SURAH ASY-SYURA : AYAT 51-53

\"\"

CARA ALLAH S.W.T SAMPAIKAN WAHYU, AL-QURAN ISTIMEWA UNTUK NABI & NABI S.A.W MEMBIMBING UMATNYA.

Full video : https://youtu.be/mCfKYWEXMTc

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t terangkan bagaimana Cara Allah S.W.T Sampaikan Wahyu kepada para rasul-Nya, khasnya kepada nabi kita Rasulullah s.a.w.
  2. Kemudian Allah s.w.t nyatakan bahawa al-Quran ini adalah istimewa sebagai mikjizat khas kepada Rasulullah s.a.w, menjadi sumber rujukan utama kita, sebagai panduan kepada kita dalam kehidupan agama dan dunia seluruhnya.
  3. Serta dinyatakan bahawa tugas Nabi S.A.W Membimbing Umatnya, menyampaikan apa yang Allah s.w.t sampaikan kepada kita, membimbing mendidik mengeluarkan mereka daripada kegelapan kekufuran kepada cahaya keimanan, dari kehidupan jahiliyyah kepada kehidupan yang berpandu kepada Syari\’ah Allah s.w.t.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah mnyebut tentang sempurnanya kuasa dan ilmu Allah s.w.t. Maka dalam ayat ini Allah terangkan bagaimana cara Allah berinteraksi menyampaikan wahyu kepada para rasul-Nya a.s.
    Allah sampaikan maklumat dan arahan kepada mereka dengan 3 cara.

AYAT 51- {DAN TIDAKLAH LAYAK BAGI SESEORANG MANUSIA BAHAWA ALLAH BERKATA-KATA DENGANNYA KECUALI DENGAN JALAN WAHYU (DENGAN DIBERI ILHAM ATAU MIMPI), ATAU DARI SEBALIK DINDING (DENGAN MENDENGAR SUARA SAHAJA), ATAU DENGAN MENGUTUSKAN UTUSAN (MALAIKAT) LALU UTUSAN ITU MENYAMPAIKAN WAHYU KEPADANYA DENGAN IZIN ALLAH AKAN APA YANG DIKEHENDAKINYA. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA TINGGI KEADAANNYA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (ASY-SYURA 42:51)

  1. Allah menegaskan bahawa tidak selayak dan sepatutnya bagi seorang manusia untuk bercakap atau berkata-kata dengan Allah s.w.t kecuali dengan:
    i- Cara yang pertama melalui wahyu yang nyata (وَحْيًا), atau dengan diberi ilham atau mimpi. Ini khas untuk para nabi & rasul.
  2. Maksud wahyu: Percakapan yang tersembunyi; didengari hanya oleh orang yang Allah turunkan wahyu kepadanya.

Para ulama\’ tafsir memberi penjelasan, antaranya:
i- Kata Muqatil bin Sulaiman rhm:
Tiada mana-mana nabi yang bercakap dengan Allah s.w.t kecuali melalui dengan wahyu, dia dengar suara dan dia faham.

ii- Kata al-Biqa\’i: wahyu itu maknanyna kata-kata yang tersembunyi, kadang-kadang diberi tanpa perantaraan Jibril, samada melalui ilham, mimpi atau khas dihantar Jibril a.s dengan rupanya yang asli atau berupa orang.

  1. Maka sekarang ini jika ada manusia yang mengaku jumpa atau bercakap dengan tuhan maka ia adalah satu dakwaan yang tidak dapat dibuktikan!
    Begitu juga pengakuan yang mengatakan jumpa Rasulullah s.a.w secara zahir (yaqazah), semua ini pengakuan yang tiada maklumat yang jelas dan bukti.
  2. Cara yang kedua: Dengan mendengar suara dari sebalik dinding (مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ). Sebagaiman nabi Musa a.s yang berkata-kata dengan Allah s.w.t di Bukit Tursina.
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu).
    Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril).
    Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya.} (Al-Baqarah 2:253)

ii- {Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: \”Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu\”.
Allah berfirman: \”Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu\”, Setelah Tuhannya \”Tajalla\” (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) \”TajalliNya\” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: \”Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku).} (Al-A\’raaf 7:143)

