SURAH ASY-SYURA : AYAT 13-15

\"\"

AGAMA SEMUA NABI SATU, SEBAB TIMBULNYA IKHTILAF & ARAHAN ISTIQAMAH BERDAKWAH.

Full video : https://youtu.be/xcetY9EAbyk

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan bahawa tentang kesatuan dakwah para nabi a.s Agama yang datang dari Allah hanyalah satu iaitu agama tauhid yang mengesakan Allah s.w.t dan menjauhi syirik. Cuma cabangnya berbeza, iaitu dari sudut ibadat dan Syari\’at perundangan.
  2. Kemudian tentang sebab-sebab timbul dan berlakunya khilaf atau ikhtilaf di kalangan manusia dari segi perbezaan pandangan, pendapat dan citarasa.
  3. Kemudian Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w dan para pendakwah semua agar istiqomah dalam menyampaikan perintah Allah s.w.t, beristiqomah dalam melarang perkara syirik, mungkar, maksiat dan segala yang tidak baik, iaitu amar ma\’ruf dan nahi munkar.
    Inilah tanggung-jawab kita, tanggung-jawab para pendakwah, kerja ini sambung-menyambung bermula dari Rasulullah s.a.w kemudian para sahabat, tabi\’en dan sehingga kepada kita semua hari ini.
  4. Menang atau kalah kita kena terus tetap dan istiqomah, natijah atau keputusannya, menang atau kalah kita serahkan kepada kuasa dan kehendak Allah s.w.t.
  5. Munasabah ayat: Setelah Allah sebut tentang wahyu secara umum yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w dalam ayat 3, dalam ayat 13 ini disebut secara jelas pula secara khusus apakah yang dimaksudkan wahyu secara umum itu.

AYAT 13- {ALLAH TELAH MENERANGKAN KEPADA KAMU – DI ANTARA PERKARA-PERKARA AGAMA YANG IA TETAPKAN HUKUMNYA – APA YANG TELAH DIPERINTAHKANNYA KEPADA NABI NUH, DAN YANG TELAH KAMI (ALLAH) WAHYUKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD), DAN JUGA YANG TELAH KAMI PERINTAHKAN KEPADA NABI IBRAHIM DAN NABI MUSA SERTA NABI ISA, IAITU: \”TEGAKKANLAH PENDIRIAN AGAMA, DAN JANGANLAH KAMU BERPECAH BELAH ATAU BERSELISIHAN PADA DASARNYA\”. BERAT BAGI ORANG-ORANG MUSYRIK (UNTUK MENERIMA AGAMA TAUHID) YANG ENGKAU SERU MEREKA KEPADANYA. ALLAH MEMILIH SERTA MELORONGKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA UNTUK MENERIMA AGAMA TAUHID ITU, DAN MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA AGAMANYA ITU SESIAPA YANG RUJUK KEMBALI KEPADANYA (DENGAN TAAT).} (ASY-SYURA 42:13)

  1. Allah s.w.t telah menerangkan kepada kita masalah agama yang jelas hukumnya, yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.
  2. Perintah ini bermula dari nabi Nuh a.s sebagai nabi dan rasul yang pertama, kemudian nabi lain seperti Nabi Ibrahim , Nabi Musa serta Nabi Isa, a.s. dan semuanya.
  3. Perintah itu ialah bahawa agama yang diredahai oleh Allah bagi manusia ialah agama Tauhid mengesakan Allah s.w.t dan taat kepada perintah-Allah;
    i- Perintah pertama Tegakkanlah pendirian agama; berdasarkan rukun iman dan rukun Islam serta;

ii- buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan yang dilarang.

iii- Juga perintah agar janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya.

  1. Kata ulama\’ maksud {Tegakkanlah pendirian agama} ialah menegakkan Tauhid kepada Allah s.w.t semata. Semua nabi a.s tidak berbeza dari sudut Tauhid (usul), yang berbeza dari sudut cabang perundangan Syari\’ah, ini kerana berbeza kefahaman, suasana dan zaman masyarakat masing-masing.
  2. Firman Allah s.w.t: {Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;} (A-li\’Imraan 3:103)
  3. Hadis Rasulullah s.a.w yang menyatakan para rasul itu seolah adik beradik sebelah bapa yang sama tetapi ibu yang berbeza. Yakni usul agama yang satu iaitu menyeru kepada tauhid tetapi cabang perundanganya berbeza. [HR Bukhari & Muslim].
  4. Ajaran ini amat berat untuk diterima oleh kaum musyrikin, untuk meninggalkan amalan dan pegangan mereka sebelum ini yang menyembah banyak berhala.
  5. Firman Allah s.w.t: {\”Patutkah ia menafikan tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan mengatakan: Tuhan hanya Satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!\”} (Saad 38:5)
  6. Menurut Ibnu Asyur rhm.: Puak kafir itu tidak dapat menerima dakwah Rasulullah s.a.w ini kerana tiga dimensi:
    i- kerana diri pendakwah itu sendiri.
    Mereka menganggap Rasulullah s.a.w sebagai seorang yang miskin, anak yatim dan tidak berpengaruh.

