SURAH AL-AHQAF : AYAT 7-8

\"\"

KAUM KAFIR MENGATAKAN QURAN SEBAGAI SIHIR ATAU REKAAN NABI S.A.W & HUJJAH MENOLAK TUDUHAN MEREKA.

Full video : https://youtu.be/x1BqvaA1wfQ

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan tentang keadaan Kaum Kafir yang apabila dibacakan kepada mereka al-Quran terus dengan spontan mengatakan Quran Sebagai satu Sihir Atau Rekaan Nabi S.A.W.
  2. Allah s.w.t mengajar kepada Rasulullah s.a.w Hujjah untuk Menolak dan membatal Tuduhan Mereka supaya mereka beriman, tetapi apa boleh buat mereka tetap keras kepala, berdegil menolak kebenaran yang datang.
  3. Maka kita sebagai umat Islam, apabila mendengar ayat-ayat Allah terus beriman, menerima dan memahami al-Quran sebagaimana yang ditafsirkan oleh para ulama\’ Salafus-Soleh dan ulama\’-ulama\’ muktabar selepasnya.
  4. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah menetapkan tauhid kepada Allah s.w.t dan menafikan segala yang bercanggah dengannya, segala bentuk syirik dijauhkan. Maka Allah s.w.t menceritakan tentang kenabian Rasulullah s.a.w. Apabila Baginda membentangkan dakwah atau sebarang mukjizatnya kepada kaum kafir, mereka akan menuduh dan mendakwanya sebagai sihir.

ii- Allah juga nyatakan bahawa mereka dalam kebodohan dan kesesatan yang nyata, melakukan ibadat dengan tidak ada dalil kepada benda yang dijadikan tuhan. Dengan dibawa dalil-dalil yang nyata yang dapat dilihat, dalil untuk berfikir dengan akal (دليل العقلي) dan yang diberitahu dengan pendengaran (دليل السمعي)- untuk mereka berfikir dan menerimanya.

Maka Allah s.w.t sebut bahawa mereka itu sangat tidak cerdik apabila menyembah dan beribadat kepada sesuatu yang kaku tidak bergerak dan berkelip!

AYAT 7- {DAN APABILA DIBACAKAN KEPADA MEREKA (YANG KAFIR) AYAT-AYAT QURAN KAMI YANG JELAS NYATA, BERKATALAH MEREKA TERHADAP KEBENARAN (AL-QURAN) BILA SAHAJA DISAMPAIKAN KEPADA MEREKA: \”INI IALAH SIHIR YANG NYATA!\”.} (AL-AHQAAF 46:7)

  1. Dari ayat ini sehingga ayat 12- menyatakan keburukan pandangan orang kafir terhadap kebenaran al-Quran, Rasulullah s.a.w & orang yang beriman.
  2. Apabila dibacakan kepada mereka ayat al-Quran yang jelas nyata, berkatalah puak kafir yang kufur dengan keEsaan Allah: Bahawa al-Quran ini adalah sihir yang sangat nyata (سِحْرٌ مُبِينٌ).
  3. Ayat-ayat al-Quran itu terbahagi kepada dua:
    i- yang muhkamat (مُّحْكَمٰتٌ)- yang jelas nyata dapat difahami terus apabila dibaca.
    ii- mutasyabihat (المتشابه)- ayat yang ada kesamaran perlu penjelasan dan kefahaman dari mereka yang ada ilmu, sebagai satu ujian kepada hamba-Nya.
  4. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata, berkatalah mereka (sesama sendiri): \”Orang ini (Muhammad) tidak lain hanyalah seorang lelaki yang hendak menghalang kamu daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kamu\”; dan mereka berkata lagi: (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah kata-kata dusta yang direka-reka\”; dan berkatalah orang-orang yang kafir terhadap kebenaran ketika datangnya kepada mereka: \”ini tidak lain hanyalah sihir yang terang nyata\”.} (Saba\’ 34:43)
  5. Yakni mereka menuduh Rasulullah s.a.w itu sebagai:
    i- mahu mengacau dan menyekat ajaran datuk nenek mereka.
    ii- mereka-reka sendiri ajaran baru.
    iii- Nabi s.a.w bawa itu adalah satu sihir!
  6. Allah nyatakan inilah perangai puak kafir; apabila mereka dengar; terus mereka komen, kondem dan terus tolak tanpa berfikir, kita orang Islam jangan ikut dan tiru uslub kafir ini!

