SURAH AL-AHZAB : AYAT 53-55

\"\"

ADAB MEMASUKI RUMAH NABI S.A.W, ADAB KETIKA BERINTERAKSI DENGAN ISTERI NABI S.A.W & BEBERAPA KATEGORI LELAKI YANG WANITA DIBENARKAN BUKA HIJAB.

Full video : https://youtu.be/N9qJ1kLFzl0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan belajar adab bertandang atau bertamu ke rumah Rasulullah s.a.w juga terpakai untuk semua rumah orang lain.
  2. Juga adab atau cara berinteraksi dengan para isteri Rasulullah, Ummahatul-Mukminin r.anhunna jika ada yang ingin bertanya, berguru atau meminta sesuatu hajat, ada etika dan adabnya yang tertentu.
  3. Juga beberapa kategori lelaki yang dibenarkan wanita muslimah untuk membuka tudung atau hijab di hadapan mereka (pakaian sopan dalam rumah).
  4. Sebelum ini Allah s.w.t telah menyebut dalam ayat-45 bahawa Rasulullah s.a.w telah diutus sebagai saksi kepada seluruh umat.
  5. Dalam ayat-53 ini Allah s.w.t tujukan seruannya kepada orang yang beriman, jangan masuk ke dalam rumah Nabi s.a.w kecuali dijemput, sebagaimana kamu masuk Islam dengan seruan dan dakwah Baginda s.a.w.
  6. Allah s.w.t juga telah menyebut kedudukan para isteri Rasulullah s.a.w yang disuruh duduk di rumah, jangan berhias dan menjaga adab-adab Syari\’ah. Maka ayat ini sekali lagi menegaskan adab pergaulan dengan mereka, jangan bebas masuk berjumpa, jika ada sesuatu hajat untuk bertanya, hendaklah di sebalik tabir sahaja.

