SURAH YAASIN : AYAT 28-32

\"\"

KISAH KEBINASAAN AHLI QARYAH, PENYESALAN KAUM YANG BINASA & PENGAJARAN DARI UMAT TERDAHULU.

Full video : https://youtu.be/oUBgS9kU7D0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini sambungan kisah tentang penduduk bandar (ashabul-Qaryah) yang telah mengingkari dan mendustakan 3 orang rasul yang telah diutus kepada mereka.
  2. Mereka juga telah membunuh seorang lelaki beriman di kalangan mereka yang telah menasihati mereka, dia dikenali sebagai sahibu Yasin, dari penghujung bandar itu.
  3. Kesinambungan ayat: Setelah Allah s.w.t nyatakan dalam ayat yang lepas tentang lelaki dari hujung bandar yang datang menasihati dan memberi peringatan kepada mereka lalu dibunuh. Dia pun telah syahid dan dimasukkan ke dalam syurga.
  4. Maka dalam ayat-ayat ini kita lihat apakah akibatnya atas perbuatan mereka itu.

AYAT 28- {DAN KAMI TIDAK MENURUNKAN KEPADA KAUMNYA SESUDAH IA (MATI) SEBARANG PASUKAN TENTERA DARI LANGIT (UNTUK MEMBINASAKAN MEREKA), DAN TIDAK PERLU KAMI MENURUNKANNYA.} (YAA SIIN 36:28)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t mengatakan Dia tidak menurunkan tentera dari langit untuk membinasakan mereka akibat perbuatan jahat mereka itu. Tiada keperluan untuk menghantar satu kekuatan atau tentera yang besar!
  2. Ulama\’ kata maksudnya tidak diturunkan (وَمَا أَنْزَلْنَا) ini untuk menunjukkan betapa kecil dan tidak pentingnya kaum itu, cukup hanya di hantar satu dua malaikat untuk memusnahkan mereka.
  3. Asy-Syaukani kata ini kerana Allah s.w.t telah sedia maklum dalam ilmunya bahawa mereka itu akan musnah hanya dengan suara tempikan sahaja, tidak perlu bala tentara malaikat yang ramai!
  4. Apa yang penting Allah mahu menghina dan memperlekehkan mereka, tetapi tetap dibinasakan. Bagaimanakah caranya?

AYAT 29- {(KEBINASAAN MEREKA) HANYALAH DILAKUKAN DENGAN SATU PEKIKAN (YANG DAHSYAT), MAKA DENGAN SERTA MERTA MEREKA SEMUA SUNYI-SEPI TIDAK HIDUP LAGI.} (YAA SIIN 36:29)

  1. Allah s.w.t membinasakan mereka hanya dengan satu suara tempikan yang dahsyat, tidak berulang lagi hanya satu tempikan (صَيْحَةً وَاحِدَةً) sahaja cukup untuk mematikan dan musnah mereka semua.
  2. Menunjukkan betapa dengan kuasa Allah s.w.t hanya mudah untuk memusnahkan sesuatu kaum atau qaryah itu!

AYAT 30- {SUNGGUH BESAR PERASAAN SESAL DAN KECEWA YANG MENIMPA HAMBA-HAMBA (YANG MENGINGKARI KEBENARAN)! TIDAK DATANG KEPADA MEREKA SEORANG RASUL MELAINKAN MEREKA MENGEJEK-EJEK DAN MEMPEROLOK-OLOKKANNYA.} (YAA SIIN 36:30)

  1. Alangkah besarnya penyesalan terhadap hamba-hamba itu. Iaitu alangkah celakanya, sengsaranya, kecewanya dan penyesalan terhadap hamba-hamba itu yang mendustakan para rasul lalu mereka dibinasakan. Mereka menyia-nyiakan perintah Allah dan melalaikan kewajiban mereka kepada Allah.
  2. Ulama\’ berbeza pandangan dalam maksud siapakah hamba-hamba yang menyesal dalam ayat ini:

i- ad-Dahhaq berkata yang sedih dan kesal itu ialah para malaikat yang kesal atas kerugian mereka mati dalam keadaan tidak beriman!

ii. Ada juga yang kata itu adalah kata-kata lelaki yang datang memberi nasihat kepada mereka tadi! Betapa ia sedih akan nasib malang mereka itu.

iii. Ada yang kata kaum itu kaum kafir manakala hamba-hamba yang sedih adalah rasul yang diutus kepada mereka.

iv. Ada juga ulama\’ kata itu penyesalan mereka di Akhirat kelak!
Semua ini boleh diterima belaka, penyesalan di atas dunia juga di akhirat.

  1. Mereka dulu setiap kali datang seorang rasul kepada mereka, mereka akan mendustakannya, memperolok-olokkannya, dan mengingkari kebenaran yang disampaikan olehnya. Inilah sebab yang membuat mereka dibinasakan dan mendapat penyesalan.

