SURAH ASY-SYURA : AYAT 7-9

\"\"

HIKMAH DITURUNKAN QURAN, ALLAH TIDAK BUAT MANUSIA ATAS SATU AGAMA & MENGINGKARI PERBUATAN SYIRIK.

Full video : https://youtu.be/QteOjoaB0Es

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah syukur kepada Allah kita sudah menamatkan dua fasa daripada Ramadhan tahun ini.
    Di depan kita hanya baki 10 hari lagi iaitu sepuluh akhir Ramdahan yang amat dinantikan kerana terdapat padanya Lailatul-Qadar.
    Maka sama-sama kita tingkatkan ibadat dan amal kebajikan.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t menerangkan tentang hikmah diturunkan al-Quran itu dalam bahasa Arab.
  3. Serta apakah rahsia kenapa Allah tidak dijadikan manusia ini atas satu jenis, satu kumpulan dan satu agama semuanya.
  4. Kemudian Allah s.w.t mencela golongan yang mengambil yang lain selain daripada Allah sebagai wali, penolong atau tuhan. Inilah perbuatan syirik yang sangat dahsyat yang tidak akan mendapat keampunan Allah s.w.t. berbeza dengan penyakit dosa lain.

AYAT 7- {DAN SEBAGAIMANA KAMI TETAPKAN ENGKAU HANYA PENYAMPAI, KAMI WAHYUKAN KEPADAMU AL-QURAN DALAM BAHASA ARAB, SUPAYA ENGKAU MEMBERI PERINGATAN DAN AMARAN KEPADA (PENDUDUK) \”UMMUL-QURA\” DAN SEKALIAN PENDUDUK DUNIA DI SEKELILINGNYA, SERTA MEMBERI PERINGATAN DAN AMARAN MENGENAI HARI PERHIMPUNAN (HARI KIAMAT) – YANG TIDAK ADA SYAK TENTANG MASA DATANGNYA; (PADA HARI ITU) SEPUAK MASUK SYURGA DAN SEPUAK LAGI MASUK NERAKA.} (ASY-SYURA 42:7)

  1. Allah s.w.t tegaskan sekali lagi bahawa kerja atau tugas Rasulullah s.a.w itu hanyalah sebagai penyampai wahyu dan ajaran dakwah yang Allah turunkan.
  2. Al-Quran itu pula diturunkan dalam bahasa Arab (قُرْآنًا عَرَبِيًّا), ayat ini menyatakan sebab atau \’illah dengan huruf lam itu (لِتُنْذِرَ).
  3. Kenapa dan apakah objektifnya?
    i- supaya mereka memahaminya.
    Kerana itulah bahasa percakapan (lisan) Rasulullah s.a.w dan kaumnya yang Baginda dibangkitkan di kalangan mereka. Jika bahasa lain pasti mereka tidak akan faham dan akan menggunakannya sebagai hujjah untuk menolaknya lagi!

ii- Supaya Rasulullah s.a.w memberi peringatan dan amaran kepada penduduk \”Ummul-Qura\” (ibu segala negeri) iaitu Makkah, bumi yang awal dicipta serta terdapat Ka\’bah sebagai tempat arah Kiblat bagi seluruh umat Islam.
Ka\’bah sebagai mercu tanda kesatuan ummah, semua umat Islam yang hidup atau mati akan menghadap ke arah kbilat ini.
AL-QURAN juga turun untuk semua manusia, sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, semuanya wajib ikut dakwah Rasulullah s.a.w.

a) Sabda Rasulullah s.a.w: \”Aku dibangkitkan untuk manusia seluruhnya.\” [HR Ahmad].

b) Firman Allah s.w.t: {Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk \”Ummul-Qura\” (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.} (Al-An\’aam 6:92)

iii- tugas al-Quran yang ketiga memberi peringatan dan amaran tentang hari Kiamat, manusia akan dibangkitkan selepas mati serta tentang perhimpunan di padang Mahsyar.
Makna Mahsyar (المحشر) tempat berhimpun.
Firman Allah s.w.t: {Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya. Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah?} (An-Nisaa\’ 4:87)

  1. Kenapa hari Kiamat dinamakan hari berkumpul (يَوْمَ الْجَمْعِ)? Kata Syeikh ar-Razi kerana beberapa sebab:
    i- Kerana semua makhluk akan berkumpul, sejak dari zaman Adam a.s sehingga ke hari Kiamat.

