SURAH AL-AHZAB : AYAT 4-6

\"\"

LARANGAN MELAKUKAN ZIHAR, HUKUM \”BIN\”KAN ANAK ANGKAT & KEDUDUKAN UMMUL MUKMININ ISTERI NABI S.A.W

Full video : https://youtu.be/B7a_djH5wyw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas, pada permulaan surah Allah s.w.t telah sebut tentang satu peperangan besar yang berlaku di Madinah iaitu Perang Ahzab atau juga dikenali sebagai Perang Khandak (Parit). Itulah nama surah ini.
  2. Oleh kerana surah ini diturunkan di Madinah, maka ciri-cirinya mengandungi banyak hukum-hukum yang insya\’ Allah akan kita lihatnya satu persatu.
  3. Hari ini kita sambung dengan 3 ayat yang mempunyai beberapa hukum:
    i- ayat yang ke-4 iaitu Allah s.w.t sebut tentang larangan zihar dan isu anak angkat.
    ii- kemudian ayat ke-5 iaitu isu anak angkat tidak boleh di\”bin\”kan kepada ayah angkatanya,
    iii- Ayat ke-6 tentang kedudukan Ummahatul-Mukminin, isteri-isteri Nabi s.a.w sebagai ibu kepada orang Mukmin, maka dia ada hukumnya yang khas dari sudut status dan kedudukannya.
  4. Maka dalam siri ini setiap ayat itu ada beberapa hukumnya yang tersendiri.

AYAT 4- {(DIPERINTAHKAN DENGAN YANG DEMIKIAN KERANA) ALLAH TIDAK SEKALI-KALI MENJADIKAN SESEORANG MEMPUNYAI DUA HATI DALAM RONGGA DADANYA; DAN IA TIDAK MENJADIKAN ISTERI-ISTERI YANG KAMU \”ZIHAR\” KAN ITU SEBAGAI IBU KAMU; DAN IA JUGA TIDAK MENJADIKAN ANAK-ANAK ANGKAT KAMU, SEBAGAI ANAK KAMU SENDIRI. SEGALA YANG KAMU DAKWAKAN MENGENAI PERKARA-PERKARA) YANG TERSEBUT ITU HANYALAH PERKATAAN KAMU DENGAN MULUT KAMU SAHAJA. DAN (INGATLAH) ALLAH MENERANGKAN YANG BENAR DAN DIA LAH JUA YANG MEMIMPIN KE JALAN YANG BETUL.} (AL-AHZAAB 33:4)

Dalam ayat ini terdapat TIGA hukum:
A- HUKUM Pertama: Allah s.w.t tidak menjadikan dalam seorang manusia dua hati:

  1. Ini kesinambungan dari ayat yang lepas apabila Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah agar tegas dalam prinsip dan perjuangan, jangan ikut puak kafir dan munafiqin, tetapi ikut wahyu yang Allah s.w.t perintahkan serta apabila menghadapi tentangan dan perlawanan, berserah diri tawakkal kepada Allah s.w.t. sebagai pentadbir urusan kamu.
  2. Maksud sebenarnya ialah Allah s.w.t tidak akan jadikan dua perkara yang berbeza atau kontra dalam satu manusia.
    Tidak akan berkumpul antara tauhid dan syirik, taat dan maksiat, iman dan kufur. Ikhlas dan munafiq dalam satu hati.
    Maka jika kita pilih iman, tauhid, ikhlas dan ketaatan, maka wajiblah jauhkan syirik, dan semua yang bertentangan dengannya.
    Hati yang yakin kepada Allah tidak akan percaya atau cenderung kepada yang lain. Maka diperintahkan yang demikian agar manusia tumpukan kepada satu tugas yang besar, murnikan tauhid kepada Allah.
    Ini kerana sebagaimana Allah s.w.t tidak jadikan dua hati dalam rongga dada manusia, maka manusia kena jelas matlamat & tujuan hidupnya untuk menyembah Allah Yang Maha Esa dan menurut Syariat-Nya.

