SURAH FATHIR : AYAT 9-11

\"\"

KUASA ALLAH MENGHIDUPKAN BUMI MATI, KALIMAH TAYYIBAH DI ANGKAT KEPADA ALLAH & PANJANG PENDEK UMUR TELAH DITETAPKAN.

Full video : https://youtu.be/n-UGzbB5VFM

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan bincang beberapa tajuk iaitu dalil bahawa Allah berkuasa menghidupkan semula manusia, dengan cara kita perhatikan kepada angin, awan dan hujan yang turun menyebabkan bumi yang mati subur dengan tumbuh-tumbuhan.
  2. Siapa yang mencari kemuliaan (الْعِزَّةَ) maka berpeganglah dengan ajaran Allah, maka kita akan mendapat kemuliaan di sisi Allah dan di sisi makhluk-Nya.
  3. Sekali lagi Allah s.w.t bawa dalil kejadian manusia yang menunjukan bahawa semua kuasa itu di bawah milik Allah s.w.t, yang memulakan kehidupan manusia, mengakhirinya kemudian menghidupkannya semula, mengulangnya di alam yang kekal abadi.
  4. Munasabah ayat ini dengan ayat yang lepas- Allah s.w.t ceritakan tentang perkara di sebelah atas iaitu langit.
    Tentang malaikat yang dicipta sebagai utusan atau perantaraan-Nya dengan makhluk lain.
  5. Kerana tugasnya yang besar dan pangkalannya di langit, maka malaikat itu dicipta bersayap dan mempunyai kuasa untuk turun naik antara langit dan bumi dengan pantas dan segera, untuk menjalankan tugs yang diberi oleh Allah s.w.t.
  6. Antara tugas malaikat yang turun ke bumi ialah menjaga awan, membawa angin menurunkan hujan di tempat yang telah ditetapkan, dan lain-lain tugas.
  7. Pada awal surah Allah s.w.t telah nyatakan bahawa dialah Pencipta langit dan bumi.
    Maka pastilah Dia tidak mencipta saja kemudian membiarkannya, tetapi sekali pengurusan, pentadbiran dan susunan yang penuh hikmah dan teratur dengan kuasa dan kehendak-Nya yang tiada bandingan dan tandingan!

AYAT 9-{DAN ALLAH JUALAH YANG MENGHANTARKAN ANGIN, LALU ANGIN ITU MENGGERAKKAN AWAN, KEMUDIAN KAMI HALAKAN AWAN ITU KE NEGERI YANG MATI (YANG KERING KONTANG); LALU KAMI HIDUPKAN BUMI SESUDAH MATINYA DENGAN (HUJAN DARI AWAN) ITU. SEDEMIKIAN ITU PULA KEBANGKITAN MANUSIA (HIDUP SEMULA SESUDAH MATI).} (FATHIR 35:9)

  1. Dalam ayat ini menyatakan sebahagian dalil dan bukti yang menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t membangkitkan manusia hidup semula selepas kematiannya. Ini adalah dalil yang boleh dilihat- angin, awan dan hujan dan juga dalil maqru\’ah دليل المقروءة.
  2. Allah-lah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan. Maka Kami halau atau arahkan awan itu ke suatu negeri yang tandus, lalu Kami turunkan hujan kepadanya. Dengan hujan itu Kami basahkan bumi setelah kering. Maka bumi menjadi hidup dengan tumbuhnya pokok-pokok lalu makhluk hidup mendapat rezeki.
  3. Awan itu asalnya kosong kemudian ia mengumpul hujan lalu diturunkan di mana yang Allah s.w.t kehendaki dengan kadar yang telah ditetapkan.
    Jika lebih sukatan daripada kebiasaannya maka akan berlakulah banjir dan kerosakan. Sama juga dengan ombak di lautan, jika naik lebih dari kadar kebiasaannya maka kan berlaku tsunami dan lain-lain.
  4. Maka bumi yang pada awalnya kuning dan kering menjadi hidup dan hijau (yakni tumbuh pokok-pokok) dan makhluk yang hidup mendapat rezekinya. Ini jelas kita nampak di negeri-negeri padang pasir seperti di tanah Arab, di negara kita yang memang sudah hijau tidak nampak sangat perbezaan dan nikmat pokok ini.
  5. Kerana itu hendaklah kita sentiasa berdoa sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w:
    i- Doa ketika hujan turun: ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺻَﻴِّﺒًﺎ ﻧَﺎﻓِﻌًﺎ
    Ya Allah turunkanlah pada kami hujan yang bermanfaat.\” (HR al-Bukhari)

