SURAH AL-AHZAB : AYAT 37-40

\"\"

KISAH PERCERAIAN ZAID DAN ZAINAB, MEMBATALKAN HUKUM ANAK ANGKAT SECARA AMALI & TIDAK BOLEH TAKUT MENJELASKAN HUKUM.

Full video : https://youtu.be/kA19m69JU_c

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah berkisar tentang kisah perkahwinan antara Zaid bin Harithah r.a dengan Zainab binti Jahsy r.a. Namun dengan taqdir Allah s.w.t mereka berpisah kerana ketidak-serasian.
  2. Ini kerana ada satu lagi Syariat perundangan yang sedang menanti iaitu Syariat untuk membatalkan sistem anak angkat sebagai anak sebenar.
  3. Kerana ia berkait dengan isu yang besar, adab jahiliyyah tentang hukum anak angkat, maka untuk membatalkannya perlu dicabut dari akar umbi pokok, bukan hanya ditebang batangnya sahaja.
  4. Allah tidak letakkan atas bahu orang lain tugas ini tetapi memilih Nabi-Nya sendiri untuk menjalankan tugas ini.
    Walaupun ia amat berat pada awalnya. Lalu Allah s.w.t memerintahkan agar Rasulullah s.a.w mengahwini pula Zainab yang awalnya adalah menantu angkatnya, semata-mata nak membuang kefahaman bahawa anak angkat bukan anak!
  5. Maka jelaslah, telah digazzete tiada siapa boleh mendakwa bahawa anak angkat adalah anaknya serta isteri mereka adalah menantu yang mahram selamanya.
  6. Sebelum itu kita undur kepada siri yang lepas untuk menjelaskan lagi tentang hukum dalam ayat ke-36.

AYAT 37 – {DAN (INGATLAH WAHAI MUHAMMAD) KETIKA ENGKAU BERKATA KEPADA ORANG YANG TELAH DIKURNIAKAN OLEH ALLAH (DENGAN NIKMAT ISLAM) DAN YANG ENGKAU JUGA TELAH BERBUAT BAIK KEPADANYA: \”JANGAN CERAIKAN ISTERIMU ITU DAN BERTAQWALAH KEPADA ALLAH\”, SAMBIL ENGKAU MENYEMBUNYIKAN DALAM HATIMU PERKARA YANG ALLAH AKAN MENYATAKANNYA; DAN ENGKAU PULA TAKUT KEPADA (CACIAN MANUSIA PADAHAL ALLAH JUALAH YANG BERHAK ENGKAU TAKUTI (MELANGGAR PERINTAHNYA). KEMUDIAN SETELAH ZAID SELESAI HABIS KEMAHUANNYA TERHADAP ISTERINYA (DENGAN MENCERAIKANNYA), KAMI KAHWINKAN ENGKAU DENGANNYA SUPAYA TIDAK ADA KEBERATAN ATAS ORANG-ORANG YANG BERIMAN UNTUK BERKAHWIN DENGAN ISTERI-ISTERI ANAK-ANAK ANGKAT MEREKA, APABILA ANAK-ANAK ANGKAT ITU TELAH SELESAI HABIS KEMAHUANNYA TERHADAP ISTERINYA (LALU MENCERAIKANNYA). DAN SEMEMANGNYA PERKARA YANG DIKEHENDAKI ALLAH ITU TETAP BERLAKU.} (AL-AHZAAB 33: 37)

