SURAH ASY-SYURA : AYAT 36-43

\"\"

KENALI HAKIKAT DUNIA, SIFAT ORANG MUKMIN JAUHI DOSA & GALAKAN MEMAAFKAN KESALAHAN ORANG.

Full video : https://youtu.be/MDSwaVzgK7Y

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t memperkenalkan kepada kita apakah hakikat dunia.
  2. Ada tujuh sifat orang mukmin dalam ayat-ayat ini antaranya menjauhi maksiat.
  3. Tentang kelebihan memaafkan, bagaimana kita suka orang untuk memafkan kesalahan kita maka maafkan orang lain.
  4. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t menyebut dalil-dalil tauhid, tentang keEsaan dan kekuasaan Allah s.w.t, janji Allah, maka dalam ayat ini Allah s.w.t peringatkan untuk sampai ke syurga Allah kamu akan hadapai cabaran yang besar atas dunia ini.
  5. Maka Allah perlekeh, perkecilkan kehidupan dunia supaya kita nampak kekurangannya lalu tidak pandang besar dan gila kepada dunia, semua nak jadi ketua, nak pangkat, harta dan lain-lain.
  6. Sebagaimana kata cerdik pandai \”dunia ini bukan tempat tinggal tetapi tempat untuk kita meninggal.\”
  7. Jadi kita ambil dunia ini sebagai jambatan atau tunggangan ke akhirat. Kesenangan yang diguna dengan baik akan membawa kebaikan dunia & akhirat. Begitu juga sebaliknya!

AYAT 36- {OLEH ITU, APA JUA YANG DIBERIKAN KEPADA KAMU, MAKA IA HANYALAH NIKMAT KESENANGAN HIDUP DI DUNIA INI SAHAJA, DAN (SEBALIKNYA) APA YANG ADA DI SISI ALLAH (DARI PAHALA HARI AKHIRAT) ADALAH LEBIH BAIK DAN LEBIH KEKAL BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN YANG BERSERAH BULAT-BULAT KEPADA TUHANNYA;} (ASY-SYURA 42:36)

  1. Allah nyatakan bahawa nikmat dunia yang ada, yang diberi Allah s.w.t ini kepada kamu semua (أُوتِيتُمْ) wahai manusia hanyalah kesenangan dunia yang sementara dan sekejap saja. Mati itu hanya satu tetapi sebab-sebabnya banyak.
  2. Dunia ini hanyalah ibarat seperti bayangan yang akan hilang, makin dikejar makin dia lari dan tidak dapat ditangkap selamanya. Maka Allah peringatkan bahawa dunia ini sangat kecil, jangan kita perbesarkan dia.
  3. Beberapa firman Allah s.w.t lagi tentang dunia:
    i- {Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya?} (Al-Qasas 28:60)

ii- {(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.} (Al-Nahl 16:96)

  1. Hadis; Dari Al-Mustaurid bin Syaddad r.a- ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:
    وَاللهِّ مَا الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلاَّ مِثْلُ مَا يَجْعَلُ أَحَدُكُمْ إِصْبَعَهُ فِي الْيَمِّ فَلْيَنْظُرْ بِمَ يَرْجِعُ؟

\”Demi Allah, tidaklah dibandingkan dunia dengan akhirat kecuali seperti seseorang dari kamu mencelupkan jarinya ke laut, kemudian diangkat, lihatlah dunia hanya air yang ada di jari tersebut.\” (HR Muslim).

  1. Semua pahala yang dijanjikan Allah itulah yang kekal bagi orang beriman kepada Allah s.w.t. Amalan yang kita buat atas dunia ini akan kekal dan akan bersama dengan kita di akhirat kelak.
  2. Kita dengan dunia ini samada:
    i- dunia tinggalkan kita, hilang musnah harta milik kita atas dunia ini.

ii- atau kita yang meninggalkan dunia (mati). Semua harta yang ada menjadi milik orang lain. Kerana itu kena hantar milik kita ke akhirat untuk tunggu kita di sana secara online dengan infak fi sabilillah, tak boleh bawa cash kerana kain kafan itu tiada poket!