Firman Allah s.w.t: {Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: \”Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?\”} (Al-Israa\’ 17:94)

ii- kerana alat dakwah ini- iaitu al-Quran yang mereka tolak dan ingkarinya, mereka panggil al-Quran sebagai jampi serapah, juga kerana bukan sebuah kitab yang penuh seperti Taurat itu.

Firman Allah s.w.t: {Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya\”. Katakanlah (wahai Muhammad):\” Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?} (Al-Israa\’ 17:93)

iii- kerana isi kandungan dakwah itu sendiri. Dari agama mereka yang menyembah pelbagai tuhan berhala kepada hanya menyembah tuhan yang satu?? Ini tidak dapat mereka terima lalu menolaknya, sebagaimana firman Allah dalam surah Sod di atas tadi.

  1. Allah juga menegaskan bahawa dengan kehendak dan kuasa-Nya:
    i- Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid itu,

ii- Juga memberi hidayah petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya dengan taat dan patuh. Yakni orang yang baik dan patuh akan dipilih oleh s.w.t untuk menjadi hamba-Nya yang baik, maka bersyukurlah kita kepada Allah s.w.t! Juga kepada orang yang bertaubat dari dosa dan kesalahan yang lepas.

AYAT 14- {DAN UMAT TIAP-TIAP RASUL TIDAK BERPECAH BELAH DAN BERSELISIHAN (DALAM MENJALANKAN AGAMA ALLAH) MELAINKAN SETELAH SAMPAI KEPADA MEREKA AJARAN-AJARAN YANG MEMBERI MEREKA MENGETAHUI (APA YANG DISURUH DAN APA YANG DILARANG); BERLAKUNYA (PERSELISIHAN YANG DEMIKIAN) SEMATA-MATA KERANA HASAD DENGKI SESAMA SENDIRI. DAN KALAULAH TIDAK KERANA TELAH TERDAHULU KALIMAH KETETAPAN DARI TUHANMU (UNTUK MENANGGUHKAN HUKUMAN) HINGGA KE SUATU MASA YANG TERTENTU, TENTULAH DIJATUHKAN HUKUMAN AZAB DENGAN SERTA-MERTA KEPADA MEREKA. DAN SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG DIBERIKAN ALLAH MEWARISI KITAB AGAMA KEMUDIAN DARIPADA MEREKA, BERADA DALAM KEADAAN SYAK YANG MENGGELISAHKAN TERHADAP KITAB ITU.} (ASY-SYURA 42:14)

  1. Bila datang perintah Allah maka kita akan perpecahan dan perselihan di kalangan umat manusia. Allah katakan ini kerana hasad dengki sesama sendiri.
  2. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t menyuruh umat ini bersatu dan melarang dari berpecah-belah, maka Allah peringatkan agar kita jangan terpedaya dengan apa yang di tangan kita, kerana sebagaimana ahli Kitab dahulu yang berpecah selepas ada Kitab di tangan mereka.
    Punca utamanya ini kerana hasad, dengki dan dendam kepada orang lain juga kerana pangkat dan harta, kerana kepentingan tertentu serta hawa nafsu yang menguasai diri! Orang yang ada kuasa untuk menghalalkan ajaran yang bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah maka dia telah membuat satu kezaliman dan kejahatan yang besar!
    Jika dia dapat kemenangan hanyalah sementara atas dunia ini.
  3. Fakta sejarah: yahudi yang menunggu-nungu kedatangan Nabi akhir zaman, yang digambarkan dalam Kitab mereka, tetapi melihat bahawa rasul tu adalah bangsa Arab Quraisy, mereka terus menolaknya kerana dendam dan hasad dengki!
  4. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, – mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri.} (Al-Baqarah 2:213)

ii- {Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) itu, tidak berpecah-belah melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.} (Al-Bayyinah 98:4)