  1. Ayat ini panjang hikayatnya. Allah suruh Rasulullah mengingati ketika dia berkata kepada orang yang diberikan nikmat Nya, iaitu menjadikan mereka muslim dan mengikut Rasul. Kemudian Rasulullah s.a.w juga telah berbuat kepadanya kepadanya.
  2. Orang yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Zaid ibnu Harithah r.a. Semasa zaman jahiliyah, Zaid adalah seorang tawanan. UM Khadijah membelinya kemudian menghadiahkan kepada Rasulullah s.a.w. sebelum Baginda diangkat menjadi Nabi. Kemudian Zaid dimerdekakannya sehingga jadilah ia seorang yang terhormat, terkemuka dan disegani. Nabi s.a.w. menjadikannya sebagai anak angkat yang dicintai sehingga Zaid dikenali sebagai putera Muhammad.
  3. Rasulullah s.a.w. telah mengahwinkan Zaid dengan anak perempuan makciknya, iaitu Zainab binti Jahsy Al-Asadiyah r.a. Sebagaimana dalam ayat sebelumnya dikisahkan bahawa Zainab pada awalnya menolak perkhwinan ini tetapi setelah turun ayat ke-36 ini beliau akur dan menerima Zaid.
  4. Zainab tinggal bersama Zaid selama satu tahun atau lebih dari setahun, lalu terjadilah perselisihan di antara keduanya, yakni tidak harmoni dan ada masalah.
  5. Zaid datang menghadap kepada Rasulullah s.a.w. mengadukan sikap Zainab yang membangkang dan meminta pendapat Baginda s.a.w. tentang niatnya ingin menceraikan Zainab. Tetapi Rasulullah s.a.w. menasihati Zaid dengan bersabda supaya bertaqwa dan bersabar dulu, cuba baiki hubungan.
    Begitulah kita jika ada orang datang mengadu masalah bagilah nasihat yang baik dulu suruh bertaqwa dan bersabar. Jangan terus bagi keputusan dan hukuman.
  6. Sedangkan Allah s.w.t. telah mewahyukan kepada Nabi s.a.w., bahawa kelak Zainab akan menjadi salah seorang isterinya. Zaid nanti akan menceraikan Zainab, dan Allah akan menikahkan ia dengan Nabi s.a.w. Ketika itu Zainab masih lagi isteri Zaid.
  7. Tetapi Nabi s.a.w. sembunyikan dalam hatinya (yakni tidak umumkan lagi) bahawa Allah akan menikahkan Baginda dengan Zainab r.a. Allah kata ini kerana \”dan kamu takut manusia,\”!
  8. Sebenarnya Rasulullah s.a.w. takut orang ramai terutamanya golongan munafiq. akan berkata, \”Rasulullah menikahi isteri anaknya.\” Padahal Allah s.w.t. hendak menetapkan syariat yang umum bagi kaum mukmin, bahawa anak angkat bukanlah anak hakiki dari segala sisi, dan bahawa isterinya boleh dinikahi oleh ayah angkatnya setelah ditalak dan habis masa iddahnya.
  9. Sepatutnya Rasulullah mesti lebih takut kepada Allah dalam segala sesuatu, jangan dipedulikan kata-kata orang ramai itu.
  10. Kemudian Zaid menceraikan Zainab. Ia mencerai Zainab dengan pilihannya sendiri, dan yang tahu adalah Allah s.w.t. setelah selesai perceraian dan Zaid tidak memerlukan Zainab lagi, sekali lagi Allah s.w.t menurunkan ayat al-Quran ini: {Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka}.
  11. Ayat in menunjukkan Allah s.w.t. mewahyukan kepada Rasululullah s.a.w. dan memerintahkan kepadanya agar mengahwini Zainab secara langsung, iaitu tanpa wali, tanpa akad, tanpa mahar, dan tanpa saksi manusia. Semuanya diuruskan oleh Allah s.w.t.
  12. Kerana itu Zainab sentiasa berbangga kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w yang lain bahawa Allah s.w.t sendiri yang mengahwinkannya dengan Rasulullah bukan seperti isteri-isteri Nabi yang lain.
  13. Kemudian Allah s.w.t menasihat Rasulullah s.a.w: Sepatutnya engkau lebih takut kepada Allah dalam segala sesuatu, jangan dipedulikan kata-kata orang ramai itu.
  14. Allah s.w.t merupakan sebab Rasulullah s.a.w. berkahwin dengan UM Zainab, bukan kerana cinta kepadanya, yang menjadi sebab Zaid menceraikannya sebagaimana yang dikatakan orang ramai terutamanya golongan munafiq.
  15. Hikmah Syariah dalam pernikahan itu adalah untuk menghilangkan sangkaan haram menikahi bekas isteri anak angkat. Juga untuk membuang kesalah-fahaman terhadap anak angkat, kerana isteri anak angkat bukan mahram. Ini kerana adat-tradisi mengambil anak angkat di kalangan mereka ketika itu amat banyak sekali.
  16. Walaupun Rasulullah s.a.w cuba mengelak pada awalnya, tetapi perkara yang dikehendaki Allah itu pasti tetap akan berlaku!

