SURAH AZ-ZUMAR : AYAT 32-35

\"\"

GOLONGAN ZALIM MENOLAK KEBENARAN, GOLONGAN TAQWA MENERIMANYA & BALASAN YANG BAIK DI AKHIRAT.

Full video : https://youtu.be/0U3OyRflb_k

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t gambarkan siapakah golongan yang paling zalim dari sudut akidahnya. Iaitu mereka yang mendustakan Allah s.w.t dan menolak kebenaran yang datang dibawa kepada mereka.
  2. Kemudian Allah menyatakan tentang golongan yang benar iaitu orang yang bertaqwa dan menerima kebenaran & iman.
  3. Balasan kepada orang yang berbuat baik atas dunia. Mungkin ada di kalangan mereka yang tergelincir, tersalah atau tersilap melakulan kesalahan. Tetapi apabila mereka bertaubat dan melakukan kebaikan, ia akan menghapuskan kesalahan itu. Kebaikan akan menolak dan menghapuskan segala bentuk kejahatan.
  4. Janji Allah s.w.t untuk memberi keampunan dan menghapuskan kesalahan itu dan memberi pahala kepada orang yang melakukan kebaikan, adalah merupakan satu perkara yang besar, yang perlu diambil perhatian besar oleh orang yang beriman.
  5. Kerana ini adalah peluang untuk kita qadha dan hapuskan kesilapan yang lalu, dengan kita melakukan kebaikan di saat akhirnya, insya\’ Allah.

AYAT 32- {(APABILA BERLAKU YANG DEMIKIAN), MAKA NYATALAH BAHAWA TIDAK ADA YANG LEBIH ZALIM DARIPADA ORANG YANG MEREKA-REKA PERKARA-PERKARA YANG DUSTA TERHADAP ALLAH, DAN MENDUSTAKAN KEBENARAN SEBAIK-BAIK SAHAJA KEBENARAN ITU DISAMPAIKAN KEPADANYA. BUKANKAH (TELAH DIKETAHUI BAHAWA) DALAM NERAKA JAHANNAM DISEDIAKAN TEMPAT TINGGAL BAGI ORANG-ORANG YANG KAFIR?} (AZ-ZUMAR 39:32)

  1. Apabila berlaku yang demikian, yakni apabila telah berlaku kematian, kita akan dibangkitkan semula, bertemu balik dan berhujjah di hadapan Allah s.w.t.
  2. Maka nyatalah tiada orang yang lebih zalim kecuali orang yang:
    i- mereka-reka tuduhan jahat, membuat pendustaan & pembohongan (tuduhan palsu) ke atas Allah s.w.t.
    ii- mendustakan kebenaran ayat-ayat Allah s.w.t yang yang sampai kepada mereka.

sama isu seperti meninggal dunia dengan meninggalkan dunia. Dua perkara yang berbeza. Berdusta kepada Allah & mendustakan kebenaran.

  1. Firman Allah s.w.t tentang hal pendustaan ke atas-Nya lagi:
    i- {Dan siapakah lagi yang lebih aniaya dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keterangan-Nya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.} (Al-An\’aam 6:21)

ii- {Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau mendustakan kebenaran setelah kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?} (Al-\’Ankabuut 29:68)

iii- {Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
(As-Saff 61:7)

Dalam keempat-empat ayat ini Allah s.w.t bertanya: {Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang….}. Semuanya berkait antara satu sama lain.

  1. Bagi mereka ini, golongan kafir yang membuat dusta dan mendustakan Allah s.w.t ini, serta mendusta menolak kebenaran yang dibawa kepada mereka, disediakan neraka Jahannam sebagai tempat tinggal mereka! Na\’uzubillah.
  2. Menuduh dan membuat dusta kepada manusia biasa pun sudah berat, apatah lagi membuat pendustaan terhdap Tuhan, Allah Azza wa Jalla.

AYAT 33- {DAN (NYATALAH BAHAWA) YANG MEMBAWA KEBENARAN (TAUHID DAN HUKUM AGAMA) SERTA IA (DAN PENGIKUT-PENGIKUTNYA) MENGAKUI KEBENARANNYA (DENGAN MEMATUHI HUKUM ITU), MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.} (AZ-ZUMAR 39:33)

  1. Ini pula adalah golongan yang sebaliknya. Mereka adalah orang yang berdakwah mengajak manusia kepada al-Quran iaitu Rasulullah s.a.w, kemudian para sahabat dan ulama\’ selepasnya yang mengajak manusia kepada al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Ini satu sifat mereka.
  2. Sifat kedua; mereka juga menerima dan membenarkan kebenaran yang disampaikan kepada mereka, mengakui dan mematuhinya.
  3. Mereka inilah orang yang terlaksana ke atas mereka sifat taqwa kepada Allah s.w.t. Yang taat menurut perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
  4. Ada juga orang yang mengajak berdakwah orang lain kepada kebaikan, tetapi apabila dibawa kebenaran kepadanya dia menolak. Dia tidak mahu menerima pendapat dan dakwah orang lain pula walaupun satu kebenaran.

