SURAH FATHIR : AYAT 27-28

\"\"

TANDA KUASA ALLAH MENURUNKAN HUJAN, TUMBUHAN DAN BUKIT PELBAGAI WARNA & PARA ULAMA\’ YANG TAKUT KEPADA ALLAH S.W.T.

Full video : https://youtu.be/4WokrBsTJl8

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan sambung tentang dalil keAgungan, keEsaan & kekuasaan Allah s.w.t yang lain pula.
  2. Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t ceritakan tentang hujan yang diturunkan-Nya.
    Dalam ayat ini Allah s.w.t tanya pula apakah kamu tengok hujan itu?
  3. Walaupun nampak kisah hujan ini seolah berulang, tetapi episod dan perbincangannya tidak sama, ada makna tersendiri yang tersurat & tersirat.
    Isi dan ayat al-Quran ini halus susunannya dan teliti perbicaraannya, ada makna lain yang kita kena perhatikan.
  4. Dalam siri ini juga Allah s.w.t bertanya tidakkah kamu melihat bahawa Allah menurunkan air hujan dari langit?
    Ini adalah dalil di atas, langit.
    Kemudian turun ke bawah sedikit iaitu tentang bukit-bukau pula.
    Sebelum ini kita telah menyelam ke dasar lautan mencari mutiara dan coral & minyak.
  5. Jika kamu lihat adakah kamu lihat dengan mati atau hanya dengan mata kamera yang tidak memberi apa-apa faedah dan kesedaran.
    Kerana itu orang yang beriman bila baca al-Quran akan bertambah keimanannya, manakala orang yang tertutup hatinya seolah orang yang mati, tidak mendengar apa-apa serta tidak memberi manfaat.
  6. Lalu Allah s.w.t bawa contoh tentang hamba-Nya Para Ulama\’ Yang Takut Kepada Allah s.w.t. yang bertambah mantap keimanan dan kefahaman dengan sebab ilmu yang bermanfaat.

AYAT 27- {TIDAKKAH ENGKAU MELIHAT BAHAWA ALLAH MENURUNKAN HUJAN DARI LANGIT, LALU KAMI KELUARKAN DENGAN AIR HUJAN ITU BUAH-BUAHAN YANG BERLAINAN JENIS DAN RUPANYA; DAN DI ANTARA BUKIT-BUKAU PULA ADA YANG MEMPUNYAI JALUR-JALUR SERTA LORONG-LORONG PUTIH DAN MERAH, YANG BERLAINAN WARNANYA (TUA DAN MUDA) DAN ADA JUGA YANG HITAM LEGAM;} (FATHIR 35:27)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t bertanya tidakkah kamu melihat bahawa Allah menurunkan air hujan dari langit?
    Tengok dengan mata kepala & mata hati atau hanya dengan mata kamera yang hanya rakam saja.
    Jika tengok dengan hati, apabila melihat kepada makhluk kita akan teringat kepada Pencipta-Nya (al-Khaliq).
  2. Sebelum ini dalam ayat 9- Allah s.w.t ceritakan tentang angin yang Allah s.w.t hantar untuk meniup awan ke tempat untuk diturunkan hujan.
    Kemudian dalam ayat ini Allah s.w.t bawa sekali lagi dalil hujan ini sebagai tanda (ayat) untuk menunjukkan kekuasaan dan keagungan-Nya.

3.Sekarang ini sudah mula musim hujan dan tengkujuh di Pantai Timur, banyakkan berdoa minta perlindungan dari mara bahaya dan ingat kepada Allah selalu.

