SURAH AZ-ZUMAR : AYAT 71-72

\"\"

ORANG KAFIR DITOLAK KE NERAKA, 7 PINTU NERAKA DIBUKA KEPADA MEREKA & MALAIKAT MENYOAL MEREKA.

Full video : https://youtu.be/7VC6TpUOIIc

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan bertemu dengan perkataan az-Zumar dalam ayat 71 yang menjadi nama kepada surah ini.
    Ia bererti {dengan berpasuk-pasukan- زُمَرًا }.
  2. Dalam siri ini adalah perbincangan yang menakutkan kerana Allah s.w.t menceritakan tentang gambaran suasana hari Kiamat. Dimana orang kafir akan dihalau, diseret secara berpasukan (زُمَرًا) ke dalam neraka.
  3. Pintu neraka akan dibuka seluas-luasnya kepada mereka. Kemudian malaikat penjaga neraka bertanya dengan menempelak dan memperli mereka dengan soalan yang berupa penyiksaan minda pula.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat-ayat yang lepas Allah s.w.t telah ceritakan kepada kita suasana hari Kiamat secara umumnya seperti dalam ayat 68 dan lain-lain.
    Langit & bumi digulung, tiupan sangkakala mematikan semua manusia, kemudian hidup semula, dengan keadilan Allah s.w.t, manusia dibalas dengan apa yang mereka buat kemudian Allah s.w.t tahu semua apa yang kamu lakukan.
  5. Dalam ayat ini pula Allah s.w.t sebutkan secara terperinci tentang keadaan orang kafir dan syirik dalam ayat 71 & 72 iaitu keadaan mereka pada hari Kiamat dan di dalam neraka.
  6. Allah s.w.t juga nyatakan bahawa Dia akan memutuskan pengadilan kepada hamba-Nya. Atas dasar apa mereka berpisah di dunia dulu, mereka akan berkumpul balik di Akhirat kelak atas dasar itu juga. Jika beriman semuanya maka akan bersama kembali dalam syurga.
    Jika atas dasar kufur maka sebaliknya, na\’uzubillah!
  7. Maka marilah kita sama-sama didik anak-anak & keluarga kita atas keimanan dan taqwa agar kita dapat berkumpul kembali di syurga insya\’ Allah!

AYAT 71- {DAN ORANG-ORANG KAFIR AKAN DIHALAU KE NERAKA JAHANNAM DENGAN BERPASUK-PASUKAN, SEHINGGA APABILA MEREKA SAMPAI KE NERAKA ITU DIBUKAKAN PINTU-PINTUNYA DAN BERKATALAH PENJAGA-PENJAGANYA KEPADA MEREKA: BUKANKAH TELAH DATANG KEPADA KAMU RASUL-RASUL DARI KALANGAN KAMU SENDIRI, YANG MEMBACAKAN KEPADA KAMU AYAT-AYAT TUHAN KAMU DAN MEMPERINGATKAN KAMU AKAN PERTEMUAN HARI KAMU INI?\” MEREKA MENJAWAB: \”YA, TELAH DATANG! TETAPI TELAH DITETAPKAN HUKUMAN AZAB ATAS ORANG-ORANG YANG KAFIR.} (AZ-ZUMAR 39:71)

  1. Orang kafir itu akan dihalau ke dalam neraka secara berpasukan. Allah s.w.t gambarkan keadaan mereka yang dahsyat dan menakutkan. Manusia akan bergerak secara berpuak-puak!
  2. Sebagaimana kata ulama\’ sesiapa yang mahu melihat gambaran pada hari Kiamat maka bacalah surah az-Zumar agar kita nampak dengan hati kita suasana yang akan berlaku dan membawa keinsafan!
  3. Firman Allah s.w.t: {(Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertaqwa untuk mengadap (Allah) Ar-Rahman, dengan berpasuk-pasukan.} (Maryam 19:85).
  4. Maka hati-hatilah kita bersama siapa kita berpasukan, siapa kita ikut dan taat serta yang kita sayang di atas dunia ini, kerana kelak di akhirat kita akan bersama mereka juga!
  5. Hadis Rasulullah s.a.w:
    i- Dari Abu Wa`il dari Abdullah dari Nabi S.A.W bahawa baginda bersabda:
    عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ
    \”Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya.\” [HR Bukhari].

