SURAH AS-SOFFAT : AYAT 50-61

\"\"

ORANG MU\’MIN MENCARI KAWANNYA DI DUNIA, MEREKA NAMPAK ADA DALAM NERAKA & ORANG BERIMAN BERGEMBIRA DENGAN NIKMAT.

Full video : https://youtu.be/WXrkfdg8fTY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini diceritakan tentang orang mukmin yang sudah berada di dalam syurga teringat kepada kawannya yang mengacau dan menghalang kepada agama dan dakwah semasa di atas dunia dulu.
  2. Mereka mencarinya dan mendapati kawan yang kufur itu berada di dalam neraka. Ini membuatkan mereka ahli syurga bersyukur kerana tidak mengikut ajakan dan hasutan yang kufur itu dulu!
  3. Ini menyebabkan orang yang beriman makin bertambah syukur dengan nikmat yang mereka dapat dan terus bergembira menikmatinya.
  4. Dalam ayat yang lepas kita telah dengar tentang beberapa nikmat ahli syurga seperti menikmati buah-buahan yang pelbagai jenis, minuman yang lazat, pasangan daripada golongan bidadari yang cantik jelita seperti telur terimpan, serta pelbagai nikmat lagi.
  5. Mereka juga saling duduk berhadapan di dalam majlis yang damai, di atas singgahsana yang indah.

AYAT 50- {(TINGGALAH PENDUDUK SYURGA ITU MENIKMATI KESENANGAN), LALU SETENGAHNYA MENGADAP YANG LAIN, SAMBIL BERBINCANG DAN BERTANYA-TANYAAN.} (AS-SAAFFAAT 37:50)

  1. Penghuni syurga duduk bersenang-lenang di dalam majlis mereka yang indah sambil mengadap satu sama lain, mereka berbual-bual dan berbincang, menceritakan kisah dan sejarah masing-masing, sebab yang membawa mereka ke syurga.

AYAT 51- {SEORANG DI ANTARANYA BERKATA: \” SESUNGGUHNYA AKU (DI DUNIA) DAHULU, ADA SEORANG RAKAN (YANG MENEMPELAK DAKU).} (AS-SAAFFAAT 37:51)

  1. Lalu salah seorang daripada mereka berkata menceritakan bahawa dulu semasa di dunia dia ada seorang kawan (قَرِينٌ) yang suka menempelak dan memerli agama.
  2. Maksud qarin (قَرِينٌ) ada beberapa tafsiran:
    i- syaitan dari kalangan jin yang duduk sekali dengan kita untuk mengacau dan menghasut. Ia juga yang akan memberitahu rahsia dan maklumat manusia yang didampinginya kepada bomoh dan dukun.
    ii- kawan rapat (manusia) semasa di atas dunia dulu.
  3. Ulama\’ kata boleh jadi belaka. Tetapi yang dicarinya ini adalah sesama manusia, kawan yang berlainan pegangan, yang kufur tidak beriman.

AYAT 52- {\”KATANYA: ADAKAH ENGKAU JUGA SALAH SEORANG DARI GOLONGAN YANG MENGAKUI BENARNYA (KEBANGKITAN ORANG-ORANG MATI PADA HARI AKHIRAT)?} (AS-SAAFFAAT 37:52)

  1. Kawan yang jahat ini cuba menimbulkan keraguan dan waswasnya dalam keimanan tentang kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat.

AYAT 53- {\”ADAKAH SESUDAH KITA MATI DAN MENJADI TANAH DAN TULANG, ADAKAH KITA AKAN (DIHIDUPKAN SEMULA SERTA) DIBALAS APA YANG TELAH KITA LAKUKAN?\”} (AS-SAAFFAAT 37:53)

  1. Dengan membawa hujjah yang mereka rasakan mantap dan benar, walaupun hakikatnya adalah palsu dan batil. Terus mengasak dan meragukan fikiran tentang timbulkan persoalan, bagaimana tulang yang telah reput menjadi tanah, boleh hidup balik?
  2. Apakah logik manusia hidup kembali dan menerima pembalasan atas segala perbuatannya dulu?

