SURAH AZ-ZUMAR : AYAT 9-10

\"\"

ALLAH BEZAKAN ANTARA GOLONGAN TAAT DAN SYIRIK, BEZA ANTARA ORANG BERILMU DAN JAHIL & PAHALA HIJRAH DAN SABAR.

Full video : https://youtu.be/jGBGpK8UA3k

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t bawa pertanyaan yang membezakan antara dua kumpulan.
    Pertanyaan pertama adalah; adakah sama kumpulan yang sujud kepada Allah, dengan kumpulan yang syirik kepada Allah s.w.t? Sudah tentulah tidak sama!
  2. Pertanyaan kedua adalah adakah sama orang berilmu yang beramal dengan ilmunya, dengan orang jahil yang tidak tahu apa. Pastilah tidak sama!
  3. Maka Allah s.w.t nyatakan sifat-sifat orang yang bahagia iaitu orang yang berilmu yang beramal dengan ilmunya, melakukan kebaikan di dunia dan mereka bersabar dalam segenap perkara.
  4. Sabar itu ada 3 kategori:
    i- sabar dalam melakukan ketaatan.
    ii- sabar dalam meninggalkan larangan Allah.
    iii- sabar apabila ditimpa ujuan dan kesusahan.
  5. Munasabah ayat: Dalam siri yang lepas Allah s.w.t ceritakan tentang orang yang zalim dan sesat.
    Mereka yang akan mendapat kemurkaan dan azab Allah.
    Maka dalam ayat ini Allah s.w.t bawa perbandingan dengan orang yang mendapat hidayah, taat dan banyak melakukan ibadat kepada Allah s.w.t.
    Dibawanya perbandingan supaya kita mudah nampak perbezaannya.

AYAT 9- {\”(ENGKAUKAH YANG LEBIH BAIK) ATAU ORANG YANG TAAT MENGERJAKAN IBADAT PADA WAKTU MALAM DENGAN SUJUD DAN BERDIRI SAMBIL TAKUTKAN (AZAB) HARI AKHIRAT SERTA MENGHARAPKAN RAHMAT TUHANNYA? \”KATAKANLAH LAGI (KEPADANYA): \”ADAKAH SAMA ORANG-ORANG YANG MENGETAHUI DENGAN ORANG-ORANG YANG TIDAK MENGETAHUI?\” SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG DAPAT MENGAMBIL PELAJARAN DAN PERINGATAN HANYALAH ORANG-ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA.} (AZ-ZUMAR 39:9)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t bawa dalam bentuk pertanyaan supaya Rasulullah s.a.w bertanya kepada orang kafir sebagai satu kecaman dan ungkitan kepada mereka. Juga supaya kita buka mata dan celik telinga untuk memikirkan tentang ini.
  2. Antara ciri-ciri orang yang taat kepada Allah itu ialah orang yang boleh bangun beribadat pada waktu malam.
    Allah sebut sifatnya sebagai seorang yang (قَانِتٌ) yang bangun beribadat, solat pada waktu malam, yang sujud dan berdiri (سَاجِدًا وَقَائِمًا), bermunajat, berdoa dan menangis semata-mata kerana takutkan Allah s.w.t.
  3. Firman Allah s.w.t: {Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri.} (Al-Furqaan 25:64)
    Dalam ayat ini Allah juga sebut ibadat sujud dan berdiri (سَاجِدًا وَقَائِمًا).
  4. Ini bukan tertib tetapi menunjukkan bahawa sujud itu adalah satu ibadat yang besar, kita meletakkan muka kita ditempat kita berpijak, merayu berdoa kepada Allah s.w.t dalam keadaan itu.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
أَقْرَبُ مَا يَكُونُ العَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ ، فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ
Ertinya: \”Keadaan seorang hamba paling dekat dengan Tuhan adalah ketika sedang sujud, maka dari itu, perbanyaklah doa.\” [HR Muslim].

