SURAH AZ-ZUKHRUF : AYAT 85-89

\"\"

ALLAH SAHAJA TAHU BILA KIAMAT, ORANG DIBERI KUASA SYAFAAT & KAFIR TAHU ADA ALLAH TAPI SYIRIK.

Full video : https://youtu.be/8XUjEPKq8FI

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t tegaskan bahawa hanya Allah Sahaja Tahu Bilakah akan berlakunya Kiamat. Malaikat dan Nabi s.a.w juga tidak tahu bilakah tarikhnya, cuma diberi tanda-tanda apabila sudah hampir Kiamat.
  2. Ayat ini juga menceritakan tentang Orang yang Diberi Kuasa Syafaat, yang dapat membantu orang lain di Akhirat kelak, siapakah mereka ini.
  3. Allah s.w.t juga nyatakan tentang kecelaruan pegangan puak Kafir yang Tahu dan mengakui Ada Allah Tapi tetap melakukan Syirik kepada-Nya. Inilah contoh kekeliruan dan kecelaruan hidup orang bukan Islam.
  4. Munasabah ayat- Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t bersihkan Zat-Nya dan Suci dan menyatakan bahawa hanya Dia sahaja Tuhan yang berhak disembah dan dipuja puji sebagaimana yang diakui oleh hamba-Nya yang beriman.
    Juga telah diakui oleh orang yang tidak beriman, secara dilalah fitrah semulajadi manusia yang mengakui adanya Tuhan. Allah juga berikan kepada mereka akal untuk berfikir, maka sesiapa yang menggunakan akalnya dia akan bertemu dengan keimanan kepada Allah Azza wa Jalla.
  5. Maka dalam ayat ini Allah s.w.t sekali lagi bawa dalil-dalil untuk mengisbatkan bahawa kesempurnaan itu bagi Allah Azza wa Jalla semata-mata. Dalil ini yang dapat diterima dan dalam skop pemikiran akal manusia. Jika kita nak beri kepada manusia ilmu yang dapat memberi manfaat kepada mereka, kita kena bawa dalil dan hujjah yang dapat mereka fahami.
  6. Allah juga sebut kuasa-Nya yang Esa dan berkuasa menguasai langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya.
    Maha Suci Allah yang Maha berkat yakni banyaknya kebaikan dan kebajikan serta luasnya ihsan Allah s.w.t kepada kita.

AYAT 85- {DAN MAHA TINGGILAH KEBESARAN TUHAN YANG MENGUASAI LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADA DI ANTARA KEDUANYA; DAN DIA LAH JUA YANG MENGETAHUI TENTANG (MASA DATANGNYA) HARI KIAMAT; DAN KEPADANYALAH KAMU SEMUA AKAN DIKEMBALIKAN.} (AZ-ZUKHRUF 43:85)

  1. Maha Suci, Maha tinggi, Maha Bersih Allah s.w.t daripada segala kekurangan dan kelemahan yang dinisbahkan oleh puak kafir kepada-Nya.
  2. Dialah Tuhan Pemilik Yang Menguasai (لَهُ مُلْكُ) langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya. Manusia dan segala makhluk lain semua menumpang kuasa dan rezeki Allah s.w.t.
  3. Allah s.w.t juga begitu luas ihsan-Nya kerana itulah semua makhluk mendapat rezeki dan nikmat dari Allah samada kafir atau muslim.
  4. Hadis- Sabda Rasulullah s.a.w:
    لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللهِ جَنَاحَ بَعُوْضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ
    \”Sekiranya dunia ini punya nilai di sisi Allah walau hanya menyamai nilai sebelah sayap nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir walaupun seteguk air. (HR. At-Tirmizi no. 2320)
  5. Hanya Allah sahajalah yang mengetahui (وَعِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ) tentang masa bila akan berlakunya hari kiamat. Orang lain tiada yang tahu hatta malaikat atau Nabi s.a.w. Jika ada yang mengaku tahu, jelas dia berdusta!
  6. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat.} (Luqman 31:34)
  7. Akhir ayat Allah s.w.t tegaskan bahawa akhirnya kepada Allah-lah kamu semua akan dikembalikan (وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ), Allah hidupkan kita kembali untuk dihisab dan diadili. Kemudian Allah akan balas setiap manusia itu mengikut amalannya, jika baik alhamdulillah, jika sebaliknya wal-\’iyazubillah.
    Semoga kita selamat dari kemurkaan Allah s.w.t.