AYAT 8- {(BUKAN SETAKAT ITU SAHAJA MEREKA KATAKAN) BAHKAN MEREKA MENUDUH DENGAN BERKATA: \”MUHAMMAD TELAH MEREKAKAN AL-QURAN ITU.\” KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”KALAU AKU MEREKAKAN AL-QURAN ITU (MAKA TENTULAH AKU TIDAK TERLEPAS DARI AZAB KESALAHAN ITU) KERANA KAMU (DAN JUGA YANG LAIN DARI KAMU) TIDAK BERKUASA MEMBERIKAN DAKU SEBARANG PERLINDUNGAN DARI (AZAB) ALLAH. ALLAH LEBIH MENGETAHUI AKAN (TUDUHAN-TUDUHAN YANG TIDAK BERASAS) YANG KAMU PERKATAKAN ITU; CUKUPLAH ALLAH MENJADI SAKSI ANTARAKU DENGAN KAMU, DAN DIA LAH JUA YANG MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.\”} (AL-AHQAAF 46:8)

  1. Bukan setakat itu sahaja, mereka juga menuduh bahawa Rasulullah s.a.w itu telah mereka dan mencipta sendiri al-Quran itu.
  2. Munasabah ayat: Setelah Allah nyatakan bahawa puak musyrikin menuduh mukjizat Rasulullah s.a.w itu adalah sihir, apabila mendengar al-Quran mereka menuduhnya mereka-reka & mencipta sendiri pula al-Quran dan ajarannya, kemudian berdusta dengan mengatakan ia turun dari Allah s.w.t.
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t:
    i- {Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: \”Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu!\”
    Katakanlah (wahai Muhammad): \”(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar\”.} (Hud 11:13).
  4. Allah s.w.t mengajar Rasulullah s.a.w untuk mencabar kaum Quraisy ini supaya bawa 10 surah seperti al-Quran, kerana pada zaman itu ramai di kalangan mereka ahli sasterawan yang fasih dan pakar bahasa yang hebat-hebat.
  5. Kemudian diturunkan cabran kepada hanya satu surah sahaja serta bergabunglah dengan sesiapa sahaja dari sekutu mereka;-

Firman Allah s.w.t:
{(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: \”Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya\”. Katakanlah (wahai Muhammad): \”Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!\”.} (Yunus 10:38)
Namun mereka tetap tidak mampu!!!

  1. Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w berkata lagi kepada puak kafir, adakah logik jika Baginda mereka sendiri al-Quran itu kerana:
    i- Rasulullah s.a.w adalah seorang yang tidak membaca dan menulis, seperti kebanyakan dari mereka juga.
    ii- Tidak pernah mengembara ke luar negeri Makkah yang jauh dan asing kecuali ke syam atas urusan perniagaan.
  2. Yakni jika Baginda berdusta maka tentulah dia tidak akan terlepas dari kemurkaan Allah dan azab kesalahan-Nya. Sedangkan mereka, iaitu kaum Quraisy juga yang lain dari mereka, tidak berkuasa memberikan sebarang perlindungan dari azab Allah.
  3. Firman Allah s.w.t: {(Mereka terus berdegil), bahkan mereka menuduh dengan mengatakan Nabi Nuh sengaja mengada-adakan secara dusta: bahawa Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya.
    Nabi Nuh diperintahkan menjawab dengan berkata: \”Kalau aku yang mereka-reka wahyu itu maka akulah yang akan menanggung dosa perbuatanku itu, dan sebenarnya aku bersih dari dosa kesalahan kamu menuduhku\”.} (Hud 11:35)
  4. Allah ajar Rasulullah s.a.w untuk berkata lagi kepada mereka:
    i- Allah lebih mengetahui akan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas yang mereka tuduh dan lemparkan ke atas Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t tahu semua yang mereka buat dan kata, mereka tuduh al-Quran macam-macam, mendustakannya dan sifatkannya dengan perkara yang tidak layak ke atasnya.

Sebagaimana firman Allah s.w.t: {Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya.} (Yunus 10:61)

ii- Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

  1. Kenapa Allah s.w.t tutup ayat ini dengan dua sifat-Nya ini selepas menyatakan penentangan dan tuduhan jahat puak kafir terhadap Rasulullah s.a.w?

Kata Ibnu Kathir rhm. ini kerana:
i- walaupun kamu jahat, telah buat banyak kejahatan dan keburukan, tetapi jika kamu insaf dan bertaubat, tinggalkan perbuatan syirik dan beriman, Allah akan terimanya.
Walaupun dimulakan dengan ancaman dan amaran keras tetapi diakhirnya Allah s.w.t kata Dia bersifat Dia Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

ii- ayat ini mengajak dan menggalakkan kita semua untuk sentiasa kembali dan bertaubat kepada Allah s.w.t!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 7- {Dan apabila dibacakan kepada mereka (yang kafir) ayat-ayat Quran kami yang jelas nyata, berkatalah mereka terhadap kebenaran (Al-Quran) bila sahaja disampaikan kepada mereka: \”Ini ialah sihir yang nyata!\”.}- apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dari sudut ajaran dan mukjizatnya, khususnya al-Quran- adalah suatu ucapan yang paling fasih, mendalam dan sangat jelas. Tetapi kenapa mereka puak kafir mengatakannya satu sihir?

Ini kerana: al-Quran itu masuk menusuk ke dalam hati. Sesiapa yang mendengarnya akan tertarik.

