SURAH YAASIN : AYAT 48-54

\"\"

GOLONGAN KAFIR INGKAR KIAMAT, TIUPAN SANGKAKALA MENGHIDUPKAN KEMBALI & HARI PEMBALASAN PENUH KEADILAN.

Full video : https://youtu.be/W_SKVr68-cw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita masih lagi belajar tentang puak kafir yang memerli dan menolak kebangkitan semula. Menceritakan tentang keyakinan orang-orang kafir yang menganggap mustahil terjadinya hari kiamat.
  2. Lalu Allah s.w.t berfirman untuk menolak hujjah mereka tentang apa yang akan berlaku pada hari Kiamat dengan Tiupan Sangkakala Menghidupkan Kembali seluruh manusia.
  3. Manusia dibangkitkan untuk dibalas dengan pembalasan dan ganjaran yang seadil-adilnya, tiada siapa yang akan dizalimi pada hari ini.
  4. Ayat ini datang selepas Allah s.w.t ceritakan tentang orang kafir yang memerli dan mengata orang mukmin selepas diminta untuk infaq bagi orang yang lemah dan miskin.
  5. Mereka sambung lagi perlian mereka dengan bertanya secara mengejek bilakah akan tiba hari Kiamat yang dijanjikan itu. Ini kerana mereka menganggap mustahil terjadinya hari kiamat.
  6. Maka Allah s.w.t Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang bagaimana akan terjadinya hari Kiamat. Juga agar orang beriman makin mantap keimanannya.

AYAT 48- {DAN (APABILA MEREKA DIINGATKAN TENTANG HURU-HARA DAN BALASAN AKHIRAT) MEREKA BERTANYA (SECARA MEMPERSENDA): \”BILAKAH DATANGNYA (HARI AKHIRAT) YANG DIJANJIKAN ITU? JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR (MAKA KAMI SEDIA MENUNGGU)!\”,} (YAA SIIN 36:48)

  1. Apabila Rasulullah s.a.w menceritakan tentang hari Akhirat dan pembalasan yang akan diterima, mereka terus mengejek dan mempermainkan (استهزاء) peringatan ini.
  2. Mereka mendustakan dan meminta disegerakan azab atau hari kiamat. Pastilah perbuatan ini menyakitkan hati Rasulullah dan orang mukmin yang beriman.
  3. Lalu Allah s.w.t berfirman menceritakan lagi tauhid hari Kiamat yang pasti akan berlaku itu.

AYAT 49- {MEREKA TIDAK MENUNGGU MELAINKAN SATU PEKIKAN YANG – (DENGAN SECARA MENGEJUT) AKAN MEMBINASAKAN MEREKA SEMASA MEREKA DALAM KEADAAN LEKA BERTENGKAR (MERUNDINGKAN URUSAN DUNIA MASING-MASING).} (YAA SIIN 36:49)

  1. Tunggulah Kiamat itu akan datang dengan satu suara tiupan sangkalala pertama yang mengejutkan, yang ditiup oleh malaikat Israfil yang menghancurkan bumi ini.
  2. Pada ketika itu manusia sedang lalai dan sibuk dengan aktiviti kehidupan mereka, berjual beli dan bertawar-menawar di pasar-pasar, makan, minum, saling bersaing dan bertengkar di antara sesama mereka sebagaimana biasanya.
  3. Ketika mereka sedang dalam keadaan seperti itu, tiba-tiba Allah memerintahkan kepada Malaikat Israfil untuk meniup sangkakala. Maka Malaikat Israfil melakukan tiupan yang cukup panjang; semua orang di permukaan bumi ini mendengar suara itu yang datang dari arah langit. Amat kuat sehingga kepala mereka terdongak ke atas langit dan mati semuanya.
  4. Hadis Rasulullah s.a.w tentang keadaan manusia yang sedangkan sibuk menjalani kehidupan harian masing-masing apabila sangkakala tanda Kiamat ditiup: [HR Bukhari & Muslim].

i- Abdullah bin Amr. r.a meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda: \”Yang mula-mula mendengar tiupan itu ialah lelaki yang sedang membuat takungan air untanya. Ketika dia sedang sibuk bekerja dan sangkakala ditiup, tengkuknya akan terbengkok, seketika ia mati, matilah pula semua manusia.
Kemudian Allah S.W.T menurunkan hujan seperti kabut atau hujan deras, hujan itulah yang menghidupkan semua tubuh manusia. Lalu sangkakala ditiupkan sekali lagi, serta-merta seluruh manusia bangkit berdiri dalam keadaan menunggu. lalu terdengarlah suara, \”Wahai manusia, kemarilah kalian menghadap Rab (Tuhan) kalian, kumpulkanlah mereka semua di tempat pemberhentian, untuk memberikan pertanggungjawaban.\”. (H.R Muslim)

