SURAH AL-FATH : AYAT 27-28

\"\"

BENARNYA MIMPI NABI S.A.W AKAN MASUK MAKKAH, HIKMAH KELEWATAN & DIUTUSKAN NABI S.A.W.

Full video : https://youtu.be/XaLQDzOMPBc

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan tentang benarnya mimpi para nabi. Dalam kisah ini Nabi Muhammad s.a.w bermimpi bahawa dia memasuki Makkah. Tetapi hakikatnya rombonganya terhalang dari memasuki Makkah.
  2. Allah s.w.t jelaskan pula hikmah kelewatan mimpi ini dari menjadi realiti. Kerana untuk mencapai matlamat dan agenda yang lebih besar lagi. Sabar sekejap selepas setahun setengan, mereka bukan hanya dapat memasuki Makkah tetapi menawannya terus!
  3. Kemudian Allah s.w.t sebutkan pula hikmah diutuskan Rasulullah s.a.w. Tujuan terbesarnya untuk mengangkat agama Islam mengatasi segala agama yang lain.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas, Allah s.w.t telah menetapkan bahawa ilmu-Nya mengetahui segala perkara yang berlaku serta Allah nyatakan sebab kenapa Dia tahan tangan orang Islam dan orang kafr dari berlaku pertumahan darah. Iaitu kerana ada orang Islam yang berlindung di Makkah secara sembunyi.

Kemudian diceritakan tentang mimpi Rasulullah s.a.w bahawa Baginda memasuki Makkah. Allah menyatakan mimpi ini benar walaupun bukan berlaku pada tahun tersebut, tetapi tahun selepasnya.

Semenjak berhijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w & para sahabat tidak dibenarkan masuk ke Makkah sehingga pada tahun ke-6H, Baginda s.a.w bermimpi memasuki Makkah dan mengerjakan umrah.
Apabila diberitahu kepada para sahabat, alangkah gembiranya mereka mendapat khabar itu dan mengira akan dapat masuk ke Makkah pada tahun itu. Rasulullah s.a.w bercadang untuk menunaikan umrah dan orang ramai menyambut berita ini dengan gembira lalu bersiap-siaplah mereka untuk berangkat.
Mereka bertolak untuk masuk Makkah pada bulan Zulqa\’dah tahun ke-6 H itu.

Tetapi malangnya mereka disekat semasa tiba di Hudaibiyah, tidak dibenarkan masuk Makkah pada tahun itu.
Berlakulah perbicangan demi perbincangan antara pihak Rasulullah s.a.w & Quraisy Makkah sehingga terhasilnya Perjanjian Damai Hudaibiyah.

Sikap Rasulullah s.a.w bertoleransi untuk menjayakan perdamaian itu dan kembali ke Madinah tidak mendapat persetujuan dari sebahagian ahli rombongan kaum muslimin.

Kaum munafiq dan musyrikin juga mengejek-ejek dan memerli mengatakan bahawa mimpi Baginda hanya palsu dan tidak menjadi kenyataan!

Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat ini menyatakan bahawa mimpi para rasul itu benar, jangan gopoh, ia akan berlaku juga walaupun bukan segera. Kerana ada hikmah di sebaliknya!

  1. Kisah penuh tentang Perjanjian Hudaibiyah ini boleh dibaca secara ringkas dalam, buku Makkah al-Mukarramah Kelebihan & Sejarah:
    http://www.dartaibah.com/…

AYAT 27- {DEMI SESUNGGUHNYA! ALLAH TETAP MENYATAKAN BENAR RASULNYA DALAM PERKARA MIMPI ITU DENGAN KENYATAAN YANG SEBENAR; IAITU SESUNGGUHNYA KAMU TETAP AKAN MEMASUKI MASJID AL-HARAAM – INSYA ALLAH (PADA MASA YANG DITENTUKANNYA) – DALAM KEADAAN AMAN (MENYEMPURNAKAN IBADAT UMRAH KAMU) DENGAN MENCUKUR KEPALA KAMU, DAN KALAU (TIDAK PUN) MENGGUNTING RAMBUTNYA, SERTA KAMU TIDAK MERASA TAKUT (AKAN PENGKHIANATAN MUSUH SEHINGGA KAMU KELUAR BALIK DARI SITU). (ALLAH MENGANGGUHKAN BERLAKUNYA KENYATAAN ITU) KERANA IA MENGETAHUI (ADANYA FEADAH DALAM PENANGGUHAN ITU) YANG KAMU TIDAK MENGETAHUINYA; MAKA IA MENYEDIAKAN SEBELUM (TERLAKSANANYA MIMPI) ITU, SATU KEMENANGAN YANG DEKAT (MASA BERLAKUNNYA).} (AL-FATH 48:27)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t bersumpah bahawa kamu akan masuk Masjidil Haram, insya\’ Allah pada masa yang ditentukan Allah dalam keadaan aman dari gangguan Quraisy.
    Maka sabar dan jangan gopoh.
  2. Tampak di sini betapa pentingnya kalimah insya\’ Allah dalam hidup kita, percakapan dalam janji kita semuanya sebagai seorang Islam.
  3. Hati-hati akan ejaannya yang betul dalam bahasa Arab iaitu: { إِنْ شَاءَ اللَّهُ} tiga perkataan terputus, jangan disambung jika tidak akan membawa makna yang lain.
  4. Insya\’ Allah juga membawa kepada dua maksud:
    i- taukid (التوكيد)- iaitu untuk mengguatkan janji kita dengan bergantung kepada Allah.

