SURAH AL-AHZAB : AYAT 59-62

\"\"

ARAHAN KEPADA PARA MUSLIMAT MEMAKAI HIJAB, AMARAN KEPADA GOLONGAN MUNAFIQIN & KETETAPAN ALLAH KE ATAS PUAK KAFIR.

Full video : https://youtu.be/JWsXwJ8h_lQ

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini menunjukkan penjagaan Allah s.w.t terhadap Ummahatul-Mukminin para isteri Rasulullah s.a.w serta semua wanita Islam. Demi keselamatan diri dan untuk menjaga kehormatan mereka, Allah s.w.t memerintahkan para isteri Nabi s.a.w serta wanita mukmin semuanya untuk mengenakan hijab atau jilbab menutup aurat seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan, itupun ada khilaf.
  2. Sebagaimana kita menjaga dan membungkus untuk melindungi barang berharga yang disayangi, begitulah diri wanita mukminah yang begitu berharga dan mulia di sisi Allah, dijaga kemuliaan dan dipelihara kedudukannya, maka diberi perintah untuk menutup aurat.
  3. Ayat ini sebagai ayat kemuliaan hak asasi wanita Islam yang tidak boleh dicabar dan dicabul oleh sesiapa saja yang cintakan Allah dan Rasul-Nya s.a.w.
  4. Juga dibawa tentang kejahatan kaum munafiq, serta mereka yang suka menyebar berita palsu untuk menggoyahkan keamanan dan ketenangan umat Islam di Madinah pada masa itu dan ketenangan umat di mana saja atas dunia pada hari ini.
  5. Kesinambungan ayat sebelum ini, Allah sebut larangan agar jangan menyakiti Allah dan Rasul-nya serta orang yang beriman. Maka Allah s.w.t turunkan perintah ini untuk menjaga keselamatan dan kehormatan diri isteri-isteri Nabi s.a.w dan para wanita yang beriman agar jangan diganggu oleh orang jahat.
  6. Ini kerana dahulu kaum lelaki yang fasik dari kalangan penduduk Madinah gemar keluar pada waktu malam, berkeliaran di jalan-jalan serta mengganggu wanita yang keluar malam untuk menunaikan hajat. Tetapi apabila mereka melihat wanita yang memakai jilbab, maka mereka berkata ini adalah wanita merdeka, lalu tidak mengganggunya. Apabila mereka melihat wanita yang tidak memakai jilbab, mereka berkata ini adalah hamba, lalu mengganggunya.
    Ini kerana isteri orang atau orang merdeka ada suami dan keluarga yang akan membela mereka, tetapi hamba golongan yang lemah, tiada keluarga maka mereka berani. Jadi Allah s.w.t mahu bezakan antara hamba dengan tidak hamba dengan pakaian.
  7. Tetapi pada zaman kita hari ini kita lihat ramai orang yang berpakaian seperti hamba, hamba kepada hawa nafsu, model dan fesyen dunia tetapi mereka tidak sanggup menjadi hamba kepada Allah s.w.t dalam bab pakaian dan pergaulan.
  8. Islam itu komprehensif dan meyeluruh, ia tidak ajar separuh-separuh, ibadat, pergaulan cara hidup semuanya kena ikut ajaran yang Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w bawa. Bukan kata hanya ibadat dan nikah cerai ikut agama, model pakaian ikut kafir, pergaulan dan muamalat ikut sekular dan sebagainya.

AYAT 59 – {WAHAI NABI, SURUHLAH ISTERI-ISTERIMU DAN ANAK-ANAK PEREMPUANMU SERTA PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG BERIMAN, SUPAYA MELABUHKAN PAKAIANNYA BAGI MENUTUP SELURUH TUBUHNYA (SEMASA MEREKA KELUAR); CARA YANG DEMIKIAN LEBIH SESUAI UNTUK MEREKA DIKENAL (SEBAGAI PEREMPUAN YANG BAIK-BAIK) MAKA DENGAN ITU MEREKA TIDAK DIGANGGU. DAN (INGATLAH) ALLAH ADALAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-AHZAAB 33:59)

