SURAH FATHIR : AYAT 19-26

\"\"

BANDINGAN ORANG MUKMIN DAN KAFIR, TUGAS NABI S.A.W MEMBERI PERINGATAN & KISAH NABI TERDAHULU DIDUSTAI KAUM MEREKA.

Full video : https://youtu.be/sV2QaCT7RFo

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t buat perbandingan antara dua kumpulan iaitu antara orang mukmin & kafir, beriman dan syirik. Tetapi di bawah perbandingan fizikal benda lain yang kita boleh nampak seperti antara buta & celik, gelap & cahaya, panas & teduh dan orang yang hidup & orang yang mati.
  2. Ini untuk menunjukkan perbezaan keadaan orang yang mukmin yang hidup hatinya dengan yang kufur, orang yang mati hatinya walaupun tuannya hidup dan bergerak ke sana sini.
  3. Tugas Nabi s.a.w memberi peringatan, maka begitulah setiap yang memberi peringatan dan bawa kebenaran akan ditentang, jadi sekali lagi dibawa ayat-ayat untuk menenangkan Rasulullah s.a.w dalam kerja-kerja dakwahnya.
  4. Munasabah ayat ini dengan sebelumnya, Allah s.w.t telah menyebut tentang orang kafir yang sesat dan mukmin yang mendapat petunjuk. Maka dalam ayat ini diberi bandingan orang mukmin sebagai orang yang celik mendapat petunjuk yang akan membawanya ke syurga. Manakala orang kafir buta, tidak nampak jalan untuk menuju ke akhirat maka tidak dapat petunjuk.
  5. Allah s.w.t juga sebut tentang orang yang mendapat manfaat dari peringatan yang dibawa oleh Nabi s.a.w iaitu mereka yang beriman. Orang kafir tidak akan dapat apa-apa manfaat, dia dengar macam tak dengar, tengok macam tak tengok!
  6. Allah s.w.t juga menceritakan bahawa manusia ini fakir sangat berhajat kepada Allah s.w.t. maka kita kena belajar ilmu Tauhid melalui ayat-ayat al-Quran yang kita baca dan tengok, semuanya untuk mencari bukti dalil keEsaan dan kekuasaan Allah s.w.t.
  7. Kena semak balik ilmu fardhu ain (ilmu asas) supaya kita tidak tersalah cakap yang boleh menimbulkan fitnah dan boleh membawa kepada terseleweng akidah!
  8. Setiap bekas akan mengeluarkan isi yang ada di dalamnya. Begitu juga manusia, mulut itu akan meluahkan apa yang ada dalam diri/hatinya. Kesilapan lidah boleh kita minta maaf, tetapi apa yang ada dalam hati, kena bersihkanya dan bertaubat jika tersilap!

AYAT 19- {DAN TIDAKLAH SAMA ORANG BUTA DENGAN ORANG YANG MELIHAT.} (FATHIR 35:19)

  1. Tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat. Ada yang menafsirkan, tidak sama antara orang mukmin dengan orang kafir, orang alim dengan orang jahil.
  2. Ini adalah bandingan secara fizikal (hisiyy) yang semua orang tahu tidak sama dan boleh terima. Apa yang kita akan lihat ialah maksudnya yang tersirat.

AYAT 20- {DAN TIDAKLAH SAMA GELAP-GELITA DENGAN CAHAYA YANG TERANG-BENDERANG,} (FATHIR 35:20)

  1. Tidak sama juga gelap gelita dengan cahaya. Ulama\’ menafsirkan, tidak sama juga kekafiran dengan keimanan.
  2. Allah gunakan untuk cahaya perkataan satu saja (mufrad- النُّورُ) manakala untuk gelap iaitu kesesatan banyak (jamak- الظُّلُمَاتُ) ini kerana kesesatan itu banyak cabang dan banyak kekarutannya manakala cahaya petunjuk Allah itu satu saja!

