SURAH AZ-ZUMAR : AYAT 42-45

\"\"

ALLAH BERKUASA MEMATI DAN MENGHIDUPKAN, KUASA SYAFAAT DENGAN IZIN ALLAH & KEADAAN MUSYRIKIN BILA SEBUT ALLAH.

Full video : https://youtu.be/cBnAaIckoTI

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan kuasa mutlaknya menghidup dan mematikan siapa saja yang dikehendakinya. Tiada siapa yang boleh menghalangnya.
  2. Juga bahawa tidur itu adalah seumpama mati kecil, sesiapa yang belum sampai ajalnya, rohnya akan dihantar balik kepada jasadnya, lalu akan celik mata dan bangun kembali. Manakala sesiapa yang sudah sampai ajalnya, rohnya tidak akan dilepaskan kembali lalu matilah dia.
    Tidur yang tidak bangun-bangun lagi kecuali di dalam kubur nanti!
  3. Kemudian Allah s.w.t menyatakan tentang kuasa-Nya dalam bab syafaat dalam memberi pertolongan kepada siapa yang dikehendaki-Nya.
    Juga kepada siapa yang Allah beri keizinan untuk memberi pertolongan atau syafaatnya kepada orang lain.
  4. Juga tentang kedaan orang kafir musyrikin yang apabila disebut nama Allah s.w.t sempit dadanya tidak senang; tetapi apabila disebut berhala sembahan mereka; celik mata suka dan gembira.
  5. Munasabah: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah menafikan bahawa segala sembahan itu tiada kuasa untuk memberi pertolongan mahupun manfaat dan mudharat kepada para penyembahnya. Maka dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan kekuasaan-Nya yang mutlak!

AYAT 42- {ALLAH (YANG MENGUASAI SEGALA-GALANYA), IA MENGAMBIL DAN MEMISAHKAN SATU-SATU JIWA DARI BADANNYA, JIWA ORANG YANG SAMPAI AJALNYA SEMASA MATINYA, DAN JIWA ORANG YANG TIDAK MATI: DALAM MASA TIDURNYA; KEMUDIAN IA MENAHAN JIWA ORANG YANG IA TETAPKAN MATINYA DAN MELEPASKAN BALIK JIWA YANG LAIN (KE BADANNYA) SEHINGGA SAMPAI AJALNYA YANG DITENTUKAN. SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN ITU MENGANDUNGI TANDA-TANDA YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN ALLAH BAGI KAUM YANG BERFIKIR (UNTUK MEMAHAMINYA).} (AZ-ZUMAR 39:42)

  1. Allah s.w.t yang menguasai segala-galanya. Dia mengambil roh dan memisahkannya dari tubuh manusia apabila sudah sampai ajalnya. Yakni Allah jua yang berkuasa menghidup dan mematikan semua makhluk ini.
  2. Tidur itu dianggap sebagai mati kecil. Ini kerana roh telah terpisah dan keluar dari badan juga pada waktu itu.
    i- Jika telah sampai ajalnya Allah s.w.t tidak akan kembalikan lagi rohnya kepada jasadnya maka matilah orang yang telah ditetapkan matinya.

ii- jika belum sampai ajalnya, Allah akan melepaskan rohnya kembali ke dalam tubuhnya, lalu sedar dan hidup balik sehingga tempoh yang tertentu yang telah ditetapkan.

