SURAH AZ-ZUKHRUF : AYAT 51-56

\"\"

FIR\’AUN MEMPERBODOHKAN KAUMNYA, FIR\’AUN MENGHINA NABI MUSA & ALLAH S.W.T BINASAKANNYA DALAM LAUT.

Full video : https://youtu.be/IxJGdUp0UIo

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah ceritakan tentang Firaun yang memperbodohkan akal kaum pengikutnya. Firaun juga menghina dan memperlekehkan nabi Musa a.s.
  2. Lalu Allah musnahkan dia dengan keangkuhannya, dibinasakan seperti itu juga. Dia bangga dengan sungai yang mengalir di bawah istananya, lalu Allah tenggelamkan dia, mati lemas dalam Laut Qulzum (بحر القُلْزُم) atau dipanggil Laut Merah sekarang ini.
  3. Begitulah Sunnatullah, siapa yang sombong dengan sesuatu akan dimusnahkan dengan perkara itu. Sesiapa yang derhaka kepada Allah akan dimusnahkan apabila tiba saat yang ditetapkannya.
  4. Kesombongan tidak akan memberi keselamatan, nak selamat kita tawadhuk dan ikut perintah Allah s.w.t, kita akan selamat insya\’ Allah!
  5. Munasabah ayat ini: Dalam siri yang lepas Allah cerita beberapa bala dan ujian yang telah dicampakkan ke atas Firaun dan kaumnya. Sehinggakan mereka terpaksa memangil Musa a.s dengan panggilan kehormat (السَّاحِرُ), mengakuinya sebagai nabi dan memintanya untuk berdoa agar dihilangkan bala itu daripada mereka.
  6. Mereka juga berjanji jika hilang akan ikut ajaran Musa a.s. sedangkan mereka tidak bersedia untuk ikut Musa a.s, cuma sebagai usaha mereka untuk melepaskan diri dari bala. Lalu sanggup berjanji apa saja pada waktu terdesak itu!

AYAT 51- {DAN FIRAUN PULA MENYERU (DENGAN MENGISYTIHARKAN) KEPADA KAUMNYA, KATANYA: \”WAHAI KAUMKU! BUKANKAH KERAJAAN NEGERI MESIR INI – AKULAH YANG MENGUASAINYA, DAN SUNGAI-SUNGAI INI MENGALIR DI BAWAH (ISTANA) KU? TIDAKKAH KAMU MELIHATNYA?} (AZ-ZUKHRUF 43:51)

  1. Untuk menjauhkan kaumnya dari terpengaruh dengan ajaran nabi Musa a.s Firaun menunjukkan kekuasaan dan kekayaannya, mengaku menguasai kerajaan negeri Mesir dan sungai-sungai yang mengalir di bawah istananya.
  2. Dia menekankan kepada mereka, tidakkah kamu melihatnya, kekayaan dan pengaruhku? Tidakkah kamu sedar akan kekuasaanku dan tiada siapa yang dapat lawan aku!
  3. Kaum Firaun ialah kaum Qibti, manakala kaum nabi Musa a.s ialah bani Israil! Jadi untuk menjaga kaumnya daripada mengikut dakwah nabi Musa a.s, Firaun menayang dan mempamerkan kekuasaanya.

AYAT 52- {\”BAHKAN BUKANKAH AKU LEBIH BAIK DARIPADA ORANG YANG HINA KEADAANNYA INI, DAN YANG HAMPIR-HAMPIR TIDAK DAPAT MENJELASKAN PERKATAANNYA?} (AZ-ZUKHRUF 43:52)

