SURAH AL-JATHIYAH : AYAT 31-35

\"\"

KEADAAN ORANG KAFIR PADA HARI KIAMAT, KEANGKUHAN MEREKA DI DUNIA & SEBAB DIAZAB.

Full video : https://youtu.be/WtKG9fFxaWw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan pula tentang Keadaan golongan yang kedua iaitu kumpulan Orang Kafir Pada Hari Kiamat.
  2. Juga tentang Keangkuhan Mereka Di Dunia yang menjadi Sebab mereka Diazab di Akhirat kelak.
  3. Kita orang yang beriman yang yakin dengan semua ini, maka jangan sekali-kali kita mencari perkara yang dimurkai Allah s.w.t atas dunia ini, jika tidak itulah juga pengakhiran kita di Akhirat.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat sebelum ini Allah s.w.t menceritakan tentang keadaan orang yang beriman (فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا), yang akan mendapat balasan nikmat, anugerah dari Allah s.w.t. Maka dalam siri ini Allah ceritakan pula tentang keadaan golongan yang sebaliknya iaitu mereka yang kufur (وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا) dan akan mendapat azab Allah s.w.t.
  5. Begitulah uslub al-Quran, sentiasa dibawa dua-dua kisah atau balasan yang baik dan buruk, seperti syurga dan neraka; agar kamu dapat memilihnya apa yang kamu mahu. Ia samada dimulai dengan orang yang beriman dulu kemudian kafir dulu atau sebaliknya.

AYAT 31- {ADAPUN ORANG-ORANG YANG KAFIR, (MAKA MEREKA AKAN DITEMPELAK DENGAN DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”BUKANKAH AYAT-AYATKU TELAH DISAMPAIKAN DAN DIBACAKAN KEPADA KAMU, LALU KAMU BERLAKU SOMBONG TAKBUR (MENGINGKARINYA), SERTA MENJADI KAUM YANG SENTIASA MELAKUKAN KESALAHAN?} (AL-JAATHIYAH 45:31)

  1. Dalam ayat ini menceritakan tentang kemurkaan Allah s.w.t terhadap puak kafir lalu menempelak dan mengungkit kepada mereka bahawa telah disampaikan dan dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan yang jelas lagi nyata.
  2. Maklumat sudah sampai, tetapi kerana tetap degil keras kepala angkuh sombong (فَاسْتَكْبَرْتُمْ) tidak mahu beriman dan menerima kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. memerli dan mempersendakan apa yang dibawanya.
  3. Lalu jadilah mereka kaum yang sentiasa dalam kesesatan dan melakukan kesalahan yang bersifat jahat (قَوْمًا مُجْرِمِينَ). Yang akan menerima balasan azab siksa dari Allah s.w.t.

AYAT 32- {\”DAN APABILA DIKATAKAN (KEPADA KAMU): SESUNGGUHNYA JANJI ALLAH (MEMBALAS AMAL KAMU) ADALAH BENAR, DAN HARI KIAMAT TIDAK ADA SEBARANG SYAK TENTANG KEDATANGANNYA \’, KAMU BERKATA: KAMI TIDAK MENGETAHUI APA DIA HARI KIAMAT ITU; KAMI HANYA MENGIRA (KEMUNGKINANNYA) SEBAGAI SANGKAAN JUA, DAN KAMI TIDAK SEKALI-KALI MEYAKININYA \’.\”} (AL-JAATHIYAH 45:32)

  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa apabila Dia berjanji, itu adalah janji yang benar iaitu untuk membalas semua manusia pada hari Kiamat nanti.
  2. Apabila Rasulullah s.a.w (atau para pendakwah) menceritakan bahawa janji Allah itu benar, Kiamat itu akan berlaku dengan sesungguhnya tanpa syak dan ragu.
  3. Mereka menjawabnya dengan angkuh dan sombong, memerli dan mengejek:
    i- Kami tidak tahu apakah itu Kiamat. (مَا نَدْرِي)

ii- kami mengira ia hanya sangkaan kamu (ظَنًّا) saja, sesuatu yang diragui dan tidak boleh dipercayai. Agakan dan dakwaan Nabi dan orang beriman saja.