Ini mungkin kerana:
i- hasad dengki, masalah hati, ada masalah peribadi.
ii- berbeza manhaj, cara pemikiran dengan orang itu.

  1. Maka rugilah dan dia dan akan termasuk dalam golongan yang mendustakan kebenaran dengan sebab masalah yang tersebut. Inilah golongan yang mutakabbirin, hasad dan tidak mahu menerima pendapat orang lain.

AYAT 34- {DISEDIAKAN UNTUK MEREKA APA YANG MEREKA KEHENDAKI, DI SISI TUHAN MEREKA; DEMIKIANLAH BALASAN ORANG-ORANG YANG BERUSAHA MEMPERBAIKI AMAL PERBUATANNYA.} (AZ-ZUMAR 39:34)

  1. Di dalam syurga nanti, bagi golongan ini, Allah s.w.t sediakan bagi mereka apa saja yang dikehendaki dan terlintas oleh hati!
  2. Firman Allah s.w.t juga: {(Pada hari kiamat) engkau akan melihat orang-orang yang zalim takut ngeri (akan balasan buruk) bagi kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, sedang azab seksa itu tetap menimpa mereka. Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh (bersenang-lenang) dalam taman-taman Syurga; mereka beroleh apa sahaja yang mereka ingini di sisi Tuhan mereka; yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar.
    (Asy-Syuura 42:22)
  3. Ini adalah sebagai balasan atas usaha dan amalan mereka di atas dunia dulu, bertaqwa dan menerima kebenaran, sentiasa berusaha memperbaiki amal dan perbuatannya (الْمُحْسِنِينَ). Muhsin- orang yang baik sifatnya.

AYAT 35- {(LIMPAH KURNIA YANG DEMIKIAN, DIBERIKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA) KERANA ALLAH HENDAK MENGHAPUSKAN DARI MEREKA (KALAULAH ADA) SEBURUK-BURUK AMAL PERBUATAN YANG MEREKA TELAH LAKUKAN, SERTA MEMBALAS MEREKA, AKAN PAHALA MEREKA, DENGAN BALASAN YANG LEBIH BAIK DARI APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN.} (AZ-ZUMAR 39:35)

  1. Semua limpah kurnia nikmat ini Allah s.w.t berikan kepada mereka yang bertaqwa, yang jika ada kesalahan atau amal perbutan yang buruk lalu yang mereka buat, Allah s.w.t mahu menghapuskannya dengan amal kebajikan yang lebih baik yang mereka telah buat.
  2. Setelah Allah s.w.t hilangkan kemudhratan daripada mereka selepas mereka bertaubat dan bertaqwa, Allah s.w.t juga akan membalas mereka akan pahala mereka dengan balasan yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.
    Inilah yang dikatakan menarik kebaikan dan menolak kemudharatan.
  3. Alhamdulillah Allah s.w.t beri peluang kepada kita untuk bertaubat dari dosa, insaf akan kesalahan yang lalu, menjadi orang yang taat, beramal soleh dan meraih sebanyak mungkin kebajikan semasa hidup yakni semasa masih ada masa dan peluang ini.
    Jangan tunggu selepas mati atau Kiamat baru nak insaf dan bertaubat.
    Kita penuhi masa yang ada ini dengan penuh ketaatan.
  4. Firman Allah s.w.t: {(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.}
    {Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.} (Al-Nahl 16: 96-97)
  5. Hadis riwayat Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
    عَن أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قال: قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : إِذَا أَحْسَنَ أَحَدُكُمْ إِسْلامَهُ فَكُلُّ حَسَنَةٍ يَعْمَلُهَا تُكْتَبُ لَهُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ، وَكُلُّ سَيِّئَةٍ يَعْمَلُهَا تُكْتَبُ لَهُ بِمِثْلِهَا
    \”Apabila seseorang itu telah baik Islamnya, maka setiap kebaikan yang dilakukannya akan ditulis pahalanya antara 10 kali ganda atau sehingga 700 kali ganda. Tetapi bagi setiap kajahatan yang dibuat hanya ditulis seumpamanya sahaja.\” [HR Bukhari].
  6. Inilah rahmat Allah s.w.t kepada kita, pahalanya berganda-ganda, tetapi dosa tidak diganda, hanya ditulis seumpamanya sahaja. Tetapi ada juga dosa berganda.
  7. Adapun dosa yang berganda, iaitu sebab-sebab dosa kecil menjadi dosa besar. Contoh seorang pendakwah, ahli ilmu, ustaz/zah iaitu orang yang diikuti ramai buat sesuatu yang menyalahi hukum lalu diikuti oleh ramai yang menyandarkan perbuatan itu kerana mengikutnya. Maka dosa kecil boleh menjadi besar!

