SURAH AL-AHZAB : AYAT 12-17

\"\"

MENDEDAHKAN KARENAH MUNAFIQIN DALAM GHAZWAH AHZAB, MEREKA MENCARI HELAH UNTUK LARI & ALLAH S.W.T PERINGATKAN KEMATIAN TETAP DATANG.

Full video : https://youtu.be/xdx1MZUjDzQ

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t akan ceritakan tentang perangai dan karenah kaum munafiq di dalam Peperangan Ahzab.
  2. Munafiq ini wujud di sepanjang zaman, di mana saja. Sedangkan di Madinah yang mulia, bersama Rasulullah s.a.w pun mereka ada, apatah lagi di tempat lain.
  3. Sukar untuk menyelesaikan masalah mereka ini, kerana mereka adalah musang yang berbulu ayam, di masjidpun mereka muncul, jika kafir tulen senang untuk kita mengecamnya.
    Banyak sekali perbincangan tentang mereka di al-Quran seperti di dalam surah al-Baqarah yang panjang tentang mereka.
  4. Kronologi Sirah:
    i- Tahun Pertamah Hijrah: Nabi s.a.w berhijrah dari Makkah ke Madinah. Selesai bina masjid, penempatan dan persaudaraan antara Muhajirin & Ansar serta membina masyarakat Madani.

ii- Tahun Kedua: Disyariahkan Jihad. Diberi keizinan untuk orang yang dizalimi berperang. Kebetulan ada isu dan peluang, mahu sekat kafilah dagangan Abu Sufyan yang melalui Madinah, tetapi mereka terlepas dan selamat.
Gantinya rombongan tentera Abu Jahal datang lalu berlaku perang di Badar dengan musnahnya Abu Jahal dan 70 pemuka Quraisy lain.

iii- Tahun Ketiga Hijrah Quraisy mahu membalas dendam datang serang Madinah, berlakulah Perang Uhud, seolah seri, tetapi 70 orang sahabat pula terkorban syahid.

iv- Tahun Keempat sunyi seketika, Quraisy dan yahudi buat perancangan, mengumpul kekuatan.

v- Tahun Kelima Quraisy berjaya mengumpul seramai 10,000 tentera gabungan dengan kaum yahudi yang belot dan beberapa kaum Arab lain.

  1. Kedatangan tentera Ahzab ini dengan tujuan yang satu mahu melanyak kaum muslimin dan hancurkan negara Islam Madinah.
  2. Keadaan pada masa itu sangat genting dan tidak seimbang, kaum muslimim dengan kelengkapan yang kurang, tentera hanya dalam 3000 orang, pembelotan yahudi dan mainan munafiq yang menghasut dari dalam. Allah gambarkan keadaan mereka yang mencemaskan dalam ayat-ayat sebelum ini.
  3. Kemudian dalam ayat seterusnya ini Allah s.w.t ceritakan pula kisah golongan munafiq dan mereka yang masih lemah imanmya, yang terserlah sifat dan keyakinan mereka apabila ditimpa ujian.

AYAT 12- {DAN LAGI MASA ITU IALAH MASA ORANG-ORANG MUNAFIK DAN ORANG-ORANG YANG TIDAK SIHAT DAN TIDAK KUAT IMAN DALAM HATINYA BERKATA: \”ALLAH DAN RASULNYA TIDAK MENJANJIKAN KEPADA KITA MELAINKAN PERKARA YANG MEMPERDAYAKAN SAHAJA\”.} (AL-AHZAAB 33:12)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut keadaan dua golongan yang mula waswas dan syak wasangka ke atas Allah dan rasul-nya, semasa dalam peperangan Ahzab, iaitu:
    i- golongan munafiq.
    ii- golongan yang masih tidak kuat imannya, yang ada masalah, yang ada penyakit dalam hatinya. Kemungkinan yang baru masuk Islam.
  2. Mereka berkata- apa yang dijanjikan oleh Allah dan Muhammad (s.a.w) sebelum ini hanyalah janji palsu untuk memperdayakan mereka. Kata kuat dan akan menang tetapi lihatlah apa yang berlaku hari ini!

Ulama\’ sirah kata yang berkata ialah- bapa munafiq Muattib bin Qusyair -معتب بن قشير).

