SURAH AD-DUKHAN : AYAT 40-50

\"\"

HARI KIAMAT DIPUTUSKAN HUKUMAN, ZAQQUM MAKANAN AHLI NERAKA & RASAKAN PELBAGAI AZAB NERAKA.

Full video : https://youtu.be/aaYfCdzBn2w

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa pada hari Kiamat Diputuskan segala Hukuman, tiada yang tersembunyi kita akan terdedah kepada perbicaraan dan hukuman.
  2. Allah juga gambarkan tentang buruknya keadaan ahli neraka yang mana salah satu makanannya ialah buah Zaqqum yang panas menggelegak.
  3. Kemudian malaikat juga menggunakan penderaan mental kepada mereka dengan berkata kepada ahli neraka: Rasakan Pelbagai Azab Neraka yang kamu dustakan dulu! Kita minta perlindungan dengan Allah s.w.t daripada api neraka.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas (ayat 38) Allah nyatakan bahawa TIDAKLAH Dia menciptakan langit dan bumi, serta manusia dan makhluk semuanya secara main-main atau sia-sia. Semuanya ada matlamat, objektif dan tujuannya.
    Maka dalam ayat ini Allah s.w.t tegaskan bahawa semua manusia akan kembali bertemu Allah s.w.t, itulah hari didedahkan segala rahsia, dibuka segala rekod-rekod amalan atas dunia dulu, untuk menerima perbicaraan dan balasan masing-masing.

AYAT 40- {SESUNGGUHNYA HARI PEMUTUSAN HUKUM UNTUK MEMBERI BALASAN, IALAH MASA UNTUK MEREKA SEMUA BERHIMPUN,} (AD-DUKHAAN 44:40)

  1. Maksudnya {hari pemutusan hukum} ini ialah hari Kiamat. Ia waktu yang ditetapkan, di mana semua makhluk manusia yang awal dan akhir dikumpulkan semuanya di tempat berkumpul (Mahsyar) dan diputuskan hukuman pada hari itu.
  2. Setelah itu orang yang jahat akan dibalas, orang baik akan diberi pahala dan balasan yang sesuai dengannya.
  3. Hatta binatang juga akan diadili antara sesama mereka cuma selepas itu dia akan hancur menjadi tanah semula dan selesai, bukan seperti manusia & jin yang akan mendapat pembalasan syurga atau neraka!
  4. Firman Allah s.w.t:
    {Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan,} (An-Naba\’ 78:17)

AYAT 41- {IAITU HARI SESEORANG KERABAT ATAU SAHABAT KARIB TIDAK DAPAT MEMBERIKAN SEBARANG PERLINDUNGAN KEPADA SESEORANG KERABAT ATAU SAHABAT KARIBNYA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN DIBERIKAN PERTOLONGAN (UNTUK MENGHAPUSKAN AZAB ITU),} (AD-DUKHAAN 44:41)

  1. Dalam ayat ini sifat suasana betapa huru-haranya hari Kiamat. Kaum kerabat yang rapat atau sahabat karib sedikitpun tidak dapat membantu.
  2. Pada hari itu tiada siapa dapat menolong antara satu sama lain. Masing-masing bawa diri untuk mencari penyelesaian, anak, ayah lari untuk menyelamatkan diri masing-masing. Ini menunjukkan betapa huru-haranya keadaan pada masa awal kebangkitan.
  3. Firman Allah s.w.t: {Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka, dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan.} (Al-Mu\’minuun 23:101)
  4. Ini juga menunjukkan hari ini Kiamat berperingkat dan lama tempoh masa dan perjalanannya. Selepas itu pula ada peringkat syafaat memberi pertolongan. Ada golongan yang duduk di bawa bayangan Arasy, ada yang di bawa panas Mentari dan lain-lain keadaan.
  5. Orang yang kena azab tiada siapa yang boleh menghalangnya. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.} (Al-Baqarah 2:48)
  6. Selepas itu peringkat mencari keluarga dan sahabat baik di dalam syurga pula.

AYAT 42- {KECUALI ORANG YANG TELAH DIBERI RAHMAT OLEH ALLAH; SESUNGGUHNYA ALLAH JUALAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AD-DUKHAAN 44:42)

  1. Ini adalah tentang pengecualian. Iaitu orang soleh yang diberi rahmat Allah s.w.t mereka dapat membantu memberi syafaat antara satu sama lain dengan izin Allah. Tetapi ianya selepas pengadilan dan fasa huru-hara itu.
  2. Sesungguhnya Allah s.w.t itu sifat-Nya:
    i- yang Maha Kuasa (الْعَزِيزُ), maka jangan berani buat maksiat dan langgar perintah Allah s.w.t. Maka kita bersifat takut (الخوف) kepada Allah s.w.t.

ii- lagi Maha Mengasihani (الرَّحِيمُ). Yakni Allah juga maha pengampun dan pengasih bagi hamba-Nya yang tersalah yang mahu kembali bertaubat kepada-Nya. Maka di sini kita bersifat mengharapkan (الرجاء) kepada rahmat Allah s.w.t!
Allah kembarkan dua sifat ini agar kita tidak terlalu tertekan takut atau cuai bebas.