Penutup/Beberapa Faedah Ringkas :

  1. Ayat 32- {(Apabila berlaku yang demikian), maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah,}- kata ulama\’ melakukan pendustaan terhadap Allah s.w.t adalah satu dosa dan kezaliman yang paling besar! Yakni seperti buat tuduhan dan tohmahan bahawa Allah s.w.t ada anak, ada isteri, sekutu dan lain-lain, ini adalah syirik.

Kezaliman yang kedua ialah berdusta ke atas Rasulullah s.a.w, Baginda telah bersabda dalam hadisnya:
إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّار\”‏‏ \”

\”Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah seperti berdusta atas nama selainku. Barangsiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka dia menempah tempat duduknya di dalam api neraka.\” [HR Bukhari].

Jika berdusta ke atas Rasulullah s.a.w demikian besar dosanya apatah lagi berdusta kepada Allah s.w.t.

Pendustaan itu kadang-kadang kita nampak seolah bukan kesalahan atau dusta.
Contoh Kisah seorang bernama Nuh bin Abi Maryam. Seorang yang melakuakn pendustaan ke atas Nabi s.a.w walaupun dia mendakwa dengan niat baik asalnya: Dia mereka hadis palsu akan kelebihan membaca setiap surah dalam al-Quran, kerana untuk menggalakkan manusia supaya suka membaca al-Quran. Dia kata dia buat untuk nabi bukan ke atas nabi! Inipun dikira satu pendustaan yang besar dan satu pembohongan ke atas Nabi s.a.w.

  1. Ayat 32- {(Apabila berlaku yang demikian), maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya.}- orang yang zalim juga ialah mereka beriman tetapi tidak mahu menerima dan mendustakan kebenaran.

a- Kata ulama\’ tadabbur: Ramai orang ahli ilmu, para pendakwah yang tidak berbohong dalam percakapan mereka, tidak bercakap kecuali kebenaran.
TETAPI apabila disampaikan kebenaran daripada orang lain kepadanya dia tidak dapat menerimanya!
Orang lain walaupun benar dianggap tidak betul- inilah orang yang mengikut hawa nafsu dan hasad dengki.

Sebab dia tidak mahu terima kebenaran dari orang lain itu mungkin kerana:
i- dia ada masalah dengan orang itu (clash).
ii- orang itu bukan dari kumpulan dia (bukan geng).
Maka orang menolak kebenaran dikira orang yang mendustakan juga,

Kerana itulah Allah kembarkan kedua jenis sifat ini dan sebut sebagai golongan yang zalim, berdusta dan mendustakan kebenaran!

b- Allah s.w.t gunakan dalam ayat ini perkataan (فَمَنْ أَظْلَمُ) {tidak ada yang lebih zalim daripada } iaitu bahasa yang menunjukkan yang paling zalim.

Tetapi ayat ini seolah bercanggah dengan beberapa ayat lain dalam menyifatkan tentang orang paling zalim.
Ada pelbagai jenis sifat lain seperti firman Allah s.w.t ini:
i- {Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: \”Telah diberi wahyu kepadaku\”, padahal tidak diberikan sesuatu wahyupun kepadanya;} (Al-An\’aam 6:93)

ii- {Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?} (Al-Baqarah 2:114)

Jawapan ulama\’, tiada percanggahan antara ayat-ayat ini, kerana:
i- setiap ayat menunjukkan yang paling zalim dalam kategori dan pada tempat masing-masing. Kezaliman yang dia buat tiada orang lain dapat mengatasinya dalam perkara tersebut.
ii- Kita tengok hubungan ayat dengan isi kandungan ceritanya.