Sebagai mana sabda Rasulullah s.a.w:
\”إن من البيان لسحرا\”-
Sesungguhnya sebahagian ucapan itu adalah seperti sihir yang memukau. [HR Bukhari].

  1. Ayat 7- {Dan apabila dibacakan kepada mereka (yang kafir) ayat-ayat Quran kami yang jelas nyata, berkatalah mereka terhadap kebenaran (Al-Quran) bila sahaja disampaikan kepada mereka: \”Ini ialah sihir yang nyata!\”.}- kenapa mereka kata al-Quran itu sihir juga?
    Ini kerana bagi mereka al-Quran ini telah memisahkan antara suami & isteri, ibu bapa & anak-anak, memecah-belahkan masyarakat. Sama seperti akibat perbuatan sihir yang memisahkan keluarga dan masyarakat!

Tetapi ia sebenarnya tidak sama, kerana: Orang yang berpecah kerana al-Quran adalah atas dasar aqidah, tauhid dan ilmu yang menerangkan (بصيرة).
Manakala yang berpisah kerana sihir kerana menjadi bingung pemikirannya akibat sihir yang jahat dan kotor.

  1. Ayat 7- {Dan apabila dibacakan kepada mereka (yang kafir) ayat-ayat Quran kami yang jelas nyata, berkatalah mereka terhadap kebenaran (Al-Quran) bila sahaja disampaikan kepada mereka: \”Ini ialah sihir yang nyata!\”.}- apabila dibaca kepada mereka al-Quran, dengan spontan dan serta merta mereka mengatakannya adalah satu sihir!

Ayat ini memberi peringatan bahawa mereka tidak dengar al-Quran dengan hati & fikiran yang terbuka- bahkan menolak dengan menutup pendengaran dan hati mereka, secara keras kepala dan kezaliman.

Maka kita hari ini jangan ikut perangai Quraisy ini!
Realiti kehidupan hari ini, begitulah manusia, apa yang dia tidak setuju terus menolak dan menentang!
Tengok link pun sudah mengamuk!
Bahkan siap dengan tuduhan dan label-melabel.
Majlis kita majlis ilmu bukan mengutuk dan mengata orang atau menyebar ilmu dan ajaran sesat!

Kata Imam Bukhari rhm.: Maka sabarlah para pelajar dan pencinta ilmu, pencinta Sunnah, kerana bilangan kamu tidak ramai.

Siapa yang banyak dengar maka kuranglah penentangannya.

  1. Ayat 8- {(Bukan setakat itu sahaja mereka katakan) bahkan mereka menuduh dengan berkata: \”Muhammad telah merekakan Al-Quran itu.\” Katakanlah (Wahai Muhammad): \”Kalau aku merekakan Al-Quran itu (maka tentulah aku tidak terlepas dari azab kesalahan itu) kerana kamu (dan juga yang lain dari kamu) tidak berkuasa memberikan daku sebarang perlindungan dari (azab) Allah.}- ulama\’ tadabbur kata ikatan antara syarat dan akibatnya- yakni jika Rasulullah berdusta & reka al-Quran maka dia akan menerima akibatnya serta mereka Quraisy, tidak akan dapat menolongnya!

Allah s.w.t menetapkan di sini bahawa jangan sesiapa menyampaikan ilmu kepada orang lain dengan menisbahkannya kepada Allah dalam perkara yang tidak diajarnya.
Kita kena ada sandaran iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w serta pandangan ulama\’ yang muktabar.

Ayat ini mengajar kita agar para pendakwah dan ilmuan jangan mudah-mudah menyandarkan sesuatu, apa yang dia kata itu kepada Allah, Rasulullah s.a.w dan sesiapa saja!

Ayat ini juga telah ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t:
{Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan,
Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami,
Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta);
Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya.} (Al-Haaqqah 69: 44-47)

Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa hatta jika Rasulullah s.a.w sendiri yang berdusta dia akan mendapat akibat yang buruk sekali! Apatah lagi manusia lain yang menyandarkan kepada Allah dan Rasul pula!

Maka sesiapa yang mereka-reka sesuatu dan menisbahkannya kepada Allah s.w.t atau Rasulullah s.a.w tanpa riwayat yang sahih haq, maka ia telah melakukan satu kerosakan yang besar atas dunia ini! Bahkan ancaman azan dan balasan yang pedih untuknya. #

  1. Ayat 8- {Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu,}- Allah s.w.t menyatakan dalam ayat ini bahawa Dia akan menjadi persaksian (شَهِيدًا) atas kesemua yang telah kamu lakukan, maka Dia juga akan menghukum kamu berdasarkan apa yang telah dicatat oleh malaikat di bawah ilmu Allah Azza wa Jalla. Persaksian (شَهِيدًا) dan hukuman oleh Allah s.w.t, bukan hanya menjadi saksi biasa yang mana orang lain akan menjadi hakimnya.

Semoga kita mendapat persaksian yang baik dari Allah s.w.t, yang dapat melayakkan kita ke syurga, insya\’ Allah!

Powered by BetterDocs