SURAH AS-SOFFAT : AYAT 62-74

\"\"

BEZA 2 JENIS BALASAN AKHIRAT, PELBAGAI JENIS AZAB NERAKA & UMAT YANG SESAT TELAH DIUTUSKAN RASUL.

Full video : https://youtu.be/JCTqnuO1oN8

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t telah ceritakan tentang keadaan orang mukmin yang sedang berehat menikmati balasan nikmat di dalam syurga, mereka bercakap-cakap, menghadap satu sama lain dalam majlis yang indah.
  2. Mereka juga mencari kawan mereka yang kufur di dunia dulu, dan mendapatinya sedang disiksa dalam api yang marak di dalam neraka!
  3. Sambungan kita dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan pula tentang pelbagai jenis azab neraka serta makanan dan minuman yang disediakan bagi ahli neraka. Na\’uzubillah!
  4. Juga diterangkan bahawa semua manusia itu telah diutus rasul-rasul untuk membimbing dan mengajar mereka ke arah kebenaran dan Islam, tetapi malangnya mereka sendiri yang memilih jalan yang sesat. Bukan salah ibu mengandung lagi!
  5. Maka sentiasalah kita banyakkan berdoa:
    اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ-
    Ya Allah, aku mohon kepada-Mu syurga, dan aku berlindung kepada-Mu dari neraka!

AYAT 62-{MANAKAH YANG LEBIH BAIK, LIMPAH KURNIAAN YANG TERMAKLUM ITU ATAU POKOK ZAQQUM?} (AS-SAAFFAAT 37:62)

  1. Ayat ini bermula dengan soalan, Allah s.w.t tanya; apakah yang lebih baik antara limpah kurnia Allah, nikmat yang begitu besar di dalam syurga yang diceritakan dalam ayat-ayat sebelum ini dengan pokok Zaqqum???
  2. Apakah pokok Zaqqum (الزَّقُّومِ)?
    Sejenis pokok yang tumbuh dalam neraka, buahnya pahit lagi busuk, menjadi makanan ahli neraka. Betapa dahsyatnya siksaan.
  3. Munasabah ayat sebelum ini, dalam siri yang lepas Allah s.w.t sebut tentang ahli syurga kemudian diberi galakan untuk kita mendapatkannya dengan bekerja, beramal soleh.
    Kemudian dalam ayat ini Allah s.w.t tanya mana yang lebih baik antara nikmat yang Aku ceritakan kemarin dengan cerita hari ini iaitu azab dalam neraka!
  4. Diceritakan tentang ahli syurga yang makan buah-buahan yang lazat, maka diceritakan pula buah yang menjadi makanan ahli neraka daripada pokok Zaqqum yang dahsyat! Na\’uzubillahi min zalik!
  5. Maka Allah sentap hamba-Nya supaya membuat pilihan yang baik dan betul. Jangan menyesal di kemudian hari yang tiada guna lagi.
  6. Jika ditanya, kita pasti akan menjawab mahu syurga, tetapi apakah perbuatan kita sama dengan mulut? Selarikah antara cita-cita (angan-angan mahu syurga) dengan amalan perbuatan yang hakiki!

AYAT 63-{SESUNGGUHNYA KAMI JADIKAN POKOK ZAQQUM ITU SATU UJIAN BAGI ORANG-ORANG YANG ZALIM (DI DUNIA DAN AZAB SEKSA BAGI MEREKA DI AKHIRAT).} (AS-SAAFFAAT 37:63)

  1. Pokok Zaqqum ini Allah jadikan sebagai satu ujian bagi orang zalim di dunia, apabila mereka tidak mempercayainya dan ingkar. Lalu ia akan menjadi satu azab siksa bagi mereka di akhirat kelak!
  2. Kata Syeikh as-Sam\’ani rhm; ulama\’ tafsir berbeza pendapat tentang pokok Zaqqum ini:
    i- ramai ulama\’ yang mengatakan ia adalah sesuatu yang tidak dikenali di dunia ini. Pokoh yang pahit dan amat buruk sekali.

ii- Kata Ibnu Atiyah rhm. pula- pokok seumpama ini ada di padang pasir, ia mempunyai getah yang beracun dan pahit. Kebanyakan orang yang terkenanya akan memburuk kulitnya lalu mati.
Katanya ada satu kawasan di Yaman yang mempunyai pokok sebegini. Wallahu a\’lam.

iii- ada juga ulama\’ kata makna Zaqqum adalah satu kumpulan (فرقة) dengan gambaran yang amat buruk dan dahsyat.

