SURAH AL-FATH : AYAT 8-10

\"\"

TUGAS RASULULLAH S.A.W, PUJIAN GOLONGAN YANG MENUNAIKAN JANJI & BAI\’AH SETIA DI AL-HUDAIBIYAH.

Full video : https://youtu.be/1FSmV5RU6LA

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t jelaskan kepada kita bahawa tugas Rasulullah S.A.W, yang utamanya ada tiga iaitu:
    i- Rasul yang menjadi saksi (شَاهِدًا)
    ii- (مُبَشِّرًا) pemberi khabar gembira
    iii- dan juga pemberi amaran (نَذِيرًا).
  2. Kemudian Allah s.w.t memuji golongan yang menunaikan janji iaitu mereka yang telah melakukan ikat setia; Bai\’ah Ridhwan di Hudaibiyah & mencela golongan yang mungkir janji.
  3. Dalam ayat ini juga menceritakan tentang Bai\’ah Setia Di Al-Hudaibiyah, dimana Rasulullah s.a.w dan rombongannya yang berpakaian ihram telah disekat dari memasuki kota Makkah.

AYAT 8- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENGUTUSMU (WAHAI MUHAMMAD) SEBAGAI RASUL YANG MENJADI SAKSI (YANG DITERIMA KETERANGANNYA), DAN SEBAGAI PEMBAWA BERITA GEMBIRA (KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN), SERTA PEMBERI AMARAN (KEPADA ORANG-ORANG YANG INGKAR).} (AL-FATH 48:8)

  1. Allah s.w.t menjelaskan tugas Rasulullah s.a.w yang dipertanggung-jawabkan ke atasnya oleh Allah. Serta hikmah diutuskan rasul itu kepada manusia.
  2. Iaitu menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w diutuskan sebagai:
    i- Rasul yang menjadi saksi (شَاهِدًا) yang diterima keterangannya,
    ii- dan sebagai pembawa berita gembira (مُبَشِّرًا) kepada orang-orang yang beriman,
    iii- serta pemberi amaran (نَذِيرًا) kepada orang-orang yang ingkar.
  3. Kata ulama\’ tafsir, maksudnya menjadi saksi ialah:
    i- menjadi saksi ke atas umatnya pada hari Kiamat nanti.

ii- kata Ibnu jarir rhm.: menjadi saksi ke atas umatnya samada mereka terima, akur akan dakwahnya atau menolak & menginkarinya.

iii- kata al-Wahidi menjadi saksi ke atas umatnya bahawa Baginda telah menyampaikan risalah Allah s.w.t kepada mereka.

iv- kata Ibnu Athiyah- Rasulullah s.a.w menjadi saksi ke atas manusia dengan amalan-amalan & perkataan mereka ketika Baginda menyampaikan kepada mereka syirik Allah s.w.t.

v- kata Ibnu Asyur rhm.: Rasulullah diutuskan untuk menjadi saksi ke atas umat ini dengan menyampaikan.
Tidak akan diberi kemaafan kepada orang yang menyalahi Syari\’ah Allah s.w.t yang telah disampaikan.

vi- Baginda juga akan menjadi saksi ke atas umat yang terdahulu.
Penyaksian ini terhasil di dunia juga pada hari Kiamat.

vii- Rasulullah sebagai saksi kepada Allah s.w.t atas KeEsaan & ketunggalan-Nya yang tiada yang lain yang berhak dipuja dan dipuji.

  1. Firman Allah s.w.t juga: {Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?} (An-Nisaa\’ 4:41)
  2. Maksudnya menjadi pemberi khabar gembira (مُبَشِّرًا) ialah: memberi khabar gembira dengan kebaikan dan pahala kepada sesiapa yang taat kepada ajaran yang dibawanya.
  3. Hadis; dari Abu Hurairah R.A, bahwa Rasulullah S.A.W bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى؟
قَالَ: مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ، وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى.

