SURAH AL-JATHIYAH : AYAT 21-23

\"\"

BEZA ORANG BAIK DENGAN JAHAT, SEMUA AKAN DIADILI & SESATNYA PENGIKUT HAWA NAFSU.

Full video : https://youtu.be/oBh3_zfxvKY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan kepada kita tentang Beza Orang Baik Dengan orang yang Jahat.
  2. Semua orang samada yang baik & soleh atau yang jahat & toleh akan Diadili untuk menerima pembalasan masing-masing.
  3. Kemudian Allah s.w.t peringatkan agar jangan mengikut Hawa Nafsu kerana pengikut hawa nafsu akan sesat di dunia dan Akhirat.
  4. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t nyatakan perbezaan antara orang yang zalim (syirik) dan melakukan maksiat menderhaka kepada Allah dengan orang yang bertaqwa dan takut kepada Allah s.w.t (ayat 19)- maka dalam ayat ini Allah s.w.t bawa satu lagi sudut perbandingan yang lain antara dua golongan ini.

AYAT 21- {PATUTKAH ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEJAHATAN MENYANGKA BAHAWA KAMI AKAN MENJADIKAN MEREKA SEPERTI ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, DENGAN MENYAMAKAN KEADAAN (MEREKA SEMUA) SEMASA MEREKA HIDUP DAN SEMASA MEREKA MATI? BURUK SUNGGUH APA YANG MEREKA HUKUMKAN ITU.} (AL-JAATHIYAH 45:21)

  1. Apakah patut orang yang tidak beriman dan melakukan kejahatan atas dunia seperti syirik atau maksiat kepada Allah s.w.t, menyangka kedudukan mereka sama dengan orang yang beriman dan beramal soleh semasa di atas dunia dan Akhirat kelak.
  2. Allah s.w.t menafikannya dengan mengatakan tidak mungkin sama sekali! Orang mukmin tidak sama dengan orang kafir dari sudut pegangan, iktikad dan amalan.
    Allah beri satu perhatian besar bahawa tidak mungkin sama!
  3. Kata Ibnu Asyur rhm.: Ketahuilah sesungguhnya ayat ini walaupun perbincangan asalnya antara keadaan orang musyrikin & mukmin, tetapi orang yang beriman juga boleh mengambil pengajaran bahawa TIDAK SAMA juga antara sesama orang yang beriman tetapi satu suka melakukan kebajikan & kebaikan serta baik akhlaknya dengan orang beriman yang buruk perangainya dan suka buat maksiat dan keburukan.
  4. Kata Ibnu Juzai rhm.: Makna ayat ini mengingkari apa yang disangka oleh puak kafir bahawa mereka dan pengikut Nabi Muhammad s.a.w adalah sama. Sama-sama orang Arab, sama-sama jumpa Nabi s.a.w dan lain-lain aktiviti kehidupan dunia ini.
  5. Ayat ini membawa dua penjelasan: Pertama-Bahawa orang mukmin dan orang kafir tidak sama samada waktu hidup atau waktu mati.
    Orang mukmin hidup atas taqwa dan ketaatan terhadap Allah s.w.t, manakala orang musyrikin hidup atas kejahilan dan kesesatan, hidup sia-sia melakukan kerosakan. Kita mati atas tauhid manakala mereka mati atas syirik.
  6. Pendapat lain pula mengatakan:
    i- atas dunia ini sama sahaja kehidupan antara orang mukmin dan kafir; Ada yang kaya atau miskin, ada yang senang atau susah. Sakit sihat kenyang lapar sama sahaja.

ii- tetapi tidak sama dalam kematian.
Orang mukmin mati kuburnya menjadi taman syurga manakala orang kafir kuburnya adalah lubang neraka!
Bermula dari kematian sehinggalah selesai masuk syurga atau neraka.

  1. Firman Allah s.w.t: {Patutkah Kami jadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh itu sama seperti orang-orang yang melakukan kerosakan di muka bumi?
    Atau patutkah Kami jadikan orang-orang yang bertaqwa sama seperti orang-orang yang berdosa?} (Saad 38:28)
  2. Hadis riwayat dari Jabir bin Abdullah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: \”Seorang hamba itu dibangkitkan atas kematiannya.\” [HR Muslim].

Yakni jika mati atas iman dibangkitkan sebagai seorang yang beriman begitu juga sebaliknya.
Maka jangan sekali-kali kita berani buat maksiat kerana kita tidak tahu bila kita akan mati.

