SURAH AL-AHZAB : AYAT 45-49

\"\"

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB NABI S.A.W, TEGAS TERHADAP KAFIR DAN MUNAFIQ & HUKUM TALAK SEBELUM MELAKUKAN JIMAK.

Full video : https://youtu.be/VCx0V5uzfwo

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t terangkan 7 ciri keistimewaan atau tugasan, tanggung-jawab Nabi s.a.w.
  2. Allah s.w.t juga tegaskan agar Rasulullah tetap pendirian, jangan tunduk kepada tekanan atau tuntutan puak kafir dnn munafiq.
  3. Ayat yang ke-45 ini adalah ayat yang ketiga Allah s.w.t menyeru Rasulullah dengan jawatannya, sebagai يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ – {Wahai Nabi,} dalam surah ini:
    i- Ayat 1 – Seruan pertama khas untuk zat Baginda s.a.w. يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ اتَّقِ اللَّهَ
    ii- Ayat 28- Panggilan yang kedua, yang khas kepada para isterinya, yakni isu berkaitan rumahtangga Rasulullah s.a.w. يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ
    iii- Ayat 45- tanggung-jawab Nabi s.a.w kepada ummah – يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ
    ayat yang ketiga ialah tentang tugas Rasulullah s.a.w, tugas dan sifat yang Allah s.w.t letakkan, yang menunjukkan keistimewaan & ketinggian kedudukan Baginda s.a.w yang risalahnya mengandungi pula 3 perkara utama.
  4. Kemudian dibawa hukum tentang orang yang bercerai tetapi tidak sempat bersama.

AYAT 45 – {WAHAI NABI, SESUNGGUHNYA KAMI MENGUTUSMU SEBAGAI SAKSI (TERHADAP UMATMU), DAN PEMBAWA BERITA GEMBIRA (KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN) SERTA PEMBERI AMARAN (KEPADA ORANG-ORANG YANG INGKAR). (AL-AHZAAB 33:45)

  1. Dalam ayat ini sekali lagi Allah s.w.t menyeru Rasulullah s.a.w mengikut jawatannya. يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ – {Wahai Nabi} s.a.w .
  2. Ayat ini serta tiga ayat berikutnya menerangkan tentang tugas Nabi Muhammad s.a.w. iaitu:
    i- sebagai saksi (شَاهِدًا),
    ii- membawa khabar gembira (مُبَشِّرًا) bagi yang patuh,
    iii- sebagai pemberi amaran (نَذِيرًا) kepada orang-orang yang ingkar.
  3. Bahawa Allah s.w.t mengutusnya pertama sebagai saksi (شَاهِدًا). Ulama\’ membincangkan pula makna saksi ini. Kata Imam al-Mawardi:
    i- saksi ke atas umat ini, bahawa Baginda telah menyampaikan semua perintah Allah s.w.t.
    ii- saksi ke atas umatnya adakah mereka beriman atau kufur. Bagi orang mukmin pula samada yang betul-betul beriman dan taat atau yang mereka-reka ibadat yang tidak disyariatkan, mereka ini akan terpisah di tepi kolam.
    iii- – menjadi saksi kepada semua nabi dan utusan yang Allah s.w.t telah utuskan.
    iv- ada juga kata saksi Nabi s.a.w terhadap umat-umat yang terdahulu.
  4. Tugasnya yang kedua membawa khabar gembira (مُبَشِّرًا) di dunia dan akhirat bagi yang patuh, taat dan akur. Siapa ikut dan taat, dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t.
  5. Serta tugasnya yang ketiga ialah sebagai pemberi amaran (نَذِيرًا) kepada orang-orang yang ingkar. Di atas dunia ini lagi akan diazab, dan dia akhirat kelak berganda lagi.
  6. Hadis- Sabda Rasulullah s.a.w: \”Semua umatku akan masuk Syurga kecuali yang tidak mahu! Para sahabat bertanya, \”Wahai Rasulullah, siapakah orang yang enggan?\” Baginda menjawab, \”Sesiapa yang taat kepadaku dia masuk syurga dan barang siapa yang melanggar perintahku dia tidak mahu.\”\” [HR Bukhari].
    Maka sekarang ini pilihan di tangan kita, hanya nak atau tak nak. Jika nak kena ikut ajaran Rasulullah s.a.w, para sahabat, imam dan ulama\’ muktabar yang sahih.
  7. Hadis Ata\’ bin Yasar bertanya kepada sahabat Abdullah bin Amru tentang sifat Nabi s.a.w yang ada dalam Kitab Taurah.
    Dari Ata\’ bin Yasar, dari Abdullah bin \’Amr bin Ash ra., bahwasanya ayat ini yang terdapat di dalam Al-Qur\’an, \”Wahai Nabi! Sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi dan pemberi kabar gembira dan pemberi peringatan.\”
    Allah berfirman dalam Taurat, \”Wahai Nabi, sesungguhnya Aku mengutusmu sebagai saksi, pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan serta penjaga umat, kamu adalah hamba dan Rasul-Ku. Aku memberi nama kamu Al-Mutawakkil (orang yang tawakal), tidak berperangai buruk dan tidak pula kasar, tidak berteriak-teriak di pasar, tidak menolak keburukan dengan keburukan tetapi memaafkan dan mengampuni. Allah tidak akan mematikannya sehingga ia menegakkan agama yang bengkok dengan risalah yang dibawanya, agar mereka mengucapkan, \”Tidak ada tuhan melainkan Allah, yang dengan kalimat tauhid itu Allah membukakan mata yang buta, telinga yang tuli dan hati yang tertutup.\” [HR Bukhari].