  1. Hadis Nabi s.a.w:
    Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
    افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفَرَّقَتِ النَّصَارَى عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً
    Maksudnya: \”Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan. Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan. [Riwayat Abu Daud (4596)]
  2. Seperti kita hari ini betapa ramai yang mendakwa dia ahli dan pejuang Sunnah, ahli hadis, nak tahu mana yang benar; buka al-Quran dan hadis lihat tafsiran ulama\’ salaf apakah tafsir dan definisi mereka tentang ahli Sunnah. bukan ikut tafsiran yang kita buat sendiri!
  3. Buku susunan DAAM- adab-adab bila berlaku perbezaan pandangan: Rahmat Dalam Perbezaan.
    http://www.dartaibah.com/…
  4. Allah kata lagi jika tidak telah ada kalimah ketetapan dari Allah untuk menangguhkan hukuman ke atas umat Muhammad s.a.w, pastilah Allah akan binsakan mereka semua. Semua ini ditangguhkan sehingga tiba masa dan ajalnya, maka tunggulah!
  5. Puak yahudi dan nasrani dapat kitab Taurat dan Injil, tetapi kitab yang mereka warisi itu sejak pada zaman Rasulullah s.a.w sudah berlaku pertukaran ubah suai dan disyaki. Bukan seperti al-Quran yang terjamin kebenaran dan isi kandungannya yang tidak boleh diubah!

AYAT 15- {OLEH KERANA YANG DEMIKIAN ITU, MAKA SERULAH (MEREKA – WAHAI MUHAMMAD – KEPADA BERAGAMA DENGAN BETUL), SERTA TETAP TEGUHLAH ENGKAU MENJALANKANNYA SEBAGAIMANA YANG DIPERINTAHKAN KEPADAMU, DAN JANGANLAH ENGKAU MENURUT KEHENDAK HAWA NAFSU MEREKA; SEBALIKNYA KATAKANLAH: \”AKU BERIMAN KEPADA SEGALA KITAB YANG DITURUNKAN OLEH ALLAH, DAN AKU DIPERINTAHKAN SUPAYA BERLAKU ADIL DI ANTARA KAMU. ALLAH JUALAH TUHAN KAMI DAN TUHAN KAMU. BAGI KAMI AMAL KAMI DAN BAGI KAMU AMAL KAMU. TIDAKLAH PATUT ADA SEBARANG PERTENGKARAN ANTARA KAMI DENGAN KAMU (KERANA KEBENARAN TELAH JELAS NYATA). ALLAH AKAN MENGHIMPUNKAN KITA BERSAMA (PADA HARI KIAMAT), DAN KEPADANYALAH TEMPAT KEMBALI SEMUANYA (UNTUK DIHAKIMI DAN DIBERI BALASAN)\”.} (ASY-SYURA 42:15)

  1. Sudah jelas bagi kita bahawa puak ahli kitab telah seleweng dan ubah kitab mereka. Maka Allah s.w.t firmankan kepada Rasulullah s.a.w untuk:
    i- tugas pertama seru mereka agar kembali kepada paksi, kepada ajaran agama yang asal dan benar ini!

ii- supaya Nabi s.a.w tetap tegguh atas apa ajaran yang dibawanya! Ada orang dakwa ahli Sunnah tetapi ajaran dan amalannya tidak ikut Sunnah.

iii- maka Allah s.w.t seru kita supaya istiqomah tetap yang teguh atas agama ini seta jangan melampau.

Firman Allah s.w.t:
{Jangan-jangan engkau (wahai Muhammad) tidak menyampaikan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu serta merasa sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang yang ingkar itu berkata: \”Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak), ataupun datang bersama-sama dengannya malaikat (untuk menolongnya menyiarkan Islam)?\” Kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, dan Allah jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu (maka berserahlah diri kepadaNya).} (Hud 11:12)