AYAT 54- {SETELAH MENCERITAKAN PERIHAL RAKANNYA ITU) IA BERKATA LAGI: \”ADAKAH KAMU HENDAK MELIHAT (KEADAAN RAKANKU YANG INGKAR ITU)?\” (AS-SAAFFAAT 37:54)

  1. Lalu mereka ahli syurga berkata lagi, adakah kamu mahu lihat dimanakah kawan yang kufur itu sekarang berada? Bagamaimanakah keadaannya sekarang?

AYAT 55- {MAKA IA PUN MEMANDANG (KE ARAH NERAKA), LALU DILIHATNYA RAKANNYA ITU BERADA DITENGAH-TENGAH NERAKA YANG MENJULANG-JULANG. (AS-SAAFFAAT 37:55)

  1. Lalu mereka pun pergi ke neraka lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah neraka yang menjulang-julang.
  2. Mereka hanya melihatnya dari jauh setelah diizinkan Allah s.w.t. Semua ini dengan kuasa dan kehendak Allah s.w.t, tak perlu kita memikirkannya.
  3. Tugas kita hanya jaga diri agar selamat daripada neraka yang menakutkan itu.

AYAT 56- {IA PUN (MENEMPELAKNYA DENGAN) BERKATA: \”DEMI ALLAH! NYARIS-NYARIS ENGKAU MENCEBURKAN DAKU DALAM KEBINASAAN.(AS-SAAFFAAT 37:56)

  1. Sekarang, mereka ini pula yang menempelak ahli neraka itu, kamulah dulu yang nyaris-nyaris menyebabkan aku juga terjerumus dalam kebinasaan seperti kamu juga.
  2. Ini menyebabkan ahli neraka bertambah hina dan siksanya!

AYAT 57- {\”DAN KALAULAH TIDAK DISEBABKAN NIKMAT PEMBERIAN TUHANKU (DENGAN HIDAYAH PETUNJUK), NESCAYA AKAN MENJADILAH DAKU DARI ORANG-ORANG YANG DIBAWA HADIR (UNTUK MENERIMA BALASAN AZAB) \”. (AS-SAAFFAAT 37:57)

  1. Mereka berkata lagi jikalah tidak kerana nikmat dan petunjuk dari Tuhanku, nescaya aku juga akan menjadi orang yang akan dikenakan balasan buruk iaitu azab siksa yang dahsyat!
  2. Mujurlah kami dengan hidayah petunjuk Tuhan Kami tidak terpengaruh dan terpedaya dengan kamu!

AYAT 58- {(KEMUDIAN IA BERKATA KEPADA RAKAN-RAKANYA YANG SEDANG MENIKMATI KESENANGAN DI SYURGA BERSAMA): \”BUKANKAH KITA (SETELAH MENDAPAT NIKMAT-NIKMAT INI) TIDAK AKAN MATI LAGI, – (AS-SAAFFAAT 37:58)

  1. Kemudian ahli syurga saling bercakap sesama mereka lagi sambil menikmati segala kesenangan dan limpah kurnia Allah s.w.t.
  2. Mereka berkata bukankah kita tidak akan mati lagi? Mereka sangat gembira dan bahagia dengan nikmat Allah yang kekal abadi selamanya itu.

AYAT 59- {\”SELAIN DARI KEMATIAN KITA YANG DAHULU, DAN KITA JUGA TIDAK AKAN TERKENA SEKSA?\” (AS-SAAFFAAT 37:59)

