SURAH AL-AHQAF : AYAT 13-14

\"\"

KELEBIHAN ISTIQAMAH DI ATAS IMAN & BALASAN MEREKA DI AKHIRAT.

Full video : https://youtu.be/7VGJnFZuIdg

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang kelebihan orang yang beriman dan istiqomah, tetap pendirian melakukan ibadat yang disyariatkan kepada Allah s.w.t.
  2. Imannya mantap dan tidak mudah goyah, apa ancaman yang datang dilawan, tidak tewas dengan godaan manusia ataupun syaitan, tetap atas pendirian yang kemas, atas jalan yang diredhai Allah s.w.t.
  3. Maka Allah janjikan ganjaran dan pulangan yang besar di Akhirat kelak!
  4. Munasabah ayat:
    Setelah Allah menetapkan dalil tauhid & kenabian, Allah sebut pula beberapa keraguan dan syubhat yang ditimbulkan oleh golongan yang tidak beriman dan Allah menjawabnya terus.
    Kemudian Allah nyatakan jalan orang benar, orang yang mendapat merealisasikan dalam hidupnya pengakuan yang dia buat.
  5. Dalam ayat 12 Allah sebut khabar gembira (بُشْرَى) bagi orang yang baik (لِلْمُحْسِنِينَ). Siapakah orang yang baik ini?
  6. Allah ceritakan tentang ciri-ciri dan sifat orang yang baik bermula dalam ayat 13 ini dan seterusnya. Iaitu mereka yang mengaku beriman kemudian tetap istiqomah atas aqidah dan amalan mereka ini.

AYAT 13- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MENEGASKAN KEYAKINANNYA DENGAN BERKATA: \”TUHAN KAMI IALAH ALLAH\”, KEMUDIAN MEREKA TETAP TEGUH DI ATAS JALAN YANG BETUL (DENGAN PENGAKUAN IMAN DAN TAUHIDNYA ITU), MAKA TIDAK ADA KEBIMBANGAN (DARI SESUATU YANG TIDAK BAIK) TERHADAP MEREKA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN BERDUKACITA.} (AL-AHQAAF 46:13)

  1. Sesungguhnya orang yang isytihar & mengaku beriman kepada Allah yang Esa dan Tunggal, kemudian mereka beritiqomah atas landasan tauhid kepada Allah. Iaitu dengan mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan, berterusan melakukan ketaatan kepada Allah dalam tempoh sepanjang hayatnya. Istiqomah tanpa menyimpang ke kiri atau kanan, tetap atas landasan yang benar!
  2. Beriman ialah dengan melalui 3 proses ini:
    i- lafaz dengan lidah- mengucap dua kalimah syahadah.
    ii- beriman dengan hatinya mengakui kebenarannya.
    iii- zahirkan dengan anggotanya mepakukan semua amalan yang disyariatkan.
  3. Seorang sahabat Rasulullah S.A.W bernama Sufyan bin Abdullah Al-Thaqafi bertanya kepada Rasulullah S.A.W:
    \”Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku suatu perkara yang dapat menjadi peganganku dan saya tidak perlu lagi bertanya orang lain.
    Rasulullah SAW menjawab:
    Katakanlah Tuhanku ialah Allah, kemudian tetapkanlah pendirian ISTIQOMAH kamu.\” [HR Muslim].
  4. Apabila seseorang itu tetap pendirian beramal dengan perintah Allah s.w.t sehingga ke mati, apa yang dia dapat?
  5. Allah s.w.t nyatakan bahawa masa depan mereka cemerlang:
    i- mereka tidak perlu takut (فَلَا خَوْفٌ) kepada benda-benda yang tidak baik, kerana terjamin akan mendapat keredhaan Allah s.w.t.

ii- mereka tidak akan berdukacita (وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ), yakni sedih hati dan bimbang akan kesalahannya yang lepas.

  1. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: \”Tuhan kami ialah Allah\”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): \”Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.} (Fussilat 41:30)

{\”Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.} (Fussilat 41:31)

{\”(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!\”} (Fussilat 41:32)

  1. Yakni di saat hendak mati, apabila nazak:
    i- bagi orang yang beriman, malaikat akan datang membawa khabar gembira tentang syurga yang dijanjikan kepada mereka. Rohnya akan diiringi malaikat naik ke langit dengan penuh penghormatan.

ii- bagi orang yang tidak beriman pula malaikat datang dengan mencelanya sebagai roh yang jahat, dan rohnya ditarik keluar seumpama ditarik cangkuk besi keluar dari dalam guni yang basah! Na\’uzubillah..

Ya Allah matikan kami dalam husnul-khatimah sebagai roh yang baik dan diredhai-Mu!