  1. Maka sangkaan bahawa sama antara dua golongan inilah satu sangkaan yang buruk dan tidak benar sama-sekali!

AYAT 22- {DAN (INGATLAH), ALLAH MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI DENGAN CARA YANG SUNGGUH LAYAK DAN BERHIKMAT (UNTUK MEMBUKTIKAN KEESAANNYA DAN KEADILANNYA), DAN SUPAYA TIAP-TIAP DIRI DIBERI BALASAN DENGAN APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN (BAIK ATAU JAHAT), SEDANG MEREKA TIDAK DIKURANGKAN BALASANNYA SEDIKITPUN.} (AL-JAATHIYAH 45:22)

  1. Dalam ayat yang lepas Allah mengingkari sangkaan orang kafir bahawa sama sahaja antara orang yang beriman dan soleh dengan orang yang kafir dan jahat.
    Allah juga mencela sangkaan buruk mereka itu, mana mungkin sama!
    Allah telah bawa dalil qat\’i bahawa dua kumpulan ini TIDAK AKAN SAMA!

Jika sama, Allah s.w.t yang mencipta alam ini dengan kuasa dan kebijaksanann-Nya maka sia-sialah macamana Dia nak berhukum jika sama antara orang kafir dan orang mukmin??? Tidak akan berlaku keadilan di sini.
Maka Allah nyatakan bahawa Dia yang mencipta langit & bumi dengan benar, yang memberi rezeki kepada kamu, tetapi kamu kufur dan ingkar, maka terimalah padahnya.

Maka dalam ayat ini Allah s.w.t bawa dalil dan tanda-tanda keadilan dan hikmah-Nya.

  1. Allah nyatakan bahawa DIA menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat untuk membuktikan keesaan-Nya dan keadilan-Nya.
  2. Firman Allah s.w.t: {Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main;
    Tidaklah Kami menciptakan keduanya (serta segala yang ada di antaranya) melainkan kerana menzahirkan perkara-perkara yang benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).} (Ad-Dukhaan 44: 38-39)
  3. Maksud keadilan Allah s.w.t ialah bahawa Allah akan membalas setiap orang dan setiap perkara dengan penuh keadilan mengikut apa yang mereka kerjakan dari kebaikan atau kejahatan, samada berhak menerima pahala atau azab siksa. Tidak akan berlaku kezaliman.
  4. Firman Allah s.w.t: {\”Pada hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya; tidak ada hukuman yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya.} (Ghaafir 40:17)

AYAT 23- {DENGAN YANG DEMIKIAN, BAGAIMANA FIKIRANMU (WAHAI MUHAMMAD) TERHADAP ORANG YANG MENJADIKAN HAWA NAFSUNYA: TUHAN YANG DIPATUHINYA, DAN IA PULA DISESATKAN OLEH ALLAH KERANA DIKETAHUINYA (BAHAWA IA TETAP KUFUR INGKAR), DAN DIMETERAIKAN PULA ATAS PENDENGARANNYA DAN HATINYA, SERTA DIADAKAN LAPISAN PENUTUP ATAS PENGLIHATANNYA? MAKA SIAPAKAH LAGI YANG DAPAT MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADANYA SESUDAH ALLAH (MENJADIKAN DIA BERKEADAAN DEMIKIAN)? OLEH ITU, MENGAPA KAMU (WAHAI ORANG-ORANG YANG INGKAR) TIDAK INGAT DAN INSAF?} (AL-JAATHIYAH 45:23)