AYAT 38 – {TIDAKLAH ADA SEBARANG KEBERATAN YANG DITANGGUNG OLEH NABI DALAM MELAKSANAKAN PERKARA YANG TELAH DITETAPKAN ALLAH BAGINYA. (YANG DEMIKIAN ITU) ADALAH MENURUT PERATURAN ALLAH YANG TETAP, YANG BERLAKU JUGA KEPADA NABI-NABI YANG TELAH LALU. DAN (INGATLAH) PERINTAH ALLAH ITU ADALAH SATU KETETAPAN YANG DITENTUKAN BERLAKUNYA.} (AL-AHZAAB 33: 38)

  1. Allah s.w.t nyatakan sekali lagi, bahawa tiada keberatan dan kesusahan atas Rasulullah s.a.w untuk melakukan perkahwinan itu kerana Baginda telah melaksanakan perintah yang telah ditetapkan oleh Allah baginya.
  2. Allah s.w.t. telah menetapkan beberapa isteri untuk Baginda s.a.w.
  3. Allah telah menetapkan yang demikian itu sebagai sunnah-Nya atau hukum-Nya pada nabi-nabi terdahulu, di mana Allah s.w.t. telah menghalalkannya untuk mereka. Sunnatullah di sini bermaksud mengerjakan sesuatu yang dibolehkan Allah tanpa ragu-ragu.
  4. Urusan dan perintah yang telah ditetapkan dan dikehendaki oleh Allah s.w.t. itu pasti terjadi dan tidak akan dapat dielakkan lagi. Dan apa yang tidak dikehendaki-Nya pasti tidak akan terjadi.

AYAT 39 – {(NABI-NABI YANG TELAH LALU ITU) IALAH ORANG-ORANG YANG MENYAMPAIKAN SYARIAT ALLAH SERTA MEREKA TAKUT MELANGGAR PERINTAHNYA, DAN MEREKA PULA TIDAK TAKUT KEPADA SESIAPA PUN MELAINKAN KEPADA ALLAH. DAN CUKUPLAH ALLAH MENJADI PENGHITUNG (SEGALA YANG DILAKUKAN OLEH MAKHLUK-MAKHLUKNYA UNTUK MEMBALAS MEREKA).} (AL-AHZAAB 33: 39)

  1. Para rasul ialah mereka yang menyampaikan syariat-syariat Allah kepada manusia dan menunaikan semua yang diamanahkan kepada mereka.
  2. Mereka hanya takut kepada Allah s.w.t, tidak takut takut kepada manusia. Maka wahai Muhammad s.a.w jangan engkau takut dan hiraukan cercaan manusia.
  3. Kita para pendakwah begitu juga, jangan takut menyampaikan kebenaran ajaran Allah dan Rasul-Nya, menegakkan Sunnah Rasulullah s.a.w, walaupun tidak diterima dan dikecam oleh sesama manusia. Cukuplah bagi kita Allah sebagai tempat bertawakal.
  4. Apabila bertembung antara adat dan ibadat, jangan kita ragu-ragu dan teragak untuk membuat pilihan walaupun ia amat berat dan nampak bercanggah dengan adat kebiasaan. Sebagaimana yang dirasakan oleh Rasulullah s.a.w pada awal perintah ini! Kerana itu Allah s.w.t jelaskan kisah ini untuk menolak tohmahan bahawa Baginda melakukkannya kerana ikut perasaan dan nafsunya sendiri.
  5. Allah tutup ayat ini dengan berkata Cukuplah Allah sebagai Penolong, Pembantu, Penjaga, Pengawas dan Penghisab amal makhluk-Nya.