Ini dalam masalah pegangan dan kepercayaan, jangan salah guna dalam masalah kehidupan dan poligami, itu Allah sudah buat lelaki boleh berbagi hati dan menanganinya jika betul-betul mampu dan ikut Syariah.

  1. Apakah pula perbezaan istilah ini:
    i- tauhid llmu untuk mengesakan Allah s.w.t.
    ii- aqidah simpulan keyakinan yang jitu tentang wujudnya dan keesaan Allah s.w.t.
    iii- dinamakan pula usuluddin (asas agama) kerana asas agama adalah iman kepada Allah s.w.t, iaitu tauhid kepada Allah s.w.t.
    Ketiganya tidak bercanggah, seiring dan bersama, satu komponen yang lengkap tentang keimanan kepada Allah s.w.t yang Maha Esa.
  2. Allah sebut tentang dua hati ini sebagai satu bandingan sebagai satu persiapan untuk buka minda bagi perbincangan yang akan datang. Kerana dalam surah ini ada banyak dibincangkan tentang hukum-hakam. Persiapan hati dan mental.

B- Hukum kedua Larangan Zihar: Seorang perempuan itu tidak boleh memegang dua watak antara IBU & ISTERI.

  1. Disebut juga dalam ayat ini tentang hukum Zihar – الظهار:
    i- Zihar ialah satu cara perceraian yang lakukan oleh Arab Jahiliyyah iaitu perkataan seorang suami kepada isterinya, \”Belakangmu (persetubuhan) haram bagiku seperti belakang ibuku atau seperti ibuku,\” atau perkataan lain yang sama maksudnya.
    انت علي كظهر امي

ii- Sudah menjadi adat kebiasaan orang Arab Jahiliyah bahawa apabila suami berkata demikian kepada isterinya, maka isterinya itu haramnya baginya untuk selama-lamanya.

Iii- Tetapi setelah Islam datang, maka yang haram untuk selama-lamanya itu dihapuskan, dan isteri-isteri itu kembali halal bagi suaminya dengan membayar kaffarat (denda).

iv- Allah s.w.t menegaskan bahawa DIA tidak menjadikan isteri-isteri kamu yang kamu zihar itu sebagai ibu kamu yang melahirkan kamu. Ibu kamu adalah orang yang paling besar kehormatan dan keharamannya bagi kamu, sedangkan isteri kamu adalah orang yang paling halal bagi kamu. Kamu tidak boleh menyamakan dua orang yang berbeza.

v- hukum Zihar ini ada diterangkan secara terperinci dalam Surah al-Mujadilah ayat 1-4. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
{Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.} [Al-Mujaadalah 58:1)
{Orang-orang yang \”ziharkan\” isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.} (Al-Mujaadalah 58:2)
{Dan orang-orang yang \”ziharkan\” isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.} (Al-Mujaadalah 58:3)
{Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (Al-Mujaadalah 58:4)
Yakni tidak mungkin seorang isteri sama seperti atau menjadi ibu bagi seseorang. Mereka adalah orang yang berlainan status dan hukumnya. Ibu kamu adalah orang yang paling terhormat bagi kamu manakala isteri kamu adalah orang yang paling halal bagi kamu.

C- Hukum Anak Angkat: Tidak mungkin anak angkat menjadi seperti anak sendiri.
Firman Allah s.w.t.:
{Dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul.}

  1. Anak angkat tidak sekali-kali akan menjadi anak kamu, samada dari segi hukum-hakan dan nasab keturunan.
  2. Sepakat para ulama\’ Tafsir berkata ayat ini diturunkan kepada kisah Zaid bin Harithah yang pada awalnya menjadi anak angkat Rasulullah s.a.w sehingga dipanggil Zaid bin Muhammad.
  3. Walaupun mulut kamu mengaku sedemikian mengatakan mereka adalah anak kamu, itu hanyalah dakwaan mulut kamu saja. Siapa nisbahkan seorang anak kepada bapa lain maka dia telah membuat pembohongan seumur hidup. Ada yang hanya tahu apada hari kematian si bapa atau jika anak perempuan pada waktu pernikahan.
  4. Dan ingatlah sesungguhnya Allah s.w.t menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Allah sekali-kali tidak akan menyembunyikan hakikat yang sebenar bahkan akan menunjukkan kamu kepada jalan yang benar!

