SURAH FUSSILAT : AYAT 47-51

\"\"

TARIKH KIAMAT DI BAWAH ILMU ALLAH, KAFIR BERLEPAS DIRI DARI SYIRIK & KEADAAN MANUSIA KETIKA SENANG DAN SUSAH.

Full video : https://youtu.be/PINN8pY83WQ

MUQADDIMAH :

  1. Hari ini dalam sejarah:
    Pada 17 Ramadhan tahun ke2 H bersamaan 13 Mac 624 M, berlaku satu peristiwa besar, peperangan Badar al-Kubra, Perang pertama dalam Islam antara kaum muslimin di Madinah di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w, dengan kafir Quraish dari Makkah di sebuat tempat bernama Badar, 150km dari Madinah.

Kisah penuh boleh baca dalam buku: Madinah Munawaarah; Kelebihan & Sejarah dan lain-lain Kitab Sirah.
http://www.dartaibah.com/…

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menegaskan bahawa ilmu ghaib tarikh kiamat di bawah pengetahuan Allah s.w.t, Dia tidak ceritakan kepada nabi atau malaikat atau sesiapa saja.
  2. Juga tentang kafir Berlepas Diri Dari Syirik pada hari Kiamat serta Keadaan Manusia Ketika Senang Dan Susah.
  3. Munasabah ayat: setelah orang kafir diberi amaran tentang hari Kiamat dan kebangkitan semula mereka tidak percaya dan mendustakannya serta bertanya kepada Rasulullah s.a.w dengan memerli bilakah akan berlaku hari Kiamat yang kamu janjikan itu? Maka Allah s.w.t jawabnya dalam ayat 47 ini.

AYAT 47 – {KEPADA (ILMU PENGETAHUAN) ALLAH JUA LAH KEMBALINYA SOAL MENGETAHUI MASA DATANGNYA HARI KIAMAT; DAN (DEMIKIANLAH TIAP-TIAP APA YANG AKAN BERLAKU, KERANA) SEBIJI BUAH (UMPAMANYA) TIDAK AKAN KELUAR DARI KELOPAKNYA, DAN SEORANG IBU TIDAK AKAN MENGANDUNG DAN TIDAK AKAN MELAHIRKAN ANAK, MELAINKAN (PADA MASA DAN KEADAAN YANG BETUL TEPAT) DENGAN PENGETAHUAN ALLAH. DAN PADA HARI TUHAN MENYERU MEREKA (YANG MUSYRIK, DENGAN BERTANYA KEPADA MEREKA): \”MANA DIA MAKHLUK-MAKHLUK YANG KAMU SIFATKAN MENJADI SEKUTU-SEKUTUKU?\” MEREKA MENJAWAB: \”KAMI MENGAKUI KEPADAMU (WAHAI TUHAN KAMI), BAHAWA TIDAK ADA DI ANTARA KAMI SEORANG PUN YANG MAHU MENJADI SAKSI (KERANA ANGGAPAN KAMI DAHULU TELAH NYATA SALAHNYA)!\”} (FUSSILAT 41:47)

  1. Semua ilmu ghaib tentang tarikh kiamat di bawah pengetahuan Allah s.w.t, Dia tidak ceritakan kepada sesiapa pun samada nabi atau malaikat.
  2. Khasnya tentang bilakah akan berlakunya Hari Kiamat. Hendaklah dikembalikan kepada Allah dengan berkata: Wallahu a\’lam.
    Tiada siapa yang mengetahuinya, jangan kita sibuk mencari bilakah ia, tetapi sibukkan diri kita untuk membuat persiapan bagi menghadapinya kelak!
  3. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.} (Luqman 31:34)
  4. Hadis yang diriwayatkan Umar bin Khaththab r.a ketika malaikat Jibril datang kepada Rasulullah s.a.w untuk mempertanyakan perkara Islam, iman, ihsan, dan hari kiamat.
    \”Jibril bertanya kepada Rasulullah s.a.w bilakah akan berlaku Kiamat?
    Nabi s.a.w menjawab\” Yang ditanya tidaklah lebih tahu daripada yang bertanya.\” [HR Bukhari].
  5. Maka kesimpulannya jika ada manusia yang mengaku tahu dan ada ilmu tentang bila akan berlaku Kiamat serta mengeluarkan pelbagai teori, semua itu pembohong!
  6. Begitu juga semua ini di bawah ilmu Allah, tidak akan berlaku melainkan pada masa dan keadaan yang betul tepat dengan pengetahuan Allah:
    i- sebiji buah umpamanya tidak akan keluar dari kelopaknya,
    ii- dan seorang ibu tidak akan mengandung dan tidak akan melahirkan anak.
    *Doktor boleh membuat jangkaan dan kemungkinan dengan ilmu mereka yang diberi Allah s.w.t, tetapi semua bukan tepat dan betul, hanya jangkaan.
  7. Firman Allah s.w.t: {Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.} (Al-An\’aam 6:59)
  8. Maka selepas beriman dan yakin dengan semua ini, maka hendaklah kita buat persiapan untuk menghadapi hari kematian! Ya Allah matikanlah kami dalam husnul-khatimah!