  1. Firman Allah s.w.t: {Dan Dia lah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Ia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.} (Al-An\’aam 6:60)
  2. Rasulullah s.a.w banyak mengajar bacaan-bacaan dan doa sebelum tidur untuk kita bacanya:

i- Hadis kebas tempat tidur dan baca:
بِاسْمِكَ رَبِّي وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، فإِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا، بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ
Dengan namaMu wahai Tuhanku aku letakkan lambungku dan dengan namaMu aku mengangkatnya. Sekiranya Engkau memegang rohku (mati) maka ampunilah ia, sekiranya Engkau lepaskan ia maka peliharalah ia sebagaimana Engkau menjaga hamba-hamba Engkau yang soleh.
\”Apabila bangun seseorang kamu dari tempat tidurnya, kemudian dia kembali semula kepadanya, maka hendaklah dikibaskan dengan hujung kainnya sebanyak 3 kali dan sebutlah nama Allah \”Bismillah\” kerana dia tidak mengetahui sesuatu yang datang kepadanya selepas ditinggalkannya dan apabila hendak baring, bacalah doa ini\”. [Al-Bukhari 6320 dan Muslim 2714.]
Banyak lagi bacaannya dalam Perisai Muslim.

ii- Bacaan sebelum tidur:
بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَموتُ وَأحْيَا
Ya Allah, dengan namaMu aku mati (tidur) dan dengan namaMu aku hidup (jaga).
Abu Daud 5045. Lihat Shahih At-Tirmidhi (3/143).

  1. Kerana itu sunnah untuk kita baca doa-doa ini agar kita ingat bahawa kita nak tidur ini, tak tahu akan bangun balik atau tidak, mati terus atau hidup kembali!
  2. Semua doa dan bacaan ini sebagai persiapan untuk mati jika takdirnya roh kita tidak kembali lagi. Andai kita mati akhir ucapan kita adalah berdoa dan menyebut nama Allah, insya\’ Allah.
  3. Sesungguhnya perkara ini, menahan atau mengembalikan roh ini menunjukkan satu tanda yang besar akan kekuasaan Allah s.w.t. Yakni tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir untuk memahaminya.

AYAT 43- {PATUTKAH MEREKA (YANG MUSYRIK) MENGAMBIL YANG LAIN DARI ALLAH MENJADI PEMBERI SYAFAAT? BERTANYALAH (KEPADA MEREKA): \”DAPATKAH YANG LAIN DARI ALLAH MEMBERI SYAFAAT PADAHAL SEMUANYA TIDAK PULA MENGERTI (SEBARANG APA PUN)?\” (AZ-ZUMAR 39:43)

  1. Allah s.w.t menyuruh Rasulullah berdialog bertanya kepada para kafir dan musyrik itu supaya mereka sedar dan insaf; adakah tuhan-tuhan berhala yang mereka sembah selain daripada Allah itu dapat memberi prtolongan dan syafaat kepada mereka?
  2. Sedangkan mereka semua tidak mempunyai kuasa, tidak hidup, tidak berakal dan tidak dapat mempertahankan diri sendiri apatah lagi memberi manfaat dan mudharat kepada yang lain!

AYAT 44- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”SYAFAAT ITU SEMUANYA HAK KEPUNYAAN ALLAH; DIA LAH YANG MENGUASAI SEGALA URUSAN LANGIT DAN BUMI; KEMUDIAN KAMU AKAN DIKEMBALIKAN KEPADANYA (UNTUK MENERIMA BALASAN).\” (AZ-ZUMAR 39:44)

  1. Allah s.w.t tegaskan dalam ayat ini bahawa semua kuasa syafaat untuk menolong orang lain itu milik Allah! Tiada siapa yang dapat memberi atau mendapat syafaat kecuali dengan izin Allah s.w.t, iaitu beberapa kumpulan yang diizinkan-Nya! Dialah yang Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi.
  2. Kemudian kepada Allah s.w.t jualah tempat kita semua kembali, untuk diadili, dihisab kemudian menerima pembalasan, mahu atau tidak!
  3. Firman Allah s.w.t juga:
    i- {Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya.} (Al-Baqarah 2:255)

ii- {Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan), dan apa yang di belakang mereka (yang akan mereka lakukan); dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah; dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azab-Nya.} (Al-Anbiyaa\’ 21:28)

iii- {(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan diredhai-Nya.} (An-Najm 53:26)