  1. Hadis riwayat Jabir R.A tentang orang yang lama berdiri dalam solat, yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w bersabda: \”Solat yang paling utama adalah yang panjang qunutnya.\” [HR Muslim].
    Ulama\’ berpendapat yang dimaksud \”qunut\” dalam hadis ini adalah berdiri.
    Jadi keduanya samada berdiri dan sujud, adalah ibadat yang paling afdhal iaitu dalam solat.
  2. Inilah sifat orang mukmin yang suka beribadat (قَانِتٌ) samada berdiri untuk solat, rukuk, sujud atau baca al-Quran, berzikir dan lain-lain ibadat yang sepatutnya. Beribadat seorang diri, mampu bangun meninggalkan tilam semasa orang lain sedangkan tidur.
  3. Sifat orang mukmin juga mesti ada dua sifat ini:
    i- mereka takutkan azab Allah s.w.t, air matanya mengalir kerana takutkan Allah s.w.t.
    ii- dalam masa yang sama mereka juga sentiasa mengharapkan rahmat Tuhannya.
  4. Hadis- Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah menjenguk seorang pemuda yang sedang menjelang sakaratul maut (saat menjelang kematian), maka Baginda bertanya kepada pemuda tersebut:
    «كَيْفَ تَجِدُكَ؟». قَالَ: وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّى أَرْجُو اللَّهَ وَإِنِّى أَخَافُ ذُنُوبِي. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ «لاَ يَجْتَمِعَانِ فِى قَلْبِ عَبْدٍ فِى مِثْلِ هَذَا الْمَوْطِنِ إِلاَّ أَعْطَاهُ اللَّهُ مَا يَرْجُو وَآمَنَهُ مِمَّا يَخَافُ» رواه الترمذي وابن ماجه وغيرهما.

\”Apa yang kamu rasakan (dalam hatimu) saat ini?\”.
Dia menjawab: \”Demi Allah, wahai Rasulullah, sungguh (saat ini) aku (benar-benar) mengharapkan (rahmat) Allah dan aku (benar-benar) takut akan (siksaan-Nya akibat dari) dosa-dosaku\”.
Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: \”Tidaklah terkumpul dua sifat ini (berharap dan takut) dalam hati seorang hamba dalam keadaan seperti ini kecuali Allah akan memberikan apa yang diharapkannya dan menyelamatkannya dari apa yang ditakutkannya\”. [HR at-Tirmizi, Ibnu Majah & an-Nasaei].

  1. Soalan kedua: Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w bertanya lagi adakah sama orang yang berilmu dan orang yang jahil. Yakni ulama\’ yang beramal dengan ilmunya, taat dan ikhlas beribadat kepada Allah s.w.t pasti sekali tidak akan sama dengan mereka yang kafir lagi jahil!
  2. Firman Allah s.w.t: {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.} (Al-Mujaadalah 58:11)
  3. Sebuah Syair:
    Orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya;
    akan diazab terlebih dahulu daripada penyembah berhala!
  4. Orang yang dapat mengambil pengajaran daripada ilmu yang mereka ada, daripada maklumat yang mereka terima adalah orang yang mempunyai akal yang sempurna (أُولُو الْأَلْبَابِ).
    Mereka yang betul-betul ada ilmu beramal dengan Kitab dan Sunnah, mengambil pengajaran dan peringatan.
  5. Firman Allah s.w.t lagi: {Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.} (Az-Zumar 39:18).
  6. Kata cerdik pandai:
    إذا قرأت فقمش وإذا قرأت ففتش
    Apabila kamu terima maklumat baca semua (samada yang baik atau buruk- untuk memahaminya), tetapi apabila kamu mahu menyampaikan (yakni samada menulis atau menceritakan kepada orang) pastikan hanya yang benar dan sahih!

AYAT 10- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD, AKAN FIRMANKU INI, KEPADA ORANG-ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA ITU): \”WAHAI HAMBA-HAMBAKU YANG BERIMAN! BERTAQWALAH KEPADA TUHAN KAMU. (INGATLAH) ORANG-ORANG YANG BERBUAT BAIK DI DUNIA INI AKAN BEROLEH KEBAIKAN (YANG SEBENAR DI AKHIRAT). DAN (INGATLAH) BUMI ALLAH INI LUAS (UNTUK BERHIJRAH SEKIRANYA KAMU DITINDAS). SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERSABARLAH SAHAJA YANG AKAN DISEMPURNAKAN PAHALA MEREKA DENGAN TIDAK TERKIRA\”.} (AZ-ZUMAR 39:10)