ii- Ta\’liq (التعليق)- ini pula kita serahkan kepada Allah, jika Dia kehendaki kita akan buat, jika tidak terjadi bermakna Allah tidak izinkan, bukan salah kita.

5. Hadis-hadis tentang Perjanjian Hudaibiyah:
i- Sayyidina Umar r.a bin al-Khattab persoalkan akan isi kandungan perjanjian Hudaibiyah yang seolah berat sebelah:
Dia datang kepada Nabi seraya berkata: \”Wahai Rasulullah, bukankah kita di atas agama yang benar dan mereka dalam kebatilan?\”

Baginda menjawab: \”Memang benar\”.
Tanyanya lagi: \”Bukankah orang kita yang terbunuh berada dalam syurga dan orang mereka berada dalam neraka?\”
\”Memang benar\”. Jawab baginda.

Tanyanya lagi: \”Justeru mengapa kita serahkan kerendahan dalam agama kita dan kita berpatah balik, sedangkan Allah belum memutuskan keputusan antara kita dan mereka?\”
Baginda menjawab: \”Wahai putera al-Khattab, aku ini Rasulullah dan aku tidak akan menderhakai Allah, Dialah pembantuku dan Dia tidak akan mensia-siakan aku sekali-kali\”.

Umar bertanya lagi: \”Bukankah engkau memberitahu kami bahawa kita akan datang ke rumah Allah dan dapat melakukan tawaf?\”
Baginda menjawab, \”Bahkan, tetapi adakah aku memberitahumu bahawa kita akan datang pada tahun ini?\”
Umar menjawab: \”Tidak.\”
Baginda berkata: \”Memang engkau pasti akan datang ke rumah Allah dan dapat melakukan tawaf\”.

Kemudian Umar beredar sambil menahan marah.
Dia pergi kepada Abu Bakar dan berkata seperti yang dikatakannya kepada Rasulullah S.A.W. Abu Bakar menjawab kepadanya sebagaimana yang dijawab oleh Rasulullah S.A.W, di samping itu Abu Bakar menambah lagi dengan katanya:
\”Berpegang teguhlah dengan keputusan Baginda sehingga engkau mati. Demi Allah dia berada di atas kebenaran\”.

Kemudian turunlah firman Allah yang berbunyi:
إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا
Maksudnya: \”Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata\”. (Surah al-Fath: 1)

Kemudiannya Rasulullah S.A.W mengutuskan seseorang untuk membacakan ayat ini kepada Umar.
Setelah mendengarnya, Umar berkata: \”Wahai Rasulullah, adakah ini kemenangan?\” Baginda menjawab: \”Ya\”. Barulah Umar berpuas hati dan kembali. [HR Bukhari].

ii- Dari Ibnu Umar r.a: \”Nabi s.a.w keluar dari Madinah dengan niat umrah (pakai ihram & bawa hadyu), kemudian apabila terhalang, Baginda s.a.w menyembelih untanya dan mencukur kepalanya. Kemudian Baginda berjanji dengan Quraisy bahawa mereka akan dibenarkan untuk masuk mengerjakan umrah pada tahun berikutnya, tidak boleh bawa senjata lain, hanya membawa pedang bersarung.
Mereka kemudian melakukannya dan hanya berada selama tiga hari sebagaimana yang dibenarkan oleh kaum Quraisy.\” [HR Bukhari].