  1. Kuasa syafaat yang terbesar adalah yang Allah s.w.t kurniakan kepada Rasulullah s.a.w pada hari Kiamat nanti.

AYAT 45- {DAN (DI ANTARA KEBURUKAN ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN SYIRIK): APABILA DISEBUT NAMA ALLAH SEMATA-MATA (DI DALAM DOA DAN SEBAGAINYA), SEGAN SERTA LIARLAH HATI MEREKA YANG TIDAK BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT; DAN APABILA DISEBUT NAMA-NAMA YANG MEREKA SEMBAH DAN PUJA YANG LAIN DARI ALLAH, MEREKA DENGAN SERTA MERTA RIANG DAN GEMBIRA. (AZ-ZUMAR 39:45)

  1. Sifat atau perangai buruk golongan syirik ini; apabila disebut nama Allah semata-mata di dalam doa atau peringatan, tidak disebut nama yang lain, hati mereka menjadi liar, serabut, stress, benci dan tidak suka sama sekali!
  2. Tetapi apabila disebut nama-nama yang mereka puja dan sembah selain daripada Allah, mereka menjadi gembira riang-ria, kerana terkena dan selari dengan nafsu mereka! Mereka memujinya dengan berkata inilah toleransi, ini menerima hak asasi dan seumpamanya.
  3. Beginilah yang terjadi dalam negara kita sekarang ini, satu persatu hak agama & umat Islam tercalar dan robek, semoga ada kesedaran dan tindakan segera dari orang Islam yang berkuasa untuk menukar undang-undang ini dan mempertahankan Islam.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 42- {Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia (اللَّهُ) mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya;}- Allah s.w.t menjelaskan bahawa Dia yang mneguasai segalanya, yang menghidupkan dan mematikan semua makhluk.

Tadabbur:
a) Dalam ayat ini dan beberapa ayat lain Allah s.w.t menyebut bahawa Dia Allah (اللَّهُ) yang mematikan manusia.
Firman Allah s.w.t juga:
i- {Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya;} (Al-Mulk 67:2) |

ii- {Ketika Nabi Ibrahim berkata: \”Tuhanku Dialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan\”.}
(Al-Baqarah 2:258)

b) Dalam ayat ini pula Allah sebut bahawa Malaikil Maut yang mengambil nyawa:
{Katakanlah (wahai Muhammad); \”Nyawa kamu akan diambil oleh Malakul Maut (مَلَكُ الْمَوْتِ) yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)\”.} (As-Sajdah 32:11)

c) Dalam ayat ini pula Allah kata para utusannya yang mengambil nyawa:
{Sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (رُسُلُنَا) (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).} (Al-An\’aam 6:61)

Jawapan:
Tiga bentuk ayat ini tidak bercanggah sama sekali, samada yang disebutkan mematikan itu Allah sendiri, malaikat atau utusannya dari kalangan malaikat. Ini kerana kuasa yang menghidupkan dan mematikan itu secara hakikatnya, semuanya di bawah kuasa Allah Azza wa Jalla!
Kemudian disandarkan perbuatan mematikan itu kepada makhluk yang ditugaskan Allah untuk mencabut nyawa manusia iaitu ketuanya Malaikat Maut dan para malaikat yang ditugaskan untuk membantunya iaitu utusannya kerana roh itu banyak yang hendak dicabut nyawa.
*Tentang nama Izrail bagi Malaikat Maut itu tiada dalam riwayat yang sahih.

Roh itu adalah satu makhluk, kerana sifatnya dapat ia diambil, ditahan atau dilepaskan. Ini semua sifat makhluk serta roh juga ada jisimnya, macamana bentuknya wallahu a\’lam.
Firman Allah s.w.t: {Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.} [al-Israa\’: 85].

Kisah seorang guru non-Muslim (NM) berdialog dengan Allahyarham TG Hj Abdur Rahman.
Dia NM tanya: Kamu orang Islam kata ada Tuhan. Jika ada mana nak tengok? Tak pernah nampak pun.
TG menjawab dengan tanya balik: Cikgu hidup ini dengan apa?
NM: Dengan nyawa.
TG: Jika benar ada nyawa mana dia, cuba tunjukkan sebab kita pun tak nampak nyawa itu?
{Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu)}.