AYAT 46 – {DAN JUGA SEBAGAI PENYERU (UMAT MANUSIA SELURUHNYA) KEPADA AGAMA ALLAH DENGAN TAUFIQ YANG DIBERINYA; DAN SEBAGAI LAMPU YANG MENERANGI. (AL-AHZAAB 33:46)

  1. Tugas Nabi s.a.w lagi (yang keempat dalam ayat ini) ialah mengajak manusia Tauhid kepada kepada Allah, murnikan aqidah jangan ghuluw melampau. Tugas kita adalah menyambung tugas Nabi s.a.w ini, iaitu mengajak manusia supaya hanya menyembah Allah, jangan ajar pelik-pelik dan apa yang ditinggalkan oleh Nabi itu sudah memadai. Jika tidak akan termasuk dalam menambah atau mereka ajaran Rasulullah s.a.w.
  2. Ulama\’ membincangkan pula maksud: {kepada agama Allah dengan taufiq yang diberiNya: بِإِذْنِهِ
    i- ikut arahan Allah
    ii- dengan ilmu yang disampaikan-Nya.
    iii- dengan al-Quran.
  3. Sifat Baginda yang kelima ialah sebagai lampu, obor yang menerangi dan membimbing manusia ke jalan yang diredhai Allah Azza wa Jalla.
  4. Hadis;
    i- Rasulullah bersabda:
    تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ
    \”Aku tinggalkan kamu dalam suatu keadaan terang-benderang, siangnya seperti malamnya. Tidak ada yang berpaling dari keadaan tersebut kecuali ia pasti celaka.\” [HR Ibnu Majah & Ahmad-Sahih].
    ii- Sabda Rasulullah s.a.w:
    تَركْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ، لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ، وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
    Maksudnya: \”Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur\’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi S.A.W ).\” (Hadis Riwayat Imam Malik)
  5. Kerana itulah para ulama\’ kata Sunnah Nabi s.a.w ini seperti bahtera Nabi Nuh, sesiapa yang naik ke atas nya akan selamat, sesiapa yang tak naik akan binasa!

AYAT 47 – {DAN (DENGAN ITU) SAMPAIKANLAH BERITA YANG MENGEMBIRAKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN, BAHAWA SESUNGGUHNYA MEREKA AKAN BEROLEH LIMPAH KURNIA YANG BESAR DARI ALLAH.} (AL-AHZAAB 33:47)

  1. Tugas Nabi s.a.w yang keenam ialah menyampaikan berita gembira (وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ) kepada orang yang beriman. Jika kamu beriman kepada Allah s.w.t, ikut ajaran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
  2. Maka bagi mereka limpah kurnia yang besar, iaitu syurga yang abadi dan peniuh nikmat.
  3. Betapa bahagianya, di atas dan mendapat bimbingan petunjuk, di akhirat mendapat balasan nikmat syurga yang tiada bandingannya.
  4. Suatu ketika Rasulullah S.A.W menyaksikan penyiksaan terhadap keluarga Yasir bin Amir & isterinya Sumayah. Baginda mendongak ke langit dan berseru. \”Bersabarlah wahai keluarga Yasir kerana sesungguhnya tempat kembali kamu adalah syurga.\”
  5. Lagi besar ketaatan, lagi tinggi ujian dan kesabaran, lagi besar balasannya.
  6. Firman Allah s.w.t tentang balasan & berita gembira ini:
    i- {Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: \”Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu\”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.} (Al-Baqarah 2:25)

