SURAH AZ-ZUMAR : AYAT 17-20

\"\"

ALLAH NYATAKAN TEMPAT ORANG BERTAQWA, BERITA GEMBIRA MENERIMA YANG BENAR & SIFAT SYURGA BERBILIK DAN BERTINGKAT.

Full video : https://youtu.be/jdhP4AoHQLc

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita dengar tentang apa yang disediakan oleh Allah s.w.t kepada golongan yang bertaqwa.
    Semoga kita termasuk dalam golongan ini insya\’ Allah.
  2. Allah s.w.t juga ceritakan tentang orang yang baik-baik, iaitu orang yang dengar perkara/perkataan yang baik-baik lalu dia ikut yang terbaik.
    Yang tak baik tinggalkan dan jangan terima!
  3. Kemudian Allah s.w.t ceritakan secara detail sikit tentang syurga yang betingkat-tingkat, mempunyai bilik-bilik yang banyak serta air sungai dan pancuran yang mengalir di bawahnya!
  4. Semoga ia menjadi motivasi kepada kita untuk beramal dan menjadi orang bertaqwa, yang Allah sediakan semua nikmat ini untuknya!

AYAT 17- {DAN ORANG-ORANG YANG MENJAUHI DIRINYA DARI MENYEMBAH ATAU MEMUJA TAGHUT SERTA MEREKA RUJUK KEMBALI TAAT BULAT-BULAT KEPADA ALLAH, MEREKA AKAN BEROLEH BERITA YANG MENGEMBIRAKAN (SEBAIK-BAIK SAHAJA MEREKA MULAI MENINGGAL DUNIA); OLEH ITU GEMBIRAKANLAH HAMBA-HAMBAKU.} (AZ-ZUMAR 39:17)

  1. Allah sebutkan di sini orang yang menjauhkan dirinya dari kesyirikan seperti menyembah dan memuja taghut (الطَّاغُوتَ), serta kembali kepada Allah s.w.t.
  2. Mereka taat sepenuhnya kepada Allah s.w.t, berserah diri bulat-bulat kepada Allah. Maka Allah s.w.t berikan kepada mereka khabar gembira (الْبُشْرَى) sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia lagi; oleh itu gembirakanlah hamba-hamba Allah yang murni dan suci akidahnya.
  3. Apakah taghut (الطَّاغُوتَ), ini?
    Iaitu semua yang jahat, zalim dan melampaui batas dalam hukum Allah s.w.t seperti:
    i- syaitan
    ii- berhala
    iii- perkara yang menyesatkan
    iv- semua makhluk yang membenarkan orang sembah dia, samada ia adalah manusia, syaitan atau jin serta benda-benda kaku.
    v- orang yang melakukan maksiat.
    vi- tukang sihir, tukang nujum, tilik dan bomoh-bomoh.
    Vii- Pemimpin yang tidak mahu melaksanakan Syariat Allah.
    Maka kita wajib jauhi semua jenis taghut ini!
  4. Kata TG Poksu Wil rhm. jangan diambil kira atau berlawan dengan 3 jenis ini:
    i- kanak-kanak / budak-budak.
    ii- orang gila, majnun.
    iii- syaitan atau jin.
    Jika tidak kita akan menjadi tak cerdik dan tak pok (masak) seperti mereka juga.
  5. Firman Allah s.w.t: {Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): \”Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut\”.} (Al-Nahl 16:36).
    Wajib lengkap dua ini; sembah Allah dan jauhi taghut!
  6. Inilah tonggak ajaran dakwah Rasulullah s.a.w yang wajib kita ikut sebagai seorang muslim dan sebagai landasan dakwah para pendakwah:
    i- sembah Allah s.w.t. Tauhid kepada Allah sepenuhnya.
    ii- jauhkan diri daripada sebarang jenis taghut.
  7. Mereka ini akan beroleh khabar berita yang menggembirakan sebaik saja mereka meninggal dunia atau bahkan sebelum mati lagi.
    Orang soleh, orang yang baik-baik apabila dekat sakaratul-maut, malaikat rahmat akan datang memebawa terus khabar gembira kepada mereka, ke manakah tempat kembali mereka nanti!
  8. Kita lihat siapakah yang berhak mendapat khabar gembira ini dalam ayat berikutnya.

