SURAH AL-AHQAF : AYAT 15-16

\"\"

WASIAT AGAR BERBAKTI KEPADA IBUBAPA & GANJARAN PAHALANYA.

Full video : https://youtu.be/8mZkl64-Nxk

MUQADDIMAH :

  1. Dalam ayat siri ini Allah s.w.t menyatakan wasiat, memberi pesanan khas Agar Berbakti Kepada Ibubapa & Ganjaran Pahalanya.
  2. Allah juga nyatakan kelebihan dan peranan ibu yang lebih bersusah payah daripada ayah dalam menjaga anak.
  3. Kemudian Allah nyatakan bagi sesiapa yang berbuat baik kepada ibu bapa & ahli keluarga serta sesiapa saja, Allah menyediakan ganjaran pahala yang besar.
  4. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t menyebut dalam ayat yang lepas, tentang ahli syurga yang mendapat balasan dengan sebab amalan baik mereka dan ketaatan mereka.
    Maka disebut ayat ini, antara amal yang terbaik selepas tauhid, untuk layak menjadi ahli syurga ialah dengan berbakti kepada dua ibu bapa.
  5. Allah s.w.t juga telah sebut tentang murnikan akidah dan istiqomah kemudian Allah sebut perintah untuk syukur dan berbuat baik kepada ibu bapa. Ini adalah antara ayat yang berkembar, perintah taat kepada Allah & taat kepada ibu bapa.
  6. Ayat ini juga menjadi kayu ukur antara kita & ibu bapa. Ada anak yang taat, ada anak yang culas. Ada yang berkhidmat dengan baik ada yang cuai.
  7. Sebagaimana dalam pengikut Rasulullah s.a.w, ada yang yang beriman ada yang tidak, dalam yang beriman pula ada yang taat setia, ada sekadar ikut bahkan lari pada saat genting.
  8. Semoga kita menjadi pencinta sunnah dan beramal dengannya, juga semoga kita menjadi anak yang berkhidmat kepada kedua ibu bapa samada ketika mereka masih hidup atau setelah mati!

AYAT 15- {DAN KAMI WAJIBKAN MANUSIA BERBUAT BAIK KEPADA KEDUA IBU BAPANYA; IBUNYA TELAH MENGANDUNGNYA DENGAN MENANGGUNG SUSAH PAYAH DAN TELAH MELAHIRKANNYA DENGAN MENANGGUNG SUSAH PAYAH. SEDANG TEMPOH MENGANDUNGNYA BESERTA DENGAN TEMPOH MENCERAIKAN SUSUNYA IALAH DALAM MASA TIGA PULUH BULAN. SETELAH IA BESAR SAMPAI KE PERINGKAT DEWASA YANG SEMPURNA KEKUATANNYA DAN SAMPAI KE PERINGKAT UMUR EMPAT PULUH TAHUN, BERDOALAH IA DENGAN BERKATA: \”WAHAI TUHANKU, ILHAMKANLAH DAKU SUPAYA TETAP BERSYUKUR AKAN NIKMATMU YANG ENGKAU KURNIAKAN KEPADAKU DAN KEPADA IBU BAPAKU, DAN SUPAYA AKU TETAP MENGERJAKAN AMAL SOLEH YANG ENGKAU REDAI; DAN JADIKANLAH SIFAT-SIFAT KEBAIKAN MERESAP MASUK KE DALAM JIWA ZURIAT KETURUNANKU. SESUNGGUHNYA AKU BERTAUBAT KEPADAMU, DAN SESUNGGUHNYA AKU DARI ORANG-ORANG ISLAM (YANG TUNDUK PATUH KEPADAMU)\”.} (AL-AHQAAF 46:15)

  1. Dalam ayat ini sehingga ayat ke-19, Allah s.w.t memerintahkan seseorang anak itu untuk berbuat kepada kedua ibu bapa, iaitu tanggung-jawab anak kepada ibu bapa.
  2. Yakni Allah telah mewasiatkan, membuat perjanjian kepada semua manusia untuk berbuat baik dan berkhidmat kepada ibu bapanya, samada Islam atau tidak.
  3. Tetapi disebut dan dilebihkan ibu daripada bapanya, kenapa?
    Allah sebut ini kerana beberapa sebab:
    i- ibu yang mengandungkan anak dalam rahimnya serta melalui pelbagai ujian & ragam semasa kehamilan.

ii- bila dah besar kandungan & berat, mengusungnya ke sana sini dengan susah payah.

iii- kemudian melahirkan anak itu dengan susah-payah juga, penuh kesakitan yang tidak dapat diceritakan. Antara hidup dan mati.

iv- menjaganya semasa bayi dan menyusukannya, sehinggalah anak itu besar dan dapat berdikari.

