SURAH AL-HUJURAT : AYAT 6-8

\"\"

ARAHAN BERTABAYYUN BILA TERIMA SESUATU BERITA & CINTAI KEIMANAN DAN ITTIBA\’ NABI S.A.W.

Full video : https://youtu.be/njUPDNuAwOY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ajar kepada kita suatu etika besar iaitu at-Tabayyun yakni memastikan kesahihan maklumat apabila kita terima Sesuatu Berita sebelum kita percayainya apatah lagi sebelum menyebarkannya.
  2. Allah s.w.t juga perintahkan agar Ittiba\’ (ikut ajaran) Nabi S.A.W bukan melawan atau menentangnya.
  3. Allah s.w.t juga anugerahkan kepada kita perasaan menyintai Keimanan Dan bencikan kekufuran serta maksiat. Alhamdulillah.

AYAT 6- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JIKA DATANG KEPADA KAMU SEORANG FASIK MEMBAWA SESUATU BERITA, MAKA SELIDIKILAH (UNTUK MENENTUKAN) KEBENARANNYA, SUPAYA KAMU TIDAK MENIMPAKAN SESUATU KAUM DENGAN PERKARA YANG TIDAK DIINGINI – DENGAN SEBAB KEJAHILAN KAMU (MENGENAINYA) – SEHINGGA MENJADIKAN KAMU MENYESALI APA YANG KAMU TELAH LAKUKAN.} (AL-HUJURAAT 49:6)

  1. Ini merupakan seruan yang ke-3 kepada orang yang beriman daripada 5 seruan.
  2. Ia adalah arahan agar kita jangan gopoh, jangan jadi seperti tong sampah yang menerima semua khabar berita yang dicampakkan kepadanya, yang baik yang buruk, yang masam yang basi dan semuanya. Kita jadilah bekas yang baik-baik yang dapat menapis antara yang bernilai dan tidak.
  3. Arahannya ialah agar kita berhati-harti apabila datang orang fasik (orang yang tidak dapat dipercayai, keluar dari iman dari segi bab bawa berita), membawa berita kepada kita maka hendaklah kita mengambil sikap ini:
    i- jangan terus percaya dan terima.

ii- berhenti dulu untuk siasat dan kepastian, yakni jangan terus tolak atau terima.

iii- sehingga kamu yakin bahawa ia adalah benar baru bertindak.

  1. Kata Ibnu Atiyah: Maksudnya orang yang fasik itu ialah orang yang keluar dari landasan kebenaran.

Contoh hari ini: Seperti kita sudah tahu bahawa satu portal atau syarikat akhbar atau majalah itu adalah yang sering bawa berita palsu dan sensasi, fitnah dan tidak benar, maka jika keluar berita dari sumbernya, kita kena beringat dan hati-hatilah.

  1. Kata Ibnu Abdil-Bar: Tidak ada khilaf dalam kalangan para ulama\’ yang menafsirkan al-Quran apabila mereka menggunakan ayat ini kepada al-Walid: \”Setakat yang aku tahu…\”. Ini kerana ilmu itu luas.
  2. Kisah di sebalik ayat ini: Imam Ahmad meriwayatkan tentang penurunan ayat ini tentang Al-Walid bin \’Uqbah bin Abi Mu\’ith yang diutuskan Rasulullah s.a.w untuk memungut zakat daripada kabilah Bani Mustaliq.

Ketika Al-Walid tiba di perkampungan Bani Mustaliq, berbondong-bondong penduduknya keluar sehingga dia menyangka dirinya sedang terancam. Maka, Al-Walid melarikan diri dari perkampungan tersebut, sedangkan tujuan penduduknya keluar dari rumah-rumah mereka adalah kerana ingin menyerahkan zakat.

Apabila Al-Walid tiba di Madinah, dia bertemu Rasulullah s.a.w dan mengkhabarkan bahawa penduduk Bani Mustaliq telah murtad, lalu Baginda mengarahkan Khalid al-Walid memimpin pasukan tentera menghukum terhadap perbuatan Bani Mustaliq. Baginda berpesan kepada Khalid agar menyiasat terlebih dahulu sebelum memulakan serangan dan jangan bertindak terburu-buru.

Sepanjang perjalanan Khalid al-Walid bersama pasukannya ke perkampungan tersebut, beliau mengutuskan unit perisikannya untuk mengintip perkampungan Bani Mustaliq.