Firman Allah s.w.t: {(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), – itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar.} (At-Taghaabun 64:9)

ii- kerana roh berkumpul semula (masuk) ke dalam jasad, hidup balik selepas mati.

iii- kerana Allah kumpulkan pada hari itu orang yang beramal dengan amalannya.

iv- kerana pada hari itu dikumpulkan orang yang zalim dengan mangsa yang dizaliminya dulu.
Maka tunggulah kamu yang zalim dan berkuasa dulu, yang menuduh memfitnah orang tanpa memberi peluang.

v- kerana berkumpulnya seluruh anak Adam untuk dibentangkan amalan masing-masing.

  1. Pada hari itu manusia akan terbahagi kepada dua kumpulan; sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk neraka. Itulah ketentuan Allah Azza wa Jalla.

AYAT 8- {DAN JIKA ALLAH MENGHENDAKI, TENTULAH IA MENJADIKAN MEREKA SATU UMAT (YANG BERSATU DALAM AGAMA ALLAH YANG SATU); AKAN TETAPI ALLAH (TIDAK MERANCANG YANG DEMIKIAN BAHKAN IA AKAN) MEMASUKKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA KE DALAM RAHMATNYA (MENURUT PERATURAN YANG TELAH DITETAPKAN); DAN ORANG-ORANG YANG ZALIM TIDAK ADA BAGINYA SESIAPAPUN YANG DAPAT MEMBERIKAN PERLINDUNGAN DAN PERTOLONGAN.} (ASY-SYURA 42:8)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menjawab persoalan kenapa Dia tidak mencipta manusia dalam satu bentuk dan satu agama, semuanya dapat hidayah atau semuanya sesat.
  2. Ini kerana Allah s.w.t tidak merancang begitu, setelah diberi bimbingan dan dakwah, mereka diberi pilihan untuk menjadi orang mengikut hidayah atau mereka yang memilih jalan yang lain, mengambil benda lain sebagai perlindungan, maka akan sesatlah.
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah ia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.} (Al-An\’aam 6:35)

ii- {Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.} (Al-Maaidah 5:48)

  1. Maka Allah akan buat mengikut hikmah yang dikehendaki-Nya:
    i- Dia akan pilih dan memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmat-Nya, menurut peraturan yang telah ditetapkan; iaitu atas dunia ini memilih Islam maka di Akhirat kelak mereka akan masuk syurga, insya\’ Allah.

Maka hendaklah kita sentiasa berdoa agar Allah s.w.t masukkan kita ke dalam golongan yang diberi hidayah. Sebagaimana kita membaca ayat memohon ditunjukkan jalan yang lurus dalam surah al-FAtihah dalam setiap solat kita. Semakin banyak kita solat semakin banyak doa kita ini!
Bertuahlah sesiapa yang solat tarawih banyak rakaat pada Ramadahan ini.

ii- manakala golongan dan orang-orang yang zalim tidak ada baginya sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan dan pertolongan.

Firman Allah s.w.t: {Ia memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmatNya (dengan ditempatkannya di dalam Syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (Al-Insaan 76:31)

  1. Maka pilihlah yang terbaik untuk diri kita dunia dan akhirat, bukan yang terbaik mengikut nafsu kita yang hanya inginkan dunia.

AYAT 9- {TIDAKLAH PATUT MEREKA MENJADIKAN SESUATU YANG LAIN DARI ALLAH SEBAGAI PELINDUNG-PELINDUNG (YANG DISEMBAH DAN DIPUJA) KERANA ALLAH JUALAH PELINDUNG YANG SEBENAR-BENARNYA, DAN DIA LAH YANG MENGHIDUPKAN MAKHLUK-MAKHLUK YANG MATI. DAN (INGATLAH), IA MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (ASY-SYURA 42:9)

  1. Munasabah ayat ini: puak kafir telah memilih dan mengambil benda lain sebagai sembahan dan sekutu kepada Allah.
    Lalu Allah beritahu kepada Rasulullah s.a.w bahawa Baginda tidak dapat mengawal mereka, hanya Allah saja yang boleh mengawal dan menentukannya.
  2. Lalu ayat ini adalah tempelak dan satu sergahan kepada mereka: Patutkah kamu mengambil benda lain sebagai sekutu kepada Allah??? Yang dijadikan pelindung yang disembah dan dipuja???
  3. Sedangkan Allah s.w.t adalah Pelindung yang sebenar-benarnya, dan Dia-lah yang berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang mati.
  4. Dan (ingatlah), Allah s.w.t Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Maka mantapkan akidah dan kefahaman kita!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 7- {Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran}- ayat ini menyatakan objektif al-Quran dan isbat bahawa semua perkara yang Allah s.w.t buat itu ada hikmah.
    Kerana huruf lam (لام) dalam ayat ini menunjukkan sebab, jadi semua perkara itu adalah berdasarkan hikmah dan kebijaksanaan Allah Azza wa Jalla.
  2. Ayat 7- {supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) \”Ummul-Qura\”}- timbul persoalan, ayat ini seolah Rasulullah s.a.w diutuskan hanya kepada penduduk Makkah dan sekitarnya sahaja? Sedangkan ayat sebelum ini Allah katakan bahawa Rasulullah s.a.w diutuskan untuk seluruh alam?