  1. Munasabah ayat: Allah s.w.t telah menceritakan kepada kita keadaan puak kafir dan betapa kejinya golongan mereka, juga telah menjelaskan bahawa Dia Tuhan yang Esa yang memiliki segala sifat kesempurnaan, serta Allah telah berjanji akan dihimpun semua makhluk-Nya pada hari mereka akan diberi balasan atas apa yang mereka kerjakan.
  2. Maka dalam ayat ini Allah beri garis panduan. Apakah pandangan Rasulullah s.a.w tentang manusia yang menjadikan sembahan dan pujaannya ikut hawa nafsunya bukan akur perintah Allah yang berhak disembah dan dipuja! Yakni apa yang nafsunya suka itu yang dia ikut dan puja walaupun bertentangan dengan perintah dan larangan Allah s.w.t!
  3. Kata Ibnu Asyur rhm.: Ayat ini walaupun dituju kepada Rasulullah s.a.w tetapi maksud ia ditujukan kepada semua orang Islam. Iaitu khitab yang dituju kepada semua bukan khas.
  4. Kata Ibnu Athiyah rhm.: Walaupun ayat ini pada zahirnya seolah ditujukan kepada kaum kafir yang mengikut hawa nafsu tetapi ia ditujukan kepada semua manusia yang ikut hawa nafsu yang mengajak manusia kepada keburukan.
    Allah telah beri akal kepada mereka tetapi mereka tetap ikut hawa nafsu.
  5. Maka Allah sesatkan pengikut hawa nafsu daripada mengikut jalan yang benar, yakni dengan ilmu Allah yang azali; bahawa seorang itu akan sesat dan tidak menerima hidayah.
  6. Allah s.w.t juga akan meterai (cop) atas pendengaran dan hatinya bahawa mereka tidak akan menerima lagi kebenaran. Yakni walaupun ada telinga dan dengar, hanya semata dengar, serta hati yang sudah tutup daripada menerima kebenaran!
  7. Allah juga jadikan di atas matanya seolah ada penutup yang menghalang penglihatannya daripada melihat kebenaran dan kekuasaan Allah s.w.t.
  8. Maka lengkaplah tertutup segala wasilah (alat) untuk menerima petunjuk kebenaran, mata, telinga & hati segalanya tertutup, maka tiada siapa lagi yang dapat menolongnya untuk mendapat hidayah selain daripada Allah s.w.t!
  9. Maka kita perbanyakkan berdoa kepada Allah s.w.t antaranya:
    اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
    Maksudnya: \”Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.\”
  10. Kata ulama\’ tadabbur hidayah itu ada dua:
    i- Hidayah taufik untuk memberi manusia petunjuk menerima kebenaran itu di bawah kuasa Allah s.w.t semata-mata. (Hidayah Taufiq Wal Ilham).

ii- Hidayah memberi keterangan, bimbingan dan tunjuk ajar (Hidayah Irsyad Wal Bayan), ini kerja Rasulullah s.a.w, para sahabat, tabien, para ulama\’, pendakwah dan para ustaz sehingga ke zaman kita ini.

  1. Tidakkah kamu insaf dan ingat wahai orang yang beriman bahawa hidayah itu hanya akan didapati dengan pertolongan Allah s.w.t serta amalan yang diterima oleh Allah s.w.t hanya yang ikhlas dan mengikut ajaran Nabi s.a.w.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 21- {Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.}- Pengajaran yang kita dapat dari ayat ini:
    i- berbezanya keadaan orang mukmin dengan orang kafir.

ii- berbezanya keadaan orang mukmin yang taat dengan orang mukmin juga tetapi yang suka buat maksiat dan ingkar perintah Allah.

Kita orang yang beriman jangan cuba menyamakan orang yang beriman dengan menggunakan dalil dari firman Allah & hadis Rasulullah s.a.w dengan mereka yang hanya menggunakan kata-kata gurunya yang tidak diketahui siapa atau dalil-dalil mimpi seseorang.

Ayat ini adalah satu ayat yang menjadi tangisan ahli-ahli ibadat dan orang-orang yang soleh (مبكاة العابدين).

i- Seorang ulama\’ bernama Masruq (مسروق) berkata: Semasa aku ke Makkah orang ramai menunjukkan kepada aku dekat Ka\’bah tempat beribadat seorang sahabat yang bernama Tamim ad-Dari r.a (تميم الداري). Pada suatu malam dia membaca ayat 21 ini dalam solatnya dekat subuh, kemudian dia rukuk dan sujud sambil menangis sehingga ke pagi. [Dilapor oleh Imam an-Nasa\’i dalam Sunan Kubra].

ii- Basyir berkata: Suatu malam aku tidur di rumah seorang ulama\’ yang bernama Al-Rabi\’ bin Khuthaim (الربيع بن خثيم). Dia bangun solat malam lalu bila sampai kepada ayat ini, dia mengulang membacanya dari awal malam sehingga akhirnya, sambil menangis.

iii- Kata Ibrahim bin al- Asy-ath (إبراهيم بن الأشعث): Banyak kali aku tengok al-Fudhail bin Iyadh (الفضيل بن عياض) berulang kali membaca ayat ini dari awal malam sehingga akhirnya, kemudian dia menangis dan mengingatkan dirinya; Dalam golongan manakah kamu wahai Fudhail??? [Tafsir al-Qurtubhi].

Begitulah mereka yang hatinya lembut dan suci, menangis kerana Kalamullah, kerana tadabbur al-Quran kerana menginsafi diri dan takut kepada Allah.
Bukan menangis kerana hal-hal dunia apatah lagi kerana sedih menonton drama & filem.

Begitu juga ayat-ayat lain seperti:
Firman Allah s.w.t: {Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).
(Lalu Kami perintahkan kepadanya): \”Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)\”.
Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).} (Al-Israa\’ 17: 13-15)
Inilah ayat-ayat yang menjadi tangisan ahli ibadat.