AYAT 48 – {DAN (PADA SAAT ITU) HILANG LENYAPLAH DARI MEREKA APA YANG MEREKA SEMBAH DAHULU (YANG DIHARAPKAN PERTOLONGANNYA), DAN YAKINLAH MEREKA BAHAWA TIDAK ADA SEBARANG JALAN UNTUK MEREKA MELEPASKAN DIRI (DARI AZAB SEKSA).} (FUSSILAT 41:48)

  1. Di akhirat esok Tuhan akan tanya puak kafir; mana dia sekutu Allah s.w.t yang kamu sembah, puja dan pilih dulu??? Mereka menafikannya dan tidak mengakuinya dengan berkata bahawa tidak ada di antara mereka seorang pun yang mahu menjadi saksi kepada syirik itu.
  2. Sekarang mereka mengakui dan tahu bahawa anggapan mereka dahulu telah nyata salahnya!
  3. Pada hari itu baru mereka sedar tiada apa yang dapat menolong mereka, apa yang mereka harapkan dulu (sekutu yang mereka sembah) semuanya binasa dan tidak berkuasa untuk menolong mereka!
  4. Mereka juga yakin bahawa tiada jalan lagi untuk menyelamatkan mereka dari azab Allah. Begitulah tiada nilai lagi apabila seseorang itu melakukan syirik terhadap Allah Azza wa Jalla!
  5. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.} (Luqman 31:34)

AYAT 49 – {MANUSIA TIDAK JEMU-JEMU MEMOHON KEBAIKAN. DAN KALAU IA DITIMPA KESUSAHAN MAKA MENJADILAH IA SEORANG YANG SANGAT BERPUTUS ASA, LAGI SANGAT NYATA KESAN PUTUS HARAPNYA (DARI RAHMAT PERTOLONGAN ALLAH).} (FUSSILAT 41:49)

  1. Manusia ini tidak akan berasa jemu dan letih untuk meminta kebaikan dari Allah s.w.t dari nikmat kehidupan dunia seperti harta, pangkat, kekayaan dan lain-lain.
  2. Firman Allah s.w.t:
    i- {Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba!} (Al-Fajr 89:20)
    ii- {Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).} (Al-\’Aadiyaat 100:8)
  3. Hadis Rasulullah s.a.w tentang manusia yang panjang angan-angannya:
    Sabda Rasulullah s.a.w: \”Hati orang tua menjadi muda kerana mencintai dua perkara, bercita-cita untuk panjang umur (panjang angan-angan) dan sayangkan harta\”. [HR Muslim].
  4. Dari Ibnu \’Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
    لَوْ كَانَ لاِبْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لاَبْتَغَى ثَالِثًا ، وَلاَ يَمْلأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلاَّ التُّرَابُ ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ
    Maksudnya:
    Jika anak Adam (manusia) memiliki dua lembah emas, nescaya dia akan mencari lembah yang ketiga. Tidak akan dapat memenuhi perut manusia (nafsunya) kecuali tanah (mati). Allah tentu akan menerima taubat bagi siapa saja yang ingin bertaubat.\” (HR. Bukhari no. 6436).
  5. Kata Allahyarham TG Hj Abdul Rahman: Hati manusia ini seperti umbut kelapa yang tidak tua, bila tua maknanya dah mati.
  6. Manakala apabila ditimpa musibah atau ujian dari Allah s.w.t mereka akan keluh kesah dan putus harap kepada Allah s.w.t.
  7. Tetapi jika orang beriman, tidak begitu, mereka akan syukur apabila senang dan bersabar apabila diuji!