  1. Lalu Allah hasilkan dengan hujan yakni air yang sama & bumi yang satu, tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan yang beraneka jenis dan warnanya, dan bermacam-macam juga rasa dan baunya. Tak sama buah durian dan manggis, epal dan limau dan semuanya.
    Kita manusia ini dalam sesama adik beradikpun ada berbeza dan berlainan rupannya walaupun daripada ibu bapa yang sama!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.}
    {Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.} (Ar-Ra\’d: 3-4)
  3. Betapa hebat dan berkuasanya Allah s.w.t sebagai Pencipta (الخالق), maka jangan sekali-kali kita tersalah menyebut atau mengatakan Tuhan itu makhluk, ini satu kesilapan yang amat besar kerana ia adalah satu perlawan sifat yang jelas!
  4. Allah s.w.t juga menciptakan bukit-bukau sebagai pasak di bumi itu yang beraneka ragam warnanya, bahkan satu gunung saja ada beberapa jalur warna pada jalannya (جُدَدٌ); ada yang berwarna putih (بِيضٌ), ada yang berwarna merah (وَحُمْرٌ), dan lain-lain warna (مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهَا) serta ada juga yang hitam legam (غَرَابِيبُ سُودٌ).
  5. Mitos yang sering dipercayai oleh Jemaah haji bahawa Bukit Uhud di Madinah berwarna merah dek kerana darah para syuhada\’ yang tumpah dalam perang Uhud. Ini tidak benar kerana banyak bukit/gunung di Tanah Arab yang warnanya merah begini juga.
  6. Manakala bukit yang hitam ini ada sungguh di Madinah di namakan Bukit Burkan yang pernah keluar api dulu, maka batu-batu di sekitarnya berwarna hitam seolah terbakar.
    Boleh tengok kisah lanjut dalam buku: Madinah & Sejarah. Dapatkan di:
    http://www.dartaibah.com/…

AYAT 28- {DAN DEMIKIAN PULA DI ANTARA MANUSIA DAN BINATANG-BINATANG YANG MELATA SERTA BINATANG-BINATANG TERNAK, ADA YANG BERLAINAN JENIS DAN WARNANYA? SEBENARNYA YANG MENARUH BIMBANG DAN TAKUT (MELANGGAR PERINTAH) ALLAH DARI KALANGAN HAMBA-HAMBANYA HANYALAH ORANG-ORANG YANG BERILMU. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUASA, LAGI MAHA PENGAMPUN.} (FATHIR 35:28)

  1. Sebagaimana Allah s.w.t jadikan buah-buahan dan bukit-bukau itu berbeza, begitu juga makhluk hidup, iaitu manusia (النَّاسِ), binatang-binatang melata (وَالدَّوَابِّ) dan binatang-binatang ternak (وَالْأَنْعَامِ), pada mereka juga terdapat pelbagai perbezaan warna, sifat, suara, rupa dan jenisnya, padahal semuanya dari asal dan bahan yang satu. Maha Suci Allah sebaik-baik Yang Menciptakan.
  2. Semua perbezaan itu merupakan dalil yang menunjukkan kepada iradat (kehendak) Allah dan qudrat (kekuasaan) Allah s.w.t. yang mencipta semua itu, serta menunjukkan hikmah dan rahmat-Nya.
  3. Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya (يَخْشَى اللَّهَ), hanyalah para ulama.
    Oleh kerana itu, orang yang lebih mengenal Allah, maka akan bertambah rasa takut untuk melanggar perintah Allah, takut untuk tidak menunaikan perintah-Nya, mereka menahan diri dari maksiat dan mempersiapkan diri untuk bertemu dengan Allah s.w.t yang dia takuti.
  4. Kesinambungan ayat: Kenapa selepas cerita hujan, haiwan dan bukit bukau datang sebutan tentang ulama\’?
    Ini kerana selepas Allah s.w.t menyebut semua dalil tentang kekuasaan-Nya tentang hujan, pokok & haiwan yang berlainan jenis, bukit bukau yang berbeza warna dan sebagainya; maka Allah s.w.t beritahu bahawa orang yang betul-betul mengenal Allah dan tahu segala dalil dan bukti ini, berfikir serta bertadabur tentangnya adalah para ulama\’!
  5. Mereka yang dengan ilmunnya bertambah keimanan dan ketaatannya. Hanya orang-orang yang takut kepada Allah saja yang dapat mengambil manfaat darinya, dan dengan tafakkur dan tadabburnya dapat membuatnya mengetahui hikmahnya.

