SURAH AL-JATHIYAH : AYAT 1-6

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, BEBERAPATANDA KUASA ALLAH & AL-QURAN SEMUANYA HAQ.

Full video : https://youtu.be/oqCRriAdS0Q

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Jumaat 03 Zulqa\’dah 1443H bersamaan 3hb Jun 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Jathiyah -سورة الجاثية.
  2. Surah Al-Jathiyah, adalah surah ke-45 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas surah Ad-Dukhan dalam juz ke 25, mengandungi 37 ayat.
  3. Para ulama\’ tafsir sepakat (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini diturunkan di Makkah iaitu sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah maka ia adalah surah Makkiyyah. Ada juga ulama\’ yang menyatakan kecuali ayat 14 yang turun di Madinah. Tetapi sudah dinukilkan secara ijma\’ ulama\’ ia adalah surah Makkiyyah.
  4. Dinamakan surah ini sebagai Surah Al-Jathiyah (سورة الجاثية )- yang bermakna (Berlutut/berteluku) kerana Allah s.w.t menyebut perkataan (جاثية) pada ayat ke-28: {وَتَرَى كُلَّ أُمَّةٍ جَاثِيَةً} dan ayat-ayat yang terdahulu dan terkemudian darinya Allah s.w.t menceritakan perkara yang akan berlaku pada hari Kiamat. Pada hari itu dapat dilihat setiap umat duduk berteluku dalam keadaan cemas masing-masing menunggu panggilan untuk menerima surat amalan. Serta dikatakan kepada mereka pada hari ini kamu akan dibalas mengikut apa yang kamu kerjakan.
  5. Ianya ditulis di dalam mushaf dan kitab-kitab tafsir sebagai Surah Al-Jathiyah (سورة الجاثية). Kalimah (جاثية) ini hanya disebut dalam surah ini sekali saja dalam al-Quran.
  6. Ada juga yang menamakannya sebagai surah (الجاثية حم) kerana ia terdiri daripada kumpulan (حواميم السبع) surah Ha Mim yang tujuh itu. Kata Ibnu Asyur: dua lafaz ini hanya seperti satu nama sahaja. Ia adalah nama yang sama kerana sudah banyak surah lain yang bermula dengan Ha-Mim dan dinamakan begitu. Maka ia tidak dikira sebagai simbol khas bagi surah ini.
    ii- dinamakan juga dengan surah (الشريعة) kerana disebut kalimah itu dalam ayat ke-18 dan tidak disebut dalam tempat lain dalam al-Quran.
    iii- dinamakan juga dengan surah (الدهر) kerana disebut dalam ayat ke-24 dalam surah ini, sedangkan tidak terdapat dalam surah-surah (حواميم السبع) yang lain. Dalam surah lain ada, yakni bukan dalam al-Quran keseluruhannya.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Bagi menolak tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh orang kafir terhadap kebenaran al-Quran, maka Allah s.w.t menegaskan bahawa al-Quran ini diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
    2, Ditegaskan pada kejadian langit & bumi serta kejadian manusia itu sendiri terdapat tanda bukti keEsaan Allah s.w.t, kekuasaan, kebijaksanaan serta keluasan rahmat-Nya abagi orang yang mahu menggunakan akal fikiran.
  2. Dinyatakan akibat yang buruk yang akan menimpa orang yang menolak keterangan yang dibawa oleh al-Quran yang menjadi hidayah petunjuk.
  3. Ditegaskan bahawa balasan adalah berdasarkan kepada kaedah sesiapa yang buat amal soleh faedahnya terpulang untuk dirinya sendiri, begitu juga sesiapa yang buat jahat bahaya kembali kepadanya juga.
  4. Diceritakan tentang kaum yahudi bani Israil yang pada awalnya patuh mengikut perintah Nabinya kemudian berpecah dan menyeleweng dalam perkara agama dan kepercayaan semata-mata kerana perasaan hasad dengki yang ada dalam diri mereka.
  5. Surah ini diakhiri dengan menerangkan peristiwa yang akan berlaku pada hari Akhirat serta balasan bagi orang beriman dan taat juga yang kafir ingkar.
  6. Demikianlah peringatan dan ajaran Allah yang Maha Adil, segala puji tertentu bagi Allah tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi sekelian alam.

