SURAH AL-AHZAB : AYAT 50-52

\"\"

4 KATEGORI WANITA YANG DIBENARKAN NABI S.A.W KAHWINI MEREKA, CIRI-CIRI KEISTIMEWAAN NABI S.A.W DALAM BAB KAHWIN & LARANGAN BERKAHWIN LAGI SELEPAS ITU.

Full video : https://youtu.be/-zeaVXYz7_E

MUQADDIMAH :

  1. Surah al-Ahzab adalah satu surah yang mengisahkan tentang perang Ahzab & Bani Quraizah, kisah kehidupan dalam rumah tangga Rasulullah, undang-undang dalam perkahwinan dan perceraian, membatalkan adat jahiliyyah tentang hukum anak angkat, serta sifat dan ciri keistimewaan Rasulullah s.a.w.
  2. Dalam ayat-ayat siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang 4 kategori wanita yang boleh dikahwini oleh Rasulullah s.a.w serta satu lagi ciri keistimewaan atau Sunnah yang KHAS bagi Rasulullah s.a.w yang tidak boleh diikuti oleh umatnya, tetapi kita kena belajar juga untuk mengetahui perundangannya.
  3. Kesinambungan atau munasabah ayat 50 ini dengan ayat lepas ialah bahawa Nabi itu lebih utama dari kita sendiri. Ini yang menunjukkan kelebihan Rasulullah s.a.w ke atas orang mukmin yang lain. Allah s.w.t memberi beberapa kelebihan kepadanya dari segi hukum dan perundangan.
  4. Dalam ayat yang lepas juga diceritakan tentang kejahatan golongan munafiq yang memainkan sentimen memerli bahawa Rasulullah berkahwin dengan bekas isteri anak angkatnya iaitu UM Zainab binti Jahsy. Maka dalam ayat ini Allah s.w.t senaraikan wanita yang dibenarkan dikahwini oleh Rasulullah s.a.w serta untuk orang mukmin lain juga.
  5. Dalam Tafsir Al-Muharrar, para ahli ulama\’ Tafsir mengatakan bahawa Zaid sudah bersama Zainab dalam perkahwinan mereka, dan selepas bercerai dia beriddah sebelum menikah dengan Rasulullah s.a.w.
    Dalilnya dalam Hadis Muslim jelas menyebut bahawa selepas tamatnya iddah Zainab setelah bercerai dengan Zaid, Rasulullah menyuruh Zaid pergi memberitahu Zainab untuk melamarnya bagi Rasulullah s.a.w. Selepas itulah turunnya ayat al-Quran bahawa Allah sendiri telah mengahwinkannya dengan Rasulullah s.a.w.
    Maka jika ada terjumpa yang mengatakan tanpa iddah itu tidak tepat dan berlawanan dengan hadis ini. والله اعلم

AYAT 50 – {WAHAI NABI, SESUNGGUHNYA KAMI TELAH HALALKAN BAGIMU ISTERI-ISTERIMU YANG ENGKAU BERIKAN MASKAHWINNYA, DAN HAMBA-HAMBA PEREMPUAN YANG ENGKAU MILIKI DARI APA YANG TELAH DIKURNIAKAN ALLAH KEPADAMU SEBAGAI TAWANAN PERANG; DAN (KAMI TELAH HALALKAN BAGIMU BERKAHWIN DENGAN SEPUPU-SEPUPUMU, IAITU): ANAK-ANAK PEREMPUAN BAPA SAUDARAMU (DARI SEBELAH BAPA) SERTA ANAK-ANAK PEREMPUAN EMAK SAUDARAMU (DARI SEBELAH BAPA), DAN ANAK-ANAK PEREMPUAN BAPA SAUDARAMU (DARI SEBELAH IBU) SERTA ANAK-ANAK PEREMPUAN EMAK SAUDARAMU (DARI SEBELAH IBU) YANG TELAH BERHIJRAH BERSAMA-SAMA DENGANMU; DAN (KAMI TELAH HALALKAN BAGIMU) MANA-MANA PEREMPUAN YANG BERIMAN YANG MEMBERIKAN DIRINYA KEPADA NABI (UNTUK DIKAHWININYA DENGAN TIDAK MEMBAYAR MASKAHWIN) KALAULAH NABI SUKA BERKAHWIN DENGANNYA; PERKAHWINAN YANG DEMIKIAN ADALAH KHAS BAGIMU SEMATA-MATA, BUKAN BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN UMUMNYA; SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENGETAHUI APA YANG KAMI WAJIBKAN KEPADA ORANG-ORANG MUKMIN MENGENAI ISTERI-ISTERI MEREKA DAN HAMBA-HAMBA PEREMPUAN YANG MEREKA MILIKI; – SUPAYA TIDAK MENJADI KEBERATAN BAGIMU. DAN (INGATLAH) ALLAH ADALAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-AHZAAB 33:50)