AYAT 86- {DAN SEGALA YANG MEREKA SEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH, TIDAK MEMPUNYAI SEBARANG KUASA UNTUK MEMBERIKAN SYAFAAT PERTOLONGAN, KECUALI SESIAPA YANG MEMBERI PENERANGAN MENGAKUI KEBENARAN DENGAN MENTAUHIDKAN ALLAH, TUHAN YANG SEBENAR-BENARNYA SECARA MEREKA MENGETAHUINYA DENGAN YAKIN (BUKAN DENGAN KATA-KATA ORANG; MAKA MEREKALAH YANG MUNGKIN DIIZINKAN MEMBERI DAN MENDAPAT SYAFAAT ITU. } (AZ-ZUKHRUF 43:86)

  1. Allah memberi amaran agar puak kafir itu jangan berharap segala yang mereka sembah yang selain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan (الشَّفَاعَةَ) sedikitpun!
  2. Munasabah ayat- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nafikan Dia ada anak. Dalam ayat ini Allah nafikan pula bahawa Dia ada sekutu (شركاء), ada pembantu. Tidak ada sama sekali.
  3. Hadis Rasulullah s.a.w pesan kepada Ibnu Abbas r.a jika mahu minta pertolongan, minta kepada Allah sahaja, bukan kepada sesama makhluk.
  4. Jangan sesekali ajar kepada masyarakat untuk minta perlindungan jin jembalang atau syaitan yang dianggap sebagai penjaga hutan bukit atau lautan. Allah s.w.t menafikan bahawa syirik tidak ada.
  5. Syafaat atau kuasa memberi pertolongan itu ada, tetapi bersyarat, iaitu sesiapa yang diizinkan oleh Allah s.w.t untuk memberi atau menerimanya.
  6. Ulama\’ tafsir berbahas panjang tentang perkataan (إِلَّا- melainkan) adakah:
    i- kata pemutus dengan makna ( لكن- tetapi)- tetapi mereka yang kuat tauhidnya kepada Allah seperti Nabi Isa a.s dan malaikat, mereka telah bersaksi dengan ilmu dan keimanan yang yakin dengan ketuhanan Allah s.w.t maka mereka akan dapat kuasa syafa\’at untuk memberi pertolongan pada hari Kiamat kelak.

ii- ada yang kata ia adalah kata pengecualian (إِلَّا) iaitu orang yang berhak menerima dan memberi syafa\’at hanyalah mereka yang diberi keizinan oleh Allah s.w.t. sahaja.

  1. Kata Ibnu Juzai rhm. pula, maksudnya (kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang Sebenar-benarnya secara mereka mengetahuiNya dengan yakin) ia terbahagi kepada pemberi syafa\’at (الشافع) dan yang menerima syafa\’at (المشفوع).
    i- jika tentang yang mendapat syafa\’at (المشفوع). ialah pengecualian yang sepenuhnya, tiada benda atau sembahan mereka itu yang dapat menerima syafa\’at.

ii- jika tentang pemberi syafa\’at pula (الشافع), maka orang yang menyaksikan kebenaran Allah s.w.t dan Tauhid dengan yakin maka akan dapat memberi syafa\’at dengan izin Allah s.w.t.