ii- Hadis riwayat Anas r.a:

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ السَّاعَةِ فَقَالَ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَاذَا أَعْدَدْتَ لَهَا قَالَ لَا شَيْءَ إِلَّا أَنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بِشَيْءٍ فَرَحَنَا بِقَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ بِحُبِّي إِيَّاهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِمِثْلِ أَعْمَالِهِمْ

Dari Anas r.a, beliau mengatakan bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang hari kiamat.
Orang itu mengatakan, \’Bilakah hari kiamat itu?\’
Rasulullah s.a.w kembali bertanya, \’Apa yang telah engkau persiapkan untuk hari itu?\’
Orang itu menjawab, \’Tidak ada, hanya saja sesungguhnya saya mencintai Allah Azza wa Jalla dan Rasul-Nya s.a.w.\’
Rasulullah s.a.w bersabda, \’Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.\’

Anas r.a mengatakan, \”Kami tidak pernah merasakan kebahagiaan sebagaimana kebahagiaan kami ketika mendengar sabda Rasulullah ini, \’Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.\’
Anas r.a mengatakan, \’Saya mencintai Nabi s.a.w, Abu Bakar dan Umar. Saya berharap dapat bersama mereka dengan sebab kecintaanku kepada mereka meskipun saya tidak mampu melakukan amalan yang mereka lakukan.\” [HR Bukhari & Muslim].

  1. Lalu apabila mereka tiba di neraka, pintunya sedia terbuka luas untuk mereka. Pintu neraka ada 7 manakala pintu syurga ada 8, kerana rahmat Allah s.w.t lebih luas daripada kemurkaaan-Nya.
  2. Kata ulama\’; sebelum ini pintu neraka sentiasa tertutup rapat, ini agar wap dan kepanasannya tersimpan dan mencapai tahap maksimanya. Tetapi apabila tiba tempohnya, apabila tiba kumpulan yang dihalau malaikat ini, ketujuh-tujuh pintunya terus terbuka siap!
  3. Firman Allah s.w.t: {\”Dan sesungguhnya neraka Jahannam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu). \”Ia mempunyai tujuh pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu)\”.} (Al-Hijr 15:44)
  4. Apabila mereka tiba di neraka, malaikat penjaga neraka berkata mereka dengan tempelak dan perlian: Bukankah telah datang kepada kamu rasul dari kalangan kamu (kaum) sendiri? Rasul yang yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini??
  5. Pada waktu itu mereka tidak dapat berbohong lagi dan mengakuinya bahawa telah datang kepada mereka rasul-rasul yang menyampaikan dakwah dan Kitab Allah.
  6. Mereka juga mengaku bahawa telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang kafir, iaitu kerana mereka mendustakan Allah s.w.t dan mendustakan dakwah yang disampaikan oleh para rasul kepada mereka.
  7. Sebagaimana dalam ayat 69 sebelum ini Allah s.w.t bertanya kepada mereka apakah sudah datang kepada mereka rasul, mereka mengaku atau tidak, Allah s.w.t membawa saksi-saksi yang akan menjadi saksi ke atas mereka.
  8. Sebagaimana Firman Allah s.w.t: {Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)\”.} [As-Sajdah 32:13]
    Kerana itu Rasulullah s.a.w menyuruh kita membaca surah ini pada setiap hari Jumaat, untuk mengingatkan kepada hari Kiamat.
  9. Maka setiap kali kita membaca ayat dari surah al-Fatihah ini: {اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ- Tunjukilah kami jalan yang lurus.} (Al-Faatihah 1:6) – kita memohon dan hayatinya dan dengan sepenuh hati!

