SURAH GHAFIR : AYAT 15-17

\"\"

TIGA SIFAT ALLAH YANG MAHA TINGGI, SEMUA TERDEDAH PADA HARI KIAMAT & BALASAN YANG ADIL DAN SEGERA HISAB.

Full video : https://youtu.be/QNF2E5ZChjU

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t memperkenalkan diri-Nya, Tuhan yang kita diminta untuk beribadat dan ikhlaskan doa kepada-nya semata-mata.
  2. Allah perkenalkan tiga sifat-Nya Yang Maha Tinggi dan terpuji. Kadang-kadang Allah s.w.t perkenalkan diri-Nya dgn sifat rahmat serta sifat-Nya yang Maha Kuasa dan Perkasa. Dua sifat ini amat penting untuk kita seimbangkan antara perasaan Khauf dan Raja\’, iaitu takut dan harap.
  3. Jangan terlalu takut sehingga kecewa; atau teralu berharap sehingga berani melanggar perintah Allah s.w.t. Maka kita ambil jalan tengah, jalan yang selamat insya\’ Allah.
  4. Pada Hari Kiamat semuanya akan terdedah, bukan hanya di depan Allah s.w.t tetapi juga di depan semua makhluk lain.
  5. Pada hari Kiamat Pembalasan dilakukan dengan penuh keadilan dan Hisab yang segera.
  6. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas (ayat 14) Allah s.w.t memerintahkan kita agar menyembah dan mengesakan Allah s.w.t dengan ikhlas, menjauhkan dari segala bentuk syirik yang zahir atau tersembunyi, besar atau kecil, walaupun dibenci oleh orang kafir.
  7. Lalu dalam ayat ini Allah perkenalkan diri-Nya siapakah Tuhan yang wajib kita Esakan dan sembah ini?

AYAT 15-{DIA LAH YANG MAHA TINGGI DARJAT KEBESARANNYA, YANG MEMPUNYAI ARASY (YANG MELAMBANGKAN KEAGUNGAN DAN KEKUASAANNYA); IA MEMBERIKAN WAHYU DARI HAL PERINTAHNYA KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA DI ANTARA HAMBA-HAMBANYA (YANG TELAH DIPILIH MENJADI RASULNYA), SUPAYA IA MEMBERI AMARAN (KEPADA MANUSIA) TENTANG HARI PERTEMUAN, (GHAAFIR 40:15)

  1. Allah s.w.t wajibkan kita sembah-Nya tanpa mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun, murnikan tauhid, minta pertolongan dan doa hanya kepada-Nya, bukan dengan benda atau makhluk yang lain.
  2. Inilah sifat Allah s.w.t, iaitu Tuhan yang:
    i- Dia lah Yang Maha tinggi darjat kebesaran-Nya. (رَفِيعُ الدَّرَجَاتِ). Maha Agung dan Tinggi kedudukan-Nya.
    Firman Allah s.w.t: {Dari Allah yang menguasai tempat-tempat turun naik -Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) sungguh panjang, (kerana banyak hitungan hisab dan berat soal jawabnya).} (Al-Ma\’aarij: 3-4)

ii- yang mempunyai Arasy yang melambangkan keagungan dan kekuasaan-Nya. (ذُو الْعَرْشِ). Pemilik Arasy yang maha besar dan agung! Dalam ayat yang lepas kita dengar hadis Rasulullah s.a.w yang diizinkan menceritakan tentang sifat malaikat pemikul Arasy.

Hadis riwayat dari Jabir bin Abdullah r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
[عن جابر بن عبدالله:] أُذِن لي أن أُحدِّث عن ملكٍ من ملائكةِ اللهِ، من حملةِ العرشِ: إنَّ ما بينَ
شحمةِ أُذنهِ إلى عاتقِه، مسيرةُ سبعمائةِ عامٍ.
Maksudnya: \”Aku diizinkan untuk bercakap tentang salah satu malaikat Allah yang memikul Arasy. Jarak antara cuping telinga dengan bahunya adalah seperti perjalanan sejauh tujuh ratus tahun.\” (HR Abu Daud)

Firman Allah s.w.t tentang Arasy yang agung ini:
{Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.} (Taha 20:5)

iii- Ia memberikan wahyu dari hal perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. (يُلْقِي الرُّوحَ مِنْ أَمْرِهِ عَلَى مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ).
Yakni Allah s.w.t memberikan wahyu dan perintah-Nya melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Mereka itu adalah para nabi dan rasul yang terpilih. Ada yang nabi saja tetapi bukan rasul, tetapi seorang rasul itu pasti seorang nabi juga. Para rasul itu pula ada darjatnya yang tersendiri.