AYAT 87- {AYAT 87- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! JIKA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) BERTANYA KEPADA MEREKA: \”SIAPAKAH YANG MENCIPTAKAN MEREKA?\” SUDAH TENTU MEREKA AKAN MENJAWAB: \”ALLAH!\”. (JIKA DEMIKIAN) MAKA BAGAIMANA MEREKA RELA DIPESONGKAN (DARI MENYEMBAH DAN MENGESAKANNYA)?} (AZ-ZUKHRUF 43:87)

  1. Ayat ini tentang kecelaruan akidah orang kafir yang jika ditanya kepada mereka siapakah yang menciptakan mereka, sudah tentu mereka akan menjawab: \”Allah!\”. Mereka tidak berani mengakui patung sembahan berhala mereka yang keras tidak bergerak itu yang menciptakan mereka.
  2. Ayat ini menunjukkan bahawa setelah Allah s.w.t kuatkan hujjah yang membatalkan pegangan bahawa tidak ada Tuhan lain selain Allah, maka ayat ini datang secara umum untuk membatalkan pegangan mereka itu sekali lagi.
  3. Apabila mereka mengaku, Allah s.w.t perintahkan agar kitab balas balik dengan berkata: Kenapa dan mengapa kamu rela dipesongkan dari menyembah dan mengesakan-Nya. Maka sepatutnya kita beramal dengan apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk meminta pertolongan hanya kepada Allah dalam urusan ghaib dan pada hari Akhirat kelak.
  4. Jangan silap faham tentang fahaman ini, siapa yang kata syirik untuk meminta pertolongan dengan sesama makhluk dalam urusan dunia maka dia telah buat satu kebodohan. Seperti sakit jumpa doktor, anak kecik minta makan dari ibunya, minta tukang rumah buat rumah dan seumpamanya!

AYAT 88- {DAN (DIA LAH TUHAN YANG MENGETAHUI RAYUAN NABI MUHAMMAD) YANG BERKATA: WAHAI TUHANKU! SESUNGGUHNYA MEREKA INI ADALAH SATU KAUM YANG TIDAK MAHU BERIMAN (MAKA TERSERAHLAH KEPADAMU UNTUK MENGADILINYA)!\”} (AZ-ZUKHRUF 43:88)

  1. Ayat ini sekali lagi menceritakan tentang puak kafir yang keras kepala.
  2. Allah s.w.t Maha Mengetahui tentang pengaduan Rasulullah s.a.w tentang sikap dan penentangan dari kaumnya yang musyrikin dan tidak beriman. Lalu Baginda serahkan urusannya kepada Allah s.w.t.

AYAT 89- {(TUHAN MENJAWAB RAYUANNYA DENGAN BERFIRMAN): \”JIKA DEMIKIAN, MAKA JANGANLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) HIRAUKAN MEREKA, DAN KATAKANLAH: ` SELAMAT TINGGALLAH! \’ KEMUDIAN MEREKA AKAN MENGETAHUI KELAK (AKIBAT KEINGKARANNYA)!\”} (AZ-ZUKHRUF 43:89)

  1. Allah s.w.t menjawab rayuan Rasulullah s.a.w dengan menenangkan hati Baginda s.a.w. Supaya jangan hiraukan mereka lagi, tinggalkan mereka dalam kesesatan itu.
  2. Timbul perbincangan adakah ayat ini telah dibatalkan (Mansukh) dengan ayat perang yang turun selepasnya.
    i- Ada ulama\’ kata dimansukhkan, maknanya tidak boleh biarkan mereka terus begitu, bila mereka lawan maka lawanlah!
    ii- Ada juga yang kata tidak mansukh cuma kena tengok situasi dan keadaan. Jika tidak ada faedah atau manfaat lagi maka biarkan mereka.
    *Kesimpulannya adakalanya kita perlu lawan (bila kuat), adakalanya kita kena bersabar dulu terutamanya ketika lemah.
  3. Firman Allah s.w.t: {Dan sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang; oleh itu biarkanlah (golongan kafir yang mendustakanmu itu wahai Muhammad) serta layanlah mereka dengan cara yang elok.} (Al-Hijr 15:85)
  4. Kemudian Allah ajar lagi kepada Rasulullah s.a.w untuk ucap selamat tinggal kepada mereka, kelak mereka akan mengetahui akibat keingkarannya itu. Walaupun kamu selamat atas dunia ini, Rasulullah tidak dapat buat tindakan kepada mereka, tetapi ingatlah di Akhirat kelak kamu akan tahu dan terima .