  1. Persoalan adakah Rasulullah s.a.w melihat Allah s.w.t semasa Isra\’ & Mi\’raj? Ramai para ulama\’ Salaf berpendapat tidak secara lansung, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh UM Aisyah r.a.
  2. Hadis Rasulullah s.a.w riwayat Abu Musa al-Asy\’ari r.a, sabda Rasulullah s.a.w: – \”Hijab Allah (pendinding antara Allah dan makhluk) itu nur (cahaya), jika dibuka hijab itu nescaya terbakar segala makhluk-makhluk yang sampai kepadanya cahaya itu!\” [HR Muslim].

قامَ فِينا رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ بخَمْسِ كَلِماتٍ، فقالَ: إنَّ اللَّهَ عزَّ وجلَّ لا يَنامُ، ولا يَنْبَغِي له أنْ يَنامَ، يَخْفِضُ القِسْطَ ويَرْفَعُهُ، يُرْفَعُ إلَيْهِ عَمَلُ اللَّيْلِ قَبْلَ عَمَلِ النَّهارِ، وعَمَلُ النَّهارِ قَبْلَ عَمَلِ اللَّيْلِ، حِجابُهُ النُّورُ، وفي رِوايَةِ أبِي بَكْرٍ: النَّارُ، لو كَشَفَهُ لأَحْرَقَتْ سُبُحاتُ وجْهِهِ ما انْتَهَى إلَيْهِ بَصَرُهُ مِن خَلْقِهِ. أبو موسى الأشعري • مسلم (ت 7٦١)، صحيح مسلم

  1. Yakni kita makhluk ini tidak layak untuk melihat Allah atas dunia ini. Kita akan layak bila masuk syurga di Akhirat esok.
    Maka marilah kita berdoa di pagi yang mulia ini agar dapat melihat wajah Allah s.w.t di dalam syurga di Akhirat kelak, insya\’ Allah. inilah pegangan kita Ahlus-Sunnah wal Jama\’ah. Puak Muktazilah berpendapat tidak akan dapat lihat selamanya.
  2. Daripada Suhaib al-Rumi, Nabi Muhammad ﷺ bersabda, maksudnya: \”Apabila ahli syurga telah memasuki syurga, dan ahli neraka memasuki neraka, ALLAH s.w.t berfirman kepada ahli syurga: \’Mahukah kamu AKU tambahkan lagi?\’
    Ahli syurga berkata: \”Ya ALLAH, kenikmatan apa lagi yang akan Engkau berikan? Bukankah Engkau telah memutihkan wajah kami, memasukkan kami ke syurga & menyelamatkan kami dari neraka?\”
    Rasulullah ﷺ bersabda: \”Tiba-tiba disingkap hijab (sehingga mereka dapat melihat ALLAH s.w.t. Maka tidak ada sesuatu yang lebih mereka sukai daripada memandang wajah ALLAH s.w.t. [HR Muslim]
  3. Cara yang ketiga: Ialah dengan mengirimkan utusan (malaikat Jibril- يُرْسِلَ رَسُولًا), maka utusan itu akan menyampaikan kepada rasul-rasul dengan cara yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dengan izinnya.

Kata Ibnu Kathir rhm.: Jibril a.s datang menemui Rasulullah s.a.w dalam beberapa bentuk:
i- berupa manusia seperti sahabat Dihyah al-Kalbi r.a.
ii- adakala dalam bentuk seorang Arab Badwi. (Hadis Islam, Iman & Ihsan).
iii- dalam bentuk rupanya yang asli dengan 600 sayapnya yang besar sekali. Ini sebanyak dua kali sekali iaitu antara langit dan bumi dan keduanya semasa di Sidratul-Muntaha pada malam Mi\’raj.

