SURAH AN-NAS : AYAT 1-6

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ALLAH PERINTAHKAN AGAR MINTA PERLINDUNGAN DENGAN ALLAH, DARI SEGALA JENIS WASWAS & YANG DIBAWA OLEH JIN DAN MANUSIA. & KHATAM QURAN.

Full video : https://youtu.be/oZTFB_NppY4?si=kJW-0VAw9hf6zSDp

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Jumaat 08 Safar 1445H bersamaan 25hb Ogos 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah An-Naas – سورة الناس dan khatam tafsir Al-Quran.
  2. Semoga Allah s.w.t Qabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah An-Naas – سورة الناس adalah surah ke-114 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang ketigapuluh-tujuh & terakhir dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-Falaq – سورة الفلق.
    Mengandungi 6 ayat yang pendek.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Madaniyyah, yakni turun di Madinah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
    Tetapi ada juga pandangan yang mengatakannya turuh di Makkah.
  5. Dalam surah ini Allah perintahkan agar minta perlindungan dengan Allah, dari segala jenis waswas & yang dibawa oleh jin dan manusia.

SEJARAH TAFSIR ABU ANAS MADANI :

  1. Alhamdulillah hari ini kita akan khatam kuliah tafsir & tadabbur al-Quran yang telah bermula pada pagi Jumaat 6hb Mei 2016 bersamaan 28 Rajab 1437H.
    Ia bermula pada setiap hari Jumaat sahaja, sehinggalah satu dunia dikejutkan dengan Covid-19- lalu mazhab PKP bermula, ketika itu kita sampai pada surah al-A\’raf dan berhenti pada Kuliah terakhir 13/3/2020 = 18 Rajab 1441H – Surah Al-A\’raf (Siri 10).
  2. Untuk membantu & memfaatkan masa Jemaah terkurung di rumah, AAM mulakan Kuliah Tafsir bermula dengan Juz 30 tetapi bukan menggunakan Tafsir Muharrar lagi, tetapi dengan Kitab Isyraqat Quraniyah (إشراقات قرأنية).

Habis Juz 30, Corona belum pergi- sambung lagi Juz 29, 28, 27 sehinggalah berakhir separuh dari Juz 26- iaitu (surah-surah al-Mufassal).

Sampai kepada surah al-Hujurat kita mula pada 23/7/2020 bersamaan dengan 2hb Zulhijjah 1441H- haji belum dibuka lagi pada tahun itu.

  1. Kemudian kita sambung balik surah al-A\’raf yang terhenti dulu pada hari Rabu 16/9/2020 bersamaan 28hb Muharram 1442- berterusan sehinggalah Juz 26, ingat nak break disitu, tetapi para Jemaah minta diteruskan.

Akhirnya diteruskan sehinggalah ke hari ini, iaitu hari terakhir bacaan kita dengan tafsir Pimpinan ar-Rahman dari awal bersama Tafsir al-Muharrar. Alhamdulillah.

  1. Catatan Nota tafsir yang bermula dari surah an-Nahli sedang dikumpulkan, boleh didapati sebahagiannya dalam laman web: www.abuanasmadani.com

Belum selesai lagi tetapi satu surah iaitu
Surah al-Jin sudah dicetak dan boleh didapati di:
https://dartaibah.com/?page_id=179…

  1. Selamat datang untuk seluruh Jemaah & ahli kuliah kita yang datang dari jauh & dekat, dari pelbagai negeri seperti Sabah & Singapura juga yang sekitar ini- ahlan wa sahlan bikum, semoga Allah s.w.t memberi keberkatan kepada kita semua!

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah An-Naas – سورة الناس yang bermakna {Manusia} kerana pada awal surah Allah s.w.t memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w untuk memohon perlindungan kepada Allah Pemelihara Sekelian manusia {قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ}.
  2. Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
    i- nama dari ayat pertamanya dengan penuh: {قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ}.

