SURAH ASY-SYURA : AYAT 10-12

\"\"

KEWAJIPAN BERHUKUM DENGAN SYARIAT ALLAH, KAEDAH BERINTERAKSI DENGAN AYAT SIFAT & KHAZANAH LANGIT DAN BUMI MILIK ALLAH.

Full video : https://youtu.be/juAnf21N0P4

MUQADDDIMAH :

  1. Alhmdulillah bermula semalam kita telah sampai ke 10 akhir Ramadhan pada tahun ini. Rahsia kenapa Allah s.w.t sembunyikan tarikh sebenar akan berlaku Lailatul-Qadar adalah untuk memberi kelebihan ini kepada mereka yang benar-benar bersemangat ingin mencari dan menggapainya, insya\’ Allah.
  2. Dalam siri ini isu yang dibincangkan ialah Kewajipan Berhukum Dengan Syariat Allah.
  3. Kedua kita disuruh untuk mengenal Allah s.w.t dengan sifat-Nya yang mulia, lalu diajar Kaedah Berinteraksi Dengan Ayat Sifat ini dengan paksinya: {Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya- لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ).
  4. Kemudian Allah nyatakan bahawa gedung Khazanah Langit Dan Bumi semuanya Milik dan di bawah kuasa Allah. Kita hanya diizinkan untuk menikmati dan menggunannya hanya dengan izin dan kuasa Allah s.w.t. Kita bukanlah pemilik kepada segala ini, ianya bukan hak kita, jika salah faham, inilah kepincangan yang berlaku.

AYAT 10- {DAN (KATAKANLAH WAHAI MUHAMMAD KEPADA PENGIKUT-PENGIKUTMU): \”APA JUA PERKARA AGAMA YANG KAMU BERSELISIHAN PADANYA MAKA HUKUM PEMUTUSNYA TERSERAH KEPADA ALLAH; HAKIM YANG DEMIKIAN KEKUASAANNYA IALAH ALLAH TUHANKU; KEPADANYALAH AKU BERSERAH DIRI DAN KEPADANYALAH AKU RUJUK KEMBALI (DALAM SEGALA KEADAAN)\”.} (ASY-SYURA 42:10)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t mengajar kepada Rasulullah s.a.w agar berkata kepada manusia bahawa jika ada perselisihan dalam perkara agama, maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah.
  2. Timbul perbincangan kepada siapa ayat (khitab) ini ditujukan?
    i- Kata Syeikh Muqatil: ayat ini ditujukan kepada ahli Makkah kerana ada sebahagian mereka yang kufur dan ada sebahagian yang beriman.

ii- Al-Wahidi pula berkata: Ini adalah hukuman pada hari Kiamat, di mana orang yang beriman dengan al-Quran akan masuk syurga manakala yang mendustakannya akan masuk neraka.

iii- ada yang berpendapat hukuman ini kepada semua perkara, kita balik kepada undang-undang Allah s.w.t. Dan ada yang mengatakan khas dalam isu agama kita kena kembali kepada Syari\’ah Allah.

iv- ada ulama\’ yang mengatakan ini adalah perselisihan di akhirat kelak.

v- tetapi ada juga ulama\’ kata semuanya kena kembali kepada Allah samada dalam isu agama atau isu kehidupan dunia.

  1. Kerana itu ulama\’ membahagikan undang-undang peraturan ini kepada dua:
    i- undang-undang Syari\’ah yang jelas ada nas dalam al-Quran & Hadis.

ii- undang-undang ta\’zir yang tiada dalam nas maka dikembalikan kepada pemerintah. Contoh seperti undang-undang jalan-raya dan seumpamanya.

  1. Kerana itu dalam perkara agama tidak boleh kita sewenang-wenangnya buat walaupun kita sangka perkara baik.
  2. Kemudian Allah suruh kita isytiharkan bahawa Allah yang Agung itulah Tuhanku:
    i- kepada-Nya kita berserah diri. Yakni bila kita akur kepada Allah, maka kepada-Nya kita berserah diri, dengan minta ampun dan bertaubat apabila kita lemah dan cuai.

ii- kepada Allah jua tempat merujuk dalam semua perkara. Yakni ku serahkan segala urusan kepada-Nya.

