SURAH SAAD : AYAT 49-54

\"\"

BALASAN SYURGA BAGI ORANG BERTAQWA, BEBERAPA SIFAT SYURGA & NIKMAT TIDAK AKAN TAMAT.

Full video : https://youtu.be/8T5E5n79F6w

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah kisah tentang balasan bagi orang-orang yang bertaqwa, apa yang disediakan oleh Allah s.w.t kepada mereka serta beberapa cebisan nikmat syurga yang Allah s.w.t gambarkan di sini.
  2. Allah s.w.t juga janjikan bahawa syurga itu adalah satu nikmat yang tidak akan putus atau berakhir, yakni kekal abadi insya\’ Allah.
  3. Kesinambungan ayat: dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nasihatkan Rasulullah s.a.w agar bersabar menghadapai karenah kaumnya yang menentang dan berbuat khianat.
  4. Kemudian Allah s.w.t sebutkan cerita beberapa orang nabi yang diberi nikmat tetapi sentiasa syukur dan kembali kepada Allah s.w.t seperti Nabi Daud dan Sulaiman a.s, serta Nabi Ayyub yang diberi ujian dengan sakit dan kehilangan keluarga dan harta, tetapi dia bersabar lalu Allah s.w.t gantikannya semula berganda-ganda.
  5. Kemudian dalam ayat kita hari ini Allah s.w.t akan ceritakan pula tentang kedudukan orang mukmin yang akan hidup dalam nikmat yang begitu besar. Kemudian dalam siri yang akan datang kita akan tengok pula kisah orang kafir!
  6. Begitulah kita orang mukmin;
    i- Jika di depan kita ada syurga, kita kena sentiasa sabar melakukan ketaatan.
    ii- jika di depan kita ada neraka kita sabar meninggalkan larangan!
  7. Sabar itu ada 3 jenis:
    i- sabar buat ketaatan/perintah Allah s.w.t.
    ii- sabar meninggalkan maksiat/larangan Allah s.w.t.
    iii- sabar dalam menghadapi ujian.

AYAT 49- {(SEGALA SIFAT-SIFAT YANG MULIA) INI, ADALAH MENJADI SEBUTAN PENGHORMATAN (BAGI MEREKA). DAN SESUNGGUHNYA BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA, DISEDIAKAN TEMPAT KEMBALI YANG SEBAIK-BAIKNYA (PADA HARI AKHIRAT KELAK),} (SAAD 38:49)

  1. Segala sifat-sifat mulia para rasul yang telah disebut itu seperti sabar, syukur, kuat dalam beribadat dan berdakwah, mempunyai ilmu yang mendalam dan seumpamanya, adalah menjadi sebutan baik dan penghormatan bagi mereka.
  2. Maka bagi orang-orang yang bertaqwa dan sabar atas dunia ini, yang telah banyak berkorban dan menahan hawa nafsu dan keinginan kerana Allah s.w.t, maka bagi disediakan tempat kembali yang sebaik-baiknya pada hari akhirat kelak.
  3. Iaitu nikmat syurga yang tidak putus-putus, ini kerana orang yang beriman dan bertaqwa semasa di dunia dulu sentiasa tersekat dan terputus kehendak dan keinginannya, terpaksa tinggalkan apa yang berlawan dengan Syari\’ah dan hukum Allah s.w.t.

AYAT 50- {IAITU BEBERAPA BUAH SYURGA TEMPAT PENGINAPAN YANG KEKAL, YANG TERBUKA PINTU-PINTUNYA UNTUK MEREKA;} (SAAD 38:50)

  1. Iaitu beberapa buah syurga yang kekal abadi (جَنَّاتِ عَدْنٍ). Mereka di dalamnya selama-lama dan tidak akan pindah-pindah lagi!
  2. Yang sentiasa terbuka pintu-pintunya. Seolah pintu automatik atas dunia ini, yang akan terus terbuka bila ada orang tiba didepannya. Pintu syurga ini pula amat luas, ada hadis yang menggambarkan luasnya seolah dari Makkah ke Hajar di Yaman. Iaitu lebih kurang dalam 1000 km pada hari ini.
  3. Pintunya luas, tetapi apa yang kita bimbangkan kita tidak jumpa atau tidak sampai ke pintu syurga yang begitu luas dan banyak itu.
  4. Jalan yang boleh menyampaikan ke pintu syurga adalah dengan ikut ajaran Rasulullah s.a.w yang ori dan sahih, bukan sebaliknya! Itulah mainan dan godaan syaitan yang menghiasi perkara buruk jadi baik dan indah, serta disukai hawa nafsu!
  5. Berbeza dengan neraka yang pintunya sentiasa ditutup untuk menambah tekanan siksa dan azab seolah pressure cooker yang mesti ditutup rapat untuk menyempurnakan kepanasannya.