Berdasarkan hadis riwayat Uqbah bin Amir r.a sabda Rasulullah s.a.w:
أَلَمْ تَرَ آيَاتٍ أُنْزِلَتِ اللَّيْلَةَ لَمْ يُرَ مِثْلُهُنَّ قَطُّ (قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ) وَ (قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ)
\”Tidakkah kamu melihat ayat-ayat yang diturunkan di waktu malam dan tidak ada bandingannya sama sekali; iaitu surah
((قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ) وَ (قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ.\”
(HR. Muslim)

  1. Surah ini juga bersama dengan:
    i- jika kembar dua dengan surah al-Falaq- surat ini disebut al mu\’awwizatain (المعوذتان).
    Surah Perlintungan, yakni dua surah yang membawa pembacanya menuju tempat perlindungan.

ii- jika kembar tiga dengan Qul Huwallahu Ahad dan 2 Qul pula (al-Falaq & an-Nas) dikenali sebagai surah-surah pelindung (السور المعوذات), kerana ia melindungi daripada penyakit syirik yang lebih besar bahayanya!

  1. Disebut dalam surah ini lima kali perkataan an-Naas (الناس).
  2. Ia juga bersama Surah Al-Falaq juga dikenali sebagai dua surah al-Muqasyqisyatani (السورتان المقشقشتان) iaitu penyelamat dari sifat munafiq.

Oleh kerana itu, kedua-dua surah ini mempunyai kedudukan yang tinggi di antara surah-surah yang lain.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Sebagaimana surah al- Falaq yang lalu mengajar kita untuk memohon perlindungan dengan Allah dari segala jenis bahaya yang zahir, surah ini pula mengajar kita untuk memohon perlindungan dari segala jenis bahaya yang batin.
  2. Bahaya batin itu antaranya ialah:
    i- bahaya perasaan syak ragu-ragu, waswas & ingatan buruk yang datang dari angkara makhluk yang tidak kelihatan kepada kita iaitu syaitan & jin.

ii- juga dari tipu-daya makhluk yang berupa manusia.

iii- perasaan & ingatan buruk tersebut akan membawa penyakit yang besar, yang akan membawa kerosakan iktiqad kepercayaan, amal ibadat & segala bawaan hidup.

  1. Dari semua itu kita memohon perlindungan dari Allah yang Maha Kuasa, Tuhan yang menciptakan segala makhluk!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah kita diperintahkan memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan waswas yang datang dari dalam dada! Iaitu masalah yang batin.

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Kita minta perlindungan kepada Allah s.w.t Tuhan segala manusia pemilik segala alam ini & Tuhan mereka daripada kejahatan syaitan!
  2. Antara sifat syaitan ialah waswas & menwaswaskan manusia pula!
    Mereka juga tidak nampak, iaitu kita tidak dapat melihatnya.
  3. Mereka duduk mengacau dalam dada manusia.
    Syaitan ini samada datang daripada jin atau manusia.
    Kerana itu ulama\’ kata syaitan ini adalah satu sifat; sifat pemberontak samada mereka manusia atau jin.

MUNASABAH SURAH AN-NAAS – سورة الناس DENGAN SURAH AL-FALAQ – سورة الفلق SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Falaq – سورة الفلق:

  1. Dua surah ini mesti dikembarkan kerana mereka adalah dua surah pelindung- satu dari perkara kejahatan yang zahir & satu lagi yang batin!

KELEBIHAN SURAH :

  1. Sunat untuk membaca 3 surah (3 Qul) ini bersama setiap kali selepas solat!

Dalil hadis riwayat Uqbah bin Amir: Rasulullah s.a.w memerintahkanku agar membaca 3 surah pelindung (الْمُعَوِّذَات) ini setiap kali selepas solat.\” [HR Muslim].

Bukan baca al-Fatihah- kerana dalam solat kita sudah membacanya dalam setiap rakaat.

Begitu juga tidak perlu dibaca sebelum angkat takbiratul-ihram.

  1. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak pernah diturunkan dalam kitab lain samada dalam Taurat atau Injil, surah yang berharga seperti 3 surah dalam al-Quran ini!

