SURAH AD-DUKHAN : AYAT 25-33

\"\"

FIR\’AUN MATI MENINGGALKAN SEGALA KEMEWAHAN, BANI ISRAEL MENGAMBILNYA & BANYAK NIKMAT DIPEROLEHI.

Full video : https://youtu.be/gQIVTo0yk5A

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini ialah tentang kisah peninggalan Firaun yang sombong dan angkuh, yang tenggelam dalam laut. Mereka telah meninggalkan segala kemewahan dan kemegahan yang dimilikinya.
  2. Lalu semua harta kemegahan ini diwarisi dan diberi kepada
    kaum lain atau bani Israil, pengikut nabi Musa a.s. Mereka diuji dengan kemewahan dan kesenangan itu yang akhirnya ada juga yang kecundang sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran.
  3. Maka kita yang belajar ilmu tadabbur ini, menjadi kewajipan kepada kita muhasabah diri kita agar jangan terjebak dengan kesombongan, takabbur dan keangkuhan atas dunia ini dengan perangai dan sifat buruk yang dimurkai Allah s.w.t ini.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat-ayat lepas Allah s.w.t ceritakan tentang tenggelamnya Firaun dan pengikutnnya. Maka dalam ayat ini Allah s.w.t ceritakan tentang betapa banyak kebun-kebun, mata air dan gedung-gedung harta, khazanah, istana dan bangunan yang ditinggalkan oleh mereka. Yang semua ini diambil oleh puak bani Israil, kaum nabi Musa a.s.

AYAT 25- {BANYAK SUNGGUH KEBUN-KEBUN DAN MATAIR, MEREKA TINGGALKAN,} (AD-DUKHAAN 44:25)

  1. Allah nyatakan betapa, banyak sungguh kebun-kebun dan matair, yang tinggalkan oleh Firaun dan para kuncu-kuncunya yang telah binasa tenggelam dalam laut itu.
  2. Adapun maksudnya mata air (وَعُيُونٍ) ini kata Ibnu Athiyah:
    Kemungkinan lubang-lubang air atau tali air yang diambil dari sungai Nil yang digunakan untuk mengairi kebun mereka atau mungkin juga mata air asli yang keluar dari bumi itu.
  3. Yang pentingnya mereka tinggalkan segala kemewahan dan kemudahan teknologi yang ada.

AYAT 26- {DAN JUGA BERBAGAI JENIS TANAMAN SERTA TEMPAT-TEMPAT KEDIAMAN YANG INDAH – MULIA,} (AD-DUKHAAN 44:26)

  1. Mereka juga tinggalkan pokok-pokok tanaman yang masih subur hidup.
  2. Juga ditinggalkan tempat tinggal, negeri-negeri, pasar-pasar, gedung perniagaan, bangunan-bangunan yang masih utuh dan indah, tegak berdiri.
  3. Kata Ibnu Asyur: Mulia (كَرِيمٍ) itu mengikut kategorinya. Maksudnya banguan dan tempat tinggal yang mulia dan indah mengikut keadaan mereka pada masa itu.

AYAT 27- {DAN JUGA KEMEWAHAN HIDUP, YANG MEREKA SEKIAN LAMA MENIKMATINYA.} (AD-DUKHAAN 44:27)

  1. Mereka juga tinggalkan segala kemewahan hidup, yang telah sekian lama mereka nikmatinya.
  2. Kata ulama\’ Qira\’at (bacaan al-Quran) pula- (فَاكِهِينَ) ini boleh dibaca dengan dua cara bacaan:
    i- tanpa panjangkan huruf (fa) menjadi (fakihin) dengan membawa makna; farihin, suka, nikmat-nikmat yang mereka sangat suka, kemewahan yang menjadikan mereka sombong dan bangga.

ii- panjangkan huruf (fa) menjadi (faakihin) seperti dalam ayat kita hari ini dengan membawa makna; nikmat yang baik, sesuatu yang mereka sangat sayang dan suka akannya. Atau dengan makna buah-buahan.