  1. Dalam ayat ini sekali lagi Allah s.w.t menyeru Nabi Muhammad s.a.w dengan gelaran dan pangkatnya. Ini seruan yang kempat dalam surah ini. Kerana itulah dikatakan surah al-Ahzab ini adalah surah untuk Rasulullah s.a.w., Allah s.w.t menyerunya dari awal lagi.
  2. Dalam ayat ini Allah s.w.t menunjukkan kelebihan kepada para isteri Rasulullah s.a.w yang telah diberikan maskahwin, sedangkan Baginda diizinkan untuk kahwin tanpa maskahwin. Afdhalnya isteri yang telah diberi maskahwin.
  3. Yakni diberikan keistimewaan kepada Rasulullah s.a.w dalam hukum perkahwinan. Salah satunya ialah halal bagi Baginda untuk mengumpul dalam satu masa lebih daripada 4 orang isteri, serta tidak perlu beri maskahwin. Manakala orang Islam yang lain hanya setakat 4 orang dalam satu masa serta wajib beri maskahwin.

i- Dalil hanya 4 isteri, firman Allah s.w.t: {Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.} (An-Nisaa\’ 4:3)

ii- Dalil wajib beri maskahwin: Firman Allah s.w.t:
{Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.} (An-Nisaa\’ 4:4).

  1. Para ulama\’ berkata dihalalkan ialah yang afdhalnya iaitu isteri-isteri yang diberikan mas-kahwin oleh Rasulullah, kerana Baginda boleh untuk tidak memberinya, tetapi Rasulullah suka untuk memilih yang afdhal atau yang terbaik.
  2. Ujur bererti upah. أُجُورَ Maksudnya ialah maskahwin atau mahar. Allah s.w.t. telah menghalalkan bagi Nabi s.a.w. dan kaum mukmin isteri-isteri yang telah diberikan maskahwinnya.
  3. Nabi s.a.w. memberikan mahar atau maskawin kepada setiap isterinya sepuluh setengah uqiyah yang harganya ditaksir lebih kurang lima ratus dirham, kecuali:

i- UM Ummu Habibah binti Abu Sufyan. Maharnya dibayar oleh Raja An-Najasyi sebanyak empat ratus dinar.

ii- UM Safiyyah binti Huyay. Nabi s.a.w. telah memilihnya di antara para tawanan wanita Khaibar. Kemudian Baginda s.a.w. memerdekakannya, dan menjadikan pemerdekaannya sebagai maskahwinnya.

iii- Begitu juga UM Juwairiyah binti Haris Al Mustaliqiyah dari Bani Mustaliq.

  1. Kategori pertama disebut wanita yang halal dikahwini oleh Rasulullah, iaitu sesiapa saja yang diberikan maskahwin (maharnya).
  2. Kategori kedua: hamba sahaya yang Baginda miliki, termasuk apa yang diperolehi dalam peperangan yang dikurniakan Allah untuknya.
    Allah s.w.t. telah menghalalkan bagi Nabi s.a.w. dan kaum mukmin mengambil wanita-wanita yang didapati dari tawanan perang. Nabi s.a.w. telah memiliki Safiyyah dan Juwairiyah, lalu memerdekakan keduanya dan mengahwini keduanya.
    Baginda s.a.w. juga memiliki Raihanah binti Syam\’un An-Nadriyyah serta Mariyah Al-Qibtiyyah yang melahirkan seorang putera darinya bernama Ibrahim. Mereka berdua diambil dari hamba sahaya, lalu dijadikan isteri.
  3. Kategori ketiga ialah kaum wanita yang halal dinikahi oleh kaum lelaki mukmin lain.
  4. Kata Ibnu Asyur rhm., Rasulullah s.a.w dibenarkan untuk kahwin dengan sepupu dan begitu juga ummatnya:

i- Anak-anak perempuan bapa saudara sebelah bapa وَبَنَاتِ عَمِّكَ yang halal dikahwini oleh Rasulullah ialah seperti anak-anak Al-Abbas, Abu Talib, Abu Lahab dan lain-lain adik beradik lelaki bapanya. Tetapi tidak anak Hamzah kerana mereka adik beradik sesusuan.