Para nabi sebelumnya hanya diutus kepada kaumnya sahaja, sedangkan Rasulullah s.a.w. diutus untuk semua makhluk.

AYAT 40 – {BUKANLAH NABI MUHAMMAD ITU (DENGAN SEBAB ADA ANAK ANGKATNYA) MENJADI BAPA YANG SEBENAR BAGI SESEORANG DARI ORANG LELAKI KAMU, TETAPI IA ADALAH RASUL ALLAH DAN KESUDAHAN SEGALA NABI-NABI. DAN (INGATLAH) ALLAH ADALAH MAHA MENGETAHUI AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-AHZAAB 33:40)

  1. Allah s.w.t menegaskan bahawa Rasulullah itu bukanlah bapa kepada sesiapa kaum lelaki dari kalangan kamu!
  2. Kata Imam al-Qurtubi – ayat ini bukan menafikan bahawa Rasulullah ada anak lelaki, ada tetapi mereka semuanya mati kecil seperti Qasim, Abdullah dan Ibrahim! Maksudnya Nabi tidak ada anak yang besar, Zaid hanya anak angkat, bukan anak sebenarnya.
  3. Kemudian Allah menegaskan bahawa Rasulullah s.a.w adalah penamat dan kesudahan kepada segala nabi dan rasul. Tiada nabi dan Rasulullah selepasnya! Jika ada yang mengaku dirinya nabi atau rasul sesudah Rasulullah s.a.w. wafat, maka dia adalah seorang pendusta, pendakwa palsu, sesat dan menyesatkan menurut orang-orang yang berakal.
    Para nabi sebelumnya hanya diutus kepada kaumnya sahaja, sedangkan Rasulullah s.a.w. diutus untuk semua makhluk.
  4. Hadis Rasulullah: tentang Baginda sebagai Nabi yang terakhir.
  5. Allah s.w.t itu sifatnya adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
    Ilmu Allah meliputi segala sesuatu, Dia lebih mengetahui kepada siapa Dia melimpahkan kurnia-Nya, risalah-Nya dan tugas kerasulan.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 37 – {Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: \”Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah\”,} – yakni apabila Zaid datang mengadu Rasulullah memberi nasihat yang baik kepadanya. Begitulah caranya orang yang menjadi tempat rujukan hendaklah menjawab dengan betul dan baik, jangan terus menjatuhkan hukuman dan keputusan. Juga mengisyaratkan harus meminta pendapat dan nasihat orang yang dipercayai.
  2. Ayat 37 – {Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka,} – ulama\’ kata ini menunjukkan pendidikan secara amali dan praktikal lebih berkesan daripada perkataan saja. Jika Rasulullah s.a.w hanya beritahu secara mulut saja, orang ramai pasti akan masih teragak-agak, tetapi apabila Rasulullah s.a.w sendiri yang melakukannya maka jelaslah!
    Begitulah para pendakwah jika kempen orang kena buat juga, jangan cakap tak serupa bikin. Kena ada tarbiyah dari sudut amali!
  3. Ayat 39 – {(dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah.} – takutlah kepada Allah bukan takut kepada manusia.
    Jangan malu jangan bimbang, jangan pedulikan kata-kata mereka dalam mentaati perintah Allah s.w.t.
  4. Ayat 39 – {(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah} – Allah s.w.t memuji para rasul-Nya a.s yang menyampaikan dakwahnya apabila diperintahkan Allah. Maka kita pun jika mahu pujian Allah, jangan takut untuk nyatakan yang hak dan menyampaikan kebenaran. Jika kamu telah sampaikan ilmu dan berdakwah dengan ikhlas, jangan takut kepada manusia, kerana Allah s.w.t mahu lihat kita buat kerja atau tidak, kemudian Dia akan membalasnya mengikut apa yang telah kamu usahakan.
    Sebagaimana firman-Nya lagi: Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).}
  5. Ayat 37 – { Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), } – ayat ini menunjukkan kelebihan Zaid bin Haritah yang disebut namanya dalam al-Quran. Allah s.w.t menguji Zaid untuk diangkat darjatnya, tiada sahabat lain yang disebut namanya secara lansung di dalam al-Quran. Abu Bakar pun hanya disebut kata ganti namanya sahaja.
  6. Ayat 37 – {Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya} – tentang Zaid lagi yang diberi nikmat iman dan nikmat Islam.
    Kata ulama\’ ini sebagai dalil bahawa Zaid itu mukmin secara zahir dan batinnya. Kemudian Rasulullah s.a.w pula buat baik kepadanya, memerdekakannya, dipilih menjadi anak angkat Baginda s.a.w. Begitu mulianya Zaid.
  7. Ayat 37 – {Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata:……. \”Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah\”,} – jika orang datang minta pandangan kita jangan terburu bagi keputusan jangan mudah suruh orang bercerai.
    Berilah nasihat agar bertaqwa dan bersabar jangan terburu.
    Rasulullah s.a.w menasihati Zaid agar bersabar dan jangan terburu-buru, ini menunjukkan Zaid menceraikan isterinya dengan sukarela, dengan kehendaknya sendiri bukan dengan paksaan atau arahan sesiapa, apatah lagi dengan sebab Rasulullah s.a.w.
    Maka hati-hatilah, ingat sesiapa yang menjadi sebab keruntuhan rumahtangga seseorang dengan apa cara sekalipun, dia telah menjadi tentera syaitan yang kerja utamanya meruntuhkan perkahwinan.
  8. Ayat 37 – { Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya..}- setelah Allah hilangkan nikmat dan kebahagiaan Zaid dari menjadi anak angkat Rasulullah s.a.w, ber\’bin\’kan Muhammad dan hilang isteri yang dikahwininya, Allah s.w.t angkat darjatnya dengan menyebut namanya dan dirakam dalam al-Quran, dengan Kalamullah! Namanya dibaca oleh setiap muslim sehingga ke hari ini Kiamat.