Gambaran siksa azab, pintu tertutup rapat tidak mungkin juga untuk lari keluar darinya!

AYAT 51- {(MEREKA AKAN BERSUKARIA) DALAM SYURGA ITU SAMBIL BERBARING (DI ATAS PELAMIN); MEREKA MEMINTA DI SITU BUAH-BUAHAN DAN MINUMAN YANG BERBAGAI JENISNYA DAN RASA KELAZATANNYA.} (SAAD 38:51)

  1. Ahli syurga ini bersukaria, bergembira menikmati keindahan syurga sambil berteleku/bersandar di atas pelamin atau kerusi yang indah.
    Dulu tersekat dan sentiasa sibuk kepenatan, sekarang bebas terbuka dan relax-relax.
  2. Mereka hanya perlu minta apa saja yang dikehendaki, dari segi buah-buahan dan minuman yang pelbagai jenis tanpa perlu bersusah mengambilnya sendiri. Yakni mendapat layanan istimewa sepenuhnya, khadam-khadam yang sedia berkhidmat.
  3. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan; Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin; Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;} (Yaa Siin 36: ayat 55-57).
  4. Kenapa Allah s.w.t hanya sebut buah-buahan dan minuman sahaja biasanya?
    Ini kerana mereka ahli syurga itu makan dan minum hanya untuk berlazat-lazat dan berseronok sahaja, bukan kerana lapar.
    Jadi tidak perlu kepada makanan yang berat-berat lagi.
    Bukan tiada, jika mahu semuanya ada, tetapi yang utamanya.

AYAT 52- {DAN DI SISI MEREKA PULA BIDADARI-BIDADARI YANG PANDANGANNYA TERTUMPU (KEPADA MEREKA SEMATA-MATA), LAGI YANG SEBAYA UMURNYA.} (SAAD 38:52)

  1. Mereka juga mempunyai pasangan yakni tidak kesunyian dan keseorangan.
  2. Bidadari-bidadari (wanita dalam syurga yang dicipta khas) yang sifatnya cantik jelita, penuh perhatian dan tumpuan kepada pasangan masing-masing sahaja, lagi umur yang sebaya dari segi muda dan sihat, iaitu sekitar 30 tahun.
  3. Firman Allah s.w.t juga:
    i- {Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya;} (As-Saaffaat 37:48)
    {(Putih kekuning-kuningan) seolah-olah mereka telur (burung kasuari) yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.} (As-Saaffaat 37:49)

ii- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya;} (An-Naba\’ 78: 31-33)

AYAT 53- {INILAH DIA BALASAN YANG DIJANJIKAN KEPADA KAMU SETELAH SELESAI HITUNGAN AMAL!} (SAAD 38:53)

  1. Ini semua adalah balasan apa yang telah Allah janjikan kepada kamu semasa di dunia dulu.
  2. Semua ini adalah selepas melalui perhitungan (hisab) dan pengadilan.
  3. Semua limpah kurnia nikmat dari Allah ini amat besar dan agung berbanding dengan amalan kita di dunia dulu yang simple dan kecil! Jika nak balas satu persatu amat tidak bernilai dan kecil amalan kita dibandingkan nikmat syurga yang begitu besar ini!

AYAT 54- {SESUNGGUHNYA INI IALAH PEMBERIAN KAMI KEPADA KAMU, PEMBERIAN YANG TIDAK AKAN HABIS-HABIS; -} (SAAD 38:54)

  1. Allah s.w.t nyatakan bahawa semua ini adalah pemberian balasan kepada kamu wahai hamba-hamba yang bertaqwa, yang layak dan diredhai! Satu limpah kurnia daripada Allah yang tidak akan hilang, tidak akan rosak dan putus selamanya!
  2. Yakni Allah s.w.t beri jaminan bahawa nikmat pemberian ini tidak akan habis atau putus, yakni kekal selamanya dengan kehendak Allah s.w.t!
  3. Firman Allah s.w.t: {Adapun orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus.} (Hud 11:108)
  4. Setelah kita dengar dan tahu semua janji dan jaminan Allah tentang nikmat yang disediakan, yang kekal abadi ini, maka tiada lagi di depan kita kecuali berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi manusia yang layak untuk menerima anugerah yang tersebut.
  5. Kelayakan yang pertama adalah menjadi orang yang bertaqwa! Taqwa adalah melakukan ketaatan dan meninggalkan segala maksiat kepada Allah s.w.t.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 49- {Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa, disediakan tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak),}- ayat ini adalah galakan untuk kita menjadi orang yang bertaqwa, dengan diberitahu pahala balasan baginya seperti syurga dan segala nikmatnya.