ii- Doa ketika hujan semakin buruk:
ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺣَﻮَﺍﻟَﻴْﻨَﺎ ﻭَﻟَﺎ ﻋَﻠَﻴْﻨَﺎ, ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﻋَﻠَﻰ ﺍلآكَاﻡِ ﻭَﺍﻟﻈِّﺮَﺍﺏِ ﻭَﺑُﻄُﻮﻥِ ﺍﻟﺄَﻭْﺩِﻳَﺔِ ﻭَﻣَﻨَﺎﺑِﺖِ ﺍﻟﺸَّﺠَﺮِ
Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan untuk merosak kami. Ya Allah, turunkanlah hujan di dataran tinggi, bukit-bukit, perut lembah dan tempat tumbuhnya pokok- pokok.\” (HR al-Bukhari)

  1. Kenapakah Allah buat perbandingan ini? Kerana kata ulama\’:
    i- untuk menunjukkan kebangkitan samula manusia yang telah mati seperti bumi itu.
    ii- kerana kata ulama\’ manusia yang mati itu juga dihidupkan dengan air sepertimana tumbuhan itu!
  2. Dalilnya- hadis riwayat dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda:
    مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُونَ \”‏‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ يَوْمًا قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ شَهْرًا قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ سَنَةً قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ ‏\”‏ ثُمَّ يُنْزِلُ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً‏.‏ فَيَنْبُتُونَ كَمَا يَنْبُتُ الْبَقْلُ لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَىْءٌ إِلاَّ يَبْلَى إِلاَّ عَظْمًا وَاحِدًا وَهْوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الْخَلْقُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
    Maksudnya: \”Antara dua tiupan (sangkakala) adalah 40. Maka, (ada yang bertanya kepada Abu Hurairah) adakah 40 hari? Abu Hurairah berkata: \”Aku enggan menjawab\”. Adakah 40 bulan? Beliau berkata: \”Aku enggan menjawab\”. Adakah 40 tahun? \”Aku enggan menjawab\” Kemudian Abu Hurairah berkata: Lalu (selepas itu) Allah S.W.T menurunkan hujan. Kemudian (mayat-mayat) akan tumbuh (hidup) kembali seperti tumbuhnya sayuran, tiadalah pada manusia itu sesuatu melainkan reput semuanya kecuali satu bahagian tulang iaitu tulang punggung. Daripada tulang ini akan bercantum semula (manusia itu) pada hari kiamat.\” [HR al-Bukhari (4651) dan Muslim (2955)]
  3. Begitulah bagaimana manusia ini asalnya dihidukan dengan air (mani), untuk hidup bangkit semula selepas mati pun dengan air juga. Bandingannya adalah seperti Allah s.w.t menghidupkan bumi dan menumbuhkan tumbuhan dengan air juga!

AYAT 10-{SESIAPA YANG MAHUKAN KEMULIAAN (MAKA HENDAKLAH IA BERUSAHA MENCARINYA DENGAN JALAN MEMATUHI PERINTAH ALLAH), KERANA BAGI ALLAH JUALAH SEGALA KEMULIAAN. KEPADA ALLAH LAH NAIKNYA SEGALA PERKATAAN YANG BAIK (YANG MENEGASKAN IMAN DAN TAUHID, UNTUK DIMASUKKAN KE DALAM KIRA-KIRA BALASAN), DAN AMAL YANG SOLEH PULA DI ANGKATNYA NAIK (SEBAGAI AMAL YANG MAKBUL – YANG MEMBERI KEMULIAAN KEPADA YANG MELAKUKANNYA). DAN SEBALIKNYA: ORANG-ORANG YANG MERANCANGKAN KEJAHATAN (UNTUK MENDAPAT KEMULIAAN), ADALAH BAGI MEREKA AZAB SEKSA YANG BERAT; DAN RANCANGAN JAHAT MEREKA (KALAU BERKESAN) AKAN ROSAK BINASA.} (FATHIR 35:10)

