SURAH AZ-ZUKHRUF : AYAT 33-35

\"\"

KECILNYA NILAI DUNIA DI SISI ALLAH, RAHMAT ALLAH TIDAK BERI KEMEWAHAN KEPADA SEMUA & NIKMAT KEKAL BAGI MUTTAQIN.

Full video : https://youtu.be/BD6CZMVs1Ro

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan betapa kecil, hina dan tidak bernilainya dunia di sisi Allah s.w.t. tetapi ia begitu penting kepada kita sebagai tempat untuk mencari bekalan di Akhirat kelak.
  2. Pintu rahmat dan rezeki Allah s.w.t itu terhad. Bukan semua orang diberikan kan kesenangan dan kemewahan, Tetapi bagi orang yang bertaqwa jangan bimbang, sabar sedikit atas dunia ini, Allah s.w.t akan membalasnya di Akhirat kelak dengan pahala dan nikmat yang begitu besar dan berganda-ganda!
  3. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t menyatakan bahawa ada kalangan manusia ini yang membesarkan harta-benda dan kekayaan. Bagi mereka orang yang kaya dan berkedudukan besarlah yang sepatutnya menjadi nabi dan rasul. Itulah standard mereka, pandangan mereka tentang harta dan keduniaan, mereka lansung tidak mempedulikan kebersihan dan kesucian jiwa.
  4. Maka Allah s.w.t membatalkan fahaman materialistik ini yang menganggap manusia mendapat kemuliaan dengan sebab harta; dengan firman-Nya ini:
    i- Firman Allah s.w.t: {Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara keruhanian dan keagamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad)}. (Az-Zukhruf 43:32)

ii- {Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.} (Az-Zukhruf 43:32)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t beritahu kepada kita bahawa bukanlah harta benda, kekayaan dan pangkat itu menjadi ukuran. Ini kerana Allah s.w.t beri nikmat-Nya kepada kedua-dua golongan yang dia sayang dan tidak sayang.
    Bukan menjadi syarat dan mencu tanda orang kaya itu Allah sayang. Bahkan lagi kaya lagi tinggi ujiannya, adakah makin sedar diri atau makin angkuh sebagaimana Qarun yang binasa. Berapa ramai orang kafir yang kaya tetapi mereka tidak ada bahagian di Akhirat kelak!
  2. Allah memberi kefahaman bahawa seseorang itu kaya dan senang BUKAN kerana Allah sayang dan redha kepadanya. Allah memberi nikmatnya kepada semua, samada yang beriman atau yang kufur. Dunia ini kecil, orang kafir boleh milik, orang beriman juga boleh memilikinya! Inilah timbang-taranya, ada billionare kafir ada juga billionare muslim.
  3. Cuma orang kafir tidak akan ada apa-apa bahagiannya di Akhirat kelak!
    Tetapi bagi orang beriman, Allah besarkan dan tekankan tentang pahala dan balasan nikmat yang mereka akan dapat di Akhirat kelak yang tidak ada bandingannya dengan dunia yang kecil, hina dan tiada nilainya di sisi Allah s.w.t!
  4. Peringatan bagi orang yang beriman, nikmat dan rahmat Tuhan kamu itu lebih besar dari segala isi dunia ini. Kunci dan gedung dunia itu di bawah kuasa dan milik Allah s.w.t!

AYAT 33- {DAN KALAULAH TIDAK KERANA MANUSIA AKAN MENJADI UMAT YANG SATU (DALAM KEKUFURAN), NESCAYA KAMI JADIKAN BAGI ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR KEPADA TUHAN YANG MAHA PEMURAH, BUMBUNG RUMAH-RUMAH MEREKA DARI PERAK, DAN TANGGA-TANGGA YANG MEREKA NAIK TURUN DI ATASNYA (DARI PERAK JUGA),} (AZ-ZUKHRUF 43:33)

  1. Kata Allah dalam ayat ini, jikalah kerana Dia tidak suka dan tidak mahu semua umat ini menjadi kafir semuanya, nescaya Allah s.w.t akan berikan kepada mereka nikmat kekayaan dan kemewahan yang lebih ada dari yang sedia ada ini, kepada semua manusia yang kufur.
  2. Iaitu kemewahan yang contohnya rumah yang atap dan tangganya daripada perak yang begitu berharga dan tinggi nilainya.
    Ini menggambarkan kepada kita bahawa bangunan-bangunan pencakar langit itu adalah tanda kemewahan.
  3. Atas dunia ini, dengan kehendak Allah s.w.t., kekayaan dan kemewahan ini boleh dimiliki oleh dua-dua golongan, samada yang kufur atau yang beriman.
    Mereka yang tidak terpedaya dengan dunia akan menggunakan dunia ini sebagai jambatan dan tempat menuai kebajikan untuk Akhirat.
  4. Bukan syarat untuk menjadi kaya itu kena kufur kepada Allah. Berapa ramai orang muslim yang memiliki kekayaan, yang memperuntukkan harta dan umurnya untuk infaq fi sabilillah dan jalan dakwah. Mereka inilah orang yang tidak terpedaya dengan dunia tetapi menggunakannya untuk menuju ke akhirat.
  5. Kena ingat atas dunia ini kita akan diuji samada dengan kekayaan dan kemasyhuran ATAU dengan kemiskinan dan kesusahan.