  1. Allah sebut bahawa seorang ibu itu hamil mengandungkan anak dan menyusu seorang anak itu selama 30 bulan tempohnya.
  2. Ulama\’ mengambil instinbat dari ayat ini (30 bulan) dengan mengeluarkan beberapa hukum:
    i- tempoh penuh menyusu yakni jangka maksima adalah 24 bulan atau 2 tahun. Ini jelas dengan dalil daripada ayat al-Quran lain. Tidak ada jangka minima kerana ada ibu yang tidak keluarkan susu, dan ada bayi yang tidak suka minum susu berterusan.

ii- ini dalil bahawa tempoh minima hamil ialah 6 bulan mengikut Feqah. Tetapi tidak ada keputusan tentang jangka maksima, kerana tiada dalil tentang perkara ini.

  1. Ibu bapa menjaga dan memberi perhatian kepada seorang anak sehinggalah mereka cukup umur, (إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ) sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya.
  2. Ulama\’ ada beberapa pandangan tentang maksud istilah (إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ) ini:
    i- bila sudah baligh dengan bermimpi.
    ii- ada yang kata 18 tahun.
    iii- ada yang kata 33 tahun, atau 36.
    iv- ada yang kata bermula dari 18 sehingga 40 tahun.
    Wallahu a\’lam.
  3. Kemudian Allah sebut khas apabila sampai umur 40 tahun, maka ketika itu septutnya dia sudah matang, sempurna akal dan kekuatan fizikal badannya. Satu tempoh seolah sudah separuh dari umurnya. Allah akan letakkan hujjah yang kuat atasnya, kena pergi belajar, menimba ilmu mencari pasangan dan usaha untuk kehidupan dunia & Akhirat.
  4. Kata al-Biqa\’i: Terkumpul kematangan dan kekuatan, sudah habis remaja dan mudanya, tetapi belum tua. Cerdik, pandai menguruskan diri, keluarga & harta.
  5. Apabila sampai umur 40, dia berfikir dan berdoa kepada Tuhannya:
    i- \”Wahai Tuhanku, ilhamkanlah kepada aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku.
    *Yakni dia mendoakan kebaikan untuk kedua ibu bapanya, yang Allah kurniakan nikmat rezeki dengan melahirkannya. Serta nikmat harta atas dunia ini, ada yang miskin dan ada yang kaya, berbeza-beza rezeki tetapi wajib bersyukur semuanya.

ii- dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai.
Yakni kita minta supaya Allah jadikan kita tidak lagi lagha dan lalai, tinggalkan segala yang tidak berfaedah dan buat amalan yang Allah redhai, ikut al-Quran dan Sunnah. Serta supaya Allah terima amalan kita, jika tidak hanya sia-sia.

iii- dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.

Sebagaimana ibu bapa kita mengharap dan berdoa yang terbaik untuk kita, maka ini pula doa kita untuk anak cucu zuriat kita. Bukan sahaja kita berdoa kepada Allah ﷻ untuk kebaikan diri kita dan ibubapa kita, tetapi kita doakan untuk keturunan kita juga.

  1. Ini penting supaya mereka pun akan doa untuk kita juga kerana anak-anak kita adalah \’saham\’ kita untuk dapat kebaikan di akhirat kelak. Maka kalau kita hendak mereka tolong kita, kenalah mereka jadi anak yang soleh dahulu.

Hadis:
i- Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ يُسْتَجَابُ لَهُنَّ، لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ
Maksudnya: \”Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya: Doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bemusafir dan doa ibu bapa kepada anaknya. [Riwayat Ibn Majah dan lain-lain.]

ii- 3 Amalan Yang Tidak Terputus Pahalanya:
عن أبي هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع يه أو ولد صالح يدعو له

Daripada Abu Hurairah r.a katanya,, Rasulullah S.A.W telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (waqaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.\” (HR Muslim).