  1. Ayat 21- {Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh,}- orang yang berdosa jika diampunkan oleh Allah s.w.t dosanya tanpa sebab pengampunan yang khas, tetapi hanya kerana limpah kurnia rahmat Allah s.w.t, tetapi dia akan tetap menerima juga beberapa akibat dan balasannya, walaupun bukan siksaan yang fizikal tetapi dia akan banyak terlepas pahala-pahala kebaikan yang diraih oleh kawannya baik.

Seperti sesama ahli ibadat yang lain, seorang yang khusyuk dan sempurna ibadatnya tetapi seorang lagi sambil lewa dan banyak kekurangan ibadatnya, tidak menjaga penampilan dan kelakuannya mengikut SOP Syari\’ah Allah s.w.t.

Allah nyatakan kepada kita bahawa segala hukuman itu akan dijalankan dengan penuh keadilan dan ketelusan, jangan bimbang tidak akan berlaku kezaliman sama sekali.

  1. Ayat 23- {Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar)}- iaitu yang pertama dia mengikut hawa nafsunya dan yang kedua mereka sesat dalam gedung ilmu.
    Walaupun sudah sampai ilmu yang benar kepada mereka, tetapi mereka tetap mahu mencari selain darinya.

Kata ulama\’tadabbur; apabila Allah s.w.t memerintahkan sesuatu amalan dan ajaran melalui lidah Nabi-Nya s.a.w, tetapi seorang hamba itu tidak mahu ikut yang Nabi s.a.w ajar tetapi mahu ikut yang nafsunya suka, maka dia sudah dianggap sebagai penyembah hawa nafsunya. Na\’uzubillah.

Kata Ibnu Rajab: Sesiapa yang menyukai sesuatu dan dia taat atau dia bencikan sesuatu kemudian dia taatinya bukan kerana Allah, maka dia sudah dianggap menyembah hawa nafsunya! Bertuankan hawa nafsu.

Ini kerana orang yang beriman hanya menyukai dan membenci sesuatu hanya kerana Allah s.w.t atau atas perintah-Nya juga kerana mengikut Rasulullah s.a.w.

Yang betul-betul maksiat adalah jelas, jangan bandingkan dengan yang syubhat & khurafat, yang bid\’ah yang tidak datang dari sunnah.
Pengikut jenis kedua ini lebih susah didakwah dan dibetulkan berbanding dengan ahli maksiat yang tahu dia salah. Manakala mereka itu merasakan mereka itu ahli ibadat, ahli agama dengan amalan yang pelik-pelik, ilmunya datang terus dari Allah dan lain-lain dakwaan mereka yang bahaya dan sesat.

  1. Ayat 23- {Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya,}- dalam ayat ini Allah nyatakan dengan jelas siapa yang ikut nafsu maka dia telah bertuhankan nafsu, yakni kita ikut apa yang nafsu nak.

Maka untuk merealisasikan tauhid dalam jiwa kita adalah dengan cara menjauhi maksiat. Ini kerana semua maksiat datang dari hawa nafsu begitu juga syirik, siapa yang nak selamat dari bertuhankan hawa nafsu maka jauhilah maksiat dan syirik.

  1. Ayat 23- {Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya}- kata ulama\’ untuk menyalahi apa yang dikehendaki oleh nafsu amat susah dan perkara yang amat berat.
    Kerana itulah dikatakan orang yang ikut nafsu (bertuhankan nafsu).
    Contoh seperti perokok tegar, walaupun baik dan ikut Kuliah tetapi masih tidak dapat meninggalkannya.

Kata Abu Ja\’far al-Bakir rhm.: \”Senjata orang yang jahil dan hina ialah perkataannya yang buruk dan kotor.\”

Maka kita sebagai pendakwah dan pejuang kepada Kitab Allah dan Sunnah Nabi s.a.w, jangan sesekali gunakan ucapan yang sebegini.
Jangan pelik dengan orang yang pelik dan jangan rosakkan maruah dan reputasi dengan perangai begini.

Kata ahli fikir:
i- Jikalah kemenangan itu dengan bertempik dan melaung bukan dengan hujjah yang ilmiah, maka pastilah orang yang jahil akan menang berbanding dengan orang yang berakal.
Kemenangan itu dengan hujjah bukan dengan tempikan dan sorakan.

ii- gerabak keretapi yang kosong lebih kuat bunyinya dari gerabak yang penuh.

Asal kerosakan itu datang dari mengikut hawa nafsu manakala kebaikan itu ialah meninggalkan segala yang disukai nafsu yang buruk. Tinggalkan nafsu, insya\’ Allah kita akan menjadi baik.

Powered by BetterDocs