ii- {Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.} (Yunus 10:64)

iii- {Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.} (Al-Nahl 16:67)

iv- {Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh (bersenang-lenang) dalam taman-taman Syurga; mereka beroleh apa sahaja yang mereka ingini di sisi Tuhan mereka; yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar.} (Asy-Syuura 42:22)

v- {(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga \”Adn\”. Itulah kemenangan yang besar.} (As-Saff 61:12)
{Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.} (As-Saff 61:13)

  1. Begitulah banyak sekali firman Allah s.w.t dalam al-Quran dan sabda Rasulullah dalam hadisnya menyatakan tentang khabar gembira untuk orang yang beriman & taat.

AYAT 48- {DAN JANGANLAH ENGKAU MENURUT KEHENDAK ORANG-ORANG KAFIR DAN ORANG-ORANG MUNAFIK DAN JANGANLAH ENGKAU HIRAUKAN USIKAN DAN CELAAN MEREKA, SERTA BERSERAHLAH KEPADA ALLAH (MEMELIHARA KEADAANMU); DAN CUKUPLAH ALLAH MENJADI PELINDUNG (YANG MENYELAMATKANMU).} (AL-AHZAAB 33:48)

  1. Allah s.w.t berpesan kepada Rasulullah agar jangan menurut kehendak kaum kafir dan munafiq. Janganlah kamu taat atau tunduk kepada mereka dalam setiap perkara yang menghalangi dari jalan Allah.
  2. Jangan hiraukan kerenah, usikan, celaan dan kejahatan mereka. Janganlah engkau hiraukan gangguan dan ejekan mereka kepadamu.
  3. Bertawakal dan serahkan segala urusan mereka kepada Allah. Cukuplah Allah sebagai Pelindung.
  4. Dalam siri yang lepas kita telah lihat berapa kali dan bagaimana kejahatan orang kafir itu samada yahudi atau Quraisy, juga kaum munafiq di Madinah yang khianat dan menyakiti Rasulullah dan kaum muslimin berulang-ulang kali.
  5. Munafiq ada 2 golongan:
    i- Munafiq iktiqadi – mereka adalah kafir batinnya, memang tidak beriman kepada Allah s.w.t, mereka inilah yang Allah katakan akan berada di dasar neraka!
    ii- Munafiq amali – yakni dari segi perbuatan mereka sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. dari sudut amali, tetapi dari sudut iktiqad mereka telah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.
  6. Allah s.w.t memberi kata keramat dan semangat kepada Rasulullah s.a.w dan seluruh orang mukmin agar bertawakkal dan berserah kepada Allah. Dia akan melindungi, menolong, memudahkan, menyempurnakan urusanmu dan menghindari kamu dari gangguan musuh-musuhmu. Dia akan mengurus dan mengalahkan mereka.

