SURAH AL-JATHIYAH : AYAT 36-37

\"\"

ALLAH S.W.T AKHIRI SURAH INI DENGAN MEMUJI ZAT-NYA YANG SEMPURNA PEMILIK ALAM INI.

Full video : https://youtu.be/An3oVklvRIY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang terakhir ini Allah s.w.t akhiri Surah Ini Dengan Memuji Zat-Nya Yang Maha Mulia, Yang Maha Sempurna.
  2. Allah Azza wa Jalla sebagai Pemilik Alam Ini, Pengatur dan Pentadbir segala makhluk ciptaan-Nya, Allah yang Esa, memiliki keagungan dan kekuasaan di langit dan bumi, Yang Gagah Perkasa tiada yang dapat melawannya (القهار).
  3. Hanya Allah Azza wa Jalla Yang Maha Agung, yang maha Gagah (العزيز), Pencipta, Penguasa dan Pentadbir alam ini, Yang Maha Bijaksana (الْحَكِيمُ), meletakkan sesuatu pada tempatnya, yang Maha Adil.
  4. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t menyebut apa yang terkandung dalam surah ini tentang nikmat-nikmat Allah s.w.t yang tidak terhitung, kebaikan dan rahmat belas kasihan Allah s.w.t kepada seluruh hamba-Nya, samada yang beriman atau kafir.

Allah sebut juga dalil-dalil tentang kekuasaan dan keagungan-Nya di langit & angkasaraya serta di laut & bumi serta dalam kejadian diri kita sendiri yang amat hebat dan sempurna. Jantung yang berdegup mengepam darah kita, yang jika terhenti berdetik akan berakhirlah hayat kita.

Kita minta selamat agar diberikan husnul-khatimah dalam keadaan kita sedang buat baik insya\’ Allah, bukan sebaliknya. Ini kerana kita akan dibangkitkan sebagaimana kematian kita.

  1. Yakni Allah s.w.t sebut juga isyarat-isyarat perkara yang akan berlaku dengan dalil yang jelas dan nyata tentang prinsip permulaan dunia dan akhir dunia, di mana manusia akan kembali kepada Allah s.w.t!

Ini gambaran yang jelas bahawa sempurna dan besar-nya keagungan Allah s.w.t, maka maka dalam ayat penutup ini Allah s.w.t puji zat-Nya yang mulia, yang memang layak dipuja & dipuji!

AYAT 36- {(DEMIKIANLAH AJARAN DAN PERINGATAN ALLAH YANG MAHA ADIL) MAKA BAGI ALLAH JUALAH TERTENTU SEGALA PUJIAN, TUHAN YANG MENTADBIRKAN LANGIT, DAN TUHAN YANG MENTADBIRKAN BUMI, – TUHAN SEKALIAN ALAM.} (AL-JAATHIYAH 45:36)

  1. Inilah ajaran dan peringatan dari Allah Yang Esa, bagi-Nya jua yang berhak segala puja & puji yang tertentu.
    Allah s.w.t memperkenalkan sifat-Nya yang Mulia serta Zat-Nya yang Maha Tinggi.
  2. Allah sebut tiga kali (Rabb) Allah yang sifat-Nya Pencipta, pemilik, Penguasa dan Pentadbir:
    i- Tuhan yang mentadbirkan langit, (رَبِّ السَّمَاوَاتِ) iaitu bahagian atas langit dan seluruh angkasaraya cakerawala.

ii- dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, (وَرَبِّ الْأَرْضِ) – iaitu bahagian bawah juga, bumi, bukit-bukau dan lautan serta seluruh isi kandungannya.

iii- Tuhan sekalian alam. (رَبِّ الْعَالَمِينَ)- ini pula secara umum keseluruhan alam ini.

  1. Inilah ayat-ayat yang mengenalkan Allah s.w.t melalui tauhid ar-Rububiyyah (ketuanan) Allah s.w.t. sebagai Pencipta, Pentadbir dan Penguasa alam ini.
  2. Kemudian tauhid al-Uluhiyyah (ketuhanan) Allah s.w.t sebagai Tuhan yang layak disembah, dipinta pertolongan dan dipohon doa, tiada yang layak selain daripada Dia Allah Azza wa Jalla.
  3. Tiada yang lebih menenangkan hati dan menjamin pahala selain daripada mengikut dan mengamalkan apa yang warid yang ditinggal & diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai satu sandaran yang kuat dan kukuh.