Bukan seperti para orientalis kafir yang mengkaji dan mengorek semua kejadian dan keajaiban alam ini, tetapi malangnya mereka tetap tidak jumpa dan tidak kenal Tuhan!
Tetapi ada juga mereka yang diberi hidayah selepas mengkaji semuanya mendapat kefahaman dan memanfaatkan ilmu dengan beriman, alhamdulillah.

  1. Hadis riwayat UM Aisyah r.a: \”Nabi S.A.W bersabda, \”Demi Allah aku adalah orang yang paling kenal Allah S.W.T dan yang paling berilmu mengenai Allah S.W.T dari mereka semuanya, dan aku orang yang paling takut kepada Allah S.W.T\” (HR Bukhari dan Muslim).
  2. Rasulullah S.A.W mendidik para Sahabatnya untuk takut kepada Allah S.W.T.
    Dari Anas R.A., Rasulullah S.A.W bersabda, \”Seandainya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, kamu pasti akan sedikit ketawa dan banyak menangis\”.\”Anas berkata: Maka para sahabat Rasulullah S.A.W menutupi muka mereka lalu menangis teresak-esak.\” (Muttafaq \’alaih)
  3. Siapakah para ulama\’ ini?
    Ulama\’ itu bukan hanya boleh diberi gelaran atau dibuat persatuan saja maka boleh jadi ulama\’.
  4. Syeikh Abu Hayyan rhm. berkata: Ulama\’ itu ialah orang yang kenal Allah s.w.t dengan sifat-Nya yang wajib, harus dan mustahil, serta tahu sifat tanda kudrat kekuasaan Allah s.w.t atas sesuatu, bertauhid kepada-Nya, maka mereka membesarkan dan letakkan Allah s.w.t di tempat yang sepatutnya.
    Takut kepada-Nya dalam semua keadaan, masa & tempat. Mereka ini bertambah takut kepada Allah s.w.t, lagi kenal Allah s.w.t (makrifah) lagi takut kepada Allah, makin bertambah ilmu, makin takut kepada Allah.
    Sesiapa yang ilmunya tentang Allah kurang, maka dengan sendirinya akan rasa selesa dan tak takut untuk buat maksiat.
  5. Kata ulama\’ orang yang faqih ialah mereka yang alim dengan Syari\’ah Allah s.w.t dan beramal dengannya.
    Tanda orang yang kenal Allah s.w.t ialah dia akan rasa takut gerun dan malu dengan kehebatan Allah s.w.t.
  6. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan berkata: Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengam. Iaitu Maha sempurna kekuasaan-Nya, Dia menciptakan makhluk yang beraneka macam itu. Dia Maha Pengampun dosa-dosa bagi hamba-hambaNya yang insaf dan kembali bertaubat.
  7. Jika seseorang itu mengaku takut kepada Allah s.w.t, tanda dan kesannya ialah:
    i- tidak akan buat maksiat.
    ii- dia sentiasa buat persiapan untuk bertemu dengan Allah yang ditakutinya itu!

Inilah dalil ilmu yang bermanfaat.
Ilmu yang bermanfaat itu akan mendekatkan kamu kepada Allah s.w.t dan menjauhkan kamu dari maksiat!