AYAT 53 – { WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, JANGANLAH KAMU MASUK KE RUMAH NABI (MENUNGGU MAKANAN MASAK KERANA HENDAK MAKAN BERSAMA), KECUALI KAMU DIJEMPUT UNTUK MENGHADIRI JAMUAN, BUKAN DENGAN MENUNGGU-NUNGGU MASA SAJIANNYA; TETAPI APABILA KAMU DIJEMPUT MAKA MASUKLAH (PADA WAKTU YANG DITETAPKAN); KEMUDIAN SETELAH KAMU MAKAN MAKA HENDAKLAH MASING-MASING BERSURAI DAN JANGANLAH DUDUK BERSENANG-SENANG DENGAN BERBUAL-BUAL. SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN ITU MENYAKITI DAN MENYUSAHKAN NABI SEHINGGA IA MERASA MALU (HENDAK MENYATAKAN HAL ITU) KEPADA KAMU, SEDANG ALLAH TIDAK MALU DARIPADA MENYATAKAN KEBENARAN. DAN APABILA KAMU MEMINTA SESUATU YANG HARUS DIMINTA DARI ISTERI-ISTERI NABI MAKA MINTALAH KEPADA MEREKA DARI SEBALIK TABIR. CARA YANG DEMIKIAN LEBIH SUCI BAGI HATI KAMU DAN HATI MEREKA. DAN KAMU TIDAK BOLEH SAMA SEKALI MENYAKITI RASUL ALLAH DAN TIDAK BOLEH BERKAHWIN DENGAN ISTERI-ISTERINYA SESUDAH IA WAFAT SELAMA-LAMANYA. SESUNGGUHNYA SEGALA YANG TERSEBUT ITU ADALAH AMAT BESAR DOSANYA DI SISI ALLAH.} (AL-AHZAAB 33:53)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyeru kepada orang yang beriman agar jangan masuk ke rumah Rasulullah s.a.w jika tidak dijemput atau diberi izin. Jika dijemput datang untuk makan atau apa-apa, selepas siap makan dan urusan, keluar dan balik, jangan tunggu duduk lepak-lepak dan berbual-bual.
  2. Sebab turun ayat: Hadis riwayat dari Anas r.a:
    Rasulullah s.a.w. menikahi UM Zainab binti Jahsy yang mana perkahwinannya dilakukan langsung oleh Allah s.w.t. (melalui wahyu-Nya). Pada hari itu Baginda s.a.w. mengadakan jamuan walimah dari makanan roti dan daging.
    Baginda s.a.w. menyuruh Anas ibnu Malik r.a. mengundang beberapa orang sahabat yang jumlahnya cukup ramai dan orang muslim yang dijumpainya. Maka Anas mengundang orang-orang yang telah Baginda s.a.w. sebutkan namanya, juga setiap orang muslim yang dijumpai hingga tiada lagi yang tertinggal.
    Rumah, halaman dan ruang tamu penuh dengan tetamu. Lalu mereka makan hingga semuanya merasa kenyang, setelah itu pergi. Kemudian datang pula kaum yang lain, mereka langsung makan, dan sesudahnya mereka keluar.
    Maka Baginda s.a.w. bersabda, \”Selesaikanlah jamuan kamu.\” Kemudian Baginda s.a.w. hendak bangkit. Ada beberapa orang lelaki yang masih asyik berbual di dalam rumah Rasulullah s.a.w., sedangkan isteri Rasulullah s.a.w. yang baru dinikahi itu ada bersama mereka, memalingkan wajahnya ke arah tembok. Mereka memanjangkan perbualannya.
    Hal itu membuat Rasulullah s.a.w. keberatan, tetapi Baginda tidak mahu menegur mereka kerana Baginda adalah orang yang sangat pemalu. Melihat keadaan itu Baginda terus bangkit. Sebahagian orang bangkit juga. Nabi s.a.w. keluar dan menemui setiap isterinya di kamarnya masing-masing. Baginda mengucapkan salam kepada mereka. Mereka menjawab salam dan mengucapkan kata selamat kepada Baginda.
    Nabi s.a.w. datang semula dan hendak masuk ke bilik pengantin, tetapi masih ada tiga orang yang masih asyik duduk berbual di dalam rumah dan belum pergi. Ketika Rasulullah s.a.w. tiba, mereka baru sedar bahawa mereka telah menyusahkan Baginda. Kerana itu, mereka segera bangkit menuju pintu, lalu keluar. Lalu Anas menghadap dan menceritakan kepada Nabi s.a.w. bahawa semua tetamu telah pergi.
    Pada saat Baginda s.a.w. melangkahkan kakinya masuk ke dalam, sedangkan kaki yang lainnya masih di luar pintu, Baginda s.a.w. menurunkan kain hijab yang menghalang antara Baginda s.a.w. dan Anas yang berada di ruang tamunya. Saat itulah Allah s.w.t. menurunkan ayat hijab.
    Rasulullah s.a.w. berada di dalam biliknya untuk waktu yang tidak lama, Baginda s.a.w. keluar dari bilik dan membacakannya kepada Anas. Lalu Anas menceritakannya kepada orang ramai selama suatu masa.\” [HR Muslim].