AYAT 34- {DAN JUGA PINTU-PINTU RUMAH MEREKA (DARI PERAK JUGA), DAN KERUSI-KERUSI PANJANG YANG MEREKA BERBARING DI ATASNYA (DARI PERAK JUGA),} (AZ-ZUKHRUF 43:34)

  1. Allah beri gambaran lagi akan kemewahan tempat tinggal atau rumah-rumah itu ialah pintu yang megah dan indah daripada perak, serta kerusi-kerusi panjang (divan) untuk mereka berteleku rehat di atasnya.

AYAT 35- {SERTA BERBAGAI BARANG PERHIASAN (KEEMASAN). DAN (INGATLAH), SEGALA YANG TERSEBUT ITU TIDAK LAIN HANYALAH MERUPAKAN KESENANGAN HIDUP DI DUNIA; DAN (SEBALIKNYA) KESENANGAN HARI AKHIRAT DI SISI HUKUM TUHANMU ADALAH KHAS BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.} (AZ-ZUKHRUF 43:35)

  1. Serta pelbagai barang perhiasan yang indah-indah dan mewah lagi. Tetapi ingatlah semuanya hanyalah kesenangan yang sementara (مَتَاعُ الْحَيَاةِ) atas dunia ini.
  2. Kata Imam al-Mawardi, maksudnya perhiasan (زُخْرُفًا) itu ada 3 makna:
    i- perhiasan daripada emas atau perak.
    ii- hamparan permaidani yang gebu.
    iii- ukiran yang indah.
  3. Begitulah dunia ini amat indah dan menarik, pasti akan membuat hati kita tertarik dan tergoda. Tetapi jika kita ingat akan kubur yang akan kita diami selepas mati nanti, insya\’ Allah akan mengurangi rasa tamak dan haloba ini.
  4. Dunia ini hanya sementara, maka janganlah kamu terpedaya dan terpengaruh dengannya. Apabila kita mati semua akan ditinggalkan menjadi milik orang lain, hanya beberapa ketika saja kita dapat guna dan nikmatinya.
  5. Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
    الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ، وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
    \”Dunia (adalah) penjara bagi Mukmin dan syurga bagi kafir.\” [HR Muslim no. 2956].

Yakni kita sebagai seorang mukmin ini banyak benda tersekat atas dunia ini, yang ini haram, yang ini makruh, ini wajib buat wajib tinggalkan dan lain-lain hukum Syari\’at.
Manakala orang kafir bebas melakukan apa saja ikut kehendak dan nafsunya.

  1. Kisah Ulama\’ hadis yang besar, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dengan seorang yahudi:
    Imam al-Munawi dalam mensyarahkan hadis ini dalam Faid al-Qadhir (3/546), telah menyebut sebuah kisah yang diambil daripada para ulama: \”al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika dia menjadi Ketua Qadhi di Mesir.
    Pada suatu hari beliau dan rombongannya berjalan melintasi sebuah pasar yang ramai orang. Mereka menunggang haiwan kenderaan yang besar, cantik lagi mengagumkan dengan pakaian dan perhiasan yang indah.
    Tiba-tiba meluru ke arahnya seorang lelaki Yahudi, penjual minyak biji rami. Pakaiannya kotor dengan minyak, dan kelihatan semakin lusuh dan buruk. Dia lantas memegang tali kekang baghal Imam Ibn Hajar dan berkata:
    \”Wahai Syeikh al-Islam! Engkau mendakwa bahawa Nabi kalian berkata: \”Dunia itu penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir,\” lantas, penjara mana yang engkau berada sekarang? Dan syurga mana yang aku berada sekarang?\”
    Jawab Ibn Hajar: \”Aku jika dibandingkan apa yang Allah janjikan bagiku di akhirat nanti daripada kenikmatan syurga, seakan aku sekarang berada di penjara, manakala engkau pula, jika dibandingkan dengan apa yang Allah janjikan bagi engkau di Akhirat, seolah-olah sekarang engkau berada dalam syurga.\” Lalu Yahudi itu masuk Islam.
  2. Akhirnya Allah tegaskan bahawa orang yang bertaqwa, menjauhi segala larangan dan benda buruk dalam agama, ikut perintah Allah, akan selamat di dunia dan berbahagia Akhirat kelak, insya\’ Allah.
    Dunia ini persiapan untuk Akhirat, syurga kita di sana kelak.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 33- {Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak, dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga),}- kata ulama\’ dalam ayat ini menyatakan kepada kita bahawa dunia ini nilainya tiada apa di sisi Allah s.w.t.