AYAT 14- {MEREKALAH AHLI SYURGA, TETAP KEKALLAH MEREKA DI DALAMNYA, SEBAGAI BALASAN BAGI AMAL-AMAL SOLEH YANG MEREKA TELAH KERJAKAN.} (AL-AHQAAF 46:14)

  1. Mereka adalah ahli iaitu tuan syurga (أَصْحَابُ الْجَنَّةِ). Allah gunakan perkataan ini untuk menunjukkan bahawa penghuni syurga akan tetap kekal di dalamnya selama-lamanya (خَالِدِينَ فِيهَا). Kekal abadi di dalamnya tidak akan keluar-keluar lagi insya\’ Allah. Bukan tempat persinggahan yang sementara.
  2. Ini semua adalah balasan bagi amalan soleh dan perbuatan baik yang telah mereka kerjakan atas dunia dulu.
  3. Pamplet Panduan beristiqomah, dapatkan di: blob:https://web.whatsapp.com/932d8c24-66f1-4a54-bcd0…
  4. Antara doa untuk istiqomah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w:
    اللهم إنّا نعوذ بك من الحَوْرِ بَعْدِ الكَوْرِ

Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan setelah Engkau beri petunjuk kepada kami.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 13- {Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: \”Tuhan kami ialah Allah\”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu),}- ayat ini menunjukkan bahawa sesiapa yang beriman kemudian tetap istiqomah di atasnya, dia akan bangun selepas mati dari kuburnya dalam keadaan tenang, tidak akan takut dan huru-hara walaupun orang sekelilingnya lari dalam keadaan kalut. Dia tidak akan takut dan dukacita.
  2. Ayat 13- {Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: \”Tuhan kami ialah Allah\”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu),}- ini menunjukkan kepada tertib susunan, pertamanya telah beriman dengan iman yang mantap kemudian berterusan imannya sehingga dia mati. Kekal pendiriannya, tidak goyah dan berganjak, bukan iman yang on & off.
  3. Ayat 13- {Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: \”Tuhan kami ialah Allah\”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu),}- maka orang yang mengaku beriman saja tetapi tidak beramal, maka ia tidak kira beriman dengan sebenarnya. Wajib beramal dengan amalan soleh yang ikhlas dan mengikut acuan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Iman yang benar mengikut definisi ahlu Sunnah wal Jama\’ah ialah:
i- lafaz dengan lidah- mengucap dua kalimah syahadah.
ii- beriman dengan hatinya.
iii- zahirkan dengan anggotanya dengan amalan yang disyariatkan.

Iman yang liberal (murji-ah) berpendapat hanya cukup dengan keimanan dalam hati yang tidak dapat dinilai melalui zahir, maka kalau dia tidak solat dan tak buat lain-lain ibadat masih dikira beriman yang baik.
Golongan ini memisahkan antara iman dan amal.

Manakala iman munafik pula hanya mengucapkan dengan lidah tetapi tidak beriman dan tidak percaya dengan hatinya. Mereka mengaku dan beramal hanya untuk dilihat orang, apabila orang tengok rajin, apabila tiada orang terus ingkar dan kufur.

  1. Dari segi istilah; biasanya apabila kita lihat seorang yang baik dan beramal dengan Islam dikatakan dia seorang yang Multazim (مُلتزِم) – beriltizam dengan Islam, komited dengan Islam.

Tetapi sebahagian ulama\’ kata lebih baik kita panggil dan guna kalimah, seorang yang mustaqim- (مُسْتَقِيم) iaitu seorang istiqomah atas landasan iman, sunnah dan amal, ia lebih mantap.

Ini kerana multazim ini lebih kepada makna seseorang yang ada tanggung-jawab, tugas untuk membalas, ada komitmen. Hatta dalam al-Quran Allah guna perkataan istiqomah ini, ia lebih kepada tanggung-jawab agama. Menurut ulama\’ feqah multazim ini makna dari segi lain bukan hanya agama, seseorang yang ada tugas ke atasnya.

  1. Ayat 14- {Merekalah ahli Syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.}- dalam ayat ini Allah sebut syurga adalah sebagai balasan bagi amalan soleh yang mereka kerjakan.

Sedangkan dalam satu hadis yang sahih Rasulullah s.a.w bersabda:
\”Hendaklah kamu memperbaiki amalan, mendekatkan diri kepada Allah dan berbahagialah. Sesungguhnya tiada amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga.
Mereka (para sahabat) berkata:
Apakah termasuk dirimu wahai Rasulullah?
Ya, aku pun tidak, hanya Allah saja yang menganugerahkanku keampunan dan rahmat-Nya.\” [HR al-Bukhari].

Jawapannya- ia tidak kontra kerana:
i- amalan yang kita buat bukan balasan atau sebagai bayaran untuk syurga yang Allah nak beri itu, tetapi dia menjadi sebab untuk melayakkan kita ke syurga (جَزَاءً بِمَا كَانُو).
Kerana tidak padan, amat kecil dan lemah amalan kita berbanding balasan syurga & nikmatnya yang hebat.

ii- kita bergantung dengan rahmat Allah, kerana rahmat Allah itu amat besar dan luas berbanding dengan amalan manusia.
Amalan kita bukan bayaran untuk kek syurga, cuma sebagai sebab untuk kita ke syurga dengan rahmat Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w: \”Jika Alllah s.w.t siksa semua penduduk langit dan bumi pun, Dia tidak zalim. Jika Alllah s.w.t beri rahmat kepada semua penduduk langit dan bumi pun, rahmat-Nya lebih baik daripada amalan kita.\” [HR Ahmad].

Powered by BetterDocs