SURAH FATHIR : AYAT 44-45

\"\"

PENGEMBARAAN MENCARI IBRAH, RAHMAT ALLAH MEMBERI MASA BERTAUBAT & AJAL MAUT TIDAK BOLEH DITUNDA.

Full video : https://youtu.be/U-F6-3OdtMs

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah ini adalah siri terakhir bagi surah Fathir, siri ke-13 dengan ayat ke 44 & 45.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t minta kita mengembara di atas muka bumi untuk mencari ibrah pengajaran terhadap apa yang telah berlaku kepada umat terdahulu yang telah dibinasakan akibat kekufuran mereka terhadap Allah dan Rasul-Nya.
  3. Maka ambil peringatan, iktibar dan pengajaranlah, agar kamu tidak menerima nasib yang sama seperti mereka.
    Maka agar selamat jangan buat perkara yang boleh membinasakan kamu sendiri.
  4. Salah faham puak kafir yang amat besar, yang mengatakan bahawa Allah s.w.t tidak berkuasa untuk kembalikan hidup mereka atau untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan yang mereka lakukan. Ini menyebabkan mereka berani lawan Allah s.w.t dan Rasul, maka kita yang beriman jangan ikut perangai mereka ini!
  5. Rahmat Allah s.w.t sangat luas terhadap hamba-hamba-Nya, diberi tempoh dan ditangguhkan hukuman ke atas mereka yang berbuat silap dan dosa, agar mereka kembali bertaubat kepada Allah s.w.t atau mereka akan menerima kebinasaan.

AYAT 44- { (DAN SEBAGAI BUKTINYA): TIDAKKAH ORANG-ORANG (YANG TIDAK MAHU BERIMAN) ITU TELAH MENGEMBARA DI MUKA BUMI, LALU MEREKA MENYAKSIKAN BAGAIMANA KESUDAHAN ORANG-ORANG KAFIR YANG TERDAHULU DARI MEREKA, SEDANG ORANG-ORANG ITU LEBIH KEKUATANNYA DARI MEREKA? DAN (SUDAH TETAP) BAHAWA KEKUASAAN ALLAH TIDAK DAPAT DILEMAHKAN ATAU DIHALANGI OLEH SESUATUPUN SAMA ADA DI LANGIT ATAU DI BUMI; SESUNGGUHNYA IA ADALAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA KUASA.} (FATHIR 35:44)

  1. Tidakkah mereka kaum kafir Quraisy itu semasa rehlah mereka berjalan di bumi, melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka yang mendustakan rasul, bagaimanakah Allah menghancurkan mereka.
  2. Yang dimaksudkan dengan rehlah mereka kaum Quraisy ini ialah mereka keluar berdagang pada musim sejuk ke Yaman dan pada musim panas ke Syam, lalu mereka akan melalui kesan-kesan peninggalan kaum Ad dan Thamud dalam perjalan itu. Boleh lihat terjemahan surah Quraisy keseluruhannya.
  3. Tujuan Allah s.w.t suruh berjalan dan mengembara ini supaya mereka mengambil pengajaran, iktibar dengan apa yang Allah s.w.t timpakan kerana dosa mereka!
    Lalu supaya mereka insaf dan berhati-hati agar tidak menerima nasib yang sama. Yakni kitapun begitu tengok dengan ibrah, dengan mata yang befikir bagaimana jika Allah s.w.t mahu memusnahkan seluruh harta benda manusia itu dengan sekelip mata sahaja! Bukan hanya tengok dengan mata kamera dan berselfie!
  4. Sedangkan orang-orang itu lebih besar kekuatannya dari mereka, memiliki senjata dan bilangan tentera yang kuat. Mereka juga memiliki banyak pengikut dan anak yang menyokong mereka. Tetapi Allah berkuasa membinasakan mereka kerana mendustakan rasul-Nya.
  5. Begitulah dunia ini hanya pinjaman, kita dengan dunia ini samada ia meninggalkan kita dengan diambil kembali apa yang kita milik dengan sekejap sahaja; atau kita akan mati meninggalkannya dulu.
  6. Ayat ini dan dua ayat terdahulu sebelumnya menegaskan bahawa orang kafir itu suka berdusta dan percakapan mereka tidak dapat dipercayai.
  7. Firman Allah s.w.t dalam ayat lain yang lebih kurang sama:
    {Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah. (Kebinasaan mereka) yang demikian ialah kerana mereka sentiasa didatangi Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (hukum-hukum dan mukjizat) yang jelas nyata, maka mereka kufur ingkar, lalu Allah menyeksa mereka, sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat lagi Maha berat azab siksa-Nya.} (Ghaafir 40: 21 & 22)
  8. Apabila Allah s.w.t hendak membinasakan orang kafir tiada apa samada di langit atau di bumi yang dapat menghalangnnya!
  9. Yakni semua kekuatan dan kekayaan mereka itu tidak dapat memberikan manfaat apa pun kepada mereka, tidak juga dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah sedikitpun, apabila azab Allah datang menimpa mereka. Apatah lagi kaum Quraisy yang begitu lemah dan tiada kekuatan berbanding dengan mereka yang terdahulu!
  10. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan firman-Nya; Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui semua makhluk yang ada, lagi Mahakuasa atas kesemuanya.