AYAT 49 – {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, APABILA KAMU BERKAHWIN DENGAN PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG BERIMAN, KEMUDIAN KAMU CERAIKAN MEREKA SEBELUM KAMU MENYENTUHNYA, MAKA TIADALAH KAMU BERHAK TERHADAP MEREKA MENGENAI SEBARANG IDDAH YANG KAMU BOLEH HITUNGKAN MASANYA. OLEH ITU, BERILAH \”MUT\’AH\” (PEMBERIAN SAGU HATI) KEPADA MEREKA, DAN LEPASKANLAH MEREKA DENGAN CARA YANG SEBAIK-BAIKNYA.} (AL-AHZAAB 33:49)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t kembali kepada isu atau masalah rumahtangga. Allah s.w.t. berfirman menerangkan tentang
    penceraian yang berlaku sebelum suami dan isteri bercampur.
  2. Ayat ini sekali lagi ditujukan kepada orang yang beriman. Apabila kamu telah berkahwin dengan wanita mukmin kemudian kamu bercerai sebelum kamu sentuhnya. Yakni suami mentalaq isterinya sebelum dicampuri.
  3. Kenapa hukum ini dibawa? Kita telah dengar tentang cerita Zaid dan Zainab yang telah berpisah kerana tiada keserasian. Mereka ini telah bersama kerana itu ada iddah, Rasulullah s.a.w mengahwini UM Zainab setelah selesai iddahnya.
  4. Maka Allah s.w.t bawa pula satu lagi hukuman untuk menunjukkan satu sisi lain lagi kesan daripada perkahwinan, iaitu seorang wanita yang diceraikan sebelum disetubuhi, maka tidak ada iddah baginya. Wanita tersebut boleh terus menikah lagi dengan lelaki lain. Ia tidak perlu melakukan iddahnya selama empat bulan sepuluh hari.
  5. Ini kerana iddah itu adalah untuk memastikan bahawa rahim perempuan itu kosong dan bersih daripada benih si suami yang menceraikannya itu. Yakni apabila habis iddah, 3 kali suci daripada haid, maka pastilah kosong rahimnya. Jika mereka tidak bersama maka tidak perlulah melalui iddah ini.
  6. Allah s.w.t menyuruh si suami itu memberi Mut\’ah kepada si isteri. Mut\’ah di sini bermaksud pemberian untuk menyenangkan hati isteri yang diceraikan sebelum dicampuri. Saguhati atau mut\’ah diberikan menurut kemampuan suami, menurut yang patut.
  7. Dalam sebuah hadis diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah mengahwini Umaimah binti Nu\’man bin Syarohil. Setelah rasmi menjadi isteri, Rasulullah S.a.w, pun mendekatinya seambil menghulurkan tangannya kepadanya. Namun Umaimah menjauh seolah-olah tidak menyukainya, sambil berkata \”Aku berlindung kepada Allah darimu\”. Maka Baginda pun bersabda \”Sesungguhnya engkau telah berlindung dengan Zat Yang Maha Agung, maka kembalilah kepada keluargamu\”.
    Maka Rasulullah S.a.w pun keluar dari biliknya dan menceraikannya sebelum menggaulinya, Baginda kemudian menemui Abu Usaid dan berkata \”Berikanlah kepadanya dua baju dari Persia ini dan kembalikanlah dia kepada keluarganya\”. [HR Bukhari].
  8. Maka keluar dua hukum di sini tentang perempuan yang belum digauli berpisah dengan suaminya: i- kerana kematian ii- perceraian hidup.
  9. Kata Ibnu al-\’Arabi: Ayat ini menunjukkan Ijma ulama\’ bahawa perkahwinan yang tidak sempat bersama tidak ada iddah jika berlaku perceraian.
  10. Ibnu Kathir rhm.: Tetapi jika berpisah kerana kematian, walaupun tidak sempat bersama, dia mengatakan bahawa perempuan itu kena beriddah juga kerana kematian (ihdad).
  11. Timbul satu persoalan lagi di kalangan ulama\’ adakah khalwat, duduk bersama, tidur sebilik walaupun tidak melakukan jimak, adakah di kira telah bersama? Terdapat juga beberapa pendapat tentang hal ini:
    i- bagi mazhab Syafei & Imam Ahmad- khalwat sahaja tidak dikira sama seperti bersetubuh. Walaupun sudah tidur sebilik, tetap tidak dikira bersama.
    ii – bagi ulama\’ mazhab Hanafi & Maliki- khalwat yang sempurna (masuk bilik, tutup pintu tiada orang lain bersama) hukum sudah dikira seperti jimak.
  12. Begitu juga timbul persoalan tentang keadaannya orang yang kahwin sesama tua, yang tidak berlaku jimak, maka anak tiri masing-masing adakah menjadi mahram bagi mereka? Maka hukumnya juga berdasar kepada dua pendapat di atas.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 46 – {Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah} – ayat ini menunjukkan wajib kepada seorang pendakwah itu menyeru dan membesarkan Allah s.w.t, didik masyarakat untuk menerima kebenaran bukan taksub kepada dirinya pendakwah atau ustaz. Nabi dan para sahabat tidak melalukan begini kerana tidak mahu menjadi didikan kepada ketaksuban.