AYAT 18- {YANG BERUSAHA MENDENGAR PERKATAAN-PERKATAAN YANG SAMPAI KEPADANYA LALU MEREKA MEMILIH DAN MENURUT AKAN YANG SEBAIK-BAIKNYA (PADA SEGI HUKUM AGAMA); MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG DIBERI HIDAYAH PETUNJUK OLEH ALLAH DAN MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA.} (AZ-ZUMAR 39:18)

  1. Iaitu mereka yang berusaha mendengar perkataan yang disampaikan kepada mereka lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya dari segi hukum agama.
  2. Bukan kata sedari awal tutup telinga dari mendengar dan tutup mata dari melihat, apatah lagi untuk buka hati untuk memilih dan menerimanya!
  3. Mereka inilah orang yang akan mendapat hidayah, yang buka hati dan mindanya untuk mendengar yang benar lalu memilih untuk mengamalkannya!
  4. Doa Iftitah (Permulaan Solat) antara yang sering dibaca oleh Rasulullah s.a.w:
    وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ حَنِيفاً وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلاتِي، وَنُسُكِي، وَمَحْيَايَ, وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ. اللَّهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ، أَنْتَ رَبِّي، وَأَنَا عَبْدُكَ، ظَلَمْتُ نَفْسِي، وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعاً إِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، وَاهْدِنِي لأَحْسَنِ الأَخْلاقِ لا يَهْدِي لأَحْسَنِهَا إلاَّ أَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لاَ يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلاَّ أَنْتَ، لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ، وَالْخَيْرُ كُلُّهُ بِيَدَيْكَ، وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ، أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ، تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ.
    Aku menghadapkan mukaku kepada Tuhan pencipta langit dan bumi dengan berpegang pada agama yang lurus dan aku bukan daripada golongan orang-orang musyrik.
    Sesungguhnya solatku, ibadatku dan hidupku serta matiku adalah untuk Allah, tuhan sekelian alam, tiada sekutu bagiNya dan untuk itu aku diperintahkan dan aku termasuk daripada golongan orang muslimin.
    Ya Allah, Engkau adalah pemerintah, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Engkau Tuhanku dan aku hambaMu, aku telah menzalami diriku dan mengakui kesalahanku, maka ampunilah semua kesalahanku. Sesungguhnya tiada yang boleh mengampuni kesalahan selain Engkau.
    Tunjukkan kepadaku akhlak yang baik, tidak ada yang boleh menunjukkan kepadanya kecuali Engkau.
    Hindarkan aku dari akhlak yang jahat, tiada yang boleh menghindarkanku daripadanya kecuali Engkau.
    Aku sahut seruanMu dengan kegembiraan yang berganda-ganda, seluruh kebaikan di kedua tanganMu. Kejahatan tidak ada padaMu. Aku hidup dengan pertolonganMu dan untukMu.
    Maha Suci Engkau dan Maha Tinggi, aku memohon keampunanMu dan aku bertaubat kepadaMu.\” [Muslim 771.] Dari App Perisai Muslim!
  5. Yang paling elok bacalah selalu doa yang ditengahnya ini, Doa untuk akhlak yang mulia:
    اللَّهُمَّ اهْدِنِي لأَحْسَنِ الأَخْلاقِ لا يَهْدِي لأَحْسَنِهَا إلاَّ أَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لاَ يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلاَّ أَنْتَ،
    Ya Allah Tunjukkan kepadaku akhlak yang baik, tidak ada yang boleh menunjukkan kepadanya kecuali Engkau. Hindarkan aku dari akhlak yang jahat, tiada yang boleh menghindarkanku daripadanya kecuali Engkau.
  6. Kemudian Allah s.w.t ceritakan pula lawan kepada golongan yang baik dan mendapat nikmat ini, iaitu golongan yang sebaliknya.
    Al-Quran biasanya akan bawa dua kisah yang baik dan buruk, yang positif dan negatif!
    Mari kita lihat dalam ayat seterusnya.

AYAT 19- {MAKA ADAKAH ORANG YANG TELAH DITETAPKAN ATASNYA HUKUMAN AZAB (DISEBABKAN KEKUFURANNYA, SAMA SEPERTI ORANG YANG DIJANJIKAN BERGEMBIRA DENGAN BALASAN IMANNYA? SUDAH TENTU TIDAK)! OLEH ITU ADAKAH ENGKAU BERKUASA MENYELAMATKAN ORANG YANG (DITETAPKAN KEKAL) DALAM NERAKA?} (AZ-ZUMAR 39:19)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t tanya kepada Rasulullah s.a.w; Adakah kamu mampu untuk memberi hidayah dan menyelamatakan mereka dari neraka?
    Iaitu orang yang Allah s.w.t telah ditetapkan ke atasnya hukuman neraka kerana kekufurannya!
  2. Firman Allah s.w.t: {Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.} (Yaa Siin 36:7)
  3. Hadis-
    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَتِ الدَّوَابُّ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهِ فَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهِ
    Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Sesungguhnya perumpamaan diriku dengan umatku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Ketika itu, binatang dan kelekatu berjatuhan ke dalamnya. Maka aku mencegah kamu, namun kamu sendiri melemparkan diri ke dalamnya. (HR Bukhari No: 6483 / HR Muslim No: 2284) Status: Hadis Sahih.
  4. Ini adalah bandingan yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w tentang usahanya untuk menyelamatkan umatnya daripada api neraka, tetapi mereka seolah meronta-ronta, meluru mahu pergi ke arah neraka juga!