ii- Manakala anak-anak perempuan ibu saudaranya sebelah bapa وَبَنَاتِ عَمَّاتِكَ seperti Zainab binti Jahsy, anak mkciknya Umaimah bt Abdul Mutalib. Dan anak lain-lain makciknya.

iii- Sepupu sebelah ibu juga iaitu samada anak perempuan adik beradik lelaki وَبَنَاتِ خَالِكَ atau perempuan وَبَنَاتِ خَالِكَ ibunya Aminah bt Wahab, jika ada.

  1. Juga dikatakan lebih afdhal jika mereka juga telah turut berhijrah ke Madinah. اللَّاتِي هَاجَرْنَ
  2. Rasulullah s.a.w juga dibenarkan untuk berkahwin dengan mana-mana perempuan yang menyerah untuk dikahwini tanpa perlu membayar maskahwin. Ini juga khas untuk Rasulullah s.a.w. Orang lain tidak boleh, wajib bayar mahar.
  3. Diriwayatkan seorang perempuan datang menghadiahkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w, untuk dijadikan isteri, akan tetapi baginda terdiam tidak menjawab apa-apa.
    Bagaimanapun ada seorang sahabat memecah kesunyian itu dengan berkata,
    \”Ya Rasulullah, sekiranya Rasulullah tidak berhajat kepadanya, maka nikahkan saya dengannya.\”
    Lalu baginda memerintahkan sahabat itu menyediakan mahar, akhirnya kedua-dua mereka dinikahkan baginda. [HR Bukhari & Muslim].
  4. Semua keterangan ini jelas membuktikan bahawa dalam kes hibah atau serah diri memang berlaku. Rasulullah s.a.w boleh berkahwin dengan cara hibah, tanpa mahar sebagai suatu keistimewaan untuk diri baginda.
    Adapun untuk umatnya, perkahwinan hibah ini tidak berlaku. Wajib membayar mahar.
  5. Hadis kedua tentang UM Aisyah r.a yang cemburu apabila ada wanita lain yang menawarkam diri untuk menjadi isteri Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha sendiri:
    كُنْتُ أَغَارُ عَلَى اللاَّتِي وَهَبْنَ أَنْفُسَهُنَّ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَقُولُ وَتَهَبُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا فَلَمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ‏{‏ تُرْجِي مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَنْ تَشَاءُ وَمَنِ ابْتَغَيْتَ مِمَّنْ عَزَلْتَ‏}‏ قَالَتْ قُلْتُ وَاللَّهِ مَا أَرَى رَبَّكَ إِلاَّ يُسَارِعُ لَكَ فِي هَوَاكَ.
    Maksudnya: Aku merasa cemburu kepada wanita-wanita yang menawarkan diri untuk dikahwini oleh Rasulullah s.a.w, lalu aku berkata \”patutkah seorang wanita menawarkan dirinya kepada lelaki untuk dikahwini?\”.
    Tatkala Allah SWT menurunkan ayat تُرْجِي مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَنْ تَشَاءُ Aku berkata \”Demi Allah aku melihat Tuhanmu (Allah SWT) begitu cepat sekali memenuhi kehendak dan keinginanmu\”. Sahih Muslim (1464).
  6. Kata-kata ini menunjukkan beliau tidak lagi memandang buruk terhadap wanita-wanita tersebut, setelah datangnya firman Allah S.W.T yang memberi pilihan kepada Nabi S.A.W untuk mengahwini wanita-wanita tersebut atau tidak.
  7. Hadis ketiga – Tiada istilah atau isu perigi mencari timba. Hadis Riwayat Anas tentang seorang perempuan yang datang menawarkan diri untuk dikahwini oleh Rasulullah s.a.w. yakni boleh perempuan mencari lelaki soleh untuk kahwin.
    Ia diceritakan oleh Thabit al-Bunani bahawa Anas R.A. menceritakan kisah ketika beliau berada bersama Rasulullah S.A.W, datang seorang wanita kepada Rasulullah S.A.W. lantas bertanya: \”Wahai Rasulullah S.A.W, adakah engkau mahukan aku (sebagai isterimu )\”.
    Ketika itu anak perempuan Anas R.A juga ada bersama mereka, dia lantas berbisik kepada ayahnya: \”Bagaimana dengan wanita itu, tidakkah dia malu melamar begitu kepada Rasulullah S.A.W. Tidakkah dia punya harga diri.\”
    Lalu Anas R.A berkata: \”Dia lebih baik daripada engkau. Dia cintakan Rasulullah, lantas menawarkan dirinya untuk Rasulullah.\” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
  8. Seorang ulama\’ telah memberi ulasan mengenai hadis ini. Katanya:
  9. Kata-kata Anas R.A kepada anak perempuannya menunjukkan bahawa harus seorang wanita menawarkan diri untuk dinikahi oleh seorang lelaki yang soleh, dan diketahui bahawa wanita itu melamarnya kerana kesolehan dirinya atau kerana kemuliaan dirinya, atau kerana nilai-nilai beragama yang wujud pada dirinya, dan itu tidaklah mencacatkan maruah wanita tersebut bahkan menunjukkan kepada ketinggian jiwa wanita tersebut.
  10. Menurut rekod ada 4 orang perempuan yang menawarkan dirinya untuk dikahwini Rasulullah s.a.w:
  11. i- Maimunah binti Haris & Zainab binti Khuzaimah yang dikenali dengan Ummul Masakiin – dua ini diterima Rasulullah dan menjadi Ummahatul-Mukminin.
  12. ii- Ummu Sharik binti Jabir al-Asadiyyah dan Khaulah binti Hakim as-Sulamiyyah, dua ini tidak jadi kahwin dengan Rasulullah s.a.w.
  13. Rasulullah s.a.w diberi perundangan khas ini, serta isteri-isteri yang terdiri dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang, untuk kita mengetahui segala maklumat yang dapat dikongsi tentang amalan, sifat, ilmu, maklumat dan kehidupan Baginda di dalam dan luar rumah, Alhamdulillah.
  14. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan berfirman: { Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}

