SURAH FATHIR : AYAT 12-14

\"\"

DUA LAUT YANG BERBEZA ISINYA SAMA, KUASA ALLAH DI ANGKASA & TERLALU LEMAH SEMBAHAN KAFIR.

Full video : https://youtu.be/9PDwjgDmlvc

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita teruskan lagi pengajian Tafsir surah Fathir atau surah Mala\’ikah bermula dari ayat 12, 13 & 14, insya\’ Allah.
  2. Jika sebelum ini kita melihat dalil tanda kekuasaan Allah s.w.t di langit dengan awan, angin dan hujan yang menghidupkan bumi yang mati sebagai bandingan kekuasaan Allah s.w.t menghidupan semula manusia.
  3. Kali ini Allah s.w.t suruh kita tengok pula kepada dalil/tanda kekuasaan Allah s.w.t di bawah iaitu kepada lautan yang terdapat di bumi. Lautan yang berbeza jenis airnya tetapi tetap sama isi kandungan dan memberi manfaat kepada manusia.
  4. Munasabah ayat ini ialah Allah s.w.t mahu menyebut dalil dari sudut lain pula. Sebelum ini dalil di atas kita iaitu yang di langit, hari ini di lautan pula.
  5. Semua dalil ini untuk diperhati dan difikir tentang keagungan kuasa Allah s.w.t., serta menggunakan nikmat yang Allah anugerahkan itu.

AYAT 12- {DAN TIDAKLAH SAMA KEADAAN DUA LAUT (SEKALIPUN SATU JENISNYA), YANG SATU TAWAR LAGI MEMUASKAN DAHAGA SERTA SESUAI DIMINUM, SEMENTARA YANG SATU LAGI MASIN LAGI PAHIT. DAN (KEDUA-DUANYA ITU BERFAEDAH KEPADA KAMU): DARI TIAP-TIAP SATUNYA KAMU DAPAT MAKAN DAGING YANG LEMBUT – HIDUP-HIDUP, DAN DAPAT PULA KAMU MENGELUARKAN BENDA-BENDA PERHIASAN UNTUK KAMU MEMAKAINYA; (SELAIN ITU) ENGKAU MELIHAT PULA KAPAL-KAPAL MEMBELAH AIR BELAYAR PADANYA; (DIADAKAN SEMUANYA ITU) SUPAYA KAMU DAPAT MENCARI REZEKI DARI LIMPAH KURNIA ALLAH, DAN SUPAYA KAMU BERSYUKUR.} (FATHIR 35:12)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menunjukkan perbezaan antara dua jenis air yang dicipta-Nya atas dunia ini. Tidak sama antara dua laut itu. الْبَحْرَانِ terma dua laut ini boleh saja diguna-pakai untuk dua laut, atau antara laut dan sungai.
  2. Yang satunya berair tawar, segar lagi sedap untuk diminum, mudah dihadam dan diguna memasak. Iaitu air yang terdapat di sungai-sungai. Ada yang kecil dan ada yang besar, sesuai dengan keperluan mereka lagi tersebar di berbagai kawasan dan berbagai negeri. Ia mengalir di kota-kota, di hutan-hutan dan padang pasir.
  3. Manakala yang lainnya rasa masin lagi pahit, iaitu air laut. Kemasinan antara air laut pula berbeza-beza. Kerana masinnya yang sangat, maka terasa pahit. Ini agar tidak merosak udara yang meliputi bumi dan agar keadaan airnya tidak berubah, kerana air laut itu diam tidak mengalir. Maka dengan dijadikan masin menghalanginya untuk berubah dan agar haiwan yang hidup di sana lebih indah dan nikmat.
  4. Dari laut dan sungai itu Allah s.w.t letakkan pula rezeki dan perhiasan; ada yang berbeza dan ada yang sama untuk kegunaan manusia. Dari keduanya terdapat daging yang segar, iaitu ikan-ikan yang hidup di dalamnya. Dua air yang berbeza tetapi ikan dan hidupannya tetap segar dan tawar!
    *Kata-kata hikmah: Jadilah seperti ikan walaupun hidup di dalam air laut yang masin tetapi tidak memberi kesan kepada dagingnya, tetap tawar!