AYAT 13- {DAN JUGA MASA ITU IALAH MASA SEGOLONGAN DI ANTARA MEREKA BERKATA: \”WAHAI PENDUDUK YATHRIB, TEMPAT INI BUKAN TEMPAT BAGI KAMU (UNTUK BERJUANG DI SINI), OLEH ITU BALIKLAH\”. DAN SEBAHAGIAN DARI MEREKA PULA MEMINTA IZIN KEPADA NABI (HENDAK BALIK) SAMBIL BERKATA: \”SESUNGGUHNYA RUMAH-RUMAH KAMI MEMERLUKAN PERLINDUNGAN\”, PADA HAL IA TIDAK MEMERLUKAN PERLINDUNGAN. MEREKA HANYA BERTUJUAN HENDAK MELARIKAN DIRI (DARI BERJUANG MENEGAKKAN ISLAM).} (AL-AHZAAB 33:13)

  1. Mereka si munafiq ini berkata lagi dengan tujuan menghasut dan menggugat pendirian: Jika kamu penduduk asal Yathrib, ini bukan tempat kamu untuk berjuang dengan kaum muslim ini, baiklah kamu balik, tinggalkan kumpulan tentera ini! Ini bukan perjuangan kamu! Kamu penduduk asal, sedangkan mereka itu pendatang, tak perlu ikut mereka.
  2. Ini pula datang dari Aus bin Qaizi dan Abdullah bin Ubai, bapa munafiq juga. Jelas di sini kedegilan mereka, mereka masih memanggil Madinah dengan Yathrib, walaupun Rasulullah s.a.w telah menukar namanya.
  3. Mereka juga memainkan isu perkauman dan keturunan untuk membakar dan menghasut, kerana itu dalam Islam dilarang dari fanatik perkauman ini (Asobiyyah).
  4. Sebahagian dari mereka ada yang lenbut gigi dari lidah berpura baik lalu datang meminta izin dari Rasulullah s.a.w untuk balik dengan alasan untuk melindungi rumah dan keluarga mereka.
  5. Allah s.w.t terus jelaskan bahawa ini semua hanya alasan dan pembohongan mereka, padahal rumah mereka tidak memerlukan pun perlindungan khas itu.

AYAT 14- {DAN KALAULAH TEMPAT-TEMPAT KEDIAMAN MEREKA ITU DISERANG OLEH MUSUH DARI SEGALA PENJURUNYA, KEMUDIAN MEREKA DIAJAK BERPALING TADAH MENENTANG ISLAM, SUDAH TENTU MEREKA AKAN MELAKUKANNYA, DAN MEREKA TIDAK BERTANGGUH LAGI TENTANG ITU MELAINKAN SEBENTAR SAHAJA.} (AL-AHZAAB 33:14)

  1. Allah s.w.t jelaskan lagi, andai sekiranya rumah atau kediaman mereka didatangi oleh musuh kafir, lalu diajak untuk berpaling tadah menentang Islam, ثُمَّ سُئِلُوا الْفِتْنَةَ mereka akan segera menerimanya tanpa teragak-agak!
  2. Perkataan fitnah banyak digunakan dalam al-Quran dengan beberapa maksud seperti: الْفِتْنَةَ
    i- fitnah dalam agama iaitu dengan makna SYIRIK.
    ii- fitnah ujian dalam hidup. Samada melalui keluarga, harta dan seumpamanya.
    iii-fitnah dengan makna satu pembersihan, seperti membersihkan emas dengan api.
  3. Fitnah ini ada pelbagai bentuk tetapi fitnah dalam agama yang paling dahsyat dan ditakuti.
    Kata orang: \”Kesilapan seorang peguam membela tertuduh akan membawanya ke penjara; Tetapi kesalahan ahli agama-asatizah membimbing masyarakat akan membawanya ke neraka.\”
  4. Allah gambarkan dalam ayat ini betapa lemah dan rapuhnya iman mereka, sekali gertak terus berpaling tadah.
    Betapa lajunya mereka untuk menerima fitnah agama untuk kembali menjadi kafir!
  5. Jika perjuangan seseorang itu kerana aqidah, dia tidak akan lari, tetapi jika kerana kebendaan dia akan mudah lari!
    Para pun pendakwah pun begitu juga.

AYAT 15- {PADA HAL SESUNGGUHNYA MEREKA TELAHPUN MENGIKAT JANJI DENGAN ALLAH SEBELUM ITU, IAITU MEREKA TIDAK AKAN BERPALING UNDUR (DARI MEDAN PERANG YANG MEREKA HADIRI). DAN (INGATLAH) JANJI SETIA DENGAN ALLAH ITU AKAN DITANYA KELAK (TENTANG PENYEMPURNAANNYA).} (AL-AHZAAB 33:15)

  1. Sedangkan mereka sebelum ini telah berjanji, mengikat perjanjian setia dengan Allah dan Rasulullah bahawa mereka akan berjuang bersama kaum muslim, tidak akan berpaling tadah.
  2. Al-Qurtubhi berkata ini setelah mereka melihat kemenangan pihak Islam dalam peperangan Badar, di situ mereka mula berlakon dan menjadi baik, lalu berjanji untuk ikut serta selepas ini.
  3. Ulama\’ kata golongan ini jugalah yang lari dari peperangan Uhud sebelum ini. Semasa itu mereka masih teragak-agak lagi, lalu berjanji sekali lagi. Tetapi apabila melihat kebesaran tentera Ahzab mereka terus goyah dan mahu berpaling tadah.
  4. Allah s.w.t mengingatkan mereka bahawa sesungguhnya janji setia itu Allah akan meminta pertanggungjawaban dari mereka di akhirat kelak.