  1. Semua ini untuk menggambarkan keadaan dan kedudukan Firaun pada masa itu yang hidupnya megah dan mewah, istana yang besar, kebun yang subur dan seumpamanya, menjadikan dia sombong dan takabbur di atas dunia ini.
  2. Tapi apa boleh buat semua nikmat itu telah ditinggalkan dan tidak dapat menolongnya. Fir\’aun sampai saat ini masih belum masuk kubur, jasadnya berada di dalam muzium dan menjadi pameran di sana sini seluruh dunia. Sebagai iktibar dan pengajaran kepada manusia yang mahu berfikir.

AYAT 28- {DEMIKIANLAH KEADAANNYA (HUKUM KAMI KE ATAS ORANG-ORANG YANG DERHAKA); DAN KAMI JADIKAN SEMUA PENINGGALAN FIRAUN DAN ORANG-ORANGNYA: MILIK KAUM YANG LAIN (KAUM BANI ISRAIL).} (AD-DUKHAAN 44:28)

  1. Semua peninggalan Firaun dan pengikutnya menjadi milik pusaka kepada kaum yang lain, iaitu kaum bani Israil.
  2. Kenapa Allah s.w.t gunakan perkataan (pusakakan- وَأَوْرَثْنَاهَا) ); {dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan orang-orangnya: milik kaum yang lain (kaum Bani Israil).}
  3. Kata Syeikh Ibnu Athiyah rhm.; Allah namakannya sebagai pusaka kerana ia adalah sesuatu harta yang kita dapat setelah tuannya mati, secara percuma dan tidak perlu bersusah mendapatkannya.
  4. Maka bani Israil dalam kes ini mendapat harta Firaun dan kaumnya tanpa susah payah, mereka keluar bersama nabi Musa a.s kemudian kembali untuk memiliki harta yang ditinggalkan oleh Firaun.
  5. Ulama\’ kata dalil yang mengatakan mereka itu bani Israil, adalah mengikut firman Allah s.w.t ini:
    {Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi)}. (Al-A\’raaf 7:137)
  6. Ada juga ulama\’ yang berpendapat kaum lain (قَوْمًا آخَرِينَ) itu bukan bani Israil. Kerana mereka tidak kembali semula ke Mesir setelah keluar dengan nabi Musa a.s itu, tetapi terus tinggal di bumi suci Palestin. Wallahu a\’lam.
  7. Apa yang penting, Firaun dan kaumnya al-Qibti sudah binasa dan hartanya diambil dan oleh kaum lain. Begitulah akibat orang yang sombong dan angkuh atas muka bumi ini.

AYAT 29- {MEREKA (KETIKA DIBINASAKAN) ITU TIDAK DITANGISI OLEH LANGIT DAN BUMI (ATAU PENDUDUK KEDUANYA) DAN MEREKA PULA TIDAK DIBERI TEMPOH LAGI.} (AD-DUKHAAN 44:29)

  1. Ayat ini menceritakan tentang suasana alam dengan kematian orang yang begini.
  2. Kematian dan kebinasaan mereka itu tidak tidak ditangisi oleh langit dan bumi atau penduduk keduanya, bahkan mereka gembira dan orang Islam mengucapkan alhamdulillah.
  3. Begitulah keadaan orang zalim dan jahat, tiada yang sedih dan kesal dengan kebinasaan mereka bahkan menarik nafas lega dan gembira.
  4. Dalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Nota Nombor (1617), m/s:1088;
    \”Rasulullah S.A.W semasa menerangkan tentang maksud ayat ini ada menyatakan bahawa:
    i- Firaun dan pengikutnya yang binasa itu tidak pernah mengerjakan suatu amal soleh pun di muka bumi ini yang menyebabkan bumi menangisi kepergian mereka. Termasuk juga tiada ucapan dan amal perbuatan yang dinaikkan malaikat ke langit, iaitu ucapan yang baik dan amal yang soleh, yang kerananya langit merasa kehilangan mereka, lalu menangisi kepergian mereka.
    Yakni tiada kedua-duanya samada kebajikan atau amal soleh.

