SURAH AL-AHZAB : AYAT 63-68

\"\"

BEBERAPA GOLONGAN BERTANYA BILAKAH KIAMAT, JANJI AZAB BAGI KAUM KAFIR & PUNCA KESESATAN IALAH IKUT KETUA.

Full video : https://youtu.be/u2nOancs4Sk

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini dikisahkan terdapat beberapa golongan yang bertanya bilakah hari Kiamat, pertanyaan menyindir dan dengan tidak percaya.
  2. Lalu Allah s.w.t. berfirman memberikan jawapan kepada Rasulullah s.a.w. bahawa jika ada orang yang bertanya tentang hari Kebangkitan.
  3. Kemudian Allah s.w.t memberi amaran kepada mereka yang tidak beriman yang keras kepala ini, selepas bertanya dan dengar jawapan, jika tidak beriman juga maka tunggulah balasannya di Akhirat kelak.
  4. Juga tentang perbalahan antara golongan pengikut dan ketua, yang sama-sama masuk dalam neraka, saling menunding jari berkelahi sesama mereka, mengatakan yang ketua adalah punca pengikut sesat!
  5. Dalam siri sebelum ini Allah s.w.t telah menjelaskan tentang kedudukan kaum munafiq di dunia ini, mereka dihina, dilaknat dan dibunuh. Walaupun Rasulullah s.a.w tidak pernah membunuh mereka secara hakikinya.
  6. Lalu Allah s.w.t bawakan amaran kepada munafiq ini tentang Kiamat yang akan datang kepada mereka, samada Kiamat kecil kematian individu atau Kiamat besar, barulah mereka tahu kebenaran dan nasib mereka nanti.

AYAT 63 – {MANUSIA BERTANYA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) TENTANG KEDATANGAN HARI KIAMAT; KATAKANLAH: \”SESUNGGUHNYA PENGETAHUAN MENGENAINYA HANYALAH ADA DI SISI ALLAH. \”DAN APA JALANNYA ENGKAU DAPAT MENGETAHUI? – BOLEH JADI MASA DATANGNYA TIDAK LAMA LAGI.} (AL-AHZAAB 33:63)

  1. Manusia datang berjumpa Rasulullah s.a.w untuk bertanya tentang bilakah akan berlaku Hari Kiamat.
  2. Ulama\’ memberi pendapat tentang siapakah manusia yang dimaksudkan ini:

i- kaum musyrikin- kafir asli yang bertanya secara lansung dengan penuh perlian dan cemuhan, dengan tidak percaya.
ii- kaum munafiq – yang zahir beriman tetapi hatinya kufur, datang bertanya dengan penuh keras kepala, tidak mahu terima dan beriman walaupun Allah cuit mereka dengan ayat ini.
iii- puak yahudi yang bertanya dengan niat menguji dan memeriksa. Merekalah yang mengajar kepada kaum Quraisy untuk bertanya soalan pelik-pelik kepada Rasulullah s.a.w berdasarkan kitab mereka. Apabila Nabi s.a.w dapat jawab soalan mereka dengan betul, mereka tahu, tetapi tetap tidak mahu beriman.

  1. Adapun kaum muslimin, para sahabat yang sudah beriman, jika bertanya tentang Kiamat pun seperti orang Badwi, mereka bertanya kerana benar-benar ingin tahu, ingin faham dan belajar. Rasulullah s.a.w tidak marah kepada mereka, bahkan terus memberi pendidikan dan kefahaman.

i- Hadis: Seorang Arab Badwi bertanya Nabi S.A.W: \”Bilakah Kiamat?\”. Baginda menjawabnya dengan bertanya balik, \”Apakah persedian kamu untuk Kiamat?\” Dia menjawab; \”Cinta Allah Azza wa Jalla dan Rasul-Nya.\” Rasulullah S.A.W bersabda: \”Kamu bersama dengan orang yang kau cintai.\” [HR Bukhari & Muslim].