OBJEKTIF/ MAQASID SURAH PIMPINAN AR-RAHMAN :

  1. Antara objektif utamanya ialah untuk mengisbatkan keesaan dan ketunggalan Allah s.w.t dalam Ketuhanan Uluhiyyah-Nya.
  2. Untuk mengisbatkan akan berlakunya kebangkitan (البعث) semula serta beberapa perkara yang akan berlaku pada hari Kiamat. Serta beberapa hikayat pandangan kaum musyrikin yang tidak percaya kepada kebangkitan semula serta Allah tolak pandangan mereka itu dengan hujjah yang jelas!

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t mulakan surah ini dengan pujian kepada al-Quran dan beberapa tanda yang lain.
  2. Allah janjikan kepada orang yang tidak mahu beriman dengan janji azab sebagai balasan dengan kedegilan dan keraguan yang ada dalam kepala mereka serta mempermain-mainkannya.
  3. Menjelaskan sebahagian daripada satu sudut nikmat Allah s.w.t ke atas makhluk-Nya.
  4. Menjelaskan sikap bani Israil terhadap nikmat Allah yang besar kepada mereka, serta mereka berikhtilaf dalam menerima arahan Allah serta kejahatan mereka dalam mengubah ayat Allah.
  5. Arahan kepada Rasulullah s.a.w agar berpegang kepada agama Allah, mengikut Syari\’ah-Nya serta melarangnya daripada mengikut hawa nafsu golongan yang jahil. Ayat ini untuk semua umat manusia.
  6. Allah jelaskan sebagagian daripada pandangan puak kafir yang batil serta menolak & membatalkannya.
  7. Menjelaskan sebahagian huru-hara yang akan berlaku pada hari Kiamat, akhir kesudahan baik bagi golongan yang beriman & akibat buruk bagi orang yang kafir.
  8. Ditamatkan surah ini dengan Allah s.w.t memuji Zat-Nya yang mulia yang segala kelayakan pujian itu untuk-Nya Azza wa Jalla.

KELEBIHAN SURAH :

  1. Ia merupakan surah keenam yang dimulai dengan (حم) Ha Mim daripada tujuh surah dalam al-Quran. Dipanggil surah yang tujuh ini (حواميم السبع) iaitu 7 surah yang bermula dengan (حم), bermula dari surah Ghafir, Fussilat, Asy-Syura, Zukhruf, Ad-Dukhan, al-Jathiyah sehingga Surah al-Ahqaf. Kesemuanya adalah surah Makkiyyah.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ


DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.


AYAT 1- {HAA, MIIM- حم} (AL-JAATHIYAH 45: 1)

  1. Surah ini dimulai dengan dua ayat yang mengandungi huruf yang terputus (al-Muqatta\’ah- المقطعة), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ح, م (Haa-Mim). Allah jadikan permulaan bagi beberapa surah dalam al-Quran (tujuh surah) yang dimulakan dengan Ha Mim, surah ini yang keenam.
  2. Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini. Ini untuk menyatakan i\’jaz (إعجاز) mukjizat al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk. Lemahnya makhluk untuk mengatasi, mencabar dan meniru al-Quran.
    *Mukjizat pula sesuatu yang mencarik adat, perkara di luar kebiasaan yang diberi kepada para rasul.
  3. Ia juga mengambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w.
  4. Ia tiada maksudnya yang khas, hanya ALLAH yang Maha Mengetahui- wallahu a\’lam. Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.

AYAT 2-{TURUNNYA KITAB AL-QURAN INI DARI ALLAH, YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-JAATHIYAH 45: 2)

  1. Turunnya kitab al-Quran ini dari Allah s.w.t, kepada Rasulullah s.a.w.
  2. Dia-lah Allah Tuhan yang sifat-Nya:
    i- Yang Maha Kuasa, (الْعَزِيزِ). Gagah perkasa jangan sesiapa berani nak derhaka.
    ii- lagi Maha Bijaksana, (الْحَكِيمِ). Dalam penciptaan, pentadbiran dan susun-atur-Nya tentang dunia & makhluk.
  3. Maka pastilah al-Quran itu penuh dengan kesempurnaan dan kebenaran, penuh hikmat tanpa sia-sia.