ii- Dalam sesetengah hadis ada menyatakan, bahawa tiap-tiap seorang hamba Allah mempunyai dua buah pintu di langit; sebuah pintu untuk jalan turun rezekinya, dan sebuah pintu lagi untuk masuk amal dan ucapannya. Apabila hamba yang tersebut meninggal dunia, maka kedua pintu itu merasa kehilangan dia dan menangisi kepergiannya.

iii- Bumi menangisi kematian orang yang beriman selama 40 hari.

iv- Apabila seorang mukmin meninggal dunia ia ditangisi oleh tempat ibadatnya semasa di bumi dulu. Serta tempat naik amal baiknya di langit\”.

  1. Jadi kesimpulannya maksud langit dan bumi tidak menangis atas kebinasaan Firaun adalah kerana mereka tiada jasa dan kebaikan yang dibuat, menyebabkan mereka tidak terasa apa-apa dengan ketiadaannya.
  2. Ulama\’ berbeza pandangan tentang maksud ayat ini dengan tiga pendapat:
    i- tangisan yang hakiki, langit menangis dengan turunnya hujan.

ii- yang menagisnya penduduk langit seperti malaikat dan penduduk bumi apabila menghantar mayat orang soleh itu ke kubur.

iii- hanyalah bahasa kiasan, ibarat kata langit bumi, matahari dan bulan bintang semuanya turut bersedih dengan kematian seorang yang soleh itu.

  1. Kata Ibnu Kathir: maksudnya langit tidak menangis kerana mereka tiada amal soleh yang dibawa naik dulu, maka ia tidak merasa kehilangan atau kesunyian dengan kematiannya. Mereka juga tidak ada tempat menyembah Allah atas bumi dulu, maka bumi juga tidak berasa kehilangannya.
  2. Maka perbanyakkanlah tempat dan amal ibadat kita agar bumi dan langit terasa akan kehilangan kita nanti dengan terhentinya amal soleh kita dengan kematian kita.
  3. Cerita tentang makhluk juga mengabdikan diri kepada Allah.
    Semasa Rasulullah s.a.w dalam perjalanan pulang ke Madinah, rombongannya melihat satu angin sedang berpusing di tengah padang pasir. Sahabat bertanya bala apakah itu?
    Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa angin itu berpusing kerana gembira dengan kematian seorang yang munafik di Madinah.
  4. Mereka juga tidak akan diberi tempoh lagi, bila sampai masanya mereka akan mati binasa! Mereka tidak diberi masa tangguh untuk bertaubat dan beriman, sudah habis tempohnya.

AYAT 30- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH SELAMATKAN KAUM BANI ISRAIL, DARI AZAB YANG MENGHINA,} (AD-DUKHAAN 44:30)

  1. Ayat ini Allah menyatakan ihsan-Nya kepada nabi Musa a.s dan bani Israil dengan menyelamatkn mereka dari azab yang hina dengan kematian musuh mereka iaitu Firaun dan pengikutnya yang zalim.
  2. Ini adalah kerana mereka telah mengikut Nabi mereka, Nabi Musa a.s. Jadi mereka telah diberikan keselamatan dari Firaun. Maka kalau kita ikut wahyu, kita juga akan selamat.
  3. Antara contoh penyiksaan Firaun terhadap bani Israil sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
    Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Fir\’aun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.} (Al-Baqarah 2: 49-50)

AYAT 31- {DARI PENINDASAN FIRAUN, SESUNGGUHNYA IA ADALAH SEORANG YANG SOMBONG TAKBUR LAGI TERBILANG DARI ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS (DALAM KEGANASAN DAN KEKEJAMANNYA).} (AD-DUKHAAN 44:31)