  1. Allah s.w.t menyuruh Rasulullah memberitahu bahawa ilmu, maklumat, pengetahuan tentang Kiamat hanya ada di sisi Allah. Tiada siapa yang tahu tarikhnya hatta Rasul dan malaikat pun tidak tahu.
    *Hadis dari Abu Said al-Khudri r.a, Rasulullah s.a.w bersabda,
    كَيْفَ أَنْعَمُ وَقَدِ الْتَقَمَ صَاحِبُ الْقَرْنِ الْقَرْنَ، وَحَنَى جَبْهَتَهُ، وَأَصْغَى سَمْعَهُ يَنْظُرُ مَتَى يُؤْمَرُ
    Bagaimana aku mampu bersenang-senang sedangkan malaikat peniup serunai telah meletakkan serunai itu di mulutnya, mendongakkan dahinya, menumpukan pendengarannya, sentiasa bersiap-siaga bilakah dia akan diperintahkan. (HR Ahmad & at-Tirmizi]. Ini menunjukkan dia pun tidak tahu bila, hanya bersiap menunggu perintah Allah s.w.t.
  2. Allah s.w.t izinkan Baginda s.a.w untuk menjelaskan tanda-tanda bilakah akan berlaku Kiamat, tarikh bila berlakunnya tiada makhluk lain yang tahu.
    Kebangkitan Baginda s.a.w juga menunjukkan dekatnya akan berlaku Kiamat. Kerana Nabi kita sebagai rasul yang terakhir, risalahnya tiada pembatalan sehingga hari Kiamat, maka tiada lagi rasul lain selepasnya dan sebelum Kiamat.
  3. Allah berfirman lagi: {Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? – boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi.}- وَمَا يُدْرِيكَ – ulama\’ negatakan bahawa maksud مَا (ma- apa) samada:
    i- ما النافية apa penafian, tiada siapa yang mengetahuinya.
    ii- atau apa soalan ما استفهامية , apa yang kamu tahu tentangnya?
  4. Tadabbur: ulama\’ kata jika Allah bertanya {apa yang kamu tahu}, biasanya dengan dua cara:
    i- Apa yang kamu tahu – وَمَا يُدْرِيكَ – biasanya tiada jawapan, sesuatu yang ilmunya hanya di sisi Allah s.w.t.
    ii- Apa yang kamu tahu – وَمَا أَدْرَاكَ – biasanya ada jawapan dalam ayat seterusnya. Contohnya dalam surah al-Qari\’ah.

AYAT 64 – {SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MELAKNAT ORANG-ORANG KAFIR DAN MENYEDIAKAN BAGI MEREKA API NERAKA YANG MARAK MENJULANG, -} (AL-AHZAAB 33:64)

  1. Orang kafir ini adalah puak yang dilaknat oleh Allah s.w.t iaitu jauh dari rahmat-Nya.
  2. Allah s.w.t juga telah menyediakan bagi mereka api neraka yang marak menjulang.
  3. Kata ulama\’ ayat ini menunjukkan bahawa neraka itu sudah ada. Banyak juga hadis Rasulullah s.a.w yang menunjukkan ini.
  4. Marilkah kita perbanyakan doa agar dilindungi dan selamat dari azab neraka: (اللَّهُمَّ أَجِرْنَي مِنَ النَّارِ ) \’Ya Allah, lindungilah aku dari neraka.\”

AYAT 65 – {KEKALLAH MEREKA DI DALAMNYA SELAMA-LAMANYA; MEREKA PULA TIDAK AKAN MEMPEROLEH SESIAPAPUN YANG AKAN MENJADI PELINDUNG ATAU PENOLONG.} (AL-AHZAAB 33:65)

  1. Mereka ini akan kekal di dalamnya selamanya.
    Kata ulama\’; inilah bukti neraka itu kekal.
  2. Tiada pelindung atau penolong yang dapat menyelamatkan mereka dari azab neraka itu!!! Bahkan orang yang mereka ikut/sembah pun akan berada masuk neraka juga bersama.

AYAT 66 – {PADA MASA MUKA MEREKA DIBALIK-BALIKKAN DALAM NERAKA, MEREKA BERKATA (DENGAN SESALNYA): \”ALANGKAH BAIKNYA KALAU KAMI DAHULU (SEMASA DI DUNIA) TAAT KEPADA ALLAH SERTA TAAT KEPADA RASUL ALLAH.} (AL-AHZAAB 33:66)

  1. Malaikat membalikkan muka dan tubuh mereka di atas api untuk kena azab semuanya. Ya Allah betapa ngerinya!
    رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ ۖ اِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا
    \”Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab Jahanam dari kami, sungguh azab itu adalah kebinasaan yang kekal.\” [Al-Furqan: 65].
  2. Ketika itulah mereka menyesal dan minta maaf sambil berkata: Alangkah baiknya kalau kami dahulu semasa di dunia taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah, ikut ajaran al-Quran, beriman kepada semua ajaran Rasulullah!
  3. Maka fikirlah apakah kita mahu ucapkan ucapan ini sekarang atau di dalam neraka kelak?? Jika sekarang kita masih ada berpeluang untuk bertaubat dan melakukan kebaikan untuk selamat daripada neraka dan azabnya.