AYAT 21- {DAN TIDAKLAH SAMA SUASANA YANG TEDUH DENGAN YANG KENCANG PANASNYA.} (FATHIR 35:21)

  1. Tidak sama juga yang teduh dengan yang panas. Ulama\’ menafsirkan, tidak sama antara syurga dengan neraka.
  2. Ulama\’ lughah kata bila disebut panas (الْحَرُورُ) ini maksudnya panas pada waktu siang & malam, bukan hanya panas pada waktu siang sebab ada matahari.
  3. Ibnu Asyur rhm. berkata: Dibandingkan orang kafir itu di tempat panas (الْحَرُورُ) manakala orang mukmin di bawah teduh (الظِّلُّ).
  4. Oleh kerana yang disebutkan secara fizikal (hisiyy) ini semuanya tidak sama dan semua manusia mengakuinya, maka tidak sama juga hal yang bertentangan secara maknawi.

AYAT 22- {DAN (DEMIKIANLAH PULA) TIDAKLAH SAMA ORANG-ORANG YANG HIDUP DENGAN ORANG-ORANG YANG MATI. SESUNGGUHNYA ALLAH, (MENURUT UNDANG-UNDANG PERATURANNYA), DAPAT MENJADIKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA MENDENGAR (AJARAN-AJARAN KITAB ALLAH SERTA MENERIMANYA), DAN (ENGKAU WAHAI MUHAMMAD) TIDAK DAPAT MENJADIKAN ORANG-ORANG YANG DI DALAM KUBUR MENDENGAR (DAN MENERIMANYA).} (FATHIR 35:22)

  1. Tidak sama juga orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Orang-orang yang hidup adalah orang mukmin, sedangkan orang-orang yang mati adalah orang kafir.
  2. Sebelum ini hanya dibandingkan orang mukmin dan kafir itu seperti orang buta dan celik saja. Tetapi dalam ayat ini Allah s.w.t beri kata putus bandingan terakhir iaitu seperti orang yang hidup dan orang yang mati terus!
  3. Walaupun yang dikatakan mati adalah mati hati atau mati rasa kata ulama\’.
    Mati rasa ialah tidak rasa bersalah apabila buat atau melihat dosa dan maksiat, tidak rasa nak marah untuk tegur atau beri nasihat apabila melihat anak isteri dan sesiapa yang di bawah tanggung-jawabnya tidak tutup aurat dan tidak melaksanakan Syari\’ah sepenuhnya.
  4. Orang mukmin adalah orang yang dapat melihat dan mendengar, dia berjalan di bawah cahaya petunjuk Allah s.w.t, manakala orang kafir adalah orang yang buta lagi tuli, berada di dalam kegelapan dan kesesatan di dunia dan di akhirat.
  5. Ayat ini juga untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w agar jangan mudah koyak, jangan putus semangat untuk meneruskan dakwah dan perjuangan, jangan hiraukan mereka yang menentang dan menghalang!
  6. Allah s.w.t juga mengatakan tidak sekali-kali Rasulullah s.a.w akan sanggup menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar. Iaitu Nabi Muhammad s.a.w. tidak dapat memberi petunjuk kepada orang-orang musyrik yang telah mati hatinya, sebagaimana
    panggilan seseorang kepada penghuni kubur tidak ada faedahnya.
  7. Tetapi kena ingat orang dalam kubur itu mendengar tetapi hanya apa yang Allah s.w.t telah tetapkan, cuma mereka tidak menjawabnya. Maksudnya tidak dengar di sini ialah tidak dapat manfaat dari nasihat yang diberikan!
  8. Hidayah mendapat petunjuk itu adalah milik Allah s.w.t yang akan diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki. Manakala tugas rasul dan para pendakwah semua ialah untuk menyampaikan dakwah, menyampaikan hidayah memberi bimbingan dan ajaran.

AYAT 23- {ENGKAU TIDAK LAIN HANYALAH SEORANG RASUL PEMBERI INGATAN DAN AMARAN.} (FATHIR 35:23)

  1. Kerja Nabi s.a.w tidak lain hanyalah sebagai pemberi peringatan.
    Tugasnya hanyalah menyampaikan risalah dan memberi peringatan kepada manusia, sedangkan Allah-lah yang menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya.
  2. Tetapi kenapa dalam ayat ini tugas Rasulullah s.a.w hanya disebut sebagai pemberi ingatan dan amaran?
    Ini kerana ayat ini khas untuk memberi amaran kepada puak kafir itu, untuk tutup ayat-ayat yang sebelum ini mengecam mereka. Selepas itu ada disebut tugas Rasulullah yang sepenuhnya dalam ayat 24 yang berikutnya.