AYAT 16- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”KALAULAH KAMU MELARIKAN DIRI DARI KEMATIAN ATAU DARI PEMBUNUHAN MAKA PERBUATAN MELARIKAN DIRI ITU TIDAK SEKALI-KALI MENDATANGKAN FAEDAH KEPADA KAMU; DAN KALAULAH KAMU PADA HARI INI TERLEPAS SEKALIPUN, MAKA KAMU TIDAK JUGA AKAN MENIKMATI KESENANGAN HIDUP MELAINKAN SEDIKIT MASA SAHAJA\”.} (AL-AHZAAB 33:16)

  1. Mereka lari ini kerana takut mati, lalu Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk: Katakanlah (Muhammad) kepada mereka sambil mencela mereka dan memberitahukan, bahawa perbuatan itu tidak akan beri apa-apa faedah kepada mereka.
  2. Lari dari medan perang itu tidaklah berguna bagi mereka, tidak dapat menangguhkan ajal dan tidak memperpanjang usia mereka. Sekejap saja mereka akan selamat dan hidup atas dunia ini kerana ajal sudah ditetapkan oleh Allah s.w.t.
  3. Ingatlah mati kerana lari dari perjuangan adalah satu kehinaan! Berbeza dengan mati dalam perjuangan, ia adalah satu kemuliaan!
  4. Lihat saja ibu-ibu di Palestin yang gembira apabila anak-anak dan ahli keluarga mereka mati syahid melawan yahudi.
    Allahu Akbar.

AYAT 17- {KATAKANLAH: \”SIAPAKAH YANG DAPAT MELINDUNGI KAMU DARI KEMURKAAN ALLAH JIKA IA MAHU MENIMPAKAN BALA BENCANA KEPADA KAMU, ATAU (SIAPAKAH YANG DAPAT MENAHAN KEMURAHAN ALLAH) JIKA IA HENDAK MEMBERIKAN RAHMAT KEPADA KAMU? \”DAN (INGATKANLAH) MEREKA (YANG MUNAFIK) ITU: BAHAWA MEREKA TIDAK AKAN BEROLEH SESIAPAPUN – YANG LAIN DARI ALLAH – YANG AKAN MENJADI PELINDUNG ATAU PENOLONG MEREKA.} (AL-AHZAAB 33:17)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menegaskan selain dari Allah tiada siapapun boleh memberi perlindungan:
    i- Jika Allah s.w.t murka, mahu menimpa bencana ke atas kamu, siapakah yang dapat melindunginya?
    ii- Jika Allah s.w.t mahu memberi rahmat dan nikmatnya kepada kamu, siapa dapat menyekatnya?
  2. Ingatlah wahai kaum munafiq dan semua manusia, bahawa tiada siapapun yang dapat menjadi pelindung atau penolong selain dari apa yang diberi oleh Allah s.w.t!
  3. Maka menjadi kewajipan untuk kita murnikan aqidah dan keimanan kepada Allah s.w.t, pergantungan kita hendaklah kepada Allah s.w.t semata-mata.
  4. Betapa besarnya tanggung-jawab pihak yang berkuasa, majlis agama, panel-panel aqidah dan pegawai agama yang dilantik oleh Kerajaan untuk menjaga aqidah umat dan masyarakat negara. Berlaku telus dan ikhlaslah dalam tugas ini, jangan cuai dan leka, jangan sampai masyarakat kita gila dengan bomoh dan benda ghaib.
    Tutuplah pintu-pintu fitnah yang boleh membawa ke arah itu, pintu syirik, kekufuran atau munafiq, apa saja pintu keburukan.
  5. Akhirnya Allah s.w.t tanya kaum munafiq itu adakah kamu lari dari peperangan itu adakah kerana takut mati?
    Jangan runsing mati itu akan cari kamu! Kamu mahu cari perlindungan dengan yang lain dari Allah? Tidak payah, siapa yang dapat sekat kuasa dan kehendak Allah s.w.t?

