SURAH GHAFIR : AYAT 21-22

\"\"

GALAKAN MENGEMBARA MENGAMBIL IBRAH, GOLONGAN YANG KUAT DIBINASAKAN & SEBAB KEBINASAAN.

Full video : https://youtu.be/ERUEZi8xymc

MUQADDIMAH :

  1. Dalam ayat ini adalah galakan untuk mengembara mengambil ibrah pengajaran dari kebinasaan umat-umat terdahulu.
  2. Betapa mereka yang lebih gagah, cerdik, maju dan gah akhirnya binasa juga.
  3. Kemudian Allah nyatakan sebab kenapa mereka dibinasakan.
    Iaitu kerana menolak dakwah dan ajaran yang dibawa oleh para rasul yang membawa hidayah dan petunjuk!
  4. Inilah yang dikatakan pengajaran dan iktibar. Bukan sekadar tengok dan lihat kesan sejarah tetapi ambil peringatan atas apa yang berlaku ke atas orang dahulu agar kita terselamat daripada menerima nasib & akibat yang sama!
  5. Ulama\’ kata: Orang yang cerdik ialah orang yang mengambil iktibar dan pengajaran ke atas apa yang berlaku ke atas orang lain, bukan orang yang dijadikan pengajaran dan iktibar oleh orang lain.
  6. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t gambarkan kepada kita tentang azab di Akhirat. Tetapi kerana azab ini lambat lagi dan tiada siapa yang dapat memberi bukti tentangnya, orang yang mati pun pergi tidak kembali.
    Kita yang beriman tak apalah, yakin dan percaya dengan apa yang dibawa oleh rasul. Tetapi bagi orang kafir macamana untuk memberi pengajaran kepada mereka?
  7. Maka Allah s.w.t bawa ayat-ayat ini tentang kemusnahan dan kebinasaan umat terdahulu, yang dapat mereka lihat kesannya. Lalu Allah s.w.t suruh mereka mengembara pergi lihat, saksikan sendiri dengan mata kepala mereka, negeri-negeri yang telah kosong hancur binasa, yang tinggal hanya kesan azab.

Seperti di Madain Soleh, negeri kaum Thamud.
Di Mesir kesan peninggalan Firaun lambang keangkuhan dan kemegahannya. Juga jasadnya yang tidak hancur untuk dilihat. Semua ini tanda yang Allah mahu kita lihat dan ambil pengajaran bukan sekadar melancong dan bergambar!

  1. Manakala kesan yang baik adalah seperti peninggalan nabi Ibrahim di Makkah iaitu Ka\’bah.

AYAT 21-{TIDAKKAH MEREKA TELAH BERJALAN DAN MENGEMBARA DI MUKA BUMI, DENGAN ITU TIDAKKAH MEREKA MEMERHATIKAN BAGAIMANA KESUDAHAN ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARI MEREKA? ORANG-ORANG ITU ADALAH ORANG-ORANG YANG LEBIH DARI MEREKA TENTANG KEKUATAN TENAGA DAN TENTANG KESAN-KESAN USAHA PEMBANGUNAN DI MUKA BUMI. MAKA SEKALIPUN DEMIKIAN, ALLAH BINASAKAN MEREKA DENGAN SEBAB DOSA-DOSA MEREKA, DAN TIADALAH BAGI MEREKA SESIAPAPUN YANG DAPAT MENYELAMATKAN MEREKA DARI AZAB ALLAH.} (GHAAFIR 40:21)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t bertanya tidakkah kamu telah mengembara berjalan di atas muka bumi ini? Ini ayat tanya sambil tempelak!
  2. Tidakkah kamu lihat apa yang telah terjadi kepada kaum kafir daripada umat yang terdahulu? Yang lebih kuat, gagah perkasa jisimnya, tamadun mereka juga maju, mereka bukan tinggal di dalam rumah atau khemah seperti kaum kaum Quraisy tetapi memahat bukit dan gunung-gunung yang besar sebagai tempat tinggal!
  3. Firman Allah s.w.t: {Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.} (Ar-Ruum 30:9)
  4. Teknologi dan cara hidup mereka maju dan moden, peninggalan kesan mereka juga hebat tetapi apabila datang kepada mereka rasul dan nabi-nabi mereka mendustai dan menentangnya.
  5. Kerana itulah Allah s.w.t binasakan mereka dan tiada siapa yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah. Maka hancur binasa dan musnah seluruhnya mereka.
  6. Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat kesan dan sejarah untuk dijadikan iktibar. Lihat saja kesan peninggalan penjajah yang telah menjajah negara kita silih berganti sebelum kemerdekaan.
  7. Setiap tempat dan bangsa pasti ada athar- kesan sejarah atau peninggalan yang dapat dijadikan iktibar!