Sebagaimana hadis-hadis Rasulullah s.a.w:
i- Rasulullah SAW bersabda: \”Perumpamaan dunia dengan akhirat adalah kalian mencelupkan jari kalian ke laut, kemudian diangkat, lihatlah dunia hanya air yang ada di jari tersebut.\” (HR Muslim).

ii- Sabda Rasulullah s.a.w:
لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللهِ جَنَاحَ بَعُوْضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ
\”Seandainya dunia punya nilai di sisi Allah walau hanya menyamai nilai sebelah sayap nyamuk, niscaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir seteguk airpun.\” (HR At-Tirmizi no. 2320)

Semua ini sebagai peringatan kepada kita bahawa dunia ini kecil maka jangan lekat dan ikatkan pergantungan hati kita dengan dunia.

Rasulullah SAW bersabda: \”Pada hari akhirat kelak manusia akan berkata, Inilah harta bendaku! Padahal tidak ada apa yang diperolehnya di dunia kecuali tiga perkara: Yang ia makan akan keluar dari tubuhnya menjadi kotoran. Yang ia pakai akan menjadi rosak. Yang disedekahkan akan menjadi kebaikan yang kekal baginya.\” [HR Muslim].

Di akhir ayat Allah s.w.t berkata: {dan (sebaliknya) kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertaqwa.}
Ayat ini menggalakkan kita supaya menjadi orang yang bertaqwa.
Ya Allah jadikanlah kami dari golongan yang bertaqwa yang melayakkan kita menjadi ahli syurga-Mu.

  1. Ayat 33- {Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak, dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga),}- yakni jika Allah s.w.t bagi kemewahan kepada semua orang kafir maka dikhuatiri akan menimbulkan perasan dengki dan mempengaruhi orang mukmin untuk menjadi kufur juga.

Maka timbul persoalan:- Kenapa tidak sebaliknya, yakni kenapa Allah tidak beri kemewahan kepada orang Islam sehingga memberi pengaruh kepada orang kafir lalu masuk Islam juga?

Jawapan: Kata Imam ar-Razi jika andaian ini berlaku, maka manusia akan masuk Islam kerana hendak kaya atau kerana dunia. Maka ini adalah iman munafik, masuk Islam bukan kerana kesedaran iman tetapi kerana hendak barang atau dunia. Ada yang kerana nak kahwin, harta, kekayaan dan lain-lain habuan dunia, maka ini adalah satu kerosakan.
Amat menarik jawapan kepada perbahasan ini!

  1. Ayat 33- {Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak, dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga),}- ayat ini menjadi dalil bahawa Allah s.w.t menyekat rezeki sebahagian manusia itu, ada yang sihat ada yang sakit, ada yang kaya ada yang miskin. Ini untuk kemaslahatan manusia itu sendiri, agar masing-masing saling perlu-memerlukan dan bekerjasama dalam hidup atas dunia ini. Tidak semestinya orang kaya itu semuanya orang kafir dan sebaliknya juga.

Contoh dalam sejarah Islam sendiri pada masa Rasulullah s.a.w ada beberapa sahabat yang kaya-raya seperti menantu Rasulullah s.a.w sendiri iaitu Usman bin Affan r.a, Abdur Rahman bin Auf r.a dan lain-lain.
Abu Hurairah r.a pula mewakili contoh golongan sahabat yang miskin dan zuhud. Jadi dua-dua jenis ada.

  1. Ayat 33- {Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak, dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga),}- ayat ini menjadi dalil bahawa Allah s.w.t tutup pintu yang boleh menjadi sebab membuatkan manusia menjadi kafir semuanya. Maka diberinya lorong-lorong yang boleh membawa kepada keimanan dan kekufuran. Inilah ketetapan SunnatulLah atas dunia ini.
    Bagi setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya dan yang betul-betul memberinya ialah Allah s.w.t.
  2. Ayat 35- {Serta berbagai barang perhiasan (keemasan). Dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia;}- Allah s.w.t namakan dunia ini sebagai perhiasan hidup, mata benda (مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا).
    Dinamakan segala perhiasan kekayaan, pangkat harta-benda, anak pinak sebagai (مَتَاعُ) iaitu benda yang kita berseronok dan berhibur dengannya sekejap.
    Ini kerana manusia hanya berseronok dan menggunakannya sekejap dan seketika sahaja, kemudian ia akan hilang dan musnah.

Kata AAM: Kita dengan dunia ini hanya du,a samada;
i- kita akan meninggalkan dunia; iaitu kita mati.
ii- dunia meninggalkan kita kerana ia musnah atau rosak.

Adapun akhirat itu kekal abadi di sisi Allah s.w.t, khas bagi orang yang bertaqwa, yang akan layak menerima semua kelebihan dan kedudukan syurga itu.

Ya Allah jadikanlah kami ahli syurga dan semua yang dapat mendekatkan kepadanya.

Powered by BetterDocs