  1. Mereka telah selamat dari Fir\’aun, seorang raja yang zalim, diktator yang sombong takbur lagi terbilang dari orang-orang yang melampaui batas dalam keganasan dan kekejamannya.
  2. Firman Allah s.w.t juga tentang sifat Firaun ini:
    i- {Maka tidaklah ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itupun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka menyeksa mereka; kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi, dan sebenarnya ia dari orang-orang yang melampaui batas.} (Yunus 10:83)

ii- {Kepada Firaun dan kaumnya; lalu mereka menentang (seruan Nabi-nabi Allah itu) dengan sombong takbur, serta menjadi kaum yang membesarkan diri.
Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya): \”Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedang kaum mereka menjadi orang-orang suruhan kita?\”
Oleh itu, merekapun mendustakan keduanya, lalu menjadilah mereka sebahagian dari orang-orang yang dibinasakan.} (Al-Mu\’minuun 23: 46-48)

iii- {Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.} (Al-Qasas 28:4)

AYAT 32- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MEMILIH MEREKA DENGAN BERDASARKAN PENGETAHUAN (KAMI) – MENJADI LEBIH PANGKATNYA DARI PENDUDUK DUNIA (PADA ZAMAN ITU),} (AD-DUKHAAN 44:32)

  1. Selepas Firaun binasa, kaum bani Israil yang beriman dan taat kepada Allah pada zaman yang lalu; mereka telah diberi pelbagai nikmat dan kelebihan.
  2. Mereka mendapat kedudukan yang tinggi, Allah hilangkan kemudharatan dan mereka mendapat kesenangan.
  3. Kata ulama\’ tafsir seperti al-Mawardi maksudnya (عَلَى الْعَالَمِينَ) – mereka mendapat kedudukan yang tinggi berdasarkan manusia pada zaman mereka itu. Kebanyakan nabi-nabi juga terdiri dari kalangan bani Israil sehinggalah rasul yang terakhir Muhammad s.a.w dari keturunan Arab.

AYAT 33- {DAN KAMI BERIKAN KEPADA MEREKA (MELALUI NABI MUSA) BERBAGAI MUKJIZAT YANG MENGANDUNGI UJIAN YANG JELAS NYATA (UNTUK MELAHIRKAN SIKAP MEREKA).} (AD-DUKHAAN 44:33)

  1. Allah s.w.t berikan kepada mereka, kaum bani Israil ini; melalui Nabi Musa berbagai mukjizat dan nikmat.
  2. Mukjizat-mukjizat itu ialah seperti:
    i- laut yang terbelah untuk selamat dari Firaun.
    ii- naungan awan dan turunnya makanan dari langit iaitu \”manna\” wa \”salwa\” semasa mereka sesat di padang pasir Tursina.
    iii- dan banyak lagi nikmat yang diberikan Allah kepada mereka.
  3. Ini semua mengandungi ujian yang jelas nyata untuk menguji mereka, Allah mahu lihat siapa yang paling baik keimanan dan melahirkan sikap sebenar mereka.
  4. Tetapi malangnya ada juga dari kalangan mereka yang kecundang dengan ujian itu. Begitulah setiap ummat dan kaum itu ada ujiannya yang tertentu.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 28- {Demikianlah keadaannya (hukum Kami ke atas orang-orang yang derhaka); dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan orang-orangnya: milik kaum yang lain (kaum Bani Israil).}- ayat ini mengajar kepada kita akan akhir kesudahan orang sombong, angkuh dan takabbur, mereka akan meninggalkan segala kemewahannya itu. Maka kita orang yang beriman yang sentiasa berada di bawah muraqabah Allah, sentiasa mencari dan melakukan perbuatan dan perkataan yang diredhai Allah s.w.t.

Jika kita tinggalkan pun, kita tinggal benda baik, jika ada harta, dimanfaatkan dengan baik oleh anak-anak yang soleh, berpanjangan kebaikan dan berkatnya dialirkan kepada kita. Macam Firaun ini kaum lain, orang asing yang menerima hartanya!

