SURAH YAASIN : AYAT 13-19

\"\"

KISAH 3 ORANG RASUL KEPADA ASHAB AL-QARYAH, PENENTANGAN MEREKA KEPADA RASUL & MENGANGGAP RASUL PEMBAWA KESIALAN.

Full video : https://youtu.be/mGdItJRMubs

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang penduduk sebuah Al-Qaryah (kampung/bandar), penentangan mereka terhadap rasul yang diutuskan kepada mereka & menganggap rasul pembawa kesialan kepada mereka.
  2. Kesinambungan ayat ini dengan ayat sebelumnya ialah:
    i- Setelah Allah s.w.t ceritakan kepada kita tugasan seorang nabi dalam ayat:

a)Ayat 3- {Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,},

kemudian ayat ke-6:
b)Ayat 6- {Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.}
Maka ini menunjukkan tugasan seorang nabi bukan benda baru, sebelum Nabi Muhammad s.a.w telah berlalu beberapa ratus rasul dan nabi-nabi.

Firman Allah s.w.t: {Katakanlah lagi: \”Bukanlah aku seorang Rasul pembawa agama yang berlainan dari agama yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang telah lalu),} [al-Ahqaf: 9].

Rasulullah s.a.w juga menghadapi tentangan dan penolakan dari kaumnya, maka Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w buat bandingan ayat ini kepada kaum Quraisy, jika taat dan ikut rasul akan selamat, jika tidak maka akan binasa!

ii- setelah kedatangan rasul membawa ajaran dan amaran tidak diterima dan diingkar oleh golongan sesat, Allah s.w.t tenangkan hati Rasulullah dan ajar agar jangan putus asa, teruskan perjuangan dengan menyuruh Baginda membawa kisah tiga kaum ini yang juga mendustakan rasul mereka, buat bandingan untuk diri Baginda dan kaumnya tentang apa yang berlaku kepada penduduk Qaryah itu.

iii- setelah Allah s.w.t sebut dalam ayat yang lepas tentang puak kafir ini yang degil keras kepala tidak mahu menerima dakwah & al-Quran, maka Allah s.w.t beri amaran bawa kisah kemusnahan mereka dengan dengan azab yang di dunia lagi. Pada akhir ayat nanti diceritakan suara tempikan yang memusnahkan mereka.

AYAT 13- {DAN CERITAKANLAH KEPADA MEREKA SATU KEADAAN YANG AJAIB MENGENAI KISAH PENDUDUK SEBUAH BANDAR (YANG TERTENTU) IAITU KETIKA MEREKA DIDATANGI RASUL-RASUL (KAMI),} (YAA SIIN 36:13)

  1. Allah s.w.t. berfirman memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w., menceritakan tentang kisah ajaib penduduk sebuah bandar yang tertentu.
  2. Ingatkan kaummu tentang kisah mereka agar mereka mengambil pengajaran dan iktibar daripada penduduk kampung itu. Ayat ini untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w.
  3. Penduduk bandar itu telah dihantar 3 orang rasul kepada mereka, tetapi mereka tetap tidak mahu beriman! Maka kamu yang seorang diri saja, menghadapi kaummu yang lebih ramai daripada kaum bandar itu, kamu bukan hanya hanya diutus kepada kaum Quraisy sahaja bahkan kepada seluruh alam ini sehingga ke hari Kiamat.
  4. Ulama\’ kata nama bandar itu tidak disebut nama dan dimanakah tempatnya. Peristiwa ini dikatakan berlaku pada zaman nabi-nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad s.a.w bahkan ada yang kata sebelum nabi Isa a.s lagi. Ini kerana yang penting ialah kisah pengajarannya.
    **Pandangan panel tafsir Pimpinan Ar-Rahman ini adalah sesuatu yang ilmiah dan dipersetujui oleh Abu Anas Madani.
  5. Ada juga ulama\’ Tafsir yang menggali maklumat dan mengatakan bahawa bandar ini terletak di tepi laut utara Syria bernama Antoqiyah, yang penduduknya dimusnahkan dengan azab tempikan.
  6. Ibnu Kathir rhm. pula berkata setelah menyebut pandangan ulama\’ yang menukilkan dari ulama\’ terdahulu yang mengatakan banda itu ialah Antoqiyah, beliau berkata terdapat beberapa pandangan dan mengeluarkan pendapatnya: Bahawa bandar itu bukan Antoqiyah tetapi bandar lain yang tidak dikenali sebelum zaman Nabi Isa lagi! Lafaz tentang nama itu telah disebut dalam satu kisah lain dan tidak berlaku pembunuhan dan kebinasaan penduduknya. Juga tidak sahih pendapat yang mengatakan bahawa 3 orang rasul itu ialah penolong (hawariyyun) Nabi Isa a.s. Walahu a\’lam.
  7. Apa yang penting ialah kita mahu ambil iktibar dan pengajaran yang berlaku terhadap penduduknya. Bukan mengorek mencari sesuatu yang Allah s.w.t pun tidak sebut dan beritahunya.