  1. Allah s.w.t memerintahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk bercakap dengan mereka yang berakal sempuran (أُولُو الْأَلْبَابِ), yang mahu menerima kebenaran dan mencari ilmu. Ini untuk memantapkan lagi keimanan mereka.
  2. Allah s.w.t memuji orang yang beriman kerana sentiasa beribadat kepada Allah s.w.t, mereka juga takut dan berharap kepada Allah s.w.t, mereka juga mempunyai ilmu dan beramal dengannya.
  3. beritahu kepada mereka: Wahai hamba yang beriman dan bertaqwa, berbuat baiklah di dunia ini, Allah s.w.t akan membalasnya di Akhirat kelak.
  4. Sentiasalah baca firman Allah s.w.t ini sebagai satu doa:
    رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
    {\”Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka\”.) [Al-Baqarah 2:201].
  5. Dalam sebuah hadis, Nabi S.A.W bersabda:
    [عن أنس بن مالك:] إنَّ اللَّهَ لا يَظْلِمُ مُؤْمِنًا حَسَنَةً، يُعْطى بها في الدُّنْيا ويُجْزى بها في الآخِرَةِ، وأَمّا الكافِرُ فيُطْعَمُ بحَسَناتِ ما عَمِلَ بها لِلَّهِ في الدُّنْيا، حتّى إذا أفْضى إلى الآخِرَةِ، لَمْ تَكُنْ له حَسَنَةٌ يُجْزى بها.] مسلم (ت 7٦١)، صحيح مسلم[

\”Sesungguhnya Allah S.W.T tidak menzalimi orang mukmin pada kebajikan yang dilakukannya di dunia dan dibalas kepadanya di akhirat.
Adapun orang kafir, diberi makan kepadanya dengan sebab kebajikan yang dikerjakannya di dunia kerana Allah. Apabila amalan ini dibawanya ke akhirat, tiada lagi amal kebajikan yang perlu dibalas baginya.\” (HR Muslim)

  1. Balasan kebajikan: Orang mukmin yang berbuat baik akan dikurniakan balasan kebaikan di dunia dan juga akhirat. Sedangkan orang kafir yang baik sesama manusia, yang suka buat amalan kebajikan atas dunia ini, Allah s.w.t akan memberi kepada mereka balasan baik di atas dunia terus, tetapi di akhirat kelak mereka tidak akan bawa apa-apa pahala.
  2. Yakni kesesangan dan kemewahan dicapai orang kafir di dunia ada kemungkinan disebabkan amal kebajikan mereka dalam bidang kemanusiaan dan usaha mendapatkan rezeki mengikut saluran undang-undang.
  3. Nikmat yang Allah s.w.t berikan atas dunia ini ada dua samada:
    i- nikmat sebagai satu kemuliaan (karamah).
    ii- istidraj- iaitu pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhai-Nya.
  4. Kisah Abdur Rahman bin Auf r.a yang menangis mengenangkan sahabat yang telah tiada yang menghadapi kesusahan pada awal Islam dahulu.
    Pernah dihidangkan makanan kepada Abdur Rahman.
    Pada waktu itu dia sedang berpuasa. Dia memandang makanan itu lalu berkata:
    \”Mus\’ab bin Umair yang lebih baik dariku, terbunuh dalam keadaan tidak memiliki apa-apa pakaian untuk dikafankan, selain kain yang kecil. Apabila ditutup kepala terdedah kakinya. Apabila ditutup kaki terdedah pula kepalanya.
    Akan tetapi Allah luaskan dunia kepadaku seluasnya. Aku sangat takut, kalau Allah sengaja memberikan ganjaran kepadaku, hanya di atas dunia sahaja.\”
    Lalu dia menangis dan meratap sepuasnya, sehingga seolah dia membenci diri sendiri. [Athar Riwayat Bukhari]
  5. Allah s.w.t menyatakan buminya luas, yakni luas untuk kamu berhijrah berpindah jika keadaan tempat yang kamu diami sekarang ini tidak sesuai untuk kehidupan beragama dan beribadat!
    Pilihlah tempat yang sesuai untuk kita mendekatkan diri kepada Allah s.w.t!
  6. Allah s.w.t menyatakan kelebihan orang yang bersabar!
    Pahala mereka tidak terkira -umlimited pahalanya, atas Allah s.w.t.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 9- {\”(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?}- ayat in menunjukkan orang yang kekal melazimi (istiqomah) dalam ibadatnya itulah orang yang yang akan menadapat faedahnya.

Allah s.w.t juga mengajar kita untuk menggukana akal, berfikir adakah sama ahli ibadat dengan ahli maksiat??? Pasti dan sudah tentu tidak sama.

  1. Ayat 9- {\”Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?\”}- Jika orang alim adalah orang yang ada ilmu dan beramal dengannya. Maka sesiapa yang ada ilmu tetapi dia tidak beramal dengannya maka tidak dikira sebagai seorang yang alim.
    Ini kerana Allah s.w.t menyebut amalan kemudian Allah s.w.t sebutkan orang yang berilmu.

Maka manusia jika nak jadi baik kena ada ilmu dan beramal dengannya!
Kena berkembar dua ini; Rugi dan sia-sia jika ada ilmu tetapi tidak beramal!
Begitu juga amat bahaya juga orang yang beramal tanpa Ilmu, akan sesat dan terpesong!