AYAT 51 – {ENGKAU BOLEH MENANGGUHKAN SESIAPA YANG ENGKAU KEHENDAKI DARI MEREKA DAN ENGKAU BOLEH MENDAMPING: SESIAPA YANG ENGKAU KEHENDAKI; DAN SESIAPA YANG ENGKAU HENDAK MENDAMPINGINYA KEMBALI DARI MEREKA YANG TELAH ENGKAU JAUHI ITU MAKA TIDAKLAH MENJADI SALAH BAGIMU MELAKUKANNYA; KEBEBASAN YANG DIBERIKAN KEPADAMU ITU (BILA DIKETAHUI OLEH MEREKA) ADALAH LEBIH DEKAT UNTUK MENTENTERAMKAN HATI MEREKA, DAN MENJADIKAN MEREKA TIDAK BERDUKACITA, SERTA MENJADIKAN MEREKA PULA REDA AKAN APA YANG ENGKAU LAKUKAN KEPADA MEREKA SEMUANYA. DAN (INGATLAH) ALLAH SEDIA MENGETAHUI APA YANG ADA DALAM HATI KAMU; DAN ALLAH ADALAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA PENYABAR.} (AL-AHZAAB 33:51)

  1. Dalam ayat ini ialah tentang pembahagian waktu dan jadual bagi yang berpoligami. Tetapi ayat ini adalah hukum KHAS untuk Rasulullah s.a.w!
  2. Bagi Rasulullah s.a.w diberi kebebasan untuk memilih dan membuat sendiri giliran dan jadual di kalangan isterinya mengikut kehendaknya. Ini kerana Allah s.w.t telah mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w seorang yang adil, telus dan penuh integriti. Tidak mungkin Baginda berbuat zalim kepada para isterinya. Lalu Baginda diberi hak dan kebebasan untuk membuat giliran ikut jadualnya sendiri.
  3. Jadi hukum khas dari Allah s.w.t ini dijelaskan supaya para isteri Baginda s.a.w tidak terasa hati dan dukacita. Lalu tenteram hati dan redha dengan perbuatan Baginda.
  4. Tetapi INGAT! Hukum ini tidak bagi manusia biasa, wajib adil dalam pembahagian waktu, jadual dan nafkah yang khas dan adil bagi semua isteri yang ada. Hadis Rasulullah s.a.w: Sesiapa yang tidak adil di kalangan isteri akan berjalan senget di Akhirat kelak.
    عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَنْ كَانَ لَهُ زَوْجَتَانِ فَمَالَ إِلَى أَحَدِهِمَا فِيْ الْقِسْمِ جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَ أَحَدُ شَاقَيْهِ مَائِلاً
    \”Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dengan keadaan senget, miring hampir jatuh sebelah.\” (HR Ahmad bin Hanbal)
  5. Allah s.w.t jelaskan lagi bahawa soal hati tidak menjadi kesalahan, kecenderungan hati dimaafkan. Tetapi tidak soal nafkah zahir dan batin, mesti adil dalam layanan, penjagaan, nafkah dan segala yang zahir dan nampak.
  6. Allah s.w.t Maha Mengetahui, apa yang ada dalam hati kamu, lagi Maha Penyabar.

AYAT 52 – {TIDAK HALAL BAGIMU BERKAHWIN DENGAN PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG LAIN SESUDAH (ISTERI-ISTERIMU YANG ADA) ITU, DAN ENGKAU JUGA TIDAK BOLEH MENGGANTIKAN MEREKA DENGAN ISTERI-ISTERI YANG BAHARU SEKALIPUN ENGKAU TERTARIK HATI KEPADA KECANTIKAN MEREKA, KECUALI HAMBA-HAMBA PEREMPUAN YANG ENGKAU MILIKI. DAN (INGATLAH) ALLAH SENTIASA MENGAWASI TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-AHZAAB 33:52)