6. Allah s.w.t sebut selepas selesai umrah itu kamu mencukur atau menggunting rambut kamu seluruhnya (bagi lelaki).
Cukur lebih afdhal bagi lelaki kerana ada hadis yang menyebut bahawa:
\”Rasulullah s.a.w mendoakan kebaikan dan rahmat Allah tiga kali untuk orang yang mencukur kepalanya dan mendoakan kebaikan sekali untuk orang yang hanya bergunting rambut.[HR Ahmad]

Maka kita yang pergi haji & umrah kenapa masih berasa sayang untuk mencukur seluruh rambut?
Sedangkan begitu besar doa Rasulullah s.a.w kepadanya.

7. Allah s.w.t memberi jaminan lagi bahawa mereka akan berada dalam keadaan aman sehingga keluar dari Makkah.
Tetapi berlaku juga sedikit gangguan dari pihak Quraisy akibat hasutan syaitan yang menghasut Quraisy agar menyerang hendap rombongan Rasulullah s.a.w ketika mereka sedang melakukan tawaf!!!!

8. Mereka lupa bahawa Rasulullah s.a.w itu dalam jagaan Allah s.w.t dan ada wahyu! Allah s.w.t lalu mengajar kepada Baginda agar membuka bahu kanan mereka untuk menunjukkan kekuatan dan berjalan dengan rancak dan seperti melompat apabila melalui Rukun Hajaral Aswad sehingga ke Yamani kerana pihak Quraisy sedangkan meninjau mereka dari Bukit Qaiqi\’an dari sebelah ini. Inilah rahsianya dua perbuatan semasa tawaf ini!
Melihat ini pihak Quraisy tidak jadi menyerang rombongan umrah Rasulullah s.a.w ini!

9. Inilah hikmah sebab penangguhan mereka dari memasuki Makkah pada tahun sebelumnya. Ada kemaslahatan dan manfaatnya yang hanya Allah s.w.t tahu.

10. Kata Ibnu Atiyah rhm., hikmahnya: Kerana Allah mahu Islam itu lebih kuat lagi. Kerana selepas itu sudah ramai pemimpin besar Quraisy yang memeluk Islam. Ini sebagai pembuka lorong untuk Rasulullah s.a.w membuka Makkah dengan lebih mudah dan lancar!

11. Allah s.w.t menyediakan satu kemenagan yang dekat sebelum terlaksanya mimpi masuk Makkah itu. Iaitu kejatuhan kota Khaibar yahudi.

Perjanjian Hudaibiyah berlaku pada Zulqidah tahun ke-6H, lalu pada awal tahun ke-7H iaitu samada Muharram atau Safar Allah beri keizinan kepada Rasulullah untuk menawan kota Khaibar dan mendapat harta rampasan yang begitu banyak.
Ibnu Hajar kata pada bulan Muharram.

12. Sebagaimana kata Ibnu Kathir pembukaan (فَتْحًا قَرِيبًا) itu berlaku bermula dari Hudaibiyah kemudian Khaibar, umrah & Pembukaan Kota Makkah.

13. Tamatlah ayat ini yang menyatakan bahawa mimpi Rasulullah s.a.w itu benar dan akan terlaksana insya\’ Allah.

AYAT 28- {(ALLAH YANG MENYATAKAN ITU) DIA LAH YANG TELAH MENGUTUS RASULNYA (MUHAMMAD, S.A.W) DENGAN MEMBAWA HIDAYAH PETUNJUK DAN AGAMA YANG BENAR (AGAMA ISLAM), SUPAYA DIA MEMENANGKANNYA DAN MENINGGIKANNYA ATAS SEGALA BAWAAN AGAMA YANG LAIN; DAN CUKUPLAH ALLAH MENJADI SAKSI (TENTANG KEBENARAN APA YANG DIBAWA OLEH RASULNYA ITU).} (AL-FATH 48:28)