AYAT 37- {DAN BAGINYALAH KEAGUNGAN DAN KEKUASAAN DI LANGIT DAN DI BUMI; DAN DIA LAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-JAATHIYAH 45:37)

  1. Allah s.w.t memperkenalkan lagi beberapa sifat kesempurnaan-Nya yang Maha Mulia dan Maha Tinggi dan Berkuasa.
  2. Allah s.w.t sebut bahawa bagi Dia-lah:
    i- Kesombongan dan keagungan (الْكِبْرِيَاءُ)- iaitu bagi-Nya yang Esa, kekuasaan kemuliaan dan kemegahan di langit dan di bumi yang menjadi kewajipan ke atas semua makhluk-Nya untuk mengagungkan-Nya, tunduk patuh menghina diri kepada-Nya, tanpa mencari yang lain. Sifat keangkuhan dan kesombongan itu hanya milik Allah s.w.t semata-mata. Tiada makhluk yang berhak untuk bersifat begini.

Hadis- Dari Abu Hurairah & Abu Said al-Khudri r.a, sebagaimana diriwayatkan dalam satu hadis qudsi, Rasulullah S.A.W bersabda: Allah berfirman:
\”Takabbur (الْكِبْرِيَاءُ) itu ialah sifat-Ku, kemegahan dan kebesaran (العز) itu ialah pakaian-Ku (sifat-Ku) juga. Maka barang siapa yang mengambil salah satu daripada keduanya, akan Ku-campakkan dia ke dalam api neraka dan Aku tidak peduli.\” [HR Muslim].

ii- Allah juga Dia lah Yang Maha Kuasa (الْعَزِيزُ). Yang tiada siapa dapat mengatasi dan mengalahkan-NYA.

iii- Lagi Maha Bijaksana (الْحَكِيمُ). Iaitu penuh keadilan meletakkan sesuatu pada tempatnya, mencipta sesuatu dengan penuh kesempurnaan.

  1. Munasabah ayat mengikut susunan sebelumnya: Setelah kita dapat memahami dari ayat-ayat yang lepas yang menunjukkan akan kekuasaan dan kekayaan Allah yang sepenuhnya, tiada yang setara sekufu dengan-Nya, maka Allah s.w.t bawa kepada kita jika ini sifat-Nya maka inilah kekuasaan yang layak bagi-Nya.

Ini supaya kita dapat mengambil pengajaran bahawa cukuplah hanya Allah s.w.t bagi kita, sebagai pemilik, pengatur dan pentadbir alam ini, sebagai tempat memuja, meminta, memohon segala permintaan dan pertolongan. Tidak perlu segala sekutu dan syirik kepada-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 36- {Maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, – Tuhan sekalian alam.} & Ayat 37- {Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}
  • kata ulama\’ tafsir Syeikh ar-Razi rhm.: memberi isyarat bahawa susunan zikir ialah dimulai dengan tahmid (الحمد لله) dulu baru takbir (الله أكبر).

*Dari sudut bacaan zikir Rasulullah s.a.w bersabda bahawa boleh aje dalam zikir 4 kalimah itu untuk kita mulai yang mana dulu. ( سبحان الله, الحمد لله, ولا إله إلا الله و الله أكبر)

Tetapi dalam ayat ini Allah s.w.t ajar dan beri sentuhan iaitu bagi orang yang nak puji Allah s.w.t kita mesti kena kenal dan tahu siapa Allah s.w.t itu?
Iaitu Yang Maha Tinggi, Maha Besar, kita puji Allah s.w.t yang layak dengan sifat-Nya yang Agung dan besar, yang memberi kita nikmat.
Pertamanya mengadakan kita (الإيجاد) kemudian nikmat iman & Islam (الإيمان والإسلام), kemudian berterusanlah nikmat yang lain dalam hidup kita, nikmat yang tidak putus-putus.

Maka kita kenal Allah s.w.t yang kita puji dengan keagungan dan kebesaran-Nya, bahkan Dia melebihi daripada apa yang kita puja & puji. Yakni kita puji Allah s.w.t Yang Maha Besar.

Memberi peringatan juga agar kita tidak memuja memuji orang yang kita tidak betul-betul kenal sifat dan peribadinya, hanya secara mengikut-ikut orang saja!