  1. Ayat ini adalah penutup, Allah s.w.t beri satu hukum bahawa Rasulullah s.a.w sudah tidak boleh berkahwin dengan isteri baru lagi selepas turunnya ayat ini.
  2. Tidak boleh juga tukar yang lama iaitu cerai yang sedia untuk berkahwin dengan yang baru. Keputusan dan hukum yang jelas.
  3. Kecuali dengan hamba-hamba perempuan yang dimiliki. Seperti Mariah dan Raihanah yang Rasulullah s.a.w miliki selepas ayat ini turun, kerana itu Rasulullah s.a.w tidak mengahwinin mereka, hanya memerdekannya.
  4. Allah s.w.t juga sekali lagi menutup ayat hukum ini dengan berfirman: { Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu.}
  5. Ada pula perbincangan ulama\’ tentang ayat ini:
    i- ada yang kata ayat ini muhkam yakni tetap dan jelas hukumnya.
    ii- ada kata telah dimansukhkan dengan ayat 50 sebelum ini. Boleh kahwin semula.
    iii- ada kata Mansukh dengan sunnah sahaja.
    Kita kata wallahu a\’lam perkara ini sudah berlalu dan ia pula hanya khas untuk Rasulullah maka tidak terlibat dengan masalah kita hari ini.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 52 – {Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu,} – ayat ini satu kemuliaan bagi Rasulullah s.a.w, Allah s.w.t gunakan ayat yang cukup tenang dan baik . {Tidak halal bagimu} – bukan HARAM bagimu, yakni ayat positif bukan negatif. Begitulah kita dalam kehidupan dan dakwah, percakapan kita dengan orang amat penting, kena banyak guna ayat yang positif dan galakan, bukan yang negatif dan larangan. Penggunaan ayat itu penting, mengikut kesesuaian keadaan dan khayalak. Contoh: Amalan ini tidak Sunnah, tidak ikut Nabi s.a.w, BUKAN terus cakap: Amalan ini BID\’AH!
  2. Ayat 50 – { sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang mukmin} – ini adalah ketetapan yang Allah s.w.t telah buat, ini hukumnya, Nabi s.a.w boleh kahwin lenih daripada 4 dan dia boleh pilih. Maka setiap seorang apabila Allah s.w.t telah tetapkan, kena terima dan ambil sepenuhnya, bukannya separuh-separuh. Seperti terima dan amal keharusan poligami tetapi tidak ambil hukum & SOP yang Allah tetapkan tentangnya.
  3. Ayat 51 – {adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, dan menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda} – begitulah sepatutnya kita masukkan maklumat dan khabar gembira yang menyukakan orang Islam supaya mereka tidak dukacita. Nyatakan hukum dengan sebab supaya orang boleh terima dan redha, bukan terus \”kun fayakun\”. Seperti kita larang anak dari keluar rumah, kena maklumkan sebabnya, panas hujan atau seumpamanya yang dia boleh terima dan faham.
  4. Ayat 51 – {Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui apa yang ada dalam hati kamu;}- Allah s.w.t tahu semua apa yang ada dalam hati. Maka wajib kita bertaqwa dan taat kepada perintah-Nya. Serta baiklah kita zahirkan yang baik serta baiki hati kerana di akhirat esok semuanya akan terdedah juga!