AYAT 14- {KETIKA KAMI MENGUTUS KEPADA MEREKA DUA ORANG RASUL LALU MEREKA MENDUSTAKANNYA; KEMUDIAN KAMI KUATKAN (KEDUA RASUL ITU) DENGAN RASUL YANG KETIGA, LALU RASUL-RASUL ITU BERKATA: `SESUNGGUHNYA KAMI INI ADALAH DIUTUSKAN KEPADA KAMU \’.} (YAA SIIN 36:14)

  1. Mereka ini sebelumnya telah diutus kepada mereka dua orang rasul, tetapi mereka mendustakan kedua rasul itu.
  2. Kemudian Allah kuatkan kedua utusan itu dengan utusan yang ketiga. Ini menunjukkan betapa Allah s.w.t mahu supaya betul-betul sampai kepada mereka dakwah dan peringatan!
  3. Maka ketiga utusan itu sepakat berkata kepada penduduk negeri tersebut, \”Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang diutus Allah kepada kamu.\”

AYAT 15- {PENDUDUK BANDAR ITU MENJAWAB: \”KAMU INI TIDAK LAIN HANYALAH MANUSIA SEPERTI KAMI JUGA, DAN TUHAN YANG MAHA PEMURAH TIDAK MENURUNKAN SESUATUPUN (TENTANG AGAMA YANG KAMU DAKWAKAN); KAMU INI TIDAK LAIN HANYALAH BERDUSTA\”.} (YAA SIIN 36:15)

  1. Penduduk bandar/negeri itu menjawab dengan jawapan yang sudah masyhur dijawab oleh orang-orang yang menolak dakwah para rasul, \”Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami.\”
  2. Iaitu apa kelebihan kamu di atas kami? Tidak mungkin kamu diberi wahyu oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, sedangkan kamu adalah manusia seperti kami juga, berjalan di pasar, makan minum dan berkahwin serta lain-lain sifat manusia. Seandainya kamu benar-benar utusan, tentulah kamu adalah jenis malaikat.
  3. Tuhan yang Maha Pemurah tidak menurunkan apa-apa wahyu kepada kamu.
  4. Semua ini hanyalah dakwaan palsu dan dusta! Kamu semua adalah pembohong dan pendusta yang kami tidak percaya.

AYAT 16- {RASUL-RASUL BERKATA: TUHAN KAMI MENGETAHUI BAHAWA SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH RASUL-RASUL YANG DIUTUS KEPADA KAMU,} (YAA SIIN 36:16)

  1. Para rasul itu menjawab balik. Begitulah kita juga apabila menghadapi tuduhan dan pendustaan dan kesesatan, tidak boleh diam! Kita kena jawab balik untuk menegakkan kebenaran. Jika tidak mereka akan menyangka mereka akan berada di atas kebenaran jika tiada orang yang menentang dan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan ke atas mereka!
  2. Sesungguhnya kami ini rasul utusan yang dihantar oleh Tuhan kami kepada kamu. Kami telah menjalankan tugas kami dengan menyampaikan dakwah dan ajaran yang sangat jelas kepada kamu. Apa yang Allah wahyukan kepada kami, bukan rekaan dan pendustaan.