\”Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan.\”
Para sahabat bertanya, \”Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?\”
Nabi menjawab: \”Siapa yang taat kepadaku masuk syurga dan siapa yang menderhakaiku dialah orang yang enggan.\” (HR Bukhari No: 6737)

Yakni siapa nak syurga ikut perintah Allah s.w.t, taat kepada ajaran Rasulullah s.a.w. Bukan hanya ikut ajaran yang pelik-pelik tetapi senang-senang mengaku ahli Sunnah.
Ramai atau tidak ramai kita pilihlah jalan kita sendiri.

AYAT 9- {(KAMI MENGUTUSMU WAHAI MUHAMMAD) SUPAYA ENGKAU DAN UMATMU BERIMAN KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, DAN SUPAYA KAMU KUATKAN AGAMANYA SERTA MEMULIAKANNYA, DAN SUPAYA KAMU BERIBADAT KEPADANYA PADA WAKTU PAGI DAN PETANG.} (AL-FATH 48:9)

  1. Munasbah ayat: Setelah Allah sebut tentang risalah kerasulan dan tanggung-jawab Nabi s.a.w., maka apakah sebab Allah s.w.t hantar Rasul dengan tugasannya itu.
    Allah s.w.t nyatakan faedah diutus rasul itu mengikut apa yang Allah s.w.t kehendaki.
  2. Kemudian Allah s.w.t nyatakan apakah amalan-amalan yang patut kita buat untuk melayakkan kita mendapat khabar gembbira itu dan apakah yang perlu dijauhi untuk selamat dari apa yang diberi amaran itu!
    Serta dijelaskan jalan yang hak dan jalan yang batil.
  3. Tujuan pertama rasul itu diutuskan adalah supaya manusia beriman (لِتُؤْمِنُوا) kepada Allah dan Rasul-Nya s.a.w, beriman yang hakiki dengan melakukan semua perkara yang menunjukkan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya s.a.w. Bukan hanya mengaku sebagai ahli Sunnah tetapi amalannya tidak mahu ikut Sunnah Nabi s.a.w.
    Ahlu Sunnah bukan hanya setakat satu slogan tapi adalah amalan yang mesti dipraktikkan!
  4. Kata az-Zajjaj: Percakapan ini untuk Rasulullah s.a.w dan kepada umat manusia semuanya, semua manusia diarahkan supaya beriman kepada Allah & Rasul.
  5. Juga supaya:
    i- kamu memberi sokongan (وَتُوَقِّرُوه) dan bantuan sepenuhnya.

ii- serta memuliakan (وَتُعَزِّرُوهُ) agama ini dan Nabi s.a.w.

iii- membersihkan Rasulullah s.a.w dari segala tuduhan yang tidak baik dan melampau dalam mengagungkan Baginda s.a.w, atau terlalu cuai dalam menghormatinya.

  1. Kata ulama\’: Maksudnya perkataan (وَتُوَقِّرُوهُ) satu nama yang menunjukkan kepada satu bantuan dan sokongan sepenuhnya serta menyekat segala perkara yang boleh menyakitinya.
  2. Manakala makna (وَتُعَزِّرُوهُ) memberi penghormatan dan kemuliaan kepada nabi s.a.w sebagimana yang diajar dan diperintah oleh Allah s.w.t.
    Jangan melampau sehingga menyamakan Rasul dengan Tuhan dan lain-lain.
  3. Manakala tugasan untuk diri kita sendiri pula ialah supaya sentiasa beribadat berzikir mengingati Allah s.w.t pada setiap pagi & petang (بُكْرَةً وَأَصِيلًا).
  4. Kata al-Qurtubiy rhm., makna bertasbihlah (وَتُسَبِّحُوهُ) ada dua pandangan:
    i- tasbih dengan makna bersihkan Allah s.w.t daripada semua sifat kekurangan, kelemahan dan tidak layak bagi Allah!
    Tidak ada yang sebanding dengan-Nya.

ii- mendirikan solat yang mengandungi tasbih di dalamnya, pada setiap waktu pagi & petang serta siang & malam!