AYAT 45- {DAN KALAULAH ALLAH MENGIRAKAN KESALAHAN MANUSIA SERTA TERUS MENYEKSA MEREKA DISEBABKAN AMAL-AMAL JAHAT YANG MEREKA TELAH KERJAKAN, TENTULAH LA TIDAK MEMBIARKAN TINGGAL DI MUKA BUMI SESUATU MAKHLUK YANG BERGERAK; AKAN TETAPI (DIA TIDAK BERTINDAK DENGAN SERTA MERTA, BAHKAN) IA MEMBERI TEMPOH KEPADA MEREKA HINGGA KE SUATU MASA YANG TERTENTU; KEMUDIAN APABILA SAMPAI TEMPOH MEREKA (MAKA ALLAH AKAN MEMBALAS MASING-MASING DENGAN ADILNYA), KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MELIHAT KEADAAN HAMBA-HAMBANYA.} (FATHIR 35:45)

  1. Munasabah ayat ini: puak kafir ini gopoh dan sombong, keras kepala sentiasa datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w di manakah azab yang dijanjikan itu? Mereka memerli dan main-main bukan bertanya kerana takut atau insaf. Samalah seperti kaum yang terdahulu dengan Nabi mereka!
  2. Tetapi Allah s.w.t tidak ambil tindakan segeranya. Allah s.w.t beri tempoh kepada mereka mudah-mudahan mereka insaf bertaubat dan kembali kepada-Nya.
  3. Jika Allah mahu ambil tindakan dan beri balasan segera akan perbuatan jahat mereka, pasti tidak akan tinggal lagi kaum manusia yang hidup atas muka bumi ini! Tentulah akan binasa semua penduduk langit dan bumi dan segala sesuatu yang dimiliki oleh mereka berupa haiwan peliharaan, harta kekayaan dan sumber penghidupan mereka.
  4. Tetapi Allah s.w.t tidak berbuat demikian! Mereka diberi tempoh tertentu, Allah s.w.t hantar rasul kepada mereka.
    Diberi peluang menerima dakwah dan menangguhkan hukuman atau penyiksaan mereka, namun tidak membiarkan.
    Allah menangguhkan mereka sampai hari kiamat, lalu Dia akan menghisab mereka di hari itu dan setiap orang akan mendapat balasan dari amal perbuatannya.
    Orang yang taat akan mendapat pahala, sedangkan orang yang derhaka akan mendapat azab dan siksaan.
  5. Firman Allah s.w.t dalam beberapa ayat lain juga:
    i- {Dan kalaulah Allah menyiksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.} (Al-Nahl 16:61)

ii- {Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatnya. Jika Ia mahu menyeksa mereka (di dunia) disebabkan apa yang mereka telah usahakan, tentulah Ia akan menyegerakan azab itu menimpa mereka; (tetapi Ia tidak berbuat demikian) bahkan ditentukan bagi mereka satu masa yang mereka tidak sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan, yang lain daripadanya.} (Al-Kahfi 18:58)