AYAT 52- {DAN DEMIKIANLAH KAMI WAHYUKAN KEPADAMU (MUHAMMAD) – AL-QURAN SEBAGAI ROH (YANG MENGHIDUPKAN HATI PERINTAH KAMI; ENGKAU TIDAK PERNAH MENGETAHUI (SEBELUM DIWAHYUKAN KEPADAMU): APAKAH KITAB (AL-QURAN) ITU DAN TIDAK JUGA MENGETAHUI APAKAH IMAN ITU; AKAN TETAPI KAMI JADIKAN AL-QURAN: CAHAYA YANG MENERANGI, KAMI BERI PETUNJUK DENGANNYA SESIAPA YANG KAMI KEHENDAKI DI ANTARA HAMBA-HAMBA KAMI. DAN SESUNGGUHNYA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) ADALAH MEMBERI PETUNJUK DENGAN AL-QURAN ITU KE JALAN YANG LURUS,} (ASY-SYURA 42:52)

  1. Rasulullah s.a.w telah menerima wahyu dengan semua cara yang telah diterima oleh para rasul terdahulu. Yakni ketiga-tiga jenis yang disebut tadi.
  2. Dalam ayat ini Rasulullah s.a.w menerima wahyu al-Quran (roh) sebagai satu perintah dari Allah s.w.t..
    Al-Quran dianggap sebagai roh kerana ia yang menghidupkan hati yang mati Sedangkan Baginda s.a.w tidak pernah mengetahui apakah al-Quran itu sebelum diwahyukan kepadanya.
  3. Ada ulama\’ kata tidak tahu itu maksudnya Rasulullah tidak membaca & tidak menulis. Juga Rasulullah tidak tahu apa itu al-Quran atau iman yang sebenarnya sebelum ini.
  4. Kata Ibnu Asyur rhm.: Para nabi dan rasul itu terpelihara daripada syirik sebelum menjadi nabi lagi. Mereka tidak menyembah berhala.
    Mereka mentauhidkan Allah s.w.t, cuma tidak tahu penjelasan tentang iman sehinggalah turunnya wahyu dari Allah s.w.t. Yakni Allah s.w.t pelihara para nabi dan rasul a.s dari syirik dan munkar sejak dari awal lagi!
  5. Antara tugas Rasulullah s.a.w ialah menyampaikan hidayah memberi bimbingan dan dakwah petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus.

AYAT 53- {IAITU JALAN ALLAH YANG MEMILIKI DAN MENGUASAI SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI. INGATLAH! KEPADA ALLAH JUALAH KEMBALI SEGALA URUSAN.} (ASY-SYURA 42:53)

  1. Jalan yang lurus itu ialah jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.
  2. Serta Allah memberi peringatan bahawa Kepada Allah jualah kembali segala urusan!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 51- {Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu.}- ayat ini memberi beberapa pengajaran:
    i- mengisbatkan bahawa Allah s.w.t itu berkata-kata. (كونه متكلما).
    Kisah Fiqhiyyah- kata Imam Malik rhm: Jika seseorang telah bersumpah untuk tidak bercakap dengan seseorang, tetapi menghantar wakil untuk bercakap dengannya, dikira dia telah melanggar sumpahnya. Kerana dalil dari ayat ini menghantar utusan adalah dikira bercakap juga. (أَوْ يُرْسِلَ رَسُولًا).

UM Aisyah r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak melihat Allah s.w.t pada malam Isra\’ & Mi\’raj itu.

Ulama\’ tadabbur kata Rasulullah menerima kesemua jenis wahyu ini. Inilah kelebihan Baginda s.a.w.