Kata Uqbah: Apabila mendengar sabda Rasulullah s.a.w ini, sejak hari itu- aku tidak lupa membacanya pada setiap malam.

  1. Hadis Rasulullah s.a.w: Sesiapa baca 3 Qul pada waktu pagi & petang 3 kali- Allah s.w.t akan selamatkannya dari setiap sesuatu yang tidak baik. [HR Abu Daud & at-Tirmizi- Sahih].
  2. Rasulullah s.a.w jadikan surah-surah ini ruqyah:
    Kata Aisyah r.a: Apabila Rasulullah s.a.w sakit, Baginda akan membaca 3 surah ini dan meniup ke atas dirinya sendiri sebagai ruqyah. [HR Bukhari & Muslim].
  3. Daripada Aisyah RA katanya:
    \”Nabi S.A.W apabila ke tempat hamparan tidur setiap malam baginda menadah kedua tangannya kemudian menghambus kedua tapak tangan lalu membaca surah Ikhlas, surah Al-Falaq dan surah An-Nas kemudian baginda menyapu ke bahagian badan yang dapat dicapai oleh kedua tangan, baginda memulakannya dari kepala, muka, dan bahagian badan yang dapat dicapai.
    Baginda melakukan seperti demikian sebanyak tiga kali.\” (HR Bukhari)
  4. Rasulullah s.a.w bersabda:

أُنْزِلَ أَوْ أُنْزِلَتْ عَلَيَّ آيَاتٌ لَمْ يُرَ مِثْلُهُنَّ قَطُّ الْمُعَوِّذَتَيْنِ

\”Telah diturunkan kepadaku ayat-ayat yang tidak standing sepertinya iaitu Al-Mu\’awwizatain (surah An-Falaq dan surah Al-Naas).\” [HR Muslim].

  1. Apabila Rasulullah s.a.w disihir oleh yahudi, Allah s.w.t memerintahkan Baginda untuk membaca dua surah ini (الْمُعَوِّذَتين), apabila Baginda membacanya seolah terungkai sihir itu satu demi satu. [HR at-Tohawi- sahih].

INI MENUNJUKKAN BAHAWA SURAH-SURAH INI MENJADI PELINDUNG (الْمُعَوِّذَات).

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”AKU BERLINDUNG KEPADA (ALLAH) PEMULIHARA SEKALIAN MANUSIA.} (AN-NAAS 114:1)

  1. Yakni Allah memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk mengatakan:
    Bahawa aku berlindung dengan Allah yang Esa, Tuhan yang mencipta manusia- yang mentadbir & menjaga hal-ehwal mereka (رب)!
  2. Ini adalah tauhid Rububiyyah- Ketuanan Allah s.w.t sebagai Tuhan Pencipta manusia, Pemilik & Pentadbir alam ini.

AYAT 2- {\”YANG MENGUASAI SEKALIAN MANUSIA,} (AN-NAAS 114:2)

  1. Iaitu Tuhan yang mengusai manusia, iaitu semua manusia ini berada di bawah tadbir & susun-atur Allah s.w.t.
  2. Tiada manusia yang boleh lari daripada kekuasaan & tadbir Allah s.w.t, kita kena sedar kita berada di bawah kuasa Allah s.w.t!

AYAT 3- {\”TUHAN YANG BERHAK DISEMBAH OLEH SEKALIAN MANUSIA,} (AN-NAAS 114:3)

  1. Allah s.w.t juga Tuhan yang berhak disembah (اله) oleh sekelian manusia!
  2. Ini adalah tauhid Uluhiyyah- Ketuhanan Allah s.w.t sebagai Tuhan yang berhak disembah dipuja-puji oleh manusia.
  3. Hanya dia yang berhak disembah, semua sembahan yang lain adalah batil & ditolak.