Apa yang mengejutkan, unit perisikannya melaporkan masih terdengar azan dan melihat penduduknya mendirikan solat. Berita yang mendakwa Bani Mustaliq murtad ternyata palsu.
Lantaran itu Khalid membatalkan tujuan perang dan pulang bersama pasukan tenteranya ke Madinah menemui Rasulullah s.a.w.

Berhubung dengan peristiwa tadi, Al-Walid bin \’Uqbah yang menyampaikan khabar tidak benar mengenai Bani Mustaliq. [HR Ahmad].

  1. Kata al-Biqa\’i: Orang fasik yang disebut dalam cerita ini; walaupun dituju kepada semua orang fasik secara umumnya; asalnya adalah turun kepada Walid bin Uqbah, seorang sahabat yang diutus untuk memungut zakat kepada Bani Mustaliq.
  2. Ini adalah suatu kisah yang berat terhadap seorang sahabat.
    Kata al-\’Alusi pula: Apabila kita kata semua sahabat itu adil bukanlah bermakna mereka tidak ada yang berbuat salah, tetapi mungkin ada individu tertentu yang tersilap dan buat salah, maka apabila dia berjumpa dengan Rasulullah s.a.w, dibetulkan semula apa yang silap!
  3. Tetapi pengkaji-pengkaji dan ahli tafsir terkemudian agak berat untuk menerima tuduhan bahawa al-Walid itu fasik.
    Kita lihat kepada beberapa pendapat mereka:
    i- Kata Ibnu Asyur rhm.: Ayat ini tidaklah menunjukkan bahawa al-Walid itu seorang fasik secara direct atau secara isyarat, kata ulama\’ tafsir dia telah membuat sesuatu dengan sangkaannya sendiri, bukanlah dia berniat untuk menipu. Kerana dia takut maka dia buat andaian sendiri.

ii- Kata Ibnu al-\’Arabi rhm. dalam kitabnya (العواصم من القواصم)- yang memberi jawapan terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku antara para sahabat.

Katanya: Dalam kisah ini ada ikhtilaf ulama\’. Betulkah apa yang kita katakan kepada sahabat itu?
Bagaimana kita nak beri tuduhan fasik kepada seorang sahabat Nabi dengan sewenang-wenangnya.
Walaupun kisah ini masyhur dalam banyak kitab-kitab tafsir, tetapi kita berhati-hatilah, sukar dan tak perlulah kita kaitkan kepada sahabat ini secara lansung!

iii- Kata Syeikh Muhibuddin al-Khatib rhm.: Semua kisah ini setelah kita kaji keseluruhannya dari awal sehingga akhirnya, tidak boleh kita membuat tuduhan fasik ini kepada seorang sahabat mujahid yang telah mendapat kepercayaan Sayyidina Abu Bakar dan Umar r.anhuma, dia telah berkhidmat kepada Islam. Berdasarkan fakta juga ketika ayat ini diturunkan pada kisah bani Mustaliq- al-Walid masih kecil lagi!
[Lihat ta\’liq kitab Al-Awasim]

Jadi kita berpegang bahawa ayat ini diturunkan kepada semua orang fasik yang bawa berita palsu bukan khas kepada al-Walid!

  1. Allah s.w.t suruh kita tenang dan jangan gopoh, bila dapat berita jangan mudah-mudah percaya kerana dibimbangkan akan membawa akibat yang buruk.
    Supaya tidak membawa sangkaan buruk terhadap mana-mana kaum sedangkan ianya tidak benar!

Seperti apabila kita menerima sesuatu hadis pastikan ia sahih dulu, bertanya kepada orang alim, sebelum menyebarkannya lalu apabila didapati palsu baru sibuk nak tarik balik!!

  1. Kata Syeikh Syanqiti, maksud ayat ini {supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini}: iaitu supaya kamu tidak jatuhkan hukuman atau beri sangkaan buruk kepada mana-mana kaum dengan sebab berita yang tidak benar!
    Agar selepas itu kita tidak akan menyesal dengan penyesalan yang tiada guna lagi.