AYAT 67 – {DAN MEREKA BERKATA LAGI: \”WAHAI TUHAN KAMI, SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MEMATUHI KEHENDAK KETUA-KETUA DAN ORANG-ORANG BESAR KAMI, LALU MEREKA MENYESATKAN KAMI DARI JALAN YANG BENAR.} (AL-AHZAAB 33:67)

  1. Mereka sekarang amat menyesal lalu cuba mencari jalan menyelamatkan diri dengan menyalahkan orang lain iaitu ketua-ketua dan orang-orang besar yang mereka ikuti dan patuhi di dunia dulu.
  2. Mereka kata kerana mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar itulah yang menyesatkan mereka dari jalan yang benar

AYAT 68 – {\”WAHAI TUHAN KAMI, BERILAH MEREKA AZAB SENGSARA DUA KALI GANDA, DAN LAKNATKANLAH MEREKA DENGAN LAKNAT YANG SEBESAR-BESARNYA!\”} (AL-AHZAAB 33:68)

  1. Kerana terlalu marah dan menyalahkan mereka yang diikut ini, mereka meminta agar Allah s.w.t: Berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!
  2. Ulama\’ membincangkan siapakah yang dimaksudkan dengan ketua-ketua سَادَتَ Kata al-Mawardi rhm. maksudnya ialah ketua, pemimpin, raja-raja, pegawai-pegawai, orang yang mulia bangsawan di kalangan mereka.
  3. Yang penting sama saja, tidak kiralah ketua apapun jika menyesatkan orang samada penguasa seperti ahli politik atau ketua ajaran sesat yang menyesatkan orang, tidak ikut al-Quran dan Sunnah walaupun mengaku Islam.
  4. Jangan kita tengok ramainya pengikut atau penyokongnya, tetapi lihatlah apa yang diajarnya itu tepat atau tidak dengan ajaran Allah dan Rasulullah s.a.w.
    Jika nak selamat ikutlah Sunnah, kerana ia seperti bahtera Nabi Nuh, siapa nak selamat naik jika tak mahu selamat rekalah amalan sendiri.
    Jangan kita menyesal di akhirat kelak kerana Allah s.w.t telah beritahu, Dia telah sediakan azab yang dahsyat bagi orang kafir.

PESANAN MESRA : BERADABLAH DALAM MAJLIS ILMU.