  1. Selepas itu Firaun mula menyerang pribadi nabi Musa a.s. Begitulah apabila mereka tidak berjaya selepas menunjukkan kekuatan dan kuasa, mereka serang pula sosok lawan itu.
  2. Firaun mengata dan menghina nabi Musa a.s:
    i- menghinanya sebagai seorang yang lemah dan tiada pengikut & kuasa.
    ii- anak pungut yang miskin dari keturunan hamba (bani Israil) yang hina.
    iii- seorang yang gagap lidah dan gugup, tidak fasih dalam percakapannya.
  3. Memang betul pada awalnya nabi Musa a.s seorang yang gugup dan tidak fasih bercakap, tetapi nabi Musa telah berdoa kepada Allah s.w.t meminta beberapa perkara seperti dalam firman Allah s.w.t ini:
    {Nabi Musa berdoa dengan berkata: \”Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; (Taha 20:25)
    \”Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; (Taha 20:26)
    \”Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, (Taha 20:27)
    \”Supaya mereka faham perkataanku; (Taha 20:28)
    \”Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. (Taha 20:29)
    \”Iaitu Harun saudaraku; (Taha 20:30)
    \”Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku,,(Taha 20:31)
    \”Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, (Taha 20:32)
    \”Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu, (Taha 20:33)
    \”Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu; (Taha 20:34
    \”Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami\”. (Taha 20:35)
  4. Lalu Allah menjawab doa permohonan Nabi Musa a.s yang amat zuhud ini, yang bukan hanya meminta kekuatan dunia tetapi juga supaya boleh sentiasa bertasbih dan banyak berzikir mengingati Allah s.w.t, dengan firman-Nya:
    {Allah berfirman: \”Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa!} (Taha 20:36)
    *Itulah senjata yang paling kuat selain dari senjata fizikal & tentera yang gagah ialah bertasbih dan banyak mengingati Allah s.w.t! Yakni kena ada dua-dua senjata fizikal & spiritual, ruhaniyyah juga!
  5. Kata Ibnu Jauzi: Yakni antaranya Allah telah hilangkan simpulan lidah nabi Musa a.s dan menjadikan seorang yang fasih dalam percakapannya. Tetapi Firaun masih gunakan kelemahan lama Musa a.s itu sebagai salah satu hujjahnya.
  6. Cerita Israiliyyat: Bahawa semasa bayi, apabila diuji oleh Firaun, Musa a.s makan bara api yang menyebabkan lidahnya terbakar lalu lidahnya tidak fasih; adalah tidak sahih.

AYAT 53- {\”(KALAU BETUL IA SEORANG RASUL) MAKA SEPATUTNYA IA DIPAKAIKAN (OLEH TUHANNYA) GELANG-GELANG EMAS (YANG MENANDAKAN IA SEORANG PEMIMPIN), ATAU DATANG MALAIKAT BERSAMA-SAMA DENGANNYA (SEBAGAI SAKSI TENTANG KEBENARANNYA)?\”} (AZ-ZUKHRUF 43:53)

  1. Penghinaan yang seterusnya Firaun kepada nabi Musa a.s ialah tiada kekayaan harta dan pengikut. Jika betul dia seorang rasul mana perhiasan dan pengawalnya.
  2. Ini kerana menurut adat kaum Firaun apabila seseorang itu dilantik menjadi seorang pembesar atau pemimpin maka ia akan dipakaikan gelang-gelang emas. dikalungkan dengan rantai leher. Zaman ini pula lambang kebomohan dengan memakai tasbih-tasbih yang besar dileher pula!
  3. Kata al-Biqa\’i: Pakaian-pakaian ini tanda kemegahan dan kekuasaan seseorang, hanya hamba-hamba yang kosong tanpa perhiasan dan kemegahan.
  4. Kata Firaun lagi; atau ia akan diiringi oleh para malaikat yang akan menjadi saksi kebenarannya. Kata al-Mawardi; Yakni biar ada malaikat yang berjalan sekali mengiringi Musa a.s.

AYAT 54- {(DENGAN YANG DEMIKIAN), MAKA FIRAUN MEMPERBODOHKAN KAUMNYA, LALU MEREKA MEMATUHINYA; SESUNGGUHNYA MEREKA ITU ADALAH KAUM YANG FASIK – DERHAKA.} (AZ-ZUKHRUF 43:54)

  1. Firaun telah memperbodohkan kaumnya agar terus taksub dan mengikut segala perintahnya.
  2. Sama dengan ajaran sesat zaman sekarang ini yang mengatakan pengikutnya tidak boleh menggunakan akal dalam taksub kepada ketua mereka! Banyak amalan khurafat yang karut sekarang ini. Kerana itu kita wajib mempertahankan ajaran Rasulullah s.a.w, ikut apa yang diajarnya, jangan memperbodohkan akal manusia dengan ikut apa yang tidak diajar oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih.
  3. Lalu mereka terus taat dan ikut Firaun, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik – derhaka.
  4. Mengikut satu kisah Israiliyyat dalam kitab Tafsir: Firaun telah memberi kaumnya al-Qibti, makan kacang pool atau foul selama 40 hari. Kemudian cukup 40 hari Firaun yang memakai baju yang berlengan luas cuba menguji mereka dengan berkata sambil mengangkat tangannya yang memegang lengan bajunya lalu berkata: Aku Tuhan kum (أَنَا رَبُّكُمُ)
    -kum- dalam bahasa Arab bererti lengan atau boleh juga kamu semua.
    Tetapi kaumnya yang sudah diperbodohkan tadi apabila mendengar \’KUM\’ menyangka Firaun mengaku tuhan mereka, lalu terus sujud kepadanya!
  5. Tetapi sudah cukup bagi kita kisah-kisah yang Allah s.w.t sebutkan dalam al-Quran tentang Firaun yang memperbodohkan kaumnya! Juga bagaimana mereka begitu taat dan patuh kepadanya lalu menjadi kaum yang fasik dan derhaka!