AYAT 7- {DAN KETAHUILAH! BAHAWASANYA DALAM KALANGAN KAMU ADA RASULULLAH (MAKA JANGANLAH KEMAHUAN ATAU PENDAPAT KAMU MENDAHULUI PENTADBIRANNYA); KALAULAH IA MENURUT KEHENDAK KAMU DALAM KEBANYAKAN PERKARA, TENTULAH KAMU AKAN MENGALAMI KESUKARAN; AKAN TETAPI (RASULULLAH TIDAK MENURUT MELAINKAN PERKARA YANG DIWAHYUKAN KEPADANYA, DAN KAMU WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN HENDAKLAH BERSYUKUR KERANA) ALLAH MENJADIKAN IMAN SUATU PERKARA YANG KAMU CINTAI SERTA DI PERHIASKANNYA DALAM HATI KAMU, DAN MENJADIKAN KEKUFURAN DAN PERBUATAN FASIK SERTA PERBUATAN DERHAKA ITU: PERKARA-PERKARA YANG KAMU BENCI; MEREKA YANG BERSIFAT DEMIKIAN IALAH ORANG-ORANG YANG TETAP MENURUT JALAN YANG LURUS;} (AL-HUJURAAT 49:7)

  1. Ini adalah kelebihan para sahabat yang hidup bersama Rasulullah s.a.w.:
    i- maka jika ada sesuatu masalah mereka boleh merujuk terus kepada Baginda s.a.w.
    ii- juga peringatan agar mereka jangan buat perkataan bohong atau batil kerana Allah s.w.t akan dedahkannya kepada Rasulullah s.a.w dengan wahyu!
  2. Kita hari ini agak sukar untuk mencari ulama\’ yang boleh kita percayai 100% seperti para sahabat dengan Rasulullah s.a.w.
    Maka kita kena berhati-hatilah dalam menerima sesuatu berita dan khabar.
  3. Larangan agar jangan mendahului Rasulullah dalam kebanyakan perkara, jangan paksa Rasulullah ikut kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya dan hukuman Baginda.
  4. Andaikata Rasulullah menurut kehendak/pendapat kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran dalam melakukannya.
  5. Akan tetapi Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana ini. Jika tidak kamu akan susah!
  6. Contoh peristiwa Rasulullah s.a.w tidak mengikut kehendak sahabat tetapi mengikut ilmu wahyu yang diturunkan kepadanya:
    i- hadis Haji hanya wajib sekali.

Dari Abu Hurairah R.A ia berkata;
Rasulullah S.A.W menyampaikan khutbah kepada kami seraya bersabda:
\”Wahai semua manusia, Allah telah mewajibkan atas kamu semua untuk menunaikan ibadah haji. Kerana itu, tunaikanlah ibadah haji.\”
Kemudian seorang laki-laki bangun bertanya, \”Apakah setiap tahun ya Rasulullah?\”
Nabi diam, hingga laki-laki itu mengulanginya hingga tiga kali.
Maka Baginda pun bersabda: \”Sekiranya aku menjawab, \’Ya\’ nescaya akan menjadi kewajiban setiap tahun dan tentu kamu semua tidak akan sanggup melaksanakannya.

Selanjutnya Nabi S.A.W bersabda:
\”Tinggalkanlah apa yang aku tinggalkan (tidak menyuruh) pada kamu semua, sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kamu dahulu adalah banyaknya pertanyaan mereka dan suka berdebat (menentang) para Nabi mereka.
Apabila aku memerintahkan kamu mengerjakan sesuatu, laksanakanlah mengikut kemampuan kamu sekamu semua, dan apabila aku melarang kamu semua mengerjakan sesuatu, maka tinggalkanlah segera.\” (HR Muslim No: 2380)

ii- Hadis solat tarawih:
a) Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a yang ertinya:
\”Rasulullah s.a.w. telah bersolat dengan kami di bulan Ramadhan lapan rakaat dan witir. Maka pada malam berikutnya kami telah berkumpul di masjid, dan kami mengharapkan baginda keluar tetapi baginda tidak turun di masjid sehinggalah waktu Subuh.