AYAT 17- {\”DAN TUGAS KAMI HANYALAH MENYAMPAIKAN PERINTAH-PERINTAHNYA DENGAN CARA YANG JELAS NYATA\”.} (YAA SIIN 36:17)

  1. Para rasul itu menegaskan lagi: Tugas kami hanya menyampaikan dakwah dengan jelas, jika kamu tidak mahu menerima dan beriman dengannya, maka tunggulah akibatnya. Kamu akan menerima balasan dari Tuhan yang mengutus kami.

AYAT 18- {PENDUDUK BANDAR ITU BERKATA PULA: \”SESUNGGUHNYA KAMI MERASA NAHAS DAN MALANG DENGAN SEBAB KAMU. DEMI SESUNGGUHNYA, KALAU KAMU TIDAK BERHENTI (DARI MENJALANKAN TUGAS YANG KAMU KATAKAN ITU), TENTULAH KAMI AKAN MEREJAM KAMU DAN SUDAH TENTU KAMU AKAN MERASAI DARI PIHAK KAMI AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA\”.} (YAA SIIN 36:18)

  1. Penduduk bandar itu menjawab lagi mengatakan mereka merasa nahas dan malang dengan sebab kedatangan para rasul itu. Yakni mereka menganggap para rasul itu membawa sial ke atas mereka. Membawa kekacauan dalam bandar mereka.
  2. Ulama\’ kata maksudnya \”merasa nahas dan malang dengan sebab kamu\” (إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ) atau membawa sial ini ialah beberapa maksud:
    i- Allah s.w.t turunkan bala turun ke atas mereka dengan dan sebab perlawanan mereka.

ii- kemarau dan kering kontang bumi, hujan tidak turun.

iii- bawa agama baru yang mereka tidak biasa dan kenal. Dari sembah berhala yang banyak disuruh sembah Tuhan yang satu!

iv- membawa perpecahan kepada masyarakat. Berpecah dua kepada yang beriman dan tidak beriman! Sama seperti dakwaan Quraisy terhadap Rasulullah s.a.w.
Sama juga seperti pendakwah hari ini yang dituduh memecahkan belahkan masyarakat apabila cuba mengajar tentang hadis sahih dan palsu, contohnya.

v- dakwaan dan tuduhan semata-mata kerana mereka tidak setuju dan mengingkarinya!
Inilah lima tuduhan kesialan ke atas para rasul a.s serta pendakwah yang membawa kebenaran.

  1. Mereka juga mula agresif dan memberi amaran jika mereka para rasul tidak berhenti menyeru mereka, nescaya mereka akan merejam para rasul itu dan akan mendapat siksa yang pedih dari mereka.
    Rejam adalah membunuh samada dengan cara melemparinya dengan batu atau alat pelontar lain. Amaran keras diberi, nak selamat berhenti dan diam!

AYAT 19- {RASUL-RASUL ITU MENJAWAB: \”NAHAS DAN MALANG KAMU ITU ADALAH DISEBABKAN (KEKUFURAN) YANG ADA PADA KAMU. PATUTKAH KERANA KAMU DIBERI PERINGATAN DAN NASIHAT PENGAJARAN (MAKA KAMU MENGANCAM KAMI DENGAN APA YANG KAMU KATAKAN ITU)? (KAMU BUKANLAH ORANG-ORANG YANG MAHU INSAF) BAHKAN KAMU ADALAH KAUM PELAMPAU\”.} (YAA SIIN 36:19)