  1. Kata Imam at-Tabari, maksud ayat ini: {dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي – )- doa
    ini mengandungi dua dimensi:
    i- yakni perbaikilah untukku dalam segala urusanku dalam menguruskan zuriat yang Allah anugerahkan kepada kita.
    Ibu bapa itu kena jadi baik dulu kemudian didik anak dengan agama dan kebaikan, beri keperluan hidup yang sesuai dengan umur dengan akal pemikirannya.

ii- Maka apabila anak itu baik, ciri-ciri anak soleh pasti akan berkhidmat kepada kedua ibu bapa.

  1. Doa yang keempat: Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, maka hapuskanlah dosa dan kesilapan yang lepas, sewaktu aku lagha dan jahil. Sekarang aku insaf dan mahu kembali kepada-Mu.
  2. Doa kelima: Sesungguhnya aku dari orang-orang Islam yang tunduk patuh kepada-Mu dan undang-undang Islam. Orang yang taat, patuh dan akur kepada hukuman dan keputusan Allah s.w.t.
  3. Ramai ulama\’ tafsir seperti as-Sam\’ani dan lain-lain berpendapat bahawa ayat ini cerita asalnya, turun kepada Abu Bakar as-Siddiq r.a. walaupun secara asasnya ia umum untuk semua anak-anak.

Ibnu \’Abbas r.a berkata, \”Allah telah memperkenankan doa Abu Bakar r.a. Beliau tidak pernah bermaksud hendak melakukan suatu perbuatan baik, melainkan Allah menolongnya.
Beliau telah berdoa pada peringkat awal Islamnya iaitu ketika berumur 40 tahun:
\”Wahai Tuhanku, berikanlah kebaikan pada diriku, dengan memberikan kebaikan kepada anak cucuku. Jadikanlah kebaikan dan ketakwaan itu menjadi darah daging bagi keturunanku.\”

Allah telah memperkenankan doanya, tidak seorang pun dari anak-anaknya yang tidak beriman kepada Allah; ibu-bapanya juga semua beriman (walaupun selepas lama dia berdoa). Oleh kerana itu, tidak seorang pun di antara sahabat Rasulullah yang memperoleh keutamaan seperti ini.

AYAT 16- {MEREKA (YANG BERSIFAT DENGAN SIFAT-SIFAT YANG TERPUJI SEPERTI ITU) IALAH ORANG-ORANG YANG KAMI TERIMA DARI MEREKA AMALNYA YANG BAIK YANG MEREKA TELAH KERJAKAN, DAN KAMI AMPUNKAN KESALAHAN-KESALAHANNYA; (MEREKA AKAN DIMASUKKAN) DALAM KUMPULAN AHLI SYURGA, SEBAGAI MEMENUHI JANJI YANG BENAR, YANG TELAH DIJANJIKAN KEPADA MEREKA.} (AL-AHQAAF 46:16)

  1. Mereka ini yang berdoa seperti dalam ayat tadi, mempunyai sifat terpuji, yang beramal soleh dan berbuat baik kepada ibu bapa & keluarga, maka Allah s.w.t akan:
    i- terima amalan soleh yang mereka kerjakan.

ii- ampunkan kesalahannya yang lalu, apabila dia bertaubat dan menjadi orang baik.

iii- mereka inilah yang akan dimasukkan dalam kumpulan ahli Syurga,

iv- ini sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka. Allah berjanji dengan orang beriman untuk menerima amalan mereka dan mengampunkan kesalahan mereka, maka janji Allah itu adalah sesuatu yang BENAR!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 15- {Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;}- ini wasiat pertama. Dalam ayat ini menunjukkan antara kasih sayang dan lemah-lembut-Nya Allah s.w.t, Dia bagi wasiat khas kepada anak-anak untuk memberi perhatian dan mengambil berat tentang ibu bapa. Berbuat baik kepada ibu bapa adalah satu penjagaan khas Allah s.w.t agar kita bersikap demikian.

Kita ini perlu kasih-sayang kepada ibu bapa sehingga berumur 40 tahun, bahkan dikatakan seorang lelaki itu akan sentiasa menjadi kanak-kanak selagi ibunya ada walaupun setua mana usianya.

  1. Ayat 15- {Berdoalah ia dengan berkata: \”Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku,}- ayat ini memberi ajaran untuk kita berbuat baik kepada ibu bapa samada ketika mereka masih hidup atau setelah mati.