Firman Allah s.w.t: {Ia menurunkan malaikat membawa wahyu dengan perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (yang layak menjadi Rasul); (lalu Ia berfirman kepada Rasul-rasul): \”Hendaklah kamu menegaskan kepada umat manusia bahawa tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepadaku\”.} (Al-Nahl 16:2)

  1. Tugas seorang rasul itu ialah supaya memberi amaran dan peringatan kepada manusia tentang hari Pertemuan kita dan Allah s.w.t pada hari Kiamat nanti!
    Nak atau nak, hari Pertemuan ini akan berlaku!
  2. Kerana itu siang dan malam kita kena berusaha dan belajar agar kita mengenal Allah, hidup dan mati dalam keredhaan Allah lalu dibangkitkan di akhirat kelak di bawah rahmat dan keredhaan Allah Azza wa Jalla juga.
  3. Rasul adalah bukan satu jawatan yang dipinta atau dapat diusahakan, ia adalah pilihan oleh Allah s.w.t, dikurniakan kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya.

AYAT 16-{IAITU HARI MEREKA KELUAR (DARI KUBUR MASING-MASING) DENGAN JELAS NYATA; TIDAK AKAN TERSEMBUNYI KEPADA ALLAH SESUATUPUN DARI HAL KEADAAN MEREKA. (PADA SAAT ITU ALLAH BERFIRMAN): \”SIAPAKAH YANG MENGUASAI KERAJAAN PADA HARI INI? (ALLAH SENDIRI MENJAWAB): \”DIKUASAI OLEH ALLAH YANG MAHA ESA, LAGI YANG MENGATASI KEKUASAANNYA SEGALA-GALANYA!} (GHAAFIR 40:16)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t cerita tentang hari Pertemuan itu! Iaitu pada hari manusia keluar dan dibangkitkan dari kubur masing-masing. Manusia ini ramai tetapi lebih ramai yang di dalam tanah sekarang ini, putaran alam, manusia bergilir hidup atas dunia ini.
  2. Pada hari yang terzahir jelas nyata. Mereka keluar dari kubur berkumpul pada satu tempat, bumi yang rata, sama seperti padang yang landai. Warnanya putih seperti roti. Menunggu pengadilan dan penghakiman dari Allah Azza wa Jalla.
  3. Firman Allah s.w.t: {(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa.} (Ibrahim 14:48)
  4. Pada hari itu semuanya jelas dan zahir, tiada yang tersembunyi dari Allah s.w.t dan tiada siapa yang dapat menyembunyikan sesuatu apa-pun!

Firman Allah s.w.t juga: { يَوْمَ تُبْلَى السَّرَائِرُ- Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (dari iktiqad, niat, dan lain-lainnya).} (At-Taariq 86:9)

  1. Kemudian Allah s.w.t bertanya:
    { لِمَنِ الْمُلْكُ الْيَوْمَ-
    (Pada saat itu Allah berfirman): \”Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini?}
    Apabila tiada yang menjawab, Allah s.w.t sendiri menjawab pula:
    { لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ-
    (Allah sendiri menjawab): \”Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya!} [Ghaafir 40:16].
  2. Yakni Allah yang Esa Yang Tunggal (الْوَاحِدِ) yang tiada sekutu bagi-Nya, tidak ada bandingan tentang nama, sifat dan zat Allah s.w.t, Allah yang Mengatasi dan menguasai segala perkara (الْقَهَّارِ), semua yang lain tunduk akur kepada kuasa Allah s.w.t.
  3. Hadis- Dari Abdullah bin Umar r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, \”Allah akan melipat langit pada hari Kiamat, kemudian menggenggamnya dengan tangan kanan-Nya, lalu berfirman, \’Akulah Raja, dimanakah orang-orang yang membangkang? Di manakah orang-orang sombong? Kemudian Dia melipat bumi dengan tangan kiri-Nya, lalu berfirman, \’Akulah Raja, di manakah orang-orang yang membangkang? Di manakah orang-orang yang sombong? [HR Muslim].
  4. Setelah semua ini, setelah perkenalkan diri-Nya, Allah s.w.t memberi jaminan kepada kita dalam ayat berikutnya ini.

AYAT 17-{\”PADA HARI INI, TIAP-TIAP DIRI DIBALAS DENGAN APA YANG TELAH DIUSAHAKANNYA; TIDAK ADA HUKUMAN YANG TIDAK ADIL PADA HARI INI. SESUNGGUHNYA ALLAH AMAT CEPAT HITUNGAN HISABNYA.} (GHAAFIR 40:17)

  1. Pada hari ini Allah s.w.t berfirman dengan memberi jaminan:
    i- Setiap orang akan dibalas dengan balasan yang sesuai dengan perbuatannya sendiri. Siapa buat baik maka balasan yang baik baginya manakala siapa yang buat jahat pula terimalah akibatnya!

Firman Allah s.w.t: {\”Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang – yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya – supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan.} (Taha 20:15)

ii- Tiada kezaliman pada hari ini, semuanya adil dan telus, tiada apa yang dikurangi atau ditambahkan kecuali pahala yang berganda-ganda.

Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.} (An-Nisaa\’ 4:40).