  1. Sekali lagi Allah s.w.t menyeru menyebut Rasulullah s.a.w dengan jawatannya, ini yang kelima dalam surah ini, يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ kemudian diberi arahan untuk memberi perintah قُلْ – katakanlah, suruhlah, perintahkanlah! Seruan kepada Nabi untuk disampaikan kepada umatnya, hukumnya terpakai sehingga ke hari Kiamat.
  2. Ayat ini untuk semua muslimin dan muslimat. Bukan untuk perempuan sahaja, tetapi kaum muslim kena bertanggung-jawab terhadap orang-orang di bawah dan sekelilingnya, menjadi kewajipan menegur. Lelaki atau wali kena faham bab aurat, yang jadi celaru sekarang ini kerana seorang bapa dan suami itu tidak faham tentang batasan dan etika aurat mengikut Syariah!
    Perempuan itu sendiri pun kena faham hukum dan sedar, kena ingat bahawa auratnya adalah maruahnya!
  3. Kepada siapa untuk disampaikan perintah itu? Pertama sekali kita kena didik dan jaga ialah ahli rumah, maka disebut khas kepada Rasulullah agar; suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman semuanya.
  4. Kita telah sebut dalam pelajaran lepas isteri Rasulullah s.a.w berjumlah 11 orang semuanya. Pernah terkumpul dalam suatu masa serentak ialah 9 orang.
    i- Mereka semua ini, 9 orang wafat dan dikebumikan di Perkuburan Baqi\’ di Madinah. Ada tanda khas kumpulan kubur mereka, para Ummahatul-Mukminin ini di Baqi\’.
    ii- Adapun UM Khadijah wafat di Makkah sebelum Rasulullah Hijrah, kuburnya di Perkuburan Ma\’la Makkah.
    iii- Manakala UM Maimunah yang wafat dan dikebumikan di jalan al-Jumum atau an-Nawariyah, lebih kurang 20km dari Makkah.
  5. Apakah pula arahan itu? supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya semasa mereka keluar dari rumah. Yakni menutup aurat dan tubuh badan seluruhnya dengan sempurna.
  6. Setakat mana kena tutup? Apakah batasan aurat wanita mukmin? Apa pula makna جَلَابِيبِهِنَّ jilbab? Kata ulama\’ ini jamak kepada jilbab yang labuh dan menudung seluruh tubuh.
  7. Bagaimana caranya, batasan aurat ada beberapa pandangan:
    i- Kata ulama\’ seperti Ibnu Abbas kena tutup semua kecuali sebelah mata untuk melihat.
    ii- Ada pendapat kata kena tutup semua sekali termasuk muka dan tapak tangan.
    iii- Ada pendapat kata kena tutup semua tubuh kecuali muka dan tapak tangan saja boleh nampak. (pergelangan tangan bukan siku) ini yang sederhana.
    iv- Jika nak tutup semua maka lebih baik kerana ada ulama\’ kata kena tutup jika menimbulkan fitnah.
  8. Apakah pula aurat? Maksudnya bahagian-bahagian tertentu yang mesti dilindungi daripada pandangan lelaki ajnabi yang bukan mahram samada dalam rumah atau luar rumah. Walaupun arahan untuk keluar rumah, bukan bermakna dalam rumah bebas buka aurat walaupun ada lelaki ajnabi.
  9. Ciri-ciri pakaian wanita Muslimah mukminah:
    i- Labuh dan menutup semuanya, inilah tutup aurat.
    ii- Tidak nipis, jika tidak hanya menudung aurat, masih dapat diintai dan nampak.
    iii- Longgar tidak ketat, jika tidak hanya membungkus aurat.
    iv- jangan menyerupai pakaian lelaki.
    v- lelaki pula ada hukumnya seperti tidak boleh pakai emas, sutera dan menyerupai perempuan.
    vi- tidak menyerupai pakaian keagamaan sesuatu kaum (pakaian budaya seperti sari, kimono, baju kurung, tak apa nak pakai).
    vii- pakaian tidak terlampau berhiasan glamor dan menunjuk kemegahan. Pakaian yang tak lulus SOP Syari\’ah.
  10. Hadis yang diriwayatkan dari Ummu Athiyah r.a bercerita tentang solat hari raya:
    أُمِرْنَا أنْ نُخْرِجَ الحُيَّضَ يَومَ العِيدَيْنِ، وذَوَاتِ الخُدُورِ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ المُسْلِمِينَ، ودَعْوَتَهُمْ ويَعْتَزِلُ الحُيَّضُ عن مُصَلَّاهُنَّ، قالتِ امْرَأَةٌ: يا رَسولَ اللَّهِ إحْدَانَا ليسَ لَهَا جِلْبَابٌ؟ قالَ: لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِن جِلْبَابِهَا
    \”Kami telah diperintahkan oleh Rasulullah supaya membawa bersama wanita yang sedang haidh pada solat dua hari raya dan juga anak-anak gadis. Maka dapatlah mereka bersama kaum muslimin, mendengar khutbah dan mengaminkan doa mereka itu. Manakala hendaklah yang sedang haidh itu menjauhkan dari duduk di dalam masjid.\”
    Berkata seorang wanita: \”Wahai Rasulullah, salah seorang kami tidak mempunyai jilbab.\” Sabda Nabi: \”Berilah pinjamkannya jilbab oleh temannya.\” [Hadith dengan lafaz ini adalah riwayat Imam Bukhari]
  11. Kenapa diberi perintah ini? Kerana ini sesuai untuk mereka dikenal sebagai perempuan yang baik-baik, maka dengan itu mereka tidak diganggu oleh orang yang ada niat jahat. Sebagaimana kisah sebab turun ayat di atas. Hamba tidak perlu tutup aurat penuh, kita tidak bincang di sini kerana mereka pun sudah tiada hari ini.
    Tetapi pada pada hari ini sebaliknya, walaupun sudah tiada golongan hamba orang merdeka lebih ramai yang mendedahkan aurat.
  12. Maka tiada istilah hati baik walaupun tidak tutup aurat, tidak solat dan sebagainya, ini ayat orang sekular dan liberal iaitu dalam istilah agama golongan Murji\’ah yang memisahakan antara iman dan amal. Ini bukan mazhab Ahlis Sunnah wal Jama\’ah. Jika kamu baik maka tutuplah aurat kerana ia arahan Allah s.w.t, kena bezakan antara baik dengan manusia dan baik dengan Allah s.w.t! Jika baik dengan Allah s.w.t maka wajib patuh perintah Allah s.w.t. semuanya bukan pilih-pilih yang mahu buat saja!
  13. Mana-mana yang tersalah zaman dulu, jika sudah insaf, bertaubat dan sudah berubah maka Allah s.w.t tutup ayat ini dengan firman-Nya: {Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}