AYAT 22-{(KEBINASAAN MEREKA) YANG DEMIKIAN IALAH KERANA MEREKA SENTIASA DIDATANGI RASUL-RASUL YANG DIUTUSKAN KEPADA MEREKA DENGAN MEMBAWA KETERANGAN-KETERANGAN (HUKUM-HUKUM DAN MUKJIZAT) YANG JELAS NYATA, MAKA MEREKA KUFUR INGKAR, LALU ALLAH MENYEKSA MEREKA, SESUNGGUHNYA ALLAH ADALAH MAHA KUAT LAGI MAHA BERAT AZAB SEKSANYA.} (GHAAFIR 40:22).

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t nytakan sebab kebinasaan mereka, umat terdahulu yang kufur ini!
  2. Sebab turunnya azab kepada mereka ini kerana:
    i- setiap umat itu ada rasul dan nabi yang datang mengajar kepada mereka apa yang sepatutnya untuk beriman kepada Allah dan taat kepada ajaran yang dibawa.

ii- tetapi mereka bukan sekadar tidak beriman, tetapi mengingkari dan mendustakannya dengan memerli, menghina dan mengkhiantinya!

iii- kemuncaknya mereka mahu menyakiti dan membunuh para rasul itu. Lalu Allah s.w.t jatuhkan azab-Nya ke atas mereka maka binasalah mereka!

  1. Di akhir ayat, Allah s.w.t perkenalkan diri-Nya; Siapakah Allah ini? Iaitu sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat lagi Maha berat azab seksaNya.
  2. Bila Allah s.w.t jatuhkan hukuman-Nya tiada siapa yang akan selamat dan dapat menghalangnya. Hukuman Allah itu terancang, penuh hikmah serta tanda yang boleh diambil iktibar.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 21-{Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka?}- kata ulama\’ Orang yang cerdik ialah orang yang mengambil iktibar dan pengajaran ke atas apa yang berlaku ke atas orang lain, bukan orang yang dijadikan pengajaran dan iktibar.
    Kita lihat apa yang telah berlaku ke atas mereka dan sebabnya maka kita jangan buat dan ikut perbuatan mereka.

Kaum terdahulu itu lebih besar dan kuat jisim mereka, tamadun mereka juga sudah canggih tetapi mereka tetap tidak mampu menyelamatkan diri mereka dari azab Allah s.w.t!

ii- Kita juga disuruh mengembara berjalan untuk mengambil iktibar dan keinsafan! Tetapi ingat akan adabnya, kena faham sebab kita pergi melawatnya, kita pergi bukan untuk suka-suka sekadar melancong, wajib ada pengajaran dan ibrah, tempat itu tempat untuk menangis dan insaf.