  1. Kata as-Sam\’ani pula solat subuh pada waktu pagi & solat asar pada waktu petang.
    Maka jangan kita lupa zikir pagi petang dan setiap masa yang ada keperluannya.
  2. Firman Allah s.w.t juga tentang ini: {Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;
    Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.} (Al-Ahzaab 33: 41-42)

AYAT 10- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MEMBERI PENGAKUAN TAAT SETIA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD – UNTUK BERJUANG MENENTANG MUSUH), MEREKA HANYASANYA MEMBERIKAN PENGAKUAN TAAT SETIA KEPADA ALLAH; ALLAH MENGAWASI KEADAAN MEREKA MEMBERIKAN TAAT SETIA ITU (UNTUK MEMBALASNYA).OLEH ITU, SESIAPA YANG TIDAK MENYEMPURNAKAN JANJI SETIANYA MAKA BAHAYA TIDAK MENYEMPURNAKAN ITU HANYA MENIMPA DIRINYA; DAN SESIAPA YANG MENYEMPURNAKAN APA YANG TELAH DIJANJIKANNYA KEPADA ALLAH, MAKA ALLAH AKAN MEMBERI KEPADANYA PAHALA YANG BESAR.} (AL-FATH 48:10)

  1. Setelah Rasulullah s.a.w mengajak para sahabat kepada ikatan taat setia (Baiah Ridhwan) mencari keredhaan Allah s.w.t, untuk menentang musuh-musuh yang menyekat mereka, di bawah pokok di Hudaibiyah.
    Walaupun berbai\’ah kepada Baginda s.a.w tetapi sebenarnya Bai\’ah itu kepada Allah s.w.t, Baginda hanya sebagai utusan.
  2. Pengakuan taat setia diberikan oleh lebih kurang 1400 orang tentera Islam kepada Rasulullah s.a.w di al-Hudaibiyah, setelah tersebar berita tentang pembunuhan Sayyidina Usman bin Affan r.a.
  3. Beliau diutus oleh Rasulullah s.a.w untuk meminta kebenaran dari ketua kaum musyrikin Quraisy bagi membenarkan Rasulullah s.a.w dan rombongannya yang memakai ihram untuk memasuki Makkah. Usman pun masuk ke Makkah dan terlewat sedikit dalam berunding dan bertemu keluarganya di Makkah.
  4. Syaitan memainkan peranannya, menyebarkan berita palsu bahawa Usman telah dibunuh, ini menyebabkan Rasulullah dan para muslimin semua berasa sangat marah dan terjadilah sumpah taat setia untuk berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.
  5. Kata al-Wahidi: Baiah Ridhwan yang terjadi di bawah pokok Hudaibiyah adalah ikat setia untuk berjuang, tidak akan lari bagi membela kematian Usman.
  6. Ibnu Jauzi berkata: Mereka bersumpah taat setia untuk rela mati dan tidak akan lari dari medan pertempuran.
  7. Kata al-Jabir bin Abdullah r.a: Apabila kami melakukan taat setia itu bersama Baginda di Hudaibiyah, Rasulullah s.a.w bersabda: \”Kamu semua adalah sebaik-baik penduduk yang ada di atas muka bumi ini sekarang.\”
    Bilangan kami pada ketika itu adalah 1400 orang. [HR Bukhari & Muslim].
  8. Mereka yang berbai\’ah dengan Rasulullah s.a.w ini Baginda sebagai wakil kepada Allah. Seperti firman Allah s.w.t:
    {إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ }

{Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka.} [Al-Fath: 10].