AYAT 60 – {DEMI SESUNGGUHNYA, JIKA ORANG-ORANG MUNAFIK, DAN ORANG-ORANG YANG ADA PENYAKIT (SYAK RAGU-RAGU) DALAM HATINYA, SERTA ORANG-ORANG YANG MENYEBARKAN BERITA-BERITA DUSTA DI MADINAH ITU TIDAK BERHENTI (DARI PERBUATAN JAHAT MASING-MASING), NESCAYA KAMI AKAN MENDESAKMU MEMERANGI MEREKA; SESUDAH ITU MEREKA TIDAK AKAN TINGGAL BERJIRAN DENGANMU DI MADINAH LAGI MELAINKAN SEBENTAR SAHAJA,} (AL-AHZAAB 33:60)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut 3 golongan yang mesti dilawan oleh Rasulullah jika mereka masih berterusan melakukan perbuatan jahat mereka itu.
  2. Mereka itu ialah:
    i- kaum munafiq ini mereka yang zahir mengaku beriman dan sokong, tetapi sebenarnya dalam hati mereka tidak, dan mereka ini tiada prinsip, akan ikut mana golongan yang nampak akan menang & kuat. الْمُنَافِقُونَ
    ii- orang yang ada penyakit syak ragu-ragu dalam hati mereka, penyakit syahwat terhadap wanita tidak kira tempat dan masa. فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ
    iii- orang yang suka menakutkan orang Islam dengan menyebarkan berita palsu وَالْمُرْجِفُونَ
  3. Allah s.w.t kata mereka ini tidak akan lama berada di Madinah kerana tidak selesa dengan hukum dan perundangan yang dijalankan.