  1. Jangan main-main tampal gambar atau komen yang tidak berkaitan dalam majlis ilmu.
  2. Catatan nota tidak mengapa dan perlu, ini kerana; iImu itu ibarat haiwan perburuan, menulisnya umpama mengikatnya dengan tali, yakni agar tidak lari atau hilang.
    العلم صيد والكتابة قيد
  3. Sayang kepada al-Quran dan sayang kepada muzik/nyanyian tidak akan berkumpul dalam satu hati seorang mukmin.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 63 – {Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat;} – ada beberapa golongan manusia datang berjumapa Rasulullah s.a.w bertanya tentang bilakah akan berlaku Kiamat. Mereka ini bertanya dengan berbagai tujuan;
    i- puak kafir dengan tujuan main-main dan perlian,
    ii- munafiq dengan keras kepala tidak mahu beriman,
    iii- kaum yahudi untuk menguji Rasulullah s.a.w,
    iv- manakala orang mukmin bertanya untuk belajar dan mencari ilmu, seperti dalam hadis di atas.
  2. Ayat 63 – { katakanlah: \”Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah.} – ayat ini dalil yang jelas bahawa tiada siapa tahu bilakah Kiamat kecuali Allah s.w.t. Jika ada sesiapa yang mengakui tahu bilakah Kiamat maka jelas dia telah berdusta dan menipu kerana Allah s.w.t telah membuat penafian yang jelas dalam al-Quran.
    Tidak kiralah ramalah dengan teori sains atau kitab-kitab lama, semuanya adalah palsu.
  3. Ayat 64 – {Sesungguhnya Allah telah melaknat orang-orang kafir} – ayat ini untuk mensabitkan sebab, menunjukkan bahawa kafir itu adalah sifat yang menjadi sebab seseorang itu dilaknat. Ayat ini sekaligus menolak fahaman jahmiyah yang mengatakan bahawa Allah s.w.t buat sesuatu perkara itu saja-saja dengan kehendak-Nya, tanpa ada sesuatu maksud dan hikmah.
    Kita kata semuanya ada hikmah dengan kebijaksanaan Allah s.w.t.
  4. Ayat 64 – {dan menyediakan bagi mereka api neraka yang marak menjulang, -}- ulama\’ ahli Sunnah kata ayat ini menunjukkan neraka itu sudah wujud dan ia adalah kekal. Sekaliggus menolak dakwaan bahawa neraka itu fana\’ – akan musnah seperti dunia.
  5. Ayat 67 – {Dan mereka berkata lagi: \”Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami,} -ayat ini menunjukkan bahawa sesiapa yang ikut orang, ketua dan pemimpin yang sesat, Allah s.w.t jelaskan awal-awal lagi bahawa orang itu tidak dapat memberi faedah dan pertolongan kepada mereka di akhirat kelak! Bahkan hanya menambahkan azab dan penghuni neraka. Dakwaan itu tiada faedah lagi.
  6. Ayat 67 – {lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.}- ulama\’ kata ayat ini memberi pengajaran kepada kita agar jangan duduk, berkawan dengan orang yang jahat.
    Jangan ikut orang yang kerja atau mengajar yang buruk atau tidak baik!
    Jika nampak terseleweng dan tidak ikut Sunnah, terus tinggalkan!
    Atas dunia hanya ada dua saja; ikut Sunnah atau tidak ikut Sunnah, siapa yang akan ikut Sunnah akan selamat sama seperti mereka yang naik bantera Nabi Nuh a.s.
  7. Ayat 66 – {mereka berkata (dengan sesalnya): \”Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.}- ulama\’ tadabbur kata inilah dua ketaatan yang dapat menyelamatkan kita dari azab neraka; iaitu taat kepada Allah dan ikut Rasulullah s.a.w. Inilah dua jalan yang selamat, tugas para ulama\’ pula ialah menjelaskan al-Quran dan hadis Nabi kepada kita.
    Menakutkan sekali; sekarang ini ada pula yang persoalkan, kamu mahu ikut Nabi itu adakah kamu pernah tengok Nabi? Allahu al-Musta\’an. Semaklah, muraja\’ahlah adakan amalan dan ajaran kita ikut Nabi atau tidak? Jika tidak tepat, belajar dan baikilah, buka kitab dan hadis, jangan sombong dan keras kepala!
  8. Ayat 67 – {Dan mereka berkata lagi: \”Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami,} – tiada ketaatan kepada makhluk jika ia bercanggah dengan apa yang diajar oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya. Kerana itu bila kita belajar atau mengajar pastikan ilmu, ajaran dan amalan kita adalah dari Allah dan Rasul-Nya, serta kena nyatakan dalil dan sandarannya contohnya ia dari Rasulullah s.a.w atau para sahabat r.anhum melakukannya. Baru hati tenang dan yakin, berani kerana ada jaminan!
  9. Ayat 67 – {Dan mereka berkata lagi: \”Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami,} – menunjukkan penyesalan ini berlaku kerana mereka ikut orang yang sesat dan tidak membawa kebenaran!
    Kata ulama\’ jika kita nak ikut orang, tengok kepada apa yang dia cakap/bawa, bukan kepada siapa yang bawa, yakni bukan sosok dan penampilannya.
    Kena ada timbangan neraca al-Quran dan Sunnah sebelum kita mengikut dan taksub kepada seseorang. jangan ikut sentimen sebab ikut orang itu orang ini lalu membawa penyesalan seperti para kafir ini!
  10. Ayat 68 – {\”Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!\”} – doa sesama kafir- bila tak dapat apa yang mereka nak,mereka berdoa. Tetapi tiada guna dan faedah lagi doa mereka, mereka semua sudah tidak ada hak lagi pada waktu itu kerana semuanya sudah berada dalam neraka!

Maka janganlah kita saling salah-menyalah, tuduh-menuduh.
Semak dan periksa; tengok apa dan siapa yang kita ikut, kena ingat ilmu yang kita belajar ini AGAMA, maka kena ada sandarannya iaitu dalil yang kukuh!
Jika rapuh sandarannya apa yang nak kita jawab di hadapan Allah nanti!

Powered by BetterDocs