AYAT 43- {(INGATLAH), SESUNGGUHNYA POKOK ZAQQUM} (AD-DUKHAAN 44:43)

  1. Di sini Allah s.w.t perkenalkan pokok Zaqqum, sejenis pokok yang tumbuh dalam neraka. Buahnya pahit lagi busuk, bau yang busuk, menjadi makanan ahli neraka. Na\’uzubillah.

AYAT 44- {(BUAHNYA) MENJADI MAKANAN BAGI ORANG YANG BERDOSA (DALAM NERAKA).} (AD-DUKHAAN 44:44)

  1. Ia menjadi makanan yang buruk bagi orang yang berdosa dalam neraka.
  2. Maksud (الْأَثِيمِ) ini ulama\’ kata jika pada zaman Rasulullah s.a.w dia adalah Abu Jahal.
    Ibnu Kathir kata: Ialah semua orang kafir yang jahat dalam perbuatan dan perkataannya. Maka termasuklah Abu Jahal.
  3. Firman Allah s.w.t tentang pokok ini: kepala syaitan
    {Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang;
    Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan;
    Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya.} (As-Saaffaat 37: 64-66)
    Biasanya gambaran bagi sesuatu yang buruk dan huduh itu seperti syaitan.

AYAT 45- {(MAKANAN INI PULA PANAS) SEPERTI TEMBAGA CAIR, MENDIDIH DALAM PERUT,} (AD-DUKHAAN 44:45)

  1. Ia pula panas menggelegak seperti tembaga cair, mendidih dalam perut.
  2. Ada juga ulama\’ yang berkata maksudnya (كَالْمُهْلِ) ini adalah darah dan nanah cair yang hitam seperti minyak tar itu.

AYAT 46- {SEPERTI MENDIDIHNYA AIR YANG MELUAP-LUAP PANASNYA.} (AD-DUKHAAN 44:46)

  1. Ia juga mendidih menggelegak seperti air yang meluap-luap panasnya (الْحَمِيمِ).

AYAT 47- {(LALU DIPERINTAHKAN KEPADA MALAIKAT PENJAGA NERAKA): \”RENGGUTLAH ORANG YANG BERDOSA ITU DAN SERETLAH DIA KE TENGAH-TENGAH NERAKA.} (AD-DUKHAAN 44:47)

  1. Lalu Allah perintahkan kepada penjaga neraka untuk mengheret, merenggut orang yang berdosa itu ke tengah-tengah neraka.

AYAT 48- {\”KEMUDIAN CURAHKANLAH DI ATAS KEPALANYA – AZAB SEKSA – DARI AIR PANAS YANG MENGGELEGAK\”.} (AD-DUKHAAN 44:48)

  1. Kemudian dicurahkanlah di atas kepalanya air panas yang menggelegak
  2. Yakni azab seksa itu menyeluruh pada tubuhnya, dari atas bawah semuanya kena. Ini adalah azab secara fizikal.

AYAT 49- {(SERTA DIKATAKAN KEPADANYA SECARA MENGEJEK): \”RASALAH AZAB SEKSA, SEBENARNYA ENGKAU ADALAH ORANG YANG BERPENGARUH DAN TERHORMAT (DALAM KALANGAN MASYARAKATMU)\”} (AD-DUKHAAN 44:49)

  1. Dalam ayat ini ialah azab penderaan perasaan dan mental.
  2. Dikatakan kepada mereka (ذُقْ) secara mengejek dan peril: Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat dalam kalangan masyarakatmu.
  3. ulama\’ juga berpendapat kata-kata ini ditujukan kepada Abu Jahal- Firaun umat ini yang atas dunia angkuh sombong sebagai pembesar Quraisy yang terhormat di kalangan kaumnya. Penentang utama Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin seluruhnya.