AYAT 5- {PANGGILAH ANAK-ANAK ANGKAT ITU DENGAN BER\”BIN\”KAN KEPADA BAPA-BAPA MEREKA SENDIRI; CARA ITULAH YANG LEBIH ADIL DI SISI ALLAH. DALAM PADA ITU, JIKA KAMU TIDAK MENGETAHUI BAPA-BAPA MEREKA, MAKA PANGGILAH MEREKA SEBAGAI SAUDARA-SAUDARA KAMU YANG SEAGAMA DAN SEBAGAI \”MAULA-MAULA\” KAMU. DAN KAMU PULA TIDAK DIKIRA BERDOSA DALAM PERKARA YANG KAMU TERSILAP MELAKUKANNYA, TETAPI (YANG DIKIRA BERDOSA ITU IALAH PERBUATAN) YANG DISENGAJAKAN OLEH HATI KAMU MELAKUKANNYA. DAN (INGATLAH ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-AHZAAB 33:5)

  1. Allah s.w.t memerintahkan- jika kamu mempunyai anak angkat, jangan tukar nama mereka kepada nama kamu, binkanlah mereka kepada bapa kandungnya sendiri.
  2. Ini kerana pada zaman jahiliyyah dan permulaan Islam, anak angkat dianggap seperti anak sendiri serta dibinkan kepada bapa anngkatnya. Lalu Allah s.w.t menghapuskan amalan ini; akan dijelaskan hukumnya dengan terperinci dalam ayat 36 & 37. Iaitu kisah Zaid yang pernah menjadi anak angkat Nabi s.a.w dan isterinya Zainab.
  3. Anak-anak angkat tidak berhak mewaris harta seperti anak sendiri dan mereka hendaklah dinasabkan kepada bapanya sendiri bukan kepada bapa angkatnya.
  4. Inilah cara yang paling adil di sisi Allah s.w.t. dan diredhainya. Maka pembentukan keluarga akan dapat diatur menurut syatiat dan terhindar dari dari sebarang kekacauan.
  5. Kata ulama\’ ayat ini diturunkan kerana kisah Zaid bin Haritah r.a.
    Kisah Zaid bin Harithah r.a: Dia berasal dari keturunan Arab yang telah ditawan semasa kecil lalu dijual sebagai hamba di Makkah. Ia adalah milik Ummul-Mukminin Khadijah r.a yang menghadiahkannya kepada suaminya Rasulullah s.a.w. Selepas itu Zaid memeluk Islam lalu dimerdekaka dan menjadi anak angkat Rasulullah dan dikenali sebagai Zaid bin Muhammad. Lalu selepas ayat ini turun, hukum itu dihapuskan dan dia dikenali semula sebagai Zaid bin Haritah r.a, dinisbahkan kepada bapanya kembali.
  6. Manakala jika anak-anaka angkat itu tidak dikenali siapa bapanya, maka hendaklah ia dianggap sebagai saudara seagama dan sebagai \”maula-maula\” kamu.
  7. Maula ialah seorang hamba sahaya yang sudah dimerdekakan atau seorang yang pernah dijadikan anak angkat, seperti Salim anak angkat Huzaifah, dipanggil Salim maula Huzaifah.
    Maka dia dinisbahkan kepada tuan atau kabilah yang memedekakannya itu.
  8. Di negara kita hari ini jika tidak tahu siapa bapanya hendaklah dibinkan kepada Abdullah yang bermaksud anak kepada Hamba Allah.
  9. Jika kamu tersilap melakukannya kerana tidak tahu maka kamu tidak akan dianggap berdosa, kamu masih ada ruang untuk bertaubat dan diampunkan.
  10. Ibnu Abbas r.a berkata Allah s.w.t menurunkan ayat ini bagi menjawab doa ini:
    {(Mereka berdoa dengan berkata): \”Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir\”.} (Al-Baqarah 2:286). [HR Bukhari].
  11. Hadis- sabda Rasulullah s.a.w: \”Diangkat kalam dari tiga golongan: orang tidur hingga dia jaga, kanak-kanak sehingga ia baligh, orang gila sehingga ia berakal.\” [HR at-Tirmizi].
  12. Akan tetapi yang dinilai dosa itu ialah melakukan perbuatan yang batil dengan sengaja setelah mengetahui larangannya. Memang sengaja buat maka akan diambil-kira dosanya.
  13. Hadis Sabda Nabi saw yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas :
    مَنِ انْتَسَبَ إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ , أَوْ تَوَلَّى غَيْرَ مَوَالِيهِ ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
    Maksudnya: \”Sesiapa yang memanggil seseorang dengan selain nama ayahnya atau selain dari maulanya maka ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya\” [Sunan Ibnu Majah (2609)].
  14. Maka sesiapa yang telah tersalah terlibat dengan masalah ini maka selesaikan lah segera semasa masih hidup ini, kembalikan bin/binti anak angkat kepada bapa kandungnya! Kerana perbuatan ini adalah HARAM serta dilaknat oleh Allah s.w.t.
  15. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan tentang menggabungkan nama anak angkat dengan bapa angkat dalam sijil Pengangkutan dan Kad Pengenalan. Muzakarah telah memutuskan bahawa mana-mana anak angkat yang diangkat oleh orang Islam tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkatnya.