Sebagaimana hadis Nabi s.a.w tadi yang apabila mati anak Adam maka akan terputus amalannya kecuali 3 perkara.

Yakni Allah s.w.t ajar kita untuk berkhidmat kepada ibu bapa walaupun mereka telah mati, apatah lagi ketika hidupnya.
Maka Allah anugerahkan kita zuriat, anak cucu untuk memanjangkan tempoh aliran pahala kepada ibu bapa walaupun sudah berada di alam barzakh. Inilah pentingnya mempunyai anak cucu yang soleh.

Tetapi bagi orang soleh dan ulama\’ yang mempunyai ilmu & anak murid yang ramai jika mereka tidak sempat mempunyai anak, tidak mengapa kerana aliran pahala ilmu dan doa para muridnya akan sampai insya\’ Allah.

Kata ahli fikir: Manusia yang bahagia ialah yang walaupun telah meninggal dunia, kebaikannya tidak mati, masih mengalir dan tesebar, manakala yang celaka pula adalah sebaliknya!

{Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun,} – apabila seseorang itu mencapai umur 40 tahun. Eloklah dia perbahurui gaya hidupnya, ubah cara jika dulu lagha dan kurang amal ibadat maka perelokkan mana yang tidak baik dan tambahkan mana yang sudah baik!

Kemudian apabila sampai 60 tahun, Allah bagi lagi peringatan dan amaran sebagai hadis dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Allah memberi uzur (keringanan/alasan) kepada seseorang yang Dia akhirkan ajalnya, hingga sampai usia 60 tahun. [HR. Bukhari 6419].

Jika umur 60 tahun masih lagha dan tidak belajar maka berat sekali hukumannya kerana tempoh yang diberi sudah cukup!

  1. Ayat 15- {ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.}- hamil susah, melahirkan susah. Maka ini menunjukkan hak ibu lebih besar daripada hak bapa kerana kesusahannya lebih besar dalam menanggung dan membesarkan anak.

Dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut tiga kali hak & kelebihan ibu, dalam 3 peringkat:
i- Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;
ii- ibunya telah mengandungnya dan melahirkannya dengan menanggung susah payah.
iii- ibu menyusukan anaknya pula.
*Manakala ayah termasuk dalam yang pertama sahaja.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: \’\’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya ?\’\’.
Maka Rasulullah S.A.W. menjawab:
أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ
Maksudnya: Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu. [HR Muslim (2548)].

  1. Ayat 15- {Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.]- ulama\’ tafsir mengatakan bahawa bahawa ini menunjukkan dalil tempoh minima mengandung adalah 6 bulan kerana; dari 30 bulan itu di tolak 24 bulan sebagai tempoh maksima menyusu berdasarkan dalil lain dari firman Allah s.w.t ini:

{Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu;}. (Al-Baqarah 2:233)
Instinbat ini dibuat oleh Ali r.a lalu diterima oleh para ulama\’ lain.

  1. Ayat 15- {\”Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.]- ayat ini mengajar kita bahawa apabila kita berdoa, hendaklah berdoa dengan dua dimensi; ke atas dan juga ke bawah. Berdoa untuk kedua ibu bapa juga (ke atas) juga kepada anak cucu zuriat kita (ke bawah).

Dalam ayat ini juga Allah nyatakan bahawa orang yang berusia 40 tahun itu berdoa dengan 3 perkara:
i- berdoa untuk menjadi orang yang bersyukur.
ii- untuk menjadi orang yang taat.
iii- meminta zuriat sebagai penyambung keturunan yang soleh.

Kerana itu kata ulama\’ tadabbur ada dua sebab di sini:
A) Peringkat kebahagian itu ada tiga:
i- ketenangan diri apabila hati sentiasa bersyukur kepada nikmat Allah s.w.t.
ii- kesihatan tubuh badan untuk beribadat, bekhidmat dan buat benda baik.
iii- kebahagiaan di luar diri kita, iaitu yang ada pada anak cucu, bahagia melihat anak cucu yang soleh dan berjaya.

B) Menjaga tertib ayat:
i- pertama Allah letak syukur sebagai amalan hati.
ii- amalan anggota.
iii- untuk melengkapkan semua itu adalah zuriat keturunan yang akan meneruskannya.

Alhamdulillah dapat kita mengikuti lima faedah dari sini semoga beri manfaat dan pengajaran.

Powered by BetterDocs