AYAT 50- {(KEMUDIAN DIKATAKAN KEPADA AHLI NERAKA UMUMNYA): \”SESUNGGUHNYA INILAH DIA (AZAB SEKSA) YANG KAMU DAHULU RAGU-RAGU TERHADAPNYA!\”} (AD-DUKHAAN 44:50)

  1. Akhirnnya dikatakan lagi kepada mereka: Sesungguhnya inilah dia azab seksa yang kamu dahulu ragu-ragu, yang kamu perli ejek Rasulullah s.a.w dan permain-mainkannya!\”

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 40- {Sesungguhnya hari pemutusan hukum untuk memberi balasan, ialah masa untuk mereka semua berhimpun,}- ayat ini sebagai perisytiharan dari Allah s.w.t bahawa manusia seluruhnya tidak akan lepas daripada hari perbicaraan.

Semua kita akan melaluinya, tiada yang dapat disembunyi dan ditutup, hari didedahkan segala rahsia! Hari Perbicaraan untuk diputuskan segala hukuman (يَوْمَ الْفَصْلِ).

Maka insaflah dan koreksi muhasabah diri bahawa kita tidak akan terlepas dan terlindung darinya.

Kita sentiasalah berdoa:
i- Minta hisab yang ringan:
اللَّهُمَّ حَاسِبْنِيْ حِسَابًا يَسِرًا
\”Ya Allah, hisablah-setiap amalku-dengan hisab yang ringan.\” (H.R Ahmad, al-Hakim).

ii- Minta masuk syurga tanpa hisab dan azab.

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ
Ya Allah, aku mohon kepada-Mu syurga, dan aku berlindung kepada-Mu dari neraka.

Azab di Akhirat itu adalah sesuatu yang pasti dan tidak lari darinya.
Sabda Rasulullah s.a.w:: \”Sesiapa yang sudah dibuka fail perbicaraan, ia sudah dikira terkena azab.\”

  1. Ayat 41- {Iaitu hari seseorang kerabat atau sahabat karib tidak dapat memberikan sebarang perlindungan kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya,}- ayat ini membawa penafian secara umum (nakirah-) {tidak dapat memberikan sebarang perlindungan- يَوْمَ لَا يُغْنِي}

Juga dinafikan dengan menggunakan perkataan {شَيْئًا – sedikitpun} secara nakirah (umum) juga.

  1. Ayat 44- {(Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka).}- setelah Allah s.w.t ceritakan tentang azab siksa yang akan dihadapi oleh orang yang berdosa (الْأَثِيمِ) Allah akan bawa pula cerita tentang keadaan orang yang baik dan nikmat mereka di dalam syurga.

i) ini mengajar kita uslub muqabalah dalam al-Quran. Iaitu uslub perbandingan antara positif & negatif, antara baik dan buruk.

ii) apa faedah disebut dan diceritakan tentang pokok Zaqqum ini?
Ini menunjukkan pentingnya maklumat yang jelas. Syurga ini sifatnya, neraka ini sifatnya, maka kamu pilihlah mahu balasan buruk atau baik!

  1. Ayat 45- {(Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut,}- ulama\’ kata- ini gambaran buruk yang sangat jelas tentang azab yang disediakan untuk ahli neraka. Allah buat bandingan ia seperti tar yang hitam dan panas menggelegak supaya kita dapat bayangkannya dan mendatangkan perasaan takut & gerun akannya!

Firman Allah s.w.t:
{Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).} (Al-Insaan 76:3)

  1. Ayat 49- {(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): \”Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)\”}- ayat ini seolah menunjukkan bahawa penghuni neraka itu orang yang berpengaruh dan terhormat (الْعَزِيزُ الْكَرِيمُ).

A- Isu pertama: Sedangkan dalam ayat lain dikatakan penghuni neraka ialah orang yang hina sebagaimana firman Allah s.w.t ini:
i- {Dan Tuhan kamu berfirman: \”Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.} (Ghaafir 40:60)

ii- {Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).] (A-li\’Imraan 3:178)

Jawapannya: menurut ulama\’ ada tiga maknanya:
i- pada sangkaan & pandangan kamu, kamu mulia.
ii- ayat ini lebih kepada perlian dan ejekan.
iii- dulu kamu bangga dengan diri kamu sendiri, bukan kerana beriman kepada Allah, maka rasalah!

B- Isu kedua, bolehkah guna nama/sifat yang digunakan untuk Allah s.w.t kepada makhluk?
jawapan:
i- jika lafaz khas (لفظ الجلالة) seperti Allah tidak boleh! Jika nak bubuh nama untuk orang, kena tambah lafaz (hamba- عبد) di depannya. Tetapi jika nama lain yang tidak khas kepada Allah sahaja boleh.

Ayat ini juga menyatakan bahawa azab dalam neraka itu ada secara mental & fizikal.

Powered by BetterDocs