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 85- {Dan Maha Tinggilah Kebesaran Tuhan yang menguasai langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; dan Dia lah jua yang mengetahui tentang (masa datangnya) hari kiamat; dan kepadanyalah kamu semua akan dikembalikan.}- Allah s.w.t membersihkan Zat-Nya yang Maha Mulia dari segala tuduhan yang buruk dan tidak baik yang dibuat oleh puak kafir.

Allah s.w.t juga banyak kemuliaan, ihsan dan kebaikan yang ada dari Allah s.w.t.
Ini untuk memperingatkan kepada hamba-hamba-Nya bahawa Allah s.w.t itu sifat-Nya:
i- bagi Allah segala milik dan pemerintahan alam ini (لَهُ مُلْكُ).
ii- disisi-Nya ilmu tentang hari Kiamat (وَعِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ).
iii- kamu akan kembali kepada Allah s.w.t (وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ).

  1. Ayat 86- {Kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang Sebenar-benarnya secara mereka mengetahuiNya dengan yakin.}- ayat ini menunjukkan kepada dua makna:
    i- syafa\’at itu maknanya kita beri bantuan kepada orang atas dunia ini, seperti kita tolong orang, beri jaminan, menjadi saksi dan seumpamanya.

Contohnya seperti kisah Barirah dan suaminya Mughith ini:

عَنْ عِكْرِمَةَ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ زَوْجَ بَرِيرَةَ كَانَ عَبْدًا يُقَالُ لَهُ مُغِيثٌ كَأَنِّى أَنْظُرُ إِلَيْهِ يَطُوفُ خَلْفَهَا يَبْكِى ، وَدُمُوعُهُ تَسِيلُ عَلَى لِحْيَتِهِ ، فَقَالَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – لِعَبَّاسٍ « يَا عَبَّاسُ أَلاَ تَعْجَبُ مِنْ حُبِّ مُغِيثٍ بَرِيرَةَ ، وَمِنْ بُغْضِ بَرِيرَةَ مُغِيثًا » . فَقَالَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – « لَوْ رَاجَعْتِهِ » . قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ تَأْمُرُنِى قَالَ « إِنَّمَا أَنَا أَشْفَعُ » . قَالَتْ لاَ حَاجَةَ لِى فِيهِ

Dari \’Ikrimah, dari Ibnu \’Abbas, ia berkata, sesungguhnya suami Barirah adalah seorang hamba yang bernama Mughith. Aku ingat bagaimana Mughith mengikuti Barirah ke mana ia pergi sambil menangis (kerana tidak mahu bercerai dengan Barirah yang telah merdeka). Air matanya mengalir membasahi janggutnya.

Nabi s.a.w bersabda kepada pakciknya, Abbas r.a, \”Wahai Abbas, tidakkah engkau heran betapa besar rasa cinta Mughith kepada Barirah namun betapa besar pula kebencian Barirah kepada Mughith.\”
Nabi s.a.w bersabda kepada Barirah, \”Andai engkau mahu kembali kepada Mughith?!\”
Barirah mengatakan, \”Wahai Rasulullah, apakah engkau memerintahkanku?\”
Nabi s.a.w bersabda, \”Aku hanya ingin menjadi perantara/penolong (syafi\’).\”
Barirah mengatakan, \”Aku sudah tidak lagi mahukannya\” (HR. Bukhari no. 5283)

Maka Syafaat itu ertinya adalah pertolongan yang diberikan oleh seseorang kepada seseorang yang lain.