  5. Ayat 52 – {. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu.} ayat ini menjadi motivasi besar untuk kita menjadi baik, tidak langar SOP. Ayat Ihsan – merasai muraqabah – pantauan Allah s.w.t dalam segenap masa dan tempat. Allah bukan saja tahu tetapi mengawasi, akan mantap akidah dengan beriman kepada sifat Allah s.w.t seperti Maha mendengar, melihat dan mengetahui!
  6. Ayat 50 – {Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya,} – mahar atau maskahwin ini rukun dalam nikah, wajib atas seorang suami untuk membayarnya, yakni hak seorang isteri. Manakala untuk Nabi s.a.w boleh untuk tidak beri, ini hukum khas hanya untuk Baginda s.a.w. Keistimewaan khas Baginda s.a.w, jangan kita nak buat juga dan pandai-pandai tafsir dan buat hukum sendiri.
  7. Ayat 50 – {; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa)……..} – ayat ini menunjukkan harus berkahwin dengan sepupu, sebelah bapa atau ibu, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dengan UM Zainab bt Jahsy. Dari segi teori sains dan keturunan itu wallahu a\’lam, tiada dinyatakan pula di sini.
  8. Ayat 50 – {mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin} – ini juga hukum khas untuk Rasulullah s.a.w. jika ada perempuan suka boleh kahwin tanpa mahar. Lelaki lain boleh juga terima tawaran tetapi wajib kahwin secara rasmi dan penuhi segala rukun nikah. Tiada istilah perigi cari timba. Tetapi ingat hukum khas ini jangan buat!
  9. Ayat 50 – {Supaya tidak menjadi keberatan bagimu.} – kerana Allah s.w.t tidak mahu menyusahkan hidup Baginda s.a.w maka Allah perluaskan masalah kekeluargaan Baginda. Allah s.w.t sebut dengan jelas bahawa ini adalah hukum khas untuk Rasulullah s.a.w, Kerja dan tugas Baginda s.a.w begitu banyak dan berat, untuk menjaga ummat maka tidak perlu fikir hal remeh-temeh lain.
  10. Ayat 51 – {Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui apa yang ada dalam hati kamu;} – Allah jelaskan bahawa masalah hati ini tidak dapat dikawal dan dimaafkan. Seperti seorang suami yang beisteri ramai atau seorang bapa dengan anak-anaknya yang ramai, kasih sayang dalam hati berbeza, ini Allah s.w.t tahu dan maafkan. Tetapi dari sudut amali dan zahir, wajib adil dan jangan tunjukkan perbezaan kasih sayang, pemberian, perhatian, jagaan dan nafkah material. Yang zahir mesti sama, yang benci itu itu simpan dalam hati sambil berdoa kepada Allah agar jangan jadikan dalam hati kita kebencian kepada sesama orang beriman.
    Baiki diri kita, terimalah hakikat, ingat yang dalam hati itu Allah s.w.t mengetahui segalanya.
    Jika kita dapat sembunyikan kepada orang lain pun, kita tidak dapat sembunyikan dari Allah s.w.t. Usahalah kikis buang apa yang tidak baik dalam hati kita insya\’ Allah.

Powered by BetterDocs