AYAT 55- {SETELAH MEREKA MENYEBABKAN KEMURKAAN KAMI (DENGAN PERBUATAN DERHAKA ITU), KAMI MENYEKSA MEREKA, IAITU MENENGGELAMKAN MEREKA SEMUANYA DI LAUT (SEHINGGA BINASA).} (AZ-ZUKHRUF 43:55)

  1. Kerana Firaun buat benda jahat, syirik dan takabbur mereka telah menyebabkan kemurkaan Allah s.w.t.
  2. Maka dengan perbuatan derhaka dan keangkuhan mereka itu maka Allah s.w.t siksa mereka, tenggelamkan Firaun dan semua pengikutnya, dan tiada seorang pun yang selamat.
  3. Yakni apabila Firaun langgar perintah Allah dan tidak mahu terima dakwah nabi Musa a.s maka terjadi tiga perkara:
    i- Allah murka ke atasnya (انْتَقَمْنَا).
    ii- Allah binasakan mereka dengan tenggelamkan mereka semuanya (فَأَغْرَقْنَاهُمْ).
    iii- Dia disimpan dijadikan pengajaran kepada orang yang orang selepasnya
    (فَجَعَلْنَاهُمْ سَلَفًا وَمَثَلًا لِلْآخِرِينَ).
  4. Persoalan; yang angkuh dan sombongnya Firaun, tetapi kenapa kaumnya tenggelam dan binasa sekali?
    Begitulah betapa bahayanya apabila bersekongkol, mendokong dan menyokong orang yang zalim, kerana apabila ditimpakan azab, semuanya akan kena!
  5. Maka kita hari ini juga jangan berani sekali-kali menyokong orang zalim, jika tidak akan disentuh oleh api neraka sekali bersamanya.

AYAT 56- {MAKA KAMI JADIKAN MEREKA CONTOH DAN PENGAJARAN BAGI ORANG-ORANG YANG DATANG KEMUDIAN.} (AZ-ZUKHRUF 43:56)

  1. Lalu mereka ini menjadi pengajaran dan iktibar kepada orang-orang selepasnya.
  2. Maka jika kita nak selamat jangan ikut gaya dan sikap Firaun dan orang terdahulu yang angkuh sombong dan keras kepala. Jangan baca saja kisahnnya tetapi ambillah pengajaran dan iktibar!
  3. Kata ulama\’: Orang yang bahagia dan bijak ialah yang mengambil iktibar dan pengajaran dari apa yang terjadi kepada orang lain, bukan yang dijadikan iktibar dan pengajaran oleh orang lain!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 51- {Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: \”Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya?}- Firaun sombong dan berbangga dengan kekayaannya dan air-air sungai di bawah istananya. MAKA Allah s.w.t binasakan dia dengan AIR juga.
    Ini supaya kita tahu sesiapa yang bangga dirinya dengan sesuatu benda maka dia akan mati di situ! Berapa banyak contoh sebegini telah berlaku, maka kita ambil iktibar agar jangan sombong dalam semua perkara, bertawadhuk kepada Allah, jangan angkuh atas dunia ini.
    Firaun dengan air, Qarun tenggelam dengan hartanya.
  2. Ayat 52- {\”Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?}- Firaun telah menghina nabi Musa a.s a.s dengan mengatakannya orang yang lemah, miskin, gagap dan sebagainya. Begitulah orang-orang yang angkuh dia sombong dan tak sedar bahawa dia juga manusia yang lemah, tetapi apabila mahu menjatuhkan orang lain dia akan cari kelemahan orang dan serang peribadi. Kita tidak tahu apa akan terjadi kepada kita pada masa depan, maka jangan mudah untuk mengejek dan mentertawakan orang yang lemah atau jatuh.

Apabila nabi Musa a.s berdoa agar Allah menghilangkan kegugupan lidahnya dalam ayat di atas tadi & Allah s.w.t juga telah menerima doanya dan menghilangkan kegagapannya, tapi kenapa Firaun masih gunakan hujjah ini dalam menghina nabi Musa a.s?