Para ulama\’ telah mengatakan bahawa sesiapa yang pergi ke tempat atau negeri musuh-musuh Allah yang telah dibinasakan dengan azab atau kubur mereka atau orang yang pergi berjalan melihat tinggalan-tinggalan istana dan kota mereka, mereka disunatkan dia menangis kerana telah sabit dalam hadis-hadis Nabi S.A.W yang sahih memerintahkan yang demikian itu.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. berkata:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- لأَصْحَابِ الْحِجْرِ: «لاَ تَدْخُلُوا عَلَى هَؤُلاَءِ الْمُعَذَّبِينَ، إِلاَّ أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ أَنْ يُصِيبَكُمْ مِثْلُ مَا أَصَابَهُمْ
Ertinya: \”Telah bersabda Rasulullah S.A.W tentang Ashabul Hijir: Jangan kamu semua pergi ke tempat mereka yang diazab itu melainkan dalam keadaan kamu semua menangis kerana takut ditimpa azab ke atas kamu seumpama yang telah menimpa mereka itu.\” [HR Bukhari].

  1. Ayat 21- {tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. }- mereka telah meninggalkan kesan-kesan pembangunan mereka di atas muka bumi ini. Yakni di atas dunia banyak kesan besar yang masih dapat kita lihat untuk diambil pengajaran, sebahagiannya tidak hilang iaitu ada kesan yang Allah s.w.t kekalkan untuk kita ambil iktibar.
    Ada juga yang hilang terus dan tidak dapat dilihat lagi kesannya.

Antara kesan yang tidak hilang ialah:
i- kaum Thamud di Mada\’in Soleh di Wilayah Madinah yang sama dengan teknologi di Petra, Jordan dari seni memahat bukit untuk dijadikan tempat tinggal. Walaupun telah berlalu beribu tahun kesan ini tidak hilang.

ii- di Madinah seperti Kota Ka\’ab bin Asyraf, yahudi musuh Islam yang amat jahat. Dia telah dibunuh oleh sahabat dengan perintah Rasulullah s.a.w.

iii- Kota yahudi juga di Khaibar!
Tempat-tempat yahudi ini tidak akan menimbulkan perkara khurafat iaitu tidak akan menjadi tempat yang dianggap mulia dan suci oleh orang Islam.

  1. Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi.}- walaupun mereka kuat, gagah dan maju tetapi mereka tidak dapat menyelamatkan diri mereka daripada azab Allah s.w.t!
    Dengan sebab dosa mereka Allah s.w.t mengazab mereka, lalu tidak ada benteng dan teknologi yang dapat menghalangnnya.

Firman Allah s.w.t: {Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.{ [Ar-Ra\’d 13:11].

  1. Ayat 22-{(Kebinasaan mereka) yang demikian ialah kerana mereka sentiasa didatangi Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (hukum-hukum dan mukjizat) yang jelas nyata, maka mereka kufur ingkar,}- ayat ini mengisbatkan keadilan Allah s.w.t, Allah s.w.t tidak akan ambil tindakan tanpa dosa. Dosa mereka ialah mereka melawan dan mengingkari para rasul dan nabi yang diutuskan kepada mereka! Mereka ingkar, tidak dengar kata, dan tidak beriman.
  2. Ayat 22-{(Kebinasaan mereka) yang demikian ialah kerana mereka sentiasa didatangi Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (hukum-hukum dan mukjizat) yang jelas nyata, maka mereka kufur ingkar,}- ini adalah untuk mensabitkan bahawa setiap benda atau perkara yang berlaku itu ada sebab. Seperti nak masak nasi kena ada api!

Ini menunjukkan bahawa perbuatan Allah s.w.t itu penuh hikmah. Allah s.w.t tidak akan buat sesuatu itu sia-sia dan tanpa faedah!
Kita ahli sunnah mengatakan semua benda yang Allah buat itu ada sebab dan hikmhnya yang sangat besar. Semua hikmah ini kembali kepada kita juga!
Bukan seperti puak Jabariyyah yang mengatakan Allah buat semua itu secara suka-suka, manakala makhluk itu pula hanya seperti robot yang tiada daya dan upaya, hanya ikut apa yang telah ditetapkan ke atasnya.

Untuk memahami hikmah di sebalik segala hukum dan undang-undang dalam Syari\’ah Islam, disarankan untuk membaca buku: (Keindahan Islam) Terjemahan Abu Anas Madani.

Powered by BetterDocs