  1. Mereka berkata lagi: Kecuali mati kita yang pertama dulu. Kita juga telah selamat dari azab dan tidak akan terkena azab siksa lagi!
  2. Ini kerana ada manusia yang masuk syurga selepas proses pembersihan daripada dosa dulu. Iaitu orang beriman tetapi dia terjebak dengan dosa dan maksiat, maka dia kena melalui proses pembersihan dulu di dalam neraka, kemudian baru dimasukkan ke dalam syurga. Bila dh mask dalam syurga, mereka tidak akan keluar lagi.
  3. Kelak di hari kiamat, kematian akan diwujudkan dalam bentuk seekor kambing biri-biri (kibasy). Kemudian dibawa ke sebuah tempat antara syurga dan neraka, lalu disembelih. Sehingga kematian sudah tidak ada lagi.
    Dari Abu Sa\’id al-Khudri r.a, Rasulullah s.a.w bersabda,
    يُؤْتَى بِالْمَوْتِ كَهَيْئَةِ كَبْشٍ أَمْلَحٍ فَيُنَادِي بِهِ مُنَادٍ : يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ ! فَيَشْرَئِبُوْنَ وَيَنْظُرُوْنَ, فَيَقُولُ: هَلْ تَعْرِفُوْنَ هَذَا ؟ فَيَقُوْلُوْنَ : نَعَمْ, هَذَا الْمَوْتُ, وَكُلُّهُمْ قَدْ رَآهُ, ثُمَّ يُنَادِي مُنَادٍ : يَا أَهْلَ النَّارِ فَيَشْرَئِبُوْنَ وَيَنْظُرُوْنَ, فَيَقُوْلُ : هَلْ تَعْرِفُوْنَ هَذَا ؟ فَيَقُوْلُوْنَ : نَعَمْ, هَذَا الْمَوْتُ وَكُلُّهْمْ قَدْ رَآهُ فَيُذْبَحُ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ ثُمَّ يَقُوْلُ : يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ خُلُوْدٌ فَلاَ مَوْتَ, وَيَا أَهْلَ النَّارِ خُلُوْدٌ فَلاَ مَوْتَ, ثُمَّ قَرَأَ (وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ إِذْ قُضِيَ الأَمْرُ وَهُمْ فِيْ غَفْلَةٍ وَهُمْ لاَ يُؤْمِنُوْنَ) وَأَشَارَ بِيَدِهِ إِلَى الدُّنْيَا
    \”Kematian didatangkan dalam bentuk kambing biri-biri (kibasy), lalu seorang penyeru (malaikat) memanggil: Wahai penduduk syurga! Mereka mendongak dan melihat, penyeru itu berkata: Apakah kamu mengenal ini? Mereka menjawab: Ya, ini adalah kematian, mereka semua telah melihatnya. Kemudian penyeru memanggil: Wahai penduduk neraka! Mereka mendongak dan melihat, penyeru itu berkata: Apakah kamu mengenal ini? Mereka menjawab: Ya, ini adalah kematian, mereka semua telah melihatnya.
    Lalu ia disembelih diantara syurga dan neraka, lalu berkata: Wahai penduduk syurga, kekekalan yang tiada kematian setelahnya, dan wahai penduduk neraka, kekekalan dan tiada kematian setelahnya, lalu dia membaca: {Dan berilah mereka peringatan tatkala ditetapkan perkara sedangkan mereka dalam kelalaian dan mereka tidak beriman}. Dan mengisyaratkan dengan tangannya ke dunia. (HR. Bukhari 4730 & Muslim 2849)

AYAT 60- {SESUNGGUHNYA (NIKMAT-NIKMAT KESENANGAN SYURGA) YANG DEMIKIAN, IALAH SEBENAR-BENAR PENDAPATAN DAN KEMENANGAN YANG BESAR. (AS-SAAFFAAT 37:60)

  1. Apabila para ahli syurga sudah mendapat nikmat keputusan bahawa mereka tidak akan mati lagi, lalu Allah s.w.t berfirman: Bahawa inilah kemenangan dan nikmat yang besar dan sebenarnya.