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 15- {Pada hal sesungguhnya mereka telahpun mengikat janji dengan Allah sebelum itu,} – Kita kena kenal dan tahu bahawa orang munafiq adalah seorang bersifat penipu dan pengkhianat! Walaupun mereka telah bersumpah dan berjanji dengan Allah s.w.t, mereka tetap mahu lari.
    Jika seorang itu pejuang yang berpegang dan percaya pada prinsipnya dia tidak akan lari – samada aqidah keimanan kepada Allah atau aqidah perjuangan yang extreme seperti komunis, sosialis dan lain-lain sekalipun.
  2. Ayat 16- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu} – segala perkara itu telah ditaqdirkan oleh Allah s.w.t, yakni mereka lari kerana takut mati dalam peperangan, tetapi jika dah ajal, akan tetap mati di mana-mana! Sejuta orang usaha untuk beri manfaat atau darurat tak akan.
  3. Ayat 16- {dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja\”.} – ayat ini mendidik jiwa orang mukmin agar jangan tamak serta hendaklah memandang rendah kepada dunia. Mengajar kita agar jangan terlalu taksub dengan dunia ini, ia hanya sementara dan sebentar sahaja, yang kekal, abadi dan penuh nikmat itu ialah di akhirat kelak.
  4. Ayat 16- {maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu} – kita ingat bahawa apa saja yang Allah s.w.t taqdir dan kehendaki akan berlaku, tiada yang dapat beri faedah atau mudharat tanpa izin-Nya. Tetapi dalam masa yang sama kita kena usaha dan ikhtiar dulu dalam segenap perkara, bukan hanya duduk menunggu rezeki datang bergolek. Seorang mukmin wajib berusaha dan berikhtiar dulu dalam segala kehidupannya, kemudian barulah berserah kepada Allah.
  5. Ayat 17- {Katakanlah: \”Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah} – ayat ini mengajar kita untuk meletakkan pergantungan hati yang sepenuhnya kepada Allah Azza wa Jalla kerana semua perkara itu di bawah kuasa Allah s.w.t.
    Kerana itu bila nak tidur kita baca ayat Kursi, sebagai satu ayat tauhid. Bukan baca ayat al-Quran tetapi minta tolong dan seru kepada benda lain, penunggu kawasan atau sebagainya.
  6. Ayat 17- {Katakanlah: \”Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah} – ayat ini juga mengajar kita bahawa musibah itu boleh jadi dalam berbagai bentuk, samada kepada agama, tubuh badan, harta, maruah, keluarga dan seumpamanya.
  7. Ayat 12- {Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata} – munafiq itu bila ada ujian mereka akan goyah, kerana iman mereka tidak teguh.
    Kerana itu Allah beri ujian untuk lihat siapa yang benar dan siapa yang pembohong.
    Yang pembohong itu ialah kaum munafiq.
  8. Ayat 13- {Dan juga masa itu ialah masa segolongan di antara mereka berkata: \”Wahai penduduk Yathrib,} – begitulah kerja munafiq ini, bukan setakat dia yang lari tetapi tetapi menghasut dan menggoyah iman orang lain juga supaya lari dan meninggalkan perjuangan.
    Mereka juga memanggil Madinah dengan Yathrib sedangkan Rasulullah s.a.w sudah menukar namanya kepada Madinah atau Tobah dan Taibah.
    Sabda Rasulullah s.a.w: \”Mereka (munafiq) memanggilnya Yathrib, sedangkan ianya adalah Madinah.\” [HR Bukhari & Muslim].
    Yakni Baginda sudah menukarnya kepada Madinah.
  9. Ayat 13- { Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik) sambil berkata:..} – mereka juga bijak berdiplomasi, bermain kata-kata dan pandai buat alasan.
    Tetapi Rasulullah s.a.w sudah tahu dan cam mereka, lalu menyuruh mereka balik, tiada guna ada bersama dalam peperangan.
  10. Ayat 15- {Pada hal sesungguhnya mereka telahpun mengikat janji dengan Allah sebelum itu,} – maka sesiapa yang berperangai dan bersifat dengan perbuatan bohong dan khianat, dia telah mempunyai sifat seperti munafiq!

Dari Abdullah bin \’Amr r.a, dia berkata Rasulullah s.a.w bersabda:
أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا ، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

Ertinya: Ada empat tanda, jika seseorang memiliki empat tanda ini, maka ia dikira munafik tulen. Jika ia memiliki salah satu tandanya, maka dalam dirinya ada tanda kemunafikan sehingga dia meninggalkan sifat tersebut, iaitu: jika diberi amanah ia khianat; jika berbicara ia dusta; jika membuat perjanjian ia tidak dipenuhi; jika berselisih dia akan berbuat zalim. [HR Muslim].

Semoga kita semua selamat dari sifat munafiq ini dan tergolong dalam mereka yang ikhlas beriman kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya Sollallahu \’alaihi wasallam.

Powered by BetterDocs