  1. Sebuah hadis riwayat Abu Musa Al-Asyari r.a. bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda, \”Sesungguhnya Allah selalu mencatat semua perbuatan orang yang aniaya sehingga apabila Dia mengazabnya, maka ia tidak dapat luput daripada-Nya.\”
    Lalu Baginda membaca firman Allah s.w.t ini: {Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azabNya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya.} (Hud 11:102) [HR Bukhari]
  2. Apabila sampai tempohnya Allah s.w.t akan membalas semuanya dengan penuh keadilan. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan firman-Nya: {kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.}
  3. Kata ulama\’ maksud Allah melihat kepada hamba-Nya (بِعِبَادِهِ):
    i- melihat kepada hamba-Nya beriman. Allah s.w.t akan melihatnya dengan pandangan kasih sayang dan rahmat.
    Jika dizalimi atau dianiayai, kamu bersabar dulu, samada Allah s.w.t akan tolong secara fizikal atau kamu akan diberi pahala atas kesabaran itu, maka bahagia di Akhirat.

ii- Ar-Razi rhm. kata: Sebelum datangnya kebinasaan Allah s.w.t akan cari hamba-Nya yang beriman dulu. Ini samada Allah selamatkan mereka seperti kisah Nabi Lut a.s dan kaumnya, malaikat datang tengok dulu siapa yang ada dan keluarkan mereka yang beriman bersama Nabi Lut a.s.

iii- ini janji siksa kepada mereka yang mendustakan semua ini. Allah tengok hamba-Nya secara umum, siapa yang patut disiksa dengan cara mana yang sesuai.