  1. Kuasa al-Hakimiyyah, kuasa menetapkan undang-undang itu di bawah kuasa Allah s.w.t semata-mata.
  2. Beberapa lagi firman Allah s.w.t tentang ini:
    i- {Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada \”Ulil-Amri\” (orang-orang yang berkuasa / para ulamak) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.} (An-Nisaa\’ 4:59)

ii- {(Katakanlah wahai Muhammad): \”Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta Syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?\”} (Al-An\’aam 6:114)

  1. Maka kita sebagai orang yang beriman wajib berusaha untuk mengangkat dan memartabatkan kembali undang-undang Syari\’ah Allah s.w.t! Tanggung-jawab yang akan ditanya di hadapan Allah s.w.t kelak.

AYAT 11- {DIA LAH YANG MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI; IA MENJADIKAN BAGI KAMU PASANGAN-PASANGAN DARI JENIS KAMU SENDIRI, DAN MENJADIKAN DARI JENIS BINATANG-BINATANG TERNAK PASANGAN-PASANGAN (BAGI BINTANG-BINATANG ITU); DENGAN JALAN YANG DEMIKIAN DIKEMBANGKANNYA (ZURIAT KETURUNAN) KAMU SEMUA. TIADA SESUATUPUN YANG SEBANDING DENGAN (ZATNYA, SIFAT-SIFATNYA, DAN PENTADBIRANNYA) DAN DIA LAH YANG MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MELIHAT.} (ASY-SYURA 42:11)

  1. Siapakah Allah yang kamu mesti bertahkim- yang kamu diwajibkan mengambil undang-undang-Nya serta menolak yang lain ini?
  2. Allah s.w.t memperkenalkan bahawa Dia yang mencipta langit dan bumi yang besar dan teguh kejadiannya. Kita hanya penghuni dan penggunanya, jika sembah dan cari tuhan selain dari Allah maka itulah orang yang tidak sedar dan tidak syukur kepada Allah.
  3. Allah jua yang mencipta bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, iaitu manusia sesama manusia, jin sama jin, binatang sesama binatang. Serta pasangan itu pula antara berlainan jantina, bukan sesama jenis seperti geng LGBT yang melawan fitrah itu.
  4. Kata Syeikh Ibnu Asyur rhm.: Ini menunjukkan antara nikmat Allah kepada manusia. Jika pasangan dari kalangan makhluk lain akan berlaku kecelaruan dan kekeliruan.
  5. Firman Allah s.w.t lagi yang menafsirkan ayat ini: {Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.} (Ar-Ruum 30:21)
  6. Inilah antara nikmat Allah s.w.t, kamu berasa senang hati dan hidup mesra bersama, serta dijadikan perasaan kasih sayang ketika muda dan belas kasihan apabila sudah berusia tua.
  7. Firman Allah s.w.t tentang pasangan sesama binatang pula: {(Binatang ternak itu) delapan ekor – (empat) pasangan; dari kambing biri-biri dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): \”Adakah yang diharamkan Allah itu, dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan ilmu pengetahuan (Syarak dari Allah yang menjadi dalil tentang haramnya), jika betul kamu orang-orang yang benar\”.
    Dan dari unta dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari lembu dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad): \”Adakah yang diharamkan Allah itu dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Ataupun kamu ada menyaksikan ketika Allah menyuruh serta menentukan kepada kamu (atau kepada datuk nenek kamu) dengan yang demikian ini?\” Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.} (Al-An\’aam 6: 143-144)
  8. Kemudian Allah kembang-biakkkan kamu dengan pasangan-pasangan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Yakni zuriat manusia bertukar ganti, ada yang mati ada yang baru lahir menggantikannya hidup atas muka-bumi ini.
  9. Allah memperkenalkan sifat-Nya serta ayat ini menjadi satu kaedah besar untuk kita faham sifat-sifat Allah s.w.t tanpa perlu mentakwilnya. Kerana Allah sudah memberi panduan dan paksinya iaitu :{ Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya- لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ).
    Jika kita faham dengan paksi ini kita tidak akan menjadi keliru dan sesat, kerana cara pemahamannya sudah diajar dengan jelas oleh ulama\’ salaf sebelum ini. Kita tidak akan berbalah dan tuduh menuduh serta label-melabel lagi!
  10. Allah-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. Sifat ini boleh pula diterima dan dikekalkan tanpa mentakwilnya. Yakni Allah s.w.t Maha Mendengar, lagi Maha Melihat, sebagaimana yang layak bagi-Nya serta tidak menyerupai sesuatupun.
    Kenapa sifat-sifat lain tidak boleh pula kita menafsirkannya begini, tanpa perlu mentakwilnya.
    Ajar masyarakat biar faham, bawa hujjah-hujjah yang telah diberi ulama\’ bagaimana cara untuk memahami sifat Allah Azza wa Jalla.