  3. Pada masa Jahiliyah dan permulaan Islam, orang ramai keluar-masuk ke rumah sesiapa saja tanpa izin.
    Umar ibnul Khattab r.a. berkata, \’Wahai Rasulullah, sesungguhnya isteri-isterimu banyak ditemui oleh orang ramai, di antaranya ada yang bertakwa dan ada yang tidak (iaitu ada yang baik dan ada yang buruk), maka sekiranya Tuan buatkan hijab untuk mereka.\”
    Umar ibnul Khattab r.a. berkata, \”Wahai Rasulullah, yang masuk menemuimu ada orang yang bertakwa dan ada pula yang tidak, maka sebaiknya Tuan perintahkan kepada Ummahatul Mu\’minin (semua isterimu) memakai hijab.\” [HR Bukhari]
  4. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Umar, dia berkata, \”Pendapatku diterima dengan kehendak Allah dalam tiga perkara.
    i- Pertama, aku pernah berkata kepada Rasulullah, \”Sebaiknya kita menjadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.\” Maka selepas itu turunlah firman Allah, \”Dan jadikanlah sebahagian dari Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.\” [Surah al-Baqarah : ayat 125]
    ii- Kedua, aku katakan kepada Rasulullah, \”Ya Rasulullah, orang-orang yang baik dan buruk perangainya masuk ke rumah isteri-isterimu. Alangkah baiknya jika engkau perintahkan mereka untuk berhijab.\” Kemudian turunlah ayat hijab.
    iii- Ketiga, tentang tawanan perang Badar, Umar mencadangkan agar mereka dibunuh. Turun ayat quran memihak kepada pendapat beliau.
  5. Kata Ibnu Asyur bukan hanya jika dijemput untuk makan saja, untuk apa-apa urusan sekalipun. Jangan masuk jika tidak disuruh, ini kerana rumah Rasulullah s.a.w kecil sahaja.
  6. Juga adab agar jangan menunggu-nunggu makanan siap dan dihidangkan. Jangan membuat tuan rumah serba-salah dan terganggu. Jika siap makan terus balik, jangan duduk berbual-bual, lepak tanpa keperluan.
  7. Ini kerana ia akan menyakiti atau mengganggu Rasulullah s.a.w yang banyak urusan dan tugasnya. Sedangkan Baginda s.a.w malu untuk menyatakan dan menyuruh mereka balik. Tetapi Allah s.w.t tidak malu untuk menyatakan dan mengajar adab ini kepada hamba-Nya dengan menurunkan wahyu-Nya.
  8. Hukuman kedua: Cara berinteraksi dengan para Ummahatul-Mukminin. Jika ada keperluan untuk bertanya atau meminta apa-apa, kena minta di sebalik tabir. Sepatutnya beginilah juga untuk seluruh mukminat lain dengan lelaki ajnabi! Elakkan ikhtilat dan pergaulan bebas yang tidak ada keperluan.
  9. Ini kerana cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Yakni lebih selamat dari gangguan syaitan yang akan memanah dari mata lalu turun ke hati, maka akan timbul bermacam penyakit.
  10. Jangan sekali-kali kamu menyakiti Rasulullah s.a.w dengan apa cara sekalipun, baik dari segi perbuatan atau percakapan.
  11. Satu lagi hukum yang Allah nyatakan tidak dibenarkan untuk berkahwin dengan para isteri Nabi s.a.w selama-lamanya! Ini untuk menyekat terus jika ada sebarang keinginan dan yang bercita-cita setelah Rasulullah s.a.w. wafat. Maka isteri-isterinya haram dikahwini oleh orang lain kerana mereka adalah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. di dunia dan akhirat. Mereka juga adalah Ummahatul Mukminin iaitu ibu-ibu bagi kaum mukmin dari segi penghormatan dan adab tetapi INGAT bukan segi batasan pergaulan dan aurat.
  12. Kata Ibnu Kathir rhm.: Ijma\’ ulama\’ bahawa mana-mana perempuan yang masih menjadi isteri Nabi s.a.w yang sah semasa kewafatannya, mereka adalah isteri Nabi di dunia dan di Akhirat, dan HARAM dikahwini oleh mana-mana lelaki lain.
    Terdapat perselisihan pendapat tentang wanita yang telah diceraikan oleh Rasulullah s.a.w semasa hidupnya. Wallahu a\’lam.
  13. Allah s.w.t. memperingatkan dan mengancam bahawa sesiapa yang melakukannya akan termasuk dalam dosa besar.