AYAT 24- {SESUNGGUHNYA KAMI MENGUTUSMU DENGAN (AGAMA) YANG BENAR, SEBAGAI PEMBAWA BERITA GEMBIRA (KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN) DAN PEMBERI AMARAN (KEPADA ORANG-ORANG YANG INGKAR); DAN TIDAK ADA SESUATU UMAT PUN MELAINKAN TELAH ADA DALAM KALANGANNYA DAHULU SEORANG RASUL PEMBERI INGATAN DAN AMARAN.} (FATHIR 35:24)

  1. Dalam ayat ini dinyatakan jawatan dan tugas sebenar Rasulullah s.a.w dalam dakwah yang dibawanya.
  2. Rasulullah sebagai pembawa berita gembira kepada orang yang mahu menerima seruan (beriman) dengan pahala dan kejayaan di dunia dan akhirat. Juga sebagai pemberi peringatan kepada orang-orang yang tidak mahu menerima seruan (kafir) dengan azab Allah yang segera atau di akhirat. Baginda tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan.
  3. Apakah pula maksudnya Kami mengutusmu dengan (بِالْحَقِّ) yang benar? Iaitu risalah Rasulullah itu adalah benar dan dia sendiri itu adalah orang yang benar!

AYAT 25- {DAN JIKA MEREKA (YANG KAFIR ITU) MENDUSTAKANMU, (MAKA YANG DEMIKIAN ITU TIDAKLAH MENJADI HAL) KERANA SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG TERDAHULU SEBELUM MEREKA TELAH JUGA MENDUSTAKAN (RASUL MASING-MASING), MEREKA TELAH DIDATANGI RASUL-RASULNYA DENGAN MEMBAWA KETERANGAN-KETERANGAN (MUKJIZAT) YANG NYATA DAN KITAB-KITAB (NASIHAT PENGAJARAN) SERTA KITAB-KITAB (SYARIAT) YANG TERANG JELAS.} (FATHIR 35:25)

  1. Ini adalah untuk menenangkan Rasulullah s.a.w pula; Jika mereka mendustakanmu wahai Muhammad s.a.w, maka engkau bukanlah rasul pertama yang didustakan. Sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka pun telah mendustakan rasul-rasul. Bukan kamu seorang saja, maka bersabarlah.
  2. Setiap rasul itu diberi mukijizat masing-masing, yang boleh menjadikan hati orang yang terbuka menerima dan beriman.
  3. Mereka para rasul itu juga datang dengan dalil-dalil yang nyata serta kitab-kitab yang mengandungi hukum dan hikmah, dan dengan kitab yang memberi penjelasan yang sempurna.

AYAT 26- {KEMUDIAN AKU TIMPAKAN ORANG-ORANG KAFIR ITU DENGAN AZAB YANG MEMBINASAKAN, MAKA PERHATIKANLAH BAGAIMANA BURUKNYA AKIBAT KEMURKAANKU (MENIMPA MEREKA).} (FATHIR 35:26)

  1. Kemudian Allah s.w.t memberi peringatan; jika mereka tetap mendustakan rasul-rasul-Nya, maka lihatlah bagaimana buruk dan dahsyatnya akibat kemurkaan Allah s.w.t. yang akan menimpakan hukuman dan kebinasaan ke atas mereka.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 19-Ayat 22: {Dan tidaklah sama orang buta dengan orang yang melihat.}, {Dan tidaklah sama gelap-gelita dengan cahaya yang terang-benderang,}, {Dan tidaklah sama suasana yang teduh dengan yang kencang panasnya.} & {Dan (Demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati.} – Allah s.w.t membawa empat perbandingan yang dapat dilihat dan diakui oleh semua manusia. Maksud sebenar yang ingin disampaikan ialah makna sebenar (maknawi), iaitu tidak sama- sama sekali orang yang beriman dan yang kufur, orang yang taat & maksiat, yang ikut sunnah & tidak ikut sunnah.
  2. Allah s.w.t nafi dalam al-Quran persamaan antara 2 perkara dengan beberapa cara:
    i- perbandingan antara dua perbuatan.
    Firman-Nya: {Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.} (At-Taubah 9:19)

ii- perbandingan antara dua orang pelaku/pembuat.
{Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran- dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya.} (An-Nisaa\’ 4:95)

iii- perbandingan antara dua balasan.
{Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).} (Al-Hasy-r 59:20)

iv- adakalanya Allah s.w.t bawa semuanya ketiga cara ini, dalam ayat yang kita belajar hari ini iaitu dari ayat 19 sehingga 22, mengumpulkan ketiga-tiga kategori cara menafikan persamaan.