AYAT 4- {\”DARI KEJAHATAN PEMBISIK PENGHASUT YANG TIMBUL TENGGELAM,} (AN-NAAS 114:4)

  1. Aku berlindung dengan Allah, Tuhan manusia daripada kejahatan syaitan yang berbisik-bisik yang menghasut untuk membuat kejahatan, benda mungkar & derhaka.
  2. Maksudnya (ٱلْخَنَّاسِ) penghasut yang timbul-tenggelam ini ialah:

i- Iaitu ia timbul menjalankan bisikan & hasutan apabila manusia lalai dan lemah imannya atau dia tidak ingat akan dosa pahala.

ii- kemudian ia tenggelam mengundurkan diri pada ketika manusia itu mengingati Allah & memikirkan akan balasan buruk yang disediakan Allah bagi orang yang melakukan kejahtan yang dihasut & dibisikkan itu.

  1. Yakni syaitan ini kuat apabila kita lemah (iman & ibadat) dan ia lemah & kalah apabila kita kuat iman & ibadat.
  2. Hadis-
    i- riwayat dari Abdillah bin Mas\’ud R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ، إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنَ الْجِنِّ قَالُوا: وَإِيَّاكَ؟ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: وَإِيَّايَ، إِلَّا أَنَّ اللهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ، فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ

Maksudnya: \”Tidaklah setiap orang daripada kamu itu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah diutuskan bersamanya qarinnya (teman) daripada kalangan jin.
Mereka (sahabat) bertanya: Adakah kamu juga wahai Rasulullah S.A.W?

Baginda S.A.W menjawab: Dan aku juga melainkan Allah telah membantuku daripada gangguannya maka aku terselamat dan tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali pada perkara kebaikan.\” [HR Muslim (2814)]

Ada yang terjemahkan bahawa jin itu telah masuk Islam (فَأَسْلَمَ). Dua-duanya boleh.

ii- Dari Abu Hurairah R.A bahwa Rasulullah S.A.W bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلَاثَ عُقَدٍ يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ فَارْقُدْ فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلَّا أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلَانَ

\”Syaitan mengikat tengkuk kepala seseorang dari kalian ketika dia tidur dengan tiga tali ikatan dan syaitan mengikatkannya sedemikian rupa sehingga setiap ikatan diletakkan pada tempatnya lalu syaitan akan mengatakan: Malam masih panjang, maka tidurlah dengan nyenyak.

Jika dia bangun dan berzikir mengingat Allah maka lepaslah satu tali ikatan.
Kemudian jika ia berwuduk maka lepas lagi satu ikatan berikutnya.
Kemudian jika ia mendirikan solat, lepaslah ikatan terakhir.
Di pagi harinya dia akan bersemangat dan segar yang mententeramkan jiwa.
Namun bila dia tidak melakukan seperti itu, maka pagi harinya jiwanya jadi kotor (merasa tidak segar) dan menjadi malas \”. (HR Bukhari, no: 1074)

iii- Dari Abu Hurairah R.A berkata; Nabi S.A.W bersabda:
\”Jika panggilan solat (azan) dikumandangkan maka syaitan akan lari sambil terkentut (ketakutan) kerana tidak (mahu) mendengar suara azan tersebut.
Apabila panggilan azan telah selesai, maka syaitan kembali.

Dan bila iqamat dikumandangkan syaitan kembali berlari dan jika iqamat telah selesai dikumandangkan dia kembali lagi untuk mengganggu seseorang diantara dirinya dan hatinya seraya berkata; ingatlah ini dan itu.

Hingga orang itu tidak menyedari apakah tiga atau empat rakaat solat yang sudah dikerjakannya.
Apabila dia tidak tahu tiga atau empat rakaat maka sujudlah dua kali sebagai sujud sahwi\”. [HR Bukhari & Muslim].

AYAT 5- {\”YANG MELEMPARKAN BISIKAN DAN HASUTANNYA KE DALAM HATI MANUSIA,} (AN-NAAS 114:5)

  1. Yakni syaitan campakkan hasutan & bisikannya ke dalam dada (hati manusia) secara sembunyi perasaan & pemikiran yang tidak baik.
  2. Allah sebut dada (صُدُورِ) bukan hati kerana dada adalah markaz atau pusat pemikirannya.
  3. Inilah yang kita bimbang & takut pada hari ini, iaitu jika syaitan datang letakkan dalam pemikiran kita perkara yang tidak baik dan waswas akan agama- sehingga akhirnya tidak percayakan Allah s.w.t!