AYAT 12- {DIA LAH JUA YANG MENGUASAI URUSAN DAN PERBENDAHARAAN LANGIT DAN BUMI; IA MEMEWAHKAN REZEKI BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT PERATURAN YANG TELAH DITETAPKAN), DAN DIA JUGA YANG MENYEMPITKANNYA (MENURUT PERATURAN ITU); SESUNGGUHNYA IA MAHA MENGETAHUI AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (ASY-SYURA 42:12)

  1. Kuasa dan kunci perbendaharaan langit dan bumi di dalam kuasa Allah s.w.t.
  2. Allah memberi rezeki-Nya kepada sesiapa yang dikehendakinya, ada yang mewah dan banyak rezekinya menurut peraturan yang telah ditetapkan, ada yang sempit dan kurang rezekinya.
  3. Tetapi ada juga manusia yang miskin di dunia tetapi miskin juga amal ibadatnya untuk akhirat. Inilah manusia yang miskin dan rugi dunia dan akhiratnya.
  4. Banyak tafsiran ulama\’ tentang maksud kunci (مَقَالِيدُ), antaranya:
    i- kunci rezeki di langit ialah hujan
    ii- kunci rezeki di bumi ialah tumbuh-tumbuhan.
  5. Semua ini kerana sesungguhnya Allah s.w.t Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu, lalu Dia menempatkan setiap sesuatu pada tempatnya.
    Ujian, rezeki, ilmu dan nikmat diberikan berdasarkan keadaan manusia itu yang hanya Allah s.w.t tahu hikmah disebaliknya!
  6. Antaranya supaya manusia itu saling memerlukan dan membantu antara satu sama-lain. Jika semua orang kaya siapa yang akan buat kerjanya, siapa yang akan terima sedekah, zakat dan lain-lain keperluan.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 10- {Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): \”Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah;}- ingatlah hukum dan undang-undang Allah itu maha sempurna dan meliputi segalanya.

i- Kata ulama\’ ayat ini nas yang jelas bahawa semua undang-undang itu kita kembalikan kepada Allah s.w.t, kepada al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.
Jika kita guna akal saja maka banyak akan rosak dan zalim.
Jangan sesekali berani mempertikaikan hukum Allah seperti yang ditimbulkan oleh segelintir orang Islam sendiri seperti dalam isu poligami dan pewarisan harta pusaka.

ii- Ayat ini juga menjadi dalil bahawa kita kena kembali kepada ayat-ayat yang muhkam (hukum-hakam) dalam kitab Allah s.w.t dan yang jelas dalam Sunnah Nabi s.a.w. Mana yang tidak jelas kita kembali kepada tafsiran para ulama\’ yang muktabar. Jika tidak jelas bagi kita, tidak semestinya tidak jelas bagi orang lain yang Allah beri kefahaman dan ilmu.

iii- Ayat ini juga menunjukkan bahawa manusia itu pasti akan berbeza dan berselisih, masing-masing akan mempunyai pandangan, pendapat, citarasa dan pilihan sendiri.
Kerana itu kena ada formula dan adab dalam menangani berikhtilaf. Kena ada toleransi, tolak-ansur dan kefahaman.

Buku susunan DAAM- adab-adab bila berlaku perbezaan pandangan:
http://www.dartaibah.com/…

  1. Ayat 10- {Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; KepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan)\”.}- kata ulama\’ tadabbur inilah dua asas (tawakkal dan kembali kepada Allah) yang banyak sekali disebut oleh Allah s.w.t dalam al-Quran.