  1. Apa yang dijanjikan oleh Allah s.w.t mengenai agama Islam mengatasi agama yang lain terbukti kebenarannya. Kerana dalam masa yang singkat agama Islam telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia, umat Islam telah mencapai satu zaman keemasan serta ilmu pengetahuannya telah memberi sumbangan yang besar dalam tamadun dunia. Suatu ketika dalam sejarah, empayar pemerintahan Islam menguasai dan menakluk hatta ke benua Eropah dan benua Asia. Seperti kerajaan Uthmaniyyah dan Andalus di Eropah.
  2. Hatta sehingga ke hari ini, agama Islam masih menguasai agama yang lain walaupun kuasa politiknya telah pupus dalam wilayah dunia Kekuatan umatnya telah susut terutama di Eropah dan seluruh dunia. Tetapi mengikut kedudukannya sebagai agama, Islam masih tinggi dan mengatasi agama yang lain kerana ia bertepatan dengan tabiat semulajadi manusia dan undang-undang alam yang sejati.
  3. Munasabah ayat: Ayat ini menguatkan bukti bahawa benarnya mimpi Nabi s.a.w serta sebagai khabar gembira dengan Pembukaan kota Makkah. Walaupun pada tahun itu mereka terhalang dari memasuki Makkah, dengan undur dulu selangkah, mereka akan mara 10 langkah selepas itu insya\’ Allah.
  4. Allah s.w.t telah menguatkan Rasulullah s.a.w dengan:
    i- ilmu yang benar (بِالْهُدَى).
    ii- agama & perundangan Syari\’ah yang benar (وَدِينِ الْحَقِّ).
  5. Islam akan mengatasi segala agama yang lain sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w dalam beberapa buah hadis:
    i- Dari UM Aisyah r.a bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda:
    \”Belum akan pergi malam dan siang (terjadi kiamat) sebelum disembah orang kembali Latta dan \’Uzza.\”
    Tanya \’Aisyah, \”Ya, Rasulullah! Bagaimana dengan firman Allah yang mengatakan: \”Dia (Allah) telah mengutus RasulNya dengan petunjuk (Al Quran) dan dengan agama yang benar (Islam) untuk dimenangkannya atas segala agama walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai.\” (At Taubah, 33).

Aku menduga bahawa ketika ayat itu diturunkan, perihal orang-orang menyembah berhala telah selesai.\”
Jawab Rasulullah s.a.w., \”Yang demikian bakal terjadi dengan kuasa Allah. Allah akan meniupkan angin yang baik, maka wafatlah setiap orang yang ada iman dalam dadanya, walaupun iman yang hanya seberat biji sawi. Sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang tidak baik belaka. Lalu mereka kembali memeluk agama nenek moyang mereka.\” [HR Muslim].

ii- HR Thauban r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: \”Sesungguhnya Allah melipat bumi untukku lalu aku melihat timur dan baratnya dan sesungguhnya kekuasaan ummatku akan mencapai yang dihimpunkan untukku, aku diberi dua harta simpanan; merah dan putih, dan sesungguhnya aku meminta Rabbku untuk ummatku agar tidak dibinasakan oleh kekeringan menyeluruh, agar Ia tidak memberi kuasa musuh untuk menguasai mereka selain diri mereka sendiri lalu menyerang perkumpulan mereka.

Dan sesungguhnya Tuhanku berfirman: \’Wahai Muhammad, sesungguhnya Aku bila menentukan takdir tidak bisa diubah, sesungguhnya Aku memberikan untuk umatmu agar tidak dibinasakan oleh kekeringan menyeluruh, Aku tidak memberi kuasa musuh untuk menyerang mereka selain diri mereka sendiri lalu mereka menyerang perkumpulan mereka meski mereka dikepung dari segala penjurunya hingga sebahagian dari mereka membinasakan sebahagian lainnya dan saling menawan satu sama lain. [HR Muslim].

iii- Hadis riwayat Tamim ad-Dari r.a: \”Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, \”Sesungguhnya agama ini akan sampai ke semua tempat yang sampai padanya siang dan malam. Allah tidak akan membiarkan satu rumahpun baik di kota atau di desa, kecuali Allah akan memasukkan agama ini ke dalamnya, dengan kemuliaan orang yang mulia atau dengan kehinaan orang yang hina. Mulia kerana Allah memuliakannya dengan Islam, dan hina kerana Allah menghinakannya dengan kekafiran.\”

Tamim ad-Dari berkata, \”Aku telah mengetahui hal tersebut dalam keluargaku, mereka yang masuk Islam telah memperoleh kebaikan dan kemuliaan, sedang mereka yang masih dalam kekafiran telah memperoleh kehinaan, kekerdilan dan (kewajiban membayar) jizyah.\” [HR Ahmad].

iv- Dari Khabbab ibnu al-Arats, antara sahabat yang mendapat siksaan yang dahsyat dari Quraisy, datang mengadu kepada Rasulullah s.a.w yang sedang berehat dekat Ka\’bah pada masa itu:
Dia berkata,\”Wahai Rasulullah, tidakkah tuan hendak memintakan pertolongan bagi kami?\”

Rasulullah S.A.W pun duduk, mukanya jadi merah, lalu sabdanya: \”Dulu sebelum kamu semua, ada seorang laki-laki yang disiksa, tubuhnya dikubur kecuali leher ke atas. Lalu diambil sebuah gergaji untuk menggergaji kepalanya, tetapi siksaan demikian itu tidak sedikit pun dapat memalingkannya dari agamanya.