  2. Ayat 47 – {Dan (dengan itu) sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman} – ayat ini memberi harapan dan khabar paling besar untuk kita sebagai orang yang beriman untuk layak mendapat kelebihan limpah kurnia, pahala dan balasan dari Allah s.w.t.
  3. Ayat 48 – {Serta berserahlah kepada Allah (memelihara keadaanmu);}- selepas kamu tekad dan siap untuk berjuang di jalan Allah, kamu akan diuji, ditentang, maka bertawakkal-lah kepada Allah, cukuplah Allah s.w.t sebagai penolong. Bila nak menjadi pendakwah jiwa kena kental dan tinggi tawakkal kepada Allah.
  4. Ayat 45 – {Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu}- ayat ini menunjukkan Allah s.w.t mengangkat darjat Rasulullah kepada darjat yang tinggi. Ada 7 sifatnya yang Allah s.w.t gambarkan dalam ayat ini: Nubuwwah, Risalah, Syahadah, Bisyarah, Naziran, Dakwah dan Sirajan. (Kenabian, Risalah Dakwah, Saksi, Pembawa khabar gembira, Pemberi amaran, Pendakwah dan Obor).
  5. Ayat 46 – {dan sebagai lampu yang menerangi.} –
    i- Allah s.w.t sebut satu sifat Rasulullah sebagai obor وَسِرَاجًا مُنِيرًا yang menerangi dan membimbing umat, cahaya obor yang membawa kebaikan dan pedoman.
    ii- Terdapat satu lagi perkataan Siraj yang disebut dalam al-Quran iaitu tentang sifat matahari yang disebut sebagai lampu juga tetapi yang membakar. سِرَاجًا وَهَّاجًا
    {Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?} (An-Naba\’ 78:13)
    INGAT; dua sifat obor atau Siraj ini berbeza satu menerangi, memberi petunjuk tanpa panas, satu lagi menerangi juga tetapi panas membakar.
  6. Ayat 47 – {Dan (dengan itu) sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman} – kenapa Allah sebut khas khabar gembira untuk orang beriman? Bukan orang muslim semuanya? Ini kerana Islam dan iman itu bila bersama ia berbeza. Sedangkan kaum munafiq itu mengaku Islam (muslim) tetapi dia tidak beriman. Allah mahu bezakan betul-betul antara orang yang beriman dan yang munafiq.
  7. Ayat 48 – {Dan janganlah engkau menurut kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik }- dalam ayat ini Allah s.w.t beri amaran tegas kepada Rasulullah dan orang mukmin semua agar jangan ikut karenah dan dengar kata orang munafiq yang mulutnya manis di luar, tetapi hatinya kotor!
  8. Ayat 49 – {dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.} – yakni bila sudah tidak suka dan tidak sehaluan, nak bercerai juga kerana berpisah lebih baik, maka berpisahlah dengan baik, jangan kutuk mengutuk dan kata mengata. Dalam Islam dibenarkan perceraian jika sudah tidak ada harapan untuk kebahagiaan lagi.
    Boleh baca dalam buku: Keindahan Islam tentang hikmah di sebalik hukum hakam Islam seperti TALAQ.
  9. Ayat 49 – {Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman} – menunjukkan tingginya ikatan perkahwinan dan perceraian dalam Islam. Dengan sepatah kalimah (akad nikah) seorang wanita & lelaki ajnabi yang sebelum ini haram untuk dilihat tanpa keperluan pun, menjadi hubungan yang halal seluruhnya. Begitu juga dengan sepatah kata (talaq) hubungan suami isteri yang sebelum ini halal menjadi haram!
    Perkahwinan bukan satu permainan atau percubaan, kena serius dan penuh tanggung-jawab. Kerana itu Islam ajar sebelum kahwin, kena tengok, risik, siasat dan kenal dulu secara Syar\’ie, serta sekufu.
  10. Ayat 49 – {Kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya,} – ayat ini menunjukkan beberapa hukum yang berbeza apabila wanita diceraikan.

Iddah itu ada dua jenis; untuk yang bercerai hidup dan bercerai mati.
i- Cerai hidup – tidak pernah bersama, tiada iddah.
ii- Cerai mati, ditinggalkan suami mati – kena berihdad -yakni iddah 4 bulan 10 hari serta beberapa larangannya seperti tidak boleh berhias dan duduk tetap di rumah suaminya.
Dalilnya ialah firman Allah s.w.t ini:
{Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri; hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa iddahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.} (Al-Baqarah 2:234)

Amat penting wanita-wanita kita diberi kefahaman tentang hukum feqah Iddah & Ihdad ini, kerana ramai orang hari ini yang melanggar SOP Iddah & Ihdad ini, bahkan ada yang tidak faham tentangnya.

Powered by BetterDocs