Maka kata ulama\’ bila kita galakkan sesuatu benda maknanya kita suruh atau mahu orang membuatnya! Yakni disini diperintah untuk bertaqwa, mesti beramal dengannya! Kerana balasannya syurga maka jadilah kamu semua orang yang bertaqwa, jika tidak, rugilah jika tidak berusaha untuk menjadi orang yang bertaqwa!
Bertaqwa dengan melakukan segala ketaatan dan meninggalkan segala larangan.

Sesungguhnya janji Allah s.w.t itu benar, balasannya benar iaitu selepas segala amalan dan pekerjaan kamu dihitung dan dihisab kembali, ingatlah kamu sentiasa di bawah perhatian dan pantauan Allah s.w.t, maka berhati-hatilah.
Kamu semua akan mendapat balasan yang setimpal!

  1. Ayat 50- {Iaitu beberapa buah Syurga tempat penginapan yang kekal, yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka;}- menunjukkan keamanan dan keselamatan yang sepenuhnya, tanpa perlu ada ketakutan dan kebimbangan.
    Kita atas dunia ini kunci dan tutup segala pintu dan grill kerana takut dimasuki oleh orang jahat dan tidak diingini!

Pintu syurga sentiasa terbuka kerana:
i- senang untuk ahlinya masuk, bila-bila masa sahaja.
ii- menunjukkan keamanan yang sempurna.
iii- untuk memudahkan khadam-khadamnya keluar masuk untuk berkhidmat.

Ini berbeza dengan pintu neraka yang sentiasa tertutup, na\’uzubillah.

Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka. (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang.} (Al-Humazah 104: 8-9)

  1. Ayat 51- {(Mereka akan bersukaria) dalam Syurga itu sambil berbaring (di atas pelamin); mereka meminta di situ buah-buahan dan minuman yang berbagai jenisnya dan rasa kelazatannya.}- ayat ini menunjukkan mereka rehat dan bahagia, tidak ada dukacita, kerja dan tugas yang memenatkan!
    Mendapat apa saja yang mereka kehendaki dan ingini, para khadam sentiasa ready melayan dan sedia berkhidmat.

Firman Allah s.w.t: {Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka; apabila engkau melihat anak-anak muda itu, nescaya engkau menyangkanya mutiara yang bertaburan.} (Al-Insaan 76:19)

Kita sekarang jangan fikir bagaimana semua itu, tetapi fikirkan bagaimana nak sampai ke syurga!

  1. Ayat 51- {(Mereka meminta di situ buah-buahan dan minuman yang berbagai jenisnya dan rasa kelazatannya.}- mereka hanya makan ringan-ringan untuk berseronok dan berlazat-lazat, bukan kerana lapar atau keperluan.

Ayat 52- {Dan di sisi mereka pula bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata)- yakni tidak tengok kepada wanita atau lelaki lain lagi. Hanya memberi perhatian dan tumpuan kepada pasangan masing-masing sahaja, penuh cinta dan kasih sayang. Apatah lagi untuk curang atau khianat seperti di atas dunia, tidak sama sekali!! Maka jangan sekali-kali kita di atas dunia ini melihat atau cuba menggatal dengan orang lain.

  1. Ayat 54- {Sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kepada kamu, pemberian yang tidak akan habis-habis; -}- nikmat yang tidak akan putus dan terhenti.
    Hasil dari balasan kita bertaqwa dan mengawal diri, bersusah sekejap semasa di atas dunia yang sementara ini hanya sekejap tapi pahalanya berterusan.

Samalah juga nikmat buat jahat itu juga hanya sekejap dan sementara tetapi balasan azab siksanya juga akan berkekalan dan tidak putus!

Maka kita pilihlah untuk mendapatkan nikmat-nikmat yang tidak putus-putus, buat persiapan dan amalan ke arahnya, isi dengan kebaikan dan buat persiapan yang sepatutnya.

Ya Allah semoga kita semua mati dalam Husnul-Khatimah, menjadi ahli syurga yang mendapat nikmat-Mu yang tidak putus-putus dan kekal abadi!

Powered by BetterDocs