Selain itu, nama Ubai bin Ka\’ab turut disebut oleh ALLAH S.W.T sebagaimana dalam hadis:
Anas berkata, Nabi S.A.W berkata kepada Ubai: \”Sesungguhnya ALLAH memerintahkan kepadaku untuk mengajarimu al-Quran.\”
Ubai bertanya: \”Apakah ALLAH menyebut namaku kepadamu?\”
Nabi S.A.W menjawab: \”Ya.\”
Ubai bertanya kembali: \”Dan aku disebut di sisi ALLAH Pencipta alam semesta?\”
Nabi S.A.W menjawab: \”Ya.\”
Mendengar hal itu, mata Ubai mengalirkan air mata, menangis. (Riwayat al-Bukhari)

  1. Ayat 37 – { Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya} – Allah s.w.t. mewahyukan kepada Rasululullah s.a.w. dan memerintahkan kepadanya agar mengahwini Zainab secara lansung, iaitu tanpa wali, tanpa akad, tanpa mahar, dan tanpa saksi manusia. Semuanya diuruskan oleh Allah s.w.t.
    itulah yang menjadi ucapan kebanggaan Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy r.a di depan isteri-isteri Nabi yang lain:
    \”Kamu semua dinikahkan oleh bapa-bapa kamu. Sedangkan aku langsung dinikahkan oleh Allah dari atas langit ketujuh.\” (HR. al-Bukhari).
  2. Ayat 40 – {Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu,} – ayat ini membatalkan satu hukum dan adat jahiliyyah yang besar iaitu tradisi anak angkat di\”bin\”kan kepada bapa angkatnya. – Jelaslah Baginda s.a.w bukan boleh menjadi bapa yang khas kepada sesiapa dan Baginda adalah penutup kepada para rasul dan anbiya\’ seluruhnya.

Powered by BetterDocs