AYAT 3- {SESUNGGUHNYA PADA LANGIT DAN BUMI TERDAPAT TANDA-TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN ALLAH) BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AL-JAATHIYAH 45:3)

  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa dalam penciptaan langit dan bumi terdapat tanda-tanda yang nyata & jelas bagi orang beriman.
  2. Semua dalil ini membuktikan kekuasaan Allah bagi orang-orang yang mahu berfikir lalu beriman.
  3. Firman Allah s.w.t juga: {(Kalaulah mereka menyangka Kami tidak berkuasa mengembalikan mereka hidup semula) maka tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka (dengan tidak bertiang) bagaimana Kami membinanya (dengan rapi) serta Kami menghiasinya (dengan bintang-bintang), dan dengan keadaan tidak ada padanya retak-renggang? –
    Dan juga (keadaan) bumi ini, (bagaimana) Kami bentangkan dia sebagai hamparan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur?
    (Kami adakan semuanya itu) untuk menjadi perhatian dan peringatan, (yang menunjukkan jalan kebenaran), kepada tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya (dengan taat dan berbakti).} (Qaaf 50: 6-8)

AYAT 4- {DAN PADA KEJADIAN DIRI KAMU SENDIRI, SERTA (PADA KEJADIAN) SEGALA BINATANG YANG DIBIAKKANNYA, TERDAPAT JUGA TANDA-TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN ALLAH) BAGI ORANG-ORANG YANG MEYAKININYA.} (AL-JAATHIYAH 45:4)

  1. Kemudian Allah bawa tanda kekuasaan-Nya yang dekat dengan kita. Iaitu pada kejadian diri kita sendiri, lihatlah dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.
  2. Kemudian lihat pula ke luar rumah, disekelililng kita juga, lihatlah pada kejadian segala binatang yang dibiakkanNya,
  3. Semua ini juga terdapat tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi orang-orang yang meyakininya.
  4. Firman Allah s.w.t juga:
    i- {Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.} (Ar-Ruum 30:20)

ii- {Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Ia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata; dan Ia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Ia kehendaki (melakukannya).} (Asy-Syuura 42:29)

AYAT 5- {DAN (PADA) PERTUKARAN MALAM DAN SIANG SILIH BERGANTI, DAN JUGA (PADA) REZEKI YANG DITURUNKAN OLEH ALLAH DARI LANGIT, LALU IA HIDUPKAN DENGANNYA TUMBUH-TUMBUHAN DI BUMI SESUDAH MATINYA, SERTA (PADA) PEREDARAN ANGIN, (SEMUANYA ITU MENGANDUNGI) TANDA-TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEESAAN ALLAH, KEKUASAANNYA, KEBIJAKSANAANNYA, SERTA KELUASAN RAHMATNYA) BAGI KAUM YANG MAHU MENGGUNAKAN AKAL FIKIRAN.} (AL-JAATHIYAH 45:5)

  1. Kemudian Allah bawa pula tanda kekuasaan yang kita alami dan saksikannya setiap hari.
  2. Iaitu pertukaran malam dan siang silih berganti, ada siang yang panjang malam yang pendek atau sebaliknya mengikut musim. Tidak pernah terhenti dan jemu, silih berganti tanpa kesilapan.
  3. Juga lihatlah kepada rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit. Ulama\’ kata maksud rezeki dalam ayat ini ialah hujan yang turun dari langit.
  4. Dengan air hujan Allah hidupkan tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin (الرِّيَاحِ), iaitu angin sepoi-sepoi bahasa yang menyejukkan dan menyegarkan.
  5. Semuanya itu mengandungi tanda-tanda (آيَاتٌ) yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, serta keluasan rahmat-Nya bagi orang yang mempunyai akal fikiran dan menggunakannya (لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ) .
  6. Dalam ayat ini ada enam tanda daripada tanda-tanda Tauhid yang menunjukkan kepada keagungan dan keEsaan Allah s.w.t yang layak disembah dan dipuja:
    i- kejadian langit & bumi.}
    ii- kejadian manusia.
    iii- binatang dan segala haiwan.
    iv- silih berganti malam & siang.
    v- Allah turunkan air dari langit (Hujan) untuk menghidupakan bumi dengan tumbuhan.
    vi- angin sepoi-sepoi bahasa yang menyejukkan dan menyegarkan manusia.