Kemudian kami masuk menemuinya dan kami berhimpun di masjid dan mengharapkan Rasulullah s.a.w. bersolat dengan kami.\”
Maka baginda bersabda: \”Sesungguhnya aku takut ia (solat Tarawih) diwajibkan ke atas kamu.\” [HR Bukhari & Muslim].

b) Hadis riwayat Abu Zar r.a:
عَنْ أَبِي ذَرٍّ، قَالَ صُمْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي رَمَضَانَ فَلَمْ يَقُمْ بِنَا حَتَّى بَقِيَ سَبْعٌ مِنَ الشَّهْرِ فَقَامَ بِنَا حَتَّى ذَهَبَ ثُلُثُ اللَّيْلِ ثُمَّ لَمْ يَقُمْ بِنَا فِي السَّادِسَةِ فَقَامَ بِنَا فِي الْخَامِسَةِ حَتَّى ذَهَبَ شَطْرُ اللَّيْلِ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ نَفَّلْتَنَا بَقِيَّةَ لَيْلَتِنَا هَذِهِ . قَالَ \” إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ \” . ثُمَّ لَمْ يُصَلِّ بِنَا وَلَمْ يَقُمْ حَتَّى بَقِيَ ثَلاَثٌ مِنَ الشَّهْرِ فَقَامَ بِنَا فِي الثَّالِثَةِ وَجَمَعَ أَهْلَهُ وَنِسَاءَهُ حَتَّى تَخَوَّفْنَا أَنْ يَفُوتَنَا الْفَلاَحُ . قُلْتُ وَمَا الْفَلاَحُ قَالَ السُّحُورُ .
Abu Zar r.a berkata: Kami puasa bersama Rasulullah s.a.w dalam bulan Ramadhan. Baginda s.a.w tidak bangun mendirikan solat (malam/terawih) bersama kami sehinggalah Ramadhan hanya tinggal tujuh hari sahaja. Lalu Baginda s.a.w pun mendirikan solat (malam/terawih) bersama kami sehingga berlalunya sepertiga malam.

Kemudian apabila malam keenam akhir Ramadhan, baginda s.a.w tidak mendirikan solat (terawih) bersama kami. Pada malam kelima akhir Ramadhan, baginda mendirikan solat (terawih) bersama kami hingga berlalunya separuh malam.

Aku (Abu Zar) berkata: Bagaimana jika kita penuhkan baki malam ini dengan solat sunat?

Baginda menjawab: Sesungguhnya sesiapa yang solat bersama imam hingga selesai, ditulis untuknya (ganjaran) menghidupkan keseluruhan malam.\” [HR Abu Daud].

Ini kerana Baginda bimbang para sahabat tersalah anggap dan menjadikannya sebagai solat fardu dan sudah tentu sukar bagi mereka untuk melakukannya.

  1. Maka wahai orang yang beriman hendaklah kamu bersyukur kerana Allah menjadikan dalam hati kamu cintakan keimanan, Allah juga campakkan dalam hati kamu benci kepada kufur, fasik, derhaka & maksiat. Maka hiasilahnya dengan amal dan akhlak yang baik.
  2. Hadis- dari Sayyidina Umar bin al-Khattab r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: \”Sesiapa yang rasa suka dengan kebaikan yang dia buat dan rasa takut dengan maksiat yang dia buat, maka itu tanda bahawa dia adalah orang yang beriman. [HR at-Tirmizi, an-Nasa\’ie, Ahmad dan lain-lain].
  3. Tanda Allah campakkan dalam hati kita cintakan iman ialah apabila kita suka kepada keimanan, suka kepada Allah s.w.t dan cinta kepada Rasulullah serta berdakwah mengajak kepada Allah dan Rasulullah s.a.w.
  4. Kita boleh ambil dari ayat ini untuk dijadikan doa untuk diri kita sendiri:
    اللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا الإِيمَانَ وَزَيِّنْهُ فِي قُلُوبِنَا، وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِينَ‏.‏

Maksudnya: \”Ya Allah, jadikanlah kami cinta kepada keimanan dan jadikanlah ia indah di hati kami, bencikanlah kami pada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan, serta masukkanlah kami dalam golongan orang yang mendapat petunjuk.\”

AYAT 8- {(MEREKA DIJADIKAN BERKEADAAN DEMIKIAN) SEBAGAI LIMPAH KURNIA DAN NIKMAT PEMBERIAN DARI ALLAH; DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-HUJURAAT 49:8)

  1. Mereka yang Allah campakkan semua ini dalam hatinya maka ia adalah dengan limpah kurnia dari Allah. Maka kita kena jaganya selalu pemberian dari Allah ini dengan semai keimanan dan jauhi kebatilan.
  2. Allah s.w.t sebut 3 perkara dalam ayat ini:
    i- kecintaan (التحبب)
    ii- hiasan (التزيين)
    iii- kebencian (التكريه)

Kita kena jaga 3 sifat ini jika Allah sudah berikan ke dalam hati kita.
Tetapi jika tiada lagi, kita kena usaha cari dan didik hati kita agar terdapat 3 sifat ini.