Ini juga peringatan- didiklah anak-anak kita biar seperti ikan di laut masin, walaupun hidup di zaman IT tanpa sempadan ini agar aqidah dan syakhsiyyahnya tetap utuh dan mantap dengan Islam, jiwa dan akhlak yang kemas dan mulia, tidak terpengaruh dan terikut dengan keadaan persekitaran yang amat sakit dan membimbangkan hari ini.

  1. Allah s.w.t juga mengeluarkan darinya perhiasan yang dapat dipakai dan diguna seperti mutiara, marjan (coral) dan perhiasan lainnya yang didapati dari dalam lautan. Ini merupakan maslahat yang sangat besar bagi hamba.
    *Mutiara & coral ini harus dipakai/guna oleh kaum lelaki sesuai dengan kegunaannya yang dibenarkan Syari\’ah. Perempuan tiada persoalan.
  2. Termasuk maslahat di laut adalah Allah menjadikan laut menjadi laluan, dapat membawa kapal. Di mana kita melihat kapal besar & berat berlayar membelah lautan, berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain dengan lancar.
  3. Kapal itu membawa penumpangnya, barang-barang berat dan perdagangan mereka, semua ini untuk mencari rezeki dan limpah kurnia Allah s.w.t.
  4. Ayat ini menunjukkan kebijaksanaan dan kekuasan Allah s.w.t yang mencipta semua ini kemudian mentadbir dengan penuh teratur dan penuh hikmah!

AYAT 13- {ALLAH JUA YANG MEMASUKKAN MALAM PADA SIANG DAN MEMASUKKAN SIANG PADA MALAM (SILIH BERGANTI), DAN IA YANG MEMUDAHKAN PEREDARAN MATAHARI DAN BULAN; TIAP-TIAP SATU DARI KEDUANYA BEREDAR UNTUK SUATU MASA YANG TELAH DITETAPKAN. YANG MELAKUKAN SEMUANYA ITU IALAH ALLAH TUHAN KAMU, BAGINYALAH KUASA PEMERINTAHAN; SEDANG MEREKA YANG KAMU SEMBAH – YANG LAIN DARI ALLAH – TIDAK MEMPUNYAI SESUATU PUN WALAU SENIPIS SELAPUT BIJI KURMA.} (FATHIR 35:13)

  1. Ayat ini menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t dalam pertukaran siang & malam iaitu berganti hari demi hari. Dalam ayat lain Allah s.w.t menyebut sebabbya supaya kita tahu bilangan tahun dan bilangan yang kita buat. Jika tiada pertukaran hari ini kita tidak akan tahu akan masa dan waktu yang berlalu! Allahu Aklbar!
  2. Juga sebagai tanda waktu solat kita, yang dilakukan seharian dengan pergerakan matahari ialah tanda waktu solat lima waktu dan sunatnya.
    Ini supaya manusia terikat hidupnya kepada Allah s.w.t dengan pergerakan matahari ini.

Manakala ibadat puasa dengan pergerakan bulan, bila masuk Ramadhan wajib puasa begitu juga ibadat haji dengan tibanya bulan-bulan haji.

  1. Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. Setiap kali datang yang satu, maka yang satu lagi pergi, kadang yang satu bertambah lamanya, sedangkan yang lain berkurang. Maka ada musim yang hari siangnya lebih panjang daripada malam begitu juga sebaliknya.
    Ini semua untuk memenuhi keperluan dan maslahat manusia samada untuk fizikal, haiwan, ataupun tanaman mereka.
  2. Masing-masing beredar di tempat peredarannya sesuai yang Allah kehendaki, maka apabila tiba tempohnya, dunia telah dekat dengan kehancuran, maka keduanya berhenti berjalan, atau tidak ikut jadual peredaran yang biasa, itulah ketibaan hari Kiamat.
  3. Ini semua adalah dengan kuasa Allah s.w.t yang mentadbir dan mengatur, menyusun perjalanan matahari bulan bintang di langit ini. Yang melakukan demikian itu adalah Allah Tuhan kamu, Tuhan Yang Maha Besar Yang tiada Tuhan selain Dia Yang Mempunyai Kuasa Pemerintahan.
  4. Sedang apa yang kamu sembah selain Allah, iaitu patung-patung, berhala-berhala dan seumpamanya yang kamu reka, mereka tiada memiliki sesuatu pun yang ada di langit dan di bumi ini walaupun setipis kulit kurma. Qitmir (قِطْمِيرٍ) bermaksud kulit nipis (selaput) yang membalut biji kurma.
  5. Betapa bodohnya perbuatan mereka itu, menjauhkan diri mereka dari Allah Tuhan Yang Maha Hidup lagi Maha berkuasa, meminta situ sini dengan apa yang tidak berkuasa sekelumitpun!
  6. Rasulullah s.a.w membuat bandingan:
    لَوْ كَانَت الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ الله جَنَاحَ بَعُوضَةٍ، مَا سَقَى كَافِراً مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ
    \”Seandainya dunia ini di sisi Allah senilai harganya dengan sayap nyamuk nescaya Allah tidak akan memberi minum barang seteguk sekalipun kepada orang kafir\” (HR. Tirmizi, hasan sahih).