Imam An-Nawawi berkata: maksud hadis ini – Rasulullah S.A.W menggambarkan perbuatan orang jahil dan ingkar yang bergelumang dengan maksiat dan syahwat sebenarnya melemparkan diri ke dalam Neraka, seperti kelekatu yang terbang ke dalam api kerana mengikut keinginan dan tidak mampu membezakan bahaya atau tidak. Sedangkan Baginda S.A.W berusaha menghalang mereka dari terjatuh ke dalamnya.

AYAT 20- {TETAPI (SEBALIKNYA) ORANG-ORANG YANG BERTAQWA KEPADA TUHAN MEREKA (DENGAN MENGERJAKAN SURUHANNYA DAN MENJAUHI LARANGANNYA), DIBINA UNTUK MEREKA (DI DALAM SYURGA) MAHLIGAI-MAHLIGAI YANG TINGGI BERTINGKAT-TINGKAT, YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI. DEMIKIANLAH JANJI YANG DITETAPKAN ALLAH; ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENGUBAH JANJI-JANJINYA.} (AZ-ZUMAR 39:20)

  1. Dalam ayat ini pula adalah tentang orang yang beriman dan bertaqwa kepada Tuhan mereka dengan mengerjakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
    Apakah balasan yang menunggu bagi mereka.
  2. Bagi mereka dibina syurga yang di dalamnya terdapat mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Begitu indah dan tidak terbayang dek mata dan akal fikiran manusia.
  3. Hadis- Daripada Abu Sa\’id al-Khudri r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

إنَّ أهْلَ الجَنَّةِ يَتَرَاءَوْنَ أهْلَ الغُرَفِ مِن فَوْقِهِمْ، كما يَتَرَاءَوْنَ الكَوْكَبَ الدُّرِّيَّ الغَابِرَ في الأُفُقِ، مِنَ المَشْرِقِ أوِ المَغْرِبِ، لِتَفَاضُلِ ما بيْنَهُمْ قالوا يا رَسولَ اللَّهِ تِلكَ مَنَازِلُ الأنْبِيَاءِ لا يَبْلُغُهَا غَيْرُهُمْ، قالَ: بَلَى والذي نَفْسِي بيَدِهِ، رِجَالٌ آمَنُوا باللَّهِ وصَدَّقُوا المُرْسَلِينَ
\”Sesungguhnya penghuni tingkat-tingkat syurga tertinggi itu dilihat oleh penghuni tingkat syurga di bawahnya bagaikan bintang-bintang yang bertebaran di langit yang memancarkan cahaya di ufuk dari timur ke barat. Kerana mereka penduduk syurga itu bertingkat-tingkat.
Para sahabat bertanya: \”wahai Rasulullah, apakah tingkatan yang tinggi itu adalah tempatnya para Nabi dan tidak dicapai oleh selain mereka?\”
Rasulullah menjawab: \”(tidak demikian), bahkan demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, itu adalah tempatnya orang-orang yang beriman (dengan benar) kepada Allah dan membenarkan ajaran para Rasul\”.\” (HR. Al-Bukhari no. 3256, Muslim no. 2831)

  1. Allah s.w.t katakan bahawa itulah janji-Nya kepada mereka.
    Dan Allah s.w.t itu tidak akan sesekali mengubah atau menyalahi janji-Nya!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 17- {Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah.}- kata ulama\’ sesungguhnya kunci kebahagiaan, pusat segala kebaikan dan ibu segala kemuliaan adalah apabila seseorang itu boleh meninggalkan segala yang berlawanan dengan Allah s.w.t. Semuanya sekali samada kufur, syirik, ingkar, maksiat, dosa dan lain-lain.

Tauhid tidak akan sempurna tanpa mengenepikan atau membuang terus taghut dari diri dan ibadat. Kita kena belajar dan tahu dua-dua sebab yang dapat:
i- menguatkan iman dan juga
ii- sebab-sebab yang dapat meruntuhkan iman!

  1. Ayat 18- {Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama).}- Allah s.w.t puji sifat hamba-Nya yang beriman iaitu memilih yang terbaik daripada apa yang mereka dengar!

Apabila kita mendengar kata-kata dari Rasulullah s.a.w, dari para sahabat, dari para ulama\’ salafus-soleh lalu kita menjiwai dan berasa gembira untuk menerimanya, dan memilih yang terbaik darinya, maka ketahuilah; itulah kita telah diberi taufiq hidayah oleh Allah s.w.t!