  1. Allah sebut di akhir ayat bahawa Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
    Apakah munasabahnya dengan ayat sebelumnya, iaitu Allah campakkan iman dalam hati?
  2. Ini berkait dengan beberapa perkara antaranya:
    i- iaitu peringatan agar apabila kita terima berita dari orang fasik maka jangan terus terima.
    Kadang-kadang kita keliru dan tidak pasti apakah orang itu fasik atau benar?
    Maka jangan sekali-kali mudah-mudah terimanya, lalu terpengaruh dengan dakyah palsu yang dimainkan.
    Maka Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana, kita pun carilah ilmu dan gunakan ilmu yang ada untuk menapis dan memilih berita yang diterima.

ii- Allah beritahu bahawa Rasulullah s.a.w ada bersama kita, dia tidak ikut kita tetapi ikut wahyu.
Ini kerana Allah s.w.t itu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

iii- Allah bubuh dalam hati siapa yang dikehendakinya sayang iman dan ilmu. Lalu Allah s.w.t pilih dengan ilmu dan kebijaksanan-Nya kepada siapa yang Dia nak campakkan perasaan itu.

iv- Allah sebut semua limpah kurnia yang diberikan-Nya adalah mengikut pilihan dan kebijaksanaan-Nya- dengan rahmat dan ilmu maklumat dari Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

  1. Maka ya Allah jadikanlah kami orang yang diberi ilmu dan orang yang mendapat jalan petunjuk-Mu { الرَّاشِدُونَ}.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 6- {Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,}- ayat ini kata maka selidikilah untuk menentukan kebenarannya(فَتَبَيَّنُوا).
    Tetapi ulama\’ Qira\’at baca dengan dua perkara di sini:
    a- pertama (فَتَبَيَّنُوا) iaitu minta penjelasan dan kedudukan sebenar.
    b- yang kedua (فتثبتوا) iaitu kita juga kena pastikan kesahihannya.

Yakni kena ada dua-dua sifat ini agar tidak terperangkap dengan puak-puak fasik serta akan timbul fitnah.

  1. Ayat 6- {supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.}- Allah s.w.t juga ajar kepada kita agar berhat-hati dengan cara (فَتَبَيَّنُوا) iaitu minta penjelasan dan (فتثبتوا) pastikan kesahihannya.

Ini kerana jika kita gopoh, tidak siasat dan pastikan dulu, agar tidak akan membawa kepada penyesalan yang tidak berguna lagi!

  1. Ayat 7- {Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah}- dalam ayat ini Allah ajar dan beri nasihat kepada para pemimpin agar jangan ikut sangat kehendak rakyat yang tidak membawa manfaat bahkan yang boleh membawa kepada kerosakan!
    Apatah lagi dalam perkara munkar dan maksiat, jangan sesekali bersekongkol demi menjaga kedudukan!
    Pemimpin nak tarik orang muda sanggup luluskan konsert dan pesta maksiat yang tidak berfaedah.

Pemimpin mesti bertanggung-jawab dan jaga rakyat untuk maslahat yang baik!

Firman Allah s.w.t:
{Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya.} (Al-Mu\’minuun 23:71)

Maka ingatlah kita kena ikut yang benar jangan ikut yang ramai.
jika yang ramai itu betul, pastilah gembala kambing kena ikut kambingnya yang lebih banyak darinya!!!!

  1. Ayat 6- {Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,}- Allah s.w.t ajar kepada kita jika mahu menerima sesuatu berita, pastikan ia dari sumber yang boleh dipastikan sahih dan thiqah (amanah & boleh dipercayai).

Jangan terjebak sehingga kita terperangkap dalam jerat dan dakyah mereka melalui permainan medsos dan alam maya sekarang ini.
Apatah lagi anak-anak yang masih cetek ilmunya bermain dan berlawan dalam internet tanpa ilmu dan maklumat yang mantap!

  1. Ayat 7- {Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci;}- setiap orang Islam wajib berlepas diri, meninggalkan dan menjauhkan diri daripada semua perkara, perbuatan dan amalan yang dibenci oleh Allah s.w.t.

Berdoalah sentiasa agar Allah campakkan dalam hati kita iman, hiasi dengan taqwa, dan perasaan benci kepada perkara maksiat dan munkar.

Powered by BetterDocs