Antaranya firman Allah swt:
i- {Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.} (Al-Faatihah 1:5)

ii- {Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.} (Hud 11:123)

  1. Ayat 12- {Dia lah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi;}- ayat ini sebagai satu peringatan kepada manusia jika kita sudah tahu Allah yang menguasai segalanya, maka jangan sekali-kali kamu minta pertolongan dan kepada selain dari Allah s.w.t. Ini masalah pergantungan hati kepada Allah s.w.t.

Hadis pesanan Rasulullah S.A.W kepada Ibnu \’Abbas R.Anhuma:

إذا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ

Maksudnya: Apabila kamu meminta, mintalah pada Allah, dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah dengan Allah. Ketahuilah, jika suatu kumpulan manusia berpakat untuk memberikan kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan apa-apa melainkan apa yang ditulis oleh Allah S.W.T untukmu. Dan jika mereka berpakat untuk mengenakan keburukan kepadamu, mereka tidak akan mampu menimpakan apa-apa melainkan apa yang telah Allah tuliskan ke atas mu. [HR at-Tirmizi].

  1. Ayat 10- {Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): \”Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; – Allah s.w.t yang menjadi pemutus kepada hamba-Nya dalam semua perkara.
    Ayat ini menjadi kewajipan kepada kita kembali kepada Syari\’ah Allah bukan undang-undang ciptaan manusia terutama ciptaan orang kafir. Sepertimana tinggalan penjajah yang menjadi pegangan golongan sekular sehingga ke hari ini.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa sepakat/ijma\’ ulama\’ umat itu boleh menjadi hujjah kepada hukum Syari\’ah.

Kerana itu tertib sumber perundangan Syari\’ah Islam ialah:
i- al-Quranul Karim.
ii- Hadis Rasulullah s.a.w.
iii- Ijma\’ ulama\’.
Dan Qiyas.

  1. Ayat 11- {Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) :{لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ). – ayat ini menjadi dalil apabila kita mahu memahami sifat Allah kita mesti berpaksi kepada panduan atau kaedah ini supaya tidak tersalah dan boleh membawa kepada terseleweng. Yakni apabila kita isbat menyebut sifat Allah bukan bererti kita menyamakannya (tamsil) dengan makhluk. Kena berpegang dengan ayat ini:

Jikalah apabila kita isbat (menyabitkan) sifat Allah s.w.t menjadikan kita tamsil (menyamakan Allah dengan makhluk) maka ayat al-Quran akan menjadi celaru, kerana itu Allah kata {لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ) kemudian Dia sebut beberapa sifat-Nya yang ada dalam al-Quran serta ada juga dalam hadis Nabi s.a.w.

Jadi ayat ini mengatakan bahawa orang yang isbat sifat Allah bukan bererti dia menyamakannya (tamsil) dengan makhluk dan tidak haru isbat atau sebut nama Allah s.w.t sekali dengan tamsil, tidak mungkin sama-sekali.

Kerana itu Allah s.w.t bawa dua sifat-Nya iaitu (Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.).
Kenapa dalam sifat ini kita boleh menerimanya tanpa takwil dan dalam sifat lain kita tidak boleh terima dan kena takwil? Kerana itu baiklah dalam bab ini kita kembalilah kepada pandangan ulama\’ salaf yang terdahulu kerana pastilah mereka lebih alim dan arif, maka lebih selamat.

Ayat ini menjadi dalil kepada Ahlu Sunnah wal Jamaah dalam bab isbat sifat Allah serta menafikan mumasalah (menyamakan Allah dengan makhluk).

Ia juga menolak pandangan beberapa golongan yang sesat lagi batil seperti:
i- puak musyabbihah yang mengatakan Tuhan itu sama dengan makhluk.
ii- mua\’ttilah- yang tidak berani untuk mengisbatkan sifat Allah takut serupa dengan makhluk.
iii- mujassimah golongan yang mengatakan Tuhan itu berjisim seperti makhluk.
Inilah antara kumpulan sesat yang telah diputuskan oleh ulama\’ Ahli Sunnah wal Jama\’ah.
Antara yang paling dahsyat ialah kepalanya iaitu Daud al-Jawaribi.

Apa yang penting kita berpandu dan berpeganglah dengan kaedah ini bahawa Allah s.w.t itu: {Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya- لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ), insya\’ Allah akan selamat.

Powered by BetterDocs