  1. Sifat orang mukmin itu juga bertawakkal iaitu berserah bulat-bulat kepada Allah dalam semua urusanya.

AYAT 37- {DAN JUGA (LEBIH BAIK DAN LEBIH KEKAL BAGI) ORANG-ORANG YANG MENJAUHI DOSA-DOSA BESAR SERTA PERBUATAN-PERBUATAN YANG KEJI; DAN APABILA MEREKA MARAH (DISEBABKAN PERBUATAN YANG TIDAK PATUT TERHADAP MEREKA), MEREKA MEMAAFKANNYA;} (ASY-SYURA 42:37)

  1. Munasabah ayat: Dalam ayat 36 Allah nyatakan bahawa orang yang layak ke syurga mempunyai dua sifat ini:
    Beriman & Tawakkal.
  2. Kata ulama\’ tadabbur: Tawakkal dan iman itu adalah perkara batin, yang di dalam hati, yang tidak boleh dilihat atau diukur oleh manusia lain, maka Allah s.w.t bawa beberapa dalil yang jelas dan zahir untuk menilainya.
  3. Dalam tasauf ada satu kaedah: Kosongkan dulu dari sifat yang buruk sebelum hiasi dengan sifat yang mulia. (التخلية قبل التحلية)
    Menolak yang buruk lebih utama daripada bawa yang baru.
  4. Dalam ayat berikut Allah s.w.t nyatakan sifat buruk yang mesti kita jauhi untuk menjadi orang beriman dan tawakkal kepada Allah wajib kita bersifat:
    i- menjauhi dosa besar seperti riba, rasuah dan lain-lain.- yang terlibat secara umum.
    ii- perbuatan-perbuatan yang keji (fahisyah-) yang terlibat dengan orang lain seperti bunuh orang, zina, liwat dan seumpamanya, dosa peribadi.
  5. Menurut beberapa ulama\’ seperti:
    i- Imam az-Zahabi mengatakan ada 76 dosa besar.
    ii- Imam Ibnu Hajar pula menyenaraikan lebih daripada 300 dosa besar.
  6. Kemudian Allah bawa beberapa sifat mukmin yang mulia pula iaitu; apabila mereka marah disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka, mereka memaafkannya.
    Ulama\’ kata ini kerana sifat marahlah yang akan membawa kepada dosa besar & fahisyah jika tidak dikawal.
    Boleh jadi membalas dengan perbuatan (fizikal) atau kata-kata buruk.
  7. Maksud memaafkan di sini ialah apabila seseorang itu mampu dan berkuasa untuk mengambil tindakan, membalas perbuatan orang itu, tetapi dia pilih untuk memaafkan dan tidak ambil tindakan. Bukan kerana tak mampu nak balas atau maafkan kerana lemah atau takut!

AYAT 38- {DAN JUGA (LEBIH BAIK DAN LEBIH KEKAL BAGI) ORANG-ORANG YANG MENYAHUT DAN MENYAMBUT PERINTAH TUHANNYA SERTA MENDIRIKAN SEMBAHYANG DENGAN SEMPURNA; DAN URUSAN MEREKA DIJALANKAN SECARA BERMESYUARAT SESAMA MEREKA; DAN MEREKA PULA MENDERMAKAN SEBAHAGIAN DARI APA YANG KAMI BERI KEPADANYA;} (ASY-SYURA 42:38)

  1. Selepas mengosong diri daripada sifat buruk, diikuti dengan perkara baik, sifat yang mulia untuk kita isi dan amalkan. Benda tak baik kita hapuskan lalu isi dengan yang baik.
  2. Sifat itu yang seterusnya ialah:
    iii- menyahut dan menyambut perintah Tuhannya, taat dan patuh kepada perintah Allah, tinggalkan larangan-Nya.

iv- serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; bukan hanya main-main. Solat jemaah yan sempurna dan khusyuk.

v- dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; jangan diktator dan buat keputusan sendiri tanpa berbincang dan bermesyuarat.
Jangan jadi angkuh seperti Firaun, orang bagi cadangan kita dengar dan buat penilaian.

vi- dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya. Sifat mereka pemurah, suka membantu orang dan sedekah.