  1. Ini menunjukkan Kiamat itu akan datang tiba-tiba, bukan kata manusia semua bersedia siap menunggunnya!

AYAT 50- {MAKA DENGAN ITU, MEREKA TIDAK BERPELUANG MEMBUAT SEBARANG PESANAN (WASIAT ATAU LAINNYA), DAN (KALAU MEREKA BERADA DI LUAR) MEREKA TIDAK SEMPAT KEMBALI KEPADA KELUARGANYA.} (YAA SIIN 36:50)

  1. Pada waktu itu mereka tidak sempat membuat suatu wasiat pun terhadap apa yang dimiliki oleh mereka.
  2. Jika sedangkan berada di luar rumah, mereka juga tidak sempat untuk kembali kepada keluarga masing-masing.
  3. Setelah itu terjadi tiupan sangkakala yang mematikan semua makhluk hidup.
  4. Ulama\’ berselisih pendapat tentang berap kalikah
    i- pendapat pertama hanya dua kali. Tiupan pertama untuk mati semua, kemudian tiupan kedua untuk menghidupkan dan bangkit semula.

ii- Ada ulama\’ kata 3 kali tiupan iaitu tiupan pertama sebagai peringatan dan amaran, barulah tiupan yang kedua mati semua & yang ketiga untuk bangkit hidup semula.

iii- ada juga yang kata sehingga 4 kali.
Tetapi yang masyhurnya dua kali tiupan.

AYAT 51- {DAN SUDAH TENTU AKAN DITIUPKAN SANGKAKALA (MENGHIDUPKAN ORANG-ORANG YANG TELAH MATI; APABILA BERLAKU YANG DEMIKIAN) MAKA SEMUANYA SEGERA BANGKIT KELUAR DARI KUBUR MASING-MASING (UNTUK) MENGADAP TUHANNYA.} (YAA SIIN 36:51)

  1. Kemudian berlakulah tiupan yang kedua (atau ketiga) yang menghidupkan semua manusia. Bangkitlah semua makhluk yang berada di dalam kubur dan keluar berjalan dengan cepat untuk berhimpun menghadap Tuhannya.
  2. Beberapa lagi firman Allah s.w.t tentang tiupan kebangkitan ini:
    i- {Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.} (Al-Kahfi 18:99)

ii- {(Pada saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.} (Al-Qamar 54:7)

iii- {Iaitu hari mereka segera keluar dari kubur masing-masing menuju (ke Padang Mahsyar) dengan keadaan seolah-olah mereka berkejaran ke (tempat) berhala-berhala (yang mereka sembah dahulu),} (Al-Ma\’aarij 70:43)

  1. Hadis Rasulullah s.a.w tentang seorang Badwi yang bertanya tentang apakah sangkakala (الصُّور) itu? Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr\’ R.Anhuma:
    جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَا الصُّورُ قَالَ ‏ \”‏ قَرْنٌ يُنْفَخُ فِيهِ ‏\”‏
    Maksudnya: \”Telah datang seorang Badwi kepada Nabi S.A.W, lalu berkata: \”Apakah as-Sur (الصُّورِ)?\” Jawab Baginda: \”(Semacam) tanduk yang digunakan untuk meniup.\” [HR Abu Daud & At-Tirmizi].
  2. Ayat ini menunjukkan sempurnanya kuasa Allah s.w.t, sekali tiup sahaja akan keluar semua yang di dalam kubur, bersegera berkumpul di hadapan Allah s.w.t.

AYAT 52- {(PADA KETIKA ITU) ORANG-ORANG YANG TIDAK PERCAYAKAN HIDUP SEMULA BERKATA: ADUHAI CELAKANYA KAMI! SIAPAKAH YANG MEMBANGKITKAN KAMI DARI KUBUR TEMPAT TIDUR KAMI?,, (LALU DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”INILAH DIA YANG TELAH DIJANJIKAN OLEH ALLAH YANG MAHA PEMURAH DAN BENARLAH BERITA YANG DISAMPAIKAN OLEH RASUL-RASUL!,} (YAA SIIN 36:52)