Jawapan: tidak bertentangan, kerana maksudnya mengikut Ibnu Abbas r.a:
i- untuk semua manusia kerana semua manusia atas dunia ini menghadap kepada Ka\’bah di Makkah. Jadi maksudnya atas dunia semua sekali.

ii- kita sebut sebahagian orang itu tidak menunjukkan ia tidak umum. Yang dikehendaki dengan -sekitarnya- adalah umum untuk seluruh dunia bukan khusus sekitar Makkah sahaja.

  1. Ayat 7- {serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) – yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk neraka.}- kenapa dikatakan hari Perhimpunan sedangkan selepas itu dipisahkan pula menjadi dua kumpulan? Sepuak masuk syurga, sepuak masuk neraka??

Kata ulama\’ ayat ini tidak bercanggah kerana:
i- manusia dikumpulkan dulu kemudian baru berpisah kepada dua selepas ditapis.
ii- manusia dikumpulkan untuk diasingkan.

  1. Ayat 8- {Dan jika Allah menghendaki, tentulah Ia menjadikan mereka satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu); akan tetapi Allah (tidak merancang yang demikian bahkan Ia akan) memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan);}- ayat ini dalil Allah s.w.t tidak jadikan manusia itu satu jenis, tetapi Allah akan masukkan sesiapa yang Dia kehendaki ke dalam rahmat-Nya iaitu mereka yang beriman, menerima hidayah dan petunjuk.

Maka untuk kita menjadi orang terpilih mendapat rahmat dan hidayah Allah s.w.t kita ikutlah petunjuk al-Quran dengan belajar dan tadabburnya, belajar dan ikut Sunnah Nabi s.a.w. supaya Allah beri hidayah kepada kita!

  1. Ayat 9- {Dan (ingatlah), Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} – ayat ini memberi galakan kepada kita bahawa hendaklah kita sentiasa berdoa, bermunajat dan merayu kepada Allah s.w.t. Berdoalah apa saja yang kita nak kecuali benda haram!

i- Kita jangan fikirkan adakah doa kita itu akan dikabulkan atau tidak, yang penting adakah kita berdoa atau tidak kepada Allah s.w.t. Kerja kita hanya berdoa, sebagai satu ibadat kita akan dapat pahalanya juga insya\’ Allah.

ii- Kata Sayyidina Umar al-Khattab r.a: \”Aku tidak pernah terfikir adakah Allah kabulkan atau tidak doaku, apa yang aku fikirkan apakah aku telah berdoa atau tidak kepada Allah s.w.t.?\”

iii- Hatta doa para nabi pun mengambil masa untuk dikabulkan, apatah lagi doa kita yang banyak salah dan silap ini.

Contoh:
i- Doa Nabi Ya\’kub yang terpisah dengan anaknya Yusuf, berpuluh-puluh tahun terpisah & Yusuf melalui pelbagai ujian, selepas itu baru mereka bertemu kembali.

ii- Nabi Musa a.s yang berdoa untuk kebinasaan Firaun, mengambil masa bertahun juga untuk Allah kabulkan dan akhirnya Firaun tenggelam musnah dalam laut.

iii- Nabi Ayub a.s yang ditimpa penyakit berapa lama, kemudian dia berdoa kepada Allah, juga mengambil masa sebelum sembuh, bukan kata hari ini berdoa esok terus sembuh!

iv- Daripada Abi Said al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا

Maksudnya: \”Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahim, melainkan Allah S.W.T akan mengabulkannya dengan tiga cara:
i- Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin,
ii- Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak,
iii- dan Allah akan tukar dengan menjauhkan darinya keburukan.\” [HR Imam Ahmad- Hasan].

Maka perbanyakkanlah doa kita terutamanya pada malam-malam10 akhir Ramadhan ini yang sangat mustajab dan terdapat Lailatul-Qadar padanya.
Insya\’ Allah Kita tidak akan kerugian, bahkan tetap akan dapat pahala samada Allah kabul atau tidak doa kita. Yang ruginya adalah jika tidak berdoa!!!!

Powered by BetterDocs