  1. Kita wajib kenal nama Allah s.w.t & sifat-sifat-Nya untuk dihayati bukan hanya untuk dilagukan dan dijadikan polemik!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 27- {Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit,} – ayat ini adalah dalil dalam bentuk menanya khabar istikhbar (استخبار) – berbeza dengan dalil cerita ikhbar (إخبار) sebelum ini.
    Dalam ayat (9) sebelum ini Allah s.w.t ceritakan tentang awan, angin dan hujan; itu adalah dalil cerita. (إخبار).
  2. Ayat 27- {lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan} – ini dalil bahawa setiap benda yang berlaku itu ada sebab supaya manusia tidak pening untuk berfikir tentangnya.
    Walaupun hakikatnya boleh saja Allah s.w.t menjadikan setiap sesuatu itu tanpa sebab seperti Maryam yang melahirkan Nabi Isa a.s. tanpa bapa.
    Tetapi kes ini hanya khas untuknya saja, untuk manusia lain pasti kena ada sebabnya.
  3. Ayat 27- {lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya;}- Perbezaan itu merupakan dalil yang menunjukkan kepada kekuasaan Allah s.w.t. yang mengeluarkan buah yang berbeza dan bunga yang berlainan dari bumi yang sama dan dari sumber air yang sama. Ada hijau ada merah, ada manis ada masam, menunjukkan hikmah dan rahmat-Nya.
  4. Ayat 27- {dan di antara bukit-bukau pula ada yang} – kenapa dalam ayat ini Allah s.w.t sebut bukit (الْجِبَالِ) bukan bumi (الْأَرْضِ)?
    Dalam ayat 4 surah ar-Ra\’du Allah sebut tanah yang berdekatan (الْأَرْضِ).
    Di sini Allah sebut bukit walaupun ia adalah dalil yang sama, naik sedikit dari bumi, kerana jika sebut bumi lawan biasanya adalah langit. Ini kerana bukit di kira makhluk ciptaan Allah yang berada di antara langit dan bumi, bukit biasanya disebut bersama awan.
  5. Ayat 27- {jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;}- dalam ayat ini Allah s.w.t sebut satu persatu warna putih, merah dan lain-lain warna, tetapi hitam diasingkan. Kenapa? Ini kerana dari segi bahasa hitam itu tidak dikira warna seperti yang lain itu, ia adalah satu sifat yang tersendiri dan khas. Al-Quran ini begitu teliti dan terperinci, halus dan seni!
  6. Ayat 28- {Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya?}- ayat ini menunjukkan keagaungan kekuasaan Allah s.w.t. Semua ini ciptaan Allah s.w.t yang maha Berkuasa dan penuh hikmah! Bukan seperti dakwaan sesetengah manusia yang tidak beriman, mereka mengatakan semua ini adalah bergantung kepada hukum alam, nature/tabi\’i yang terjadi secara semulajadi ikut iklim dan musim.
    Tsunami, gempa bumi, puting beliung, gunung berapi dan semuanya adalah bencana alam yang datang sebagai peringatan dari Allah s.w.t! wajib sandarkan semuanya kepada Allah baru tidak kufur & syirik.
  7. Ayat 28- { Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.} – jelas di sini orang yang berilmu (الْعُلَمَاءُ) yang takut dan taat kepada Allah s.w.t adalah sebaik-baik manusia selepas para rasul & nabi.

Firman Allah s.w.t: {Seungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.} (Al-Bayyinah: 7-8)

  1. Ayat 28- { Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.} – intinya di sini- hanya orang yang alim (banyak ilmu) yang akan takut kepada Tuhan, tidak dipanggil orang alim kecuali dia takut kepada tuhan!
    Orang yang tiada ilmu dia tidak takut kepada Tuhan!
    Ayat ini dalil kepada bahawa yang takut dengan dua jenis takut (خَشيَةَ وخَوْفٌ) kepada Allah s.w.t dengan ilmu maka baru boleh dipanggil ulama\’.
  2. Apa pula beza dua takut ini? (خَشيَةَ) dan (خَوْفٌ)
    i- takut khas-yah (خَشيَةَ) itu lebih dalam, iaitu takut dengan ilmu, takut kepada Allah s.w.t secara zahir dan ghaib. Ulama\’ itu dia takut beginilah kepada Allah s.w.t yang Maha Mendengar, Melihat dan semuanya.

ii- khauf (خَوْفٌ) ialah takut secara umum, takut kepada semua benda lain yang zahir, yang dapat dilihat dan ada di depan mata. Jika tiada di depannya tidak kisah.

  1. Ulama\’ ini bukan boleh diberi gelaran atau diisytihar, atau dilihat pada penampilan saja.
    Ulama\’ Rabbani ialah yang betul-betul takut kepada Allah s.w.t dari segenap segi serta penampilan, perkataan, perbuatan dan segala bawaannya mencerminkan keilmuwannya!
    Dia takut untuk melanggar perintah Allah serta sentiasa menjaga SOP Syari\’ah.
    Bukan ulama\’ walaupun beribu pengikut jika hanya setakat membawa hadis palsu!
    Ulama\’ ialah yang boleh mendekatkan kita kepada Allah dan Rasul-Nya.

Powered by BetterDocs