  1. Kata Imam Ibnu Kathir rhm.: makna fitnah (ujian) dalam ayat ini- Sesungguhnya wahai Muhammad s.a.w, kami ceritakan tentang pokok ini kepada kamu sebagai satu fitnah iaitu batu ujian kepada manusia; orang beriman akan percaya dan minta berlindung darinya, manakala yang kufur akan ingkar dan mendustakannya.
  2. Makna ujian yang kedua: puak kafir pening kepala, pokok dalam api, macamana tidak terbakar dan musnah? Bagi mereka ini cerita karut lalu menolaknya.
  3. Ada juga ulama\’ kata pokok ini sebagai ujian di dunia dan sebagai satu azab di akhirat kelak! Yang penting kita tidak mahu keduanya samada di dunia dan akhirat.

AYAT 64-{SEBENARNYA IA SEBATANG POHON YANG TUMBUH DI DASAR NERAKA YANG MARAK MENJULANG;} (AS-SAAFFAAT 37:64)

  1. Pokok ini tumbuh dan hidup di dasar neraka yang apinya membakar marak menjulang!

AYAT 65-{BUAHNYA SEOLAH-OLAH KEPALA SYAITAN-SYAITAN;} (AS-SAAFFAAT 37:65)

  1. Gambaran betapa huduh dan busuknya pokok ini amat dahsyat, bentuknya pula seolah kepala syaitan!
  2. Bagaimana itu? Sedangkan manusia tidak pernah melihat syaitan dalam bentuknya yang asal?
  3. Kata Imam Ibnu Kathir rhm. lagi: Allah s.w.t membuat gambaran ini walaupun manusia tidak pernah nampaknya kerana telah sebati dalam fahaman manusia bahawa syaitan itu satu makhluk yang huduh dan buruk.
  4. Dalam satu hadis, riwayat dari U.M Aisyah R.A mengisahkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah diserang oleh satu sihir yang dibuat oleh Labid bin al-A\’som. Nabi S.A.W mengalami sakit tenat, sehingga Baginda berasa tidak keruan dan mengigau kerananya. Baginda sering terlupa sehingga berhalusinasi.
    Pada satu malam Nabi S.A.W berdoa kepada Allah. Lalu datang dua malaikat berupa dua orang lelaki menemuinya ketika Baginda sedang tidur. Salah seorangnya duduk di sebelah kepala manakala yang seorang lagi di sebelah kaki Nabi S.A.W.

Rasulullah s.a.w menceritakan kepada Aisyah tentang kisah ini dengan bersabda: \”Wahai Aisyah, apakah kamu tahu bahwa Allah telah mengabulkan doaku ketika aku meminta? Dua orang mendatangiku. Salah seorang dari mereka duduk di dekat kepalaku, sedang yang seorang lagi dekat kakiku.\” Orang yang duduk dekat kepalaku berkata kepada yang lain, \”Bagaimana keadaan orang ini?\” Yang ditanya menjawab, \”Dia disihir.\” Yang satu bertanya lagi, \”Siapakah yang menyihirnya?\” Yang lain menjawab, \”Labid bin al- A\’som. Seorang sekutu dari Bani Zuraiq. Dia sekutu orang Yahudi, dia orang munafik.\” Yang satunya bertanya lagi, \”Di mana sihir itu ditempatkan?\”