AYAT 6- {NABI ITU LEBIH MENOLONG DAN LEBIH MENJAGA KEBAIKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN DARIPADA DIRI MEREKA SENDIRI; DAN ISTERI-ISTERINYA ADALAH MENJADI IBU MEREKA. DAN ORANG-ORANG YANG MEMPUNYAI PERTALIAN KERABAT, SETENGAHNYA LEBIH BERHAK (MEWARISI) AKAN SETENGAHNYA YANG LAIN – MENURUT (HUKUM) KITAB ALLAH – DARIPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN ORANG-ORANG MUHAJIRIN (YANG BUKAN KERABATNYA), KECUALI KALAU KAMU HENDAK BERBUAT BAIK KEPADA SAHABAT-SAHABAT KARIB KAMU. HUKUM YANG DEMIKIAN ITU ADALAH TERTULIS DALAM KITAB ALLAH.} (AL-AHZAAB 33:6)

  1. Di sini Allah s.w.t membawa hukum kewajipan mencintai dan taat kepada Rasulullah s.a.w.
  2. Terdapat juga banyak hadis Rasulullah s.a.w tentang ini:
    i- Daripada Abdullah bin Hisyam r.a bahawa beliau berkata: Kami pernah bersama Nabi s.a.w, sementara Baginda memegang tangan Umar bin al-Khatthab r.a, maka Umar berkata kepada Baginda: Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri.
    Maka Nabi s.a.w bersabda: \”Tidak, demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, hinggalah kamu lebih mencintai aku daripada dirimu sendiri.\”
    Umar lalu berkata kepada Baginda: Sesungguhnya sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.
    Nabi s.a.w bersabda: Sekarang ini wahai Umar (benarlah cinta kamu).\” [HR al-Bukhari].
    ii- Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: \”Demi zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, tidaklah di antara kamu beriman sehingga aku lebih dicintai daripada orang tua dan anaknya.\” [HR al-Bukhari].

iii- Daripada Anas r,a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya, dan manusia seluruhnya.\” [HR al-Bukhari].