AYAT 39- {DAN JUGA (LEBIH BAIK DAN LEBIH KEKAL BAGI) ORANG-ORANG YANG APABILA DITIMPA SESUATU PERBUATAN SECARA ZALIM, MEREKA HANYA BERTINDAK MEMBELA DIRI (SEPADAN DAN TIDAK MELAMPAUI BATAS).} (ASY-SYURA 42:39)

  1. Sifat yang seterusnya iaitu yang ketujuh ialah: tidak mengambil tindakan yang melulu, jika mahu membalas perbuatan buruk orang lain, sekadar untuk mempertahankan diri, sepadan dan tidak melampaui batas.
  2. Balasan sekadar perlu untuk kita mempertahankan maruah diri daripada tuduhan tanpa bukti!

AYAT 40- {DAN (JIKA KAMU HENDAK MEMBALAS MAKA) BALASAN SESUATU KEJAHATAN IALAH KEJAHATAN YANG BERSAMAAN DENGANNYA; DALAM PADA ITU SESIAPA YANG MEMAAFKAN (KEJAHATAN ORANG) DAN BERBUAT BAIK (KEPADANYA), MAKA PAHALANYA TETAP DIJAMIN OLEH ALLAH (DENGAN DIBERI BALASAN YANG SEBAIK-BAIKNYA). SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG BERLAKU ZALIM.} (ASY-SYURA 42:40)

  1. Jika mahu membalas sesuatu kejahatan ialah dengan kejahatan yang seumpamanya, seperti dalam hukum Qisas- bunuh balas seperti yang dia buat.
  2. Hadis Rasulullah s.a.w kisah seorang jariyah yang dibunuh oleh seorang yahudi dengan dihempap kepalanya dengan batu. Lalu dia ditangkap dan dikenakan hukuman qisas dengan ketuk kepalanya ke batu juga!
  3. Tetapi sesiapa yang memaafkan kejahatan orang dan berbuat baik kepadanya, maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya. Jika memaafkan jangan lagi mengungkit dan menyebut kisah lama, yakni masih ada dendam. Begitu juga jika kita mendamaikan antara orang yang berkelahi.
  4. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim, yang membalas lebih daripada hak.
  5. Hadis; Rasulullah s.a.w telah bersabda:

ما نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِن مالٍ، وما زادَ اللَّهُ عَبْدًا بعَفْوٍ، إلَّا عِزًّا

Maksudnya: \”Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.\” [Riwayat Muslim]

AYAT 41- {DAN SESUNGGUHNYA ORANG YANG BERTINDAK MEMBELA DIRI SETELAH IA DIZALIMI, MAKA MEREKA YANG DEMIKIAN KEADAANNYA, TIDAK ADA SEBARANG JALAN HENDAK MENYALAHKAN MEREKA.} (ASY-SYURA 42:41)

  1. Ayat ini menunjukkan harus untuk membela diri apabila kita dizalimi, dituduh atau difitnah. Tidak salah untuk menuntut keadilan dan pembelaan.

AYAT 42- {SESUNGGUHNYA JALAN (UNTUK MENYALAHKAN) HANYALAH TERHADAP ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEZALIMAN KEPADA MANUSIA DAN BERMAHARAJALELA DI MUKA BUMI DENGAN TIADA SEBARANG ALASAN YANG BENAR. MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG BEROLEH AZAB SEKSA YANG TIDAK BERPERI SAKITNYA.} (ASY-SYURA 42:42)

  1. Bagi orang yang sekadar membela diri tidak salah, tetapi jika dia melampaui-batas yang dibenarkan, mengambil tindakan melebihi yang sepatutnya, Allah s.w.t pula yang akan mencela dan membalas kezaliman mereka itu!
  2. Mereka juga akan mendapat azab seksa yang tidak berperi sakitnya.