AYAT 6- {ITULAH AYAT-AYAT PENERANGAN ALLAH YANG KAMI BACAKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) KERANA MENEGAKKAN KEBENARAN; MAKA DENGAN PERKATAAN YANG MANAKAH LAGI MEREKA HENDAK BERIMAN, SESUDAH PENERANGAN ALLAH DAN TANDA-TANDA KEKUASAANNYA (MEREKA TIDAK MAHU MEMAHAMI DAN MENELITINYA)?} (AL-JAATHIYAH 45:6)

  1. Demikianlah ayat-ayat Allah yang dinyatakan kepada Rasulullah s.a.w dengan perantaraan Jibril a.s.
  2. Jibril a.s datang mengajar dan memperdengarkan bacaan kepada Baginda kemudian mendengar bacaan Baginda s.a.w.
  3. Ianya datang dengan kebenaran (بِالْحَقِّ) dari Allah s.w.t, bukan sihir, pembohongan atau rekaan manusia semata-mata.
  4. Kemudian Allah s.w.t bertanya: Dengan perkataan mana lagi mereka nak beriman jika menolak semua ini, iaitu tidak mahu mengambil pengajaran dan iktibar dari al-Quran. Dari mana lagi mereka nak ambil dalil dan pengajaran???
  5. Jangan allergic sangat apabila orang sebut nak berpegang al-Quran & Sunnah. Mengatakan tidak menghormati & menolak pandangan ulama\’.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 2- {Turunnya Kitab Al-Quran ini dari Allah, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}- Al-Quran turun dari Allah s.w.t melalui perantaraan malaikat Jibril a.s yang ditugaskan menurunkan wahyu. Lalu Jibril menurunkannya kepada Rasulullah s.a.w.
    Ini menunjukkan kepada ketulenanan al-Quran yang tidak dapat disangkal, kerana ia datang dari satu lorong saja.
  2. Ayat 3- {Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.}- ayat ini dan ayat seterusnya menjadi isyarat bahawa tanda-tanda keagungan Allah s.w.t semuanya tidak memberi faedah kecuali kepada dua golongan ini iaitu:

i- orang yang beriman kepada Allah s.w.t. (لِلْمُؤْمِنِينَ).
ii- orang yang yakin dan percaya kepada Allah s.w.t. (لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ).

Maka marilah kita jadikan diri termasuk dalam dua golongan ini agar hati kita tenangn & aman.

  1. Ayat 5- {Dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit,}- ulama\’ kata maksud rezeki dari langit itu ialah air hujan. Kerana ia sebagai punca kepada rezeki yang lain, pokok, minuman haiwan dan manusia sert pelbagai lagi kegunaannya. Maka luas tafsirannya makna rezeki dari langit ini.
  2. Dari ayat 3 sehingga 5: Banyak sekali digambarkan tanda kekuasaan Allah s.w.t. yang menjadi hujjah untuk Kebngkitan semula selepas mati.
    Tiga perkara (برهان) yang menjadi asas kepada dalil Kebangkitan semula (البعث) yang digunakan dalam al-Quran:
    i- penciptaan langit & bumi. Terdapat banyak dalam surah-surah lain juga.
    ii- Allah cipta manusia pertama Adam a.s tanpa contoh. Allah buatnya dengan ilmu & hikmah kebijanksanaan-Nya.
    iii- menghidupkan semula bumi yang mati kering kontang selepas matinya. Pastilah ini dalil Allah juga mampu menghidupkan manusia selepas kematiannya.
  3. Ayat 6- {Itulah ayat-ayat penerangan Allah yang kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) kerana menegakkan kebenaran;}- Allah s.w.t namakan al-Quran itu sebagai ayat/tanda (آيَاتُ اللَّهِ).
    Firman Allah s.w.t: {Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah.} (Al-Baqarah 2:252)
    Kerana al-Quran itu menjadi dalil dan tanda kepada kekuasaan dan kebijaksanaan Allah s.w.t. Menunjukkan benarnya apa yang diajar oleh Nabi s.a.w.
    Kata Sayyidina Uthmas r.a: Sesiapa yang hatinya mencintai Allah, dia tidak akan rasa kenyang dan jemu dengan al-Quran, kerana ia Kalamullah.

Powered by BetterDocs