Yang lain menjawab, \”Pada sikat dan guguran rambut yang dipintal (العقد). Yang satu bertanya, \”Di mana benda itu diletakkan?\” Yang lain menjawab, \”Di kulit mayang debunga jantan tamar, di bawah batu, dicampak dalam telaga Zarwan.\”
Aisyah meneruskan ceritanya. \”Lalu, Baginda s.a.w pergi ke telaga itu dan berkata, \”Inilah telaga yang ditunjukkan ke padaku. Air telaga ini seperti itu seperti rendaman daun inai kemerah-merahan darah warnanya, manakala pokok tamarnya kelihatan bagaikan kepala syaitan.\’\”
Aku bertanya, \”Ya Rasulullah, apakah engkau tidak menyebarkan hal ini?\” Baginda menjawab, \”tidak.\” Allah telah menyembuhkanku dan aku tidak ingin menyebabkan keburukan untuk orang lain. Telaga itu kemudian diarahkan untuk ditimbus kerana merbahaya.\” (HR Bukhari 3268).

  1. Inilah tafsir yang yang kita baca sebagaimana yang disebut oleh para ulama\’, berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w dengan rujukan-rujukan yang ada, dengan disebut nama-nama ulama\’. Bukan sesuatu yang direka atau ditokok-tambah tanpa sumber yang sahih.

AYAT 66-{MAKA SUDAH TENTU MEREKA AKAN MAKAN DARI BUAHNYA (SEKALIPUN PAHIT DAN BUSUK), SEHINGGA MEREKA MEMENUHI PERUT DARINYA.} (AS-SAAFFAAT 37:66)

  1. Apabila mereka kelaparan, orang kafir musyrikin itu terpaksa memakan buah Zaqqum itu walaupun ia amat pahit dan busuk!
  2. Mereka memakannya sehingga penuh perut kerana lapar dan sebagai satu siksaan!

AYAT 67-{KEMUDIAN, SESUNGGUHNYA MEREKA AKAN BEROLEH LAGI – SELAIN ITU- SATU MINUMAN CAMPURAN DARI AIR PANAS YANG MENGGELEGAK.} (AS-SAAFFAAT 37:67)

  1. Setelah makan Zaqqum, mereka berasa dahaga pula perlu kepada air minuman.
  2. Lalu mereka diberikan satu minuman yang panas menggelegak, jus yang bercampur dengan segala sisa-sisa yang keluar dari ahli neraka, terkumpul daripada nanah, darah, muntah, cebisan kulit dan daging semuanya yang luruh akibat dari siksaan azab itu!
  3. Allahu Akbar jika setelah mendengar segala ini jika kita masih tidak berasa takut kepada azab pembalasan dari Allah, maka apa lagi yang kita mahu!

AYAT 68-{SETELAH (MEREKA DIBAWA MINUM) MAKA TEMPAT KEMBALI MEREKA TETAPLAH KE DALAM NERAKA YANG MENJULANG-JULANG.} (AS-SAAFFAAT 37:68)

  1. Apabila mereka lapar dan dahaga mereka di bawa malaikat ke satu sudut untuk makan dan minum.
  2. Selepas diberi makan dan minum itu mereka di bawa kembali ke tempat siksaan- semuanya di dalam neraka cuma mungkin bahagian atau sudut yang berlainan.
  3. Lalu tetaplah mereka kekal di dalam neraka yang apinya membakar menjulang-julang!
  4. Betapa dahsyatnya gambaran ini!
    اللهم أَجِرْنَا مِنَ النَّارِ
    Ya Allah selamatkan kami dari Neraka!
  5. Allah s.w.t ceritakan kepada kita tentang azab, kemudian dinyatakan kenapa mereka menerima azab dan pembalasan begitu? Sebab dan puncanya dinyatakan agar kita faham dan dan mengambil pengajaran.

AYAT 69-{SEBENARNYA MEREKA TELAH MENDAPATI DATUK NENEK MEREKA BERADA DALAM KESESATAN;} (AS-SAAFFAAT 37:69)

  1. Mereka ini dahulunya tahu bahawa datuk nenek mereka dulu adalah terpesong, berada di dalam kesesatan. Rasulullah s.a.w juga telah memberitahu dan mengajar mereka.