AYAT 72- {(SETELAH ITU) DIKATAKAN KEPADA MEREKA: \”MASUKILAH PINTU-PINTU NERAKA JAHANNAM ITU DENGAN KEADAAN TINGGAL KEKAL KAMU DI DALAMNYA; MAKA SEBURUK-BURUK TEMPAT BAGI ORANG-ORANG YANG SOMBONG TAKBUR IALAH NERAKA JAHANNAM.} (AZ-ZUMAR 39:72)

  1. Setelah itu malaikat berkata kepada mereka: Masuklah kamu ke dalamnya. Pintu neraka sudah terbuka dan tetaplah kamu di dalamnya. Ini untuk orang kafir yang akan kekal selamanya di dalam neraka.
  2. Manakala orang beriman yang derhaka dan buat maksiat mereka akan berada dalam neraka untuk selama tempoh dosa dan kesalahan yang mereka buat, kemudian akan dikeluarkan!
    Tetapi kita tidak mahu dan minta perlindungan dengan Allah s.w.t dari neraka walaupun hanya sesaat! Wal-\’iyazubillah!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 71- {Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya.}- kata ulama\’ tadabbur, pintu neraka Jahannam itu sentiasa tertutup rapat, tidak terbuka seperti pintu penjara yang sentiasa terkunci rapat. Sehinggalah datang kumpulan penghuninya, ia terbuka lalu tertutup kembali selepas mereka memasukinya!
  2. Ayat 71- {dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?\”}- ayat ini menunjukkan kepada rahmat Allah Azza wa Jalla, Dia tidak akan mengazab hamba-Nya kecuali setelah diutuskan rasul kepada mereka yang akan berdakwah dan menjelaskan segala dalil dan tanda dari Allah s.w.t!
    Firman Allah s.w.t: {Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).
    (Al-Israa\’ 17:15)
    Pendakwah yang terbaik ialah dari kalangan mereka sendiri, yang faham bahasa dan cara hidup mereka agar lebih mudah diterima dan difahami insya\’ Allah.
  3. Ayat 71- {dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka:…}- soalan ini adalah lebih kepada tempelakan dan perlian, sebagai satu azab untuk hati & jiwa mereka. Bertambah keazaban dan penyesalan mereka dengan soalan malaikat itu.
  4. Ayat 71- {\”Mereka menjawab: \”Ya, telah datang!}- mereka menjawab dan mengakuinya.
    Ayat ini dan seumpamanya menunjukkan bahawa puak kafir itu mengakui telah datang kepada mereka para rasul.
    Ada ayat lain sebagaimana dalam firman Allah s.w.t ini:
    {Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: \”Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)\”.} (Al-An\’aam 6:23)
    Dalam ayat ini mereka tidak mengakuinya! Bagaimana nak selaraskan antara dua perbezaan ayat ini?

Ibnu Abbas r.a apabila ditanya tentang perkara ini; menjelaskannya:
i- Apabila mereka sudah siap diadili dan kena hukuman azab, mereka menjawabnya dengan pelbagai alasan dan hujjah, tidak mengakuinya.
Apabila terlalu banyak mulut menjawab lalu datanglah ayat ini:
{Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.} (Yaa Siin 36:65)

ii- Keadaan dan suasana hari Kiamat itu berbeza-beza, apabila mereka sudah di dalam neraka dan ditanya malaikat, mereka akhirnya mengakuinya!

  1. Ayat 72- {maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam.}- ayat ini menunjukkan Allah s.w.t membalas keburukan seseorang itu sebagaimana perbuatannya, mereka itu sombong di atas dunia dulu, maka tempat mereka ialah neraka!
    Ayat ini memberi amaran agar jangan bersifat sombong dan takabbur!
    Apatah lagi sombong dalam menerima kebenaran kerana merasakan dirinya lebih alim dan mulia.
    Adapun orang yang tawadhuk dan merendah diri, tempatnya adalah di dalam syurga. Mereka tawadhuk dalam nenerima kebenaran tanpa sombong dan meninggi diri.

Tamatlah gambaran buruk dan tentang orang kafir di Akhirat kelak, kerana sifat al-Quran itu sentiasa bawa yang positif dan negatif, yang baik dan buruk bersama, maka insya\’ Allah kita akan khatam surah az-Zumar nanti dengan sifat orang yang baik dan beriman pula.

Semoga kita termasuk dalam golongan ini insya\’ Allah dan dijauhkan dari kumpulan yang pertama itu.

Powered by BetterDocs