AYAT 43- {DALAM PADA ITU (INGATLAH), ORANG YANG BERSABAR DAN MEMAAFKAN (KESALAHAN ORANG TERHADAPNYA), SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN ITU ADALAH DARI PERKARA-PERKARA YANG DIKEHENDAKI DIAMBIL BERAT (MELAKUKANNYA).} (ASY-SYURA 42:43)

  1. Allah s.w.t nyatakan bahawa bukan semua orang boleh buat begini, hanya mereka yang berjiwa besar (عَزْمِ الْأُمُورِ) dapat melakukannya. Jika kita mampu sabar atas karenah orang yang tidak baik sabarlah.
  2. Tetapi sabar itu juga berpada-pada jika sampai dipijak kepala, fitnah yang besar atas pribadi diri, wajib kita bangun mempertahankan hak diri kita.
  3. Inilah galakan untuk memaafkan dan melupakan, serta Alllah tahu bahawa ia amat susah untuk dilakukan .

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

1. Dalam ayat-ayat 36 sehingga 38 yang kita baca ini adalah beberapa sifat dan manifestasi sifat seorang mukmin iaitu;
i- Beriman & Tawakkal,
ii- menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji;
iii- menyahut dan menyambut perintah Tuhannya,
iv- serta mendirikan sembahyang dengan sempurna;
v- bermesyuarat sesama mereka;
vi- mendermakan sebahagian dari rezkinya.
vii- tidak membalas perbuatan buruk orang lebih daripada sepatutnya.

Allah juga mengajar kita untuk bersifat zuhud atas dunia ini dan bertawakkal kepada Allah s.w.t dalam segenap urusan.

  1. Ayat 37- {dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;} – sifat marah ini memang diperlukan dalam diri manusia agat tidak menjadi dayus dan dipijak orang. Tetapi bukan marah yang melampau, mesti berpada dan kena tempatnya.

Kata Imam Ghazali:
i- marah bukan pada tempatnya adalah orang yang bodoh dan zalim.
ii- tidak marah pada tempat sepatutnya itu orang yang penakut dan dayus.

Firman Allah s.w.t: {Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;}. (A-li\’Imraan 3:134)

  1. Ayat 38- {Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya.}- ini adalah antara sifat yang terpuji bagi seorang mukmin.

Ibu kepada segala kebaikan itu ada tiga:
i- ilmu- (العلم) iaitu seperti menyahut seruan Allah s.w.t dan mendirikan solat.
ii- Iffah- (العفة) baik nafsunya- seruan kepada beri nafkah, seruan kepada baik jiwa.
ii- berani- (الشحاعة) seruan supaya membela diri

Para pendakwah kena ada beranian tetapi jangan melulu, jika tidak nak cakap benda benar pun tak berani, takut orang marah!

  1. Ayat 38- {dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;}- ini adalah contoh yang ditunjukkan secara amali oleh Rasulullah s.a.w sebagai amalan Baginda.
    Sedangkan Baginda seorang Nabi yang mendapat wahyu dari Allah s.w.t. Seperti dalam peperangan Badar, Baginda mendengar pendapat para sahabat dan meminta pandangan mereka.
  2. Ayat 39- {Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas).}- dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan bahawa orang Islam ini ada kemuliaan diri (عزة), wajib membela kebenaran dan harga diri. Tetapi jangan melampaui batas dan berlebihan.

Seperti Rasulullah s.a.w yang jika diserang diri dan pribadinya, Baginda hanya diam, tetapi apabila orang hina dan langar Syari\’ah Allah s.w.t maka Baginda akan marah dan membelanya!
Kita pun wajib membela dan mempertahankan agama apabila dihina, dalam bab agama dan prinsip tiada toleransi!

Boleh baca tentang akhlak orang yang berjiwa besar di:
http://www.abuanasmadani.com/siri-01-akhlak-orang-yang…/

Powered by BetterDocs