AYAT 70-{LALU MEREKA TERBURU-BURU MENURUT JEJAK LANGKAH DATUK NENEKNYA.} (AS-SAAFFAAT 37:70)

  1. Tetapi mereka tetap sombong dan ingkar, terus terburu-buru mengikut jejak langkah yang sesat itu.
  2. Bahkan mengatakan Rasulullah s.a.w lah yang melarang itu sesat dan cuba mengganggu, mengacau ajaran datuk nenek mereka.
  3. Ini perbuatan puak kafir.
    Kita yang sudah Islam ini pula apabila ada pendakwah datang cuba mengajar kita akan ini Sunnah dan ajaran Rasulullah s.a.w, kita bantah dan menyanggahnya dengan berkata bahawa ia menyalahi ajaran datuk nenek kita dahulu!
    Ajaran itulah yang sebenarnnya perlu disiasat dan dikoreksi kesahihan sumbernya.
  4. Maka kita belajarlah daripada kesilapan puak kafir ini.

AYAT 71-{DAN DEMI SESUNGGUHNYA, TELAH SESAT JUGA – SEBELUM KAUMMU (WAHAI MUHAMMAD) – KEBANYAKAN KAUM-KAUM YANG TELAH LALU.} (AS-SAAFFAAT 37:71)

  1. Allah s.w.t nyatakan bahawa sebelum kaum Nabi Muhammad s.a.w juga telah banyak kaum-kaum dan kumpulan terdahulu yang telah sesat.
  2. Tetapi Allah s.w.t tidak biarkan mereka dalam kesesatan semata, biarkan mereka nak sembah apa dan nak jadi apa.

AYAT 72-{PADA HAL, DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAHPUN MENGUTUS DALAM KALANGAN KAUM-KAUM ITU, RASUL-RASUL PEMBERI AMARAN.} (AS-SAAFFAAT 37:72)

  1. Bagi setiap kaum dan umat, Allah s.w.t akan utuskan rasul utusan dari Allah s.w.t, untuk bagi amaran, peringatan, dakwah, ajaran agar jangan syirik jangan lawan, ikut perintah Allah dan semua ajaran-Nya.

AYAT 73-{MAKA LIHATLAH BAGAIMANA KESUDAHAN ORANG-ORANG (YANG MENDUSTAKAN RASUL-RASUL KAMI) SETELAH DIBERI AMARAN,} (AS-SAAFFAAT 37:73)

  1. Inilah akibat kesudahannya bagi orang yang mendustakan para rasul setelah diberi peringatan dan amaran.
  2. Tidak perlu hurai panjang inilah kisahnya yang berulang, apabila rasul datang, mereka ingkar dan kufur maka terimalah akibatnya!

AYAT 74-{KECUALI HAMBA-HAMBA ALLAH YANG DIBERSIHKAN DARI SEBARANG SYIRIK (MAKA MEREKA AKAN TERSELAMAT DAN MENDAPAT SEBAIK-BAIK BALASAN).} (AS-SAAFFAAT 37:74)

  1. Tetapi dalam mana-mana kaum pasti ada juga orang yang ikhlas yang bebaskan dirinya daripada syirik dan kufur, ikhlas beriman kepada Allah dan rasul-Nya.
  2. Dalam mana-mana kaum pasti ada orang yang ikhlas ikut ajaran para rasul, mereka beriman kepada Allah s.w.t, maka merekalah kaum yang selamat. Sebagaimana kumpulan terawal yang memilih untuk beriman dan naik bahtera Nabi Nuh a.s maka mereka selamat.
  3. Ya Allah jadikanlah kami semua dari hamba-Mu yang ikhlas, yang beriman, yang taat kepada Allah dan rasul-Nya, maka selamat dari binasa dan balasan azab-Mu yang amat dahsyat nanti!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 69-{Sebenarnya mereka telah mendapati datuk nenek mereka berada dalam kesesatan;}- antara punca kebinasaan dan kerosakan manusia ialah ikut tok nenek yang sesat! Kata ulama\’ tadabbur ayat ini memberi isyarat celaan kepada kepada yang ikut amalan nenek moyang yang menyalahi dan bercanggah dengan Syari\’ah. Wajib tinggalkan jika menyalahi Syari\’at!