AYAT 6- {\”(IAITU PEMBISIK DAN PENGHASUT) DARI KALANGAN JIN DAN MANUSIA\”.} (AN-NAAS 114:6)

  1. Munasabah ayat:
    Yang datang mengajar manusia buat benda tak baik ini adakalanya dari kalangan jin, adakalanya dari kalangan manusia itu sendiri!
  2. Kerana itu Allah sebut syaitan itu dari dua kumpulan; samada jin atau syaitan- orang yang yang jahat dipanggil syaitan sama seperti jin yang jahat.

Syaitan ini satu sifat bagi penjahat, maka jangan marahlah jika orang jahat dipanggil syaitan!!

  1. Kata ulama\’ tafsir waswas itu ada dua kategori iaitu samada waswas:
    i- dari jin yang dok korek dalam hati & dada manusia, ia berjalan melalui saluran darah manusia!

ii- atau manusia yang bawa waswas dengan bisikan & godaan.

  1. Maka Allah s.w.t ajar kita untuk minta perlindungan dari-Nya samada dengan waswas yang zahir dari manusia atau yang tersembunyi dari jin!
  2. Hadis riwayat UM Sofiyyah bt Huyai r.a:
    Pada suatu malam ketika Nabi s.a.w sedang beriktikaf aku datang menghampiri baginda. Setelah puas berbincang-bincang dengan baginda, akupun berdiri untuk pulang. Rasulullah s.a.w ikut berdiri untuk menghantarku.
    Tempat tinggal Sofiah adalah di rumah Usamah bin Zaid.

Tiba-tiba datang dua orang Ansar. Ketika mereka melihat Nabi s.a.w mereka mempercepatkan langkahnya.
Lalu Nabi s.a.w bersabda: \”Perlahankanlah langkahmu. Sesungguhnya ini adalah Sofiyyah binti Huyai. \”
Kedua-dua orang Ansar itu berkata, \”Maha suci Allah, wahai Rasulullah.\”

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: \”Sesungguhnya syaitan itu berjalan pada aliran darah manusia Sebenarnya aku risau ada tuduhan buruk atau yang tidak baik dalam hati kamu berdua.\” [HR Bukhari].

  1. Rasulullah s.a.w tutup terus pintu yang boleh membawa kepada fitnah- tutup pintu sebelum syaitan masuk menyelinap ke dalam hati & pemikiran manusia!
  2. Maka para pendakwah & ustaz, golongan agama yang ada ilmu, lebih-lebih lagi kena jaga diri & pembawaan anda! jangan sampai boleh menjadi bahan fitnah kepada orang yang memang tunggu masa.
    Jaga tingkah laku, tutur kata kita, dengan siapa kita bersama & bermesra, pilih majlis mana yang kita nak hadir, bergambar juga kena berhati-hati jangan sampai menimbulkan fitnah yang kita sendiri beri ruang untuk syaitan memasukkan jarumnya!
  3. Rasulullah saw. bersabda:
    \”Sesungguhnya syaitan akan datang kepada seseorang diantara kamu lalu ia berkata: \”Siapa yang menciptakan kamu?\”
    Lalu dia menjawab: \’Allah\’.
    Kemudian syaitan akan bertanya lagi: Siapakah yang mencipta Allah?
    \”Apabila seorang di antara kamu mendapati hal semacam itu, maka hendaklah dia berkata \”amantu billahi wa rasulih\” (aku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya) dan dengan ucapan itu syaitan itu akan pergi dari dirinya.\” [HR Bukhari & Muslim].
  4. Rasulullah s.a.w ajar kepada kita agar cepat-cepat lari dari & menutup pintu waswas yang syaitan cuba masukkan dalam fikiran kita! Itulah kerja syaitan cuba memesongkan sesiapa saja yang beriman.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.}- pemulaan surah ini lebih-kurang sama dengan surah al-Falaq iaitu kita minta perlidungan dengan Allah s.w.t.