  1. Bahawa Allah s.w.t memberi sokongan dan berjanji akan memberi pertolongan kepada para sahabat yang ikhlas berjuang dan taat pada hari bai\’ah itu.
  2. Tetapi ingat amaran keras kepada sesiapa yang berpaling tadah dan tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya khianat itu hanya akan menimpa dirinya. Iaitu ia berhak menerima azab dan menghalang dirinya dari mendapat pahala.
  3. Manakala sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar atas ketaatannya kepada janji. Allah s.w.t tidak sekali-kali akan memungkiri janji-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 8- {Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).}- dalam ayat ini menyatakan sifat & tugas Rasulullah s.a.w serta hikmah kenapa rasul itu diutuskan.

Tugasnya ialah:
i- Rasul yang menjadi saksi (شَاهِدًا) yang diterima keterangannya,
ii- sebagai pembawa berita gembira (مُبَشِّرًا) kepada orang-orang yang beriman.
iii- pemberi amaran (نَذِيرًا) kepada orang-orang yang ingkar.

Maka menjadi kewajipan kepada para pendakwah mesti menjalankan serentak dua tugas ini, bukan hanya cakap yang baik-baik sahaja, kena nyatakan juga akibat yang buruk menunggu siapa yang ingkar dan menyalahi Syari\’ah Allah s.w.t.
Jangan berani suruh yang baik saja tetapi tidak berani larang perbuatan mungkar!
Ini salah ini mungkar ini khurafat mesti dinyatakan dengan jelas batasannya! Jika tidak mereka akan buat alasan tidak faham.

Tetapi malangnya jika kita nyatakan dengan jelas dan nyata apa yang batasan dan yang salah itu, mereka kata pula ustaz ini suka mengkafir atau membid\’ah orang pula!

  1. Ayat 9- {(Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan supaya kamu kuatkan agamaNya…}- Allah s.w.t menyebut dalam ayat ini kewajipan yang berkembar antara hak Allah s.w.t dan hak Rasulullah s.a.w. iaitu kita wajib beriman kepada kedua-duanya.

Manakala yang khas kepada setiap satu pula:
i- hak khusus bagi Allah – tasbih, puja-puji dan berzikir kepada-NYA.
ii- hak khas kepada Rasulullah pula ialah kita kena muliakannya dan memberi sokongan kepadanya.
Bukan terlalu melampau dalam memuja Rasulullah s.a.w atau cuai dalam menghormatinya.
Kena faham antara hak Allah dan hak Nabi, jangan main rempuh sahaja sehingga hak Allah menjadi hak Nabi s.a.w. Nabi itu Rasul & hamba Allah, kenapa kita nak angkatnya sehingga menjadi darjat ketuhanan.

  1. Ayat 9- {(Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan supaya kamu kuatkan agamaNya serta memuliakanNya,}- hak manusia terbesar yang kita kena jaga ialah hak Rasulullah s.a.w. Kita kena muliakan, agungkan dan menghormatinya, jangan langgarnya. Malangnya apa yang diajar dari Sunnah Nabi s.a.w, jika menyalahi apa yang diamalkan masyarakat, akan dituduh pula sebagai pengacau!
  2. Ayat 10- {Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (يُبَايِعُونَكَ) (wahai Muhammad – untuk berjuang menentang musuh),} kena dikatakan orang yang bersumpat taat setia ini dipangggil bai\’ah (يُبَايِعُونَكَ) – iaitu yang ikat/jual- iaitu kerana mereka telah jual diri kepada Allah dengan bayaran syurga! Nyawa dan harta sanggup dikorbankan untuk berjuang dan membela agama Allah!
  3. Ayat 10- {Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad – untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah;}- bai\’ah ini adalah salah satu inti utama surah al-Fath ini, mahu menonjolkan dan menyatakan tentang kesetiaan para sahabat pada saat genting itu apabila Islam disekat, mereka yang sanggup berbai\’ah, tidak akan lari dan sanggup mati untuk melawan musuh kerana mereka tahu apa yang mereka buat itu akan mendapat pembelaan dan keredhaan dari Allah s.w.t!

Insya\’ Allah bersambung dalam siri akan datang.

Powered by BetterDocs