  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya. Apabila Allah s.w.t nyatakan kepada manusia tentang dalil-dalil keimanan samada dengan ayat yang dibaca atau boleh dilihat, tetapi puak kafir tetap berdegil dan keras kepala tidak mahu terima!
  2. Mereka menganggap nikmat zahir yang mereka dapat seperti harta, anak pinak dan kedudukan adalah tanda kepada kemuliaan dan keredhaan Allah terhadap mereka. Yakni mereka di jalan yang benar! Bahkan tidak sekali-kali, ini tidak benar!
  3. Lalu Allah s.w.t bawa ayat ini untuk menafikan kepercayaan mereka itu dan mengajar kita agar jangan ikut persepsi puak kafir ini, bahawa orang yang diberi kesenangan dan kemulian atas dunia ini bukan tanda Allah redha dan sayang kepada mereka. Ia hanya ujian dan salah satu godaan dunia.
  4. Sesiapa yang menginginkan kemuliaan, (الْعِزَّةَ) iaitu hidup mulia di dunia dan akhirat, carilah kemuliaan itu dari yang memilikinya, iaitu Allah. Maka buatlah perkara dan amalan yang boleh menjadi sebab untuk membawa ke arahnya! Ia tidak mungkin dicapai kecuali dengan ketaatan kepada-Nya.
  5. Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah pesan kepada manusia agar jangan terpedaya dengan godaan dunia dan tipudaya syaitan! Nak mulia kena ikut Allah s.w.t jangan ikut syaitan!
  6. Diangkat kepada Allah, dihadapkan kepada-Nya segala perbuatan yang baik yang dilakukan oleh makhluk-Nya perkataan-perkataan yang baik. Yang menegaskan iman & tauhid. Amal soleh pula seperti iaitu zikir, bacaan Al Quran, ucapan tasbih, tahmid, tahlil, doa dan semua ucapan yang baik lainnya.
  7. Apakah maksudnya kalimah yang baik (الْكَلِمُ الطَّيِّبُ) ini?
    Kata ulama\’:
    i- ialah ucapan kalimah tauhid kepada Allah s.w.t. Juga zikir-zikir yang ma\’thur dari Nabi s.a.w, inilah kalimah yang baik, yang apabila diucap akan dibawa naik kepada Allah Azza wa Jalla. Zikir-zikir ini amat mudah dan kita mampu melakukannya, ibadat lain terhad, tetapi zikir tanpa had!
  8. Apakah pula amal soleh yang mengangkatnya (يَرْفَعُهُ الْعَمَلُ الصَّالِحُ)?
    Ada 3 pandangan:
    i- amal soleh itu mengangkat Kalimah yang baik.
    ii- amal soleh yang ikhlas, yang ikut Nabi akan diangkat kepada Allah s.w.t.
    iii- amal soleh itu kalimah yang baik (tauhid) akan mengangkatnya.
    Jika dia tiada tauhid (tidak mengucap dua kalimah syahadah) tetapi dia banyak buat baik, maka amalnya itu tidak naik, kerana tiada akaun atau tiada kunci!
    *Maka ayat ini menunjukkan dua-dua sekali, tiada manfaat jika cakap saja tanpa amalan, kena ada dua-dua! Begitu juga amal soleh saja tanpa kalimah tauhid tidak diterima! Amalan yang dibuat oleh orang kafir tidak diangkat, tidak dibuka pintu langit untuk mereka!