AYAT 31- {TIDAKKAH MEREKA MENGETAHUI BERAPA BANYAK UMAT-UMAT YANG TELAH KAMI BINASAKAN SEBELUM MEREKA? UMAT-UMAT YANG TELAH BINASA ITU TIDAK KEMBALI LAGI KEPADA MEREKA (BAHKAN KEMBALI KEPADA KAMI, UNTUK MENERIMA BALASAN).} (YAA SIIN 36:31)

  1. Ayat-ayat yang lepas dibawa untuk menjadi iktibar peringatan untuk kita yang terkemudian ini. Tidakkah mereka tahu dan lihat iaitu kaum kafir Quraisy yang turun ayat kepada mereka pada masa itu, dan semua kafir yang ada sehingga ke hari ini!
  2. Betapa banyak kaum-kaum terdahulu yang telah mati binasa akibat kekufuran mereka. Mereka itu tidak akan kembali lagi ke dunia ini bahkan akan dibangkitakn semula di sisi Allah s.w.t untuk dihisab bagi pembalasan pula.
  3. Ulama\’ membincangkan maksud perkatan {Tidakkah mereka tengok} (أَلَمْ يَرَوْا):
    i- dengan maksudnya tahu dengan ilmu. Ilmu itu pula didapati samada dengan mendengar atau;

ii- tengok dengan mata kepala mereka sendiri. Iaitu kesan kebinasaannya dalam rehlah mereka kaum Quraisy.

  1. Ulama\’ juga mengatakan ayat ini menunjukkan manusia yang telah mati binasa tidak akan hidup kembali!
  2. Ada juga yang kata maksudnya tidak kembali adalah tidak kembali beriman walaupun telah diberi nasihat dan dan didakwah oleh para rasul. Mereka tidak undur, tidak tinggal kembali apa keburukan yang mereka pegang dan buat.
  3. Mereka tidak peduli dengan kebinasaan asalkan boleh ikut hawa nafsu. Orang yang tidak beriman itu tetap degil dan keras kepala, mereka berkata mati sekali lebih baik daripada hidup hina iaitu menyerah, kena ikut perbuatan yang mereka tidak suka di atas dunia.
  4. Mereka berani mencabar begini kerana mereka tidak beriman dengan hari akhirat dan kebangkitan hidup semula. Mereka tidak tahu kematian itu adalah permulaan, bukan pengakhiran. Kita orang mukmin kita ada akidah dan tauhid kerana itu kita takut!
  5. Mati itu bukan senang, bermula dari azab kubur, kubur itu pintu akhirat, lubang pertama menuju perjalanan ke akhirat. Siapa selamat darinya maka perjalanan seterusnya akan lebih ringan insya\’ Allah.
  6. Maka kita yang yakin dan percaya akan kebangkitan semula dan hari Akhirat dan azab kubur, maka sediakan benteng untuk selamatkan diri kita daripada azab neraka.
  7. Pada hari ini ada pula ungkapan kubur masing-masing, jika jumpa orang begini yang apabila dinasihati, maka ucapkan selamat tinggal kepada mereka.

AYAT 32- {DAN TIDAK ADA SATU MAKHLUK PUN MELAINKAN DIHIMPUNKAN KE TEMPAT PERBICARAAN KAMI, SEMUANYA DIBAWA HADIR (UNTUK MENERIMA BALASAN).} (YAA SIIN 36:32)

  1. Setiap umat, baik yang terdahulu ataupun yang akan datang, semuanya akan dihadapkan di hadapan Allah s.w.t, iaitu di padang Mahsyar, setelah dibangkitkan untuk dihisab dan diberikan keputusan yang adil yang tidak ada kezaliman sedikit pun.
  2. Allah akan membalas setiap manusia setimpal dengan amal perbuatannya. Jika amalnya baik, maka Allah akan melipatgandakannya dan akan memberikan pahala yang besar dari sisi-Nya. Jika amalnya buruk, maka Dia akan membalas dengan balasan yang sesuai.
  3. Kata AAM: Suratan amalan kita yang akan dibaca di Akhirat kelak, kita sendirilah penulisnya, maka marilah kita penuhkan rekod amalan kita dengan kebaikan dan kebajikan!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 31- {Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka?} – setiap orang mesti lihat kepada setiap peristiwa yang berlaku apakah kesan dan akibat yang berlaku, iaitu mengambil pengajaran & iktibar darinya.
  2. Ayat 31- {Tidakkah mereka mengetahui??} – Ayat ini bukan soalan pertanyaan tetapi soalan berbentuk celaan! Mereka sudah tahu tetapi Allah s.w.t tetap tanya hanya sebagai celaan dan peringatan kepada yang sudah berlaku.
  3. Ayat 32- {Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).}- maka wajib bagi setiap manusia untuk membuat persiapan bagi menghadapi hari ini, bukan dengar dan baca sahaja. Bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Seperti kita yang mendapat amaran banjir, maka wajib bersiap sedia buat persiapan, kemaskan barang, pindahkannya dan lain-lain persiapan yang sepatutnya.

Apatah lagi persiapan untuk menghadapi perbicaraan di hadapan Allah s.w.t nanti!