Jika tidak bercanggah tidak mengapa amal budaya dan adat istiadat.
Puak kafir ini terlalu fanatik mengikut dan taksub kepada ketua-ketua dan nenek moyang dalam amalan yang salah.

Taqlid ulama\’ dibenarkan tetapi bukan ikutan membuta tuli.
Memang kita orang awam kena ikut (taqlid) kepada para ulama\’ zamannya yang dipercayai, muktabar dan benar!
Bukan semua orang awam pandai cari dalil, boleh berfatwa dan mengeluarkan hukum sendiri.
Sehingga dikatakan mazhab orang awam itu adalah mazhab muftinya.
Tetapi jangan terlalu taksub sehingga mengatakan hanya imamnya benar, sunnah dan orang lain salah.
Apatah lagi taqlid kepada orang barat yang bukan Islam!

  1. Ayat 71-{Dan demi sesungguhnya, telah sesat juga – sebelum kaummu (wahai Muhammad) – kebanyakan kaum-kaum yang telah lalu.}- dalam ayat ini Allah s.w.t menjelaskan bahawa orang yang sesat itu sejak dahulu lagi lebih ramai daripada orang yang beriman.
    Ini supaya orang kafir itu berfikir dan tahu bahawa bahawa ramainya pengikut dan penyokong bukan bermakna dan menunjukkan dia betul dan tidak salah.

Firman Allah s.w.t: {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.} (Al-Maaidah 5:100).

  1. Ayat 74-{Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan (الْمُخْلَصِينَ) dari sebarang syirik }- ayat ini mengatakan kelebihan bersifat ikhlas, menyembah Allah s.w.t semata tanpa syirik, riya\’ dan takabbur.
    Jika manusia nak selamat, masuklan dalam kumpulan yang ikhlas ini (الْمُخْلَصِينَ).
  2. Ayat 64-{Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang;}- satu gambaran yang pelik dari dalam al-Quran tentang neraka.
    Pasti kita akan terfikir bagaimana pokok boleh hidup di dasar neraka tanpa terbakar dek apinya?
    Apatah lagi mereka yang tidak beriman, api pasti akan bakar pokok.
    i- Jawapan yang simple: Allah s.w.t yang mencipta keduanya, Allah yang cipta api pasti Dia akan dapat menghalang api dari membakar pokok. Begitu juga dalam neraka ada malaikat penjaga neraka, dia juga selamat dan tidak terbakar. Allah s.w.t Maha berkuasa untuk menghalang api dari membakar apa yang tidak mahu dibakar. Perkara ini telah ditunjukkan di atas dunia dengan mukjizat Nabi Ibrahim a.s yang dicampak ke dalam api oleh Namrud tetapi selamat dan tidak terbakar!

ii- pokok dan api itu semuanya berasal dari neraka kejadiannya. Maka ia asal dari neraka pasti tidak akan terbakar. Sebagaimana ikan yang hidup dalam air, ia tidak akan lemas dek air itu. Bukan seperti kita yang akan kelemasan di dalam air!

  1. Ayat 65-{Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan;}- bagaimana dapat kita gambarkan gambaran ini sedangkan kita tidak pernah lihat syaitan itu?
    Jawapannya:
    i- sudah sebati dalam kepala manusia- gambaran malaikat ada sesuatu yang indah dan elok kejadiaannya. Sebagaimana kisah Nabi Yusuf a.s dalam al-Quran, yang dikatakan seperti malaikat oleh para wanita yang melihatnya.

Manakala apabila disebut di syaitan akan terbayang sesuatu yang huduh, buruk dan jahat!
Kata ulama\’ ini adalah gambaran yang kita khayalkan dalam kepala, bukan yang kita nampak dengan mata.
ii- ada juga ulama\’ yang kata ia adalah ular berbisa yang berkepala seperti syaitan.

iii- ada ulama\’ kata pokok yang dahsyat yang buahnya seolah seperti ular atau syaitan.

Yang penting kita tidak mahu berjumpa dengan semua gambaran yang buruk ini. Apa yang kita dambakan ialah syurga dan segala nikmatnya, insya\’ Allah.

Powered by BetterDocs