SURAH AL-AHQAF : AYAT 26-28

\"\"

PERINGATAN BUAT QURAISY AGAR MENGAMBIL IBRAH DARI KEMUSNAHAN KAUM TERDAHULU & TIADA PENOLONG BAGI MEREKA.

Full video : https://youtu.be/-ATCSBLZ69A

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t memberi peringatan kepada kaum kafir Quraisy (serta semua selepasnya) agar mengambil ibrah pengajaran dari kemusnahan yang berlaku kepada kaum yang terdahulu.
    Kita lihat mereka binasa dengan sebab dosa mereka, maka kita jangan mengulangi perbuatan dan penyakit yang sama.
  2. Allah juga nyatakan bahawa tiada siapa yang dapat memberi pertolongan kepada mereka. Segala sembahan yang mereka puja & puji dulu, yang mereka sangka ada kuasa dulu, tiada apa-apa manfaat & faedah.
  3. Maka kita yang beriman dan mengaji al-Quran hendaklah mengambil faedah dari ayat-ayat yang kita baca. Ambil faedah dari ilmu yang kita dapat agar al-Quran menjadi panduan hidup kita. Jangan tinggalkan al-Quran, ia adalah Kitab Induk dan rujukan kita dalam semua perkara. Huraian terperinci bagi yang ayat diperlukan ada dibawa oleh Rasulullah s.a.w melalui hadis-hadisnya.
  4. Munasabah ayat: dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah sebut tentang kebinasaan kaum terdahulu iaitu kaum Aad di al-Ahqaf. Yang gagah perkasa dan lebih kuat daripada mereka yang telah dibinasaan akibat kekufuran dan keingkaran mereka untuk beriman.

AYAT 26- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MENEGUHKAN KEDUDUKAN MEREKA (DENGAN KEKUASAAN DAN KEMEWAHAN) YANG TIDAK KAMI BERIKAN KAMU MENGUASAINYA (WAHAI KAUM MUSYRIK MAKKAH), DAN KAMI TELAH JADIKAN BAGI MEREKA PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN SERTA HATI; DALAM PADA ITU, PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN SERTA HATI MEREKA TIDAK MEMBERIKAN FAEDAH SEDIKITPUN KEPADA MEREKA, KERANA MEREKA SENTIASA MENGINGKARI AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH; DAN (DENGAN YANG DEMIKIAN) MEREKA DILIPUTI OLEH AZAB YANG MEREKA TELAH EJEK-EJEK ITU.} (AL-AHQAAF 46:26)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t mengingatkan kaum Quraisy akan kaum terdahulu yang lebih kuat dan maju daripada mereka, dari kekuasaan dan kemewahan yang telah dibinasakan kerana mereka kufur kepada Allah s.w.t dan menolak rasul yang diutus kepada mereka.
  2. Maka jangan kamu sangka wahai Quraisy apa yang kamu ada sekarang ini dapat menyelamatkan kamu dari azab Allah s.w.t. Sedangkan kamu lebih lemah dan lembik daripada kaum terdahulu dari segi harta dan fizikal.

Sama saja peringatan ini untuk semua negara berkuasa besar dan moden dalam dunia hari ini, jangan sangka mereka akan selamat dan kebal dari semua ini juga!

  1. Firman Allah s.w.t: {Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?} (Al-An\’aam 6:6)
  2. Dari segi individu pula; Allah ungkitkan lagi bahawa Dia telah berikan kepada kaum \’Ad ini tiga alat pembelajaran semula jadi manusia iaitu; pendengaran dan penglihatan serta hati; untuk mereka berfikir dan jumpa kebenaran. Inilah tiga pintu untuk kemasukan ilmu.
  3. Tetapi apa boleh buat malangnya, pendengaran dan penglihatan serta hati mereka tidak memberikan faedah sedikitpun kepada mereka. Yakni mereka tidak gunakan semua itu dengan cara yang betul. Mereka tidak menggunakannya untuk mencari yang benar dan guna untuk tolak azab dengan beriman!
    Alat yang ada ditangan sudah cukup canggih, tetapi malangnya tidak pandai guna dan ambil manfaat darinya! Maka akan rugilah dan tiada faedah.
  4. Bahkan mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat keterangan Allah; dengar saja terus berpaling dan menolaknya. Ini kerana mereka telah tutup mata telinga dan hati mereka dari awal lagi! Sedangkan mereka kenal Rasulullah s.a.w sejak dari kecil lagi sebagai seorang yang benar & amanah.
  5. Kita dapat lihat dalam al-Quran Allah s.w.t sebut pendengaran (telinga) dulu sebelum penglihatan (mata) dan hati.
    Ini kerana bagi manusia telinga dululah yang diguna sejak dari alam rahim dan bayi lagi, ia juga boleh di guna dalam cerah dan gelap. Ini bertepatan dengan kajian sains.
  6. Maka binasalah mereka oleh azab yang mereka ejek-ejek dan tidak percaya itu dulu. Azab itu akan datang mengikut permaianan, keadaan dan situasi sesuatu kaum itu. Firaun dan Qarun yang sombong tenggelam dalam air & bumi, dan lain-lain.