Menjadi saksi kepada kebenaran yang kita tahu- (مَنْ شَهِدَ بِالْحَقِّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ) wajib kita menyatakan persaksian untuk menolong orang yang dizalimi atau teraniayai dengan tuduhan dan terfitnah, jika kita tahu dia tidak bersalah.
i- Ayat ini mengajar kepada kita sesiapa yang ingin menjadi saksi dia mesti mengetahui dan ada maklumat yang jelas! Bukan sekadar rasa atau sangkaan apatah lagi saksi palsu yang makan upah!

ii- saksi yang diterima disisi Allah ialah yang menjadi saksi dengan ilmu dan benar! Jika dia menipu dia hanya menang di mahkamah dan di dunia tetapi TIDAK menang di sisi Allah s.w.t, tidak akan lepas di Akhirat kelak.

  1. Ayat 87- {Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: \”Siapakah yang menciptakan mereka?\” Sudah tentu mereka akan menjawab: \”Allah!\”.}- sebahagian dari syirik puak jahiliyyah itu kepada Allah ialah dalam Ketuhanan sifat Uluhiyyah (الألوهية) kepada Allah s.w.t.
    Manakala dalam bab Ketuanan dan penciptaan, iaitu Rububiyyah (الربوبية), mereka mengakui adanya Tuhan yang mencipta semua ini.

Ayat ini menjadi dalil besar bahawa sekadar ikrar saja, mengetahui akan adanya Allah tetapi tidak beriman, tidak mencukupi dan tidak dikira beriman.

Ulama\’ ahlu Sunnah wal Jamaah menetapkan syarat beriman wajib ada tiga:
i- ikrar dengan lidah.
ii- mengakui, beriman dalam hati.
iii- beramal dengan anggotanya.

  1. Ayat 87- {Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: \”Siapakah yang menciptakan mereka?\” Sudah tentu mereka akan menjawab: \”Allah!\”.}- ayat ini menjadi dalil bahawa sesiapa yang mengakui sebahagian daripada Rukun Iman maka dia dikira TIDAK beriman. Jika dia menolak atau mengingkari sebahagian daripada Rukun Iman, maka dia sudah dikira kafir dengan semuanya.

Matematik Iman atau akidah ialah 6-1 = 0. Wajib kita ikrar dan percaya semuanya, tidak boleh separuh-separuh barulah lengkap. Jika hanya percaya dan ikrar dengan sebahagiannya terus akan kafir.

  1. Ayat 89- {(Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): \”Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: `Selamat tinggallah!\’ Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)!\”}-
    Ayat ini menjadi amaran (وعيد وتهديد) kepada orang-orang yang degil keras kepala dan menenangkan hati Rasulullah s.a.w. Biarlah mereka tidak beriman sekarang dan bebas di atas dunia ini, di Akhirat kelak mereka akan tahu dan menerima pembalasan yang sepatutnya.

Maka ayat ini menutup pintu-pintu kezaliman bagi orang yang beriman.

Sama juga kita orang yang beriman, apabila kita tahu bahawa Allah akan hidupkan kita balik, dihisab diadili lalu dihukum pembalasan, maka apakah kita masih berani buat dosa dan maksiat terhadap Allah s.w.t lagi?

Semoga tadabbur kita ini dapat memberi pengajaran dan meningkatkan keimanan dan ketenangan kita kepada Allah s.w.t, menjauhkan kita dari syubhat dan maksiat.

Alhamdulillah tamatlah 15 siri Kuliah surah az-Zukhruf ini, semoga ilmu yang kita belajar dan ajar ini ikhlas semata-mata kepada Allah, untuk mendekatkan kita kepada Allah dan supaya kita sentiasa ingat bahawa kita akan kembali kepada Allah s.w.t. maka hidup kita tidak akan lari daripada landasan dan garisan Syari\’ah.

Powered by BetterDocs