Kata ulama\’ tafsir ada beberapa jawapannya:
i- maksud Firaun hujjah Musa a.s itu yang tak jelas dan tidak mantap. Bukan lidahya yang gagap.
ii- Firaun menghina Musa a.s dengan sejarah yang lama. Walaupun sekarang lidahnya sudah fasih. Guna cerita lama untuk menghina dan mengungkit kelemahan.
ii- Firaun itu bohong dan dusta semua perkataannya. Walaupun Musa a.s seorang yang fasih dan lancar tetapi dia tetap cuba menghina dan merendahkan Musa a.s dengan tuduhan dan hinaan yang dibuatnya.

  1. Ayat 55- {Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami (dengan perbuatan derhaka itu), Kami menyeksa mereka, iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut (sehingga binasa).}- ayat ini menunjukkan apabila manusia itu lawan, Allah s.w.t akan murka. Tetapi bagaimana kemurkaan dan kemarahan-Nya tidak sama dengan kemarahan makhluk, kita tidak perlu fikir dan khayalkannya.

Allah juga beritahu dalam ayat ini Firaun itu akan melalui tiga fasa, setelah Allah murka, Allah akan binasakan dia! Kemudian dia akan dijadikan sebagai satu bahan iktibar dan pengajaran kepada kaum yang datang selepasnya.

  1. Ayat 55- {Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami (dengan perbuatan derhaka itu), Kami menyeksa mereka, iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut (sehingga binasa).}- Allah jadikan setiap benda itu ada sebabnya. Kerana Firaun sombong dan bangga dengan air, maka Allah tenggelamkan dia dalam air, Qarun oleh kerana dia bangga dan sombong dengan hartanya, maka dia binasa dengan tenggelam bersama hartanya. Begitu juga, berapa ramai pembesar lain yang zalim, angkuh dan sombong atas dunia ini, Allah binasakan dengan sebab keangkuhan mereka sendiri.

Kata para ulama\’ tafsir; ayat ini hendak menyatakan sebab (إثبات الأسباب).
Macam kita nak mati dengan apa, dengan Husnul-Khatimah insya\’ Allah, maka banyakkan berdoa & buat amal kebaikan. Nak mati dengan ucapan akhir kalimah \”La ilaha illa Allah\” (لا إله إلا الله), maka ambillah sebab, biasakan dan basahkan lidah kita dengan ucapan syahadah itu, bukan sebaliknya. Maka insya\’ Allah ucapan terakhir kita adalah kalimah (لا إله إلا الله).

  1. Ayat 53- {\”(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?\”}- ulama\’ tadabbur kata cerita Fir\’aun ini sama dengan cerita puak Quraisy yang membantah kenapa Nabi Muhammad yang dipilih menjadi Rasul. Kenapa al-Quran tidak diturunkan kepada pembesar Makkah atau Taif pilihan mereka yang kaya dan ternama?

Walaupun begitu, kata ulama\’;
i- kalimah kaum Quraisy lebih beradab dalam menghina dan mempelekehkan Rasulullah s.a.w kerana dia adalah dari bangsa keturunan mereka juga. Keluarga Rasulullah s.a.w pun terdiri dari mereka yang mulia dan pembesar juga seperti Abu Talib, isterinya Khadijah r.a juga seorang bangsawan Quraisy.

ii- manakala Firaun amat angkuh sombong dan menghina nabi Musa a.s dengan sepenuh penghinaan, kerana Musa a.s adalah bekas anak angkatnya serta dari keturunan bani Israil yang menjadi hamba mereka.

Lalu Allah s.w.t binasakan Firaun dan kaumnya tenggelam dalam laut, manakala para pembesar Quraisy ini, Abu Jahal dan gengnya mati dalam peperangan Badar di hadapan Rasulullah s.a.w, kecuali Abu Sufyan yang akhirnya memeluk Islam setelah 20 tahun menentang Islam dan Rasulullah s.a.w.

Kesimpulan dari kisah ini ada dua perkara:
i- puak kafir guna hujjah menghina, memperlekeh dan memperkecilkan dan memperbodohkan orang untuk menjatuhkan orang lain.
ii- Firaun yang mempunyai keangkuhan dunia semata-mata, Allah hina dia dengan keangkuhannya itu.

Maka kita berhati-hatilah kerana kata pepatah Arab:
Sesiapa yang suka menggali lubang untuk menjatuhkan orang lain;
kemungkinan dia sendiri yang akan jatuh ke dalam lubang itu.
Maka berhati-hatilah dalam berniat jahat kerana dunia ini berputar.

Kita ambillah pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman Firaun, zaman Abu Jahal dan zaman kita ini juga, sesiapa yang cuba menjatuhkan orang lain tanpa hak, maka dia sendiri akan jatuh juga nanti. Jangan angkuh dan sombong atas dunia ini, insya\’ Allah kita akan selamat.

Powered by BetterDocs