Contoh dalam ayat tiada orang yang lebih zalim daripada yang mereka-reka tuduhan terhadap Allah s.w.t! Ayat lain pula tiada orang yang lebih zalim daripada menyekat manusia kepada Allah. Yakni kita tengok kedudukannya di tempat masing-masing.

  1. Ayat 32- {(Apabila berlaku yang demikian), maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah,}- kata ulama\’ tafsir, wajib kita berhati-hati dan buat kajian yang teliti dalam tafsir al-Quran. Ini kerana ulama\’ yang menafsirkan al-Quran itu menjadi saksi ke atas Allah bahawa Allah s.w.t mengkehendaki maksud ayat itu begini-begini!

Maknanya kita menfasirkan ayat dan kalimah Allah s.w.t, maka jangan pandai-pandai mengarut menafsirkannya. Ulama\’ kata sesiapa yang menafsirkan al-Quran dengan otaknya maka ambillah tempatnya di dalam neraka! Dia telah berdusta ke atas Allah s.w.t.
Kelas Tafsir kita ini hanya membaca tafsiran dan pandangan yang telah dibuat oleh para ulama\’.

Ayat ini mengatakan bahawa orang paling zalim ialah berdusta kepada Allah:
i- Sesiapa yang mengaku dia nabi adalah orang yang paling zalim.
ii- sesiapa yang menolak kebenaran, mendustakan yang sampai terus kepadanya, di depan matanya, maka dialah juga yang paling zalim.
Lebih daripada orang yang menolak apa yang didengar dari orang lain.

  1. Ayat 33- {Dan (nyatalah bahawa) yang membawa kebenaran (tauhid dan hukum agama) serta ia (dan pengikut-pengikutnya) mengakui kebenarannya (dengan mematuhi hukum itu), mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.}- orang yang mengajak orang lain kepada kebenaran dan dia sendiri mengakui dan menerima kebenaran yang sampai kepadanya.

Benar itu ada 3 dimensi:
i- benar dalam lisan dan perkataannya. Lidahnya sama dengan ucapannya seperti tangkai padi/gandum yang terletak elok di atas tangkainya.

ii- benar dalam amalannya. Sama amalannya samada dalam perkara yang disuruh atau dilarang, keduanya dipatuhi dan ditaati dengan sepenuhnya. Samanya seperti kepala yang terletak elok di atas batang tubuh seseorang. Seimbang dan elok.

iii- benar dalam semua keadaannya. Sama amalan hati, lisan dan anggotanya sama-sama ikhlas. Dia telah mencurahkan segala usaha dan tenaga yang ada untuk mencari kebenaran, ikhlas tanpa riya\’, semata-mata untuk mendapat kebenaran.

Ramai orang yang bercakap benar tetapi sifat hasad dan takabbur dalam dirinya membuatnya tidak dapat terima, lalu menolak kebenaran yang datang dari orang lain.

Kata ulama\’: Orang yang mendoakan sahabatnya secara ghaib (tanpa dia ketahui) itu adalah orang yang benar dalam persahabatannya.

  1. Ayat 35- {(Limpah kurnia yang demikian, diberikan kepada orang-orang yang bertaqwa) kerana Allah hendak menghapuskan dari mereka (kalaulah ada) seburuk-buruk amal perbuatan yang mereka telah lakukan,}- ini kerana orang yang baik dan benar, adakalanya terjebak juga dengan melakukan kesalahan dan dosa.
    Contohnya orang yang baik-baik, sukakan kebenaran adakalanya tergelincir juga menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa seperti mengumpat dan mengata orang, ini adalah satu dosa besar. Tetapi apabila sedar mereka cepat-cepat insaf dan bertaubat.

Sifat mereka ini Allah s.w.t gambarkan dalam ayat ini:
{Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;}
{Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;}
{Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).} (A-li\’Imraan 3: 133-135

Yakni Allah s.w.t gambarkan orang yang bertaqwa, yang bersifat muttaqqin, apabila mereka tersilap, tergelincir melakukan dosa, mereka segera insaf dan bertaubat maka Allah s.w.t akan hapuskan dosa mereka itu dan menambah pahalanya dengan amal kebaikan yang mereka lakukan selepas itu. Inilah yang dikatakan kebaikan menghapuskan kejahatan!

Alhamdulillah atas rahmat Allah s.w.t yang begitu luas dan besar untuk hamba-nya yang lemah!
Jika tersilap, peluang dibuka luas untuk kita bertaubat kepada Allah dan kembali melakukan kebaikan.

Powered by BetterDocs