  1. Apabila dibangkitkan ini dalam kebingungan mereka berkata dari kubur mereka: celakah kami, siapakah yang membangkitkan kami daripada kubur kami ini?
  2. Ini kerana mereka dahulu semasa mereka masih hidup di dunia tidak percaya bahawa mereka akan dibangkitkan hidup kembali dari kubur mereka.
  3. Lalu dikatakan kepada mereka: Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah (الرَّحْمَنُ) dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!
    Ada ulama\’ kata orang mukmin atau malaikat yang menjawab pertanyaan mereka ini.
  4. Persoalan berapa lama jarak masa antara dua tiupan sangkakala itu? Hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, ia berkata:
    Rasulullah S.A.W bersabda: Jarak waktu antara dua tiupan sangkakala itu adalah empat puluh. Mereka bertanya: Wahai Abu Hurairah, apakah empat puluh hari? Ia menjawab: Aku tidak dapat menyebutkan.
    Mereka bertanya lagi: Empat puluh bulan? Ia menjawab: Aku tidak dapat menyebutkan. Mereka bertanya lagi: Empat puluh tahun? Ia menjawab: Aku tidak dapat menyebutkan. Kemudian Rasulullah saw. bersabda lagi: Lalu Allah menurunkan hujan, sehingga mayat-mayat tumbuh (bangkit) seperti tumbuhnya tanaman sayuran. Tidak ada satu bagian tubuh manusia kecuali semua telah hancur selain satu tulang, iaitu tulang ekornya (koksiks) dan dari tulang itulah jasad manusia akan disusun kembali pada hari kiamat. [HR Bukhari & Muslim].

Ini menunjukkan betapa waraknya Abu Hurairh r.a, dia tidak mahu menyebut 40 apa. Kerana dia tidak mahu mereka atau menambah apa yang tidak didengarnyna secara sahih daripada Rasulullah s.a.w.

  1. Disebutkan Ar Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah) di sini bukan sekadar untuk memberitakan janji-Nya, bahkan untuk memberitahukan bahawa pada hari yang besar itu mereka akan melihat sebahagian dari rahmat-Nya yang tidak pernah terlintas di fikiran dan tidak pernah disangka.

AYAT 53- {HANYALAH DENGAN BERLAKUNYA SATU PEKIKAN SAHAJA, MAKA DENGAN SERTA MERTA MEREKA DIHIMPUNKAN KE TEMPAT PERBICARAAN KAMI, SEMUANYA DIBAWA HADIR (UNTUK MENERIMA BALASAN). (YAA SIIN 36:53)

  1. Kebangkitan dari kubur itu hanya dengan sekali teriakan saja, maka tiba-tiba semua manusia dan jin hidup kembali di permukaan bumi dan dikumpulkan kepada Allah untuk dihisab.

AYAT 54 – {MAKA PADA HARI ITU, TIDAK ADA SESEORANG YANG AKAN DIANIAYA SEDIKITPUN, DAN KAMU PULA TIDAK AKAN DIBALAS MELAINKAN MENURUT AMAL YANG KAMU TELAH KERJAKAN.} (YAA SIIN 36:54)