  1. Ayat 20- {Dan tidaklah sama gelap-gelita dengan cahaya yang terang-benderang,}- dalam ayat ini Allah gunakan untuk cahaya perkataan satu saja (mufrad- النُّورُ) manakala untuk gelap iaitu kesesatan banyak (jamak- الظُّلُمَاتُ); ini kerana yang sesat, batil & karut itu banyak, puncanya juga banyak, dari syaitan, hawa nafsu dan pelbagai ajaran. Manakala cahaya kebenaran itu hanya satu dari Allah s.w.t & Rasulullah s.a.w.
    Ada juga ulama\’ yang kata dalam al-Quran perkara yang buruk biasanya disebut dengan lafaz jama\’.
  2. Ayat 22- {Dan (Demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati}- kuasa Allah s.w.t memberi pendengaran kepada siapa yang dikehendakinya.
    Ayat ini Allah bandingkan antara orang mukmin yang mendengar dan orang kafir yang tidak mahu mendengar! Dan kuasa Allah s.w.t memberi pendengaran kepada orang mukmin dengan taufik. Orang kafir mendengar sekadar mendengar tetapi tetapi tidak tahu apa, tidak mahu buka hatinya untuk berfikir lalu beriman! Tetapi ada juga orang yang kafir yang selepas mendengar, dia berfikir lalu jadi baik dan beriman!
  3. Ayat 22- {dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).}- dalam ayat ini Allah s.w.t menyifatkan orang kafir itu seolah orang yang telah mati, yang di dalam kubur, tidak boleh berkata apa. Manakala orang yang hatinya cerah itu ibarat orang yang hidup.
  4. Ayat 24- {Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Agama) yang benar,}- benar itu (بِالْحَقِّ) lawannya batil (yang palsu). Kategori batil:
    i- batil dalam khabar/berita dipanggil bohong. Hadis batil adalah hadis palsu.
    ii- batil dalam hukum hakam maknanya zalim dan jahat!
    Maka maksudnya Allah s.w.t katakan bahawa dia utuskan Rasulullah s.a.w dengan benar, khabarnya benar dari Allah, hukum hakam yang dibawanya benar dan adil! Syariah Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dari Allah s.w.t ini semuanya benar, elok, adil dan saksama!
  5. Ayat 24- {dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.}- setiap umat ada pemberi berita; nabi atau rasul. Ayat ini untuk membatalkan hujjah orang yang berkata mereka buat dosa dan maksiat kerana takdirnya begitu!
    Ayat ini membatalkan hujjah mereka yang buat maksiat dan menyalahkan takdir Allah s.w.t!
    Ayat ini dalil juga bahawa Rasulullah s.a.w bukanlah rasul yang pertama, telah ramai rasul-rasul yang diutus sebelum ini sebagai pemberi amaran.
  6. Ayat 25- {Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu, (maka yang demikian itu tidaklah menjadi hal) kerana sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul masing-masing),} – jika kaummu mendustakan ya Muhammad s.a.w, sabarlah!
    Ayat ini untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w agar bersabar dan lihat kepada sejarah sebelumnya.
    Para rasul itu dalam dakwahnya pasti ada penentang dan mereka yang mendustakan! Bukan hanya Baginda maka tidak mengapa, bersabar dan teruskan tugas dakwahmu!
  7. Ayat 25- {mereka telah didatangi Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab}- setiap rasul yang diutus Allah s.w.t diberi wahyu dan mukjizat untuk tarik hati orang untuk mempercayainya. Juga diberi kitab sebagai penjelasan hukum hakam dan nasihat petunjuk.
  8. Ayat 25- {Kitab-kitab (nasihat pengajaran) serta Kitab-kitab (syariat) yang terang jelas.}- semua kitab-kitab yang diturunkan Allah s.w.t dari langit mengandungi cahaya (الْمُنِيرِ); cahaya iman, ketaatan dan petunjuk. Lawannya gelap; gelap kufur, maksiat dan kesesatan yang nyata.

Powered by BetterDocs