AYAT 61 – {SERTA MEREKA TETAP DITIMPA LAKNAT. DI MANA SAHAJA MEREKA DITEMUI, MEREKA DITANGKAP DAN DIBUNUH HABIS-HABISAN.} (AL-AHZAAB 33:61)

  1. Mereka ini akan ditimpa laknat dan jauh dari rahmat Allah s.w.t.
  2. Di mana saja mereka ditemui, bunuhlah mereka. Ini kebenaran untuk menghapuskan mereka untuk dihapuskan kejahatan mereka.
  3. Tetapi pada hakikatnya tiada golongan munafiq yang dibunuh semasa zaman Nabi s.a.w di Madinah. Ini kerana mereka pada zahirnya mengaku Islam, maka Rasulullah s.a.w tidak mahu ia menimbulkan fitnah kepadanya nanti.
  4. Rasulullah s.a.w hanya menyuruh sahabat membunuh yahudi yang jahat, Ka\’ab bin al-Asyraf yang termasuk dalam golongan kedua, yang menyebar berita jahat dan fitnah terhadap kaum muslimin.

AYAT 62 – {YANG DEMIKIAN ADALAH MENURUT \”SUNNATULLAH\” (UNDANG-UNDANG PERATURAN ALLAH YANG TELAH LALU; DAN ENGKAU TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENDAPATI SEBARANG PERUBAHAN BAGI \”SUNNATULLAH\” ITU.} (AL-AHZAAB 33:62)