  1. Pada hari itu tiada seorang manusia pun yang akan dianiayai atau dizalimi. Yakin dan percayalah.
  2. Allah s.w.t akan membalas menurut amal perbuatan kamu, iaitu tidak akan dikurangi kebaikannya dan tidak akan ditambah keburukannya. Apa yang kamu buat di atas dunia dulu itulah yang akan kamu terima balasannya!
  3. Neraca timbangan Allah s.w.t itu bukan guna kilo atau pikul, tetapi menggunakan zarrah (atom) iaitu jisim yang paling kecil, menunjukkan tiada satu apapun yang akan tertinggal atau terlepas dari hisab, perhitungan Allah s.w.t.
  4. Air mata darah penyesalan tidak akan berguna lagi pada hari Kiamat. Kita lihat lidah kita mana banyak menyebut nama Allah atau kata-kata Allah dan Rasul-Nya atau lebih banyak menyebut hal orang lain! jika kita nak insaf dan bertaubat menyesali kesalahan, buatlah semasa hidup di atas dunia ini lagi!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 49- {Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang – (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka} – kenapa dikatakan mereka sedang menunggu? Ini kerana janji Allah itu benar, Kiamat itu benar dan tiupan sangkakala itu sesuatu yang pasti akan berlaku, maka Allah jadikan ayat ini menunjukkan seolah manusia itu sedang menunggu apa yang akan terjadi!
  2. Ayat 49- { mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing).}- ayat ini menunjukkan keadaan manusia yang sempat hidup sehingga berlakunya Kiamat. Mereka hidup dalam keadaan biasa menjalani kehidupan seharian tanpa tahu dan bersedia menyambut ketibaan hari Kiamat.
    Hadis Rasulullah s.a.w: Kiamat tidak akan berlaku sehingga tinggal orang yang jahat sahaja di atas dunia ini.
    Riwayat dari Abdullah bin Mas\’ud R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
    لا تَقُومُ السَّاعَةُ، إِلاَّ عَلَى شِرَارِ النَّاسِ
    Maksudnya: \”Tidak akan berlaku Kiamat, kecuali terhadap manusia-manusia yang jahat.\” [HR Muslim].
  3. Ayat 49- {mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing).}- ayat ini juga menunjukkan bahawa Kiamat itu akan berlaku secar tiba-tiba dan mengejut, seperti kematian juga. Kita tidak akan tahu bila tibanya dan tidak akan pernah bersedia untuk menghadapinya!
  4. Ayat 51- {Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala}- ayat ini menjadi dalil bahawa tiupan itu adalah melalui serunai/sangkakala (الصُّورِ) dan ia termasuk dalam beriman kepada perkara ghaib yang wajib kita percaya.
    Bagaimana bentuk dan caranya tidak perlu kita korek kaji, yang penting kita wajib buat persedian untuk menghadapinya.
  5. Ayat 50- {Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya.}- Kiamat datang dengan cepat dan laju, manusia tidak akan sempat berbuat apa-apa lagi. Tidak boleh bercakap, nak bagi wasiat tidak boleh, nak berjalan pun tidak boleh, dengar saja tiupan itu semua mati terkulai. Begitu juga Kiamat kecil iaitu kematian kita, ia akan datang dengan sekelip mata dan tidak akan sempat berbuat apa lagi.
    Ya Allah permudahkan sakaratul-maut kami dan bangkitkan kami di bawah panji Rasulullah s.a.w.
  6. Ayat 51- {Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.} – ayat ini menunjukkan kuasa Allah yang penuh dan hikmah yang cukup sempurna. Hanya dengan sekali tiup boleh mati, dengan sekali tiup hidup semuanya.
  7. Ayat 51- {apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing}- menunjukkan pada asasnya semua jasad mayat itu keluar dari kubur tempat persemadiannya di mana saja ia berada sehingga ke hari Kiamat. Proses ini juga berlaku dengan cepat dan pantas.
  8. Ayat 52- {(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?}- ulama\’ kata ini menunjukkan mereka rehat atau mati seketika selepas tiupan sangkakala pertama. Iaitu satu tidur sebelum dibangkitkan kembali dengan tiupan yang kedua! Dalam jarak atau tempoh 40 sebagaimana dalam hadis Rasulullah di atas.
  9. Ayat 52- {Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?} – kenapa Allah s.w.t hanya menggunakan lafaz mufrad (single) untuk tempat tidur mereka (مَرْقَدِنَا)? Ini untuk menunjukkan tempat tidur mereka hanya seolah satu, iaitu hanya dengan satu tiupan semuanya hidup bangkit kembali, seolah dari satu tidur sahaja semuanya! Sekali tiup akan bangkit dalam satu masa di mana saja berada di seluruh dunia ini.
  10. Ayat 52- {Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!,}- disebut nama Allah s.w.t sebagai Ar-Rahman (الرَّحْمَنُ) di tempat ini bukan sekadar kerana mahu menunjukkan rahmat dan sifat Pemurah dan kasihan belas Allah s.w.t. Dia buat hisab yang telus walaupun kepada penderhaka dan pembuat dosa maksiat kepada-Nya. Manakala untuk orang yang berbuat baik, rahmat Allah s.w.t ke atasnya sangat mencurah-curah.

Kebanyakan dalam ayat yang berkaitan dengan hari Kiamat disebut nama dan sifat Allah s.w.t yang Maha Pemurah ini:
i- {Kuasa pemerintahan yang sebenar-benarnya pada hari itu adalah tertentu bagi Allah Yang Maha melimpah rahmat-Nya (لِلرَّحْمَنِ), dan adalah ia satu masa yang amat sukar keadaannya kepada orang-orang kafir.} (Al-Furqaan 25:26)

ii- {dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya (لِلرَّحْمَنِ) sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.} (Taha 20:108)
Ini kerana pada hari Kiamat itu akan terserlah dan nampak sangat rahmat-Nya Allah s.w.t. Tidak akan ada balasan kecuali yang setimpal dengan setiap perbuatan hamba-Nya.

Allah S.W.T Maha Luas rahmat-Nya. Rahmat-Nya tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia, bahkan meliputi segala sesuatu. Rahmat yang diberikan di atas bumi ini sebenarnya hanyalah satu bahagian sahaja, sedangkan terdapat 99 lagi rahmat yang disimpan oleh-Nya di Hari Akhirat kelak.

Dari Salman al-Farisi r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
\”Allah Azza wa Jalla menjadikan rahmat seratus bahagian. Dia menyimpan di sisi-Nya sembilan puluh sembilan bahagian dan diturunkannya ke bumi ini satu bahagian. Satu bahagian inilah yang dibagi kepada seluruh makhluk sehingga seekor binatang akan mengangkat kakinya kerana dorongan kasih sayang, khuatir jangan sampai kakinya memijak anaknya.\” [HR Muslim].

Ya Allah bangkitkan kami dalam keaadan mendapat rahmat dan pengampunan-Mu Ya Allah Ya Rahman!

Powered by BetterDocs