AYAT 27- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH BINASAKAN NEGERI-NEGERI YANG ADA DI SEKELILING (NEGERI) KAMU (WAHAI KAUM MUSYRIK MAKKAH), DAN KAMI TELAH MENERANGKAN TANDA-TANDA (KEKUASAAN KAMI) DENGAN BERBAGAI CARA, SUPAYA MEREKA KEMBALI (BERTAUBAT).} (AL-AHQAAF 46:27)

  1. Allah s.w.t katakan lagi bahawa Dia juga telah binasakan banyak negeri-negeri yang ada di sekeliling negeri mereka, iaitu sekitar kaum musyrik Makkah.
  2. Munasabah ayat: Apabila selesai maksud Allah mahu sampaikan tentang kebinasaan kaum Ad di al-Ahqaf itu, supaya puak kafir tahu bahawa sesiapa yang mendustakan Allah s.w.t, maka dia akan binasa seperti mereka. Lalu Allah s.w.t bawa lagi contoh kaum-kaum lain di sekeliling mereka, yang mereka kenal & tahu kisahnya serta setengahnya ada lagi kesannya yang dapat dilihat.

Seperti kaum Thamud di al-Hijr, penduduk Madyan di Jordan, kaum Aikah, kaum Saba\’ di Yaman, Firaun dan kaumnya di Mesir, kaum Lut a.s di Laut mati dan seumpamanya.

  1. Bila kita sebut tentang kisah umat terdahulu dalam al-Quran, kita tengok kesannya, apa pengajaran yang Allah s.w.t mahu sampaikan. Fokuskan untuk kita ambil ibrah dan pengajaran, bukan untuk mencari sesuatu yang pelik dan tidak masuk akal.
  2. Allah s.w.t juga telah bawa pelbagai dalil, menerangkan tanda-tanda akan kekuasaan-Nya dengan berbagai cara, ada ujian dan peringatan, supaya manusia sedar insaf, lalu kembali bertaubat.
  3. Dunia ini berputar, sekali atas sekali di bawah, maka beringatlah, tiada kuasa dan pertolongan melainkan dari Allah s.w.t. Kita minta selamat dari Allah s.w.t dari segala ujian fitnahnya.

AYAT 28- {MAKA SEPATUTNYA MEREKA DIBELA OLEH SEGALA YANG MEREKA SEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH SEBAGAI PENYEMBAHAN UNTUK MENDEKATKAN DIRI (KEPADA ALLAH)? (TETAPI TIDAK), BAHKAN SEGALA YANG MEREKA SEMBAH ITU TELAH HILANG LENYAP DARI MEREKA. DAN DEMIKIANLAH AKIBAT PENYELEWENGAN MEREKA DAN KEPERCAYAAN YANG MEREKA TELAH ADA-ADAKAN.} (AL-AHQAAF 46:28)

  1. Di Akhirat kelak apabila mereka dihukum, sepatutnya segala berhala sembahan yang mereka dakwa tuhan itu dapat menolong dan menyelamatkan mereka! Tetapi malangnya segala itu telah lenyap binasa bersama mereka juga.
  2. Munasabah ayat: Apabila puak kafir telah menjadikan ajaran dan pegangan mereka sebagai syirik kepada Allah s.w.t, maka Allah s.w.t ungkit dan perli mereka untuk pergi cari dan minta pertolongan dari segala sembahan yang mereka lantik dan pilih itu!
  3. Ayat ini adalah hujjah yang Allah s.w.t ajar kepada Rasulullah s.a.w untuk pergi berdebat dan berlawan dengan kaum musyrikin Makkah pada masa itu. Ayat ini lebih kepada hujjah perlian dan cabaran.
  4. Ini kerana segala dakwaan dan kepercayaan mereka itu adalah satu penyelewengan dan kesesatan yang nyata!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 26- {dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta hati; dalam pada itu, pendengaran dan penglihatan serta hati mereka tidak memberikan faedah sedikitpun kepada mereka,}- ayat ini kata ulama\’ tadabbur; hakikatnya telinga mereka tidak tuli & dapat mendengar, mata pula tidak buta & dapat melihat, yakni mereka dapat melihat Rasulullah s.a.w, mendengar apa yang Baginda sampaikan, iaitu alat sudah cukup untuk menerima segala maklumat ini. Akal mereka pun cerdik bukan orang yang bodoh dan lemah fikiran.

