpulkan dua dalil bahawa keduanya afdhal mengikut tempat masing-masing.

Tetapi ulama\’ menyimpulkan bahawa perbincangan ini adalah sesuatu yang menghabiskan masa dan tidak membawa apa-apa kebaikan atau faedah.

  1. Ayat 19- {Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu?}- dari ayat ini terdapat beberapa faedah:
    i- perkataan manusia akan ditulis pahala dan dosanya sama seperti perbuatannya juga. Maka hati-hati untuk membuat tuduhan atau persaksian terhadap orang lain.

ii- ayat ini mencela orang-orang yang menjadi saksi tanpa dalil dan bukti. Hanya ikut-ikut orang kata, kamu akan di pertanggung-jawab di hadapan Allah s.w.t! Sama seperti manusia hari ini yang ikut share senarai nama tuduhan dan fitnah terhadap orang-orang tertentu sedangkan dia tak kenal pun orang itu!

Maka sesiapa yang menceritakan kepada orang tentang sesuatu perkara maka dia telah bersaksi dengan benda itu, tidak kira dengan lafaz syahadah atau tidak. Dia telah share dan sebarkan benda itu!

iii- menghukum sesuatu benda yang kita TIDAK tahu dan pasti maka ia adalah sesuatu yang salah dalam Syari\’ah. Berkata tanpa dalil adalah sesuatu perbuatan yang mungkar! Kecuali kita ada maklumat dan dalil yang sahih.

  1. Ayat 20- {Dan mereka berkata: \”Kalaulah Allah Yang Maha Pemurah menghendaki tentulah kami tidak menyembah malaikat itu\”.}- hujjah ini mengatakan oleh kerana Tuhan benarkan mereka buat; bermakna bahawa Tuhan izin dan redha perbuatan mereka itu!

Firman Allah s.w.t tentang orang kafir buat dalil bahawa Allah s.w.t benarkan mereka buat sesuatu yang tidak betul:
i- {Orang-orang musyrik akan mengatakan: \”Kalau Allah menghendaki tentulah kami dan datuk nenek kami tidak mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain), dan tidak pula kami haramkan sesuatu apa pun\”. Demikianlah juga orang-orang yang dahulu sebelum mereka telah mendustakan (Rasul-rasul) sehingga mereka merasai azab seksa Kami. Katakanlah: Adakah kamu mempunyai (sesuatu keterangan yang berdasarkan) ilmu supaya dapat kamu tunjukkan kepada kami? Tiadalah kamu menurut melainkan sangkaan semata-mata, dan kamu pula tidak lain hanyalah berdusta\”.} (Al-An\’aam 6:148)

ii- { Dan berkatalah orang-orang kafir musyrik: \”Kalaulah Allah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah selain daripadanya sesuatupun, – (tidak) kami dan tidak juga datuk nenek kami; – dan tentulah kami tidak mengharamkan sesuatu pun dengan ketiadaan perintahnya\”. Demikianlah juga yang telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada mereka. (Apa yang mereka katakan itu adalah salah semata-mata) kerana bukankah Rasul-rasul semuanya tidak bertanggungjawab selain daripada menyampaikan (kehendak dan hukum Allah) dengan cara yang jelas nyata?} (Al-Nahl 16:35)

Mereka mencipta dalil bahawa Allah s.w.t yang izinkan mereka buat sesuatu perbuatan yang tidak betul itu! Jika tidak betul mesti Tuhan marah dan tidak perkenankan. Inilah hujjah orang yang buat salah untuk membenarkan dakwaan dan perbuatan tidak betul mereka!

  1. Ayat 23- {melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: \”Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja\”.}- begitulah orang terdahulu yang lawan para nabi apabila diberi nasihat dan dakwah, orang besar pemuka-pemuka mereka mula membangkit membantah dan bersungguh menentang!

Kata ulama\’ tadabbur antara punca orang berkeras kepala tidak mahu menerima kebenaran adalah kerana suka untuk mengguna dan sayang untuk meninggalkan nikmat dunia yang mereka ada! Kerana itulah mereka sombong dan angkuh dengan kesenangan dan kedudukan yang mereka ada!

  1. Ayat 23- {melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: \”Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja\”.}- kata para ulama\’ taqlid (ikutan) ada dua:
    i- taqlid kepada benda batil itu haram dan salah.
    Contoh; Taqlid kepada agama tok nenek tanpa sandaran itu bukan hujjah.

ii- tetapi taqlid kepada benda yang benar tidak salah dan dibenarkan.
Contoh sebagai orang awam yang tidak pandai untuk menggali dan mengkaji sendiri al-Quran dan hadis; kita ikut pandangan dan fatwa ulama\’ yang jelas hukum dan dalilnya.

Firman Allah s.w.t:
i- {Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.} (Al-Nahl 16:43).

ii- {Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.} (Al-Baqarah 2:286)

iii- {Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya);} (At-Taghaabun 64:16)

Maka sebagai orang awam kita hendaklah bertanya dan merujuk kepada para ulama\’ yang jelas hukumnya. Tetapi hati-hatilah memilih ulama\’ yang diikuti, ingat satu saja agama ini berpaksikan kepada dalil dan sandaran yang kukuh.

Taqlid kepada tok nenek itu bukan hujjah tetapi taqlid kepada ulama\’ yang menyatakan dalil sandaran mereka itulah yang sepatutnya!
Orang awam pun ada hak dan akal pemikiran untuk bertanya dalil kepada sesuatu ajaran atau amalan yang diterima! Jangan kita membodohkan akal semata-mata untuk ikut orang serta memburukkan agama tanpa disiplin dan akhlak!

Mudahan kita semua diberi kefahahaman oleh Allah, sentiasa berada di bawah payung Allah s.w.t & Sunnah Rasulullah s.a.w.

Powered by BetterDocs