AYAT 54 – {(AWASILAH KEADAAN-KEADAAN KAMU, KERANA) JIKA KAMU NYATAKAN SESUATU ATAU KAMU SEMBUNYIKAN DIA, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MENGETAHUI AKAN SEGALA-GALANYA.} (AL-AHZAAB 33:54)

  1. Allah s.w.t. memperingatkan sekali lagi bahawa jika kamu menyimpan sesuatu dan menyembunyikan rahsia dalam hati kamu, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. Maka awas dan berhati-hatilah.
  2. Dia mengetahui apa yang ada dalam hati kamu dan apa yang kamu tunjukkan. Tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi dari pengetahuan Allah. Dia mengetahui apa yang zahir dan apa yang disembunyikan oleh hati.

AYAT 55- {TIDAK ADA SALAHNYA KEPADA PEREMPUAN-PEREMPUAN (YANG TIDAK BERPAKAIAN YANG MELINDUNGI ANGGOTA YANG HARAM DIPANDANG OLEH LELAKI ASING ITU) MENEMUI BAPA-BAPA MEREKA, DAN ANAK-ANAK LELAKI MEREKA, DAN SAUDARA-SAUDARA LELAKI MEREKA, DAN ANAK-ANAK LELAKI SAUDARA-SAUDARA LELAKI MEREKA, DAN ANAK-ANAK LELAKI SAUDARA-SAUDARA PEREMPUAN MEREKA, DAN PEREMPUAN-PEREMPUAN ISLAM MEREKA, SERTA HAMBA-HAMBA YANG DIMILIKI OLEH MEREKA. DAN BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH; SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MENYAKSIKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-AHZAAB 33:55)