AYAT 61-{UNTUK MEMPEROLEH (KEJAYAAN) YANG SEPERTI INILAH HENDAKNYA ORANG-ORANG YANG BERAMAL MELAKUKAN AMAL USAHANYA DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH (DI DUNIA).} (AS-SAAFFAAT 37:61)

  1. Untuk mendapat dan meraih semua kemenangan dan kejayaan yang besar ini, hendaklah kamu beramal dengan bersungguh-sungguh semasa hidup di dunia ini.
  2. Sesiapa yang mahu Syurga hendaklah dia bekerja, beramal ikhlas kerana Allah dan untuk Allah s.w.t serta mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w!
  3. Firman Allah s.w.t: {Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.} (Aali\’Imraan 3:185)

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 50- {(Tinggalah penduduk Syurga itu menikmati kesenangan), lalu setengahnya mengadap yang lain, sambil berbincang dan bertanya-tanyaan.}- kata ulama\’ tadabbur ini menunjukkan sempurnanya sifat dan adab ahli syurga saling berhadap dan beri perhatian sesama mereka.
    Kita yang hidup ini pun semasa bercakap dengan orang kena menghadap, senyum, tengok muka dan beri perhatian.
    Tetapi kena ingat jika bukan mahram antara lelaki dan wanita ajnabi ada adab dan hukumnya yang khas pula, tidak boleh bertentang mata dan terlalu rapat dan mesra. Jaga batasan pergaulan sebagai orang beriman!
  2. Ayat 53- {Seorang di antaranya berkata: \” Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku).}- ayat ini mengajar kita supaya berhati-hati, jangan berkawan dengan kawan yang jahat. Ini kerana musuh yang paling bahaya ialah orang yang rapat dan kenal kita!

Ada ahli sejarah yang mengatakan antara sebab Abu Talib tidak dapat beriman dan menerima dakwah Rasulullah s.a.w ialah kerana ada disekelilingnya kawan dan penasihat yang jahat dan kufur seperti Abu Lahab, Abu Jahal dan seumpamanya.

  1. Ayat 54- {Setelah menceritakan perihal rakannya itu) ia berkata lagi: \”Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)?\”- kata ulama\’ boleh kita pergi lihat keadaan orang yang sesat dan kufur untuk menambahkan rasa syukur kita atas iman dan nikmat yang kita dapat.
    Ulama\’ kata setiap benda itu akan lebih terserlah apabila kita bandingkan dengan lawannya yang sebaliknya.
    Ayat ini juga mengajar kita bahawa tidak boleh kiaskan atau cuba bandingkan keadaan di akhirat dengan suasana di dunia.
    *Kata ulama\’: Semua benda yang berlaku di Akhirat yang Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w ceritakan, yang kita tidak dapat bayangkan di atas dunia ini, maka itulah Akhirat. Satu alam dan suasana yang berbeza.
  2. Ayat 57- {\”Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayah petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab) \”.- kata ulama\’ kita bercakap, mengungkit dan menghitung tentang nikmat yang kita dapat itu dibenarkan dengan niat untuk memuji dan bersyukur kepada Allah s.w.t. Bukan dengan niat untuk sombong, takabbur dan riya\’ kepada orang lain. Ini kerana apabila Allah s.w.t beri nikmat kepada hamba-Nya, Dia suka dan mahu lihat kesan nikmat-Nya ke atas hamba itu.

Sebagai mana dalam hadis riwayat Abdullah bin \’Amru r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يُحِبَّ أَنْ يَرَى أَثَرَ نِعْمَتِهِ عَلَى عَبْدِهِ
\”Sesungguhnya Allah suka untuk melihat kesan nikmat-Nya yang diberikan kepada hamba-NYa.\” [HR at-Tirmizi.]
Disini Allah s.w.t sendiri sebut dan ajar kepada kita untuk bersyukur: Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku!

  1. Ayat 61-{Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).}- ini menunjukkan wajib kita beramal dan buat persiapan jika mahukan kejayaan dan kemenagan di Akhirat.

Ayat ini juga mengajar kita agar fokus dan tumpukan kepada amalan yang dapat membawa kita ke syurga.
Bukan hanya bercakap saja, nak masuk syurga tetapi malas beramal.

*Selamat daripada azab Allah s.w.t itu sudah satu nikmat yang besar apatah lagi jika dapat masuk syurga-Nya, alhamdulillah.
Semoga kita menjadi orang yang mendapat nikmat pemberian Allah s.w.t!

Powered by BetterDocs