iv- ulama\’ kata semua manusia, hamba yang baik atau yang buruk, yang kafir atau yang beriman, Allah Maha Melihat keadaan semua hambaNya. Maka mereka akan dibangkitkan dan Dia akan membalas mereka sesuai dengan perbuatan mereka; dengan memberi pahala kepada orang-orang mukmin dan memberi hukuman kepada orang-orang kafir.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 44- {(Dan sebagai buktinya): tidakkah orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu telah mengembara di muka bumi,}- ayat ini galakan untuk berjalan atas muka bumi dengan tubuh dan jiwa untuk ambil pengajaran-manusia mengembara kepada Tuhan dengan hati bukan hanya dengan kaki dan badan saja!
    Rehlah pengembaraaan hati kepada Allah seperti semasa kita pergi umrah dan Haji! Pengembaraan dengan hati sangat penting untuk mengambil iktibar dan pengajaran.
  2. Ayat 44- { (Dan sebagai buktinya): tidakkah orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu telah mengembara di muka bumi, lalu mereka menyaksikan}- perjalanan dan penyaksian itu biarlah menjadi satu sebab untuk renew kembali iktibar dan pengajaran yang menakutkan.
    Ini kerana orang yang berakal ialah apabila dia melihat sesuatu perkara dia fikir dan kaji kenapa dan apa sebabnya?
    Maka bila dah tahu maka kita tinggalkan punca-punca kebinasaan itu.
    Hatta terserlah keinsafan melalui pelakuan atau tulisannya. Gunakan akal untuk berfikir ke arah kebaikan dan faedah.
  3. Ayat 44- { (Dan sebagai buktinya): tidakkah orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu telah mengembara di muka bumi, lalu mereka menyaksikan bagaimana kesudahan orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka,}- kena tengok dan fikir juga kesan yang telah berlaku akibat dari maksiat dan derhaka.
    Bukan ambil hanya kemajuan teknologi, lihat juga kepada kesan akidah, kaitkan perbuatan mereka itu kepada derhaka kepada Allah s.w.t. seperti syirik dan derhaka.
  4. Ayat 44- { (Dan sebagai buktinya): tidakkah orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu telah mengembara di muka bumi, lalu mereka menyaksikan bagaimana kesudahan orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka,} – ayat ini mengandungi peringatan agar jangan terpedaya apabila Allah s.w.t lambat mabil tindakan. Buat maksiat dan mungkar pun masih boleh makan dan ada rezeki, tiada apa-apa kesan bahkan ada yang mewah dan senang daripada orang mukmin! Jangan menyangka tiada azab yang turun, seolah Tuhan tidak berdaya dan mampu ambil tindakan atau tanda sayang dan redha kepada mereka!
  5. Ayat 44- {sedang orang-orang itu lebih kekuatannya dari mereka}- Allah bawa kiasan kepada yang lebih besar di sini, jika mereka kaum yang kuat dan gagah perkasa boleh binasa, maka apatah lagi kamu yang jauh lebih lemah dan tiada kuasa seperti mereka?
    Pasti boleh sahaja Allah s.w.t musnahkan dalam sekelip mata!
  6. Ayat 44- {Dan (sudah tetap) bahawa kekuasaan Allah tidak dapat dilemahkan atau dihalangi oleh sesuatupun sama ada di langit atau di bumi;} – ulama\’ kata antara sifat Allah s.w.t itu ialah menafikan-Nya daripada segala kekurangan. Semua sifat kekurangan atau negatif ternafi secara automatik dari Allah s.w.t.
    Semua sifat kekurangan tiada pada Allah s.w.t, semua sifat kesempurnaan adalah sifat Allah s.w.t!
  7. Allah s.w.t tidak akan nafikan daripada diri-Nya satu sifat yang tidak sesuai; kecuali akan dibawa atau disebut sifat yang sesuai. Contoh dalam ayat ini, menafikan sifat lemah {Dan (sudah tetap) bahawa kekuasaan Allah tidak dapat dilemahkan atau dihalangi oleh sesuatupun} dan dibawa sifat-Nya yang sebalik; {sesungguhnya Ia adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.}
  8. Ayat 45- {Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan,}- ulama kata ayat ini menolak fahaman Jabariyyah yang mengatakan manusia ini seperti robot, tiada akal, ikhtiar, pilihan dan kemahuan. Tetapi kita Ahlu Sunnah wal-Jamaah berpegang bahawa manusia ini ada akal dan nafsu. Kita boleh pilih mahu ikut yang baik (akal) atau yang buruk nafsu. Biar berlawan dua ini. Tidak boleh menyalahkan taqdir semata kerana manusia ini ada ikhtiar, iaitu pilihan!
  9. Ayat 45- {Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak;}- ayat ini menunjukkan sempurnanya kuasa Allah s.w.t, Dia boleh binasakan dunia ini dalam satu tempoh yang singkat saja jika Dia mahu!
  10. Ayat 45- {Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu;}- Allah beri tempoh kepada manusia. Samada:
    i- yang derhaka supaya insaf sedar lalu kembali ke jalan Allah. Bertaubat dan mendapat limpah rahmat Allah s.w.t.
    ii- juga tempoh kepada yang baik agar dapat tempoh lagi amal ibadatnya!
    Tambah bacaan al-Quran, sedekah, puasa sunat, buat baik kepada ibu bapa dan sebagainya. Belum mati untuk meningkat keimanan dan menambah ibadat.
    Ini menunjukkan sempurnanya sifat kasih sayang dan lemah lembut Allah s.w.t!

Alhamdulillah الحمد لله بنعمته تتم الصالحات
pada hari ini tamatlah kita 13 siri Kuliah Tafsir Surah Fathir.

Powered by BetterDocs