Ini menolak fahaman murji\’ah yang menganggap apabila sudah mengucap tidak mengapa tiada amalan pun!

  1. Manakala orang yang merancang kejahatan (وَالَّذِينَ يَمْكُرُونَ السَّيِّئَاتِ), melakukan amalan buruk untuk mencari kemuliaan. Ada beberapa pandangan ulama\’:
    i- Yang paling buruk ialah orang yang syirik kepada Allah s.w.t. dan kafir.
    ii- Kata Syeikh Said bin Jubair rhm pula, ini ialah untuk orang Islam: \”Orang yang buat ibadat tetapi riya\’\”. Yakni rosaknya amal ibadat kerana niat yang salah, maka termasuk dalam kategori orang yang tidak baik.
    iii- orang-orang yang merancang untuk berbuat jahat, membunuh Rasulullah s.a.w di Dar an-Nadwah (Parlimen Quraisy).
    iv- puak kafir itu jahat belaka dari segi aqidah, manakala dari segi perbuatan atas pribadi masing-masing.
  2. Bagi mereka ini pula azab siksa yang berat samada di dunia lagi atau yang pasti azab yang paling dahsyat ialah yang di akhirat kelak!
  3. Andaikata perancangan jahat mereka berjaya pun akan rosak binasa, ia tidak memberi mereka faedah dan kebaikan di dunia atau akhirat! Dunia ini jika hebat setara mana pun tetap akan rosak binasa!

AYAT 11-{DAN ALLAH MENCIPTAKAN KAMU DARI TANAH, KEMUDIAN DARI (SETITIS) AIR BENIH, KEMUDIAN IA MENJADIKAN KAMU BERPASANGAN (LELAKI DAN PEREMPUAN). DAN TIADA MENGANDUNG SESEORANG PEREMPUAN (JUGA SEEKOR BETINA), DAN TIDAK PULA SATU-SATUNYA MELAHIRKAN (ANAK YANG DIKANDUNGNYA) MELAINKAN DENGAN KEADAAN YANG DIKETAHUI ALLAH. DAN TIDAK DIBERIKAN SESEORANG BERUMUR PANJANG, JUGA TIDAK DIJADIKAN SESEORANG PENDEK UMURNYA, MELAINKAN ADA KADARNYA DI DALAM KITAB ILAHI. SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN ITU MUDAH SAHAJA KEPADA ALLAH.} (FAATIR 35:11)

  1. Allah s.w.t telah menyebut sebelum ini dalil-dalil di langit, peranan malaikat dan di bumi dengan pokok-pokok yang tumbuh, maka dalam ayat ini Allah s.w.t bawa pula dalil akan kejadian manusia, untuk melihat kepada diri kita sendiri dan berfikir. Jangan rasa hebat sangat, lihat kepada asal kita dari mana!
  2. Asal kejadian manusia itu dari tanah, kemudian dari setitis benih (mani) kemudian Allah s.w.t jadikan manusia itu berpasangan lelaki dan perempuan.
  3. Kemudian mereka akan membiak mendapat rezeki anak, ada yang ramai ada yang sedikit atau tiada lansung, semuanya adalah dengan kuasa dan kehendak Allah s.w.t! Ini menegasakan bahawa walaupun perkahwinan termasuk sebab untuk menghasilkan keturunan, namun tetap terikat dengan qadha\’ dan qadar Allah s.w.t serta ilmu-Nya.
  4. Tidak ada seorang perempuan manusia atau haiwan betina pun yang mengandung dan yang melahirkan, melainkan dengan pengetahuan-Nya. Dia mengetahui hal itu, tiada sesuatu pun dari hal itu yang tersembunyi bagiNya. Begitu juga tempoh yang dilalui manusia juga dengan sepengetahuanNya dan qadha\’Nya.
  5. Sekali-kali tidak dipanjangkan umur seseorang yang berumur panjang dan tidak juga dikurangi umurnya, melainkan sudah ditetapkan dalam Kitab di sisi Allah s.w.t iaitu di Lauh Mahfuz. Panjang dan pendeknya umur dengan adanya sebab dan tanpa sebab itu, semuanya dengan sepengetahuan Allah dan hal itu sudah dicatat dalam Lauh Mahfuz.
  6. Kita boleh berdoa minta panjang umur tetapi atas ketaatan dan kebaikan kepada Allah s.w.t, dengan sihat wal afiat, yang membawa kebaikan kepada kita untuk akhirat. Samada makbul atau tidak wallahu a\’lam, atas Allah s.w.t.
  7. Tips panjang umur & luas rezeki dari hadis:
    i- Dari Anas r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, \”Barang siapa yang ingin agar rezekinya diluaskan dan usianya dipanjangkan dengan sebutan yang baik, maka hendaklah dia menghubungkan tali persaudaraannya.\” [HR Bukhari & Muslim].
    Allah jadikan kita panjang umur dengan sebab silatur-rahim itu, bukan kata melawan qadha-qadar Allah s.w.t.