  1. Ayat 36- {Maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, – Tuhan sekalian alam.} & Ayat 37- {Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}-
    ayat ini mengajar kita bahawa:
    i- segala pujian (الْحَمْدُ) itu bagi Allah s.w.t, kita kena puji Allah s.w.t dengan sifat-Nya yang sempurna, mencintai Allah s.w.t dan memuliakan-Nya.

ii- bagi Allah juga segala kebesaran, kemulian dan kemegahan (الْكِبْرِيَاءُ).

Maka analisanya ibadat untuk menyembah Allah s.w.t itu terbina atas dua asas:
i- cintakan Allah (المحبة).
ii- kita hinakan (الذل) diri kita di hadapan Allah s.w.t yang maha Agung & Mulia.

Semua ini kerana kita tahu (العلم) Allah s.w.t yang Maha terpuji yang mempunyai kesempurnaan dan keagungan.
Barulah timbul semua perasaan cinta sayang, agung, gerun dan takut kepada Allah Azza wa Jalla.

  1. Ayat 36- {Maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, – Tuhan sekalian alam.}- dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut Allah sebagai Tuhan (رَبِّ) dua benda iaitu:
    i- Tuhan pemilik langit (رَبِّ السَّمَاوَاتِ)-

ii- Tuhan pemilik bumi (وَرَبِّ الْأَرْضِ)-

Kemudian disebut pula sebagai Tuhan sekelian alam (رَبِّ الْعَالَمِينَ)- menjadikan tiga kali diulang nama Tuhan (رَبِّ) di dalam ayat ini saja.

Apa hikmah Allah s.w.t ulang tiga kali ini:
i- untuk menguatkan ingatan dan kefahaman (التأكيد), dan memyatakan (الإعلام) bahawa semua yang ada dalam alam ini di atas, bawah, makhluk yang khas di langit dan di bumi semuanya ada dalam rahsia dan hikmah Allah s.w.t.

ii- maka pengajaran yang kita dapat adalah berbeza mengikut kedaan setempat.
Kena faham adat budaya dan agama, apa yang buruk bagi umat Islam jangan kita anggap mudah, hanya budaya dan suka-suka.
Sedangkan ia sebenarnya adalah tipu-daya syaitan untuk merosakkan umat Islam.

iii- Allah s.w.t ulang lagi kali ketiga untuk mengingatkan bahawa yang mengatur dan mentadbir semua itu adalah di bawah susun-atur Allah Azza wa Jalla semuanya, atas bawah.
Tuhan sekelian alam (رَبِّ الْعَالَمِينَ) menunjukkan kuasa Allah itu lengkap dan merangkumi semuanya.

  1. Ayat 36- {Maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, – Tuhan sekalian alam.}- Allah s.w.t sebut dalam ayat yang mulia ini bahawa Allah yang berhak dipuja dan dipuji kerana ia bersifat Pemilik alam ini keseluruhannya. Maka kita fahami hanya Allah sahaja yang berhak untuk dipuja-puji dan disebut dengan sifat kemuliaan yang sempurna.
  2. Ayat 36- {Maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, – Tuhan sekalian alam.}- dalam ayat ini Allah sebut – maka (فَلِلَّهِ), maka (فَ) ini menunjukkan bahawa (فاء التفريع) setelah kamu kenal Allah dengan sifat-Nya, nikmat dan keagungan-Nya, hendaklah kamu puji Allah s.w.t sentiasa.

Diakhir surah ini Allah tutup dengan pujian ke atas-Nya, untuk menyatakan bahawa kandungan dalam surah yang kita baca ini, betapa kasih sayang & rahmat Allah s.w.t terhadap hamba-nya, Dia yang beri mereka petunjuk, undang-undang, hukum-hakam serta rezeki makan & minum keseluruhannya.

Tetapi ingat manusia ini terbahagi kepada dua golongan satu yang taat dan satu yang ingkar, maka Alllah bagi juga peringatan bahawa di Akhirat ada syurga dan neraka, bagi pilihlah mana yang kamu hendak.

Alhamdulillah sentiasalah kita memuji Allah s.w.t dengan sifat-Nya yang maha Tinggi dan nama-Nya Yang Maha indah.

Ini kerana Allah s.w.t tetap dipuji walaupun di saat kita diuji. Kerana itu apabila ditimpa apa jua keadaan kita ucapkan: ( الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ) – \”Segala puji bagi Allah dalam setiap keadaan\”.

Alhamdulillah tamatlah Kuliah tafsir Surah al-Jathiyah dengan 9 siri, semoga kita semua mendapat pahala dan kebaikan darinya.

Powered by BetterDocs