ii- kami juga tidak sekali-sekali mempercayainya! (وَمَا نَحْنُ بِمُسْتَيْقِنِينَ)

AYAT 33- {DAN (PADA KETIKA ITU) TERNYATALAH KEPADA MEREKA BALASAN KEJAHATAN-KEJAHATAN YANG MEREKA TELAH LAKUKAN, SERTA MEREKA DILIPUTI OLEH AZAB YANG MEREKA EJEK-EJEK ITU!} (AL-JAATHIYAH 45:33)

  1. Maka pada hari Kiamat nanti terserlah dan terzahirlah segala kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan dulu.
  2. Mereka akan diliputi azab dari segenap sudut, atas apa segala perbuatan jahat mereka atas dunia dulu. Itulah azab yang mereka tidak percaya dan jawab dengan perlian dan ejekan dulu.

AYAT 34- {DAN DIKATAKAN (KEPADA MEREKA): \”PADA HARI INI KAMI TIDAK HIRAUKAN KAMU (MENDERITA DI DALAM AZAB SEKSA) SEBAGAIMANA KAMU TIDAK HIRAUKAN PERSEDIAAN UNTUK MENEMUI HARI KAMU INI; DAN TEMPAT KAMU IALAH NERAKA, DAN KAMU TIDAK AKAN BEROLEH SESIAPAPUN YANG DAPAT MEMBERIKAN PERTOLONGAN.} (AL-JAATHIYAH 45:34)

  1. Setelah dimasukkan ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka pula dengan penuh penghinan, perlian dan ejekan!
  2. Pada hari ini kamu akan dibiarkan dalam azab sebagaimana kamu atas dunia dulu meninggalkan iman dan ketaatan kepada Allah s.w.t dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi hari yang dahsyat ini, maka rasakan azab neraka-Nya,
  3. Firman Allah s.w.t: {(Lalu dikatakan kepada mereka: \”Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan\”.} (As-Sajdah 32:14)
  4. Maka pada hari itu tiada siapa yang dapat memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka kecuali dengan kuasa Allah s.w.t! Jangan kamu berangan-angan lagi.
  5. Firman Allah s.w.t: {Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.} (A-li\’Imraan 3:56)
  6. Ya Allah selamatkan kami dari kemurkaan-Mu, berilah kami petunjuk dan pertolongan di dunia dan Akhirat, jangan tinggalkan kami dengan sebab maksiat yang dilakukan atas dan ini.

AYAT 35- {\”(BALASAN BURUK) YANG DEMIKIAN INI IALAH KERANA KAMU TELAH MENJADIKAN AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH SEBAGAI EJEK-EJEKAN, DAN KERANA KAMU TELAH MEMBIARKAN DIRI KAMU DIPERDAYAKAN OLEH KEHIDUPAN DUNIA\”. MAKA PADA HARI ITU MEREKA TIDAK AKAN DIKELUARKAN DARI NERAKA, DAN MEREKA TIDAK DIBERI PELUANG UNTUK BERTAUBAT (MEMPERBAIKI KESALAHANNYA).} (AL-JAATHIYAH 45:35)

  1. Punca sebab balasan buruk dan azab yang menimpa mereka ini ialah kerana:
    i- mereka jadikan ayat-ayat Allah s.w.t. sebagai permainan perlian dan ejekan.

ii- membiarkan diri mereka terpedaya dengan kehidupan dunia maka hentam semuanya. Halal-haram tidak perdulikan, riba-rasuah perkara biasa, yang penting kemewahan dunia dikaut!

iii- mereka juga tidak beramal dan ingkar akan hari Akhirat yang dijanjikan Allah s.w.t.

  1. Maka pada hari itu mereka akan berada dalam neraka kekal selamanya, tidak akan dikeluarkan lagi darinya. (لَا يُخْرَجُونَ مِنْهَا)
  2. Mereka juga tidak akan diberi peluang untuk bertaubat dari dosa kesalahan mereka, tidak disuruh lagi untuk melakukan kebaikan (يُسْتَعْتَبُونَ) bagi meringankan azab mereka. Mereka juga tidak akan kembali lagi hidup dunia dan diberi peluang kedua. Tidak sekali-kali akan ada peluang dan jalan keluar untuk mereka!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 30- {Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh} & Ayat 31- {Adapun orang-orang yang kafir,}- melalui dua ayat ini Allah s.w.t hanya menyebut tentang dua kumpulan sahaja samada yang baik dan jahat, ahli syurga atau ahli neraka.
    Tidak ada golongan ketiga seperti yang didakwa oleh golongan muktazilah yang mengatakan ada golongan yang bukan ahli syurga atau neraka.