Ada pula yang disikat antara daging dan tulang-tulangnya dengan sikat besi, juga tidak dapat menggoyahkan keimanannya.
Sungguh Allah akan menyempurnakan hal tersebut, hingga setiap pengembara yang bepergian dari Shana\’a ke Hadlramaut, tiada tahut kecuali pada Allah Azza wa Jalla.\”

Khabbab dengan kawan-kawannya mendengarkan kata-kata itu, bertambahlah keimanan dan keteguhan hati mereka. Dan masing-masing berikrar akan membuktikan kepada Allah dan Rasul-Nya hal yang diharapkan dari mereka, ialah ketabahan, kesabaran dan pengorbanan. [HR Bukhari].

6. Akhir ayat, Allah mengatakan bahawa cukuplah Allah s.w.t menjadi saksi bahawa agama ini akan menang, Rasulullah s.a.w akan mendapat pertolongan dan kamu akan dapat memasuki Makkah!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 27- {Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar;}- mimpi para nabi itu benar! Kerana itu Allah sebut bahawa Dia benarkan mimpi Rasulullah s.a.w .
    (لَقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ).

Mimpi itu ada dua dimensi:
i- dari sudur realiti yang akan berlaku. Ini sahabat tidak dapat kesan bilakah ia akan berlaku.

ii- dari sudut khabar- Allah ceritakan bahawa mimpi Nabi itu benar!

Maka kita sebagai mukmin dua kali kita percaya:
i- kita yakin Allah benarkannya, lalu kita percaya 100% apa yang dikatakan Allah s.w.t.

ii- kita saksikan sendiri bahawa benar sekali bahawa Rasulullah s.a.w telah memasuki Makkah.

Tetapi mimpi manusia biasa boleh jadi benar atau tidak, jangan kita mudah-mudah taksub & percaya sehingga taksub kerana ada yang betul ada yang kelentong.

  1. Ayat 27- {iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam – insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) – dalam keadaan aman.}- kenapa Allah s.w.t guna perkatan insya\’ Allah ini, sedangkan Dia sendiri yang berjanji itu? (إِنْ شَاءَ اللَّهُ)

Insya\’ Allah ini ada dua:
i- ta\’liq- kita akan buat tetapi mengikut kehendak Allah s.w.t.
ii- tahqiq- atau memang kita mahu buat tetapi kita sandarkannya kepada Allah. (sebagai ambil berkat)

Kata ulama\’ Allah selitkan insya\’ Allah ini kerana:
i- Allah s.w.t mahu ajar kita adab, apabila berjanji kena berlapik dengan insya\’ Allah.
ii- untuk kita mengambil berkat dengan sentiasa menyebut nama Allah s.w.t.
iii- pengecualian di sini kerana ada sahabat yang tidak sempat masuk Makkah kerana telah mati, dalam Islam.

  1. Ayat 27- {iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam – insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) – dalam keadaan aman}- kata ulama\’; boleh kita menyatakan pengecualian dalam iman untuk menyatakan sebab dengan kata insya\’ Allah: Saya seorang mukmin insya\’ Allah (yakni dengan kehendak Allah s.w.t) yakni dengan maksud tahkik bukan ta\’liq!
  2. Ayat 27- {insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) – dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting rambutnya,}- kata ulama\’ ini menunjukkan bahawa bergunting atau bercukur rambut kepala termasuk dalam amalan haji & umrah.

Khilaf ulama\’ dalam jumlah rambut yang hendak digunting atau cukur!
i- wajib cukur semua sekali bagi mazhab Maliki & Hanbali.
ii- Syafei kata cukup hanya sekadar 3 ruas jari atau tiga urat paling kurang.
Dari sudut amalinya biarlah nampak perbezaan sebelum & selepas tahallul! Juga menikut Sunnah Rasulullah s.a.w bukan hanya 2-3 urat walaupun sah mengikut Kitab kita.

  1. Ayat 28- {(Allah yang menyatakan itu) Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad, s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh RasulNya itu).} – Allah s.w.t beri jaminan bahawa agama ini akan menang! Walaupun adakalanya ada pasang surut, ada ketika di atas, ada ketika merosot ke bawah seperti sekarang ini! Insya\’ Allah di akhir zaman nanti Islam akan kembali menguasai dunia seperti pada awalnya insya\’ Allah.

Powered by BetterDocs