CUMA SEDIKIT PERBEZAAN :i- dalam al-Falaq kita minta perlindungan daripada kejahatan makhluk yang boleh dilihat & nampak samada dari kalangan haiwan, manusia atau penjahat yang zahir seperti pendengki & ahli sihir.

ii- dalam an-Naas kita minta perlindungan daripada kejahatan makhluk yang tersembunyi iaitu syaitan!
Samada dari kalangan jin atau manusia.

TETAPI manusia kita boleh nampak macamana boleh dikatakan tersembunyi?
JAWAPAN :

Ia adalah kejahatan yang tersembunyi- kita nampak dia baik seperti beri cadangan & pujian tetapi semua itu untuk merosakkan- inilah yang dipanggil Talbis Iblis- belitan iblis!

Contoh- hadirkan perasaan riya\’ dalam hati ahli ibadat dengan memuji & membuatkan dia rasa dia lebih baik daripada orang lain, lebih alim & warak- sert yang seumpamanya.

Yakni dalam surah ini Allah s.w.t ajar kepada kita CARA untuk minta perlindungan (at-Ta\’awuz).
Tak perlu minta dengan benda-benda lain yang pelik-pelik, percaya kepada kayu kokka, kayu bahtera nabi Nuh dan seumpamanya.

Bumi kita ini subur dengan kemasukan benda-benda begini kerana masyarakat masih belum begitu mantap dari sudut aqidah- dia masuk melalui ahli ibadat yang sonsang, melalui amalan atau zikir yang pelik-pelik- akhir sekali terjebak dengan ajaran sesat- na\’uzubillah.

Maka kita banyakkanlah minta pertolongan dan perlindungan dengan Allah s.w.t- bacalah selalu tiga surah (3 Qul) ini setiap kali lepas solat fardhu, pagi & petang serta malam sebelum tidur.
Bukan baca saja kena baca & fahami maksudnya & tujuannya.
Inilah tujuan kita talaqqi, belajar tafsir & tadabbur ayat-ayat al-Quran.

  1. Ayat 4- {\”Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam,}- pembisik (ٱلْوَسْوَاسِ) & penghasut (ٱلْخَنَّاسِ) yang tenggelam timbul.

Tidak tersembunyi bagi kita dua sifat yang tidak baik ini, maka kenapa Allah s.w.t kembarkan dua sifat ini; waswas ini dengan khannas?
Ini kerana waswas ini datang dalam bentuk bisikan yang kita tidak nampak!

Manakala khannas pula ia tenggelam timbul ikut kekuatan iman & ibadat kita.

Kerana itu Allah s.w.t ajar kita untuk minta perlindungan makhluk-makhluk yang kita tidak nampak ini.

  1. Ayat 4- {\”Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam,}- timbul persoalan seolah dua sifat yang sama & berulang.
    JAWAPAN :
  2. Kata ulama\’ ia tidak berulang tetapi dua jenis sifat yang jahat, Allah guna perkataan Khannas yang maksudnya rajin menggunakan banyak kesempatan.

Sebab itu ada ulama\’ kata kita kena belajar taktik syaitan- iaitu:
i- apabila mereka sudah niat nak goda seseorang ia tidak akan berputus asa.
Ia akan tunggu walaupun memakan masa berpuluh tahun baru berhasil!

ii- syaitan ini tidak ada cuti- bukan seperti kita manusia yang asyik nak cuti saja!

iii- syaitan tak akan masuk lorong \”No entry\”.
Contoh: bagi ahli ibadat ia tidak akan ajak untuk ke kelab malam, untuk berjudi dan seumpamanya.
Tetapi ia akan masuk melalui penyakit hati pula seperti riya\’, ujub, takabbur dan lain-lain.

Maka kerana itulah kita minta perlindungan dengan Allah s.w.t dari semua ini, samada penyakit waswas atau bisikan khannas syaitan ini!

5. Ayat 5- {\”Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia,}- mainan waswas syaitan yang akan dibisikkan ke dalam hati manusia.