  1. Ayat 9- {\”(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?}- ulama\’ kata ini menunjukkan lebih afdhal beribadat pada waktu malam daripada waktu siang. Siang boleh digunakan untuk berusaha mencari rezeki dan kehidupan lain, bekerja, belajar dan lain-lain.
  2. KELEBIHAN BERIBADAT MALAM :

i- kita hanya bersendirian, orang lain tak nampak, maka tiada riya\’ dan takabbur.

ii- kegelapan menjinakkan mata kita, kesunyian menjadikan hati kita lebih khusyuk dan dekat kepada Allah.

iii- malam adalah waktu tidur, sesiapa yang dapat bangun meninggalkan tilamnya maka pahalanya adalah lebih besar.

iv- Firman Allah s.w.t: {Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.} (Al-Muzzammil 73:6)

v- Hadis Rasulullah s.a.w: \”Solat terbaik (afdhal) selepas solat fardhu adalah solat malam.\” [HR Muslim].

Maka marilah kita ambil peluang yang besar ini iaitu beribadat pada waktu malam.

  1. Ayat 9- {\”Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?\”}- ayat ini menunjukkan akan kelebihan orang yang beilmu daripada orang yang jahil walaupun dia masih belum beramal dengan ilmunya.
    Ini kerana Allah s.w.t telah fardhukan ke atas kita ilmu dan amal.
    Maka dia telah ada separuh darinya, walaupun dua berada dalam keadaan bahaya jika terus tidak beramal dengan ilmunya.

Allah s.w.t puji orang yang berilmu dan Allah cela orang yang jahil tidak mahu belajar.
Allah gambarkan orang kafir sebagai orang yang tidak tahu; kerana mereka dengar tetapi mereka tidak percaya!!!

  1. a)-Ayat 10- {dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas).}- jika kamu merasa sempit untuk Islam, yakni tidak dapat beribadat atau berdakwah, tidak mendapat sambutan, maka berhijrahlah, cari tempat lain yang dapat menerima manfaatnya.
    Kata ulama\’ kata di mana bumi yang subur di situlah benih ditabur.

Ayat ini menunjukkan dua perkara:
i- memberi khabar gembira kepada Rasulullah s.a.w bahawa Baginda akan berhijrah dan mendapat kemenangan.
Sabda Rasulullah s.a.w:

لا يزال من أمتي أمة قائمة بأمر الله لا يضرهم من خذلهم ولا من خالفهم ، حتى يأتيهم أمر الله وهم على ذلك

\”Akan sentiasa ada dalam kelompok umatku orang yang berdiri untuk menegakkan perintah Allah.
Tidak dapat memberi mudharat kepada mereka orang yang menghinanya dan juga orang yang menentangnya, sehingga datang keputusan Allah kepada mereka, sedangkan mereka tetap teguh seperti itu.\” [HR Bukhari].

ii- ulama\’ tadabbur kata ayat ini juga umum untuk setiap zaman dan tempat.
Sesiapa yang ada masalah dalam agama dan ibadat, maka berhijrahlah demi kebaikan agamanya!

b- Ayat 10- {Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira\”.}- pahala orang yang bersabar pahalanya (أَجْرَ) tidak terkira, tanpa had.
Ini kerana tahap kesabaran seseorang itu berbeza, ada yang tinggi kesabarannya ada yang rendah, maka darjat sabarnya juga tidak sama, lalu pahala ganjaran sabar itu atas Allah s.w.t untuk memberinya.
Betapa pemurahnya Allah s.w.t, dijadikan pahala sabar itu seolah gaji atau elaun (أَجْرَ), padahal itu haknya, tetapi Allah s.w.t telah janjikan kepada kita pahala yang tidak terbatas.

Orang yang sabar pahalanya tanpa limit, sebagaimana dalam hadis puasa.
Dari Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, \”Allah berfirman, \’Semua amalan anak Adam untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.\” [HR Bukhari & Muslim].

Kerana itu ada ulama\’ kata maksud sabar ini puasa, tetapi ulama\’ kata ianya juga umum untuk semua kesabaran!

Maka marilah kita semua cuba bersifat sabar dalam semua keadaan, dalam melakukan ibadat kepada Allah, melawan hawa nafsu dan meninggalkan maksiat serta bersabar apabila ditimpa ujian dan kesusahan.
Semoga kita termasuk dalam golongan yang akan mendapat pahala yang tidak terbatas dari Allah s.w.t.

Powered by BetterDocs