Hadis Qudsi: Larangan Berbuat Kezaliman
عَنْ أَبِي ذَرٍّ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فِيمَا رَوَى عَنِ اللهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَنَّهُ قَالَ: يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، فَلَا تَظَالَمُوا
Dari Abu Zar r.a dari Rasulullah s.a.w, bahawasanya Allah berfirman:
\”Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku mengharamkan kezaliman di antara kamu semua, maka janganlah kamu saling menzalimi.\” (HR Muslim)

iii- Allah s.w.t juga amat cepat perhitungan-Nya pada hari Kiamat. Berapa lama samada setengah atau separuh hari saja sudah selesai segala perbicaraan. Jika Allah s.w.t mahu buat secara \”kun fayakun\’, boleh saja, tetapi Allah s.w.t mahu mengajar kita supaya jangan gopoh dan bahawa setiap perkara itu ada tempoh perjalanannya, iaitu proses dan procedure yang tertentu.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 15-{Dia lah Yang Maha tinggi darjat kebesaranNya, yang mempunyai Arasy (yang melambangkan keagungan dan kekuasaanNya); kata ulama\’ tadabbur; Allah s.w.t perkenalkan diri-nya dengan tiga lagi sifat-Nya yang agung untuk dikembarkan dengan perintah-nya dalam ayat 14 sebelum ini: -{Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya (dan menjauhi bawaan syirik).
    Iaitu siapakah Allah yang Esa ini, Yang Maha tinggi darjat kebesaran-Nya, yang mempunyai Arasy yang agung dan memberikan wahyu-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya.
  2. Ayat 15-{Ia memberikan wahyu dari hal perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya}- ulama\’ kata ayat ini menjadi dalil bahawa jawatan nabi dan rasul bukan suatu pilihan atau sesuatu yang boleh diusahakan untuk mencapainya. Ia adalah atas pilihan dan kehendak Allah s.w.t! Allah yang campak dan hantar malaikat untuk menyampaikan wahyu kepada mana-mana hamba yang dipilihnya. Tidak kira anak siapa, kaya atau miskin.

Firman Allah s.w.t: {Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikan-Nya itu.} (Al-An\’aam 6:124).

  1. – Ayat 15-{supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang hari pertemuan,}- tujuan diutus rasul, tugasnya adalah untuk memberi amaran tentang hari Pembalasan. Kata ulama\’ tadabbur ayat ini memberi peringatan dan amaran kepada kita agar jangan jadi hina pada hari ini Kiamat, kerana apa yang kita buat atas dunia ini akan dizahirkan dan terserlah semuanya pada hari Kiamat nanti!
    Maka muhasabahlah diri adakah kita akan malu atau tidak dengan pendedahan amalan kita?? Maka jangan buat sesuatu yang dapat memalukan kita di hadapan Allah dan semua makhluk nanti! Kawal dan jagalah nafsu kita daripada perbuatan keji, munkar dan derhaka agar kita tidak hina nanti.
  2. Ayat 16-{(Pada saat itu Allah berfirman): \”Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): \”Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya!}- ayat ini mengisbatkan dua sifat daripada sifat-sifat Allah s.w.t. Iaitu:
    i- sifat Wahdaniyyah Allah yang Esa (الْوَاحِدِ), maka kita jangan syirik kepada Allah dalam apa jua bentuk-Nya. Jangan berpaling lagi kepada makhluk lain!

ii- sifat Allah s.w.t yang Maha Gagah perkasa (الْقَهَّارِ) yang mengatasi segala makhluk.
Maka apabila kita kenal sifat ini:
a- kita kena takut kepada kekuasan Allah, jangan mudah-mudah dan berani langar hukum Allah.
b- juga jika kita ada musuh, kita yakin kepada Allah s.w.t yang Maha gagah Perkasa yang boleh mengambil tindakan ke atas mereka!

  1. Ayat 17-{Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya.}- Allah s.w.t jatuhkan hukuman mengikut kategori masing-masing samada yang baik dan yang jahat. Hisab pengadilan Allah s.w.t ini amat cepat agar tidak memberi pengharapan palsu kepada yang bersalah atau melewatkan balasan baik bagi yang berhak.

Ayat ini memberi isyarat kepada para hakim dan Qadhi di mana-mana mahkamah saja di dunia ini, agar tidak menangguhkan hukuman yang sudah jelas kebenaran kepadanya, yang sudah dapat dibuat keputusan tanpa keuzuran!

Penangguhan pengadilan tanpa uzur ini adalah salah satu dari ciri-ciri kezaliman! Ini kerana:
i- Orang yang berhak mahu mengambil haknya dengan segera,
ii- manakala orang yang terfitnah mahu cepat-cepat membersihkan dirinya,
iii- orang yang jahat agar segera dikenakan hukuman.

  • CONTOH; seseorang jahat tetapi kerana hukum ditangguh boleh jadi kejahatannya itu akan terhapus dengan sebab penangguhan hukuman, dia boleh cuba bersihkan imejnya dengan pelbagai cara sehingga orang lupa perbuatan jahat asalnya!

Maka dari ayat ini, inilah yang sepatutnya diambil berat oleh para Qadhi dan hakim jangan mengangguh-nangguhkan hukuman jika sudah jelas dan tanpa uzur!

Powered by BetterDocs