Ini tidak, lebih suka dan rela memilih sesuatu yang bukan dari Rasulullah dan para sahabat, bila dengar benda baik rasa tidak suka dan tidak senang, merasa ajaran atau amal ibadat yang dari nabi kurang \’power\’ berbanding dengan apa yang diajar oleh orang lain, oleh tok syeikh-tok syeikh mereka!

Bila jiwa tidak suka dan benci mendengar sunnah Nabi s.a.w dan seumpamanya, maka tohmahlah diri kita, dimana title kita sebagai orang yang mengaku ahli Sunnah, muhasabah agar kembali mendekatkan diri kepada Allah dan agama.

  1. Ayat 18- {mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.}- ini kerana manusia apabila mengikut yang benar, menandakan akalnya sempurna. Sebanyak mana kurangnya kita mengikut yang benar, sebanyk itulah akal kita lemah.
    Jika dikatakan bahawa seseorang itu kurang akalnya kerana tidak ikut sunnah, maka betullah tu!

Orang yang paling cerdik dan paling berakal ialah yang paling kuat mengikut ajaran Allah s.w.t dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Kata ulama\’ juga tidak semestinya bergabung dua kecerdikan dan akal!

Contoh seorang pelajar yang cerdik dapat menjawab periksa dengan cemerlang, tetapi jika akhlak dan perangainya tidak baik dan tidak hormat guru, orang tua dan lain-lain akhlak buruk, maka dia akan dikira tidak berakal!

  1. Ayat 19- {Oleh itu adakah engkau berkuasa menyelamatkan orang yang (ditetapkan kekal) dalam neraka?}- ayat ini menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w sendiri tidak akan mampu untuk menyelamatkan sesiapa sekalipun dari kalangan keluarganya jika mereka sendiri tidak beriman dan kufur.

Maka jangan sekali-kali kita angkat darjat Nabi s.a.w lebih-lebih kepada yang tidak sepatutnya seperti darjat ketuhanan dan seumpamanya. Maka ini adalah ajaran yang batil dan sesat serta mesti dihapuskan. Apatah lagi meminta kepada manusia yang lain, yang sudah mati dan berada di dalam kubur pula!!!

  1. Ayat 20- {Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.}- ayat ini menggalakkan kita agar bertaqwa kepada Allah s.w.t, dengan menunjukkan apa anugerah nikmat yang Allah s.w.t telah sediakan bagi orang bertaqwa.

Ia juga juga satu bayan menunjukkan kepada tingginya kedudukan orang yang bertaqwa, maka marilah kita menjadi orang yang bertaqwa, kerana kita yakin dengan janji Allah s.w.t dalam ayat ini! Allah s.w.t apabila berjanji Dia tidak memungkiri janji-Nya!

Ayat ini sangat halus dan tinggi perbincangannya. Dalam banyak ayat al-Quran, ada dua jenis janji Allah s.w.t:
i- wa\’dun (وعْد) janji baik. Biasanya Allah akan sebut bahawa ini janji Allah, janji-Nya yang tidak akan dimungkiri.

ii- wa\’id (وعِيد)- janji buruk akan ancaman azab siksaan. Dalam ayat begini Allah s.w.t tidak akan sebut dan tekankan bahawa ini janji azab-Nya, tidak sebut yang tidak akan dimungkiri atau sebagainya sebagaimana dalam janji kebaikan.

Ini kerana janji baik Allah s.w.t itu lebih besar dari janji buruknya, iaitu rahmat Allah lebih luas dari kemurkaan-Nya.
Dalam bab rahmah Allah s.w.t tekankan janji-Nya yang baik dan nikmat kepada manusia, tetapi tidak begitu jika dalam janji azab dan yang buruk.

Sebagaimana dalam sebuah hadis:
عن أبي هريرة، رضي اللَّهُ عنه، قَالَ: قَالَ رسُولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم: \”لَمَّا خَلَقَ اللَّهُ الخَلْقَ، كَتَبَ في كِتَابٍ، فَهُوَ عِنْدَهُ فَوْقَ العَرْشِ: إِنَّ رَحْمتي تَغْلِبُ غَضَبِي\”

Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi S.A.W bersabda, \”Apabila Allah menciptakan makhluk-Nya, Dia menulis dalam kitab-Nya, yang kitab itu terletak di sisi-Nya di atas \’Arsy, \”Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mengalahkan kemurkaan-Ku.\” (HR Bukhari no 7404 dan Muslim no 2751).

Semoga Allah s.w.t masukkan kita ke dalam golongan yang betul-betul yakin kepada janji Allah, termasuk dalam mereka yang bertaqwa, yang mendengar perkara yang baik dan berusaha mengikutnya insya\’ Allah.

Powered by BetterDocs