  1. Hadis- diriwayatkan bahawa seorang sahabat bernama Sufyan Bin Abdullah datang bertanya kepada Rasulullah S.A.W: Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku satu pegangan hidup dalam Islam yang tidak perlu aku ajukan soalan-soalan yang lain. Lantas baginda menjawab dengan bersabda maksudnya:
    \”Katakanlah! Aku beriman kepada Allah, kemudian tetap teguhlah (beristiqamahlah) pada pendirian itu.\” [HR Muslim].
  2. Serta Allah pesan agar Rasulullah s.a.w dan semua umatnya agar jangan ikut hawa nafsunya. Jangan ubah hukum-hakam, diputar agar selari dengan apa yang dia nak!
    Jangan cari yang pelik dalam ibadah tetapi kita cari yang sahih dalam ibadat.
  3. Kemudian katakanlah: Setelah kita berdakwah, mengajak dan mengempen, mereka tak dengar juga maka kita kena bertegas dengan mengatakan: Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu.
  4. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu kerana kebenaran telah jelas nyata, kita akan berjumpa di mahkamah di Akhirat kelak!
  5. Kita akan dihimpun dan dikumpul oleh Allah semuanya pada hari kiamat, dan kepada-Nyalah tempat kembali semuanya untuk dihakimi dan diberi balasan. Kita akan dibicarakan oleh Allah s.w.t dengan perbicaraan yang adil dan telus! Tiada siapa boleh cuba putar belit dan berhelah lagi!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 13- {Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya.} – ayat ini menjadi dalil:
    i- dalam bab ibadat kita tidak boleh buat sehingga ada dalil yang membenarkannnya, tidak boleh direka dan dibuat sendiri. Nabi buat, Nabi suruh, nabi ikrar di hadapan para sahabatnya!

ii- Manakala dalam bab muamalat sebaliknya: kita boleh buat sehingga ada dalil yang tidak membenar atau mengharamkannya.

Ulama\’ kata ayat ini juga menjadi dalil bahawa Syari\’at orang dahulu boleh digunapakai juga selagi tidak bercanggah dengan Syari\’at kita hari ini.

Dalam ayat ini juga Allah nyatakan bahawa agama para rasul itu satu, sama dari segi Tauhid cuma berbeza dari segi cabang ibadat dan perundangan Syari\’ah kerana berbeza suasana zaman dan tempat.

  1. Ayat 13- {\”Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya\”.}- menjadi dalil agar kita tidak berpecah dan bersatu dalam agama. Jika kita berpecah maknanya kita telah melanggar perintah Allah s.w.t dan wasiat Rasulullah s.a.w.

Manakala perbezaan mazhab bukan satu perpecahan tetapi untuk memperluaskan perbincangan. Yang jadi berpecah ialah apabila manusia atau pengikut terlalu taksub kepada mazhab masing-masing.

Seperti suatu ketika dulu, berlainan mazhab seperti antara Hanafi & Syafei, tidak boleh kahwin seolah agama lain! Taksub yang melampau.

Imam solat juga tidak boleh ikut mazhab dan lain-lain perpecahan. Di Masjidil Haram dulu terdapat empat kumpulan solat bagi yang berlainan mazhab, dalam Masjid Nabi ada dua mihrab solat. Selepas datang pemerintah yang terakhir, alhamdulillah semua itu dihapuskan dan disatukan semula seperti asal. Maka jangan kita persempitkan agama ini.

  1. Ayat 13- {Dan memberi hidayah petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).} – dari ayat ini ulama\’ kata sebab orang nak dapat hidayah ialah kena kembali dan bertaubat kepada Allah, kena ada usaha dan cari sebab. Jika tak reti kena belajar, kena baca dan tadabbur al-Quran belajar tafsir dan lain-lain.
  2. Ayat 15- {Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka – wahai Muhammad – kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu,}- kita mesti tetap pendirian dan istiqomah atas dakwah yang kita bawa. Juga jangan tunggu diri kita sempurna atau kita jadi baik baru nak berdakwah atau ajak orang buat baik. Juga jangan tunggu kaya baru nak sedekah. Buatlah sekadar dan setakat yang kita ada dan mampu.
  3. Ayat 15- {Sebaliknya katakanlah: \”Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu.}- dalam ayat ini Allah s.w.t ajar kepada kita supaya berifat insof adil, meletakkan sesuatu pada tempatnya, tidak melampau dalam sikap kita, adil dalam menilai orang atau sesuatu isu yang tidak kita setuju. Jika ada 1% tidak setuju, 99% satu sama, maka jangan besarkan yang 1% itu, banyak lagi yang kita boleh bersama.

Boleh baca panduan dan kaedah untuk kita berkhilaf dalam buku ini:
Buku susunan DAAM- adab-adab bila berlaku perbezaan pandangan:
http://www.dartaibah.com/…

Powered by BetterDocs