  1. Ayat ini memberi kelonggaran atau pengecualian bagi ayat berhijab sebelumnya. Iaitu siapakah mahram yang dibenarkan untuk wanita buka hijab atau tudungnya. Yakni berpakaian biasa di dalam rumah yang sopan.
  2. Mereka ini, kaum lelaki yang mahram itu ialah:
    i- bapa-bapa mereka,
    ii- dan anak-anak lelaki mereka,
    iii- dan saudara-saudara lelaki mereka, (kandung, sebapa atau seibu)
    iv- dan anak-anak lelaki saudara-saudara lelaki mereka,
    v- dan anak-anak lelaki saudara-saudara perempuan mereka,
    vi- dan perempuan-perempuan Islam,
    Ada pandangan semua wanita tak kira muslim atau bukan jika ada keperluan. Contoh anak-anak di asrama atau satu tempat kerja dan seumpamanya.
    vii- serta hamba-hamba (lelaki dan perempuan) yang dimiliki oleh mereka.
    Ingat pembantu rumah (bibik) bukan hamba, wajib dia tutup aurat, dan majikan lelaki dan anak lelaki kena jaga aurat mereka dengannya.
    Hukum sebab susuan juga sama, termasuk dalam senarai di atas yang disebut.
  3. Ayat ini ialah kelonggaran kepada kaum muslimat dalam pergaulan di dalam rumah bersama mahram. Alhamdulillah.
  4. Allah s.w.t juga telah menjelaskan hukum ini dalam ayat yang panjang surah An-Nur: Ayat 31.
    {Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.} (An-Nuur 24:31)
  5. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan mengingatkan kita agar bertaqwa, Takutlah kamu kepada Allah dalam setiap keadaan, baik semasa sendirian maupun dalam keadaan ramai.
  6. Ini kerana Allah s.w.t menyaksikan semua amalan hamba yang zahir ataupun yang tersembunyi, mendengarkan kata-kata, melihat perbuatan dan tiada sesuatu pun yang terlindung bagi-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 53 – {Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi} – ayat ini untuk mengajar orang yang berakal manusia dan jin agar beradab dan patuh etika Syariah.
  2. Ayat 53 – {Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya;} – larangan untuk menjadi seolah mencari peluang untuk mencari makan di rumah orang. Jangan jadi seperti lalat hijau (tufaili) yang mencari makanan, jangan menyusahkan tuan rumah dengan hadir pada waktu makan tanpa makluman atau tanpa jemputan.
  3. Ayat 53 – {kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual.} – ajaran apabila sudah siap makan, acara atau majlis- baliklah, jangan duduk tanpa keperluan. Islam begitu peka dalam mengajar seluruh aspek kehidupan kepada umatnya walaupun nampak remeh kesannya besar sekali jika tidak dimabil berat.
  4. Ayat 53 – {Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir.} – inilah adab yang baik dan selamat untuk hati manusia, dalam interaksi antara lelaki dan wanita ajnabi, yang bukan mahram.
    Tetapi malangnya pada hari ini, percampuran dan pergaulan bebas yang tidak sepatutnya sudah jadi satu kebiasaan bagi kebanyakan muslim.
  5. Ayat 53 – { Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.} – setiap kita wajib bersihkan hati kita dari apa saja yang boleh menghilangkan ketenangan. Apatah lagi yang boleh membawa kepada kerosakannya.
  6. Ayat 54 – {Maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan segala-galanya.} – peringatan bahawa sesungguhnya Allah s.w.t Maha mengetahui akan segala-galanya, tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi dari pengetahuan Allah. Dikembarkan dengan ayat Ayat 55 – {Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.} – Dia menyaksikan setiap amalan hamba yang zahir mahupun yang tersembunyi, mendengarkan dan melihat semuanya. Tiada sesuatu pun yang terlindung bagi-Nya. Maka hendaklah kita berhati-hati, beringat dan sentiasa merasa berada di bawah pengawasan-Nya.
  7. Ayat 53 -{kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan إِلَّا أَنْ يُؤْذَنَ لَكُمْ} – yakni boleh hadir jika kamu dijemput oleh tuan rumah atau wakilnya dalam majlis. Jemputan juga boleh jadi secara umum seperti memberi kad undangan atau mesej jemputan, tidak perlu jemputan personal tuan majlis mempersilakan setiap orang untuk makan jika di dalam majlis yang besar dan umum.
  8. Keadaan umat Islam dengan Rasulullah s.a.w ada dua keadaan:
    i- Ketika dalam keadaan privasi di rumahnya jangan kacau, jika ada keperluan juga kena jaga adab bertamu dan jangan sampai menyakiti atau menyusahkan Baginda s.a.w. Seperti dalam firman Allah s.w.t ini:
    { Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad s.a.w), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib).} (Al-Hujuraat 49:4)
    ii- ketika Rasulullah s.a.w berada di khalayak ramai, kena tunjukkan penghormatan dan memuliakan Baginda s.a.w. Jangan bercakap kuat di depannya atau tunjuk-tunjuk mukanya.
    Sama juga penghormatan setelah Rasulullah s.a.w wafat, dengan ketika Baginda hidup. Kita kena jaga adab sopan, etika dan peraturan walaupun menziarahi maqamnya di Madinah atau dari jauh. Jangan tinggikan suara, menagis meraung-raung, menjerit memanggil namanya walaupun dalam selawat. Selfie sambil berdoa di hadapan maqam Baginda atau di dalam Raudhah juga dikira tidak sopan dan biadab kepada Baginda s.a.w.
  9. Ayat 53 – {Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu} – Nabi s.a.w juga manusia, dia akan terasa dan ada perbuatan yang menyakiti dan menyusahkan Baginda s.a.w, walaupun dia akan bersabar. Baginda juga malu untuk menegur dan menyatakannya. Tetapi Allah s.w.t kata Dia tidak malu untuk menegur apabila kita salah adab dan peraturan.
  10. Ayat 55 – {{Tidak ada salahnya kepada perempuan-perempuan (yang tidak berpakaian yang melindungi anggota yang haram dipandang oleh lelaki asing itu) menemui bapa-bapa mereka,…..} – dalam ayat ini ialah senarai lelaki yang mahram (yang haram dikahwini dan boleh buka hijab) bagi para isteri Nabi s.a.w dan wanita muslimat seluruh. Rujuk dalam huraian di bawah ayatnya.
    Persoalan; kenapa tidak disebut pakcik sebelah bapa dan sebelah ibu? Kata ulama\’ kerana mereka sudah masuk dalam golongan bapa-bapa mereka, adik beradik ibu bapa kita.
    Tapi ingat anak-anak mereka yakni sepupu bukan mahram, boleh kahwin.
    Juga bapa saudara sabit dan anak saudara sabit kepada seorang wanita iaitu suami kepada ibu saudara & suami kepada anak saudara, bukan mahram dan wajib tutup aurat sepenuhnya.
    Insya\’ Allah kita sambung dalam siri yang akan datang.

Powered by BetterDocs