AYAT 14- {KALAU KAMU MEMOHON KEPADA MEREKA (YANG KAMU SEMBAH ITU): MEREKA TIDAK MENDENGAR PERMOHONAN KAMU, DAN KALAULAH MEREKA MENDENGAR PUN, MEREKA TIDAK DAPAT MEMBERIKAN APA YANG KAMU POHONKAN ITU; DAN PADA HARI KIAMAT PULA MEREKA MENGINGKARI PERBUATAN SYIRIK KAMU. DAN (INGATLAH) TIDAK ADA YANG DAPAT MEMBERI TAHU KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD, AKAN HAKIKAT YANG SEBENARNYA) SEPERTI YANG DIBERIKAN ALLAH YANG MAHA MENDALAM PENGETAHUANNYA.} (FATHIR 35:14)

  1. Allah s.w.t memperincikan lagi tentang kelemahan sembahan mereka yang tidak dapat memberi manfaat dan mudharat itu! Firman-Nya;
  2. Jika kamu menyeru mereka, mereka tidak mendengar seruan kamu, kerana sembahan-sembahan itu adalah benda mati tidak bernyawa, orang-orang yang telah mati, serta benda-benda yang tidak bernyawa atau bergerak!
  3. Kalaulah andainya mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan permintaan kamu. Mereka tidak akan mampu mengabulkan sesuatu dari apa yang diminta oleh para penyembahnya. Mereka tidak memiliki apa-apa dan tidak ridha dengan penyembahan orang yang menyembah mereka.
  4. Pada hari Kiamat mereka akan mengingkari kemusyirikan kamu. Mereka akan berlepas diri dari kamu dan dari penyembahan kamu kepada mereka. Akhirnya semuanya menjadi bahan bakar dalam neraka bersama penyembahnya. Bahkan ada yang tidak redha pun akan perbuatan syirik ini.
  5. Ingatlah tidak ada yang dapat memberitahu kepadamu tentang hakikat sebenar makhluk, keadaan dunia dan akhirat yang lebih jelas daripada keterangan yang diberikan oleh Allah Yang Maha Teliti (خَبِيرٍ).
  6. Khabir bermaksud Allah s.w.t. sendiri, kerana sesungguhnya berita yang datang dari Dia pasti jelas dan nyata, tiada keraguan dan kepalsuan.
  7. Kandungan ayat ini menerangkan bahawa Allah s.w.t. yang berhak disembah dan bahawa menyembah selainNya adalah batil tidak memberikan faedah apa-apa bagi yang menyembahnya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 12- { supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia Allah, dan supaya kamu bersyukur.}- ayat ini menunjukkan sepatutnya manusia itu mencari sebab dan berusaha untuk mencari rezeki dan kehidupan. Kemudian barulah bertawakkal kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w sendiri mengambil sebab (usaha) untuk mencari kebaikan dan menolak mudharat keburukan. Wajib berusaha – jika tawakkal tanpa usaha itu tawakul- geng pemalas!
  2. Ayat 12- { supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia Allah, dan supaya kamu bersyukur.}- tujuan semua rezeki yang Allah s.w.t beri ini supaya kamu bersyukur. Ayat ini menunjukkan wajib kita bersyukur atas segala nikmat dan anugerah yang diberi Allah s.w.t ini!
  3. Ayat 12- {Dan tidaklah sama keadaan dua laut (sekalipun satu jenisnya), yang satu tawar lagi memuaskan dahaga serta sesuai diminum, sementara yang satu lagi masin lagi pahit.} – ayat ini menunjukkan kekuasan dan hikmah kebijaksanaan Allah s.w.t yang menjadikan dua jenis air yang berbeza ini.