  1. Ayat 42- {dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya;}- yakni tidur itu dianggap sebagai mati kecil, jika sudah sampai ajalnya rohnya tidak akan kembali lagi ke jasadnya dan tidak akan kembali lagi!

Bila mati semua makhluk ini tidak akan hidup balik kecuali dalam beberapa keadaan yang Allah s.w.t izinkan sebagai menjadi bahan bukti bahawa benarnya Allah Azza wa Jalla dan kuasanya!
i- kisah lembu bani Isral yang hidup balik untuk menjadi saksi pembunuhan.
ii- kisah beberapa orang penduduk kampung yang lari beramai-ramai kerana takut mati, maka Allah s.w.t matikan mereka semua kemudian hidupkan balik untuk menjadi saksi kematian mereka sendiri.
iii- burung yang dicincang oleh Nabi Ibrahim a.s
Dan beberapa kisah serta isu lain untuk menjadi bukti bahawa mati itu benar dan dalil akan kekuasaan Allah s.w.t.
Boleh baca buku: Rukun Iman. Terjemahan Dr Abu Anas Madani.

  1. Ayat 42- {Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan.}- banyak ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang mati dan tidur ini kerana keduanya adalah dua perkara yang ajaib.

Bila kita tidur ia seolah mati kerana roh kita telah keluar dari jasad kita separuhnya. Bila belum sampai ajal kita akan sedar dan bangun kembali.
Kerana itu perkara pertama yang kita kena lakukan ialah membaca doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w ini:

Doa ketika bangun dari tidur
اَلحَمدُ لِلهِ الَّذِي أحيَانَا بَعْدَ مَا أمَاتَنَا وَ إِلَيهِ النُّشُورُ
Segala Puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepada-Nya kami akan kembali
[HR Al-Bukhari & Muslim].

Antara tanda mati dan tidur ini yang Allah s.w.t beri ilmu kepada manusia ialah para doktor bius yang dapat menidurkan manusia selama beberapa waktu yang dikehendaki, ada pula bius separuh, bisu sepenuh dan lain-lain. Bius ini juga seperti mati kecil, jika sudah sampai ajalnya tidak akan sedar atau hidup kembali!

  1. Ayat 43- {Patutkah mereka (yang musyrik) mengambil yang lain dari Allah menjadi pemberi syafaat?}- hanya Allah s.w.t yang mampu dan berkuasa untuk memberi syafaat dan pertolongan yang penuh kepada kamu di Akhirat nanti!
    Syaafat ini ada dan terdapat beberapa syafaat yang Allah s.w.t izinkan dan beri kuasanya. Yang paling besar ialah Syafaat oleh Rasulullah s.a.w yang agung pada hari kiamat dan beberapa golongan lagi.
  2. Ayat 45- {Dan (di antara keburukan orang-orang yang melakukan syirik): apabila disebut nama Allah semata-mata (di dalam doa dan sebagainya), segan serta liarlah hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat;}- inilah perangai orang kafir dan kaum munafiq!

Maka kamu orang yang beriman jangan ikut perangai orang kafir in, apabila disebut nama Allah akan rasa gelisah dan sempit dada mereka kerana benci dan tidak suka, tetapi jika disebut nama selain Allah mereka rasa gembira dan tenang!

Firman Allah s.w.t: {Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.} (Az-Zumar 39:22)

Kita semak balik diri kita adakah kita orang yang suka dengar dan bincang tentang Islam dan hukum-hakamnya atau orang yang sempit dadanya apabila disebut tentang Islam?

Ya Allah jadikan kami orang yang mendapat hidayah petunjuk-Mu, menerima kebenaran dan orang yang lapang dadanya apabila mendengar ayat-ayat al-Quran dan tentang Islam.

Powered by BetterDocs