Tetapi malangnya segala maklumat ini tidak sampai ke dalam hati mereka, kerana kuasa memberi taufik itu dari Allah s.w.t!
Tiada kesan yang dapat menembusi hati manusia kecuali dengan kehendak Allah!

Tugas kita para pendakwah hanyalah memberi bimbingan dan ajaran, tanpa jemu dan cuai. Semoga Allah memberi kita & keluarga kita taufik ke jalan yang diredhai Allah s.w.t, jauh dari penyelewengan dan kesesatan!

  1. Ayat 26- {dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta hati;}- dalam ayat ini Allah sebut tiga anggota, yang merupakan alat , ia merupakan antara anggota yang sangat mulia dalam diri manusia. Kerana ia memberi kesan kepada pemikiran dan perjalan hidup seseorang manusia itu.

Firman Allah s.w.t: {Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.} (Al-Nahl 16:78)

Kata ulama\’ tadabbur: Jika tiga anggota ini sihat maka bahagialah hidup manusia, tetapi apabila ia rosak terutamanya hati, maka rosaklah hidup seorang manusia itu.

Kata Syeikh Abdul Qadir al-Mandili: Keracunan makanan lebih ringan daripada keracunan pendengaran! Kerana itu kita dilarang dari mendengar perkara-perkara syubhat yang dapat menimbulkan keraguan & was-was, dibimbangi akan masuk dan terlekat dalam hati.

Keracunan makanan dapat diubati dan hilang tanpa kesan jika dirawat dengan betul, tetapi sekali masuk sesuatu yang buruk dan dalam telinga kita, maka ia akan lekat dan memberi kesan dalam hati selamanya!

  1. Ayat 26- {dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta hati; dalam pada itu, pendengaran dan penglihatan,}- dari ayat ini kata ulama\’ menunjukkan kepada dalil-dalil secara pendengaran (دليل السمعية).

Dalil itu ada dua (دليل السمع والنظر):
i- dalil al-Nazori- ialah sesuatu yang dapat kita lihat dan saksikan dengan mata kepala kita sendiri. Seperti langit bumi, hujan dan lain-lain.

ii- dalil as- Sam\’i, iaitu al-Quran & Hadis (dalil naqli). Sesuatu yang kita dengar sahaja tidak tengok sendiri seperti apa yang disebut dalam al-Quran.
Tetapi kena ingat dalil yang sahih dari al-Quran tidak akan bercanggah dengan akal yang salim (selamat), akal yang belum diracuni dengan mana-mana pemikiran yang sesat dan batil seperti muktazilah dan lain-lain. Jangan letak akal dulu daripada naqli, baru tidak terpesong.

Kita kena fokus kepada asas yang besar bukan berbincang atau berbalah tentang perkara yang kecil yang tidak memberi faedah. Bukan mencari-cari di dalam al-Quran sesuatu yang tidak Allah sebut, yang tidak penting dan tiada hikmah disebaliknya.

  1. Ayat 26- {dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta hati; dalam pada itu, pendengaran dan penglihatan serta hati;}- ayat ini menjadi dalil bahawa semua pancaindera itu tidak akan memberi faedah jika tidak ikut wahyu Allah s.w.t, tidak digunakan dengan betul.

Ia juga menunjukkan akal itu punca taklif. Jika sempurna akal barulah seseorang itu akan diberi tanggung-jawab Syari\’ah, jika tidak tidak dikira. Kerana dengan akallah mereka akan belajar ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w untuk menyelamatkan diri dari azab Allah.

  1. Ayat 26- {Dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta hati; dalam pada itu, pendengaran dan penglihatan serta hati mereka tidak memberikan faedah sedikitpun kepada mereka,}- sesuatu perkara itu tidak memberi faedah apabila ia tiada kesannya.

Contoh dalam ayat ini: apabila Allah menafikan dari puak kafir akan pendengaran, penglihatan dan hati (akal) mereka. Ini kerana mereka tidak beriman dengan apa yang mereka dengar & lihat, maka ia tidak akan memberi kesan & faedah kepada mereka.

Yakni apabila Allah s.w.t nafikan sesuatu perkara itu daripada manusia maka ia tidak akan memberi apa-apa faedah lagi.

Powered by BetterDocs