i- air sungai yang tawar dan mengalir- untuk kegunaan manusia kerana ia mengalir di tengah-tengah penempatan manusia dan ada alirannya dari bukit turun ke muara laut, ini agar ia sentiasa segar, membawa bangkai dan sampah jika ada ke laut.

ii- laut pula amat besar dan jauh dari penempatan manusia, di tenngah benua, ia pula tidak mengalir ke mana-mana, serta dalam perutnya mempunyai pelbagai kehidupan dan bangkai, lalu Allah jadikannya masin.
Ini agar tidak merosakkan udara yang meliputi bumi dan agar keadaan airnya tidak berubah, kerana air laut itu diam tidak mengalir. Maka dengan dijadikan masin menghalangnya dari berubah dan agar haiwan yang hidup di dalamnyna tidak tercemar dan busuk.

Allah s.w.t juga sebut (الْبَحْرَانِ) untuk kedua laut & sungai, yakni bilangan diguna dari segi percakapannya.

  1. Ayat 12- { dari tiap-tiap satunya kamu dapat makan daging yang lembut – hidup-hidup,} – menunjukkan kepada daging (ikan) yang fresh dan segar. Allah s.w.t mahu kita makan yang lazat, segar & halal. Ini sumber makanan kita dari laut yang segar dan halal.
  2. Ayat 12- { dan dapat pula kamu mengeluarkan benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya;} – ayat ini menunjukkan kerja menyelam ke dasar laut untuk mencari rezeki seperti mutira atau coral adalah harus. Begitu juga seperti pekerja offshore kita yang bekerja dengan syarikat minyak dan lain-lain, berbulan-bulan mereka di atas kapal atau pelantar, semuanya harus atas dasar mencari rezeki.
  3. Ayat 12- {(diadakan semuanya itu) supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia Allah, dan supaya kamu bersyukur.}- dalam ayat ini Allah s.w.t membenarkan kita untuk mencari rezeki dilaut samada dengan berdagang di atas kapal atau seumpamannya.
  4. Ayat 12- {dan dapat pula kamu mengeluarkan benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya;} – menunjukkan harus bagi manusia memakai dan menggunakan perhiasan ini. Hatta lelaki pun harus guna Mutiara, berlian dan lain-lain batu permata yang mahal, dengan tempat & cara yang sesuai dengannya seperti dijadikan cincin, butang baju melayu, cuff-link dan seumpamanya yang tidak bertentangan dengan Syariah- yakni tidak diikat dengan EMAS yang HARAM, tidak tasyabbuh (menyerupai) perempuan, orang kafir dan pegangan agama lain! Bagi wanita boleh semuanya! Berpada dan jangan melampau sehingga riya\’ pula.
  5. Ayat 14- {Kalau kamu memohon kepada mereka (yang kamu sembah itu): mereka tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memberikan apa yang kamu pohonkan itu;} – bahawa benda ini (berhala) tidak berkuasa dan lemahnya ia, kalau kamu panggil dia tidak dapat jawab apatah lagi untuk menolong kamu! Ini dalil musyahadah iaitu dalil yang kita saksikan.
  6. Ayat 14- {Kalau kamu memohon kepada mereka (yang kamu sembah itu): mereka tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memberikan apa yang kamu pohonkan itu;} – ini dalil bahawa siapa yang bergantung kepada yang lain selain kepada Allah s.w.t, maka dia akan kecewa kerana semua itu tidak akan dapat menolong dan memenuhi permintaannya.
  7. Ayat 14- { dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu.} – apa yang disembah mereka akan mengingkari perbuatan mereka itu. Sang berhala dan segala sembahan itupun berlepas diri dari mereka. Mereka semua akan berkelahi dan saling tuduh-menuduh di akhirat kelak.

INGATLAH SELAIN DARI ALLAH S.W.T TIADA YANG DAPAT MEMBERI KUASA PERTOLONGAN DAN MUDHARAT!

Powered by BetterDocs