Dalam Kitab Zadul Ma\’ad menyebutkan:
Rasulullah s.a.w menerima wahyu dalam tujuh keadaan:
i- melalui mimpi yang benar, yang datang seperti cahaya subuh.
ii- Allah campakkan ke dalam hatinya ilham atau wahyu.
iii- Jibril datang samada dengan berupa manusia, yang ini ringan.
iv- datang seperti dengan bunyi loceng. Yang ini amat berat, jika di musim sejuk pun Rasulullah s.a.w akan berpeluh, jika di atas unta, unta itu akan terduduk.
Kisah bagaimana tertindih paha seorang sahabat apabila datang wahyu, begitu berat rasanya.
v- Jibril datang dalam rupanya yang asli (dua kali).
vi- Allah s.w.t berkata-kata terus kepada Rasulullah s.a.w di atas tujuh petala langit ketika memfardhukan solat.
vii- Allah s.w.t berkata-kata terus kepada Rasulullah s.a.w tanpa wasitah malaikat sebagaimana Allah berkata-kata dengan nabi Musa a.s. ini sabit dalam al-Quran sebagaimana Rasulullah s.a.w pada malam Mi\’raj.

  1. Ayat 52- {Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh.}- kenapa al-Quran itu dunamakan roh?
    Kerana dengan al-Quranlah hati manusia dihidupkan, dengan roh dari Allah s.w.t.
    Di dalamnya ada segala kemaslahatan dunia dan agama.
    Allah juga namakan al-Quran sebagai Nur (cahaya) kerana menerangi hati manusia, ia menyatakan yang mana benar & yang mana salah dan menjadi penyuluh jalan.
  2. Ayat 52- {Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu;}- kata ulama\’ sebelum menerima wahyu Rasulullah s.a.w telah beribadat seorang diri (تَحَنُّثٌ) dengan caranya.
    Ulama\’ hadis tidak dapat kesan bagaimana, wallahu a\’lam.
    Jadi sebelum terima wahyu, Baginda tidak tahu perincian iman atau apakah itu al-Quran, sehinggalah menerima wahyu.
    Baginda juga tidak membaca dan tidak menulis- hikmahnya agar tidak menjadi hujjah ke atas Baginda, bahawa ajaran itu adalah rekaannya hasil dari pembacaan dan kajian.
  3. Ayat 52- {Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus,} – kenapa ayat ini bercanggah dengan ayat yang lain iaitu:
    {Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).} [Al-Qasas 28:56]

Jawapan: Hidayah itu ada dua jenis:
i- Pertama (Hidayatul Irsyad Wal Bayan), hidayah memberi bimbingan, penunjuk jalan, memberi ajaran dan keterangan itu kerja Nabi s.a.w dan para rasul yang disambung oleh para sahabat, tabi\’en, imam-imam dan pendakwah semuanya.

ii- Hidayah Taufiq- Hidayah untuk beri taufiq buka hati manusia untuk terima apa yang kita ajar, apa yang dibawa oleh al-Quran dan hadis, itu kerja Tuhan. Bukan di bawah kuasa manusia. Ianya di bawah kuasa Allah s.w.t semata.

  1. Ayat 53- {Iaitu jalan Allah}- ayat ini menjadi hujjah bahawa wajib kita menerima ajaran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
    Semua kata-kata Nabi yang sahih adalah benar, kita terima ia samada Sunnah yang berbentuk wajib atau sunat.
    Yakni Allah sandarkan apa yang Rasulullah bawa itu adalah sebagai jalan Allah kerana ia jalan yang boleh menyampaikan kepada Allah dan redha-Nya.

Kata Ibnu Mas\’ud r.a:
كم من مريد للخير لم يصبه.
Berapa ramai orang yang mahu kebaikan tetapi dia tidak menjumpai jalannya!
Ini kerana dia tidak ikut jalan yang dibawa oleh Nabi s.a.w.

Alhamdulillah pada pagi Jumaat yang mulia ini tamatlah kita surah asy-Syura.

Ya Allah berilah kami hidayah petunjuk-Mu supaya kami dapat sampai dan ikut Jalan-Mu, jalan yang benar yang Engkau redhai yang dapat menyampaikan kami ke Syurga-Mu. Berilah kami hidayah agar dapat membezakan antara jalan yang benar dan jalan yang batil!

Powered by BetterDocs