  1. Perintah untuk menghormati dan memuliakan para Ummahatul-Mukminin, isteri-isteri Rasulullah sebagaimana kamu menghormati ibu kamu sendiri serta HARAM untuk mengahwini mereka selepas kematian Baginda s.a.w.
    Allah s.w.t tutup pintu terus menyekat jika ada yang bercita-cita begini.
    Tetapi mereka masih haram juga untuk kamu berkhalwat dengan mereka, kena jaga juga aurat dan adab pergaulan.
  2. Ayat ini juga membatalkan undang-undang yang awal, pada permulaan hijrah apabila kaum Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan (الإخاء), lalu mereka berhak mewarisi satu sama lain. Maka dimansukhkan hukum ini, diganti dengan hukum lain, bahawa mereka ini (saudara angkat & anak angkat) tidak berhak mewarisi harta, kerana ia adalah hak kaum kerabat si pemilik harta.
  3. Tetapi Allah s.w.t jelaskan juga boleh berbuat baik dan atas dasar ihsan kepada mereka, untuk diberikan hibah atau hadiah kepada mereka secara baik, telus dan persetujuan bersama.
    Atau secara wasiat, yang mengikut hukum juga, tidak melebihi 1/3 daripada harta yang ada.
  4. Allah s.w.t tekankan bahawa ini semua adalah hukum yang termaktub dalam Kitab Allah s.w.t, maka wajib untuk kamu beramal dan berpegang dengannya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 6- {Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri} – ayat ini menunjukkan WAJIB kita meletakkan cinta kepada Rasulullah s.a.w lebih daripada kita cinta kepada diri kita sendiri.
    Cinta serta taat kepada ajaran dan sunnahnya, bukan hanya cinta dimulut.
  2. Ayat 6- {Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri- dalil bahawa orang yang tidak melakukan sedemikian, orang itu tidak sempurna imannya. Cinta bererti mesti akur kepada ajaran dan sunnah Rasulullah s.a.w.
  3. Ayat 4- {Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul.} – pastilah hukum Allah s.w.t itu lebih utama dan wajib diikuti dan diamalkan berbanding dengan hukum dan perintah yang lain.
  4. Ayat 4- {Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya;} – maksudnya dalam hati manusia pasti ada satu jenis sifat saja, tidak akan ada percampuran yang kontra seperti yang negatif dan positif; iman dan kufur, ikhlas dan munafiq dan seumpamanya.

Ini bukan termasuk dalam kes poligami, hati suami itu Allah sudah jadikan boleh berbahagi kasih sayang bagi yang mampu dan berani mengharunginya!

  1. Ayat 4- {dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu \”zihar\” kan itu sebagai ibu kamu;} – tentang hukum Zihar boleh rujuk penjelasan dan ayat dalam surah Mujadilah di atas.
    Ayat ini membatalkan amalan jahiliyyah yang menjadikan zihar sebagai salah satu cara perceraian.
  2. Ayat 4- dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu \”zihar\” kan itu sebagai ibu kamu;} – juga sebagai peringatan tidak boleh para suami isteri untuk saling memanggil pasangan dengan panggilan yang digunakan oleh anak-anak, seperti – ibu, ayah, papa mama, mummy daddy dan panggilan seumpamanya.
    Ramai para Ulama\’ telah melarang dan mengatakannya makruh! Tukarlah mana yang telah amalkannya itu!
    Walaupun ada yang cuba kata harus, untuk kita keluar dari khilaf adalah lebih baik dan cermat.
  3. Ayat 4- {dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri.} – jelas di sini Allah s.w.t bawa hukum tentang kedudukan anak angkat, mereka bukan seperti anak sendiri. Dari segi nasab, keturunan, aurat, mahram, harta warisan dan pelbagai hukum lagi.
  4. Ayat 4- { Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul.} – jika kita tidak mahu dengar cakap dan ikut hukum Allah, kita maka mahu ikut cakap siapa lagi?
  5. Ayat 5- {Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya} – ayat yang melegakan kita sebagai hamba yang lemah, luasnya rahmat Allah s.w.t! Jika kita tersalah dan tersilap melakukan sesuatu yang kita tidak tahu, maka tidak dikira berdosa. Tetapi segeralah bertaubat dan kembali ke jalan yang benar bila menyedarinya, Allah akan ampunkan insya\’ Allah.
  6. Ayat 6- {Dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka.}- para Ummahatul-Mukminin, isteri-isteri Rasulullah s.a.w semuanya berpangkat ibu kepada orang yang beriman, dari sudut haram berkahwin dan wajib menghormatinnya. Tapi bukan dari mahram dari segi aurat dan pergaulan, masih wajib jaga dan jangan ikhtilat khalwat dengan mereka.

Powered by BetterDocs