Antara tanda kematian yang Husnul-Khatimah ialah terperciknya peluh di dahi mayat. Ulama\’ kata ini kerana apabila di angkat rohnya dan ditunjukkan tempat dan nikmatnya yang baik, terpercik peluhnya kerana malu kepada Allah s.w.t, berasa sedikit amal persiapannya tidak padan dengan balasan yang diberi.

Ya Allah matikan kami semua dalam husnul-khatimah dan mendapat keampunan dan keredhaan-Mu!

  1. Ayat 28- {Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit} – malaikat ini pusat pengkalannya di langit. Mereka hanya turun ke bumi setiap hari untuk menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Jadi mereka ini turun naik antara langit dan bumi, ada yang setiap hari, pada waktu pagi dan petang, kerana itu mereka bersayap untuk memudahkan pergerakan mereka ini. Tugas mereka amat banyak seperti menjaga dan memantau manusia, membawa rezeki, mencatat amalan dan lain-lain.
  2. Ayat 28- {Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit}- dalam kes penduduk bandar ini Allah s.w.t tidak perlu hantar malaikat kerana apabila sesuatu tugas itu besar barulah Allah s.w.t akan menghantar satu pasukan malaikat yang besar seperti untuk membantu para rasul. Contoh kepada Rasulullah s.a.w dalam peperangan Badar dan Ahzab, serta kepada beberapa orang rasul Ulul-Azmi lain lagi seperti Nabi Nuh, Musa dan Ibrahim a.s.
  3. Ayat 29- {(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.}- dalam ayat ini Allah s.w.t menyatakan bahawa hina dan lemah segala makhluk itu, dengan sekali tempikan sahaja musnah semuanya. Ini hanya satu urusan yang kecil dan mudah di sisi Allah s.w.t!

Firman Allah s.w.t juga: {Dan hal Kami (dalam melaksanakan apa yang Kami kehendaki), hanyalah satu cara sahaja, (cepat jadinya) seperti sekelip mata. (Al-Qamar 54:50)

  1. Ayat 30- {Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.}- ayat ini menunjukkan bahawa semua dan setiap orang rasul yang diutuskan itu secara umumnya akan ditentang dan dihina oleh kaumnya. Tidak ada mana-mana nabi dan rasul (مِنْ رَسُولٍ إِلَّا) yang diutus kecuali dihina (يَسْتَهْزِئُونَ) dan didustakan oleh kaumnya!
  2. Ayat 31- {Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan).}- ini untuk menolak kepada akidah Syiah dan Rafidhah yang mengatakan imam-imam mereka akan hidup balik selepas mati. Pelopor ajaran ini ialah Abdullah bin Saba\’, seorang yahudi. Akidah ar-Raj\’ah (kembali) ini telah menjadi ikutan dan pegangan beberapa kumpulan ajaran sesat pula, bagi mereka tok syeikh mereka tidak mati dan akan kembali semula hidup.

Ada juga kepercayaan orang Melayu yang mengatakan pada malam Jumaat roh akan kemabli ke dunia untuk melihat anak cucu dan keluarganya apa yang mereka buat! Ini juga tidak betul dan salah!

Semoga pihak berkuasa negara dan negeri kita dapat mengambil tindakan segera untuk menyekat dan membanteras ajaran dan fahaman sesat jenis apa jua pun, ini agar tidak merebak dan membarah dalam masyarakat Islam kita.

  1. Ayat 28- {Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati)- ayat ini permulaan semula untuk menjawab persoalan kepada apa yang berlaku kepada lelaki yang memberi nasihat iaitu sahibu Yasin, jelaslah bahawa dia telah mati dibunuh oleh kaumnya!

Manakala Ayat 29- {(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.}- ini pula menjelaskan tentang akibat dan hukuman Allah s.w.t ke atas kaumnya itu! Mereka dimusnahkan dengan satu tempikan lalu mati semuanya.

Cuma tidak tidak dijelaskan apa yang terjadi kepada tiga orang rasul itu, tetapi ulama\’ buat kesimpulan mereka juga mati.

  1. Ayat 29- {(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.}- dalam ayat ini Allah s.w.t sebut bahawa mereka mati senyap sunyi semuanya selepas satu tempikan (صَيْحَةً وَاحِدَةً) itu.

Perkataan satu tempikan ini (صَيْحَةً وَاحِدَةً) sekali lagi Allah s.w.t sebut dalam ayat 53: {Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).} (Yaa Siin 36:53) – ulama\’ kata ayat ini tidak berulang maknanya kerana dalam ayat ini adalah cerita tentang manusia yang akan dibangkitkan hidup kembali selepas satu tiupan (صَيْحَةً وَاحِدَةً) sangkakala pada hari Kiamat kelak untuk dihimpun.

Begitulah keindahan apabila kita tadabbur al-Quran, terdapat banyak hikmah, pengajaran, nasihat, ilmu yang tersirat di sebalik setiap yang tersurat apabila kita kaji, fikir dan tafakkur! Semoga al-Quran terus menjadi sinar cahaya yang manis dan indah bagi kita selamanya.

Powered by BetterDocs