Maka biarlah kita menjadi orang yang baik agar harta kita juga dipusakai oleh orang baik-baik juga.

Sebagaimana kisah anak cucu kepada orang soleh dalam surah al-Kahfi yang hartanya dijaga dan dilindungi Allah dengan dihantar nabi Musa a.s dan Khidir.
{Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada \”harta terpendam\” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka).} (Al-Kahfi 18:82)

Kisah motivasi juga Khalifah Umar bin Abdul Aziz rhm. yang tidak meninggalkan apa-apa harta untuk anak-anaknya kerana terlalu zuhud. Kerana dia yakin anak yang soleh Allah akan jaganya, bukan tinggalkan harta untuk mereka berjoli.

  1. Ayat 28- {Demikianlah keadaannya (hukum Kami ke atas orang-orang yang derhaka); dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan orang-orangnya: milik kaum yang lain (kaum Bani Israil).}- kadang-kadang harta itu diwarisi oleh orang lain yang bukan keturunannya seperti Firaun itu. Begitu juga kita, harta kita pun mungkin akan dipusakai kepada orang lain, yang bukan ada kaitan persaudaraan pun dengan kita. Ini kerana mungkin tiada pewaris yang layak atau mati sekali.

Seperti juga tok-tok guru atau alim ulama\’ yang hebat, ada yang tidak dapat mempusakai ilmu dan kitab-kitabnya kepada anakcucunya sendiri, terpaksa mencari anak orang lain samada sebagai pengganti atau diambil sebagai menantu.

Firman Allah s.w.t: {Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.} (Muhammad 47:38)

  1. Ayat 29- {Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.} – Bumi dan langit tidak menangis dengan sebab orang tak baik mati; ayat ini menjadi dalil bahawa ada di kalangan manusia yang ditangisi oleh bumi dan langit akan kehilanganya.

Kata ulama\’ tafsir Said bin Jubir rhm: Langit tak menangis sebab tidak pernah ada rekod baik diangkat naik ke langit. Bumi juga tidak menangis sebab mereka tidak ada benda baik yang dilakukan di atas muka bumi.

  1. Ayat 30- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah selamatkan kaum Bani Israil, dari azab yang menghina,}- dengan kematian Firaun yang zalim, angkuh dan sombong, kaum bani Israil selamat dari kejahatannya atas dunia ini.

Demikianlah pada zaman Rasulullah s.a.w seperti Abu Jahal yang dengan kematiannya aman kaum mukmin dan Rasulullah dari kejahatannya.

Maka kita pada hari ini jangan bimbang, orang yang zalim akan mati juga akhirnya, kezalimannya akan dikenang orang sampai bila-bila. Walaupun mungkin dia terlepas hukuman atas dunia ini, balasan Akhirat tetap menanti.

Orang yang baik dan bahagia walau pun dia dah mati, segala kebaikannya tak mati, orang sentiasa kenang dan ingatnya. Tetapi manusia yang celaka walau pun dia dah mati, tetapi segala keburukannya tak mati.

  1. Ayat 33- {Dan Kami berikan kepada mereka (melalui Nabi Musa) berbagai mukjizat yang mengandungi ujian yang jelas nyata}- kita kena sedar bahawa adakah kita bersyukur apabila menerima nikmat yang Allah beri? Ketika senang ingat kepada Allah atau tidak? Ada yang lupa diri dan daratan, apabila susah baru ingat dan cari tuhan. Kita diuji untuk melihat darjah kesyukuran seorang hamba Allah.

Kata Ibnu Jarir: Ingatlah, apabila kita diberi kesenangan dan kemewahan; ambillah pengajaran dan iktibar, bahawa itu ujian dari Allah. Jangan rasa diri kita ini hebat dan bijak, bangga diri dan sebagainya.
Inilah ilmu muhasabah, kita koreksi dan audit diri kita sendiri sebelum diaudit oleh Allah dan malaikatNya.

Powered by BetterDocs