Jenis-jenis godaan syaitan kepada manusia:
i- untuk merosakkan iman kita & penuh dengan keraguan dalam aqidah.

ii- tak berjaya dari segi aqidah dia akan goda untuk buat maksiat.

iii- jika tak berjaya untuk buat maksiat- dia akan hasut pula supaya lemah dalam ibadat!

maksiat tak buat dah, tetapi ibadat juga lemah tak banyak buat!

iv- mauskkan ke dalam hati sifat dengki & dendam. Bermula dari dengki pergi minta pertolongan kepada ahli sihir.
inilah langkah demi langkah yang dibuat syaitan!

Apakah pula penawar bagi melawan hasutan & bisikan syaitan ini???
i- banyakkan zikir kepada Allah s.w.t.

ii- banyakkan minta perlindungan dengan Allah s.w.t.
Antaranya ialah dengan membaca surah 3 Qul (الْمُعَوِّذَات) ini.

iii- kita lawan syaitan & jangan dengar katanya, Insya\’ Allah kita akan selamat!

6. Apakah hikmah Allah s.w.t jadikan 2 surah pelindung ini (الْمُعَوِّذَتان), sebagai penutup al-Quran?

JAWAPAN :

i- al-Quran adalah merupakan sebesar-besar nikmat kepada manusia.

Apabila seseorang dapat nikmat pasti ada orang yang akan dengki!
Maka Allah s.w.t ajar kepada kita untuk minta perlindungan dari segala hasad dengki ini!

Antara cara untuk selamatkan diri kita daripada hasad ialah sembunyikan benda atau rancangan yang kita hajatkan itu.
Apabila kita ceritakan kepada orang, orang yang dengki itu akan potong jalan dan rampas apa yang kita hajatkan itu.

ii- secara zahir yang kita nampak Allah s.w.t akhir al-Quran dengan dua surah ini kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Tidak pernah diturunkan dalam kitab lain samada dalam Taurat atau Injil, surah yang berharga seperti 2 surah dalam al-Quran ini! Iaitu { قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ} & { قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ}.

Juga apabila Rasulullah s.a.w disihir oleh si yahudi Labid, malaikat datang ajar kepada Baginda s.a.w untuk membaca dua surah ini sebagai ruqyahnya sehingga terungkai simpulan sihir itu satu demi satu!‎

Allah s.w.t mulakan al-Quran dengan al-Fatihah sebagai surah yang terbaik dalam al-Quran; lalu Allah s.w.t tamatkan al-Quran dengan ayat-ayat yang amat memberi kesan kepada kehidupan manusia.

iii- zahir juga kepada kita: apabila mahu mula membaca al-Quran Allah perintahkan kita membaca (أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ) iaitu minta perlindungan dengan Allah.

Maka sesuailah juga sebagai penamatnya, Allah sekali lagi ajar kepada kita untuk minta perlindungan dari Allah Azza wa Jalla juga!

Alhamdulillah pada hari yang bahagia ini, dengan nikmat Allah tamatlah kita mengkhatamkan kuliah tafsir al-Quran yang kita mulakan pada tahun 2016- hampir 7 tahun.

Jika tidak kerana Corona mungkin 10 tahun lagi baru khatam!
Dalam musibah ada juga kebaikan yang datang- tetapi kita tidak mahu lagi Corona & segala wabak musibah lain datang!

Doa Khatam al-Quran oleh DDAAM.

تقبل منا ومنكم صالح الأعمال.

WALLAHU A\’LAM

UAM✎Catatan Kuliah Subuh, Jumaat 08 Safar 1445H = 25/08/2023 #


Rakaman Tafsir Surah An-Naas & Doa Khatam.
Link: https://youtu.be/oZTFB_NppY4?si=kRbSe21BeE-TbWUS

Rakaman Penerangan Tentang MMPSD Dan Majlis Ramah Mesra Dr Abu Anas Madan & Para Pencinta Ilmu Yang Hadir.
Link: https://youtu.be/hEWJ-BKG7uU?si=IHcdNtcp7c4bWCkU

Powered by BetterDocs