  1. Para rasul itu menjawab lagi. Begitulah juga kita, jika tidak mereka akan merasakan mereka benar dan betul!
  2. Para rasul itu berkata kepada mereka, \”Kesialan dan malang itu adalah kerana perbuatan kamu sendiri.\” Iaitu kesialan itu kerana tingkah laku kamu sendiri, iaitu kerana kesesatan, kekafiran, perbuatan syirik dan kerana maksiat kamu, di mana perbuatan akan membawa datang sesuatu yang tidak diinginkan, siksa kemurkaan Allah s.w.t.
  3. Patutkah kamu mengancam kami dengan sebab nasihat peringatan yang kami berikan kepada kamu? Dalam ayat ini Allah s.w.t tidak sebut lagi apakah peringatn itu, tidak perlu diulang lagi, sudah memadai!
  4. Maka kamu penduduk negeri ini adalah kaum yang melampaui batas dan jahat. Orang nak selamatkan dan tolong dia mahu membunuh pula orang yang memberi nasihat kepada mereka!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 13- {Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu)} – kita boleh mengambil pengajaran dari sesuatu kisah, kumpulan manusia atau tempat tanpa perlu mencari, atau menyebut nama dan tempatnya. Allah s.w.t tahu semuanya, jika Dia mengkehendakinya atau jika itu penting; pasti akan disebut nama kampung itu, rasul mereka, bila dan dimana berlaku! Tetapi itu semua tidak penting apa yang Allah s.w.t nak ialah kita tahu lalu ambil pengajaran dan iktibar atas apa yang berlaku, kisah yang berlaku itulah yang menjadi kepentingan dan keperluan untuk kita bertadabbur.
  2. Ayat 18- {Penduduk bandar itu berkata pula: \”Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu.}- suka mengambil sial-majal (تَطَيَّرْنَا) ini adalah sifat orang kafir dan pendusta rasul-rasul a.s. Maka wajib kita sebagai orang Islam yang beriman menjauhi sifat buruk ini, kita mesti berusaha berikhktiar mengambil segala langkah keselamatan kemudian serahkan, bertawakkal kepada Allah s.w.t! Tiada kesialan, membawa nasib buruk atau malang sesuatu makhluk apa pun yang dicipta oleh Allah s.w.t.
    Itu semua amalan jahiliyyah yang sesat, seperti mandi air bunga, mandi safar, ambil tali mayat hatta kelambu Ka\’bah pun, jangan pula kita korek balik dan menghidupkannya, itu semua khurafat dan karut, na\’uzubillah!
  3. Ayat 14- {Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga,}- ayat ini menunjukkan harus Allah s.w.t menghantar beberapa orang rasul kepada satu golongan atau bandar!
    Boleh Allah nak hantar hanya seorang rasul, dua atau tiga. Seperti kepada Firaun, Allah utus Nabi Musa a.s dan saudaranya Nabi Harun.
  4. Ayat 15- {Penduduk bandar itu menjawab: \”Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang agama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta\”.}- orang yang mendustakan rasul-rasul itu sombong, keras kepala dan tiada hujjah yang benar.

Dalam ayat ini mereka buat 3 tuduhan kepada rasul yang diutus:
i- hanya manusia biasa seperti mereka, kenapa bukan malaikat.
ii- Tuhan tidak utuskan wahyu atau rasul.
iii- para rasul itu adalah pendusta!
Tetapi ia bukan hujjah yang konkrit lansung, hanya kerana keras kepala dan tertutup hati daripada kebenaran. Menafikan sesuatu yang jelas di depan mata!