AYAT 50 – {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! JIKA KAMI BERI DIA MERASAI SESUATU RAHMAT DARI KAMI SESUDAH IA DITIMPA SESUATU KESUSAHAN, BERKATALAH IA (DENGAN SIKAP TIDAK BERSYUKUR): \”INI IALAH HAKKU (HASIL USAHAKU SEMATA-MATA), DAN AKU TIDAK FIKIR BAHAWA HARI KIAMAT AKAN BERLAKU; DAN KALAULAH AKU DIKEMBALIKAN KEPADA TUHANKU (SEKALIPUN), SUDAH TENTU AKU AKAN BEROLEH KEBAIKAN DI SISINYA (SEPERTI KESENANGANKU SEKARANG INI)!\” MAKA DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI AKAN MEMBERI TAHU KEPADA ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR ITU AKAN KEBURUKAN APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN, DAN KAMI AKAN BERI MEREKA MERASAI AZAB SEKSA YANG SEBERAT-BERATNYA.} (FUSSILAT 41:50)

  1. Manusia yang tidak beriman juga apabila diberi kesenangan dan kekayaan, selepas mereka diuji dengan kesusahan mereka berkata dan mengaku bahawa semua itu adalah hak mereka, hasil usaha mereka sendiri.
    *Ini Allah s.w.t ceritakan dari sudut kata-kata mereka apabila mendapat nikmat.
  2. Mereka juga tidak percaya kepada dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)!\”
  3. Firman Allah s.w.t: {Dan aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.} (Al-Kahfi 18:36)
  4. Allah s.w.t menjawab balik angan-angan dan sangkaan palsu mereka itu: Jangan berharaplah kamu dulu kafir syirik dan mendustakan Allah s.w.t di atas dunia dulu. Maka kamu akan diberi azab siksa yang seberat-beratnya.
  5. Maka jangan kita takabbur dan sombong keras kepala atas dunia ini, semua nikmat atas dunia hanya sementara dan berbentuk ujian, maka jadilah kita manusia yang bersyukur atas semua anugerah yang diberi Allah!
  6. Cara nak jadi orang bersyukur ialah tunaikan segala hak seperti hak kesihatan, hak harta, hak jawatan yang Allah bagi. Serta bersabar atas ujian-Nya apabila ditimpa musibah dan kesusahan.

AYAT 51 – {DAN APABILA KAMI KURNIAKAN NIKMAT KEPADA MANUSIA, BERPALINGLAH DIA SERTA MENJAUHKAN DIRI (DARI BERSYUKUR); DAN APABILA IA DITIMPA KESUSAHAN, MAKA IA BERDOA MERAYU DENGAN PANJANG LEBAR.} (FUSSILAT 41:51)

  1. Manusia yang tidak sedar diri ini perangai buruknya:
    i- apabila mendapat nikmat dia berpaling (أَعْرَضَ) serta menjauhkan diri dari Allah, tidak bersyukur atas anugerah yang diberi.
    *Dalam ayat ini Allah s.w.t ceritakan dari sudut perbuatan mereka apabila mendapat nikmat.

ii- tetapi apabila ditimpa kesusahan, barulah kenal tuhan, mula berdoa merayu dengan panjang lebar.

  1. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.} (Yunus 10:12)

ii- {Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).} (Al-Israa\’ 17:67)

  1. Kita orang yang beriman kena belajar dari ayat ini, jangan jadi seperti puak kafir yang hanya kenal Tuhan ketika susah saja! Waktu senang tak kenal tuhan, tak kenal masjid dan lupa untuk bersyukur kepada Allah Azza wa Jalla. Kita kena kenal dan ingat Tuhan pada setiap waktu, senang atau susah!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 47 – {Kepada (ilmu pengetahuan) Allah jua lah kembalinya soal mengetahui masa datangnya hari kiamat;}- Allah s.w.t tegaskan bahawa ilmu tentang Kiamat hanya di bawah kuasa Allah s.w.t!
    Maka kata ulama\’ sesiapa yang mengaku dia tahu bilakah akan berlaku Kiamat; ini adalah satu pendustaan dan pembohongan. Tetapi malangnya ada orang Islam yang percaya dan terpengaruh dengan teori-teori ni, lebih malang lagi percaya dengan apa yang dibuat oleh orang kafir!

Peringatan untuk para pendakwah: Jangan terlalu ghairah untuk membongkar hadis-hadis tentang alamat Kiamat ini, memasang/mengaitkan hadis bukan pada tempatnya, nanti akan keluar teori-teori dan konspirasi yang tidak benar dan celaru.