ii- Riwayat dari UM Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang diberi oleh Allah s.w.t sifat (rifq) lemah-lembut, maka dia telah diberi sebahagian dari kebaikan dunia dan akhirat. Sifat menghubungkan silatur-rahim, baik akhlak, baik hubungan dengan jiran tetangga akan memakmurkan bumi & menambahkan umur.\” [HR Ahmad].

iii- Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: \”Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambahkan rezekinya, maka hendaklah ia berbuat baik kepada kedua-dua orang tuanya dan mengeratkan silaturahim.\” [HR Ahmad].
Ingatlah silaturrahim itu bukan hanya membalas kunjungan waris tetapi kita menghubungkan yang putus atau yang telah lama renggang, mengeratkannya kembali.

iv- Ketika ditanya tentang siapa orang yang paling baik, Rasulullah SAW menjawab: \”Iaitu orang yang panjang umurnya dan baik amalannya. Sedangkan orang paling buruk adalah mereka yang panjang umurnya tetapi buruk amalannya.\” [HR Ahmad].

8. Sesungguhnya yang demikian itu amat mudah bagi Allah, untuk menghidupkan semula manusia dan sebagainya, kerana sesungguhnya kuasa dan pengetahuan Allah mencakupi semua makhluk-Nya, tiada sesuatu pun yang tersembunyi bagi-Nya.

    PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

    1. Ayat 10-{Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan.} – kata ulama\’ siapa yang nak mulia. hendaklah taat kepada Allah s.w.t, maka siapa yang ingkar dan buat maksiat kepada Allah s.w.t, dia telah menghinakan dirinya sendiri. Ada orang yang mulia di sisi Allah walaupun tidak dikenali oleh makhluk.
    2. Ayat 10-{Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik} – hanya amalan orang mukmin yang memberi manfaat kepada dirinya. Yakni orang yang ada kalimah tauhid barulah amalannya diangkat naik dan diterima. Maka kena ingat amalan orang kafir, puak musyrikin adalah amalan yang batil, tidak diterima.
    3. Ayat 9-{Dan Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, kemudian Kami halakan awan itu ke negeri yang mati (yang kering kontang); lalu Kami hidupkan bumi sesudah matinya dengan (hujan dari awan) itu.} – Allah hantar angin untuk tolak awan, awan turunkan hujan, lalu air tumbuhkan pokok! Semua ini menunjukkan benda ada sebabnya untuk perjalanannya atas dunia ini, seperti ada hujan adanya tumbuhan walaupun tidak semestinya begitu.
      Huruf fa (فَ) di sini adalah menunjukkan sebab!
    4. Ayat 9-{ lalu Kami hidupkan bumi sesudah matinya dengan (hujan dari awan) itu.} – harus kita sandarkan satu perkara yang berlaku kepada satu benda/sebab yang telah dikenal-pasti dan ZAHIR!
      Seperti dapat anak kerana perkahwinan dan hubungan suami isteri, tumbuh pokok kerana adanya air atau hujan, yakni satu sebab yang maklum dan dapat diterima akal! Ini adalah satu kenyataan dalam al-Quran dan hadis.
      Tetapi bukan dengan sebab yang ghaib jika selain dari Allah, sebab yang tidak maklum seperti jin, pokok dan lain-lain, ini adalah salah dan boleh bawa syirik!
      Contoh lagi:
      Pasang ubat nyamuk untuk halau nyamuk sebab zahir dan harus, pakai tangkal atau letak azimat untuk halau nyamuk- sebab ghaib dan tidak dibenarkan!
    5. Ayat 10-{ kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan.} – kemuliaan yang mutlak adalah hak Allah s.w.t. Tidak sama dengan kemuliaan makhluk; kemuliaan Rasul kerana membawa ajaran dan ikut Allah s.w.t, orang mumin mulia kerana ikut ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. tetapi yang mutlak (khas dan utama) adalah milik Allah s.w.t!
    6. Ayat 10-{ Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik}- dalil bahawa amalan dan laporan kita diangkat naik kepada Allah s.w.t. Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w apabila ditanya kenapa Baginda suka berpuasa pada hari Isnin & Khamis, Baginda memberitahu kerana pada hari itu diangkatnya laporan mingguan.
      Manakala malaikat yang turun naik pagi petang pula bawa laporan harian, pada bulan Sya\’ban pula diangkat laporan tahunan!
    7. Ayat 10-{ Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik} – naiknya amal soleh itu; ayat ini juga hujjah menolak pegangan puak murji\’ah yang mengatakan tidak perlu beramal jika sudah beriman.
      Ini menyeleweng dari fahaman Ahli Sunnah wal Jama\’ah bahawa iman mesti diikuti dengan amal soleh!
    8. Ayat 10- {dan amal yang soleh pula di angkatnya naik}- tidak akan diterima kecuali amalan yang soleh.
      Amal soleh itu mesti memenuhi dua syarat ini:
      i- Ikhlas kepada Allah s.w.t
      ii- bertepatan dengan ajaran Syari\’ah dan Rasulullah s.a.w. yang sahih.
    9. Ayat 10- {Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan- (يَمْكُرُونَ السَّيِّئَاتِ)}- Allah sebut di sini amalan buruk itu sebagai orang yang buat perancangan jahat, iaitu samada ke atas orang lain atau ke atas dirinya sendiri dengan tidak beriman, menangguhkan taubat atau melakukan dosa dan maksiat.
      Adakala orang sanggup buat jahat untuk mengambil hati kawan, sanggup rempuh dan langar segala larangan Syari\’ah dan buat maksiat.
    10. Ayat 11-{ Dan tidak diberikan seseorang berumur panjang, juga tidak dijadikan seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi.} – panjang atau pendeknya umur seseorang, semuanya dibawah taqdir dan ketetapan Allah s.w.t. Kerana kita tidak tahulah bila kita akan mati, kita kena buat perancangan jangka pendek.
      Perancangan jangka pendek ialah bersiap sedia seolah kita akan mati esok!
      Lihatlah kepada mereka disekeliling kita, berapa ramai sudah kawan yang sebaya atau lebih muda daripada kita yang telah sampai ajalnya?!
      Maka persiapkanlah bekalan kita, segera dan sentiasa bertaubat, tingkatkan amalan sebanyak mungkin yang mampu, agar kita tidak menyesal di akhirat kelak, insya\’ Allah!

    KATA-KATA HIKMAH:

    \”Beramallah untuk dunia seolah kamu akan hidup 1000 tahun;
    tetapi beramallah untuk akhirat seolah kamu akan mati esok!\”

    Maka slow-slowlah, jangan gopoh dan rakus untuk mengejar dunia, kerana panjang lagi masa.
    Tetapi jika akan mati esok maka sekarang kena insaf, kena taubat segera, perbanyakkan ibadat, pulun betul-betul untuk bekalan yang akan dibawa kerana sudah tiada masa lagi!

    Tetapi hati yang cintakan dunia akan memahami kata-kata ini dengan sebaliknya!

    Powered by BetterDocs