  1. Ayat 17- {\”Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata\”.}- ayat ini menyatakan nasihat rasul-rasul kepada kaumnya, bahawa manfaat keimanan itu akan kembali kepada diri orang yang beriman itu sendiri. Tugas para rasul itu hanyalah utusan yang membawa perintah Allah s.w.t. Nak selamat ikutlah kami jika tidak tunggulah akibatnya!
  2. Ayat 17- {\”Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata\”.}- ayat ini menunjukkan bahawa ajaran dan dakwah seorang rasul itu mestilah sesuatu yang jelas dan nyata, bukan sesuatu yang pelik dan tidak dapat difahami oleh akal manusia biasa!
    Rasulullah s.a.w sendiri apabila Baginda menyampaikan ilmu maklumat kepada para sahabatnya, Baginda akan menggulanginya sebanyak 3 kali.
    Bukan seperti ajaran sesat iaitu sesuatu yang kabur penuh kesamaran, tidak akan dapat diterima yang oleh akal yang berfikir dengan waras. Contohnya; boleh ramal masa depan dengan mimpi ketuanya, para ketua tidak perlu solat lagi, tidak kenal diri maka tidak kenal Tuhan, maka tidak perlu solat lagi dan lain-lain ibadat.
    Maka pihak berkuasa cegahlah segera segala ajaran sesat dan khurafat ini sebelum parah dan membarah dalam masyarakat!
  3. Ayat 19- {Rasul-rasul itu menjawab: \”Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu.} – para rasul menjawab balik bahawa kesialan itu adalah kerana mereka sendiri. Kerana mereka tidak mahu ikut dakwah dan ajaran yang dibawa, dosa pembohongan dan pendustaan mereka terhadap para rasul itu membawa kesialan, maka pastilah kebinasaan dan kesialan akan menimpa ke atas mereka! Sudah menjadi ketetapan Allah s.w.t siapa yang derhaka dialah yang zalim dan sial.
  4. Ayat 19- {Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)?} – patutkan kerana diberi peringatan kamu mengatakan kamu kena sial, anggap para rasul bawa sial? Dalam ayat ini menunjukkan ketinggian uslub dan balaghah al-Quran yang tinggi, para rasul hanya menyebut adakah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat { أَئِنْ ذُكِّرْتُمْ }?
    Tidak perlu diulang balik hujah dan tuduhan yang lepas, maka tidak perlu lagi sebut dan jelaskan apakah yang dibawa itu, kerana sudah diberitahu, sudah dimaklumi dan jelas! Tidak dianggap ayat ini kurang perkataan atau balaghahnya tidak dalam, walaupun tidak disebut dan diulang.
  5. Ayat 14- {Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu – Allah s.w.t tekan dan nisbahkan bahawa Dia sendiri yang hantar para rasul itu (إِذْ أَرْسَلْنَا), satu perintah dan arahan yang datang darinya, satu perintah yang besar dan penting walaupun yang bawanya adalah manusia biasa seperti mereka.
    Utusan dan arahan itu datang dari Allah Azza wa Jalla!
    Seperti juga kita nisbahkan surat arahan dan perintah dari pihak atasan walaupun hanya dibawa oleh pegawai biasa sebagai utusannya.
  6. Ayat 15- {Penduduk bandar itu menjawab: \”Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun} – ayat ini sebagai isyarat yang menunjukkan bahawa penduduk bandar itu tahu bahawa Allah s.w.t itu adalah Tuhan Yang Maha Pemurah (الرَّحْمَنُ) tetapi kenapa mereka tetap tidak tidak mahu beriman? Kerana kesombongan dan tutup mata hati daripada melihat dan menerima kebenaran.

Ini yang kita bimbang, kita tahu Allah s.w.t perintah atau larang tetapi kita tidak mahu ikut. Apa sahaja yang Allah Maha Pemurah turunkan samada dari segi hudud, perundangan dan lain-lain. Maka kita yakin dan ikutnya!

Maka kita jangan jadi begini, jangan hanya baca saja al-Quran terutamanya Yaasin yang masyhur ini, hanya pada majlis tertentu sahaja, tetapi kena beramal dengan semua undang-undang yang dibawanya

Powered by BetterDocs