  1. Antara dua ayat ini seolah ada percanggahan, iaitu :
    i- Ayat 49- {Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah).} dan

ii- Ayat 51 – {dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.}

Kata ulama\’ tiada percanggahan antara dua ayat ini kerana ulama\’ tafsirkannya dengan beberapa analisanya begini:
i- dalam ayat 49- mereka kecewa dan putus harap dalam hati mereka berasa tidak ada harapan lagi walaupun mereka berdoa dengan lidahnya. Yakni mulut berdoa tetapi hati tidak mengharap dan tidak yakin lagi ada sinarnya.
Kita jika nak berdoa kena yakin dan khusyuk kerana Allah s.w.t tidak akan terima doa dari hati yang lagha.

ii- ada juga ulama\’ kata mereka sudah putus harap dari pertolongan berhala dan sembahan mereka, lalu mereka berdoa kepada Allah pula!

iii- ulama\’ kata yang putus harap itu satu kumpulan manakala yang berdoa itu satu kumpulan yang lain.

  1. Ayat 51 – {Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.}- ayat ini mengajar cara beradab dengan Allah s.w.t. Yang baik kita nisbahkan kepada Allah s.w.t manakala yang buruk jangan sandarkan kepada Allah. Walaupun dalam aqidah kita ahlu Sunnah semua benda baik dan buruk itu Allah s.w.t yang tentukan.

i- ayat aktif- {Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia}.
ii- ayat pasif- {…dan apabila ia ditimpa kesusahan}.

Sebagaimana doa Nabi Ibrahim a.s dalam firman Allah s.w.t:
\”Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; (ayat aktif).
\”Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum, (ayat aktif).
\”Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku; (ayat pasif).}
(Asy-Syu\’araa\’ 26:80)

Ayat ini juga mengajar kita agar bersabar apabila ditimpa musibah dan ujian, kerana ia boleh menjadi banyak faedah:
i- kaffarah- penghapus dosa.
ii- karamah- kemuliaan atas kesabarannya.

  1. Ayat 50 – {Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat dari Kami sesudah ia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah ia (dengan sikap tidak bersyukur): \”Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata),}- kata ulama\’ manusia itu berbeza-beza sifatnya. Allah gambarkan apabila mendapat nikmat ada yang takabbur mudah lupa diri, tetapi ada juga yang sentiasa bersyukur dan ingat kepada Allah s.w.t.

Contoh: kisah Qarun yang dikatakan asalnya orang baik tetapi apabila kaya mula lupa diri dan mengaku apa yang didapatinya adalah hasil usahanya sendiri, dengan sebab ilmunya, bukan dari Allah lalu tidak bersyukur kepada Allah swt.

Inilah yang kita takut, Allah s.w.t beri kekayaan dan kesenangan bukan sebab dia redha, tetapi sebagai satu istidraj, iaitu pemberian kesenangan untuk orang-orang yang dimurkai Allah agar mereka terus lalai, lupa diri dan Allah tidak sekali-kali redha kepada mereka.

  1. Ayat 51 – {Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.}- manusia ini lemah, apabila dia ditimpa ujian dia berdoa panjang.
    Supaya kita tidak diuji oleh Allah s.w.t dengan sesuatu kesusahan yang kita tidak sanggup menghadapinya, maka sentiasalah berdoa kepada Allah s.w.t walaupun semasa senang lagi. Jangan tunggu susah baru kita nak berdoa. Teruskan berdoa jangan putus-asa dengan rahmat Allah s.w.t!

Kadang-kadang orang yang terkena ujian ini lama masanya seperti kisah:
i- Nabi Yusuf yang bermula dari dia dicampak ke dalam telaga sehingga berjumpa balik bapanya, berpuluh-puluh tahun terpisah & Yusuf melalui pelbagai ujian.

ii- Nabi Musa a.s yang berdoa untuk kebinasaan Firaun, mengambil masa bertahun juga untuk Allah kabulkan dan akhirnya Firaun tenggelam musnah dalam laut.

iii- Nabi Ayub a.s yang ditimpa penyakit berapa lama, kemudian dia berdoa kepada Allah, juga mengambil masa sebelum sembuh, bukan kata hari ini berdoa esok terus sembuh!

Rasulullah s.a.w bersabda: \”Sungguh ajaib dalam urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya.\” [HR Muslim].

Teruskan berdoa tumpahkan air mata kita ini kerana Allah s.w.t suka untuk mendengar doa, rintihan dan rayuan hamba-Nya, Allah suka nak tengok hamba-Nya tawadhuk, bersimpuh dihadapan-Nya menadah tangan berdoa kepada-Nya. Setiap masa, bukan hanya ketika susah, itulah kelebihan kita di sisi Allah s.w.t.

Mudah-mudahan kita sentiasa bersda dalam nikmat iman dan Islam, nikmat mensyukuri dan bersabar kepada Allah s.w.t, termasuk dalam golongan mukmin yang bersifat baik begini di sisi Allah s.w.t.

Powered by BetterDocs