Ar-Razi kata ini adalah satu pandangan bathil yang tidak boleh dipakai.

Adapun yang disebut dalam surah al-A\’raf itu hanya sementara sahaja kemudian dengan dengan limpah kurnia Allah s.w.t mereka semua dimasukkan ke dalam syurga juga akhirnya.

Ashabul A\’raf; kata ulama\’ tafsir- mereka adalah manusia yang amal kebaikan dan kejahatannya sama banyaknya. Mereka ditempatkan buat sementara di sebuah tempat yang terletak antara syurga dan neraka. Kemudian setelah semua ahli syurga dimasukkan kedalam syurga maka ashabul A\’raf juga dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga. Wallahu a\’lam.

  1. Ayat 31- {lalu kamu berlaku sombong takbur (mengingkarinya), serta menjadi kaum yang sentiasa melakukan kesalahan?}- dalam ayat ini menunjukkan bahawa sifat sombong dan angkuh (فَاسْتَكْبَرْتُمْ) itu adalah satu sifat yang amat buruk dan bahaya.

Dengan sifat sombong itulah orang kafir atau mukmin yang bersifat begitu juga akan dihumbankan ke dalam neraka.
Ini menunjukkan bahawa apa yang wajib kita buat adalah berdasarkan hukum Syara\’ bukan berdasarkan akal.

Kata ar-Razi lagi: Berbeza dengan pandangan muktazilah yang mengatakan kewajipan agama ada yang menurut logik akal.

  1. Ayat 31- {Adapun orang-orang yang kafir,.. serta menjadi kaum yang sentiasa melakukan kesalahan?}- kenapa orang yang sudah kafir itu disifatkan juga sebagai kaum yang jahat (مُجْرِمِينَ) sedangkan kafir itu sudah satu kejahatan?

Jawapan: Yakni mereka kaum yang kufur dari segi aqidah serta jahat (مُجْرِمِينَ) juga dari segi perangai jahat mereka sesama manusia dari segi kezaliman, penindasan dan lain-lain.

  1. Ayat 32- {Kamu berkata: `Kami tidak mengetahui apa dia hari kiamat itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali meyakininya \’.\”}- orang kafir kata tidak mempercayai hari Kiamat dan Kebangkitan semula. Ayat ini menunjukkan kepada pendirian mereka yang tidak yakin kepada hari Kiamat sebagai mereka tidak percaya kepada hidup semula.

Kata ulama\’, kafir itu ada dua golongan:
i- golongan atheist yang tidak percaya lansung kepada tuhan.

ii- ada juga puak kafir yang banyak mendengar ayat-ayat al-Quran dan ajaran Rasulullah s.a.w yang masuk ke dalam hati mereka sehingga menimbulkan syak dan keraguan akan kebenaran yang dibawa oleh Baginda. Ini juga kerana fitrah semulajadi dalam diri manusia. Tetapi mereka lebih terpengaruh dengan kaum mereka yang jahat.
Allah juga katakana kepada mereka, inilah balasan atas apa yang kamu perli dan permain-mainkan atas dunia dulu.

  1. Ayat 35- {\”(Balasan buruk) yang demikian ini ialah kerana kamu telah menjadikan ayat-ayat keterangan Allah sebagai ejek-ejekan, dan kerana kamu telah membiarkan diri kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia\”.}- ayat ini menunjukkan bahawa orang kafir itu berhak menerima azab kerana mengingkari agama yang benar. Begitulah biasanya orang yang terpengaruh dengan dunia akan menolak Akhirat.
    Merasakan agama ini menyekat kebebasan dan kejayaan mereka atas dunia ini.
    Maka kita sebagai orang yang beriman jangan turut terpengaruh dengan pegangan dan kepercayaan ini, merasakan hidup kita atas dunia ini tersekat dan sempit kerana agama.

Powered by BetterDocs