  1. Undang-undang ketetapan Allah s.w.t dalam agama ini, سُنَّةَ اللَّهِ فِي الَّذِينَ terhadap orang telah lalu, orang yang kafir dan sesat akan diambil tindakan dan hukuman ke atas mereka. Semuanya mati dan bila dibangkitan semula pun akan kena azab.
  2. Maka jika kamu nak selamat maka taatlah kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika selamat dan tidak kena hukuman di dunia, maka di akhirat nanti sekali-kali mereka tidak akan terlepas!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 59 – {Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman,} – wajib ke atas seorang suami ada sifat dan perasaan cemburu ke atas isterinya agar jaga aurat, jaga pergaulan dan kelakuan. Ini kerana jika perasaan iman sudah tiada dalam hati maka tiada ghirah (cemburu atas nama agama untuk kebaikan) serta akan memberi kesan besar, bukan cemburu buta!
  2. Ayat 59 – {Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman,} – seorang manusia = itu bertanggung-jawab ke atas orang di bawah tanggung-jawabnya. Seorang wali seperti bapa, suami, saudara lelaki yakni penjaga mempunyai tanggung-jawab khas kepada anak isteri dan seluruh keluarganya. Kaum muslimin juga mempunyai tanggung-jawab umum untuk menegur kaum wanita di sekelilingnya walaupun bukan keluarga, jika tidak, tidak boleh berdakwah dan menyampaikan kebenaran. Tanggung-jawab menegur amar ma\’ruf dan nahi munkar. Wajib memantau dan menasihati mereka, jangan sampai hilang deria rasa syariah.
  3. Ayat 59 – {serta perempuan-perempuan yang beriman,- وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ} yakni perempuan kepada orang beriman. Maksudnya perempuan yang duduk di bawah Islam dan dia sendiri itu muslimah. Ayat ini menunjukkan kaum lelaki itu bertanggung-jawab ke atas orang perempuan, wanita juga sesama dia kena saling nasihat-menasihati.
  4. Ayat 60 – { tidak berhenti (dari perbuatan jahat masing-masing), – ayat ini menunjukkan wajib ada agenda untuk membaik-pulih orang yang rosak atau merosakkan dalam masyarakat. Jika mereka ini pulih bermakna bertambahnya orang baik dalam masyarakat, kembalinya anak orang Islam ke pangkal jalan adalah satu keuntungan yang besar bagi agama. Teruskan usaha seperti yang telah dibuat hari ini kita ada skuad amar ma\’ruf nahi munkar, skuad anti-dadah, dakwah jalanan dan lain-lain. Ayat ini mengajar para pendakwah agar membaik pulih dan membawa kembali ke pangkal jalan orang yang rosak. Begitulah dakwah para nabi, islah, membaik-pulih manusia yang rosak, sabar serta mengharapakan kebaikan bagi umatnya sebagaimana kisah Rasulullah semasa berdakwah di Taif.
  5. Ayat 60 – {tidak berhenti (dari perbuatan jahat masing-masing), – amaran dan ancaman untuk golongan jahat ini agar berhenti. Jika tidak Allah s.w.t akan menghantar tentera untuk menghapuskan mereka. Walaupun ada yang terlepas di dunia di akhirat nanti akan kena juga!
  6. Ayat 59 – {Wahai Nabi, suruhlah – قُلْ} – kenapa disuruh Nabi kata/beritahu perintah sedangkan memang semua hukum dalam ayat al-Quran itu perintah dari Allah s.w.t yang wajib Nabi sampaikan? Ini kerana bila ayat datang dengan arahan قُلْ ini menunjukkan ada isu/perintah khas yang perlu diambil perhatian. Dalam ayat ini ialah isu menjaga aurat.
  7. Ayat 59 – {Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); – ayat ini menunjukkan kelonggaran kepada kaum wanita untuk keluar rumah jika ada keperluan dan hajat seperti kerja dan tugas. Boleh keluar tetapi kena jaga SOP Syariah dan jangan keluar jika tiada keperluan.
  8. Ayat 59 – {Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman,} – ayat ini isbat bahawa Rasulullah s.a.w ada anak perempuan. Ini kerana ada satu golongan Syiah yang mengatakan Nabi tidak ada anak perempuan KECUALI Sayyidah Fatimah saja! Yang lain seperti Zainab, Ruqayyah dan Ummi Kalthum bagi mereka bukan anak Nabi tetapi anak Sayyidah Khadijah saja. Mulut mereka ada sentiasa memburukkan para sahabat dan ahli keluarga Rasulullah s.a.w.
  9. Ayat 59 – {cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu} — maka kata ulama\’ apabila hukum dibawa dan dinyatakan sebab maka ia memberi beberapa faedah seperti:
    i- memberi ketenangan hati, apabila dikatakan orang yang pakai baik dan tutup aurat akan dikenali dan tidak akan disakiti, maka insya\’ Allah para Muslimah akan suka dan rajin untuk tutup auratnya.
    ii- Syumul (tingginya) darjat Syari\’ah, ia menjaga segala perkara yang memberi kebaikan kepada penganutnya. Barang yang kita sayang kita bungkus takut kena debu dan calar. Betapa kaum wanita disayangi dan mulia di sisi Allah maka diberi-Nya Syariat tutup aurat, agar wanita mukmin terjaga dari fitnah dan terkawal dari kerosakkan.
    iii- Sebab itu apabila ia umum, dia boleh dibawa dan dikiaskan untuk masalah lain juga. maka segala yang boleh membawa kepada fitnah elok kita tutup semuanya seperti aurat, percampuran jantina dan pergaulan bebas.
  10. Ayat 62 – {Yang demikian adalah menurut \”Sunnatullah\” (undang-undang peraturan Allah yang telah lalu;} – tentang kebinasaan orang yang menentang Allah dan Rasul-nya. Ayat ini bukan khas untuk umat terdahulu saja, umat ini pun jika tidak taat, keras kepala dan derhaka akan menerima nasib yang sama!
    Maka beringatlah.

Tamatlah perbincangan kita tentang ciri-ciri pakaian Muslimah, kewajipan mereka menutup aurat dan menjaga kehormatan diri, serta amaran kepada tiga golongan tadi agar jangan kacau, jangan menjadi duri dalam daging mengacau umat Islam dalam negara Islam.

Dapatkan rislah \’Auratku Maruahku\” di:
https://drive.google.com/…/1qXcPvpzbssDjScrx96Ewaa8V4…
Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs